Anda di halaman 1dari 10

SOALAN: Anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang akan mencorakkannya.

Jelaskan pendapat anda tentang ungkapan di atas. Anak merupakan kurniaan Ilahi yang paling berharga dalam kehidupan berumah tangga . Kehadiran setiap anak dalam keluarga lazimnya akan mewarnai lagi kehidupan keluarga tersebut kerana cahaya mata merupakan harapan ibu bapa yang utama. Meskipun begitu, ibu bapa harus sedar bahawa anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang harus mencorakkannya. Ungkapan ini menunjukkan betapa pentingnya tugas ibu bapa dalam menjalankan tanggungjawab mendidik anak- anak yang dianugerahkan . Oleh sebab itu, ibu bapa haruslah memikul tanggungjawab untuk membina generasi baharu yang lebih berkualiti sebagai pemimpin masa depan negara kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Ibu bapa mestilah menjaga anak-anak mereka dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh. Hal ini dikatakan penting kerana kasih sayang yang dicurahkan oleh ibu bapa mampu menyedarkan anak-anak tentang betapa pentingnya ukwah dalam institusi kekeluargaan demi membina masyarakat yang berkualiti. Mengikut kajian yang dijalankan, lebih 60 peratus remaja yang terlibat dalam gejala sosial terdiri daripada golongan yang kehausan kasih sayang ibu bapa mereka . Oleh sebab itu, anak-anak harus disayangi dan didik dengan baik supaya mereka mudah berasa bersalah dan akan berfikir demi ibu bapa sebelum terjebak dalam gejala sosial yang mampu menconteng arang di muka ibu bapa. Selain itu , didikan agama merupakan salah satu elemen penting yang perlu disalurkan oleh ibu bapa ke dalam sanubari anak-anak mereka.Hal ini dikatakan demikian kerana pegangan agama yang kuat dalam diri seseorang anak akan memperteguhkan keimanan mereka untuk menghadapi dugaan hidup di dunia yang fana ini . Oleh hal yang demikian, ibu bapa haruslah memberikan didikan agama dan moral kepada anak-anak mereka supaya anak-anak tahu membezakan yang mana batu, yang mana permata. Secara tidak langsung, mereka tidak akan menjerumuskan diri dalam kancah jenayah kerana sedar bahawa manusia punya asa, Tuhan punya kuasa. Oleh yang demikian , masalah sosial dan jenayah dalam masyarakat kita akan berkurangan kerana ibu bapa telah menjadi pembimbing dan menunjukkan jalan hidup yang betul kepada anak-anak. Ibu bapa turut memainkan peranan penting dalam memberi pendidikan kepada anak-anak supaya mereka mencapai pemikiran kelas pertama . Hal ini dikatakan demikian kerana pendidikan yang berkualiti dapat menjamin masa depan anak-anakdan sekaligus masa depan negara kita. Pada zaman pasca kegemilangan ini , ibu bapa kebiasaanya mula menghantar anak-anak ke tadika sejak umur mereka tiga tahun lagi. Ini menunjukkan ibu bapa kini sedar bahawa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan ilmu pengetahuan yang dimiliki ini dapat menjamin kedudukan mereka apabila masuk ke menara gading . Oleh itu , anakanak dapat menjaga ibu bapa dan masa depan mereka akan terjamin . Oleh yang demikian, ibu bapa haruslah mementingkan pelajaran anak-anak mereka. Selepas itu , ibu bapa juga memainkan peranan penting sebagai suri teladan kepada anakanak. Hal ini dikatakan demikian kerana bapa borek anak rintik. Ibu bapa haruslah menunjukkan sikap yang bermoral dan baik di hadapan anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa tidak wajar berbahasa kesat mahupun merokok di hadapan anak mereka. Hal ini secara tidak langsung dapat mendidik anak-anak untuk mendisiplinkan diri kerana datang daripada keluarga yang baik dan yang mementingkan disiplin kerana kalau asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau

Para ibu bapa juga harus sedar bahawa mereka perlu menjadi tempat anak-anak bergantung hidup. Oleh sebab itu, ibu bapa harus bekerja keras membanting tulang empat kerat untuk memberikan kehidupan yang terbaik kepada anak-anak mereka. Sebagai contoh, segala keperluan dan kelengkapan belajar haruslah disediakan oleh ibu bapa. Dengan berbuat demikian, ibu bapa sudah pun memenuhi komitmen mereka sebagai pendorong dan penggalak anak-anak mereka untuk menimba ilmu pengetahuaan . Sudah pasti anak-anak akan berusaha untuk berjaya dalam bidang akademik dan kokurikulum demi tidak menghampakan ibu bapa mereka sekali gus tidak menjadi seperti kacang lupakan kulitnya.

Konklusinya, ibu bapa haruslah memerhatikan gerak-geri anak mereka sejak kecil lagi. Saya yakin bahawa tiada seorang pun ibu bapa yang mahu melihat anak mereka tergelincir daripada landasan hidup yang betul. Oleh sebab itu, para ibu bapa haruslah digalakkan menyertai bengkel keibubapaan dan kursus yang berkaitan dengan tanggungjawab ibu bapa mencorak anak-anak menjadi modal insan yang mulia demi masa depan anak-anak mereka. Dengan perkataan lain, segala tindakan ibu bapa terhadap anak mereka bakal memberikan impak yang besar dalam kehidupan anak mereka. Demikianlah kebenaran ungkapan anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang akan mencorakkannya.

SOALAN : Telefon bimbit merupakan alat komunikasi penting dalam era globalisasi ini terutama kepada golongan remaja. Penggunaan telefon bimbit yang begitu meluas ini telah membuktikan bahawa teknologi ini penting kepada remaja dan impak negatif yang timbul . Jelaskan. Telefon bimbit sudah menjadi satu bentuk perhiasan diri yang harus dimiliki oleh semua remaja. Kecanggihan telefon bimbit sering menarik minat remaja sehingga ada yang sanggup menahan lapar atau bekerja ketika cuti sekolah semata-mata untuk mendapat telefon bimbit yang lebih baik. Keadaan ini menyebabkan ramai yang menganggap telefon bimbit sudah menjadi satu pembaziran tetapi ada yang masih menyanjung kepentingan telefon bimbit ini. Lantaran itu, apakah kebaikan-kebaikan telefon bimbit kepada remaja? Satu kebaikan memiliki telefon bimbit ini ialah kemudahan untuk berkomunikasi. Hubungan antaa ibu bapa, adik, kakak, abang, kawan, guru dan sebagainya menjadi lebih akrab kerana telefon bimbit mempunyai kelebihan yang tidak mungkin dapat dicapai oleh perbualan tradisi kita. Konsep sistem pesanan ringkas (SMS) yang unik bersama-sama dengan ikon dan lagu atau irama menjadikan penggunaan teknologi ini untuk berinteraksi begitu romantik. Kemudahan berhubung juga mengelakkan pelbagai masalah seperti aspek keselamatan, tidak membuang masa untuk menunggu dan mendapat ketepatan tentang sesuatu perkara yang sering menimbulkan masaalah kepada remaja kini. Jadi, telefon bimbit memang membawa kebaikan kepada remaja dalam aspek komunikasi. Kebaikan kedua ialah telefon bimbit ini menjadi satu bentuk penyampaian informasi yang pelbagai dan menarik. Teknologi ini memudahkan pelbagai maklumat disalurkan seperti berita, lagu dan data peribadi. Maklumat ini berguna kepada remaja kerana melalui penggunaan yang betul semua maklumat ini dapat memastikan remaja memahami sesuatu atau melakukan sesuatu dengan betul. Jelaslah, telefon bimbit yang mempunyai pelbagai guna ini penting dalam memastikan remaja kita menjadi remaja berinformasi. Sudah pasti impak yang paling banyak dipaparkan ialah penggunaan telefon bimbit ini menyebabkan kos hidup remaja bertambah. Sikap suka menggunakan telefon ini untuk berhubung memastikan kos turut bertambah dan penggunaan telefon yang sebegini menyebabkan remaja tidak nampak penggunaan kosnya sehinggalah mereka terpaksa membayar bil telefon itu. Keadaan ini mungkin membawa mereka terpaksa mencari wang dan ada yang terpaksa beralih ke arah cara yang negatif seperti mencuri. Lantaran itu, telefon bimbit mampu menyebabkan remaja mengalami masaah kewangan yang serius. Tambahan pula, penggunaan telefon bimbit menyebabkan remaja tidak memberi tumpuan dalam aspek pendidikan mereka. Ada remaja terutama yang masih belajar menggunakan telefon bimbit di dalam kelas ketika guru mengajar tanpa segan silu. Mereka juga sering menghabiskan masa dengan membuat SMS atau berbual sehingga melupakan tanggung jawab mereka sebagai pelajar iaitu belajar. Akibatnya, banyak pelajar akan terjejas prestasi

pelajarannya kerana penggunaan telefon bimbit. Konklusinya, telefon bimbit harus dikawal penggunaannya terutama kepada remaja. Ibu bapa harus menegur dan memarahi anak mereka yang keterlaluan menggunakan teknologi ini. Namun dalam masa yang sama penggunaan telefon bimbit in turut memberi sat dimensi baru kepada hubungan keluarga. Mungkin remaja harus lebih bijak dalam kemelut ini supaya mereka terus dihormati oleh masyarakat.

SOALAN : Peranan keluarga dalam memupuk semangat perpaduan. Terdapat peribahasa Melayu yang berbunyi ,"bulat air kerana pembentung , bulat manusia kerana muafakat ". Semangat perpaduan berperanan signifikan dalam usaha melahirkan masyarakat yang bermuafakat dan menyemarakkan semangat integrasi nasional dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum selaras dengan inspirasi "Satu Malaysia". Walau bagaimanapun , alangkah kecewanya melihat semangat yang murni ini kian hari kian di telan dek kemodenan dan diabaikan oleh generasi muda mutahir ini . Untuk mengelakkan semangat perpaduan daripada terkubur begitu sahaja , institusi keluarga memainkan peranan vital untuk menyuntik semangat perpaduan yang luhur dalam sanubari generasi muda yang merupakan bakal pelapis kepimpinan tanah air. Setelah meneliti dan mengkaji sehingga ke akar umbi , teladan ibu bapa atau lebih dikenali sebagai "role model" merupakan uslub primer yang efektif dan pragmatik untuk menyemai semangat solidariti dalam kalangan anak-anak. Dalam konteks ini , ibu bapa wajar menunjukkan suri teladan yang baik dengan menjalinkan perhubungan yang yang erat dan karib dengan jiran tetangga. Sempena sambutan perayaan , ibu bapa haruslah mengadakan majlis rumah terbuka . Secara tidak langsung , amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan dalam kalangan jiran tetangga setempat. Justeru, perpaduan akan bertambah utuh dan teguh . Di samping itu , memang tidak dinafikan bahawa ibu bapa turut berperanan penting dalam mengajar anak-anak mereka menghayati prinsip-prinsip Rukun Negara serta menghormati adat istiadat kaum-kaum lain dengan penuh berdedikasi. Pada realitinya , ibu bapa haruslah memastikan generasi muda berpegang teguh kepada prinsip-prinsip Rukun Negara untuk melahirkan masyarakat yang bersatu-padu dan harmoni dalam pelbagai aspek. Bertitik tolak daripada itu , ibu bapa turut bertanggungjawab memastikan anak-anak mereka memahami dan menghormati adat istiadat , pantang larang serta kebudayaan pelbagai kaum di Malaysia demi mengelakkan konflik antara kaum . Selain itu , semangat mahmudah yang jitu ini turut mampu diterap dalam jiwa generasi muda melalui dorongan yang diberi oleh anak-anak mereka untuk menyertai aktiviti-aktiviti yang dapat mengukuhkan perpaduan antara kaum di sekolah seperti PLKN , RIMUP dan sebagainya. Maka , program-program khas yang diwujudkan untuk remaja ini amatlah efektif dalam menjana peluang untuk mewujudkan interaksi antara generasi muda. Strategi serampang dua mata ini bukan sahaja dapat menyemai semangat perpaduan dalam kalangan remaja malahan mampu menyemarakkan semangat patriotisme mereka , bak kata pepatah "sambil menyelam minum air". Bukan itu sahaja , langkah bercerita tentang susur galur sejarah bangsa Malaysia kepada anakanak juga merupakan satu minhaj yang ideal diambil oleh ibu bapa. Ibu bapa perlu menekankan bahawa kemerdekaan tanah air kita yang dicapai hari ini adalah berkat

perjuangan semua kaum dan semua anak watan wajib menghargai titik peluh bekas pemimpin kita yang tidak ternilai ini. Sebagai analoginya , generasi muda yang umur baru setahun jagung , darah baru setampuk pinang tidak akan terlalu taksud dengan kenikmatan materialistik sehingga hidup dalam kepompong sendiri dan mengambil enteng tentang kepentingan mewujudkan perpaduan dalam tanah air sendiri . Seterusnya, ibu bapa juga perlulah menggalakkan anak-anak mereka menonton filem , drama dan iklan yang bertemakan perpaduan antara kaum. Statistik yang sahih telah menunjukkan filem-filem ini memang jauh lebih efektif dan berkesan berbanding dengan bahan bertulis kerana persembahan media elektronik lebih menarik , kreatif dan inovatif. Maka , pelbagai iktibar dan pengajaran dapat diperoleh oleh generasi muda melalui persembahan-persembahan elektronik ini . Rentetan itu, wujudlah garis panduan yang berladaskan segala iktibar dan pengajaran yang diperolehi oleh generasi muda untuk mengecapi perpaduan dan keharmonian . Seperti yang terkandung dalam pepatah Melayu "bersatu kita teguh, bercerai kita roboh", semangat perpaduan yang menjadi panduan hidup anak watan merupakan inti kepada pembentukan masyarakat sakinat dan harmoni. Untuk merealisasikan matlamat ini , iaitu membentuk masyarakat sakinat dan mengecapi perpaduan antara kaum , segenap lapisan masyarakat sayugialah bersinergi bagai aur dengan tebing dan jangan sekali-kali bernafsinafsi bagai enau dalam belukar ,melepaskan pucuk masing-masing . sebagai intihanya , iltizam dan komitmen masyarakat amatlah vital dan berperanan signifikan .

SOALAN :Masalah pembuangan bayi makin menjadi-jadi akhir-akhir ini terutama dalam kalangan remaja. Ulaskan pernyataan ini. Pada era pascainovasi ini, negara Malaysia sedang mengalami transformasi daripada sebuah negara yang sedang membangun kepada sebuah negara yang pesat dan rancak pembangunannya. Dewasa ini, Malaysia mengorak langkah dalam menyongsong arus kemajuan yang kian deras. Namun, sejajar dengan arus pembangunan negara, perkara yang acap kali merimaskan masyarakat sarwajagat ialah isu pembuangan bayi . Dalam keghairahan mengejar dunia moden ini , pembuangan bayi biasanya melibatkan golongan remaja yang telah bertindak terburu-buru mengambil tindakan . Kemelut ini semakin serius apabila pihak media massa memaparkan kejadian ini dalam akhbar mereka dengan begitu meluas tanpa segan-silu. Jadi apakah punca-punca dan langkah-langkah yang boleh diambil untuk menangani isu ini? Siapakah yang perlu dikambinghitamkan ? Tepuk dada tanya selera . Kemelut ini berlaku lantaran kurangnya didikan agama dalam kalangan remaja kita. Kekurangan ini mungkin akibat kekurangan didikan dan perhatian ibubapa serta impak kemodenan yang melanda negara kita. Remaja kita tidak mempunyai pegangan agama yang tebal dan mudah dipengaruhi oleh desakan seksual mereka itu. Kesannya, ramai yang terjebak dalam kancah negatif ini saban tahun. Selain itu, isu ini turut berleluasa kerana institusi kekeluargaan itu sendiri sudah runtuh. Sudah menjadi kebiasaan kini sesebuah keluarga itu tidak mempunyai ayah atau ibu untuk mendidik. Ketiadaan ini menyebabkan tanggungjawab mendidik anda tidak menjadi satu keperluaan yang harus dipenuhi dengan baik. Sesungguhnya, keadaan inilah yang menyebabkan masalah pembuangan bayi menjadi-jadi. Sikap masyarakat yang terlalu suka menghukum turut menjadi penyebab pembuangan bayi ini berlaku. Kita suka menganggap wanita yang mengandung tanpa suami ini sebagai melakukan kesalahan tanpa menimbang keadaan yang menjurus kemelut itu berlaku. Pemikiran masyarakat ini menyebabkan remaja tidak mempunyai tempat untuk mengadu masalah mereka sehingga sanggup membiarkan anak mereka daripada dipandang jijik oleh masyarakat. Arus kemodenan terutama melalui media massa telah menyemarakkan masalah ini. Program dari barat yang mengaitkan kebebasan dalam pergaulan telah menyebabkan remaja terpengaruh. Kehidupan moden sering dikaitkan dengan hubungan seksual yang bebas. Lantaran itu, masalah ini terus menerus menjadi sesuatu yang lumrah dalam hidup mereka. Langkah yang perlu dilaksanakan oleh kita ialah menyediakan satu tempat perlindungan kepada remaja yang bermasalah seperti ini. Rumah perlindungan ini memberi bantuan kaunseling dan penjagaan kepada remaja dan bayi sebelum sebarang tindakan undang-undang

diambil. Kewujudan rumah perlindungan ini memberi ruang kepada remaja untuk berfikir secara rasional menyelesaikan masalah mereka. Sesungguhnya isu pembuangan bayi dapat dikurangkan. Paradigma masyarakat harus berubah dalam menangani masalah ini. Kita perlu mengikis sikap suka menghukum moral seseorang itu dengan terburu-buru tanpa mengambil kira keadaan yang dialami oleh remaja terbabit. Kita seharusnya menjadi tempat remaja meluahkan masalah mereka dan bukannya tempat remaja melarikan diri mereka. Pandangan masyarakat yang berubah memberikan persepsi yang baik kepada remaja untuk berkongsi masalah mereka. Kesimpulannya, masalah pembuangan bayi ini perlu dikaji secara telus. Semua pihak bertanggungjawab untuk menyelesaikannya. Semua pihak memikul kesan yang timbul kerana kitalah yang menyebabkan dan mampu menghalang masalah ini daripada berterusan. Kita harus menerima masalah ini dan mencari jalan penyelesaiannya secepat mungkin.

SOALAN : Jelaskan peranan ibu bapa dalam membentuk masyarakat penyayang. Pada alaf baru ini, ibu bapa memberi peranan yang penting kepada masyarakat dan negara. Media cetak mahupun media elektronik sering menyiarkan isu ini. Dalam kalangan ibu bapa dalam masyarakat ini selalu diberi perhatian oleh orang ramai terutamanya kerajaan. Menurut Perdana Menteri Malaysia ke-5 Dato Seri Abdullah Bin Haji Ahmad Badawi memberitahu bahawa membentuk masyarakat penyayang amat penting sekali. Oleh itu, terdapat pelbagai langkah-langkah yang boleh diambil untuk membentuk masyarakat penyayang. Sehubungan dengan hal itu, ibu bapa seharusnya memberikan kasih sayang kepada anak-anak. Namun begitu, terdapat kalangan ibu bapa yang mengabaikan anak-anak mereka. Hal ini kerana, ibu bapa tersebut lebih mementingkan kemewahan hidup dan kekayaan. Oleh itu, ibu bapa seharusnya meluangkan lebih banyak masa dengan anak-anak mereka pada alaf globalisasi ini. Sebagai contoh, ibu bapa boleh membawa anak-anak mereka semasa cuti sekolah untuk mengeratkan hubungan dan mengurangkan tekanan anak-anak dalam aspek pembelajaran serta ibu bapa. Jadi, impian ibu bapa atau negara untuk membentuk masyarakat penyayang akan tercapai jua. Sejajar dengan itu, ibu bapa sewajarnya memberi didikan agama kepada anak-anak semenjak kecil lagi. Bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sebaliknya, ibu bapa mengagung-agungkan kemodenan sehingga mengabaikan anak-anak dalam didikan agama. Hal ini kerana, mereka beranggapan didikan agama tidak penting dalam arus kemajuan teknologi satelit masa kini. Oleh itu, ibu bapa sewajarnya menerapkan didikan agama kepada anak-anak mereka. Misalnya, menggalakkan anak-anak mengikut kelas kifayah supaya anakanak akan menjadi insan yang berakhlak mulai. Di samping itu, mereka seharusnya memberikan pengajaran yang baik kepada anak-anak mereka ketika anak-anak itu masih dalam buaian lagi. Jelaslah, hasrat ibu bapa dalam melahirkan generasi yang berguna akan menjadi kenyataan pada suatu hari nanti. Malahan, ibubapa haruslah menyediakan semua keperluan atau kemudahan kepada anak mereka. Penyediaan tempat belajar yang sesuai amat penting. Begitu juga dengan hubungan ayah dan ibu yang mesra tanpa sebarang masalah sudah pasti akan memberi keselesaan kepada anak untuk menjadi manusia yang penyayang. Ringkasnya, sikap ibubapa yang sebegini mampu melahirkan satu generasi muda yang penyayang di negara ini. Seiring dengan itu, ibu bapa seharusnya menunjukkan contoh teladan yang baik kepada anakanak. Namun demikian, terdapat kalangan ibu bapa yang berperangai buruk. Contohnya,

menjadi penagih dadah, pencuri, perogol dan sebagainya. Hal ini jelas, mereka akan mengalami kesempatan wang dan tekanan emosi. Bak kata pepatah bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Hal ini demikian, ibu bapa perlu menunjukkan sikap yang baik kepada anak-anak sejak kecil lagi. Umpamanya, mengamalkan tabiat rajin membaca buku di hadapan anak-anak. Lama-kelamaan tabiat ini dalam kalangan generasi muda akan mengikut tabiat yang positif ini. Ringkasnya, peranan ibu bapa amatlah besar dalam melahirkan masyarakat yang berguna pada alaf globalisasi ini. Tuntasnya, semua pihak sewajarnya memberikan kerjasama kepada pihak kerajaan dan pihak swasta. Dalam hal ini, ibu bapa memainkan peranan yang terpenting untuk memupuk masyarakat penyayang. Justeru, peribahasa bagai aur dengan tebing hendaklah diamalkan oleh semua warganegara Malaysia terutamanya generasi muda sejak belakangan ini.