Anda di halaman 1dari 3

TEKS UCAPAN YANG DIPERTUA PIBG SMK TAMAN TUN DR.

ISMAIL SEMPENA MESYUARAT AGUNG PIBG KALI KE 30 6 MAC 2010

Bismillahirrahmanirahim.. Assalamualaikum wbt.. Terima kasih diucapkan kepada tuan pengerusi majlis, Yang berusaha Encik Sahid bin Juri Naib Yang Dipertua PIBG, Yang berbahagia Datin Hajah Hasmah bt Abu Pengetua SMK TTDI, Penolong-penolong Kanan, guru-guru dan ibu bapa pelajar yang dikasihi sekalian. Setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan kehadrat ALLAH kerana dengan dengan izin dan limpahan kasih sayangNya, dapat kita bersama-sama berkumpul dalam suasana aman harmoni ke arah matlamat bermusyawwarah demi membela nasib anak-anak kita, guru-guru dan institusi persekolahan. Semoga majlis ini mendapat keberkatan dari-Nya. Saya juga bagi pihak semua AJK PIBG sesi 2009/ 2010 ingin merakamkan penghargaan dan penghormatan kami kerana diberi kepercayaan untuk menerajui PIBG bagi kepentingan bersama. Hadirin sekalian, Saya ingin mengambil kesempatan yang ada pada pagi yang bermakna ini untuk mengalungkan ucapan terima kasih terutama sekali kepada Datin Pengetua kerana beliau telah berjaya menerajui SMK TTDI ke arah kecemerlangan akademik dan kemantapan sahsiah bagi menyahut seruan kerajaan melalui Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) iaitu untuk melahirkan modal insan yang berkualiti dari segenap aspek. . Selain itu, tidak dinafikan sumbangan tenaga, idea dan curahan ilmu pengetahuan dari guru-guru sehingga menjadikan pencapaian pelajar dalam peperiksaan meningkat dari setahun ke setahun. Dalam bidang kokurikulum pula, SMK TTDI sentiasa menunjukkan pencapaian terbaik sehingga mampu meraih kegemilangan di peringkat kebangsaan melalui pertandingan yang disertai. Justeru saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada warga sekolah, kerana pasukan Kadet

Remaja Sekolah Lelaki SMKTTDI telah berjaya menjadi johan pertandingan Kawad Kaki Berirama dan Kawad Kaki Badan Berunifom sempena Hari Wilayah 2010 baru-baru ini. Bukan setakat di bidang kokurikulum sahaja, di bidang akademik pula, SMK TTDI memperoleh keputusan PMR yang amat membanggakan. Ini membuktikan bahawa SMKTTDI menitikberatkan bidang akademik selaras dengan kecemerlangan di bidang kokurikulum. Selain itu, SMK TTDI sentiasa menjadi rujukan dan lawatan dari dalam mahupun luar negara. Sebagai contoh, SMK TTDI telah menerima kunjungan daripada mahasiswa dan pensyarah universiti di Thailand. Ini bermakna, sekolah ini bukan hanya menjadi tumpuan komuniti setempat malah ia juga terkenal di persada antarabangsa. Selain itu juga, SMK TTDI sentiasa dipilih oleh wartawan media cetak dan media elektronik untuk membuat liputan berkaitan dengan kejayaan warga sekolah dalam pelbagai bidang. Hadirin sekalian, Kami sebagai AJK PIBG sesi 2009/2010 telah cuba untuk menjalankan tugas yang diamanahkan kepada kami dengan sebaik mungkin. Dalam segala tindakan kami, kami sentiasa memikirkan kepentingan dan mengutamakan kebajikan anak-anak kita di sekolah. Sumbangan tuan puan telah digunakan dengan sebaik-baiknya untuk membantu program-program sekolah yang bertujuan meningkatkan pencapaian akademik, memantapkan sahsiah anak-anak kita di sekolah dan juga meningkatkan serta membaik pulih prasarana sekolah bagi kemudahan serta keselesaan bersama. Antara program yang telah dijalankan hasil sumbangan PIBG ini ialah Program Kem Jati Diri, Kursus Kepimpinan Pengawas dan Program Sesuci Embun yang telah dilaksanakan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK TTDI. Hadirin sekalian, Sebagai maklumat kita bersama, dana PIBG sejak saya mula menerajui persatuan ini adalah berjumlah RM 25,183.33 dan sehingga 5 Mac 2010, dana PIBG yang terkumpul berjumlah RM58,482.56. Melalui penganjuran Golden Nite, PIBG telah memperoleh pendapatan bersih sebanyak RM 39,903.90 hasil jualan meja dan iklan. Dana PIBG yang terkumpul sehingga

5 Mac ini boleh dikatakan agak besar jumlahnya kerana kita mengamalkan penganjuran program, pembiayaan infrastruktur serta perbelanjaan dengan bijak dan berhemah. Saya juga ingin mengambil kesempatan yang ada pada hari ini untuk menyeru serta mengingatkan pihak ibu bapa untuk melunaskan Bayaran Tambahan dalam masa terdekat agar setiap aktiviti yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar. Hadirin sekalian, Pada pagi yang berbahagia ini, kita berkumpul sama- sama untuk berbincang bagi memilih dan melantik pucuk pimpinan PIBG yang baru bagi sesi 2010/ 2011. Untuk memilih pemimpin baru yang bakal menerajui persatuan, sebaik-baiknya pilihlah calon yang boleh bekerjasama dengan semua guru dan ibu bapa. Selain itu, calon yang bakal dipilih haruslah bijak memainkan peranan yang penting dalam membentuk kolaborasi antara pihak keselamatan juga komuniti setempat. Saya berharap mesyuarat agong PIBG kali ke 30 ini akan berlangsung dalam suasana yang penuh aman dan harmoni. Gunakanlah kesempatan mesyuarat agung ini untuk bertukar fikiran dan sebagai medan untuk menjana idea-idea yang membina demi kecemerlangan anakanak kita. Jawatan dalam PIBG adalah disandang secara sukarela dan jika ada ibu bapa di sini yang merasakan lebih berkebolehan dan berkeinginan untuk menjadi AJK maka silalah tampil menawarkan diri untuk dipilih sebagai AJK baru ketika mesyuarat nanti. Semoga perjumpaan kita kali ini bakal membuahkan hasil yang baik demi kepentingan anak-anak kita bersama. Saya sudahi ucapan saya dengan lafaz yang mulia..wabillahitaufiq wal

hidayah..assalamualaikum wbt.. Sekian, terima kasih.