Anda di halaman 1dari 4

Berkomunikasi Secara Profesional Melambangkan Pendidik Cemerlang

(Ucapan Profesional ini telah disampaikan dalam Perhimpunan Bulanan MPTAA pada 27 Julai 2004 di Dewan Darul Makmur MPTAA)

Oleh: Mohd Rasdi Saamah Jabatan Pengajian Melayu Institut Perguruan Tengku Ampuan Afzan

Dalam kehidupan kita seharian, bertutur atau berkomunikasi secara verbal merupakan perkara yang wajib dan dilakukan oleh semua orang, kecuali mereka yang tidak mempunyai keupayaan disebabkan oleh kecacatan. Dengan kata lain selagi seseorang itu boleh bertutur, maka selagi itulah bahasa digunakan dalam komunikasi mereka atau dengan kata lain mereka boleh berbahasa. Tanpa mengira bahasa, bertutur merupakan saluran komunikasi yang penting bagi setiap individu dalam proses pertukaran pengetahuan dan pengalaman dengan individu yang lain. Ada orang yang menguasai bahasa tetapi tidak dapat menyampaikan hujah dengan baik kerana gagal menyusun secara teratur bahasa tersebut. Kegagalan seseorang itu menguasai kemahiran bertutur dan berbahasa dengan baik tentunya akan merencatkan keberkesanan mesej yang akan disampaikannya. Menurut Abdullah Hassan (2002) kemahiran bertutur dan berbahasa mempengaruhi kejayaan seseorang di dalam kerjayanya, kehidupan peribadinya, kebahagiaannya dan malah juga turut mempengaruhi kesihatan mentalnya. Banyak kerjaya yang memerlukan kemahiran bertutur dan berbahasa umpamanya kerjaya sebagai ahli politik, peguam, juruhebah, pengacara, penceramah, pendakwah, pakar motivasi, pemimpin masyarakat dan tidak terkecuali guru. Dalam konteks kerjaya sebagai seorang guru, kemahiran ini merupakan aset yang utama kerana guru banyak berinteraksi secara interpersonal dengan orang lain. Guru perlu berhadapan dengan murid-murid, guru perlu berhadapan dengan rakan setugas, guru perlu berhadapan dengan pentadbir sekolah dan jabatan, guru perlu berhadapan dengan para ibu bapa dan guru juga perlu berhadapan dengan masyarakat di sekitarnya. Oleh itu dalam konteks sedemikian, apakah kita benar-benar berkemahiran dalam bertutur? Dan sejauhmanakah kita sebagai pengguna bahasa akur kepada kesopanan dalam bertutur? Inilah persoalan-persoalan yang akan dirungkaikan dalam ruang yang terbatas ini. Penggunaan bahasa sehari-hari yang tidak menimbulkan kemarahan, kegusaran atau rasa kecil hati daripada pihak yang lain merupakan bahasa yang sopan. Penggunaan bahasa yang kasar dan kurang sopan akan menimbulkan kesan yang sebaliknya, malah akan menjejaskan hubungan kedua-dua pihak yang terbabit. Perumpamaan Melayu ada menyatakan sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa yang mana mempunyai falsafah yang cukup tinggi dalam konteks kemahiran bertutur dan berbahasa. Malah dalam konteks agama Islam dan agama-agama lain juga, aspek tutur kata dan berbahasa ini diambil kira sebagai perkara yang amat penting, kerana ia turut melibatkan hubungan perasaan antara manusia dengan manusia yang lain. Kesantunan berbahasa atau kesopanan bahasa boleh ditakrifkan sebagai bentuk yang bermaksud untuk berlaku sopan kepada orang yang mendengar atau diajak bercakap bagi tujuan menghormatinya. Kesantunan dalam berbahasa akan

memperlihatkan kesopanan terhadap orang yang bercakap dan dianggap sebagai seorang yang berbudi bahasa. Menurut Dr. Teo Kok Seong (2003) kesantunan berbahasa dalam sesebuah masyarakat itu tidak selalunya sama dengan kesantunan berbahasa yang wujud atau diamalkan dalam sebuah masyarakat lain. Menggunakan, misalnya strategi kesantunan berbahasa Inggeris semasa berbahasa Melayu, tidak selalunya memberi jaminan bahawa seseorang itu boleh selalu berlaku sopan kepada pihak yang mendengar atau diajak bercakap. Justeru itu, dalam kebanyakan masyarakat terdapat pelbagai tingkat kesopanan yang dicerminkan oleh bahasa. Antaranya penggunaan bahasa halus, yakni bahasa yang lebih sopan daripada bahasa yang biasa digunakan seharian. Bahasa halus dalam erti kata yang lain, merupakan salah satu kelainan sosial yang ada dalam sesuatu bahasa tertentu. Dalam masyarakat Melayu misalnya, penggunaan perkataan saya lebih bersopan daripada menggunakan perkataan aku. Perkataan anda lebih sopan daripada perkataan awak dan kamu. Perkataan perempuan lebih sopan daripada perkataan betina. Perkataan meninggal lebih sopan daripada perkataan mati dan sebagainya yang sememangnya kita gunakan pada setiap hari. Dalam berkomunikasi secara lisan, kita boleh mengamalkan konsep 3 SM, iaitu saling memahami, saling menghargai dan saling menghormati. Dalam situasi tertentu, taraf dan peranan orang yang dilawan cakap (iaitu orang yang bercakap dengan kita) juga perlu diambil kira kerana tiap-tiap satu peranan individu itu mempunyai kaitan dengan individu yang lain. Sebagai seorang guru atau pendidik, kita mungkin akan menghadapi situasi di mana kita ditugaskan mempengerusikan sesuatu mesyuarat, seminar, perbahasan atau majlis-majlis tertentu yang melibatkan ramai audien. Sebagai seorang pengerusi kita seharusnya bercakap kepada semua orang, bukannya kepada orang-orang tertentu di bahagian hadapan sahaja. Kita harus menyedari bahawa kehadiran audien sama pentingnya dengan kehadiran kita sebagai pengerusi. Begitu juga sebaliknya sekiranya kita sebagai audien, kita harus memahami, menghargai dan menghormati tugas pengerusi dalam majlis berkenaan. Oleh yang demikian penggunaan bahasa yang sopan dan sesuai menunjukkan kita saling memahami, menghargai dan menghormati orang lain yang akhirnya akan menimbulkan suasana harmoni dalam sesuatu majlis tersebut. Dalam konteks yang sama, sebagai pengamal bahasa yang berpendidikan kita hendaklah menghargai pendapat, idea atau pandangan orang lain walaupun pada asasnya kita kurang bersetuju dengan pendapat tersebut. Menghargai pendapat orang lain bukan bererti kita bersetuju, tetapi kita boleh menyatakan pendirian kita dengan cara yang lebih halus dengan menggunakan bahasa yang lebih sopan. Dalam masyarakat Jepun misalnya, mereka sedaya upaya mengelakkan daripada menggunakan perkataan tidak (no) dalam interaksi lisan dengan orang lain. Untuk tidak menyinggung perasaan orang yang dilawan cakap mereka biasanya menggunakan ya......tetapi... (yes.....but). Contohnya Ya, itu pendapat anda, tetapi pada pandangan saya.... Justeru itu dalam penggunaan bahasa semasa pengajaran di kelas kita boleh mengamalkan konsep ini, iaitu tidak menyekat terus sebarang jawapan atau pandangan murid-murid sekiranya salah. Kita seharusnya memberi peluang untuk mereka memberi alasan atau rasional kepada jawapan atau pendapatnya itu. Tindakan menyekat atau memotong terus sebarang jawapan yang salah akhirnya akan membunuh minat murid untuk melahirkan pendapat atau pandangan mereka. Sehubungan dengan itu, penggunaan bahasa yang positif dalam pertuturan amat penting bagi kita sebagai pendidik di sekolah. Kajian menunjukkan orang-orang yang berjaya banyak menggunakan bahasa yang positif, iaitu bahasa yang boleh mempengaruhi orang lain untuk ke arah kejayaan. Bahasa ini disampaikan dengan

penyampaian yang fasih, lancar dan teratur, serta menggunakan bahasa yang tersusun rapi. Pengunaan bahasa yang positif seperti Kita ada harapan akan menang adalah lebih baik daripada bahasa yang negatif seperti Ada kemungkinan kita akan kalah. Idea ini bagus, kita akan usahakan kosnya lebih baik daripada Idea ini mahal, kita tidak ada wang. Kepada murid yang gagal nyatakan Awak masih ada harapan walaupun gagal atau Awak mungkin lebih baik kalau cuba sekali lagi dan elakkan daripada menyatakan Awak memang tak ada harapan walaupun mencuba lagi yang akhirnya akan memadamkan semangat individu berkenaan. Sebagai seorang pendidik yang profesional, kita bukan sahaja perlu berfikir, bekerja dan bertindak secara profesional, malah kita juga perlu bertutur dan berhujah secara profesional. Tetapi malangnya, dalam situasi-situasi tertentu seperti di seminar, mesyuarat atau majlis-majlis tertentu yang kita hadiri, masih ada kalangan profesional yang berbangga jika soalannya gagal dijawab oleh pembentang kertas kerja atau pengerusi mesyuarat. Mereka yang dianggap profesional ini cukup bangga jika soalannya dapat memerangkap pembentang kertas kerja atau pengerusi mesyuarat berkenaan tanpa mempedulikan lagi soal saling memahami, menghargai dan menghormati, iaitu konsep 3SM tadi. Apakah sebenarnya tujuan kita bertanyakan soalan sekiranya mengharapkan orang yang ditanya gagal menjawabnya? Apakah sebenar matlamat kita menyoal jika bukan untuk mendapatkan jawapan? Dalam situasi seperti ini, kita harus ingat bahawa segala tutur kata dan cara kita berbahasa sebenarnya secara tidak disedari kita dinilai oleh khalayak. Menjadi pendidik pada zaman yang mencabar ini memerlukan banyak pengorbanan yang perlu melibatkan fizikal dan mental. Sebagai bakal guru, segala macam kerenah manusia bakal menunggu anda di dalam ruang lingkup kehidupan yang berbeza antara satu kelompok dengan kelompok yang lain dan antara individu dengan individu yang lain. Mahu tidak mahu segala macam kerenah ini perlu ditempuhi selagi kita mengiktiraf diri kita sebagai seorang guru yang cemerlang dan dedikasi. Justeru itu, memiliki Keupayaan Kecerdasan Intelek (IQ) yang tinggi sahaja tidak akan menjamin seseorang itu akan menjadi cemerlang dalam realiti kehidupan hari ini. Keupayaan Kecerdasan Intelek (IQ) perlu diseimbangkan dengan kekuatan Kecerdasan Emosi (EQ) barulah dapat melengkapkan kestabilan individu dalam menghadapi seribu macam kerenah manusia pada hari ini. Tanpa kedua-dua gandingan kecerdasan tersebut akhirnya akan melahirkan satu iklim komunikasi yang suram dan tegang apabila keduadua pihak gagal mengawal emosi diri masing-masing. Justeru itu kita sebagai guru perlu mempunyai kesedaran dan pengurusan kendiri yang tinggi, yang di dalamnya termasuklah kesedaran emosi kendiri, keyakinan diri, penghormatan kendiri, kawalan emosi kendiri, kebolehsuaian dan sebagainya. Untuk memantapkan soal komunikasi ini di kalangan guru, kurikulum pendidikan bahasa di maktab tidak boleh hanya melibatkan pengajaran dan pembelajaran kemahiran dan struktur bahasa semata-mata, kurikulum juga hendaklah memasukkan pengajian tentang gagasan sosiobudaya yang terkandung dalam bahasa berkenaan secara menyeluruh. Pengajian itu antaranya boleh berbentuk nilai, susila, adat dan adab yang mewakili akal budi kelompok yang merupakan penutur asal bahasa itu. Sesebuah kurikulum pendidikan bahasa itu hendaklah memasukkan akal budi linguistik para penutur asli bahasa yang ingin diajarkan dan dipelajari itu. Dalam hubungan ini, kurikulum pendidikan bahasa Melayu misalnya, hendaklah mempunyai matlamat pengajian bahasa Melayu yang mengambil kira pengajaran dan pembelajaran akal budi linguistik yang mewakili dua komponen utama bahasa, iaitu linguistik atau strukturnya dan sosiolinguistik atau sosiobudayanya. Oleh itu untuk

berfungsi dengan baik sebagai salah seorang penutur bahasa Melayu yang cekap, seseorang itu hendaklah menguasai bahasa Melayu yang melewati komponen linguistik atau struktur bahasa Melayu. Hal ini demikian kerana kebolehan berbahasa Melayu bukan setakat memerlukan pengetahuan menghasilkan ayat yang gramatis tetapi penuturnya juga perlu mengetahui tentang apa yang boleh dilafazkan, kepada siapa sesuai dilafazkan, dan dalam situasi yang bagaimana serta cara melafazkannya. Akhir kata, pada pandangan saya kesegakan dan kecantikan rupa paras, kekemasan berpakaian, kesesuaian bertata rias dan ketinggian ilmu pengetahuan tidak akan sempurna sekiranya tanpa dilengkapi dengan kesopanan tutur kata dan keluhuran budi bicara.

Yang kurik itu kendi Yang merah itu saga Yang cantik itu budi Yang indah itu bahasa.

Sekian, terima kasih. Wasallammualaikum....