Anda di halaman 1dari 13

KONSEP TAMADUN ISLAM

2.1.1 Pengertian Tamadun dan Tamadun Islam

Pengertian tamadun dan tamadun islam mempunyai perkaitan daripada aspek bahasa dan
istilah. Pengertian tamadun atau peradaban secara keseluruhannya dapat dilihat melalui sudut bahasa Arab,
sudut epistemology bahasa Inggeris dan Latin. Dari sudut bahasa Arab, terdapat beberapa istilah yang dirujuk
dalam konteks tamadun. Antara istilah-istilah tersebut ialah madaniah,tamadun, dan hadarah. Ibn Khaldun,
seorang sarjana Islam yang unggul dalam bidang ilmu kemasyarakatan Islam dalam karyanya Muqaddimah
telah menggunakan istilah umran. Umran digunakan dalam kajian tentang bandar-bandar atau ibu kota yang
memiliki kawasan tanah yang didiami dan penempatan, keadaan tinggal menetap, berkembang subur dan maju.
Selain itu, Ibn Khaldun juga menggunakan istilah hadarah sebagai berlawanan dengan istilah badi atau badiah.
Hadarah ialah satu daerah, kota, bandar, kampung atau tanah yang diusahakan. Dalam penggunaan bahasa Arab
moden masa kini, perkataan tamadun bererti memiliki ciri-ciri hidup bandar, dan kota-kota dipanggil mudun
yang memiliki cirri-ciri tamadun.

Dari sudut epistemology, istilah civilization dalam bahasa Inggeris berhubung kait dengan kemajuan dalam
kehidupan manusia yang membentuk peradaban dan tamadun. Ini menunjukkan, bahawa istilah civilization
yang dimaksudkan sebagai tamadun manusiawi lebih merujuk kepada kemajuan jati diri manusia di dalam
membangunkan kehidupan dalam pelbagai peringkat terutamanya diperingkat negara .

Selain daripada definisi di atas, terdapat di kalangan sarjana Islam yang memberikan definisi berhubung
dengan tamadun Islam. Di antara sarjana tersebut ialah Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Beliau telah
memberikan takrif tamadun Islam sebagai “ keadaan kehidupan insane bermasyarakat yang telah mencapai taraf
kehalusan tatasusila dan kebudayaan yang luhur bagi seluruh masyarakatnya”.

Tamadun Islam bersumberkan wahyu iaitu al-Quran dan al-Hadis (al-Sunnah) dan tamadun ini didirikan oleh
masyarakat yang digelar dan menggelarkan diri mereka sebagai Muslim. Ini bermakna, tamadun Islam tidak
didirikan atas peranan atau kepentingan sesuatu bangsa, budaya atau bersifat kebangsaan semata-mata.
Tamadun Islam didirikan dan didukung sama ada oleh bangsa Arab, Turki, Parsi, India, Sepanyol, Melayu dan
sebagainya yang dianggap saling melengkapi atau dikenali sebagai kesatuan ummah dan berpegang kepada
unsur penyatuan iaitu konsep tauhid.
2.1.2 Hubungan Tamadun dengan Kebudayaan

Istilah tamadun juga dapat dihubungkan dengan istilah kebudayaan. Namun begitu, antara tamadun
dengan budaya wujud jurang pengertian yang berbeza terutamanya dari segi jangka hayat, iaitu tamadun
mempunyai jangka hayat yang panjang dan berkekalan manakala budaya mempunyai jangka hayat yang pendek
dan sentiasa mengalami perubahan dan pembaharuan. Unsur-unsur kebudayaan yang berkekalan hayatnya akan
dianggap sebagai unsur-unsur tamadun.

Kebudayaan mengandungi beberapa unsur yang bersifat sejagat atau universal, iaitu yang terkandung
dalam semua kebudayaan di dunia ini. Antara unsur-unsur bersifat sejagat ini ialah pertama, peralatan dan
kelengkapan keperluan kehidupan manusia termasuklah pakaian, perlindungan (rumah), peralatan senjata, alat-
alat pengeluaran dan sebagainya. Kedua, system perekonomian dan mata pencarian kehidupan. Ketiga, system
kemasyarakatan, system keluarga, organisasi politik dan sebagainya. Keempat, bahasa sebagai alat komunikasi
sama ada bahasa secara lisan ataupun melalui system tulisan dan kelima, system ilmu pengetahuan.

Terdapat sekumpulan sarjana sains kemasyarakatan, antaranya pengikut aliran Max Weber, yang
membahagikan kebudayaan kepada dua kategori iaitu pertama, kebudayaan berbentuk kerohanian dan kedua,
kebudayaan berbentuk kebendaan. Kategori kedua, kebudayaan berbentuk kebendaan inilah yang dinamakan
civilization yang bermakna tamadun atau peradaban.

Berdasarkan ketamadunan Islam, kebudayaan Islam diertikan sebagai suatu cara kehidupan, cara berfikir
dan cara berasa ketakwaan dalam seluruh bidang kehidupan sekelompok manusia yang membentuk kesatuan
social dalam satu ruang dan waktu. Pembentukan kebudayaan Islam ini tunduk kepada peraturan yang telah
ditentukan melalui sumber-sumber asas perundangan Islam, iaitu al-Quran dan al-Hadis. Sekiranya berlaku
sebarang pertentangan antara kebudayaan denan Islam, maka ia dianggap sebagai kebudayaan bukan Islam.
MATLAMAT TAMADUN ISLAM

SECARA UMUM

Secara umumnya matlamat utama tamadun Islam ialah untuk mengangkat Islam sebagai al-
Deen iaitu satu cara hidup yang lengkap kepada manusia. Ia juga akan memaparkan keadilan sistem
pemerintahan islam yang pernah ditegakkan pada zaman Nabi Muhammad s.a.w, khulafa’ al-
Rashidin dan pada zaman pemerintahan islam yang seterusnya. Keadilan sistem pemerintahan islam
pada zaman awal kebangkitan Islam dapat dibuktikan melalui fakta-fakta sejarah yang telah
disepakati oleh sejarawan. Ciri-ciri ketamadunan Islam yang telah dipaparkan melalui sistem
pemerintahan Islam daripada pelbagai zaman sewajarnya difahami dan dihayati oleh semua
generasi umat Islamdan bukan Islam. Ciri-ciri bersifat alat Bantu yang diperlukan dan dilaksanakan
akan dapat melahirkan matlamat tamadun Islam dalam aspek-aspek berikut:

2.2.1 Hubungan Manusia dengan Allah

Tamadun Islam mengatur dan menyempurnakan hubungan manusia dengan Penciptanya iaitu Allah
S.W.T melalui rukun iman yang enam, rukun islamyang lima, doa,zikir, taubat, tasbih, jihad, amar
makruf, nahi mungkar dan sebagainya.

Ia juga dikenali sebagai ibadat khusus. Ibadat sebenarnya merupakan fungsi utama manusia sebagai
khalifah Allah S.W.T di atas muka bumi ini.Hal ini diperjelaskan oleh Allah S.W.T dalam ayat, terjemahannya
:Ingatlah ketika Tuhan mula berkata kepada malaikat bahawa

Aku akan melantik (manusia) khalifah di bumi. Mereka menyampuk ;

Adakah patut Engkau jadikan orang yang akan merosak dan

melakukan pembunuhan padanya? Sedangkan kami

sentiasa bertasbih memujiMu dan memuliakan Kamu.

(Allah berfirman ) sesungguhnya Aku lebih mengetahui

tentang sesuatu yang kamu tidak tahu.

(surah al-Baqarah 2:30)


Beribadat kepada Allah S.W.T merupakan tanda kesyukuran manusia terhadap kurniaan rahmat dan nikmat
Allah S.W.T yang tidak terhingga dan ternilai banyaknya. Kehidupan manusia di dunia ialah sementara dan
merupakan jambatan untuk menuju ke akhirat . Kehidupan akhirat lebih kekal dan abadi. Hidup di dunia terhad
dalam jangka masa tertentu yang diberikan oleh Allah S.W.T kepada manusia untuk menyediakan bekalan
secukupnya untuk kehidupan akhirat yang lebih kekal dan abadi. Bekalan itu ialah beribadat kepada-Nya.

Dalam beribadat kepada Allah S.W.T mestilah semata-mata kepada-Nya, mematuhi syariah Islamiah dan
hubungan langsung tanpa wujud sebarang perantaraan sama ada patung, manusia, jin, malaikat dan sebagainya.
Demikian juga tidak perlu menggunakan roh orang yang telah mati atau keramat daripada pelbagai bentuk.

2.2.2 Hubungan Manusia dengan Manusia ( Hablumminannas )

Tamadun Islam juga bermatlamat untuk mengatur dan menyempurnakan hubungan manusia dengan manusia
yang meliputi pembentukan sahsiah, keluarga, hidup berjiran, pembentukan masyarakat, pembentukan institusi
pemerintahan, hal pentadbiran, kegiatan ekonomi,pendidikan, kebudayaan dan segala bidang kehidupan
manusia. Ia juga dikenali dengan ibadat umum.

Setiap manusia diberikan penghormatan oleh Allah S.W.T dalam kadar yang sama. Menyedari hakikat
persamaan taraf ini, adalah menjadi tanggungjawab manusia untuk bermu’amalah secara yang telah ditentukan
oleh Allah S.W.T kerana antara satu sama lain adalah khalifah disisi Allah S.W.T. Mereka yang paling mulia di
sisi Allah S.W.T ialah mereka yang bertakwa kepada-Nya. Hal ini dijelaskan oleh Allah S.W.T dalam ayat,
terjemahannya :

Wahai manusia, Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang
perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-
mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling
bertakwa antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha mengenal.

( Surah al-Hujuraat 49:13 )


Hubungan manusia dengan manusia juga penting bagi menyempurnakan kemuliaan kejadian
manusia itu sendiri. Kesempurnaan hidup masyarakat manusia sebagai khalifah Allah S.W.T di atas
muka bumi hanya dapat dilaksanakan melalui mu’amalah secara Islam kerana Islam sentiasa
memperjuangkan kesatuan umat manusia.

Hablumminannas juga menginsaf dan menyedarkan manusia agar sentiasa ingat dan bersyukur kepada
Allah S.W.T apabila dikurniakan pangkat, kuasa, harta,nikmat dan rahmat. Mereka yang bersyukur dengan
nikmat Allah S.W.T akan meningkatkan lagi ibadat kepada-Nya. Jika manusia itu kufur dengan nikmat Allah
S.W.T dengan meningkatkan ibadat dan melakukan maksiat, mereka dijanjikan pembalasan azab yang pedih
sebahagiannya di dunia lagi dan yang pasti di akhirat.

2.2.3 Hubungan Manusia dengan Alam Sekitar

Tamadun Islam juga amat menitik beratkan dan turut mengatur serta menyempurnakan
hubungan antara manusia dengan alam sekitarnya. Cara yang terbaik bagaimana manusia itu
bertindak apabila berhubungan dengan alam sekitarnya dititikberatkan oleh tamadun Islam.

Di atas muka bumi contohnya terdapat pelbagai haiwan yang liar dan jinak yang boleh diternak bagi
dijadikan makanan yang enak dan berkhasiat. Tumbuh-tumbuhan pula dijadikan oleh Allah S.W.T untuk
membolehkan manusia mendapat kenyamanan berteduh di bawahnya,dijadikan bahan binaan rumah, perabot
dan buahnya pula boleh dijadikan makanan yang lazat.

Di dalam perut bumi pula terdapat pelbagai galian yang boleh digunakan untuk pelbagai tujuan dalam
industri berat yang menghasilkan pelbagai kenderaan, alat binaan rumah, perhiasan dan lain-lain lagi. Hal ini
diperjelaskan oleh Allah S.W.T dalam ayat, terjemahannya :

Dan ialah yang telah menurunkan air hujan dari langit lalu Kami tumbuhkan dengan air itu segala
macam tumbuh-tumbuhan,maka Kami keluarkan daripada tumbuh-tumbuhan itu tanaman-tanaman
yang menghijau. Kami keluarkan daripada tanaman yang menghijau itu butir-butir yang banyak dan
daripada mayang kurma yang mengurai tangkai-tangkai yang menjurai. ( Dan daripada air itu Kami
keluarkan pula ) kebun-kebun anggur dan Kami keluarkan pula zaitun dan delima yang serupa dan
yang tidak serupa. Perhatikanlah buah-buahnya pada waktu pohonnya berbuah dan ( perhatikan
pulalah ) kematangannya.Sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda-tanda

( kekuasaan Allah ) bagi orang yang beriman.


( Surah al-An’aam 6:99 )

Tamadun Islam mewajibkan agar manusia yang mengusahakan sesuatu yang boleh membawa
kepada kesejahteraan kehidupan mereka di atas muka bumi ini melalui sumber alam yang sedia
ada. Dalam masa yang sama mereka berkewajipan memastikan agar kegiatan itu tidak merosakkan
dan memusnahkan alam sekitarnya serta membunuh kehidupan lain seperti haiwan dan tumbuh-
tumbuhan. Pembangunan yang digalakkan ialah yang mesra alam.

Sesungguhnya tamadun Islam itu bermatlamatkan penyempurnaan hubungan manusia dengan


Allah S.W.T, hubungan manusia dengan manusia dan hubungan manusia dengan alam sekitarnya.
Jika matlamat ini tercapai tidak syak lagi terbinalah tamadun yang aman, sejahtera, makmur, dan
bahagia yang digambarkan oleh al-Quran.

2.3 DASAR TAMADUN ISLAM

Dasar utama tamadun Islam ialah untuk memelihara dan memulihkan serta menghormati hak asasi
manusia yang telah dianugerahkan Allah S.W.T kepada hamba-hamba-Nya di dunia ini, termasuklah
lain-lain makhluk ciptaan-Nya. Dasar utama tamadun Islam ini ditentukan, didorong dan didukung
oleh beberapa aspek penting iaitu memelihara keselamatan agama, memelihara nyawa atau
jiwa, memelihara keselamatan akal, memelihara maruah atau keturunan, memelihara harta
benda dan memelihara hak dan kebebasan

2.3.1 Memelihara Keselamatan Agama

Salah satu daripada fitrah semula jadi manusia ialah memikirkan hal-hal ghaib, alam roh dan alam ketuhanan.
Sejak kelahiran Adam a.s hingga hari ini, beribu agama kalau tidak berjuta telah menjelma di dunia ini. Sama
ada agama yang hak iaitu wahyu daripada Allah S.W.T yang berakhir dengan Islam atau agama yang batil iaitu
ciptaan manusia yang menyembah sesuatu yang lain daripada-Nya.

Oleh kerana fitrah semula jadi manusia itu yang sentiasa hendak beragama, maka Allah S.W.T telah
memberikan kebebasan beragama. Soal penganutan agama-agama adalah menjadi hak asasi manusia. Antara
satu sama lain tidak boleh memaksa atau menggunakan kekerasan untuk mempercayai apa yang dianutinya.
Satu ungkapan pendek tetapi penuh bererti telah difirmankan oleh Allah S.W.T dalam al-Quran, terjemahannya:
Tidak ada paksaan dalam beragama.

( Surah al-Baqarah 2:256 )

Oleh kerana kesejahteraan masyarakat manusia ditentukan oleh setiap anggota masyarakat
itu sendiri, maka untuk tujuan mewujudkan suatu masyarakat yang adil, aman dan sejahtera,
setiap individu dikehendaki mematuhi dan beribadat serta menyerah diri kepada Allah S.W.T yang
maha Esa dengan mengerjakan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Lebih-lebih lagi secara pasti segala suruhan-Nya seratus peratus untuk kebaikan dan
kebajikan manusia sejagat. Sebaliknya meninggalkan segala larangan-Nya juga untuk memelihara
keselamatan agama, nyawa, akal, maruah, keturunan, harta benda, hak dan kebebasan. Jesteru itu
prinsip utama tamadun Islam ialah untuk memelihara keselamatan agama seperti pencegahan
berlakunya penyelewengan ajaran Islam contohnya ialah ajaran sesat dan budaya murtad.

2.3.2 Memelihara Nyawa atau Jiwa

Tamadun Islam juga berprinsipkan untuk menjamin keselamatan setiap nyawa atau jiwa daripada
pencerobohan manusia lain. Sebab itulah tamadun Islam melarang pembunuhan sama ada diri
sendiri atau diri orang lain. Sebaliknya pemeliharaan diri setiap manusia daripada mara bahaya
sentiasa digalakkan oleh tamadun Islam daripada sebarang tindakan yang boleh mencederakan
fizikal orang lain. Allah S.W.T menerangkan hal ini dalam ayat, terjemahannya:

Dan janganlah kamu membunuh bangsamu sendiri, Sesungguhnya Tuhan itu penyayang padamu.

( Surah an-Nisaa 4:29 )

Larangan membunuh telah diperketatkan lagi dengan memberi peringatan yang memberi
kesan yang mendalam kepada diri dan psikologi setiap insane. Al-Quran telah terlebih dahulu
memberikan gambaran yang buruk terhadap perbuatan membunuh dengan memaparkan kesan
daripada jenayah itu.

Ia bukan sahaja bererti membunuh seorang manusia, tetapi bererti membunuh seluruh makhluk manusia.
Dalam erti kata seorang ialah sebahagian daripada makhluk manusia. Makhluk manusia itu ialah satu dalam erti
kata perpaduan, kesatuan dan kerjasama antara satu sama lain.
Mereka saling perlu-memerlukan untuk menyempurnakan perjalanan dan kelicinan hidup masyarakat manusia.
Sebab itulah membunuh walaupun diri sendiri melambangkan pembunuhan makhluk manusia pada
keseluruhannya. Hal ini disebabkan, ia telah mengurangkan satu anggota masyarakat. Larangan ini dijelaskan
oleh Allah S.W.T dalam ayat, terjemahannya:

Barang siapa yang membunuh seorang manusia bukan kerana hukuman pembunuhan atau kerana
membuat bencana dalam negeri, maka ertinya orang itu talah membunuh manusia seluruhnya.

( Surah al-Maa’idah 5:32 )

2.3.3 Memelihara Keselamatan Akal

Oleh kerana mulia dan tingginya darjat akal yang membezakan manusia daripada haiwan, maka
tamadun Islam berusaha untuk memelihara keselamatan, kewarasan dan kesejahteraannya. Sebab
itulah tamadun Islam telah mengharamkan minuman keras kerana ia boleh menyebabkan
berlakunya pencemaran kewarasan fikiran. Hal ini dijelaskan oleh Allah S.W.T dalam ayat,
terjemahannya :

Wahai orang yang beriman! Sesungguhnya minuman arak, berjudi, (berkorban) untuk berhala,
mengundi nasib dengan panah adalah perbuatan keji, termasuk perbuatan syaitan. Maka
jauhilah perbuatan itu, agar kamu mendapat keberuntungan.

( Surah al-Maa’idah 5:90 )

2.3.4 Memelihara Maruah Atau Keturunan

Fitrah semula jadi manusia selanjutnya ialah suka kepada berketurunan dan mempunyai cahaya
mata. Malangnya sejarah telah mencatatkan bahawa sejak zaman jahiliah budaya pembuangan dan
pembunuhan anak berleluasa. Untuk memelihara generasi manusia daripada pupus, tamadun Islam
memperundangkan sesuatu untuk menyekat kemungkinan budaya itu terus berlaku.

Pada masa kini, dunia dikejutkan dengan pelbagai gejala social seperti budaya bohsia dan bohjan yang
berakhir dengan pengguguran dan pembuangan anak luar nikah dan sebagainya. Untuk memelihara
kesinambungan generasi manusia, tamadun Islam telah mengharamkan segala punca yang membawa kepada
zina dan perbuatan pengguguran dan pembuangan anak. Hal ini dijelaskan dalam ayat, terjemahnnya :
Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takut kemiskinan. Kami yang akan
memberi rezeki kepada mereka dan juga kepada kamu. Sesungguhnya membunuh mereka satu dosa
yang besar.

( Surah al-Israa’ 17:31 )

2.3.5 Memelihara Harta Benda

Fitrah semula jadi manusia juga ialah suka untuk mencari harta kekayaan. Jesteru itulah tamadun
Islam menggalakkan manusia melakukannya. Hal ini dijelaskan oleh Allah S.W.T dalam ayat,
terjemahannya :

Dan tuntutlah apa yang didatangkan oleh Allah S.W.T kepada kamu untuk hari akhirat dan janganlah
kamu lupa habuan kamu di dunia. Buatlah baik sebagaimana Allah berbuat baik kepada kamu dan
janganlah kamu melakukan kerosakan di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang
yang melakukan kerosakan.

( Surah al-Qasas 28:77 )

Setelah jaminan kebebasan untuk mencari harta benda dengan cara yang halal diperundangkan,
harta yang diusahakan itu mestilah halal dari segi cara ia diperoleh, barangan yang terlibat dan
cara ia dibelanjakan. Hal ini diperjelaskan oleh Allah S.W.T dalam ayat, terjemahannya :

Orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak membelanjakannya ke jalan Allah, maka
hendaklah diberikan khabar balasan dengan azab yang pedih. Pada hari mereka dibakar muka,
rusuk dan punggung mereka, seraya dikatakan kepadanya inilah harta bendamu yang kamu simpan
untuk diriku. Maka rasailah balasan yang kamu simpan dahulu.

( Surah at-Taubah 9:34 -35 )

Untuk memelihara keselamatan harta benda yang menjadi hak milik halal bagi individu, tamadun
Islam mengharamkan sebarang bentuk pencurian daripada sekecil-kecil harta seperti jarum
hinggalah sebesar-besarnya. Hal ini diperjelaskan oleh Allah S.W.T dalam ayat, terjemahannya :

Lelaki dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan kedua-duanya sebagai pembalasan daripada
apa yang mereka kerjakan dan sebagai seksaan daripada Allah.

( Surah al-Maa’idah 5:38 )


2.3.6 Memelihara Hak Dan Kebebasan

Tamadun Islam juga memelihara hak dan kebebasan manusia yang dibahagikan kepada dua
bahagian utama iaitu hak Allah S.W.T dan hak manusia :

HAK ALLAH

Kebebasan yang ada kaitannya dengan hal Allah S.W.T merupakan kebebasan manusia daripada
sebarang bentuk pengabdian diri selain Allah S.W.T dalam erti kata yang lain, konsep kebebasan
yang ada kaitannya dengan Allah S.W.T ialah pentauhidan terhadap-Nya. Hal ini diperjelaskan oleh
Allah S.W.T dalam ayat, terjemahannya :

Kepada-Mu lah tempat kami sembah dan kepada-Mu lah juga tempat kami meminta pertolongan.

( Surah al-Fatihah 1:5 )

Tamadun Islam juga menjamin hak dan kebebasan berkaitan dengan hak Allah S.W.T melalui
tiga cara :

Kebebasan daripada Taklid

Telah menjadi kegemaran dan tabiat manusia itu sendiri yang suka mengikut apa yang telah
menjadi tradisi bagi mereka. Tradisi dan adat pusaka yang bertentangan dengan akidah,syarak dan
akhlak ialah belenggu yang membendung dan mengikat akal manusia daripada berfikir secara
rasional dan matang. Tamadun Islam datang untuk memerdekakan manusia daripada belenggu yang
menindas akal mereka.

Pematuhan kepada isme-isme yang beraneka corak pada masa kini seperti sekularisme dan
sebagainya juga merupakan penjajahan akidah dan pemikiran yang sentiasa diperjuangkan
penghapusannya oleh tamadun Islam. Isme-isme itu hanya buah fikiran pendeta dan ahli falsafah
yang sesat. Hal ini diperjelaskan oleh Allah S.W.T dalam ayat, terjemahannya :

Mereka menjadikan orang yang alim dan pendeta-pendeta mereka sebagai Tuhan selain Allah S.W.T.

( Surah at-Taubah 9:31)

Alam Bukti Kewujudan Allah S.W.T

Sebelum manusia sampai ke tahap penerimaan segala yang terkandung dalam al-Quran tentang
sifat ketuhanan Allah S.W.T, mereka dikehendaki meneliti, merenung, berfikir dan menjalankan
penyelidikan terhadap kejadian alam kerana dengan berbuat demikian kelak akan mencetuskan
keimanan yang kuat dan unggul terhadap kekuasaan dan keluasan ilmu-Nya.

Kebebasan daripada Kesesatan

Akal manusia hanya terbatas kekuasaannya di ruang alam benda. Sedangkan perkara-perkara ghaib,
alam roh dan hal ketuhanan bukan urusan dan bidang yang dapat diterokai oleh akal. Jesteru itu,
mahu tidak mahu, dia mesti patuh dan menyerah diri kepada bimbingan al-Quran yang merupakan
wahyu daripada Allah S.W.T.

HAK MANUSIA

Kebebasan yang ada kaitannya dengan hak manusia daripada kaca mata tamadun Islam ialah seperti
berikut :

Kebebasan Bergerak

Kemerdekaan bergerak dan bertindak merupakan satu perkara yang menjadi hak asasi manusia
yang dijamin oleh tamadun Islam. Kebebasan bergerak dan bertindak yang dijamin oleh tamadun
Islam selagi tidak bertentangan dengan akidah, syarak dan akhlak.

Kebebasan Bersuara

Islam menganggap bahawa kebebasan bersuara dan kebebasan mengeluarkan buah fikiran
merupakan hak asasi manusia. Setiap manusia mempunyai bakat semula jadi yang dapat
diperkembangkan sehingga boleh mengeluarkan fikiran yang bernas dan bermutu. Buah fikiran yang
bermutu inilah yang menghasilkan tamadun yang bermutu tinggi asalkan ia berasaskan kepada
akidah, syarak dan akhlak.

Kebebasan Berpersatuan

Kewajipan melaksanakan konsep syura dalam Islam ialah bukti yang nyata bahawa umat Islam
diberi kebebasan untuk berhimpun dan berpersatuan. Hala ini dijelaskan oleh Allah S.W.T dalam
ayat, terjemahannya :

Dan bagi orang yang menerima (mematuhi) suruhan-Nya dan mendirikan sembahyang dan urusan
mereka (diputuskan) dengan syura antara mereka.

( Surah asy-Syura 42:38 )


Kebebasan Beragama

Tamadun Islam memperjuangkan kebebasan beragama seperti yang dijelaskan oleh Allah S.W.T
dalam ayat, terjemahannya:

Tiada paksaan (memasuki) agama Islam. Sesungguhnya telah jelas yang benar dari jalan yang salah.

( Surah al-Baqarah 2:256 )

Dakwah berhikmah diwajibkan oleh Islam iaitu dengan pujukan dan dakwah yang lemah
lembut sahajalah merupakan jalan yang paling baik untuk menyeru mereka untuk menganut Islam.
Hikmah yang dimaksudkan di sini ialah memberikan dalil-dalil yang jelas yang dapat menghilangkan
segala keraguan tentang kebenaran Islam.

Sesungguhnya tamadun Islam itu mempunyai prinsip yang jelas dan bertepatan dengan fitrah
semulajadi manusia. Ia memperjuangkan pemeliharaan keselamatan agama, nyawa, jiwa, akal
fikiran, maruah, keturunan, harta benda, hak dan kebebasan. Sebab itulah tamadun Islam
mengatasi semua tamadun yang pernah lahir di atas muka bumi ini sama ada sebelum atau
selepasnya.

2.4 SIFAT-SIFAT TAMADUN ISLAM DAN CIRI-CIRI UTAMA ISLAM

2.4.1 Sifat-Sifat Tamadun Islam

Tamadun Islam, dalam proses kelahiran dan perkembangannya mengandungi beberapa bahagian
atau dianggap unik berbanding tamadun-tamadun dunia lain. Sifat-sifat tamadun Islam terbahagi
kepada lima iaitu :

Pertama, sejagat. Kesejagatan tamadun Islam bermakna ia tidak terikat kepada bangsa
tertentu, sebaliknya seluruh umat manusia yang berpegang kepada al-Din.

Kedua, sifat tamadun Islam itu ialah terbuka dan tidak bersifat tertutup. Keterbukaan
bermakna tamadun Islam yang dilahirkan dan dicipta itu tidak dibatasi oleh had-had tertentu tetapi
masih diletakkan di atas garis panduan syariat Islam yang tetap dan berkembang selaras dengan
perubahan masa. Tamadun Islam terbuka kepada semua Tamadun yang tidak bercanggah dengan
syariat Islam.
Ketiga, tamadun Islam juga bersifat sepanjang zaman iaitu berkesinambungan dan
mengalami proses kesinambungan hingga masa kini. Perkembangannya bermula dengan turunnya
wahyu pertama, Surah Al-‘Alaq dan tidak pernah berhenti sehingga hari kiamat.

Keempat, tamadun Islam juga bersifat toleransi terhadap sistem agama atau kepercayaan
atau kebudayaan lain. Tamadun Islam pernah berkembang dalam dunia yang tidak dikenali , tetapi
tetap mempertahankan toleransi. Masyarakat buka Islam yang berada dalam pentadbiran dan
perkembangan tamadun Islam tidak dilarang untuk mengamalkan agama dan kepercayaan mereka.
Ini sebagai usaha untuk mengekalkan hubungan baik dalam masyarakat dan kepentingan kestabilan.

Kelima, tamadun Islam mempunyai ciri-ciri kesatuan dalam kepelbagaian. Sebarang bentuk kemajuan
dan pencapaian dalam tamadun Islam,dan dalam pelbagai bidang semuanya di bawah kesatuan akidah Islam
yang menjurus kearah meng-Esakan Tuhan, Allah Pencipta Sekalian Alam. Penemuan dan hasil ciptaan baru
yang dicapai dalam tamadun manusia semuanya dikembalikan kepada kebesaran dan keagungan Tuhan
Pencipta seluruh Alam.

2.4.1 Ciri-ciri Utama Tamadun Islam

Ciri-ciri utama tamadun Islam juga disebut sebagai ciri-ciri khusus Islam. Diantara ciri-ciri utama
Islam ialah menyeluruh (sempurna).Islam meliputi seluruh aspek kehidupan manusia termasuklah
undang-undang (syariah), akidah, akhlak, hubungan dengan Allah S.W.T dan hubungan sesama
manusia.

Ia juga menekankan keadilan untuk semua insan, sama ada Islam atau bukan Islam, kawan
atau lawan dan sama ada mempunyai hubungan keluarga atau sebaliknya. Dalam bidang
kehakiman, tamadun Islam telah terbukti dapat mengembalikan hak kepada yang berhak,
sebagaimana dalam sejarah.

Ciri utama yang kedua bagi agama Islam ialah umum. Tamadun Islam bersesuaian dengan
semua orang setiap masa dan empat kerana ciri umumnya yang bersifat sejagat dan terbuka.

Agama Islam juga mempunyai ciri yang bersifat tetap dan anjal. Ini bermakna Islam
merupakan suatu yang tetap dan tidak berubah dari segi tujuan dan matlamat pembinaan tmadun
manusia,tetapi anjal dari sudut cara dan teknik perlaksannanya.

Ciri utama Islam yang berikutnya adalah ideal dan realistic. Islam sentiasa menekankan dan
meletakkan manusia di tingkat kesempurnaan yang paling tinggi dan dapat dicapai, dengan mengawasi seluruh
kegiatan manusia agar tidak bercanggah dengan jaran Allah S.W.T.