Anda di halaman 1dari 3

Refleksi

Nama: Faikha Munirah binti Mohd Taher

No. IC: 911227-01-6208

Pertama-tamanya, bersyukur saya ke hadrat Ilahi kerana dengan berkat inayah-Nya, saya dapat melaksanakan tugasan PJM3112 ini dengan baik. Walaupun tugasan ini boleh dikatakan mencabar untuk saya, saya percaya bahawa saya sudah melakukan yang terbaik sepanjang proses menyiapkannya. Bagi soalan untuk semester ini, saya diminta supaya merancang dan mengelola satu Karnival Permainan Tradisional. Tujuannya adalah untuk mendedahkan bakal guru akan kepentingan pengurusan pertandingan sukan serta membantu mereka merancang sebuah pertandingan sukan yang baik dan bersistematik. Dalam pada itu, karnival ini turut dikelolakan bersama-sama lapan opsyen lain yang mengambil Pendidikan Jasmani sebagai subjek elektif mereka. Hasilnya, sebanyak 18 permainan tradisional telah dipertandingkan pada program yang berlangsung pada 16 Mac 2013 yang lepas. Antaranya ialah, tuju getah, kho kho, congkak, batu seremban, terompah gergasi, larian buluh, bola beracun, tuju selipar, zero point, dan sebagainya. Kelas Prasekolah sendiri menganjurkan pertandingan permainan sepak manggis dan kabadi. Setiap kelas menjalankan dua jenis permainan tradisional. Kelas saya telah memilih permainan sepak manggis dan kabadi. Melalui permainan sepak manggis, pemain perlu menyepak bola ke atas, mengenai bekas yang digantung pada tiang. Kebiasaannya, ada hadiah yang diletakkan di dalam bekas sasaran tersebut seperti gula-gula, duit syiling, dan lainlain lagi. Kelas saya menggunakan gula-gula di mana mata akan dikira berdasarkan jumlah gula-gula yang dapat dijatuhkan pemain. Sementara itu, permainan kabadi pula merupakan permainan kaum India. Cara bermainnya adalah lebih kurang sama dengan permainan galah panjang tetapi, pemain harus menyentuh salah seorang pemain dari pasukan lawan dan mengelakkan diri daripada ditangkap oleh mereka, bagi mendapatkan satu mata. Jika pemain berjaya ditangkap, mata akan diberikan kepada pasukan lawan. Selain itu, semua pemain dimestikan untuk menyebut kabadi ketika bermain. Pada pendapat saya, kedua-dua permainan tradisional yang kami pilih ini telah menarik minat peserta kerana ia sudah jarang dimainkan. Saya juga melihat bagaimana ahli kelas saya mampu melaksanakan permainan kami dengan lancar meskipun sepak manggis dan kabadi dijalankan pada waktu dan tempat yang berbeza. Tambahan pula, rata-rata kami sudah penat

setelah menyertai beberapa permainan anjuran kelas yang lain. Hal ini menunjukkan bahawa pembahagian tempat dan jawatankuasa adalah penting dalam memastikan permainan boleh dijalankan tanpa memakan masa yang lama untuk bergerak dari satu tempat permainan ke satu tempat permainan yang lain. Jelas, pengurusan masa juga berperanan besar ketika hendak merancang sesuatu program supaya masa yang diperuntukkan untuk satu-satu permainan itu berjalan mengikut tentatif yang diatur. Saya dan rakan-rakan telah mengadakan mesyuarat sebanyak tiga kali sebagai persiapan menjelang karnival ini. Perjumpaan kami yang pertama adalah untuk melantik jawatankuasa tertinggi iaitu pengerusi, naib pengerusi, setiausaha, bendahari serta ahli-ahli jawatankuasa dibawahnya. Kami melakukan sistem undi untuk memilih kerja masing-masing. Mesyuarat seterusnya kemudian dibuat bagi mengemaskini aktiviti dan memaklumkan perkaraperkara terkini berkaitan dengan karnival. Saya dan seorang lagi rakan, Noor Asma bertanggungjawab ke atas jawatankuasa cenderahati dan hadiah. Antara tugas kami ialah mengetahui jumlah kewangan yang dikhaskan untuk bahagian cenderahati ini, juga menyediakan hamper untuk pemenang dan cenderahati bagi pensyarah. Menerusi pengalaman yang berikut, saya dapat belajar dan lebih faham akan aspek pengurusan dan pengelolaan program seperti berhubung dengan pihak maktab berkenaan peruntukkan wang, menempah hamper daripada koperasi dan sebagainya. Kami sebenarnya membuat persiapan tempat pada pagi hari karnival kerana gelanggang digunakan pada hari sebelumnya. Walaupun begitu, kerjasama antara kami untuk turun awal telah memudahkan kerja-kerja penyediaan tempat di mana kami dapat memulakan majlis perasmian sama seperti yang dijadualkan. Oleh itu, saya sedar bahawa untuk merancang sesuatu aktiviti bukanlah senang kerana ia memerlukan persediaan yang rapi dan menyeluruh. Saya berharap agar saya dan rakan-rakan yang lain juga boleh membuat perancangan yang bersistematik apabila mengendalikan apa-apa program di sekolah nanti. Beberapa kekuatan telah saya kenalpasti semasa menganjurkan karnival permainan tradisional ini. Antaranya ialah, saya dapat mengukuhkan pengetahuan sedia ada tentang bagaimana melaksanakan program dengan baik. Ilmu tersebut pasti boleh membantu saya dalam mengelola sesuatu projek pada masa akan datang. Kekuatan kedua yang dapat saya perhatikan adalah peralatan-peralatan yang kami guna mudah didapati dan tidak memerlukan kos yang tinggi. Ketiga, faktor cuaca yang sekejap redup dan sekejap panas telah menyebabkan perjalanan karnival yang licin. Seterusnya, perkara yang paling penting ialah

kami dapat mengeratkan ikatan silaturrahim dalam kalangan kami yang datang dari sembilan opsyen yang berlainan, apabila selama ini kami tidak mempunyai kesempatan untuk berinteraksi dengan lama. Selain itu, kami tidak lain berpeluang mengenali, mencuba, dan bermain pelbagai permainan tradisional. Bagi saya yang menyertai pertandingan tuju getah dan kho kho, ia sememangnya satu kenangan yang cukup berharga. Pada masa yang sama, terdapat kelemahan yang dapat saya kesan. Pertama, tempoh masa bagi setiap permainan yang tidak sekata. 30 minit diberikan kepada penganjur untuk menamatkan permainan mereka namun beberapa permainan mengambil masa yang lama untuk selesai lalu mengakibatkan permainan seterusnya terganggu. Di samping itu, saya melihat sesetengah penganjur tidak telus di dalam soal peraturan permainan apabila mereka secara suka hati mengubah peraturan, mengambil mudah pemain yang membuat kesalahan, serta tidak arif dengan selok belok permainan sendiri. Kelemahan-kelemahan ini sepatutnya dielakkan bagi mewujudkan suasana pertandingan yang menyeronokkan dan adil. Secara tuntas, karnival permainan tradisional ini telah banyak membantu saya dan rakan-rakan dalam memupuk jati diri sebagai seorang guru yang bakal mendidik anak bangsa kelak. Ia turut mengajar kami supaya melakukan pengurusan dari pelbagai segi bagi melaksanakan program yang baik. Akhir sekali, ribuan terima kasih diucapkan kepada para pensyarah terutamanya, Encik Muzarpar bin Esnawi yang sentiasa memberikan tunjuk ajar kepada kami untuk menjayakan karnival ini. Tidak lupa juga kepada semua pelajar semester 5 yang terlibat sama di dalam program ini kerana tanpa komitmen dan usaha kalian, karnival yang kita rancang ini tidak akan mampu berlangsung dengan sempurna seperti yang diharapkan.

Sekian, terima kasih.