Anda di halaman 1dari 6

NAMA : NO MATRIK: KURSUS:

HASLINDA BT ZAIMI M20092001149 ETIKA DAN PERUNDANGAN DALAM

KAUNSELING/KKP 6023 PENSYARAH: DR.MOHAMMAD NASIR BIN BISTAMAM

TAJUK 4
KECEKAPAN DAN LATIHAN PROFESIONAL

PENGENALAN Sebelum seseorang itu boleh bergelar kaunselor, dia mestilah mempunyai kelayakan yang diperolehi melalui latihan formal dalam bidang kaunseling yang mengandungi pembelajaran tentang teori dan teknik kaunseling dan telah menjalani latihan amali atau internship selama beberapa bulan di bawah penyeliaan orang yang berkelayakan.

KECEKAPAN PROFESIONAL Kecekapan dan latihan professional seseorang kaunselor adalah aspek yang sangat dititikberatkan kerana ianya melibatkan kebajikan dan keselamatan klien secara langsung. Justeru itu, tidak hairanlah mengapa isu ini sering diperdebatkan dan ramai yang mempersoalkan adakah dengan mempunyai kelayakan professional sudah cukup untuk menentukan kecekapan dan kredibiliti seseorang kaunselor. Salah satu isu penting tentang etika dan kecekapan profesional dalam sesuatu program atau kursus latihan kaunseling yang sering dipersoalkan ialah bagaimanakah cara untuk melaksanakan polisi dan prosedur yang dapat mengenalpasti calon-calon yang paling sesuai untuk bidang yang melibatkan kesihatan mental. Faktor-faktor yang seharusnya diambikira dalam pemilihan calon ialah dari aspek keperibadian calon yang meliputi sikap dan kepercayaan yang merupakan faktor kritikal dalam pemilihan calon ke dalam program latihan kaunseling. Ini adalah kerana calon yang mempunyai gred atau keputusan peperiksaan yang baik tetapi mempunyai sikap yang negative, berkemungkinan tidak dapat berfungsi sebagai seorang kaunselor yang beretika dan seterusnya akan mendatangkan keburukan kepada klien. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab pihak kolej atau university untuk bersikap tegas dalam soal ini kerana jika ianya dibiarkan, mereka mungkin akan melahirkan kaunselor yang tidak berkualiti dan boleh dipertanggungjawabkan jika berlaku sebarang masalah terhadap klien pada masa hadapan kerana ianya boleh dilihat sebagai melanggar etika dalam latihan kaunselor. Dalam Kod Etika Lembaga Kaunselor Bahagian F: Penyeliaan, latihan dan pengajaran, F.1.b. Kelayakan Kaunselor ada menyatakan bahawa penyelia hendaklah memastikan bahawa

klien mengetahui akan kelayakan individu yang diselia, yang hendak memberikan perkhidmatan kaunseling kepada mereka.

ISU ETIKA DALAM LATIHAN KAUNSELOR Selain daripada itu, kandungan kursus dalam sesuatu latihan kaunseling juga sangat penting bagi memastikan bahawa seseorang bakal kaunselor itu telah dibekalkan dengan pengetahuan serta latihan kemahiran yang mencukupi sebelum menamatkan kursus. Namun, adakalanya ianya masih belum mencukupi untuk menjadi seorang kaunselor yang cemerlang. Malahan ramai yang telah mendapat ijazah kedoktoran tetapi masih kekurangan dari segi kemahiran atau pengetahuan untuk mengendalikan sesetengah tugasan teraputik. Ini jelas menunjukkan bahawa kelulusan ynag tinggi masih belum dapat menjamin tahap kecekapan yang tinggi kerana bidang kaunseling merupakan satu bidang yang luas dan sentiasa berkembang. Justeru itu, adalah amat penting bagi kaunselor untuk mengetahui sejauh mana kemampuan mereka dalam mengendalikan sesuatu kes yang di luar kebiasaan mereka dan seterusnya bersedia untuk merujuk kepada orang yang mempunyai kepakaran yang lebih tinggi sekiranya kes tersebut berada di luar kemampuan mereka. Dalam Kod Etika Lembaga Kaunselor Bahagian F: Penyeliaan, latihan dan pengajaran, F.6.d. Etika Pengajaran ada menyatakan bahawa pendidik kaunselor hendaklah membuatkan pelajar dan individu yang diselia sedar akan tanggungjawab etika dan piawaian profesion dan tanggungjawab etika mereka kepada profesion. Pendidik kaunselor hendaklah menyerapkan aspek etika ke dalam keseluruhan kurukulum.

PERLESENAN DAN PERAKUAN PROFESIONALISME Terdapat tiga tahap dalam menentukan kelayakan seseorang kaunselor. Tahap yang pertama ialah kelulusan seperti diploma, ijazah atau master. Tahap ini menunjukkan bahawa kaunselor telah menamatkan kursus latihan yang ditetapkan dan memenuhi kelayakan minima yang telah ditetapkan. Ianya merupakan asas kelayakan bagi seorang kaunselor. Tahap yang kedua ialah certification atau sijil amalan kaunseling. Certification atau sijil amalan kaunseling

diberikan kepada kaunselor yang telah mencapai standard minima oleh lembaga kaunseling yang diiktiraf melalui proses atau prosedur yang telah ditetapkan. Tahap yang tertinggi sekali ialah licensure atau lesen kaunseling. Tidak seperti sijil amalan, lesen menjamin status kaunselor dan meliputi amalan professional. Ianya secara khusus ada menyatakan apa yang boleh dilakukan oleh pemegang lesen tetapi tidak boleh dilakukan oleh orang lain. Sijil amalan atau lesen dilihat sebagai sesuatu yang berharga bagi setiap kaunselor atau sesuatu firma kerana ianya dapat memberi kelebihan kepada mereka dan yang paling penting ianya dapat melindungi orang ramai daripada kaunselor-kaunselor yang tidak bertauliah dan berkelayakan. Namun begitu, penganugerahan sijil, perlesenan atau perakuan profesionalisme sememangnya masih belum dapat menjamin atau menentukan tahap kecekapan seseorang kaunselor kerana banyak faktorfaktor lain yang menyumbang ke arah kecekapan seperti pengalaman dan keperibadian.

BIDANG PENGKHUSUSAN DALAM KAUNSELING Selain daripada itu, bidang pengkhususan dalam kaunseling juga memainkan peranan yang penting dalam kaunseling. Subjek-subjek atau latihan kemahiran yang diberikan di dalam kursus haruslah sentiasa dikemaskini dan dipertingkatkan dari masa ke semasa selaras dengan perkembangan dunia untuk menjamin kualiti kursus dan produk yang dikeluarkan. Kolej-kolej atau university yang menawarkan dan mengendalikan bidang pengkhususan kaunseling haruslah sentiasa dipantau kualitinya agar tidak lari dari landasan dan etika yang ditetapkan. Syarat kemasukan ke bidang pengkhususan dalam kaunseling harulah diseragamkan dan diperketatkan untuk memastikan hanya calon yang benar-benar layak sahaja dapat mengikuti program ini. Pemilihan calon juga wajar melalui proses temuduga supaya penilaian mengenai seseorang calon dapat dilakukan dengan lebih teliti dan tepat.

PENDIDIKAN LANJUTAN Sepertimana yang telah dibincangkan tadi, bidang kaunseling adalah merupakan satu bidang yang sangat meluas dan sentiasa mengalami perkembangan. Oleh yang demikian, kaunselor seharusnya bersikap lebih proaktif dalam mempertingkatkan ilmu pengetahuan mereka untuk meninggikan lagi mutu dan tahap kecekapan mereka. Justeru itu, pendidikan lanjutan dalam bidang kaunseling amatlah digalakkan kepada setiap kaunselor agar mereka tidak ketinggalan dalam arus pengetahuan dan pembangunan yang semakin pesat. Tanpa adanya penambahan ilmu, segala kemahiran atau pengetahuan yang sedia ada sukar untuk berkembang. Tidak dapat dinafikan bahawa pembelajaran adalah suatu proses yang sentiasa bergerak. Cepat atau lambatnya proses tersebut adalah bergantung kepada usaha yang dilakukan. Pembelajaran boleh berlaku secara formal atau tidak formal tetapi lebih baik jika kedua-duanya dapat dilakukan. Pendidikan lanjutan bukan hanya dapat memenuhi keperluan professional sahaja tetapi ia juga dapat memuaskan kehendak personal yang sememangnya baik untuk perkembangan diri yang lebih sempurna. Dalam Kod Etika Lembaga Kaunselor Bahagian C: Tanggungjawab Profesional, C.2.f Pendidikan Berterusan ada menyatakan bahawa kaunselor perlu sedar tentang pentingnya memperoleh dan mengekalkan pendidikan berterusan mengenai maklumat saintifik dan professional terkini dalam bidang mereka. Mereka juga perlu mengambil langkah mengekalkan kompentensi dalam kemahiran yang mereka gunakan, sedia menerima prosedur baru dan sentiasa mengemaskinikan maklumat mengenai populasi pelbagai dan khusus melibatkan tugasnya.

RUMUSAN Kesimpulannya, kaunselor yang benar-benar berjaya ialah mereka yang tidak pernah jemu dalam meningkatkan dan mengembangkan lagi potensi diri untuk menjadi individu yang cemerlang.