Anda di halaman 1dari 2

Assalamualaikum.

Sebelum diperkatakan tentang hal-hal keraguan Hadis, marilah terlebih dahulu kita kenal apa itu orientalis, golongan manakah yang dikatakan orientalis. Menurut bahasa orientalisme diertikan dengan ilmu tentang ketimuran atau pengajian tentang dunia Islam manakala orientalis adalah orang yang pakar dalam bidang pengajian ketimuran atau pengajian Islam. Oleh itu, orientalisme adalah kajian akademik yang dilakukan oleh para ilmuan Barat mengenai Islam dan kaum Muslimin dari seluruh aspeknya termasuk akidah, syariah, kebudayaan, peradaban, sejarah dan manusia. Ia bertujuan untuk membentuk pandangan umum dan dalam hal-hal tertentu untuk menguasai dunia Islam yang mencerminkan latar belakang ideologi, sejarah dan kebudayaan antara Barat dan Timur. Orientalisme adalah disiplin akademik yang digunakan Barat untuk mendekati Timur secara sistematik sebagai topik ilmu ketimuran, penemuan dan pengalaman. Dengan pendekatan orientalisme pula, Barat berhasil memantapkan kehadirannya dalam bentuk ketenteraan, ekonomi, budaya dan ideologi di hampir seluruh dunia Islam yang kini pengaruhnya masih dirasakan kuat. Oleh itu, sesuatu kajian yang bersifat apa pun di dunia Barat mengenai pengajian Islam baik yang bersifat polimek, agama, perdagangan, diplomatik, ilmiah dan akademik terus berlangsung sejak masa lalu yang sebahagian besarnya masih diwarnai oleh akar-akar kebencian yang mendalam. Mereka mendakwa kemunduran umat Islam adalah disebabkan mereka terpengaruh dengan tradisi Islam yang ketinggalan zaman. Mereka berpendapat bahawa satu-satunya jalan menuju kemajuan adalah dengan mengadopsi materialisme Barat dan tamadunnya. Mereka juga menimbulkan keraguan terhadap Islam dan kaum Muslimin yang berkisar pada; bahawa al-Quran adalah hasil karya Nabi Muhammad SWA, Hadis nabi tidak boleh dijamin kebenarannya, Islam tidak lebih daripada gerakan politik di dunia Arab sahaja, Islam anti kehidupan metropolitan dan sebagainya. Anggapan-anggapan keliru hampir selalu mewarnai potret yang ditulis oleh kaum orientalis mengenai agama, kebudayaan, sejarah dan peradaban Islam. Pada pendapat saya, satu-satunya jalan untuk mengatasi kebatilan yang digemburkan oleh Barat adalah tanggungjawab para ilmuan Muslim untuk segera mendirikan pusat-pusat pengkajian yang menyelidik kebatilan dan kekeliruan ilmiah kaum orientalis. Dengan kata lain, untuk menghancurkan kebatilan pemikiran harus dengan pemikiran yang lurus berdasarkan logika dan hujah akal. Walaupun begitu, tidak kesemuanya orientalis adalah jahat. Orientalis turut memberi sumbangan yang bermakna bagi kajian ketimuran dan keislaman. Dunia orientalis telah melahirkan sejumlah sarjana yang bersimpati yang mengabdikan sebahagian besar hidupnya untuk menkaji masalah-masalah keislaman semata-mata dengan tujuan ilmiah murni yang dijiwai semangat dan sikap objektif. Masyarakat Islam juga perlu mengambil manfaat daripada hasil karya orientalis khususnya kajian objektif ilmiah murni yang tidak dicemari motifmotif misi keagamaan dan penjajahan terutama beberapa orientalis moden seperti Thomas Arnold. Orientalis yang menunjukkan sikap bermusuhan dan

tidak ilmiah sebenarnya bukan sahaja merosakkan citra rasa Islam akan tetapi juga mencemari nama baik kaum orientalis yang objektif, sehingga setiap karya orientalis dipandang sebagai kumpulan sikap permusuhan terhadap Islam yang diilmiahkan. Di samping itu juga, masyarakat Islam juga harus berusaha meningkatkan keilmuan terutama dari segi sains dan teknologi yang boleh menandingi kemampuan orang-orang Barat dan menampilkan cara hidup yang lebih progresif, dinamik, mampu menangani krisis secara bijak dan mampu menggerakkan manusia ke arah kemajuan. Oleh itu, menjadi kewajipan orang Islam di Malaysia untuk berusaha mewujudkan satu masyarakat yang harmonis dengan meningkatkan kemajuan dirinya melalui prinsip Islam. Islam harus dirasai oleh orang Islam dan orang bukan Muslim dalam segala aspek kehidupan di negara ini kerana agama Islam rahmat untuk alam sejagat. Wallahualam.