Anda di halaman 1dari 7

NAMA : NO MATRIK: KURSUS:

HASLINDA BT ZAIMI M20092001149 ETIKA DAN PERUNDANGAN DALAM

KAUNSELING/KKP 6023 PENSYARAH: DR.MOHAMMAD NASIR BIN BISTAMAM

TAJUK 7
ISU-ISU ETIKA DALAM KELOMPOK

PENGENALAN Pada masa kini, isu-isu etika dalam kaunseling kelompok semakin diberi perhatian. Selaras dengan peningkatan dalam kaunseling kelompok, kesedaran mengenai etika juga turut meningkat. Kaunselor yang mengendalikan kaunseling kelompok sering berhadapan dengan situasi yang berbeza daripada ketika mereka mengamalkan terapi individu.

LATIHAN DAN PENYELIAAN PEMIMPIN KELOMPOK Bagi meningkatkan tahap kecekapan pemimpin kelompok, program latihan mesti menjadikan kaunseling kelompok sebagai satu keutamaan. Ini adalah kerana terdapat sesetengah pusat latihan program yang langsung tidak menawarkan kursus kaunseling kelompok dalam bidang kaunseling. Ini adalah kerana jika diberi latihan yang sesuai dan mencukupi, kaunselor akan dapat mengetahui limitasi mereka dan mengenalpasti jenis-jenis kumpulan yang layak mereka kendalikan. Kaunselor yang beretika sentiasa membiasakan diri mereka dengan sumbersumber rujukan dan mengelakkan diri mereka daripada mengendalikan sesi kaunseling dengan kelompok yang memerlukan kemahiran istimewa yang di luar tahap kecekapan dan kemampuan mereka. Kaunselor yang ingin menjadi pemimpin kelompok yang cekap, perlu menjalani latihan khusus untuk mencapai kepakaran dalam mengendalikan kaunseling kelompok. Selain daripada itu, kecekapan dalam mengendalikan kaunseling kelompok dapat lebih dipertingkatkan dengan memasukkan kursus etika dalam program latihan kaunseling selain daripada membincangkan mengenai isu-isu etika yang mungkin timbul dan berkembang sewaktu bakal kaunselor menjalani praktikum atau internship. Bakal kaunselor dan juga kaunselor perlu tahu bahawa mereka tidak selalunya dapat mencari jawapan kepada masalah dilemma atau isu etika yang mereka hadapi dalam kaunseling kelompok. Ini adalah kerana keputusan yang melibatkan etika adalah merupakan satu proses yang sentiasa berkembang seiring dengan pengalaman kaunselor. Justeru itu adalah amat penting bagi seorang kaunselor untuk sentiasa meningkatkan kebolehan penilaian kendiri untuk mengekalkan tahap profesionalisme dan kecekapan mereka dalam pengendalian kaunseling kelompok.

Dalam Kod Etika Kaunselor (PEKAMA), Bahagian A: Tanggungjawab Kaunselor Bahagian A1: Tanggungjawab kaunselor terhadap profession No 1. Meningkatkan kecekapan ada menyatakan kaunselor hendaklah sentiasa berusaha menilai dan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang profesionnya dengan latihan berterusan. No 4. Penyeliaan ada menyatakan bahawa kaunselor hendaklah melalui proses penilaian dan penyeliaan serta dinilai tugas kaunselingnya oleh penyelia professional secara berterusan.

PEMBANTU PEMIMPIN KELOMPOK Di dalam setiap kaunseling kelompok, kaunselor merupakan seorang ketua atau pemimpin yang bertanggungjawab dalam menentukan hala tuju dan kejayaan sesuatu sesi kelompok. Namun begitu, adakalanya, kaunselor turut memerlukan pembantu pemimpin kelompok bagi memastikan kelancaran proses kaunseling. Terdapat beberapa kelebihan jika kelompok mempunyai pemimpin dan pembantu pemimpin dalam masa yang sama. Ini adalah kerana, kelompok tersebut boleh mendapatkan pandangan, bimbingan dan maklumbalas daripada kedua-dua pemimpin mereka. Pemimpin dan pembantunya juga dapat menjadi pelengkap di antara satu sama lain. Mereka juga boleh berbincang mengenai sesi kelompok yang mereka kendalikan dan dengan memerhatikan sesama sendiri cara mereka mengendalikan sesi, mereka dapat bersama-sama menilai apa yang berlaku dalam di dalam sesi dan seterusnya dapat merancang sesi yang selanjutnya. Selain daripada itu, tanggungjawab dalam pengendalian kaunseling kelompok juga dapat dikongsi bersama antara pemimpin kelompok dan pembantunya dan ini membolehkan lebih banyak tumpuan dapat diberikan sewaktu sesi kaunseling kelompok. Pemilihan pembantu pemimpin kelompok adalah sangat penting kerana ianya boleh mengakibatkan timbulnya isu etika. Ini adalah ianya boleh memberikan kesan buruk kepada ahli, dan sesi kelompok jika pemimpin dan pembantunya tidak dapat bekerjasama dengan baik. Selain daripada itu, perasaan dan tingkah-laku untuk bersaing antara mereka juga boleh menjejaskan keberkesanan sesi kaunseling. Justeru itu, pemilihan untuk pembantu pemimpin kelompok perlu

mendapat pertimbangan yang sewajarnya dan bukannya dipandang ringan kerana ia melibatkan isu etika.

ISU ETIKA DALAM KEAHLIAN KELOMPOK Isu-isu etika sering timbul dalam keahlian kelompok terutama sekali dalam menentukan dan memilih ahli kelompok. Pemimpin kelompok sering berhadapan dengan tugasan yang berat untuk mengenalpasti siapa yang patut berada di dalam kelompok dan mereka yang tidak sepatutnya berada di situ. Justeru itu, pemilihan keahlian kelompok harus didahului dengan proses screening yang melibatkan temubual dan penilaian agar hanya mereka yang benar-benar sesuai sahaja berada dalam sesuatu kelompok. Ini adalah kerana jika tidak semua ahli mendapat kebaikan daripada sesi yang telah dijalankan dan jika sesetengah daripada mereka terjejas akibat ketidaksesuaian keahlian yang disebabkan oleh pemilihan keahlian yang sambil lewa oleh kaunselor, kaunselor boleh dianggap sebagai tidak bertanggungjawab dan kurang beretika. Screening merupakan cara yang sangat berkesan kerana sewaktu kaunselor atau pemimpin kelompok menemubual ahli, dalam masa yang sama juga ahli kelompok mempunyai peluang untuk turut menemubual pemimpin kelompok. Ahli-ahli kelompok sepatutnya dapat membuat keputusan sendiri samaada mereka ingin bekerjasama dengan pemimpin atau kaunselor tersebut dan jika mereka merasakan kelompok tersebut sesuai dengan mereka. Pemimpin kelompok perlu sentiasa terbuka dan mengambil peluang untuk memberi maklumbalas serta menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh ahli kelompok terutama sekali mengenai isu atau perkara yaag berkaitan dengan kesan penglibatan mereka dalam kaunseling kelompok. Namun begitu, tidak semua teori kaunseling bersetuju dengan penggunaaan screening dalam pemilihan kelompok. Ramai pengikut adlerians berpendapat ianya tidak sesuai dengan semangat demokratik dalam teori mereka. Ada sesetengah yang berpendapat screening hanya untuk menyenangkan pemimpin kelompok dan bukannya untuk kebaikan klien atau ahli kelompok. Justeru itu, ramai yang percaya bahawa jika pemimpin kelompok tidak melakukan screening kerana pegangan teori mereka, mereka tidak dianggap sebagai tidak beretika. Malahan dalam sesetengah setting ia dianggap tidak praktikal untuk melakukan screening.

Isu etika dalam kelompok juga melibatkan penglibatan tanpa rela oleh ahli kelompok. Umumnya, penglibatan ahli secara suka rela adalah sangat penting sebagai penentu awal kejayaan sesuatu sesi kelompok. Ini adalah kerana, ahli kelompok hanya akan mampu membuat perubahan diri yang signifikan jika mereka sendiri mempunyai kemahuan dan bergerak secara aktif ke arah matlamat tersebut. Namun begitu, tidak semua ahli benar-benar ingin berada dalam kaunseling kelompok. Penglibatan tanpa rela ini adakalanya diletakkan sebagai sesuatu yang wajib disebabkan oleh keadaan-keadaan yang tertentu seperti pelajar yang dirujuk kepada unit kaunseling kerana masalah disiplin mereka boleh dipaksa untuk menghadiri sesi kaunseling tetapi mereka tidak boleh dipaksa untuk belajar. Di dalam Kod Etika Lembaga Kaunselor A.8. Kerja Kelompok, A.8.a. Saringan ada dinyatakan bahawa kaunselor hendaklah menyaring bakal peserta kaunseling/terapi kelompok. Seboleh-bolehnya, kaunselor memilih peserta yang keperluan dan matlamatnya selaras dengan matlamat kelompok bagi menghindari daripada tersekatnya proses kelompok dan terancamnya kebajikan klien oleh pengalaman kelompok.

KERAHSIAAN DALAM KELOMPOK Kerahsiaan dalam kelompok adalah merupakan isu yang sering ditimbulkan kerana kaunseling kelompok melibatkan bilangan ahli yang agak ramai. Justeru itu adalah menjadi tanggungjawab kaunselor untuk memberitahu ahli-ahli kelompok tentang kerahsiaan dalam kelompok dan tanggungjawab antara sesama ahli di sepanjang sesi. Benitez (2004) mencadangkan agar pemimpin kelompok membuat satu perjanjian kerahsiaan kelompok yang menyatakan dengan jelas tanggungjawab kaunselor dalam aspek kerahsiaan dan peraturan kerahsiaan untuk ahli-ahli kelompok. Walaupun, kerahsiaan dalam kelompok tidak dapat dijamin sepenuhnya, tetapi sudah menjadi tanggungjawab kaunselor untuk mengingatkan ahli kelompok tentang kepentingan dan perlunya mengekalkan kerahsiaan dalam kelompok untuk mewujudkan kepercayaan agar proses penerokaan dapat dilaksanakan dengan lebih mendalam. Di dalam Kod Etika Lembaga Kaunselor A.8. Kerja Kelompok, A8.b. Melindungi Klien ada menyatakan bahawa, di dalam sesuatu seting kelompok, kaunselor hendaklah mengambil

langkah berjaga-jaga yang berpatutan bagi melindungi klien daripada trauma fizikal,emosi atau psikologi.

UNSUR-UNSUR NILAI DALAM KAUNSELING KELOMPOK Pemimpin kelompok adalah bertanggungjawab untuk sentiasa peka dengan unsur-unsur nilai dalam kaunseling kelompok terutama sekali nilai-nilai yang dipegang oleh mereka sendiri dan kesannya terhadap proses intervensi yang berkemungkinan besar akan berlaku dalam sesi kelompok. Ini adalah kerana tugas utama pemimpin kelompok ialah untuk membantu ahli kelompok mendapat jawapan atau membuat keputusan yang sesuai dengan nilai-nilai mereka sendiri dan bukannya menggunakan jalan pintas dengan memberikan jawapan kepada ahli kelompok. Kaunselor perlu mengambilkira bilakah ianya dianggap sesuai untuk kaunselor mendedahkan kepercayaan, pengalaman hidup dan nilai-nilai mereka kepada klien mereka asalkan ianya tidak mempengaruhi dan menjejaskan kredibiliti mereka dalam mengendalikan sesi kaunseling.

RUMUSAN Kesimpulannya, walaupun kaunseling kelompok memerlukan pengendalian yang agak mencabar dan berbeza daripada kaunseling individu tetapi jika kaunselor itu mempunyai kemahiran, pengetahuan dan pengalaman yang mencukupi, sesi kelompok akan dapat membuahkan kejayaan kepada ahli-ahli kelompok.