Anda di halaman 1dari 11

1.

Pengenalan

Metafora merupakan suatu perbandingan atau suatu misalan. Kamus Dewan memberi erti metafora sebagai Pemakaian kata-kata yang menyatakan sesuatu makna atau maksud yang lain daripada makna biasa atau makna sebenar perkataan yang berkenaan. Mengikut Owen Thomas (1969) dalam Rahman Shaari (1993) metafora ialah A means of expressing one thing in term of another atau yang diterjemahkan oleh Rahman Shaari sebagai pernyataan sesuatu dengan menyebut yang lain (Rahman Shaari, 1993). Perkataan Metafora (metaphore) adalah cantuman dua perkataan meta dan phore. Itulah yang dimaksudkan dengan metafora. Ianya adalah suatu perbandingan atau suatu misalan. Kamus Dewan memberi erti metafora sebagai Pemakaian kata-kata yang menyatakan sesuatu makna atau maksud yang lain daripada makna biasa atau makna sebenar perkataan yang berkenaan. Mengikut Owen Thomas (1969) dalam Rahman Shaari (1993) metafora ialah A means of expressing one thing in term of another atau yang diterjemahkan oleh Rahman Shaari sebagai pernyataan sesuatu dengan menyebut yang lain. Metafora juga didefinisikan sebagai perbandingan dua perkara yang berlainan atau berbeza, tetapi mempunyai persamaan hanya di dalam konteks yang dibandingkan. Sebagai contoh, pulau dan impian adalah dua perkara yang berbeza, tetapi mempunyai persamaan di dalam konteks kedua-duanya adalah jauh dan memerlukan usaha penyair untuk sampai ke sana. Dari kaitan ini terciptalah metafora pulau impian. Meta bererti perrtukaran atau peralihan (sense of change of position or condition) dan Phore bermaksud pembawa atau bearer. Di sini maksudnya, perubahan dan peralihan yang telah berlaku kepada makna perkataan disebabkan penggunaan sesuatu perkataan yang menjadi pembawa peralihan tersebut. Metafora telah digunakan sejak awal sejarah kehidupan manusia. Manusia menggunakan metafora untuk memberi keterangan tentang sesuatu yang abstrak atau sesuatu konsep yang baru dan sukar untuk diterangkan. Cara yang terbaik ialah mengaitkannya dengan sesuatu perkara yang konkrit atau fenomena yang dikenali dan mudah difahami oleh masyarakat.

Metafora terbentuk dengan adanya tindakan untuk membandingkan sesuatu konsep atau abstraksi dengan sesuatu yang konkrit dan lebih dekat atau lebih dikenali oleh masyarakat. Selain objek alam metafora juga dibentuk dari unsur-unsur lain seperti watak cerita rakyat dan lagenda. Terdapat banyak puisi yang membandingkan sifat setia dengan Hang Tuah, anganangan tinggi dengan Mat Jenin, dan pemberontakan dengan Jebat. Di dalam sajak Dialog, karya Kassim Ahmad terdapat baris aku akan pergi dengan seribu Jebat si anak tani yang membawa maksud dia akan bertindak untuk menuntut keadilan. Walau bagaimanapun, alam jagat raya merupakan sumber metafora yang paling dominan di dalam puisi Melayu (Zurinah Hassan, 2001). Penyair amat akrab dengan alam seperti laut, sungai, gunung, awan, hujan dan pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan. Sehubungan dengan itu, H. B. Jassin pernah menulis, Seniman yang halus perasaannya sangat rapat hubungannya dengan alam sekitar. Dalam angan-angannya alam itu hidup juga dan tumbuh-tumbuhan, batu-batu dan bunga-bungaan baginya ialah makhluk yang bernyawa (H. B. Jassin, 1968).

2.0

Metafora dalam Bahasa Melayu

Terdapat penulis membicarakan penggunaan alam sebagai metafora di dalam sajak-sajak Jair Sulai (2006) yang termuat di dalam kumpulan puisi Sungai Hayat. Dalam menilai sajak-sajak dalam Sungai Hayat, penulis akan mengaplikasi pendekatan dakwah khasnya untuk melihat penggunaan unsur alam sebagai kias ibarat, penanda atau alamat kepada kewujudan dan kebesaran Allah, petunjuk kepada kelemahan manusia, serta pemberi ikhtibar dan motivasi untuk terus berikhtiar.

2.1.

Metafora Sungai

Jodol antologi diambil dari sajak berjodol Sungai Hayat (hal: 38).

Sungai Hayat Ini sungai berliku Airnya sekeras batu Arusnya mata pisau Muaranya tanda tanyaku Dengan nyali keyakinan Di sini kukayuh sampan harapan Pada airnya kusaring kelembutan Pada arusnya kujaring kebeningan Ini sungai berliku Mengapungkan degup rinduku Mengalirkan pijar cintaku Ke samudera Maha Khalikku.

Penyair ini menggunakan sumber metafora dari alam jagat raya iaitu sungai dengan meyifatkan perjalanan sebatang sungai sebagai perjalanan diri atau perjalanan hidup menempuh pelbagai kejadian. Sebatang sungai mengangkut tanah dan pasir begitulah juga hari-hari yang dilalui memberikan pelbagai pengalaman. Sungai merupakan sumber metafora yang penting yang telah digunakan oleh ramai penyair. Misalnya, Jair Sulai menggunakan metafora sungai waktu dalam sajaknya Belajar Resmi Sungai Waktu (Jair Sulai, 2006). Pada pandangan penyair, perjalanan hidup bukanlah sesuatu yang mudah. Ia adalah umpama berdayung di sebatang sungai yang airnya tidak lembut, malah keras seperti batu. Di dalam hidup kita akan menemui perkara-perkara yang menyakitkan. Hal ini diibaratkan seperti arus sungai yang kadang-kadang tajam seperti mata pisau. Seperti arus sungai, perjalanan hidup membawa kita ke suatu destinasi atau menuju masadepan yang tidak dapat ditentukan ataupun 3

diramal. Hal ini dilambangkan oleh ungkapan muaranya tanda tanyaku.

Namun begitu,

penyair telah membina keberanian dan keyakinan diri untuk terus melangkah. Selain sungai hayat, ungkapan yang berupa metafora yang terdapat di dalam sajak ini ialah sampan harapan yang membawa maksud sesuatu yang amat diperlukan di dalam menjalani kehidupan ini. Kata sungai dan hayat tidak mempunyai hubungan dan persamaan tetapi mempunyai persamaan di dalam konteks kedua-duanya berjalan dan berterusan.

2.2.

Metafora Laut

Sebuah lagi sajak yang memperkatakan tentang perjalanan hidup ialah Bahtera Hidup (hal: 19). Sewaktu pelayaran bahtera hidup Di samudera fana ini Hanya kemudi iman yang teguh Meluruskan arah tujuanya Meski dilanda badai dan Dioleng arus gelombang dugaan.

namun yang memastikan ke mana haluan bahtera hidup adalah nakhoda minda yang arif tentang ilmu pelayaran Kerana tali kemudi iman Terletak dalam genggamannya

Sajak ini menggunakan lambang laut dan perjalanan laut telah digunakan di dalam sekian banyak puisi Melayu moden dan tradisional untuk membawa makna perjalanan manusia di dalam kehidupan dan juga perjalanan menuju ke akhirat. Setiap insan mesti berhati-hati dalam melayari hidupnya. Laut yang luas dan bertenaga adalah juga lambang kekuasaan Allah SWT. Sajak ini mengandungi peringatan bahawa manusia adalah pelayar yang mengharungi samudera 4

dan mereka memerlukan pertolongan Allah agar tidak karam dan tenggelam di lautan yang dalam. Pemikir-pemikir Islam turut membandingkan kehidupan di dunia sebagai satu pelayaran di tengah lautan yang dalam. Dalam hubungan ini, Braginsky (1994) mendapati bahawa terdapat sejumlah yang banyak syair-syair mistik Melayu yang menggunakan imej laut dan perahu yang belayar di laut. Pada pendapat Braginsky (1994), keadaan ini terjadi kerana masyarakat Melayu tumbuh di pinggir-pinggir laut dan orang Melayu merupakan pelaut yang cekap dan telah juga terkenal dengan pertukangan perahu dan kapal.

2.3.

Metafora perahu

Penyair tasawuf agung Melayu di Aceh abad ke 17, Hamzah Fansuri telah mempelopori kaedah pemikiran simbolik menggunakan perahu yang belayar di laut sebagai perjalanan hidup manusia menuju ke akhirat.

Wahai muda kenal dirimu ialah perahu tamsil tubuhmu tiadalah berapa lama hidupmu ke akhirat juga kekal diammu.

Hai muda arif budiman hasilkan kemudi dengan pedoman alat perahumu jua kerjakan itulah jalan membetuli insan

(Sumber: Harun Mat Piah, 1993)

Perahu ialah kenderaan yang membawa seseorang menuju ke tempat yang dituju. Perjalanan melalui sungai dan laut memerlukan kenderaan seperti bahtera, kapal, perahu, sampan, biduk atau rakit. Kenderaan-kenderaan ini muncul di dalam puisi membawa makna tersirat iaitu peralatan atau prasarana yang diperlukan di dalam menjalani kehidupan. Jair Sulai (2006) menggunakan sampan di dalam sajak Sungai Hayat yang dibicarakan sebelum ini. Setiap insan mesti memastikan peralatan atau prasarana ini berada di dalam keadaan baik dan lengkap untuk membawanya menyeberang. Sebuah kehidupan tanpa prasarana yang lengkap disifatkan oleh peribahasa Melayu sebagai biduk ada pengayuh tidak. Sajak Bahtera Hidup membawa pesan dan peringatan agar manusia berhati-hati. Mesej puisi ini adalah selaras dengan prinsip Teori Pengkaedahan Melayu, yang melihat sastera sebagai penciptaan yang membawa manfaat dan kebaikan. Perjalanan menyeberang laut merepresentasi perjalanan roh untuk pulang ke negeri asal atau negeri yang abadi. Di dalam perjalanan itu roh akan diganggu oleh Iblis yang sentiasa mencuba untuk menggagal dan menyesatkannya. Gangguan-gangguan ini digambarkan sebagai badai dan gelombang yang cuba menenggelamkan bahtera hidup. Pada pandangan penyair, penyelamat manusia yang utama ialah akal fikiran. Oleh itu manusia harus mempertajamkan minda di dalam mengendali pelayaan. Suatu pelayaran yang dikendalikan oleh seorang nakhoda yang bijak dan dapat menggunakan akal fikirannya akan selamat sampai ke destinasi.

2.3.

Metafora Gelombang

Dalam sajak ini terdapat beberapa buah metafora yang terbina dari alam lautan dan pelayaran. Tiga contoh ialah bahtera hidup, kemudi iman, gelombang dugaan. Sementara di dalam Sungai Hayat terdapat metafora sampan harapan. Empat metafora ini dicipta dengan cara mencantumkan objek konkrit dengan objek abstrak. Kata bahtera digandingkan dengan hidup , kata kemudi digandingkan dengan dengan iman, gelombang dicantumkan dengan dugaan dan sampan digandingkan dengan harapan.

Kata gelombang memberi keterangan kepada dugaan iaitu segala dugaan di dalam hidup ini akan datang sebagaimana seorang pelayar akan menempuh gelombang di dalam pelayarannya. Gelombang akan menyukarkan pelayaran begitu juga dugaan akan memberi kesukaran kepada seseorang. Sampan harapan merupakan metafora yang cantik, menyatakan tentang harapan. Dengan adanya sampan dapatlah seseorang berkayuh menuju sesuatu tempat. Sampan memberikan prasarana untuk mencapai sesuatu harapan.

2.4.

Metafora Haiwan Suatu lagi unsur alam yang kerap muncul di dalam puisi, termasuk puisi Jair Sulai

(2006) ialah haiwan. Di antaranya ialah semut dan burung, contohnya Seperti Semut Kita (halaman: 87).

Seperti semut kita pun dijalinkan keakraban sekata menyusun arah Sederap mengatur langkah Seperti semut kita pun saling berkorban Berpadu ringankan bebanan Bersatu ungkaikan kesulitan Seperti semut kita pun kejapkan kesetiaan Sejiwa menghening kerukunan Sepantun menenun harapan

Semut, seperti anai-anai, lebah, tebuan, dan kerengga dikenali sebagai haiwan sosial kerana mereka hidup di dalam kumpulan atau koloni. Sebahagian koloni mengandungi berjutajuta ahli. Kebanyakan semut membina sarang di dalam kayu, pokok-pokok, atau dalam tanah, lengkap dengan lorong-lorong dan bilik-bilik yang bertingkat-tingkat dan sebahagian dari bilikbilik itu dipenuhi dengan bekalan makanan. Semua ahli serangga sosial bekerja untuk keseluruhan koloni. Setiap sarang mempunyai seekor ratu yang hanya berfungsi untuk bertelur 7

dan membiak. Semut-semut yang lain adalah pekerja. Semut yang lebih besar menjadi askar yang mempertahankan sarang. Semut yang sederhana besarnya bertugas membina sarang, mencari, dan menguruskan pembahagian makanan. Semut yang terkecil diam di dalam sarang untuk menjaga anak-anak semut dan membersihkan tempat tinggal (Owen, 1969). Dengan sifat-sifat tersebut, semut ialah serangga yang digunakan bagi memperkatakan tentang ketekunan dan kesetiaan. Cara hidup yang diamalkan oleh serangga ini menjadi simbol kepada sistem keadilan sosial dan perpaduan masyarakat yang membawa kekuatan ummah. Kehidupan semut dengan amalan berdisiplin (sekata menyusun arah) dan bantu membantu dengan berpadu ringankan beban memberi contoh teladan atau pengiktibaran kepada manusia dalam hidup bermasyarakat. Penyair memberi tumpuan kepada aspek kesetiaan semut mencari makanan dan melindungi keselamatan masing-masing seperti ungkapan:

Seperti semut kita pun kejapkan kesetiaan Sejiwa menghening kerukunan Sepantun menenun harapan.

Sifat-sifat ini adalah aspek penting yang membolehkan mereka hidup dan bertahan walaupun bertubuh kecil dan mudah dibinasakan oleh haiwan yang lebih besar. Sekaligus puisi ini mengingatkan kepada sifat individualistik manusia yang digambarkan melalui peribahasa bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Dengan semangat inilah

mereka mempertahankan koloni dan menghantar amaran kepada semua jika terhidu bahaya.

2.5.

Metafora Peredaran Waktu Penyair juga turut menggunakan metafora dari unsur waktu, di dalam sajak yang berjodol

Lambaian Senja (halaman: 73).

Kaki pagi semakin jauh tertinggal Daunan waktu pun berguguran satu demi satu Aku semakin siaga menghadapi lambaian senja Mengundang aku merapat ke pelabuhan sepi.

Sumber: Jair Sulai (2006) Di dalam puisi ini penyair memperkatakan tentang peredaran hari. iaitu pagi yang telah jauh ditinggalkan, hari senja sepatutnya yang menjelma dan malam yang kian menjelang. usianya.

Perjalanan

mengingatkan

manusia

kepada

perjalanan

Waktu yang datang dan pergi adalah tanda perubahan dan penunjuk bahawa manusia tidak dapat berada di sesuatu tempat untuk selama-lamanya. Senja digunakan untuk menggambarkan tentang kehidupan yang singkat. Di dalam nasihatnya, penyair memberi penekanan kepada kepentingan masa. Setiap orang seharusnya peka dengan waktu yang cepat berlalu. Senja merupakan waktu yang kerap digunakan di dalam puisi. Warna senja yang merah bercampur jingga adalah warna yang disifatkan sebagai mengerikan atau warna yang memberi amaran bahaya. Pada keseluruhannya senja adalah lambang kesementaraan hidup manusia. Kedatangan waktu senja adalah petanda bahawa kehidupan itu telah menghampiri. Peredaran waktu dari pagi ke senja menjadi simbol perjalanan hidup khasnya peningkatan usia manusia. Penyair memperkatakan tentang perjalanan hidupnya yang disimbolkan sebagai perjalanan hari dari pagi menuju ke waktu senja. Namun penyair bersikap positif yang dirinya akan tabah menghadapi segala yang bakal ditempuhi aku siaga mengahadapi. Dia ingin kekal sebagai peribadi yang unggul.

Di dalam sajak ini terdapat beberapa metafora. Yang bertolak dari unsur waktu ialah daunan waktu, lambaian senja dan kaki pagi. Daunan waktu menerangkan tentang waktu yang tidak kekal selamanya dan akan berkahir seperti gugurnya daun-daun dari pokok. Lambaian senja dan kaki pagi memperlihatkan satu kaedah penciptaan metafora di mana unsur alam dan manusia telah dihubungkan. Ahli falsafah Itali Giambattista Vico menyifatkan kaedah pembinaan metafora seperti ini sebagai anthropomorphic metaphore . Beliau menulis tentang metafora jenis ini sebagai expressions referring to inanimate objects formed by transfers from the human body and its parts, from human senses and human passions (Ullman, 1966).

3.0

Kesimpulan Sebagai rumusan dapat dikatakan bahawa Jair Sulai merupakan seorang penyair yang

tekun memerhatikan tingkah alam dan mempelajari perlakuan alam untuk melahirkannya di dalam metafora bagi menyampaikan maksud puisi. Selain alam, pemikiran di dalam puisinya turut dibentuk oleh agama Islam. Dua faktor ini, iaitu alam dan agama Islam, mencorakkan kreativitinya. Mesej-mesej yang baik dan positif adalah menepati ciri-ciri yang digariskan oleh Teori Pengkaedahan Melayu sejak zaman berzaman yang membawa mesej ke arah kebajikan (Hashim Awang, 1997).

10

BIBLIOGRAFI: Braginsky, V. I. (1994). Erti keindahan dalam Kesusteraan Melayu Klasik. Kuala lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. H. B. Jassin. (1968). Heboh sastra 1968; suatu pertanggunganjawab . Jakarta: Gunung Agung. Harun Mat Piah, e. a. (1993). Kesusasteraan Melayu Tradisional. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hashim Awang. (Julai, 1997). Teori dan Kritikan Kesusasteraan Melayu (Bahagian Pertama). Kuala Lumpur: Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka. Jair Sulai. (2006). Kumpulan Puisi: Sungai Hayat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Owen, T. (1969). Metaphor and Related Subjects. New York: Rendom House. Rahman Shaari. (1993). Memahami gaya bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Ullman, S. (1966). Language and Style. Oxford: Basil Blackwell. Zurinah Hassan. (2001). Penggunaan Unsur Alam Sebagai Perlambangan Dalam Puisi Melayu Moden. Tesis Sarjana : Universiti Putra Malaysia.

11