Anda di halaman 1dari 3

IMPLIKASI PEMBENTUKAN MODAL INSAN TERHADAP PEMBANGUNAN DAN KESEJAHTERAAN NEGARA

Pencetusan revolusi idea oleh bekas Perdana Menteri kita agar memberi penekanan terhadap usaha membangunkan Modal Insan merupakan satu landasan kecemerlangan generasi hadapan. Modal insan merupakan individu yang berilmu, berkeyakinan, mempunyai nilai murni dan moral yang tinggi, beretika, berbudi pekerti, bersopan- santun, berdisiplin, dinamik, inovatif, kreatif, sihat, bersemangat patriotik, adil, progresif, cekal dan berdaya saing. Pembentukan modal insan yang unggul memberi kesan positif terhadap pembangunan dan kesejahteraan negara yang lebih produktif. Pertama sekali, pembentukan modal insan membantu mencapai hasrat menjadi sebuah negara maju mengikut acuan sendiri berdasarkan Wawasan 2020. Wawasan 2020 yang mempunyai pelbagai perincian dan dimensi memerlukan masyarakat bersedia menghadapinya dengan penuh tabah. Dalam dunia tanpa sempadan ini, negara sedang menghadapi banyak cabaran baru kesan daripada globalisasi, liberalisasi, pengantarabangsaan dan perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT). Sebenarnya, globalisasi memberi penekanan terhadap perusahaan berasaskan pengetahuan. Hasil pembangunan modal insan yang menyeluruh, warganegara yang berilmu pengetahuan, celik ICT, berkemahiran dan berakhlak mulia dapat dilahirkan. Hasilnya, rakyat dapat berfikir secara kreatif dan kritis, berkemahiran menyelesaikan masalah dan berkeupayaan mencipta peluang dan rekaan baru, mempunyai ketahanan serta kebolehan untuk berhadapan dengan persekitaran dunia global yang sering berubah- ubah. Seterusnya, pembangunan modal insan dapat membangunkan satu sistem pendidikan yang bertaraf dunia. Sistem pendidikan bertaraf dunia yang berkualiti, melahirkan modal insan yang berupaya untuk bersaing dalam era yang sangat mencabar. Penambahbaikan kualiti pendidikan dari segi pendekatan, piawaian dan penanda aras yang lebih tepat serta bersesuaian dengan ciri dan keperluan kluster institusi pendidikan yang ada membantu menjadikan Malaysia sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan. Sebagai contoh, penglibatan pelajar, guru dan sekolah dalam pertandingan kurikulum dan kokurikulum pada peringkat antarabangsa

mendorong

meningkatkan

martabat

pendidikan

Malaysia

pada

peringkat

antarabangsa. Tambahan, pemikiran kreatif yang menjadi satu aspek dalam modal insan membantu negara memajukan sektor Industri Kecil dan Sederhana (IKS) seperti kraf tangan, makanan ringan dan lain- lain lagi. Dengan adanya, kegigihan berusaha masyarakat mengukuhkan keupayaan dan kemampuan menghadapi cabaran globalisasi dan persaingan sengit dari pelbagai pihak. Akibatnya, kerajaan sendiri menumpukan strategi untuk pemerolehan teknologi yang mendorong IKS ke tahap yang lebih tinggi. Penekanan kepada pembangunan keupayaan teknologi menghasilkan perbezaan produk dan perkhidmatan bagi mewujudkan lebih banyak syarikat berasaskan teknologi tempatan. Hasilnya, negara kita tidak terlalu bergantung terhadap negara maju bagi sesuatu produk. Selain mengurangkan pengaliran wang asing, keadaan ini juga membangunkan negara dalam bidang perusahaan secara ansur- ansur. Selain itu, kesejahteraan negara dapat dicapai hasil daripada pembangunan modal insan. Masyarakat yang bercirikan Minda Kelas Pertama menjadi pendekatan utama bagi melonjak ke status negara maju yang tidak hanya tertumpu dalam pemerolehan pengetahuan semata- mata. Masyarakat yang bersifat menyeluruh, progresif, bermoral, beretika tinggi selain berkemahiran dan berpengetahuan mendorong melahirkan hubungan silaturahim yang erat tanpa mengenal bahasa, bangsa, kaum dan agama. Kasih sayang antara satu sama lain mewujudkan keadaan di mana rakyat hidup bersatu padu tanpa sebarang porakperanda. Tambahan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan memastikan rakyat sentiasa berbudi pekerti mulia selaras dengan ajaran agama masing- masing. Hasilnya, rakyat hidup harmonis dan sejahtera dalam negara yang makmur ini. Di samping itu, pembangunan modal insan dapat membantu menangani masalah ketidakseimbangan sosioekonomi yang berterusan secara membina dan produktif. Usaha yang lebih gigih telah diambil oleh kerajaan untuk memastikan akses yang saksama kepada peluang meningkatkan kemahiran dan menyokong golongan yang amat memerlukan. Pelbagai inisiatif latihan kemahiran yang ditumpukan kepada isi rumah 40 peratus terendah serta program penambahbaikan sekolah yang sedang dilaksanakan merapatkan jurang pencapaian bagi pelajar yang ketinggalan dalam pembelajaran di samping meningkatkan pencapaian sekolah berprestasi rendah. Langkah ini memastikan setiap pelajar di Malaysia bersifat

menyeluruh, progresif, berpengetahuan dan berkemahiran dalam pelbagai bidang. Penekanan kepada latihan industry pula, memastikan Negara membentuk modal insan yang memenuhi keperluan industri, meningkatkan produktiviti dan rantaian nilai ekonomi yang lebih tinggi. Justeru itu, pembekalan modal insan berkepakaran tinggi ini amat menyumbang dalam sektor ekonomi utama bagi memastikan aspirasi Negara tercapai. Seterusnya, pembangunan modal insan secara mendadak sebenarnya melahirkan masyarakat yang berkepakaran bertaraf dunia kerana kerajaan telah melaksanakan perubahan menyeluruh di setiap tahap pembangunan modal insan sepanjang hayat, iaitu daripada menambah baik pendidikan kanak- kanak sehingga peningkatan kemahiran tenaga kerja sedia ada. Tambahan, pembangunan dan pengukuhan kualiti guru juga diberi tumpuan untuk meningkatkan pencapaian pelajar yang beretika tinggi, bermoral, serta kukuh jati diri dan semangat patriotisme. Dengan menaik taraf pendidikan tertiari dengan ketara melalui pendirian autonomi yang lebih besar dan pengurusan berprestasi tinggi telah membantu mencapai matlamat ke arah meningkatkan kebolehpasaran siswazah dan mobiliti kerja. Tambahan lagi, pembangunan modal insan memberi implikasi yang luas terhadap pembangunan Sains, Teknologi, dan Inovasi. Pembangunan ini menjadi pemacu utama dalam meningkatkan keupayaan negara untuk memeroleh dan menggunakan pengetahuan serta menggalakkan inovasi yang tidak terhingga. Pendekatan yang holistik ini mengukuhkan sistem Inovasi Kebangsaan untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing. Kemajuan, penyebaran serta penggunaan pengetahuan dan teknologi menambah nilai kepada kepelbagaian aktiviti ekonomi negara. Modal insan yang dipupuk ini mengukuhkan kemampuan dan keupayaan teknologi untuk menyokong pertumbuhan dorongan inovasi. Hasilnya, pada zaman sekarang, keutamaan diberikan kepada penyelidikan dan pembangunan (Research & Development) yang berorientasikan pasaran serta peningkatan kadar pengkomersilan R & D. Secara keseluruhan, pembangunan modal insan merupakan elemen asas dan kritikal dalam mentransformasikan ekonomi Malaysia ke arah mencapai pendapatan yang tinggi. Pembangunan dan pengekalan modal insan bertaraf dunia amat diperlukan bagi Malaysia supaya kepelbagaian dapat dimanfaatkan ke peringkat antarabangsa serta untuk memupuk, menarik, dan mengekalkan modal insan berkemahiran tinggi di Negara Malaysia yang terbilang ini.

Anda mungkin juga menyukai