Anda di halaman 1dari 2

KESETIAAN KHADIJAH

KEKUATAN ISLAM
Saidatina Khadijah RA merupakan wanita pertama beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Beliau
banyak membantu dan memperteguhkan tekad Rasulullah SAW melaksanakan risalah dakwah.
Beliau sentiasa berusaha meringankan kepedihan hati dan menghilangkan keletihan serta
penderitaan yang dialami oleh suaminya dalam menjalankan tugas dakwah. Inilah keistimewaan
dan keutamaan Khadijah dalam sejarah perjuangan Islam. Beliau adalah sumber kekuatan yang
berada di belakang Rasulullah SAW.

KESETIAAN YANG BERSEJARAH

Mari kita singkap kembali peristiwa yang sungguh mendebarkan jantung Rasulullah SAW.
Peristiwa itu ialah penerimaan wahyu yang pertama di Gua Hira’. Sekembalinya ke rumah,
baginda berkata kepada isterinya yang tercinta, “Aku berasa khuatir terhadap diriku.”
Khadijah berusaha menabahkan hati suami yang ditaatinya dengan berkata, “Wahai kekanda,
demi Allah, Tuhan tidak akan mengecewakanmu kerana sesungguhnya kekanda adalah orang
yang selalu memupuk dan menjaga kekeluargaan serta sanggup memikul tanggungjawab. Dirimu
dikenali sebagai penolong kaum yang sengsara, sebagai tuan rumah yang menyenangkan tamu,
ringan tangan dalam memberi pertolongan, sentiasa berbicara benar dan setia kepada amanah.”

Apakah ada wanita lain yang dapat menyambut sedemikian baik peristiwa bersejarah yang
berlaku di Gua Hira’ seperti yang dilakukan oleh Khadijah kepada suaminya? Apa yang
dikatakan oleh Khadijah kepada suaminya pada saat menghadapi peristiwa besar itu
menunjukkan betapa besarnya kepercayaan dan kasih sayang seorang isteri kepada suami yang
dilandasi iman yang teguh. Sedikit pun Khadijah tidak berasa ragu-ragu atau syak di dalam
hatinya. Persoalannya, dapatkah kita berlaku demikian?

Khadijah merupakan wanita kaya dan terkenal. Beliau boleh hidup mewah dengan hartanya
sendiri. Namun semua itu dengan rela dikorbankannya untuk memudahkan tugas-tugas
suaminya. Hal ini jelas menunjukkan beliau merupakan wanita yang mendorong kemajuan
pahlawan umat manusia, melindungi pejuang terbesar dalam sejarah dengan mewujudkan
kedamaian dalam kehidupan suaminya. Sikap inilah yang menjadi sumber kekuatan kepada
Rasulullah SAW sepanjang kehidupan mereka bersama. Oleh itu, kita perlu berdoa semoga Allah
memberi kita kekuatan untuk membantu menguatkan semangat jihad golongan lelaki yang
seangkatan dengan kita.
KESETIAAN YANG MENDORONG KEGIGIHAN

Mari kita teliti, fahami serta hayati beberapa gambaran kesetiaan Khadijah yang telah membina
kekuatan pada diri dan kehidupan penegak risalah Islam itu.

Sepanjang hidupnya bersama Rasulullah SAW, Khadijah begitu setia menyertai baginda dalam
setiap peristiwa suka dan duka. Setiap kali suaminya ke Gua Hira’, beliau pasti menyiapkan
semua bekalan dan keperluannya. Seandainya Rasulullah SAW agak lama tidak pulang, beliau
akan meninjau untuk memastikan keselamatan baginda. Sekiranya baginda khusyu’ bermunajat,
beliau tinggal di rumah dengan sabar sehingga baginda pulang. Apabila suaminya mengadu
kesusahan serta berada dalam keadaan gelisah, beliau cuba sedaya mungkin mententeram dan
menghiburkannya sehingga suaminya benar-benar merasai ketenangan. Setiap ancaman dan
penganiayaan dihadapi bersama. Malah dalam banyak kegiatan peribadatan Rasulullah SAW,
Khadijah pasti bersama dan membantu baginda seperti menyediakan air untuk mengambil
wuduk.

Kecintaan Khadijah bukanlah sekadar kecintaan kepada suami, sebaliknya yang jelas adalah
berlandaskan keyakinan yang kuat tentang keesaan Allah SWT. Segala pengorbanan untuk
suaminya adalah ikhlas untuk mencari keredaan Allah SWT. Allah Maha Adil dalam memberi
rahmat-Nya. Setiap amalan yang dilaksanakan dengan penuh keikhlasan pasti mendapat ganjaran
yang berkekalan. Firman Allah yang bermaksud:

“Barang siapa yang mengerjakan amalan saleh, baik lelaki mahupun wanita dalam keadaan
beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan
sesungguhnya akan Kami berikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik
daripada apa yang telah mereka kerjakan.” (An-Nahl: 97)

Janji Allah itu pasti benar. Kesan kesetiaan Khadijah bukan sekadar menghasilkan kekuatan yang
mendorong kegigihan dan perjuangan Rasulullah SAW, malah membawa barakah yang besar
kepada rumah tangga mereka berdua. Anak-anak yang lahir juga adalah anak-anak yang saleh.
Keturunan zuriat ahlul-bait Rasulullah SAW merupakan insan yang sentiasa taat melaksanakan
perintah Allah SWT. Semua ini menghasilkan kekuatan yang membantu meningkatkan
perjuangan Islam.

Wahai muslimah, sekarang adalah masa untuk kita hidupkan kembali hakikat ini dalam
kehidupan kita. Semoga kekuatan Islam akan kembali mentadbir kehidupan insan.

Anda mungkin juga menyukai