Anda di halaman 1dari 14

UNIT 1 PENGENALAN TRANSFORMASI KURIKULUM

HASIL PEMBELAJARAN
Di akhir pembelajaran ini pelajar dapat: 1. Mengulas definisi kurikulum dan peranan kurikulum dalam sistem pendidikan di Malaysia. 2. Menghubungkait kurikulum futuristik dengan konsep transformasi sistem pendidikan di Malaysia. 3. Melakar peta konsep tentang transformasi kurikulum sekolah rendah dari aspek tujuan, ciri, kandungan, elemen kemahiran dan penilaian. 4. Membincangkan cabaran dan cadangan menangani perkara dalam pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan.

PENGENALAN
Kementerian Pelajaran Malaysia sentiasa berusaha untuk memantapkan sistem pendidikan yang relevan dengan tuntutan semasa dan masa depan pembangunan pendidikan negara. Justeru itu, Kementerian Pelajaran telah membuat penambahbaikan terhadap kurikulum yang sedia ada dengan melaksanakan transformasi kurikulum di peringkat sekolah. Transformasi tersebut adalah selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu suatu usaha penambahbaikan yang berterusan bagi menghasilkan individu yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan kepada tuhan.

KURIKULUM PENDIDIKAN
Berdasarkan Akta Pendidikan 1996, teks berikut adalah petikan Peraturan Kurikulum Kebangsaan Pendidikan 1997. Kurikulum Kebangsaan adalah suatu program pendidikan yang termasuk kurikulum dan kegiatan kokurikulum yang merangkumi semua aspek pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan untuk membantu perkembangan seseorang pelajar dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta untuk menanam dan mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan (PPK, 2001). Kurikulum Kebangsaan digubal berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan. Matlamatnya adalah untuk a) melahirkan bangsa Malaysia yang taat setia dan bersatu padu, b) melahirkan insan yang beriman, berilmu, berakhlak mulia, berketerampilan dan sejahtera, c) menyediakan sumber tenaga manusia untuk keperluan negara, dan d) memberi peluang pendidikan kepada semua warganegara Malaysia. Manakala misi kurikulum tersebut adalah

untuk membangunkan sistem pendidikan yang berkualiti dan bertaraf dunia bagi memperkembangkan potensi individu sepenuhnya dan memenuhi aspirasi negara Malaysia. Penyataan falsafah dan kurikulum adalah sebagai pedoman, arah tuju atau pandangan terhadap perkara-perkara yang berkaitan dengan pendidikan. Falsafah dan kurikulum menjadi dasar dan pertimbangan asas untuk menentukan kandungan, bahan-bahan pelajaran, strategi pengajaran dan pembelajaran serta penilaian dapat diselaraskan dengan kurikulum mata pelajaran ke arah meningkatkan kualiti sistem pendidikan. Bagi meningkatkan kualiti sistem pendidikan, kurikulum pendidikan perlu dirancang dan diurus dengan teliti selaras dengan keperluan pendidikan abad ke-21 yang bersifat futuristik, dinamik dan bertaraf pengantarabangsaan. Demi mencapai pendidikan berkualiti, Kementerian Pelajaran perlu menambahbaikkan sistem pendidikan, kurikulum, profesion pendidikan, kemudahan fizikal dan kelengkapan serta keefisienan pengurusan (Mohd. Najib, 1996).

Berikan definisi kurikulum dan ulaskan peranan kurikulum dalam sistem pendidikan di Malaysia. __________________________________________________________________ __________________________________________________________________

Kurikulum adalah rancangan pembelajaran yang berlandaskan falsafah, visi dan misi pendidikan untuk melahirkan insan yang seimbang dan bersepadu. Rancangan pembelajaran mengandungi ciri-ciri dan struktur yang diterjemahkan ke dalam pengalaman belajar untuk pelajar dan pengalaman mengajar untuk guru bagi mentakrifkan kurikulum abad ke 21.

Ciri-Ciri Kurikulum
Fungsi kurikulum ialah sebagai alat atau media untuk mencapai matlamat dan tujuan pendidikan. Fungsi tersebut seharusnya mengandungi ciri-ciri yang dapat menyempurnakan perkembangan dan pelaksanaan kurikulum secara berkesan. Ciri-ciri kurikulum pendidikan abad ke 21 adalah seperti berikut: Bersifat futuristik, fleksibel, dinamik, responsif, holistik, dan bersepadu. Berkonsepkan the personhood dan fokus kepada pendekatan humanistik. Relevan dan koheran dengan keadaan semasa mengikut aliran pembangunan dan kemajuan teknologi. Mengandungi elemen kemahiran berfikir kreatif, kritis dan innovatif serta berkebolehan menyelesaikan masalah dan berdaya saing. Menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat.

Ciri-ciri tersebut mampu melahirkan modal insan berkualiti yang dapat menangani cabaran arus globalisasi, ledakan ilmu dan maklumat komunikasi tanpa sepadan. Insan yang berupaya merancang masa depan, mampu membuat pilihan yang bijak dan tepat, sesuai dengan budaya dan nilai sosial semasa. Justeru itu, suatu struktur perlu dibentuk bagi menyempurnakan perkembangan dan pelaksanaan ciri-ciri kurikulum pendidikan.

Struktur Kurikulum
Struktur kurikulum dikonsepsikan sebagai kerangka yang merangkumi komponen a) tujuan, b) kandungan, c) kaedah, d) sumber dan maklumat, dan e) penilaian. a) Tujuan: Kurikulum merupakan suatu program yang dimaksudkan untuk mencapai tujuan pendidikan. Tujuan itulah yang dijadikan arah atau acuan segala kegiatan pendidikan yang dijalankan. Tujuan kurikulum terbahagi kepada tiga aras iaitu; i).Tujuan Jangka Panjang - menggambarkan tujuan kehidupan yang diharapkan berdasarkan pada nilai yang diambil dari falsafah. Tujuan ini tiada kaitan secara langsung dengan tujuan mata pelajaran tetapi sebagai hala tuju setelah pelajar menyelesaikan alam persekolahannya. ii). Tujuan Jangka Sederhana yang merujuk kepada hasrat visi dan matlamat sekolah terhadap pencapaian dan kemajuan pelajar semasa berada di alam persekolahannya. iii). Tujuan Jangka Pendek - dikhususkan bagi mencapai pembelajaran dalam kelas. Tujuan kurikulum yang meliputi aspek pengetahuan (kognitif), kemahiran (psikomotor), sikap (afektif) dan nilai-nilai yang diharapkan dapat dimiliki oleh pelajar bagi setiap mata pelajaran. b) Kandungan: Kandungan kurikulum pendidikan menengah digubal berdasarkan mata pelajaran teras dan elektif. Mata pelajaran teras melibatkan bidang seperti a) komunikasi, b) matematik, sains dan teknologi, c) kerohanian, nilai dan sikap, dan d) perkembangan diri. Mata pelajaran elektif melibatkan pelbagai bidang ke arah pengkhususan atau alam pekerjaan. c) Kaedah: Aspek penting terhadap pelaksanaan kurikulum dalam proses pembelajaran. Pelbagai aktiviti pengajaran dan pembelajaran perlu dirancang oleh guru bagi membina dan mengukuhkan minat pelajar terhadap pembelajaran. Pelajar dibimbing supaya bersedia menerima pengajaran dan berupaya untuk meneruskan pembelajaran secara akses kendiri. d) Sumber dan maklumat: Sumber pengurusan pengajaran dan pembelajaran serta sistem penyampaian maklumat tentang aktiviti, bahan, dan bimbingan. Melibatkan sumber yang berkaitan dengan teknologi maklumat. Kemudahan seperti komputer, multi media, cekera padat dan lebuh raya maklumat seperti 'internet' perlu disediakan untuk digunakan semua pelajar di samping kemudahan dan peralatan pengajaran dan pembelajaran. e) Penilaian: Kurikulum yang telah dibentuk dan dilaksana perlu dinilai bagi memastikan ianya sentiasa kemaskini bagi memenuhi keperluan semasa dan akan datang. Penilaian kurikulum boleh dilakukan secara berterusan melalui penilaian formatif dan pada peringkat akhir atau selesai sesuatu program melalui penilaian sumatif. Oleh kerana penilaian formatif dilakukan secara berterusan, perubahan-perubahan dan usaha penambahbaikan kepada kurikulum boleh dilakukan apabila perlu. Penilaian sumatif pula dilakukan pada peringkat akhir atau setelah selesai pelaksanaan sesuatu program untuk membolehkan keputusan dibuat untuk penambahbaikan seterusnya.

Struktur kurikulum pendidikan kebangsaan telah diterjemahkan dalam bentuk kerangka konseptual seperti di Rajah 1.1.

TUJUAN Falsafah Pendidikan Matlamat Visi Misi Hasil pembelajaran

KANDUNGAN MATA PELAJARAN PENILAIAN Formatif Sumatif STRUKTUR KURIKULUM PENDIDIKAN KEBANGSAAN Pendidikan Jasmani Pendidikan Kesihatan

SUMBER DAN MAKLUMAT Kemudahan belajar Peralatan belajar Alat bantu mengajar Teknologi maklumat

KAEDAH Berfikir secara kritis, kreatf dan reflektif Kemahiran generik Penghayatan nilai

Peringkat Awal

Peringkat Sekolah

Peringkat Selepas Sekolah

PENDIDIKAN SEPANJANG HAYAT Rajah 1.1: Kerangka Konseptual Kurikulum Pendidikan Kebangsaan

Kurikulum perlu bersifat futuristik di mana keperluan masa kini dan masa hadapan dapat dipenuhi oleh sistem pendidikan. Sila jelaskan maksud kurikulum futuristik dan bagaimanakah kurikulum tersebut ditransformasi dalam sistem pendidikan di Malaysia?

Pengembangan Kurikulum
Pengembangan kurikulum ialah suatu proses yang dinilai, diterjemah dan disusun ke dalam aktiviti pengalaman pembelajaran. Proses yang dirancangan untuk pembelajaran dan semua rancangan mengandungi visi dan misi yang mentakrifkan nilai sosial, intelek, rohani dan jasmani. Proses ini digunakan di semua peringkat pendidikan dalam pengembangan kurikulum untuk meningkatkan kualiti program persekolahan. Pengembangan kurikulum dalam penambahbaikan sistem pendidikan di Malaysia telah bermula pada tahun 1983 di peringkat sekolah rendah yang menggunakan sistem Kurikulum Baru Sekolah Rendah. Sepuluh tahun kemudian pada 1993, Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) diperkenalkan. KBSR disemak semula pada tahun 2003 kerana berlaku perubahan dasar berkaitan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). KBSR (semakan 2003) kini mengalami semakan transformasi kepada Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) selaras dengan teras kedua Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP). Dasar teras kedua PIPP adalah untuk membangunkan modal insan yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran serta menghayati nilai-nilai murni. Matlamat PIPP adalah untuk memastikan anak bangsa Malaysia dipupuk semangat, menguasai ilmu pengetahuan, kemahiran dan kompetensi serta menerapkan nilai murni. Sehubungan itu, Gagasan ke-3 ucapan dasar Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam Perhimpunan Agung UMNO 2006 telah menuntut supaya sistem pendidikan negara memberi penekanan kepada teras kedua PIPP. KSSR dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun 2011. Menurut Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia pada ketika itu Tan Sri Alimuddin Mohd Dom (2009), KSSR tidak menggantikan kurikulum lama tetapi seiringan dengan KBSR. KSSR merupakan satu transformasi pendidikan, iaitu proses melakukan satu bentuk perubahan yang holistik kepada kurikulum persekolahan sedia ada yang melibatkan perubahan bentuk, organisasi, kandungan, pedagogi, peruntukan masa, kaedah pentaksiran, bahan dan pengurusan kurikulum di sekolah.

TRANSFORMASI KURIKULUM PENDIDIKAN


Kurikulum pendidikan telah dikaji semula dan Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia telah berusaha membangunkan satu bentuk kurikulum baharu yang lebih berpusatkan pelajar, memberikan peluang kepada pelajar untuk meneroka bidang ilmu akademik dengan lebih mendalam, dan kurikulum yang menyeronokkan. Bahagian tersebut telah membangunkan blueprint Transformasi Kurikulum Kebangsaan yang membawa cadangan perubahan kepada konsep, bentuk, struktur dan operasi kurikulum persekolahan kebangsaan. Konsep kurikulum transformasi prasekolah dan sekolah rendah telah diluluskan oleh Jawatankuasa Kurikulum Pusat Bil. 1/2008 pada 4 Ogos 2008. Transformasi kurikulum adalah proses melakukan suatu bentuk perubahan yang holistik kepada kurikulum persekolahan sedia ada yang melibatkan perubahan bentuk, organisasi, kandungan, pedagogi, peruntukan masa, kaedah pentaksiran, bahan dan pengurusan kurikulum di sekolah. Menerusi transformasi ini, elemen kreativiti dan inovasi, keusahawanan serta teknologi maklumat dan komunikasi diajar secara eksplisit kepada pelajar. Kurikulum ini adalah bertujuan untuk membentuk modal insan yang seimbang, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi supaya dapat menentukan corak masyarakat dan profil bangsa sebagai warganegara Malaysia.

Sejak tahun 2009, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mewar-warkan berita akan melaksanakan transformasi sistem pendidikan bagi meningkatkan kualiti akademik, kokurikulum dan pembangunan sahsiah pelajar. Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia pada ketika itu Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, transformasi tersebut akan melibatkan beberapa perubahan dari segi kandungan kurikulum dan sistem peperiksaan sekolah supaya menjadi lebih menarik dan seronok serta tidak membebankan pelajar. Beliau berkata; ''Kita nak wujudkan konsep 'pelajar berlari ke sekolah dan berjalan pulang ke rumah' sebagai menunjukkan betapa mereka seronok dan teruja untuk menimba ilmu di sekolah.'' Sehubungan itu, beliau menjelaskan bahawa kurikulum transformasi ini juga akan melibatkan perubahan kepada sistem penilaian supaya tidak hanya berasaskan peperiksaan. Menurutnya, melalui sistem penilaian baharu itu, prestasi para pelajar akan dinilai sejak mereka berada di tahun satu lagi. Kini, Kementerian Pelajaran Malaysia memperkenalkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Kurikulum Berasaskan Standard memberi penekanan kepada penguasaan literasi 4M (membaca, menulis, mengira dan menakul), kemahiran asas teknologi komunikasi dan maklumat ICT (Information Communication Technology), perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, kognitif, sikap dan nilai bagi pelajar Tahap 1. Kurikulum bagi Tahap II, menekankan kepada pengukuhan dan aplikasi kemahiran 4M serta menguasai kemahiran yang lebih kompleks dalam ICT, perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, kognitif, sikap dan nilai. Pengajaran dan pembelajaran dalam kurikulum tersebut adalah berasaskan bidang ilmu seperti yang terangkum dalam enam tunjang kurikulum. Enam tunjang kurikulum ialah; a) komunikasi, b) literasi sains dan teknologi, c) kemanusiaan, d) kerohanian, sikap dan nilai, e) fizikal dan estetika, dan f) keterampilan diri. Bagi aspek pentaksiran, Lembaga Peperiksaan Malaysia memperkenalkan Penilaian Berasaskan Sekolah berupa pentaksiran psikometrik, aktiviti jasmani dan kokurikulum. Pihak sekolah perlu merancang, membina, mentadbir, memeriksa dan menyediakan laporan mengenai pentaksiran dalam bentuk formatif dan sumatif. Lembaga Peperiksaan Malaysia masih mengendalikan sebahagian dari peperiksaan secara pusat bagi peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah, Penilaian Menengah Rendah, Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Agama Malaysia dan Sijil Vokasional Malaysia.

Kurikulum Transformasi Sekolah Rendah


Matlamat pendidikan sekolah rendah adalah untuk memastikan perkembangan potensi murid secara menyeluruh, seimbang dan bersepadu. Perkembangan ini meliputi aspekaspek intelek, rohani, emosi dan jasmani bagi melahirkan insan yang seimbang, harmonis dan berakhlak mulia. Bagi mencapai matlamat pendidikan, pihak sekolah perlu memahami konsep kurikulum transformasi pendidikan sekolah rendah. Konsep Kurikulum Transformasi a) Berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan berasaskan prinsip Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah. Pendekatan kurikulum bersepadu yang melibatkan perkembangan individu secara menyeluruh, memberi peluang dan kualiti pendidikan yang sama untuk semua pelajar ke arah pencapaian pendidikan seumur hidup. b) Memenuhi hasrat pendidikan yang selaras dengan cabaran Abad Ke-21, Model Baru Ekonomi dan Wawasan 2020.

c) Pemupukan pelajar seimbang dari segi intelek, rohani, jasmani dan emosi melalui ilmu pengetahuan, berketrampilan, kepercayaan kepada Tuhan, berakhlak mulia, berkeyakinan dan sebagai independent learner. d) Rangka rancangan jangka panjang yang melibatkan 4 Pillars of Education-UNESCO (Task Force on Education for the Twenty-first Century) berkaitan pendidikan iaitu; i) belajar mengetahui (proses pemikiran-penakulan), ii) belajar membuat sesuatu (kemahiran teknikal dan vokasional), iii) belajar penghidupan bersama (sosiolisasikomunikasi), iv) belajar tentang kendiri (kebertanggungjawaban). e) Memupuk pelajar sebagai global player dalam aspek berdaya saing, daya tahan, kemahiran berkomunikasi, dan jati diri. f) Mewujudkan konsep pekerja berilmu yang berusaha ke arah inovatif, kreatif dan dahagakan ilmu. g) Menguasai kemahiran teknologi maklumat & komunikasi sebagai pencipta teknologi dan belajar sepanjang hayat. h) Warga negara bertanggungjawab seperti berbudi, bersatu padu, patriotik, adil, penyayang dan berbakti. Ciri Modal Insan Pada akhir peringkat pendidikan rendah, murid perlu mempunyai kemahiran asas untuk kehidupan seharian. Antara kemahiran asas tersebut adalah seperti berikut: Penguasaan kemahiran asas membaca, menulis dan mengira. Kemahiran menaakul, kreatif dan inovatif. Kesedaran kesejahteraan diri (fizikal dan mental). Percaya kepada tuhan, berakhlak mulia dan amalan nilai murni. Jati diri dan semangat patriotisme. Memahami dan menghayati budaya nasional.

Bentuk Kurikulum Transformasi Kurikulum transformasi yang menekankan kreativiti, inovasi dan keusahawanan merentasi semua mata pelajaran dengan melibatkan aspek: Komunikasi - Penggabungjalinan kemahiran bahasa secara lisan dan bukan lisan semasa berinteraksi. Sains dan teknologi - Penguasaan pengetahuan sains, kemahiran dan sikap saintifik. Penguasaan pengetahuan dan kemahiran matematik. Penguasaan pengetahuan dan kemahiran berasaskan teknologi. Perkembangan fizikal dan estetika - Perkembangan jasmani dan kesihatan untuk kesejahteraan diri. Pemupukan daya imaginasi, kreativiti, bakat dan apresiasi. Kerohanian, sikap dan nilai - Penghayatan amalan agama, kepercayaan, sikap dan nilai. Kemanusiaan - Penguasaan ilmu dan amalan tentang kemasyarakatan dan alam sekitar setempat, negara dan global. Penghayatan semangat patriotisme dan perpaduan. Keterampilan Diri - Pemupukan kepimpinan dan sahsiah diri melalui aktiviti kurikulum dan kokurikulum. Kemahiran Nilai Tambah/Elemen Merentas Kurikulum (EMK) Kreativiti dan inovasi Keusahawanan Teknologi maklumat dan komunikasi

Transformasi kurikulum adalah proses melakukan suatu bentuk perubahan yang holistik kepada kurikulum persekolahan. Sila lakarkan (sama ada dalam bentuk peta minda, peta konsep atau peta aliran) tentang transformasi kurikulum sekolah rendah dari aspek tujuan, ciri, kandungan, elemen kemahiran dan penilaian.

KURIKULUM STANDARD SEKOLAH RENDAH


Segala maklumat berkaitan Kurikulum Standard Sekolah Rendah yang dibincangkan dalam penulisan ini adalah petikan asal dokumen dari Surat Pekeliling Ikhtisas bilangan 11 tahun 2010: Pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Tahap Satu Mulai 2011. Dokumen Kurikulum Standard PraSekolah Kebangsaan dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah yang disediakan Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia. Merujuk kepada surat pekeliling ikhtisas bilangan 11 bertarikh 14 Oktober 2010, tujuan surat pekeliling tersebut adalah untuk memaklumkan tentang pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) di semua sekolah rendah. Antara kandungan surat adalah seperti berikut: 1. Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) telah melalui proses transformasi. Kurikulum yang telah diperkukuh dan ditambah baik ini dikenali sebagai Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Mulai tahun 2011, KSSR akan dilaksanakan secara berperingkat bermula dengan Tahun 1. 2. Sehubungan itu, sekolah hendaklah menggunakan Dokumen Standard bagi setiap kurikulum di bawah KSSR yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. 3. Jumlah masa yang diperuntukkan untuk pelaksanaan KSSR ialah 1380 minit seminggu (satu waktu pengajaran dan pembelajaran ialah 30 minit). Pihak sekolah perlu menyediakan jadual waktu persekolahan sepertimana peruntukan masa yang ditetapkan. 4. Pihak sekolah perlu memilih untuk melaksanakan sekurang-kurangnya satu bahasa dalam Modul Elektif mengikut kesediaan sekolah dalam aspek penyediaan guru, permintaan daripada murid serta prasarana sekolah.

Kurikulum Berasaskan Standard


Kurikulum transformasi sekolah rendah digubal berasaskan standard kandungan dan standard pembelajaran. Standard kandungan merupakan penyataan spesifik tentang perkara yang pelajar patut ketahui dan boleh lakukan dalam suatu tempoh persekolahan merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai. Standard pembelajaran merupakan satu penetapan kriteria atau indikator kualiti pembelajaran dan pencapaian yang boleh diukur bagi setiap standard kandungan. Kurikulum berasaskan standard bertujuan untuk: Memastikan semua pelajar melepasi standard yang ditetapkan. Penetapan ilmu, kemahiran dan nilai yang perlu diukur dengan jelas. Mengenal pasti strategi penambahbaikan (assessment for learning). Mengatasi masalah pelajar keciciran dalam pembelajaran. Pelaksanaan pentaksiran berasaskan sekolah.

Bahan Kurikulum 1. Dokumen yang mengandungi Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran. 2. Buku teks pendekatan modular. 3. Bahan sokongan seperti buku teks, bahan multimedia, buku panduan guru

dan buku aktiviti bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran dijalankan seperti yang dihasratkan.
Pedagogi Pedagogi yang bersesuaian dengan pelbagai jenis pendekatan dan kaedah seperti berikut: Kemahiran Berfikir Belajar Cara Belajar Aplikasi Teori Kecerdasan Pelbagai Pembelajaran Secara Konstruktivisme Pembelajaran Akses Kendiri Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komuinikasi Pembelajaran Masteri Pembelanjaran Secara Konteksual Pengajaran Berasaskan Masa Depan

Organisasi KSSR Tahap I dan Peruntukan Masa


KSSR mengandungi tiga modul iaitu Modul Asas Teras, Modul Asas Tema dan Modul Asas Elektif. Modul Asas Teras merangkumi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Matematik, Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan. Modul Asas Tema, terdiri daripada Dunia Sains dan Teknologi, Malaysia Negaraku serta Seni Visual dan Muzik. Modul Asas Elektif berupa pilihan bahasa iaitu; Bahasa Tamil, Bahasa Cina atau Bahasa Arab. Kurikulum berbentuk modular memberi peluang kepada semua pelajar melalui proses pembelajaran mengikut kemampuan sendiri. Modul tersebut bertujuan memupuk sikap bertanggungjawab terhadap pembelajaran kendiri menerusi aktiviti eksplorasi yang boleh menyerlahkan potensi pelajar. Jadual 1 adalah kerangka organisasi dan peruntukan masa KSSR Tahap I.

Jadual 1.1: Kerangka Organisasi dan Peruntukan Masa KSSR Tahap 1 Bil Modul Masa Dalam Seminggu (Minit) SK Modul Teras Asas 1 2 3 Bahasa Malaysia Bahasa Inggeris Bahasa Cina Bahasa Tamil 4 Pendidikan Islam Pendidikan Moral 5 6 7 Pendidikan Jasmani Pendidikan Kesihatan Matematik 60 30 180 60 30 180 60 30 180 180 120 360 300 300 150 360 360 120 300 150 SJKC SJKT

Modul Teras Tema 8 Dunia Seni Visual Dunia Muzik Dunia Sains dan Teknologi Modul Elektif 9 BCSK/BTSK/B. Arab/B. Iban/B. Kadazandusun 90 30 1380 30 1380 30 1380 60 30 60 60 30 60 60 30 60

Perhimpunan Jumlah

Nota: SK ialah Sekolah Kebangsaan, SJKC ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, SJKT ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, BCS ialah Bahasa Cina Sekolah Kebngsaan, BTSK ialah Bahasa Tamil Sekolah Kebangsaan, B. Arab ialah Bahasa Arab,B. Iban ialah Bahasa Iban dan B. Kadazandusun ialah Bahasa Kadazandusun. Sumber: Surat Pekeliling Ikhtisas bilangan 11 tahun 2010: Pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Tahap Satu Mulai 2011.

Pentaksiran Pengajaran Dan Pembelajaran


Pentaksiran pengajaran dan pembelajaran dijalankan secara berterusan untuk mengesan perkembangan dan pencapaian pelajar dalam pembelajaran dengan menggunakan kaedah pentaksiran yang pelbagai, bersifat autentik dan holistik.

CABARAN TERHADAP TRANSFORMASI PENDIDIKAN


Kementerian Pelajaran Malaysia telah melaksanakan transformasi pendidikan dengan menyusun dan merancang untuk memperbaiki, memperkukuh, dan mempertingkatkan mutu pendidikan negara sesuai dengan pembangunan negara abad ke 21. Perubahan corak sistem pendidikan masa kini amat mencabar dari aspek peranan pendidikan serta persekitaran yang perlu dihadapi oleh organisasi pendidikan di Malaysia. Berikut adalah baberapa cabaran dalam pelaksanaan transformasi pendidikan di Malaysia.

Pentadbir Pendidikan
Kejayaan pelaksanaan tranformasi kurikulum banyak bergantung kepada bagaimana pentadbir pendidikan melibatkan seluruh organisasi dalam membuat keputusan, merancang, menilai dan melaksanakan program-program kurikulum baharu. Tranformasi dalam kurikulum merupakan salah satu aspek penting yang perlu diberi perhatian oleh pentadbir pendidikan. Walau bagaimanapun, pentadbir pendidikan adakalanya terpaksa berhadapan dengan beberapa cabaran yang berhubungkait dengan proses transformasi pendidikan. Antaranya sistem pendidikan Malaysia yang bersifat berpusat menyebabkan kebanyakan dasar dan perancangan digubal pada peringkat kementerian dan diturunkan ke sekolah. Dalam konteks pendidikan di Malaysia, kebanyakan pentadbir dan guru tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa akur dengan dasar pendidikan yang ditetapkan. Tugas besar yang menanti pentadbir pendidikan (Guru Besar) adalah untuk menjayakan transformasi dan pembaharuan pendidikan bagi meningkatkan kualiti pendidikan negara. Senario ini menuntut para pentadbir pendidikan untuk memahami dasar dan wawasan pendidikan, memiliki kompeten dan menjiwai profesyen kepengetuaan. Cabarannya adalah untuk menterjemahkan gagasan transformasi ke dalam tindakan melaksanakannya di sekolah. Usaha ini amat perlu bagi memastikan kelestarian kepimpinan dan kualiti serta kecemerlangan pendidikan terlaksana. Guru Besar dan sekolah perlu bersedia untuk melaksanakan tanggungjawab menterjemahkan segala aktiviti transformasi. Masyarakat sekolah perlu melakukan anjakan paradigma terhadap struktur Kurikulum Standard Sekolah Rendah.

Paradigma Guru Dalam Menghadapi Transformasi


Transformasi dalam kurikulum melibatkan sikap dan pemikiran guru. Persoalannya, sejauh manakah guru mempunyai pemikiran dan sikap yang positif terhadap sebarang usaha inovasi yang dirancang dan sejauh manakah dasar-dasar yang digubal dapat dihayati dan dilaksanakan dalam bilik darjah? Paradigma guru perlu diubah daripada menerima kepada mencipta atau mencari, ketaatan kepada komitmen, individu kepada perkongsian, rutin kepada inovatif dan kreatif, reaktif kepada proaktif dan dari pasif kepada progresif. Persepsi umum guru bahawa setiap perubahan bermakna penambahan beban tugas dan tanggungjawab dalam pengajaran. Cabaran guru ialah menghayati dan menguasai struktur kurikulum dan pendekatan mengajar yang melibatkan pelajar menakul selain dari membaca, menulis dan mengira. Konsep pedagogi bestari mengutarakan pelbagai kaedah pengajaran berpusatkan pelajar seperti pembelajaran konstruktivisme, kontekstual dan pembelajaran masteri.

Amalan pengajaran dan pembelajaran juga menjadi aspek penentu keberkesanan kurikulum. Tenaga pengajar mestilah mengadakan pengajaran dan pembelajaran yang terancang, menggunakan pelbagai teknik yang berpusatkan pelajar dan penilaian dijalankan berterusan ke atas amalan pengajaran dan pembelajaran. Globalisasi yang berasaskan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pembangunan pendidikan mementingkan budaya dan penguasaan ICT di kalangan pelajar. Perubahan harus berlaku dalam sistem mengajar dan belajar di bilik-bilik darjah yang mana pendekatan konstruktivisme adalah digalakkan kerana ia dapat memupuk minat serta menggalakkan pelajar lebih bertanggungjawab terhadap pembelajaran di samping menerapkan amalan pembelajaran sepanjang hayat. Transformasi kurikulum menuntut guru multispecialist. Guru perlu mantap dalam penguasaan pengetahuan kandungan pedagogi. Guru perlu kreatif dan inovatif dalam merancang dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran. Justeru, guru perlu diberi latihan yang selaras dengan hasrat dan keperluan kurikulum Transformasi kurikulum kebangsaan akan mengubah persekitaran dan norma pendidikan berlaku di dalam dan luar bilik darjah. Peranan guru semakin ditekankan dalam pembentukan individu yang holistik sifatnya dan mencapai aspirasi dan hasrat pendidikan negara. Transformasi kurikulum menjadikan kurikulum kurang bersifat preskriptif tetapi menuntut kreativiti dan inovasi guru dalam menentukan bentuk dan kandungan pendidikan yang ingin disampaikan.

Persekitaran Pembelajaran
Isu kekangan ruang dan masa juga boleh menyukarkan usaha transformasi ke atas program KSSR. Bahan pengajaran dan pembelajaran juga menjadi salah satu faktor yang menyumbang kepada keberkesanan kurikulum sekolah. Bahan pengajaran dan pembelajaran mestilah cukup, boleh digunakan, berasaskan teknologi seperti ICT dan juga bersifat mesra pengguna. Bahan ini biasanya disediakan oleh guru-guru untuk memberikan impak yang optimum dalam pengajaran mereka. Sekiranya bahan pengajaran dan pembelajaran ini berkesan ini akan menghasilkan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah menjadi lebih baik, pembelajaran yang menyeronokkan bagi pelajar serta meningkatkan kecemerlangan akademik.

Penilaian
Peperiksaan merupakan indikator mudah untuk melihat kejayaan atau kegagalan seseorang pelajar yang diukur kebolehannya berdasarkan tahap intelek sahaja, namun dengan pelaksanaan SPPK, pelajar dinilai dari semua aspek potensi dirinya. Konsep baharu penilaian adalah mengikut keupayaan pelajar dari segi kebolehan dan kecerdasan. Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam sidang akhbar pada 2 Februari 2010 menyatakan, Kementerian Pelajaran akan melakukan perubahan dalam kurikulum sekolah bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih menyeronokkan dan tidak hanya berorientasikan peperiksaan. Menurut menteri berkenaan, aspek penerokaan ilmu diberi penekanan dengan lebih banyak tumpuan kepada pelajar dan bilik darjah, bukan lagi dominasi oleh guru dan mewujudkan sistem peperiksaan yang berkualiti. Sistem peperiksaan yang dibentuk bukan sahaja perlu menguji kebolehan akademik semata-mata tetapi keseluruhan aspek perkembangan dan kualiti serta potensi individu sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Aspek kognitif yang dinilai hendaklah menguji kebolehan pelajar dari segi pemikiran kritis, rasionaliti, logik, pertimbangan dan nilai, ketepatan fakta, penyelesaian masalah, aplikasi dan penilaian kendiri. Konsep penilaian

berterusan dalam konteks sekolah perlu diambil kira sebagai kriteria keseluruhan dalam mengukur perkembangan seseorang pelajar.

PENUTUP
Kurikulum di Malaysia sentiasa mengalami perubahan dan perkembangan bagi membina dan meningkatkan kualiti kurikulum dalam sistem pendidikan negara. Kurikulum sentiasa digubal bagi membentuk kurikulum yang sesuai selaras dengan pembangunan negara. Di samping itu, penggubalan kurikulum di lakukan bagi menyeragamkan kurikulum yang di gunakan dalam sistem pendidikan. Hal ini berlaku apabila masyarakat mulai sedar tentang kepentingan sistem pendidikan masyarakat dan negara. Kurikulum digubal agar bersesuaian dengan tahap perkembangan indidvidu supaya dapat merangsang pemikiran, membina sikap positif, meningkatkan kecerdasan dan kesihatan ke arah penyuburan optimum. Kurikulum di Malaysia berlandaskan prinsip Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan sebagai pendokong matlamat dan wawasan negara. Kurikulum standard kebangsaan merupakan kurikulum yang terbaru digubal dengan memberi penekanan kepada standard kandungan dan standard pembelajaran yang patut diketahui dan boleh dilakukan oleh kanak-kanak yang berumur empat hingga enam tahun. Kurikulum ini berfokuskan kepada proses pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan pelajar, menekankan kepada inkuri penemuan dan menggunakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran persepadu, bertema, belajar melalui bermain, pembelajaran kontekstual dan pembelajaran berasaskan projek (Bahagian Pembangunan Kurikulum 2009). Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) mendukung cita-cita murni dan unggul dengan semangat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan bertujuan melahirkan pelajar yang seimbang serta berkembang secara menyeluruh dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani serta menyediakan mereka untuk menghadapi arus globalisasi serta ekonomi berasaskan pengetahuan pada abad ke-21. Dunia tanpa sempadan memaksa industri pendidikan di Malaysia melalui era transformasi yang sangat dirasai gelombangnya. Selain itu, perkembangan pendidikan di Malaysia yang semakin pesat ini adalah hasil daripada minat ibu bapa yang tinggi terhadap perkembangan pendidikan dan persekolahan anak-anak mereka baik di peringkat pra sekolah, pendidikan rendah, menengah dan juga di institusi pengajian tinggi. Kesedaran tersebut adalah implikasi daripada kesedaran mengenai kepentingan pendidikan bagi memajukan diri dalam menghadapi cabaran kehidupan yang semakin sengit. Oleh itu, peranan-peranan daripada pentadbir pendidik, guru, dan pelajar itu sendiri amatlah penting bagi menghadapi transformasi dunia tanpa sempadan ini. Pihak perancang pendidikan perlu melihat isu-isu dan cabaran yang berbangkit secara menyeluruh dan komprehensif. Kejayaan transformasi kurikulum memerlukan komitmen menyeluruh daripada semua pihak termasuklah pembuat dasar, pelaksana, pengurus kurikulum, ibu bapa serta pihak berkepentingan. Hal ini kerana, kurikulum baharu ini tidak akan memberi impak yang positif jika pihak-pihak tersebut tidak bekerjasama. Kementerian Pelajaran Malaysia secara berterusan menyemak kurikulum bagi memastikan pelaksanaan kurikulum di sekolah melengkapkan pelajar dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai untuk menghadapi cabaran semasa dan masa depan. Struktur kurikulum disusun mengikut ciri-ciri kurikulum pendidikan abad ke 21 dan mengandungi komponen tujuan, kandungan, kaedah, sumber dan maklumat, dan penilaian yang tersusun dan rapi. Justeru itu, kurikulum mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan perlu dihayati dan perlu mematuhi pekelilingpekeliling yang dikeluarkan Kementerian Pelajaran Malaysia supaya mata pelajaran tersebut tidak diabaikan

Dengan harapan yang tinggi, melalui mekanisme transformasi itu, lebih ramai pelajar yang bermutu, berilmu pengetahuan dan berdisiplin dapat dilahirkan menjelang tahun 2020. Produktiviti pelajar-pelajar ini memang amat diperlukan oleh negara menjelang 2020 untuk kemajuan negara yang lebih mantap.

KATA KUNCI
Transformasi Kurikulum Kurikulum Kebangsaan Fungsi Kurikulum Kurikulum Futuristik Standard Kandungan Standard Pembelajaran Falsafah Pendidikan Kebangsaan Kualiti Sistem Pendidikan Arus Globalisasi Kurikulum Abad Ke21 Kurikulum Standard Sekolah Rendah Surat Pekeliling Ikhtisas

PENILAIAN KENDIRI
1. Huraikan pengertian kurikulum berasaskan standard. 2. Jelaskan perkaitan di antara Falsafah Pendidikan Kebangsaan dengan kurikulum pendidikan jasmani dan pendidikan kesihatan. 3. Bincangkan bagaimana Kurikulum Standard Sekolah Rendah dapat membantu pelaksanaan kurikulum pendidikan jasmani dan pendidikan kesihatan. 4. Bagaimanakah kurikulum pendidikan abad ke 21 dapat dijelmakan dalam kurikulum pendidikan jasmani dan pendidikan kesihatan? 5. Berikan contoh kurikulum yang bersifat futuristik.

RUJUKAN
Bahagian Pembangunan Kurikulum. (2010). Kurikulum Standard Sekolah Rendah Tahun Satu Pendidikan Jasmani. Putrajaya: Kementerian Pelajaran Malaysia. Kementerian Pelajaran Malaysia (2009). Reka Bentuk Kurikulum. Kuala Lumpur: Pusat Perkembangan Kurikulum. Laporan Jawatankuasa Kabinet. (1979). Mengkaji Pelaksanaan Dasar, Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran Malaysia. Mohd Najib Abdul Razak. (1996). Seminar Keguruan Abad 21. Persidangan Pendidikan Nasional Ke-4, di Institut Aminuddin Baki Institut Perguruan Darulaman yang diadakan di Dewan Ibnu Khaldun, Institut Perguruan Darulaman pada 16 November, 1996 Pusat Perkembangan Kurikulum. (2001). Petikan Peraturan Kurikulum Kebangsaan Pendidikan 1997. Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran Malaysia.