Anda di halaman 1dari 5

belia dan masyarakat

KEGIATAN PERLUMBAAN MOTOSIKAL HARAM @MAT REMPIT: SEJAUH MANAKAH PENGLIBATAN REMAJA DALAM KEGIATAN INI PENGENALAN Dewasa ini, negara kita sibuk dengan perkembangan dan kemajuan dalam bidang teknologi maklumat, sehinggakan kita hampir terlupa dengan permasalah sosial yang sudah lama melanda remaja. Masalah sosial merupakan satu penyakit yang masih lagi tiada ubatnya. Masalah ini bukan sahaja membimbangkan ibubapa, malah guru-guru, masyarakat sekeliling dan negara. Jika tidak dibendung dengan segera, masalah ini akan terus meruntuhkan moral dan jati diri remaja. Masalah ini membawa impak negatif kepada pembangunan dan kemajuan negara kita pada masa hadapan. Kebanyakan masalah sosial yang berlaku melibatkan remaja-remaja yang kebanyakannya berusia belasan tahun. Sebagai tunggak harapan negara, adalah perlu bagi remaja menyediakan diri secukupnya pada hari ini supaya mereka dapat berperanan apabila tiba masanya. Stanley Hall (1916) yang disifatkan sebagai 'Father of adolescence menyatakan bahawa masa remaja iaitu perubahan dari alam kanak-kanak ke alam dewasa disifatkan sebagai tempoh ketegangan dan tertekan. Oleh itu, masa remaja sering dikaitkan dengan permasalahan sosial. Permasalahan sosial kini bukan sahaja berlaku di kawasan-kawasan bandar malahan ia turut berlaku di kawasan-kawasan kampung yang dulu terkenal dengan masyarakat yang bersopan santun dan hormat menghormati. Salah satu permasalahan sosial yang semakin menular dan sukar dibendung ialah penglibatan remaja dalam perlumbaan motosikal haram. Satu fenomena perlumbaan motosikal haram ini terkenal di Malaysia dengan panggilan Mat Rempit. Terma Mat Rempit di Malaysia bermaksud individu yang menyertai perlumbaan haram menggunakan motosikal berkuasa kecil seperti kapcai atau skuter yang di ubah suai tanpa kelulusan dari pihak berkuasa (Rozmi Ismail, 2004/2005). Beberapa dekad yang lepas mereka yang terlibat dalam perlumbaan yang laju, tanpa mengikut adab jalan raya dan dipanggil pelumba haram. Mereka ini tidak menganggu orang awam. Selepas beberapa tahun, fenomena lumba haram ini melalui evolusi nama dan kegiatan mereka. Nama Mat Rempit mula diperkenalkan dan sudah pasti nama ini sinonim dengan aksi ganas mereka ketika beraksi di jalan raya. Masyarakat kita memang terkenal dengan label-melabel. Jika diimbas kembali pada masa dulu heboh dengan gejala remaja perempuan yang suka berpelesaran dan dinamakan Bohsia manakala bagi jantan pula dipanggil Bohjan. Kini, wujud pula label Mat Rempit, dan gelaran ini sememangnya bersesuaian dengan tingkah laku mereka yang melanggar norma-norma masyarakat. Gejala lumba haram dan merempit sangat sukar dibanteras, bahkan merebak sehingga ke seluruh pelosok termasuk FELDA dan kampung-kampung. Jika kita berada di kampung kita dapat saksikan budak-budak kampung sekarang ini semuanya mahu menunjukkan kehandalan untuk menjadi Mat Rempit. Mereka seringkali menunggang secara berkumpulan dan merbahaya serta membuat bising di malam hari. Apa yang mengejutkan lagi, budak-budak kampung turut menjadikan basikal sebagai kenderaan untuk berlumba dan melakukan aksi-aksi berbahaya. Berdasarkan pandangan rambang, lumba haram merupakan produk gejala sosial yang hanya wujud di Malaysia sahaja. Di negara-negara lain, hatta negara jiran seperti Thailand, Singapura, malah Vietnam dan Laos, tidak ada kedengaran remaja mereka terlibat dalam perlumba haram, walhal di negara-negara ini, motosikal merupakan kenderaan utama. Inilah persoalan utama mengapa gejala ini hanya wujud di negara kita dan banyak berlaku di kalangan kaum melayu yang merupakan kaum majoriti di negara ini. Bagi menjawab persoalan ini kita seharusnya melihat dari akar umbi jenayah sosial ini berlaku iaitu dari intitusi kekeluargaan kerana institusi kekeluargaan merupakan pengaruh terbesar dalam permasalahan sosial remaja. FENOMENA MAT REMPIT Perkataan rempit sebenarnya diambil dari bahasa inggeris ramp-it yang menggambarkan pelumba memeras minyak di jalan raya (litar) yang akhirnya menjadi nama jolokan rempit bagi kumpulan terlibat (Rozmi Ismail, 2004). Fenomena penglibatan remaja dalam gejala lumba haram atau mat rempit begitu cepat berkembang selari dengan perkembangan jaringan jalan raya yang semakin baik di Malaysia. Malaysia dikatakan mempunyai jaringan jalan raya yang terbaik di Asia Tenggara selepas Singapura. Walau bagaimanapun, kemudahan terbaik yang disediakan itu telah disalahgunakan oleh segelintir golongan yang dipanggil mat rempit ini untuk dijadikan sebagai medan perlumbaan. Sejak kebelakangan ini, fenomena mat rempit menjadi semakin membimbangkan khusunya apabila didapati bahawa aktiviti yang bahaya ini banyak melibatkan mereka yang berumur antara 18 hingga 25 tahun (Laporan Polis Trafik, 1998). Perlumbaan haram bermula daripada bentuk yang agak mudah iaitu dengan menguji kepantasan. Misalnya, pelumba yang sampai ke garisan penamat terlebih dahulu merupakan pemenang. Kini perlumbaan menjadi semakin mencabar. Perlumbaan yang diadakan sekarang ini bukan sahaja melibatkan kepantasan tetapi juga melibatkan aspek kemahiran dan keberanian seperti mengangkat tayar (Berita Harian, 29 Mac 2009). Walau bagaimanapun terdapat istilah yang di guna pakai oleh mat rempit mengenai kemahiran ini iaitu weelieyang merupakan kemahiran mengangkat tayar hadapan semasa motorsikal sedang laju dan weekang iaitu kemahiran mengangkat tayar belakang. Lebih mencanar lagi, mat rempit kini akan membawa pembonceng terutamanya pembonceng perempuan yang dikenali sebagai minah rempit semasa melakukan kemahiran-kemahiran atau aksi berbahaya ini terutamanya apabila melakukan aksi weelie. Bagi sesetengah pelumba, berlumba sewaktu kesesakan lalulintas dianggap sebagai sesuatu yang menyeronokkan kerana mereka boleh mempamerkan keebatan mengendalikan motosikal kepada pengguna jalan raya yang lain. Selain itu aktiviti mat rempit sering dikaitkan dengan masalah sosial lain seperti pengambilan alkohol, merompak, merogol, dan banyak lagi salah laku yang berpunca daripada gejala mat rempit ini. Ramai juga mat-mat rempit ini dikatakan terlibat dalam aktiviti perjudian dan hubungan seks liar. Selain itu mereka juga sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan wang pertaruhan dan menjadikan wanita sebagai hadiah perlumbaan. Aktiviti mereka bukan sahaja melanggar batas-batas norma dan nilai sosial masyarakat dan mereka telah membawa satu perubahan cara hidup yang menjurus kepada satu petumbuhan subbudaya baru yang sememangnya tidak diterima oleh norma-norma masyarakat. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Rozimi Ismail (2004) yang melakukan kajian terhadap mat rempit mendapati ada diantara mat rempit ini melakukan seks di atas motorsikal dengan pasangan mereka yang dikenali dengan panggilan minah rempit. Tindakan mereka ini merupakan sesuatu yang pelik dan agak mustahil, tetapi bagi sesetengah pelumba motosikal haram atau mat rempit, itu perkara biasa bahkan menjadi kebanggaan kerana ia melambangkan kehebatan sesama mereka. Tindakan tidak bermoral ini adalah berdasarkan pengakuan sebenar mat rempit yang di soal selidik dalam kajian oleh Rozimi ismail (2004) ini. STATISTIK PENGLIBATAN

Pelumba-pelumba haram tidak tertumpu di satu-satu kawasan atau negeri, malah didapati aktiviti ini dilaporkan berlaku hampir di seluruh negara. Pihak polis trafik telah membahagikan kawasan perlumbaan kepada beberapa zon iaitu zon tengah, zon utara, zon selatan, zon Sabah dan zon Sarawak. Zon yang paling banyak sekali kes perlumbaan motosikal haram ialah zon tengah dan zon utara iaitu meliputi negeri Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak. Kajian oleh Rozmi (2004) menunjukkan majoriti mat rempit bekerja sebagai budak pejabat, penghantar surat, pekerja pengeluaran, mekanik dan juga peniaga kecil. Isu Mat Rempit adalah isu sosial yang perlu ditangani dengan dasar dan pelan tindakan yang sesuai. Serbuan dan tangkapan yang dilakukan oleh pihak polis menunjukkan bahawa kebanyakkan remaja yang terlibat dalam perlumbaan haram adalah di bawah 21 tahun. Misalnya penangkapan yang dilakukan di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Raja Laut Kuala Lumpur menunjukkan 23 dari 28 orang yang ditangkap adalah remaja berumur bawah 21 tahun (The Star 28 Ogos 2000). Selain dari faktor umur, etnik juga menjadi isu utama di mana kebanyakan yang terlibat dalam gejala ini adalah kaum Melayu. Laporan yang diperolehi dari pihak polis menunjukkan majoriti pelumba haram adalah Melayu. TEORI-TEORI PSIKOLOGI MENGENAI GEJALA INI. Terdapat beberapa teori yang boleh menhuraikan fenomena ini iaitu personaliti, dan teori pembelajaran sosial. I) Teori Personaliti. Terdapat pelbagai penjelasan dan dimensi-dimensi yang wujud dalam personaliti manusia khususnya yang berkaitan dengan keterlibatan dalam masalah sosial. Teori personaliti yang terkenal ialah teori Eysenck (1964) telah mengemukan tiga jenis dimensi personaliti iaitu extroversi lawan introversi (E), neurotisme lawan emosi stabil (N) dan psikotisisme lawan kawalan impuls (P). Shultz dan Shultz (1998) ada menyatakan bahawa mereka yang mempunyai tret personaliti E yang tinggi adalah ekstrovert iaitu yang lebih kepada dunia luar, suka bersosial, mengikut kehendak hati dan dominan manakala introvert pula berkelakuan sebaliknya. Eysenck dan Wilson (1969) menyatakan ekstrovert (E) adalah bagi individu yang suka bersosial, bertenaga, dan aktif secara fizikal dan optimistik, manakala introvert pula bersikap lebih senyap, pasif dan aktif secara mental dan pesimistik. Selain itu Shultz dan Shultz(1998) turut menyatakan neurotisisme(N) sebagai tret individu yang murung, tidak rasional, cemas dan tegang. Manakala bagi tret psikotisisme (P) pula merujuk kepada individu yang bersifat ganas, anti sosial, berfikiran tegas, dingin dan pentingkan diri sendiri. Mereka turut zalim, bermusuhan dan tidak sensitif kepada perasaan orang lain. Oleh itu, berdasarkan dimensi-dimensi yang di buat oleh Eysenck berkaitan personaliti individu menunjukkan individu yang melakukan kegiatan perlumbaan haram atau mat rempit ini dikatakan lebih cenderung mendapat markah tertinggi dalam skala E, P dan juga N (Eysenck, 1964,1970 & 1977 dalam Rushton dan Chrisjohn, 1981). II) Teori Pembelajaran Sosial Dari perspektif pembelajaran, Bandura (1973) telah mengemukakan teori ini dan mendefinisikannya sebagai interaksi hubungan yang berbeza dengan peneguhan yang berbeza melalui interaksi individu dengan orang lain yang diteguhkan bagi menghasilkan pembelajaran tingkah laku devian dan bukan devian (Pagelow, 1984). Bandura (1973) menggambarkan tingkah laku manusia sebagai timbal balik iaitu tingkah laku manusia adalah dikawal oleh individu melalui proses kognisi dan juga persekitaran melalui kejadian-kejadian yang berbentuk rangsangan sosial. Ciri penting dalam teori Bandura (1973) ialah pembelajaran melalui pemerhatian. Beliau menyatakan bahawa manusia belajar melalui peneguhan vikarious iaitu pembelajaran sesuatu tingkah laku manusia dihasilkan daripada pemerhatian tingkah laku individu lain dan juga akibat daripada bertingkah laku sedemikian. Akan tetapi, beliau turut menekankan proses kognitif dalam mempengaruhi pembelajaran sesuatu tingkah laku. Menurutnya, manusia tidak akan meniru tingkah laku individu lain secara automatik sebaliknya akan membuat jangkaan implikasi tindakan demikian sebelum membuat keputusan untuk meniru. Terdapat beberapa faktor yang menpengaruhi permodelan atau peniruan sesuatu tingkah laku. Salah satu faktor yang mempengaruhi permodelan ialah ciri-ciri model tersebut. Remaja akan lebih cenderung dipengaruhi oleh model yang serupa dengannya seperti kesamaan dalam segi umur, jantina dan sebagainya. Hal ini dapat dilihat berdasarkan kebanyakan mat rempit adalah remaja yang berumur antara 17 tahun hingga 23 tahun. Selain itu, sesuatu model yang memerlukan kepakaran juga akan lebih mendapat perhatian khasnya golongan individu yang mempunyai kepercayaan terhadap kebolehannya untuk meniru tingkah laku tersebut. Ini kerana keupayaan melakukan aktiviti yang memerlukan kemahiran ini dianggap akan meningkatkan status pengamal. Kemahiran-kemahiran seperti aksi weelie dan weakang yang dipamerkan oleh mat rempit ini mendorong remaja-remaja lain untuk terlibat dalam aktiviti mat rempit ini. Hal ini dapat dillihat kanak-kanak menggunakan basikal mereka melakukan aksi berbahaya ini terutamanya di kawasan kampung dan taman-taman perumahan. Ganjaran yang diperolehi hasil daripada sesuatu tingkah laku juga akan mempengaruhi intensiti peniruan model. Individu akan membuat penimbangan kepada ganjaran dan dendaan yang akan diperolehi ekoran daripada sesuatu tindakan yang diambil. Kebanyakkan remaja yang melakukan aktiviti lumba haram atau mat rempit ini akan mendapat ganjaran jika menang dalam sesuatu pertandingan. FAKTOR-FAKTOR PENGLIBATAN REMAJA DALAM PERLUMBAAN HARAM. Bagi menjelaskan fenomena gejala sosial seperti ini, pelbagai huraian tentang perilaku non- konformis golongan remaja Malaysia telah dikemukan oleh pakar-pakar. Antaranya ialah faktor psikologi seperti kekecewaan hidup dan keterlepasan kawalan kuasa id. Walau bagaimanapun faktor sosial merupakan faktor utama yang sering dikaitkan dengan penglibatan remaja dalam gejala tidak sihat ini. Terdapat empat faktor sosial yang utama yang sering dikaitkan dengan remaja yang terlibat dengan perlumbaan motosikal haram atau mat rempit. Empat faktor tersebut ialah: i) Kurangnya perhatian daripada ibu bapa Ibu bapa adalah orang yang terdekat dengan anak-anak dan mereka perlu memberi perhatian yang sewajarnya terutama sekali apabila anak-anak mereka meningkat remaja. Kurangnya perhatian terhadap anak-anak remaja sekarang sering dikaitkan dengan gajala rempit kerana disebabkan faktor ini anak terasa diri mereka tidak dihargai oleh keluarga, mungkin disebabkan faktor kesibukan dengan lambakan urusan kerja menyebabkan ibubapa sukar meluangkan masa dengan anak-anak mereka. Sepertimana yang kita tahu sebenarnya remaja mempunyai pemikiran yang terbatas dan kadang-kadang terlalu emosi dalam membuat keputusan. Apabila mereka melihat ibubapa mereka sibuk dengan urusan kerja, mereka menggangap mereka tidak penting dalam keluarga tersebut.ini secara tidak langsung menyebabakan remaja berkenaan akan keluar dari rumah dan mereka secara tidak langsung terdedah kepada gejala yang tidak sihat diluar rumah. Masalah keluarga berpendapatan rendah dan isu kemiskinan perlu diberikan perhatian utama kerana isu-isu ini adalah menjadi

faktor risiko kepada kanak-kanak yang membesar ke alam belia. Kesempitan hidup dan tuntutan kehidupan yang lebih materialistik serta nilai mata wang yang menurun dengan kos hidup yang meningkat memaksa lebih ramai ibu bapa bekerja lebih daripada masa yang sepatutnya untuk menambahkan pendapatan. Masa yang dihabiskan di luar rumah bekerja akan mengurangkan masa mereka berada di rumah bersama anak-anak mereka. ii) Runtuhnya institusi rumah tangga Keruntuhan rumah tangga yang berlaku pada masa kini juga boleh dikaitkan dengan gejala sosial yang berlaku pada masa ini terutama gejala rempit.Sebenarnya jika dikaji semula hampir kesemua para mat dan minah rempit ini adalah mereka yang berasal dari keluarga yang bermasalah. Pada hakikatnya anak-anak remaja terutamanya,bagi mereka keluargalah tempat mereka jadikan rujukkan dan tempat mengadu masalah. Dengan keluarga yang huru-hara sebegini perasaan anak-anak akan terganggu, contohnya ibubapa selalu bergaduh antara satu sama lain pada setiap waktu,di pihak anak-anak pula mereka akan merasa bosan dengan apa yang berlaku dan apa yang mereka harap di rumah iaitu dapat bermesra dengan ibubapa yang tersayang dan untuk berkongsi masalah hancur dengan melihat keadaan keluarga yang sedemikian rupa. Disebabkan ini mereka sanggup keluar dari rumah untuk mendapatkan apa yang mereka hajat di rumah.Di luar rumahlah mereka akan terdedah debu-debu jejala yang tidak sihat dan seterusnya mereka akan terlibat sama. Kajian yang dilakukan oleh Kruttschnitt (1986) berkaitan dengan devian remaja menjelaskan bahawa hubungan kekeluargaan mempunyai kesan yang ketara dalam pembentukan personaliti individu. Keputusan kajian menunjukkan kemungkinan anak-anak yang bertingkah laku devian akan berkurangan jika mempunyai hubungan yang intim dengan dengan ibu bapa mereka. iii) Pengaruh rakan sebaya Pengaruh rakan sebaya tidak boleh lari daripada berlakunya peningkatan dalam gejala sosial. Faktor pengaruh rakan sebaya dapat dikaitkan dengan gejala rempit ini adalah kerana rakan-rakan adalah lebih rapat jika dibandingkan dengan ibubapa atau keluarga. Pengaruh ini secara tidak langsung membentuk sahsiah diri remaja itu sendiri. Disebabkan pengaruh rakan sebaya jugalah sebenarnya remaja menjadi lebih berani untuk mencuba sesuatu walaupun remaja itu sendiri tahu bahawa perkara yang dilakukan itu amat menyalahi undang-undang mahupun norma hidup masyarakat. iv) Kurangnya pendidikan agama Faktor kurangnya didikan agama sebenarnya dapat disimpulan dengan melihat bagaimana para remaja khususnya yang terlibat dengan gejala rempit ini melakukan aktiviti yang tidak sihat seperti lumba haram malah ada yang terlibat dalam aktiviti perjudian dan perlacuran.Sungguh pun kita tahu dan kita semua faham bahawa semua agama dalam dunia ini amat melarang perlakuan sebegini rupa.Islam contohnya menegah sama sekali perbuatan lumba haram ini disebabkan oleh kesan buruknya.antaranya akan terjadinya kemalangan yang teruk dan seandainya pemandu itu mati dia dimasukan ke dalam neraka disebabkan oleh perlakuannya. Benda dan Corwyn (1998) telah menjalankan kajain terhadap sekumpulan pelajar sekolah menengah untuk menguji integrasi model teoritikal delikuensi yang mengandungi elemenelemen kawalan sosial dan teori perbezaan asosiasi dengan menggunakan prosedur LISREL. Hasil kajian mendapati faktor ganjaran, pengaruh ibu bapa, pengaruh agama dan pengaruh rakan sebaya akan meninggalkan kesan terhadap kekerapan remaja melibatkan diri dalam tingkah laku devian. Secara umum empat faktor inilah menyumbang kepada penularan gejala rempit dalam kalangan masyarakat Malaysia pada ketika ini.Sebenarnya banyak lagi faktor yang boleh dikaitkan dengan gejala rempit ini seperti tawaran hadiah dari pihak-pihak tertentu, ingin mengisi masa lapang, untuk mendapatkan kepuasan, untuk mendapatkan pengiktirafan tetapi faktor itu semua adalah cabang kepada faktor yang paling asas ini. Selain itu, terdapat kajian menunjukkan pengaruh media juga berhubung dengan kekerapan menyertai perlumbaan haram. Ini selaras dengan perkembangan sukan perlumbaan motosikal dan kereta yang begitu meluas di media yang secara tidak langsung mempengaruhi mereka untuk mencuba dan merasai sendiri walaupun dengan cara haram. Antara kajian lain yang dilakukan untuk menperlihatkan pengaruh media kepada tingkah laku remaja ialah kajian yang dilakukan oleh Bandura dan Ballard (Bandura dan Ross, 1981 dan Ballard Weist, 1996).

KESAN KEGIATAN MAT REMPIT Terdapat pelbagai kesan yang boleh berlaku akibat daripada kegiatan mat rempit ini. Antara kesan utama daripada gejala ini ialah kemalangan, kecederaan dan kematian akibat perlumbaan tersebut. Terdapat beberapa kes yang dilaporkan dimedia menunjukkan perlumbaan haram membawa kepada kemalangan yang mengerikan. Misalnya, kemalangan yang menimpa seorang anggota polis trafik sewaktu membuat serbuan ke atas mat rempit. Beliau cacat penglihatan sepanjang hayat kerana dilanggar oleh pelumba haram (Berita Harian 2005). Kes kedua dilaporkan di Kuala Terengganu apabila empat remaja terbunuh setelah motosikal mereka bertembung antara satu sama lain dalam satu perlumbaan. Walau bagaimanapun terdapat banyak kes-kes kemalangan dan kecederaan yang melibatkan mat rempit. Selain kemalangan dan kecederaan, aktiviti mat rempit juga sering dikaitkan dengan berkembangannya kes-kes jenayah lain seperti mencuri, merompak, pergaduhan, pengedaran dan penagihan dadah, seks bebas dan seumpamanya. PROGRAM INTERVENSI BAGI MENANGANI GEJALA INI. Isu pelumba motosikal haram, atau lebih dikenali sebagai mat rempit, bukanlah merupakan satu isu yang baru memandangkan gejala sebegini telah wujud sekian lama di jalan-jalan raya di negara ini. Bagaimanapun, gejala ini mula menjadi serius apabila pengguna jalan raya yang tidak berdosa menjadi korban, seperti yang berlaku di Kelantan baru-baru ini di mana seorang kanakkanak tiga tahun, Muhammad Aufal Khalifah Mohd Saberi, maut akibat dirempuh seorang mat rempit (Berita Harian, Mei 2008). Sikap kurang ajar mat rempit telah banyak dilaporkan sebelum ini, termasuklah tindakan sesetengah mereka yang berani memukul serta mencederakan pengguna jalan raya yang menegur sikap mereka. Malahan, anggota polis sendiri pernah menjadi mangsa tindakan melulu mat rempit di mana ada anggota polis yang pernah cedera dan terkorban dalam operasi menbanteras kegiatan mat rempit. Isu mat rempit ini tidak akan selesai sekiranya hanya pihak polis atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sahaja dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikannya. Semua pihak, termasuk ibu bapa dan pihak sekolah, harus memainkan peranan penting dalam menangani masalah ini. Selain itu, Badan Bukan Kerajaan (NGO) juga harus memainkan peranan yang aktif dalam bersama kerajaan menangani isu mat

rempit ini. Malahan, peruntukan undang-undang yang membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan yang lebih tegas terhadap mat rempit perlu digubal bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan yang lebih tegas dan drastik terhadap mat rempit dan ibu bapa yang membenarkan anak mereka menunggang motosikal tanpa lesen memandu. Tindakan lebih tegas harus dilaksanakan ke atas mat rempit yang didapati terlibat dalam perlumbaan haram bukan sekadar menghimpunkan mereka, dijalankan ujian air kencing dan kemudian dibebaskan.Cadangan untuk merampas motosikal serta mengantung lesen mereka yang terbabit dalam gejala lumba haram dilihat sebagai satu inisiatif yang boleh membantu dalam menangani masalah ini. Ini adalah merupakan antara cadangan yang akan dimasukkan dalam pindaan undang-undang berkaitan yang kini dalam proses penelitian oleh Kementerian Pengangkutan. Usaha untuk mengadakan kempen dan program bersama mat rempit yang mana program tersebut cuba mendekatkan mat rempit dengan pihak kerajaan dan memberi pendedahan kepada mat rempit mengenai kepentingan mereka kepada negara merupakan salah satu usaha yang harus dilakukan kerana ini menunjukkan komitmen masyarakat untuk bersama membanteras gejala yang tidak sihat ini. Memandangkan aktiviti mat rempit merupakan satu aktiviti perlumbaan haram, Kementerian Belia dan Sukan boleh mengubah aktiviti mat rempit ini kepada bentuk sukan seperti menganjurkan pertandingan berlumba motosikal di litar-litar yang dibenarkan untuk mengenal pasti bakat-bakat pelumba muda ini untuk dijadikan pelumba prosesional.. Selain itu, memberi kesedaran kepada ibu bapa mengenai kepentingan remaja kepada negara dan bahayanya budaya merempit dapat menyedarkan ibu bapa mengenai tanggungjawab mereka. Ibu bapa juga perlu memainkan peranan dengan cara pengawasan dan kawalan yang sepatutnya kepada anak-anak. Pergaulan anak remaja mereka perlu diawasi dan dipantau kerana pengaruh rakan menjadi faktor yang mendorong mereka melakukan aktiviti yang tidak sihat. Penerapan nilai-nilai murni dan agama dari awal lagi perlu supaya anak-anak dapat membuat keputusan yang rasional dan betul. Mengetatkan prosedur pembelian motosikal juga mampu mengurangkan gejala mat rempit. Remaja-remaja tidak dibenarkan membeli motosikal jika tidak mempunyai lesen memandu dan di kekehendaki membeli secara tunai.

KESIMPULAN Keluarga memainkan peranan yang penting dalam membentuk personaliti seseorang terutamanya pada peringkat kanak-kanak hingga remaja. Secara umum, hubungan antara patologi atau kepincangan keluarga dengan keruntuhan akhlak remaja yang dialami bukanlah khusus. Kepincangan keluarga mengakibatkan kelainan personaliti remaja yang mungkin menyebabkan seseorang remaja itu mengalami banyak masalah dalam hubungan antara perseorangannya atau personaliti remaja berkenaan mungkin lemah dan tidak berupaya menghadapi tekanan kehidupan sehari-hari atau masalah-masalah tertentu yang mungkin timbul dari semasa ke semasa. Gejala keruntuhan akhlak yang berlaku kini sering dikaitkan dengan kerapuhan institusi kekeluargaan. Keadaan ini dikatakan berpunca daripada kejahilan sebahagian besar ibu bapa terhadap peranan dan tanggungjawab mereka kepada keluarga. Kesibukan ibu bapa ditambah pula dengan kekurangan didikan agama yang diterapkan dalam diri remaja menyebabkan pertambahan gejala sosial khususnya kegiatan merempit. Di samping itu, kesan daripda arus perubahan sosioekonomi masyarakat hari ini sedikit sebanyak menjejaskan keupayaan ibu bapa membina generasi bermoral dan beretika tinggi. Remaja yang tidak bermoral dan beretika pasti mudah menerima pengaruh-pengaruh jenayah dan antisosial.

RUJUKAN Ann Wan Seng (1994). Kerenah Remaja Hari Ini. Kuala Lumpur: Fajar Bakti Sdn. Bhd. Azizi Yahya, Jaafar Sidek Latif, Shahrin Hashim dan Yusof Boon ( 2005 ). Psikologi Sosial Alam Remaja.Cetakan Pertama. Pahang : PTS Publications and Distributors Sdn. Bhd. Bandura, A, Ross, D. dan Ross, S. S, !961. Transmission of aggression through imitation of aggressive model dlm. Journal of Abnormal Psychology, 63 Oskasmazila Bt Osman, (2000). Hubungan Antara Amalan Keibubapaan Dengan Masalah Sosial Di Kalangan Pelajar Diploma Sains. Universiti Teknologi Malaysia : Tesis Ijazah Sarjana Muda. Papalia, D.E. dan Olds, S.W., (1978). Human Development. New York : Mc Graw Hill. Rustam A. Sani (1994).Ketegasan dalam Masalah Belia. dlm. Utusan Malaysia, 9 Ogos 2008 Rozmi Ismail, 2005, Perlumbaan Motorsikal Haram di Kalangan Remaja, dalam prosiding Seminar Penyelidikan dan Pembangunan Generasi Muda UKM-KBS, 13-14 Disember, 2005, UKM, Bangi, m/s 315-326. Shahizan, Tsai Chen Chein dan Saw Hooi Chin (2004). Intrapersonal and Interpersonal Untuk Remaja. Kuala Lumpur: PTS

Publication & Distributors Berita Harian, 29 Mac 2009 Berita Harian, Mei 2008