Anda di halaman 1dari 9

1.

PENGENALAN

Malaysia berhasrat menjadi negara maju mengikut acuan sendiri iaitu mencapai kemajuan seimbang dari segi ekonomi, politik, sosial, kerohanian dan kebudayaan menjelang 2020. Perubahan pesat dunia hari ini menuntut Malaysia untuk segera berubah supaya mampu melonjak ke tahap maju dengan mengetengahkan bidang pendidikan sebagai lonjakan terakhir ke arah mencapai status negara maju yang dicita-citakan (Mohd Fuad 2007). Sistem pendidikan di Malaysia turut berubah dan tidak ketinggalan perubahan yang begitu ketara berlaku dalam pendidikan teknik dan vokasional seiring perkembangan arus globalisasi. Pendidikan teknik dan vokasional adalah penting dalam pembangunan sesebuah negara khususnya jika mahu menjadi sebuah negara perindustrian menjelang tahun 2020 (Azila Dason et.al, 2011).

Sistem pendidikan di Malaysia terbahagi kepada beberapa jenis iaitu pendidikan teknik dan vokasional, pendidikan akademik atau umum serta pendidikan agama. Bidang teknik dan vokasional mementingkan pengetahuan dan kemahiran serta menyediakan peluang pekerjaan yang baik kepada golongan muda (Siti Syahirah 2011). Menyedari pentingnya pengetahuan dan kemahiran dalam tenaga kerja di Malaysia, sistem pendidikan dilihat mampu memenuhi kehendak komersil dan industri di samping dapat menghasilkan tenaga kerja yang berupaya dan bersifat inovatif, produktif dan berkemahiran (Suzana et al 2011). Perkara ini turut disokong oleh Ahmad et al. (2009), pendidikan teknik dan vokasional dilihat sebagai agenda penting bagi menjana kepesatan industri dan mencapai status negara maju.

2.0

PERKEMBANGAN PENDIDIKAN TEKNIK DAN VOKASIONAL DI MALAYSIA

Pendidikan Teknik dan Vokasional di Malaysia diperkenalkan pada tahun 1964 iaitu di bawah Jabatan Pengurusan Teknik kini dikenali sebagai Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV). Tujuannya adalah menyediakan pelajar untuk memasuki bidang pekerjaan dan langkah mempergiatkan lagi usaha kerajaan untuk memajukan bidang ekonomi dalam perindustrian. Pelajaran Teknik dan Vokasional yang di bawah pentadbiran bahagian ini termasuklah :

a) Sekolah Menengah Atas (Tingkatan 4 dan 5) terdiri daripada Sekolah Menengah Teknik dan Sekolah Menengah Vokasional yang menyediakan pendidikan teknik, pertanian, perdagangan dan mata pelajaran bidang pekerjaan lain. b) Politeknik ditubuhkan untuk memberikan latihan kepada juruteknik peringkat pertengahan dalam bidang kejuruteraan dan pegawai kerja muda dalam bidang perdagangan dan keusahawanan. c) Ia berhubung rapat dengan agensi lain yang berkaitan dengan melatih tenaga kerja mahir dan separuh mahir. d) Mengawal selia sekolah-sekolah teknik dan vokasional. e) Menguruskan pembangunan sekolah-sekolah teknik dan vokasional. f) Menggubal dan menyediakan kurikulum sekolah-sekolah teknik dan vokasional.

g) Memperuntukkan kewangan sekolah-sekolah teknik dan vokasional.

Selain itu, bagi menambah bilangan tenaga kerja dalam bidang teknik dan teknologi yang amat diperlukan dalam sektor perkilangan dan perindustrian pada masa kini dan akan datang, Kementerian Pendidikan telah mengambil tindakan penting pada tahun 1995 dengan menggubal Pelan Tindakan Peningkatan Pengeluaran Tenaga Manusia Teknikal yang menyebut bahawa : Pelan Tindakan Pengeluaran Tenaga Manusia Teknikal bertujuan meningkatkan keluaran juruteknik dan jurutera menjelang tahun 2020 dengan menggunakan satu strategi terancang yang radikal bagi menjuruskan pelajar ke bidang teknik semasa di sekolah menengah lagi. Pelan ini melibatkan penawaran mata pelajaran teknikal di beberapa buah sekolah menengah atas serta pengembangan sekolah menengah teknik dan politeknik. (Kementerian Pendidikan 1996:45)

Daripada apa yang direncanakan dalam Pelan Tindakan Peningkatan Pengeluaran Tenaga Manusia Teknikal di atas, perlulah kita mengimbau kembali sejarah perkembangan pendidikan teknik dan vokasional (PTV) di Malaysia.

Menurut Shahril dan Habib (1999), dalam bukunya bertajuk Isu Pendidikan di Malaysia, Sorotan dan Cabaran menjelaskan sejarah perkembangan pendidikan teknik dan vokasional di negara ini boleh dibahagikan kepada enam peringkat iaitu :

i. ii. iii. iv. v. vi. vii.

Sebelum Perang Dunia Kedua (1900-1940) Semasa Pendudukan Jepun (1941-1945) Selepas Perang Dunia Kedua (1945-1957) Pada Awal Kemerdekaan (1957-1969) Pada Tahun 1970-1990 Pada Tahun 1990 hingga 2000 Pada Tahun 2000 hingga kini

PTV Sebelum Perang Dunia Kedua (1900-1940)

Awal abad 1900-an tidak ada dasar mengenai pendidikan teknik dan vokasional di Tanah Melayu. Menyedari kelemahan dan kekurangan tenaga kerja mahir dan separa mahir pada ketika itu, kerajaan Inggeris telah menubuhkan Jawatankuasa Lemon pada tahun 1918. Ia bertujuan mewujudkan pendidikan teknikal dan perindustrian bagi Negeri-negeri Selat (Wong Hoy Kee & Ee Tiang Hug 1975).

Dengan itu tertubuhnya Sekolah Teknik Treacher pada tahun 1906 di Kuala Lumpur bagi melatih juruteknik-juruteknik khasnya bagi Jabatan Kerja Raya dan Keretapi Tanah Melayu. Pada tahun 1942, sekolah teknik ini telah dinaiktaraf ke maktab dan dinamakan Maktab Teknik. Kini Maktab teknik ini telah dinaiktaraf kepada universiti yang dikenali sebagai Universiti Teknologi Malaysia.

Pada tahun 1925, sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan bagi melihat latihan dalam bidang vokasional. Jawatankuasa tersebut diberi nama The Winsted Committee on Industrial and Technical Education. Hasil daripada jawatankuasa ini telah tertubuh empat buah sekolah ketukangan dengan tujuan utamanya menyalurkan satu cabang pendidikan bagi pelajar sekolah rendah yang lemah akademik supaya mengikuti bidang vokasional bagi persediaan untuk memasuki alam pekerjaan. Kursus ini mengambil masa tiga tahun. Antara kursus yang ditawarkan ialah bidang mekanik am, elektrik dan pertukangan kayu peringkat asas. Walau bagaimanapun kursus-kursus ini tidak mendapat sambutan daripada pelajar kerana :

a) Sikap masyarakat itu sendiri yang memandang rendah terhadap pekerjaan kolar biru. b) Peluang pekerjaan amat berkurangan dalam sektor perindustrian kerana Negara masih bergantung kepada sektor pertanian.

c) Ibu bapa masih menitikberatkan kepada pencapaian dalam akademik daripada pendidikan vokasional. d) Sekolah ketukangan dan kursus yang disediakan dipandang rendah dan hanya sesuai untuk murid-murid sekolah rendah yang pencapaian akademiknya rendah. (Yahya Emat 1995:3).

PTV Semasa Pendudukan Jepun (1941-1945)

Ketika ini sekolah-sekolah teknik dan pertukangan yang ada terus memberikan pendidikan teknik dan vokasional kepada pelajar dan penduduk Tanah Melayu yang bekerja dalam bidang teknik dan Vokasional.

PTV Selepas Perang Dunia Kedua (1945-1957)

Kejatuhan pemerintahan Jepun telah datangnya semula pihak Inggeris ke Tanah Melayu. Sistem pendidikan dikaji semula dan pada tahun 1950 seorang tokoh pendidikan dari England bernama Barnes Oxford. Beliau telah mencadangkan agar pendidikan vokasional di Tanah Melayu dilengkapi dengan sebuah sekolah Menengah Vokasional Moden dan mengutamakan pelajaran Sains, Seni Perusahaan dan Sains Rumah Tangga (Shahril Marzuki, 1993:48). Namun cadangan ini tidak dapat dilaksanakan kerana kekurangan dana.

Dalam pilihanraya 1955, parti Perikatan telah dipilih untuk berkuasa dan berjanji membentuk satu sistem pendidikan yang sama untuk semua penduduk. Pada tahun 1956 terbentuklah Jawatankuasa Pendidikan yang dikenali sebagai Penyata Razak 1956. Perubahan penting dalam PTV telah diserapkan ke dalam sistem pendidikan kebangsaan dan diberi keutamaan. (Yahya Emat 1993:4).

PTV Awal Kemerdekaan (1957-1969)

Pada peringkat ini Laporan Rahman Talib telah menjadi Akta Pendidikan 1961. Antara syorsyor yang telah dibuat ialah mengenai sekolah menengah pertukangan dan sekolah menengah teknik hendaklah diwujudkan. Kerajaan telah membuka lapan buah sekolah ketukangan di luar bandar dan akhirnya ditukar kepada sekolah lanjutan kampung tetapi tidak mendapat

sambutan kerana sistem tidak menyediakan pelajar menghadapi peperiksaan. Sistem pendidikan Aneka Jurusan telah ditubuhkan pada tahun 1965 bagi sekolah menengah rendah.

Pada tahun 1968 pula, tiga buah sekolah teknik telah dibina dengan tujuan menyuburkan kebolehan pelajar dalam bidang kejuruteraan. Di sini, mata pelajaran akademik juga dititikberatkan di samping mata pelajaran teknikal yang ditawarkan. Pendidikan pelajar berorientasikan peperiksaan juga diperkenalkan iaitu Sijil Pelajaran Malaysia. Bagi pelajar yang cemerlang akan berpeluang melanjutkan pelajaran ke Maktab Teknik atau Institusi Teknologi MARA atau kolej teknikal yang lain.

PTV Pada Tahun 1970-1990

Pada peringkat ini pula, matlamat pendidikan selain membasmi buta huruf, ia juga bertujuan mencapai matlamat ekonomi negara. Oleh itu pada tahun 1970-1989, beberapa sekolah menengah teknik dan vokasional ditubuhkan. Ia bertujuan menampung permintaan pelajar yang berminat dalam sistem PTV. Bilangan politeknik juga semakin bertambah.

PTV Pada Tahun 1990 hingga 2000

Pada tahun 1990-an, permintaan memasuki sekolah teknik dan vokasional semakin bertambah. Bukan sahaja daripada golongan pelajar lemah malah sambutan hangat daripada pelajar cemerlang lulusan SRP. Oleh yang demikian, persaingan mendapatkan tempat untuk belajar di sini semakin sengit. Ini kerana kesedaran ibu bapa pelajar bahawa pentingnya pendidikan teknik dan vokasional dalam era negara menuju negara perindustrian, ditambah dengan permintaan guna tenaga yang tinggi. Oleh yang demikian, Kementerian Pendidikan menggubal semula matlamat dan tujuan PTV agar ia dapat menampung kekurangan yang ada. Tujuan dan objektif PTV ialah :

a. Pendidikan Teknik Tujuannya adalah untuk menyediakan pelajar yang cenderung kepada bidang teknik di peringkat pendidikan menengah atas melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi. Objektif pendidikan teknik ialah memberikan pendidikan akademik yang seimbang dan menyediakan pendidikan asas dalam bidang sains dan teknologi. (Kementerian Pendidikan Malaysia 1986:50).

b. Pendidikan Vokasional Tujuannya ialah melahirkan pelajar yang cenderung kepada bidang vokasional di peringkat menengah atas. Kursus yang diadakan membolehkan pelajar mendapatkan pengetahuan asas vokasional dan kemahiran bagi membolehkan mereka mendapat pekerjaan sebagai tenaga kerja mahir atau separuh mahir dalam industri.

Pada tahun 1995 pula, beberapa perubahan telah berlaku dalam PTV termasuklah penstrukturan semula 69 Sekolah Menengah Vokasional (SMV) kepada Sekolah Menengah Teknik (SMT). Ini bermakna semua SMV menjadi SMT dan pendidikan vokasional dijalankan oleh agensi kerajaan yang terlibat. Beberapa mata pelajaran teknikal juga telah diubah.

PTV Pada Tahun 2000 hingga kini

Pada tahun 2000 pendidikan vokasional telah mengalami perubahan dan pengubahsuaian dari segi struktur dan kurikulumnya. Ini bertujuan memberi latihan yang lebih sesuai untuk memenuhi keperluan dan permintaan tenaga mahir di Malaysia. Menyedari keperluan penguasaan kemahiran dalam bidang-bidang tertentu kepada pelajar, perubahan kurikulum PTV dilakukan bagi membuka peluang yang lebih luas kepada pelajar yang cenderung dan berkeupayaan dalam bidang teknikal untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Selaras dengan tuntutan semasa, Jabatan Pendidikan Teknikal telah menyemak semula kurikulum aliran vokasional. Semakan semula itu mengambil kira kehendak semasa industri bagi membantu pelajar mencapai kemahiran yang mencukupi untuk membolehkan lulusan aliran PTV memilih bidang pekerjaan yang sesuai dalam sektor kejuruteraan, perdagangan, pertanian dan perkhidmatan. Ini kerana hala tuju perindustrian negara sudah berubah dari labour intensive kepada capital intensive yang memberi penekanan kepada penggunaan teknologi terkini serta keperluan tenaga manusia berkemahiran dan berpengetahuan saintifik dan teknikal.

Satu proses penasihatan atau pemantauan diwujudkan dalam sistem pendidikan di Malaysia untuk tujuan ini. Proses vokasionalisasi telah mendapat perhatian KPM dengan menaiktaraf pendidikan teknik dan vokasional seperti memperkenalkan Sijil Terbuka pada

peringkat SPM mulai tahun 2000. Berdasarkan perkembangan ini, suatu majlis atau jawatankuasa penasihat (JP) diwujudkan di sekolah-sekolah SMV dan SMT. Dengan wujudnya JP, satu proses penasihatan dan pemantauan yang berkaitan dengan keperluan dan perkembangan PTV telah diberi perhatian khusus.

Selari dengan keperluan terhadap modal insan dalam bidang teknikal dan kemahiran, sistem PTV diberi ruang untuk diperbaiki dan ditambah nilai khususnya bagi memastikan akses dan ekuiti pelajar diambil kira. Pada tahun 2008, KPM telah mengarusperdanakan PTV dalam merealisasikan matlamat menjadikan pendidikan lebih berdaya saing dan hal itu diterjemahkan dengan penggubalan sistem latihan dan kemahiran yang berfokus kepada peperiksaan. Timbalan Menteri Pelajaran pada ketika itu yang berucap di majlis Konvensyen Guru-Guru Vokasional dan Kemahiran berkata : Masyarakat perlu tahu bahawa konotasi orang cemerlang seharusnya bukan bergantung pada kecemerlangan akademik semata-mata tetapi harus juga diukur melalui pencapaian seseorang itu di dalam kehidupan

(Datuk Razali Ismail 2008)

Kesinambungan daripada mengarusperdanakan PTV, dalam ucapan oleh Y.A.B Perdana Menteri di Dewan Rakyat semasa membentangkan Rancangan Malaysia Kesepuluh bagi tempoh 2011- hingga 2015, beliau telah menyatakan pelajar perlu melihat keperluan pendidikan teknikal dan latihan vokasional dalam prospek kerjaya yang lebih baik. Pendidikan teknikal dan latihan vokasional menyediakan landasan alternatif yang baik bagi para pelajar merealisasikan potensi mereka. Seramai 100,000 lepasan SPM memasuki pasaran pekerjaan setiap tahun tanpa latihan kemahiran. Bagi membolehkan mereka mendapat pendidikan teknikal dan latihan vokasional, kemudahan pendidikan teknikal dan latihan vokasional dipertingkatkan.

Jabatan Pembangunan Kemahiran dijadikan agensi tunggal dalam pembangunan dan pengesahan kualiti kurikulum pendidikan teknikal dan latihan vokasional. Sijil Kemahiran Malaysia pula akan dijadikan persijilan kebangsaan yang diiktiraf bagi kemasukan dalam perkhidmatan awam dan institusi pengajian tinggi. Hal ini akan meningkatkan keyakinan dan

mendorong lebih ramai lepasan sekolah melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan teknikal dan latihan vokasional.

Bagi menggalakkan penglibatan sektor swasta dalam melatih pekerja berkemahiran tinggi, Kerajaan telah mengambil langkah berikut :

a. Memperluas pelaksanaan Program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) yang melibatkan kandungan latihan sebanyak 70 peratus secara hands on di tempat kerja dan 30 peratus latihan teori di institusi latihan; b. Mempergiat pelaksanaan pengiktirafan pencapaian terdahulu atau Recognition of Prior Learning, iaitu menganugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia kepada 60,000 pekerja setahun dengan mengiktiraf pengetahuan, pengalaman dan kemahiran pekerja yang diperoleh di tempat kerja dan c. Menggalakkan sektor swasta dalam menyediakan latihan kemahiran dan vokasional.

Transformasi PTV akan dilaksanakan sepenuhnya mulai tahun 2013 maka aliran ini tidak lagi dianggap sebagai pendidikan kelas dua. Ketika ini umum beranggapan ia sebagai tempat pelajar yang tidak berminat belajar dalam aliran akademik. Pengumuman sistem baru ini oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melonjakkan kedudukan aliran tersebut dalam sistem pendidikan negara. Transformasi ini telah menjanjikan kelulusan hingga ke peringkat yang lebih tinggi bagi memenuhi keperluan tenaga mahir negara.

Usaha memartabatkan PTV dilaksanakan supaya berlaku perubahan landskap di mana aliran ini akan menjadi pilihan utama pelajar-pelajar dan ibu bapa seperti kebiasaan amalan di negara-negara maju. Ketika ini dalam sistem pendidikan kita hanya 10 peratus (%) daripada jumlah pelajar yang mengikuti pendidikan teknikal dan vokasional. Bilangan ini dikira kecil jika dibandingkan dengan negara lain seperti Korea Selatan 28%, Thailand 41%, Indonesia 51%, Jerman 59%, Australia 62% dan Belanda 68%. Sementara itu di kalangan negara OECD yang berjumlah 44 negara puratanya ialah sebanyak 44%. Perubahan diperlukan tidak untuk menyediakan tenaga kerja terlatih yang berkemahiran bagi memenuhi keperluan negara untuk memasuki pasaran pekerjaan.

Bidang kemahiran dan teknikal serta pendedahan dengan latihan amali sejak di bangku sekolah akan membolehkan pelajar menyesuaikan diri dengan mudah dalam alam

pekerjaan. Pekerja yang mempunyai kemahiran teknikal dan pernah mengikuti latihan amali sangat diperlukan oleh pihak industri pada masa kini.

Sorotan daripada sejarah perkembangan PTV, jelas menunjukkan bahawa sistem pendidikan formal PTV adalah penting dan saling melengkapi untuk melatih pekerja mahir dalam membantu negara mencapai matlamat Dasar Perindustrian Negara menjelang 2020.