Anda di halaman 1dari 3

Anugerah Tokoh NILAM Daerah Kulaijaya 2013

Rabu |30 Januari 2013

Teks Ucapan Perasmian Penutup Pertandingan Anugerah Tokoh NILAM Daerah Kulaijaya 2013 Datin Hajah Hasnah Binti Md Sem Pegawai Pelajaran Daerah Kulai

Terima kasih Tuan/Puan/ Pengerusi Majlis

Yang Berusaha En. Adam Bin Kassim Pegawai Teknologi Pendidikan Selaku Wakil Rasmi Ketua Penolong Pengarah BTPN Johor En. Md. Yusoff Bin Ahmadi Guru Besar SK LKTP Sungai Sayong Pn. Saemah Binti Ardi J/K Majlis Guru Perpustakaan & Media Daerah Kulaijaya Selaku Ketua Hakim Anugerah Tokoh NILAM Daerah Kulaijaya Jawatankuasa Pengelola dari Pusat Kegiatan Guru Sungai Sayong dan Pusat Kegiatan Guru Bandar Kulai Barisan Hakim Anugerah Tokoh NILAM Guru-Guru Perpustakaan & Media Sekolah Guru Guru Penyelaras NILAM Sekolah Guru-Guru Pengiring Calon-Calon Anugerah Tokoh NILAM

Anugerah Tokoh NILAM Daerah Kulaijaya 2013

Rabu |30 Januari 2013

Hadirin yang dikasihi sekalian Buku dan pembacaan ibarat irama dan lagu yang tidak sekali-kali boleh dipisahkan dalam pelaksanaan misi ketamadunan. Penyempurnaan misi memerlukan daya minda yang cukup tinggi produktiviti dan kreativitinya, serta ilmu yang eksploratif, bersifat peneroka, menyelidik dan mempelajari rahsia alam yang kemudiannya dimanfaatkan. Penyempurnaan misi ketamadunan akan membawa bangsa dan negara keluar dari kegelapan, menuju ke arah kecemerlangan. Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, ilmu pengetahuan dan pendidikan merupakan asas dan jaminan kepada pembentukan masyarakat dan negara yang makmur dan maju. Taraf hidup dan nilai sesebuah negara amat bergantung kepada persepsi masyarakat terhadap ilmu pengetahuan. Pembentukan satu masyarakat madani dengan nilai-nilai budaya yang bermoral, bermaruah dan bertamadun mulia adalah ditentukan oleh tahap pencapaian ilmu masyarakat itu sendiri. Sesebuah masyarakat yang miskin ilmu tidak akan kaya budaya dan tamadunnya. Justeru itu, adalah penting bagi kita untuk mengembleng tenaga dan berusaha ke arah memupuk nilai membaca. Justeru itu, Pejabat Pelajaran Daerah Kulai sentiasa memberikan sokongan dan mengalu-alukan pelbagai usaha dan inisiatif golongan pendidik dalam memartabatkan budaya membaca terutamanya di kalangan murid-murid dan seluruh warga sekolah.

Hadirin yang dikasihi sekalian Setiap individu perlu memain peranan masing-masing. Selaku rakyat yang bertanggungjawab, kita perlu mempunyai inisiatif untuk maju dan meningkatkan keupayaan serta kemahiran. Pada hari ini kita dapat melihat bahawa usaha-usaha untuk menggalakkan budaya membaca
2

Anugerah Tokoh NILAM Daerah Kulaijaya 2013

Rabu |30 Januari 2013

telahpun dijalankan dengan begitu tersusun dan Pertandingan Anugerah Tokoh NILAM seperti ini adalah salah satu contohnya. Sokongan padu perlu ada pada setiap pihak. Tanpa penglibatan yang menyeluruh, kita tidak akan boleh pergi lebih jauh. Dunia kini menuntut kita menguasai seberapa banyak ilmu. Pembangunan sesebuah negara bergantung kepada daya dan kekuatan rakyatnya dalam menguasai cabaran maklumat semasa. Maklumat tersebar dengan luas dan pantas. Tidak ada lagi ruang untuk mereka yang berfikiran sempit dan malas untuk belajar. Masa tidak menunggu kita. Jika kita tidak berusaha, maka kita akan ketinggalan. Kita perlu lebih rajin. Rajin berusaha dan lebih rajin membaca.

Hadirin yang dikasihi sekalian Saya berharap semua pihak sama ada guru-guru dan murid-murid berebut-rebut mendapatkan ilmu dengan mengamalkan budaya membaca. Yang penting ialah semangat untuk mendapatkan ilmu itu harus dijadikan satu "ketagihan" yang luar biasa. Satu ketagihan yang boleh meluas dan memperkayakan minda serta membebaskan kita daripada belenggu kemiskinan ilmu dan kejahilan. Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, ingin saya menyampaikan ucapan penghargaan dan tahniah kepada Pusat Kegiatan Guru Daerah Kulaijaya kerana telah berjaya menyempurnakan satu lagi aktiviti yang mampu meningkatkan tahap kesedaran kita. Saya yakin dengan usaha murni ini, kita akan berjaya mendapat manfaat bersama. Saya juga mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama dan sokongan yang tidak berbelah bagi demi menjayakan lagi majlis pada petang ini. Insya- Allah, berkat usaha kita bersama, pasti ada ganjarannya nanti.

Dengan lafaz Bismillah-hirrahman-nirrahim saya dengan sukacitanya menutup rasmi Pertandingan Anugerah Tokoh NILAM Daerah Kulaijaya 2013