Anda di halaman 1dari 14

1

1.0

PENGENALAN Kajian terhadap variasi bahasa bermula daripada kajian sosiolinguistik yang berfokus

kepada ketidakseragaman perlakuan berbahasa atau perbezaan penggunaan bahasa dalam kalangan manusia disebabkan keragaman latar belakang manusia. Dalam hal ini, perbezaan penggunaan bahasa mencerminkan kewujudan variasi bahasa.Dengan perkataan lain, sesebuah bahasa secara alamiah tidak seragam dan ketidakseragaman itu digambarkan menerusi kewujudan dialek atau variasi bahasa. Dari sudut yang sama, pewujudan bahasa boleh disejajarkan dengan sebuah sistem. Dalam hal ini bahasa boleh dianggap sebgai sebuah sistem terbuka yang dalamnya terkandung beberapa bahagian dan bahagian-bahagian dalam sistem bahasa inilah yang dikatan dialek atau variasi bahasa. Variasi bahasa berlaku disebabkan oleh adanya kegiatan interaksi sosial yang dilakukan oleh masyarakat atau kelompok yang sangat beragam dan oleh penutur yang tidak homogen. Pada masa kini, penggunaan variasi bahasa banyak digunakan dalam penghasilan dialog sebuah filem. Bahasa dalam filem merupakan komunikasi yang berfungsi untuk penyampaian mesej dan dianggap efektif apabila situasi yang sesuai dengan konteksnya dapat diwujudkan dengan bantuan segala yang ada di persekitaran lokasi dan latar dapat dimanipulasikan sebaikbaiknya. Didapati, kelainan atau gaya dan laras bahasa yang digunakan dalam dialog filem kini, banyak dipengaruhi oleh genre cerita sesuatu filem itu sendiri. Berdasarkan filem Jangan pandang belakang congkak yang telah dikaji, didapati terdapat penggunaan variasi bahasa dalam penghasilan dialog filem ini. Terdapat tiga kategori variasi bahasa yang digunakan dalam filem ini, iaitu dari aspek ideolok, dialek geografi dan dialek sosial. Setiap subtopik bagi setiap kategori ini telah dianalisis dan dihuraikan berserta contoh yang sesuai.

2.0

LATAR BELAKANG FILEM

Filem dapat ditakrifkan sebagai gambar bergerak yang ditayangkan pada layar, biasanya di pawagam, manakala genre pula bermaksud kategori atau jenis karya sastera atau seni yang dicirikan dengan sesuatu gaya, bentuk, atau kandungan tertentu. Berdasarkan kajian tugasan ini, filem yang telah dipilih adalah bertajuk Jangan pandang belakang congkak. Filem ini merupakan sebuah filem bergenrekan komedi seram dengan sedikit unsur-unsur percintaan. Filem yang sesuai ditonton oleh semua lapisan masyarakat ini membariskan pelakon seperti Mazlan Pet Pet, Cat Farish,Sam Shaheizy, Lisa Surihani, Azlee Jaafar, Piee, Dina (Malaysian Idol), Zarina AF, Mas Muharni, Den Wahab, Bob Kuman dan ramai lagi.

2.1

Sinopsis Filem.

Filem ini mengisahkan tentang tiga orang pemuda yang telah mendapat sepucuk surat telegram daripada seorang lelaki misteri yang mendakwa dirinya sebagai datuk kepada mereka bertiga iaitu Pak Sudir lakonan Pak Piee. Pak Sudir kemudiannya telah menjemput mereka datang ke rumahnya. Tiga orang pemuda tersebut ialah Punai atau Azham lakonan Mazlan Pet Pet, yang merupakan seorang drebar; Cat atau Arshad lakonan Cat Farish, yang bekerja sebagai tukang cuci di studio rakaman; dan Johan lakonan Sam Shaheizy, pula seorang pelakon tambahan. Pada hari yang ditetapkan, ketiga-tiga mereka pun tiba di rumah Pak Sudir. Di sana, barulah mereka tahu yang Pak Sudir adalah datuk mereka dan mereka bertiga adalah sepupu. Mustika lakonan Lisa Surihani, seorang wanita misteri yang menyambut kehadiran mereka, memberitahu bahawa mereka bertiga bakal mewarisi harta pusaka peninggalan Pak Sudir, sekiranya mereka berjaya mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Antara syaratnya ialah mereka hendaklah bermalam di

rumah tersebut selama tiga malam berturut-turut dan tidak boleh menyentuh apa-apa barang pun di rumah tersebut, terutamanya sebuah congkak usang. Bermula malam pertama mereka bermalam di rumah Pak Sudir, kampung yang aman damai semenjak kematian Pak Sudir, tibatiba gempar dan huru-hara. Ini kerana meraka bertiga telah melanggar salah satu syarat yang ditetapkan iaitu tidak melihat belakang congkak usang di rumah itu. Sejak peristiwa itu, pelbagai kisah misteri dan aneh telah berlaku. Orang kampung telah digemparkan dengan gangguan orang minyak, toyol dan hantu raya. Walaupun dibayangi dengan peristiwa misteri, mereka bertiga telah berkenalan dengan tiga gadis rebutan di kampung itu, iaitu Watie lakonan Zarina, Ziana lakonan Dina dan Wawa lakonan Mas Muharni. Klimaks bagi cerita ini adalah apabila ketigatiga pemuda ini baru sedar yang merekalah hantu-hantu tersebut dan kemudian muncul seorang bomoh yang datang membantu menyelamatkan mereka. Akhirnya mereka bertiga selamat dan kampung tersebut kembali aman damai seperti sedia kala.

3.0

VARIASI BAHASA

Dalam sesebuah komuniti bahasa mesti terdapat sistem bahasanya yang tersendiri. Bagi komuniti ekabahasa, sistem bahasanya terdiri daripada subsistem yang tertentu. Subsistem inilah yang dikatakan sebagai variasi bahasa bagi sesebuah bahasa. Oleh hal yang demikian, variasi bahasa merupakan kelainan bahasa yang terdapat dalam bahasa induknya. Variasi bahasa tersebut mungkin terdiri daripada ideolek, dialek, laras, slanga, jargon, argot, dan kod bahasa yang lain yang wujud dalam sesebuah bahasa (Mohd Zaini Othman, 2005). Menurut Noresah Baharom (2010) variasi bermaksud penyimpangan atau sesuatu yang menyimpang daripada keadaan yangg lazim atau standard, kelainan atau kepelbagaian. Menurut Noresah Baharom (2010) lagi, bahasa ialah sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia. Raminah Sabran ( 2005) pula

mentakrifkan bahasa sebagai sistem lambang, iaitu yang terdiri daripada lambang bunyi atau lambang tulisan yang digunakan oleh manusia untuk berhubung atau berkomunikasi bagi menyampaikan fikiran, perasaan, kehendak, berita, dan sebagainya. Asmah Hj. Omar (yang dipetik dalam Dzulkifli Mohd. Apsah, 2005) mendefinisikan bahasa sebagai bunyi yang dihasilkan oleh alat ujaran yang terdapat dalam rongga mulut dan rongga tekak. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa variasi bahasa ialah kepelbagaian bahasa yang ditentukan oleh faktor teknikal bahasa iaitu sebutan, kosa kata dan tatabahasa. Dalam variasi atau kelainan bahasa, bahasa dapat dikategorikan kepada tiga jenis iaitu ideolek, dialek kawasan dan dialek sosial.

3.1

Ideolek.

Ideolek menurut Noresah Baharom (2010) bermaksud variasi bahasa seseorang individu. Menurut Mohd Zaini Othman (2005), ideolek juga dikenali sebagai parole. Ideolek merujuk kepada bentuk bahasa yang dihasilkan oleh seseorang individu. Bentuk bahasa itu merujuk kepada cara penggunaan bahasa individu itu secara tersendiri. Kelainan melibatkan ciri-ciri Paralinguistik seperti tinggi rendah suara, cepat lambat, nada dan bidang fonologi keseluruhan. Terdapat juga ciri-ciri seperti pilihan kosa kata dan susunan tertib kata dalam ayat. Jumlah ideolek adalah sama dengan jumlah penutur di dunia.

3.2

Dialek Geografi atau Daerah.

Menurut Zaba (2002) dialek daerah merupakan rupa bahasa yang terpakai dalam percakapan dalam satu-satu daerah atau bahagian negeri dengan mempunyai pelat sebutan yang terkhas bagi daerah itu dan berlainan daripada bunyi sebutan bahasa umum yang rata-rata dipakai dalam perhubungan umum, dalam percakapan, dan suratan. Penggunaan dialek dalam percakapan di sesuatu daerah yang mempunyai sebutan yang berbeza dengan daerah lain akan menunjukkan

identiti tersendiri

pengguna dialek tersebut. Kebanyakan ahli biasa yang mengkaji dialek

mengatakan bahawa dialek wujud kerana adanya faktor perbezaan ruang atau geografi. Hal ini dapat dilihat dengan jelas melalui perbezaan sebutan kosa kata dalam bahasa Melayu megikut negeri di Malaysia. Dalam dialek geografi, bukan sahaja terdapat perbezaan ciri linguistik dari segi sebutan bahkan turut melibatkan kosa kata dan tatabahasanya (Mohd Zaini Othman, 2005). Berdasarkan filem yang dikaji, terdapat penggunaan dialek daerah dalam dialog filem yang telah ditutur oleh pelakon. Di bawah adalah contoh dialek daerah yang dipetik daripada dialog filem: Pak Sudir : Akulah Pak Sudir. Datuk hangpa semua. Akulah menghantar surat kat hangpa. Ni Tok nak bagi tau. Hangpa bertiga ni adalah pewaris segala harta aku, bila Tok dah mati. Tetapi dengan bersyarat. Berdasarkan dialog yang ditutur oleh Pak Sudir kepada cucu-cucunya, terdapat penggunaan dialek Kedah dalam dialog filem iaitu perkataan hangpa yang membawa maksud kamu semua. Wak Ketari : Siki aku westeko. Kapan aku westeko. Aku orak bias lomu, kapan gue korek lomu. Aku Wak Ketari keturunan Jawa asli. Hentam orak rosok. Disipak orak timur. Ditetak orak rock. Ditikam orak pasak. Siki dilok wak handal. Manakala dialog di atas pula menggunakan dialek Jawa yang telah dituturkan oleh Wak Ketari semasa melakukan proses perubatan tradisional.

3.3

Dialek Sosial.

Menurut Noresah Baharom (2010) dialek sosial bermaksud variasi bahasa yang dituturkan oleh sesuatu kumpulan sosial atau lapisan masyarakat bahasa. Dialek sosial terungkap secara jelas apabila melibatkan komunikasi antara dua pihak yang berlainan ataupun dengan yang sama

status sosialnya. Dalam perspektif bahasa Melayu, penggunaan dialek sosial yang berasaskan taraf sosial telah mencetuskan kepelbagaian bahasa dalam komunikasi kerana tidak terdapat dalam bahasa lain di dunia. Sangat penting bagi penutur bahasa Melayu untuk menguasai dialek sosial dengan baik untuk memudahkannya melontarkan wacana bahasa secara berhemah dalam konteks budaya sama ada dalam bentuk lisan mahupun tulisan (Mohd. Hashim, 2009). Secara umumnya, penggunaan dialek sosial boleh dikelaskan kepada laras bahasa dan ragam bahasa.

3.3.1 Laras Bahasa Laras ialah variasi bahasa yang berlainan berdasarkan fungsi. Laras ini akan berubah-rubah mengikut situasi. Apabila mengamati perlakuan bahasa yang wujud dalam pelbagai konteks, akan didapati kelainan jenis bahasa yang digunakan, yang disesuaikan dengan situasi yang berlainan. Menurut Halliday (1968) laras bahasa boleh dikelaskan kepada dua aspek iaitu aspek pengguna, orang yang menggunakan sesuatu bahasa dan aspek penggunaan, kesesuaian jenis bahasa yang digunakan dengan keadaan atau situasi bahasa itu digunakan. Dalam aspek laras bahasa, penggunaannya boleh dibahagikan kepada empat jenis iaitu laras bahasa umum atau biasa, laras akademik, laras media massa dan laras perundangan. Namun begitu, kajian mengenai filem ini akan lebih memberi penekanan kepada laras bahasa umum atau biasa. Laras bahasa biasa digunakan dalam bidang yang luas meliputi perkara-perkara biasa dalam interaksi masyarakat sehari-hari. Berdasarkan kajian ini, analisis akan dilakukan ke atas dialog filem yang dituturkan oleh pelakon untuk mengenal pasti penggunaan laras bahasa biasa dan didapati terdapat empat jenis laras bahasa biasa yang digunakan iaitu bahasa slanga, bahasa suci, bahasa basahan dan percampuran kod.

3.3.1.1 Bahasa Slanga. Bahasa slanga adalah kelainan bahasa yang dicirikan oleh wujudnya kosa kata baru yang direka cipta bersesuaian dengan kumpulan tertentu. Kosa kata ini cepat berubah dan sering digunakan oleh orang muda dan kelompok sosial untuk komunikasi dalaman. Slanga ialah pertuturan terhad sub kumpulan dan sub budaya tertentu dalam sesebuah masyarakat. Dengan pengertian ini, slanga ialah bahasa, khususnya perkataan biasa yang diberikan pengertian baharu dan digunakan serta difahami oleh sesuatu kumpulan, misalnya mat rempit dan pemuzik atau peminat rock di sesuatu tempat atau kawasan. Tujuan penggunaan slanga ini adalah untuk mengelakkan kumpulan lain mengetahui komunikasi yang dituturkan dalam kumpulan tersebut. Berdasarkan filem yang dikaji, terdapat penggunaan bahasa slanga dalam dialog filem yang telah ditutur oleh pelakon. Di bawah adalah contoh bahasa slanga yang dipetik daripada dialog filem: Man : Din, awek ko din. Wawa. Din : Alamak, awek aku. Wawa. Hai.

Dalam kes ini, didapati penggunaan bahasa slanga iaitu awek digunakan dalam dialog dan telah dituturkan oleh watak samseng kampung, Man dan Din. Hakikat kekerapan penggunaan bahasa slanga ini terpaksa kita terima semasa berhubung atau berkomunikasi sesama kita dalam situasi tidak formal.

3.3.1.2 Bahasa Suci Jenis bahasa yang digunakan dalam upacara-upacara keagamaan dan perubatan tradisional, yang dipercayai atau diyakini mempunyai kuasa tertentu. Kata-kata kosa kata yang digunakan

mempunyai makna khusus. dalam dialog filem.

Berdasarkan filem yang dikaji, terdapat penggunaan bahasa suci

Tok Moh : Bismillahirrahmanirrahim. Berikanlah aku kekuatan zahir dan batin, untuk memusnahkan toyol durjana yang menganggu manusia di muka bumi ini. Aku sumpah kau dengan nama Allah. Ghaiblah kau, ghaiblah kau. Dalam kes ini, didapati penggunaan bahasa suci telah dituturkan oleh watak Tok Moh ketika menjalankan perubatan tradisional iaitu menangkap toyol yang mencuri duit penduduk kampung. Bahasa yang digunakan dipercayai serta diyakini mempunyai kuasa tertentu dalam memenuhi keinginan atau hajat semasa proses perubatan tradisional dilakukan.

3.3.1.3 Percampuran Kod Senario ini berlaku apabila seseorang menukar-nukarkan bahasanya secara berganti-ganti untuk satu tajuk perbincangan yang sama. Berdasarkan dialog filem, terdapat banyak dialog yang mempunyai percampuran kod. Namun begitu, hanya satu sahaja contoh yang akan dipetik dalam dialog yang mengandungi percampuran kod. : Pitching, pitching kena jaga. Kalau nak jadi penyanyi, kena jaga pitching. Note kena betul. Dont waste my time. You irritating betul. Betul tak?.

Cat

Punai : Slow betul le mamat ni. Hah! Bunyi apa ni?. Cat : Wawa, like this. I go back, I check with my sepupu sepapat. Abang bincang, abang selesaikan masalah ni, okay?.

Berdasarkan dialog-dialog yang ditutur oleh pelakon, didapati terdapat percampuran kod iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris digunakan berganti-ganti dalam ayat yang mempunyai situasi dan maksud yang sama.

3.3.1.4 Bahasa Basahan. Bahasa basahan juga boleh dikenali sebagai bahasa kolokial. Bahasa kolokial juga disebut sebagai bahasa sehari-hari dan diguna pakai oleh masyarakat tertentu. Terdapat beberapa ciri yang boleh dikenal pasti berkenaan dengan bahasa bahasa basahan iaitu dari segi cara penyampaian, penggunaan dialek, penggunaan tatabahasa dan bahan yang hendak ditutur. Dalam bahasa basahan tidak mementingkan penggunaan stuktur ayat dan sistem tatabahasa yang betul. Berdasarkan dialog filem di bawah terdapat penggunaan bahasa basahan yang berbentuk kependekan perkataan. Punai : Cis! Itu yang depa bagi tau kat abang. Tapi, abang heranlah. Abang tak pernah tengok arwah tok abang. Muka dia pun tak pernah tengok. Penggunaan bahasa basahan tak dalam dialog telah mengalami pemendekan perkataan daripada perkataan asalnya iaitu tidak. Walaupun mengalami proses pemendekan tetapi perkataan yang digunakan masih mempunyai maksud yang sama.

3.3.2 Ragam Bahasa Ragam bahasa atau ragaman bahasa adalah beberapa jenis bahasa khas yang digunakan dalam pertuturan lisan atau karangan untuk menguatkan tujuan kata dan mempertajamkan hasil pertuturan lisan atau hasil penulisan karangan. Terdapat lima belas jenis ragam bahasa iaitu sindiran, herdik, templak, menggiat, terbalik, merajuk, melampau, bahasa naik, bahasa turun, ingkar, seruan atau mengeluh, berulang, bertimbal, nafi dan jenaka. Dalam dialog filem Jangan pandang belakang congkak, didapati hanya terdapat empat ragam bahaasa iaitu bahasa sindiran, bahasa herdik, bahasa melampau dan bahasa merajuk.

10

3.3.2.1 Bahasa Sindiran Perkataan yang ditujukan kepada seseorang tetapi maksudnya tidak disebutkan dengan tepat, hanya disinggung dengan dikias-kiaskan atau diarahkan kepada perkara lain kerana tidak suka hendak menyebut secara terang-terangan. Orang yang ditujukan sindiran ini, mengerti maksudnya, maka maknanya lebih dalam daripada perkataan itu jika disebut dengan terangterangan. Petikan dialog filem yang mempunyai ragam bahasa sindiran telah ditutur oleh Cat. Cat : Mak aku dah pesan banyak kali, makan minum air suam. Minum air suam sebelum nyanyi. Kau ni dah menguji kredibiliti komposer yang terkenal seperti aku. Macam mana nak kerja macam ni. Buang duit, buang masa. Dialog yang digunakan mempunyai penggunaan bahasa sindiran untuk menyampaikan maksud kepada orang yang disindir. Penutur tidak menyampaikan sesuatu maksud secara berterus terang tetapi secara sindiran.

3.3.2.2 Bahasa Herdik Bahasa herdik seakan-akan bahasa tempelak tetapi tujuannya untuk menunjukkan kesalahan pada masa sekarang bukannya pada masa yang telah silam. Perkataan-perkataan yang digunakan kerap dengan kasar serta mengandungi perasaan mengejek sedikit. Berdasarkan filem yang dikaji, terdapat penggunaan bahasa herdik dalam dialog filem yang telah ditutur oleh pelakon. Contoh bahasa herdik yang dipetik daripada dialog filem: MC David : Kan saya dah cakap. You tak layak jadi komposer. Ini beratus ribu punya pelaburan. Bukan untuk you. Pergi kerja. Dialog yang dituturkan oleh watak MC David ini agak kasar dan mempunyai bahasa herdik, bertujuan menunjukkan kesalahan yang telah dilakukan oleh Cat di dalam studio rakamannya.

11

3.3.2.3 Bahasa Melampau Bahasa melampau ialah kata-kata yang diucapkan oleh seseorang secara melampau atau melebih-lebih daripada yang sebenarnya. Bahasa ini sering digunakan untuk mengangkat diri kepada tahap yang lebih tinggi secara berlebih-lebihan. Dalam filem Jangan pandang belakang congkak terdapat dialog yang ditutur oleh pelakon yang mempunyai penggunaan bahasa melampau. Contoh dialog tersebut seperti: MC David : Nas adilla, you masuk syarikat saya sudah betul. Saya boleh jadikan batu jadi emas. Jadikan you lima bintang punya artis.

Dialog yang telah dituturkan oleh MC David ini didapati terdapat penggunaan bahasa melampau kerana mengibaratkan Nas Adilla sebagai batu yang boleh digilap menjadi emas. Ini bermaksud bakat biasa Nas Adilla akan dikembangkan oleh MC David ke taraf bakat lima bintang.

3.3.3.4 Bahasa Merajuk Bahasa yang menunjukkan rasa kecil hati atau merendah diri. Berdasarkan filem yang dikaji, terdapat penggunaan bahasa merajuk dalam dialog filem yang telah ditutur oleh pelakon. Contoh bahasa merajuk yang dipetik daripada dialog filem: Nas Adilla : Baiklah MC David. Nas rasa terharu sangat. Kalau tak ada MC David, Nas tak tahu macam mana nak kembangkan bakat Nas ni. Nas janji, Nas akan buat apa saja untuk MC David. Nas Adilla telah menuturkan dialog filem yang mempunyai bahasa merajuk untuk menunjukkan perasaan rendah hati mengenai bakatnya dan menyifatkan bakatnya dapat dikembangkan atas pertolongan daripada MC David.

12

4.0

PENUTUP

Berdasarkan analisis tentang variasi bahasa dalam dialog filem Jangan pandang belakang congkak, didapati penggunaan variasi bahasa oleh pelakonnya yang datang dari pelbagai kaum dilihat amat ketara. Terdapat dialog yang dituturkan oleh segelintir pelakon, menggunakan bahasa yang bercampur aduk atau percampuran kod dan bahasa basahan yang amat ketara, menjelaskan seriusnya masalah penggunaan variasi bahasa dalam filem Melayu pada masa kini.. Namun begitu, masih terdapat dialog filem yang dituturkan oleh pelakon yang masih menitikberatkan penggunaan bahasa Melayu yang betul dan menekankan elemen estetika berbahasa yang menarik. Menurut Norazlita Mohd. Sies (2010) estetika bahasa dalam filem telah tercemar kerana berlakunya kecelaruan makna budaya dalam filem Melayu kini. Kegagalan dalam penyampaian mesej antara pelakon dengan penonton akibat kesalahan penggunaan bahasa seperti percampuran bahasa, bahasa pasar dan istilah Inggeris dalam dialog, akan menyebabkan kesalahan menterjemahkan persepsi yang cuba diketengahkan oleh watak dan cerita dalam skrip asal sesebuah filem. Secara langsung, keadaan ini cenderung merendahkan estetika bahasa Melayu itu sendiri dan seterusnya menghilangkan makna budaya Melayu itu, sedangkan bahasa merupakan sebahagian daripada identiti budaya sesebuah bangsa atau etnik. Hakikatnya, cerita tidak akan cacat dengan menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya, sekiranya genre filem itu sendiri sememangnya kukuh, pasti keseluruhan filem adalah kuat serta sempurna pada pandangan penonton. Filem yang baik ialah filem yang membawa ingatan budaya dan etnik kepada penonton serta memuatkan estetika bahasa nasional. Selain itu, filem yang dapat mengangkat struktur naratif dengan berkesan sesuai dengan kedudukan masyarakat yang menjadi khalayaknya.

13

RUJUKAN Abdul Rashid Daing Melebek & Amat Juhari Moain. (2012). Sosiolinguistik dan bahasa Melayu. Bangi: penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Alias Mohammad Yatim. (1991). Sosiologi Bahasa. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia.

Asmah Haji Omar. (2005, Mac). Antara bahasa dengan mesin basuh. Dewan Bahasa, 5 (3), 2426.

Asmah Haji Omar. (2011). Ensiklopedia bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Fazliyati Ishak. (2008, Mac). Dialek kian terpinggir?. Dewan Bahasa, 8 (3), 35.

Jins Shamsudin. (2002, Mei). Bahasa Melayu dalam bidang perfileman. Dewan Bahasa, 2 (5), 48-52.

Khairuddin Mohamad, Maridah Alias & Faiziah Hj. Shamsudin. (2012). Bahasa Melayu komunikatif. Puchong: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

Lela. (2012). Variasi bahasa. Dicapai pada Oktober 20, 2012 dari Http://www.scribd.com/doc/19111003/Variasi-Bahasa.

Mohd. Hashim. (2009, April). Dialek sosial lambing kehalusan budi bahasa. Dewan Bahasa, 9 (4), 26-30.

Mohd. Zaini Othman. (2005, Januari). Idiolek dan dialek. Pelita Bahasa, 5 (1), 22-24.

Nik Safiah Karim. (1988). Sosiolinguistik bahasa Melayu dan pengajaran. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Norazlita Mohd. Sies. (2010, September). Estetika bahasa, kecelaruan makna budaya dalam filem Melayu. Dewan Bahasa, 10 (9), 10-13.

14

Noriah Mohamed. (1998). Sosiolinguistik bahasa Melayu di Malaysia. Pulau Pinang: Penebit Universiti Sains Malaysia.

Noor Aina Dani. (1999). Pencampuran kod dan konsepnya. Jurnal Dewan Bahasa, 43 (3), 196204. Noresah Baharom. (Ed). (2010). Kamus dewan edisi keempat. Versi elektronik.

Nor Hisham Osman. (2009, Julai). Dialek, kelainan bahasa. Dewan Bahasa, 9 (7), 12-13.

Nur Fatiha Fadila. (2012, September). Bahasa dalam filem Melayu antara dua zaman. Dewan Bahasa, 10 (9), 14-17.

Raja Yusoff Ariffin. (2010, Sepetember). Kepelbagaian dialek dalam drama dan filem Melayu. Dewan Bahasa, 10 (9), 24-26.

Saidatul Nornis Hj. Mahali. (2007). Bahasa dan masyarakat: unsur bahasa dalam budaya. Kota Kinabalu: Penerbit Universiti Malaysia Sabah.

Zaiempower. (2009). Variasi bahasa. Dicapai pada November 24, 2012 dari http://www.scribd.com/doc/17296789/variasi-bahasa#download.

Aitul Azma Zainon Hamzah. (2006, Disember). Slanga milik siapa?. Dewan Bahasa: 6 (12), 12-16.

Zulfifley Hamid, Ramli Md. Salleh & Rahim Aman. (2007). Linguistik Melayu. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Anda mungkin juga menyukai