Anda di halaman 1dari 5

Lampiran 7C Penerapan Kemahiran Berfikir secara Kritis dan Kreatif ( KBKK), kemahiran sosial dan nilai di RPH C

Penerapan Kemahiran Berfikir secara kritis dan kreatif (KBKK) Penerapan Kemahiran Berfikir secara Kritis dan Kreatif diterapkan kepada pelajarpelajar supaya mempunyai kesediaan atau perkembangan kognitif yang tinggi dalam kaedah permodelan PBL kerana mempunyai kebolehan memahami sesuatu isi pelajaran daripada peringkat konkrit hingga ke peringkat abstrak dengan mudah. Pendekatan ataupun fokus perspektif kognitif dalam pendidikan ke atas kualiti proses pemikiran yang boleh ditonjolkan dalam tugasan yang diberikan. Hal ini bersesuaian dengan penggunaan kecerdasan dengan gaya pembelajaran yang efektif kerana guru menyediakan bahan pengajaran yang bertindakbalas secara langsung terhadap keperluan individu. Perkara ini berkaitan dengan kesediaan pembelajaran, motivasi, aras kesukaran pelajaran, aktiviti penyelesaian masalah (PBL), persekitaran pembelajaran dan sokongan emosi. Pelajar-pelajar diberi dorongan untuk bekerjasama dalam kumpulan serta melibatkan diri secara aktif untuk mendapatkan hubungan antara maklumat yang diperoleh daripada penerangan guru dengan masalah atau situasi yang diberikan. Pembelajaran arah kendiri ini dipilih untuk membentuk keupayaan pelajar menjadi pemikir dan penganalisis maklumat seterusnya mengaplikasikan dalam situasi atau masalah yang diberikan dalam tugasan. Kaedah permodelan PBL dalam proses pembelajaran bukan sahaja dapat membentuk pemikiran kreatif dan kritis, malahan ini kemahiran menyelesaikan masalah dapat meningkatkan keyakinan diri, menggalakkan sumbangsaran idea-idea bernas dalam kumpulan perbincangan sekaligus membentuk konsep kendiri yang positif dan kreatif. Lazimnya, kaedah permodelan PBL dapat mendorong pelajar berfikiran kreatif apabila keupayaan kecerdasan kognitif pelajar digunakan secara efektif dalam keupayaan memikirkan penyelesaian masalah yang dihadapi (fluensi) , keupayaan mengubah dengan mudah strategi penyelesaian masalah (fleksibiliti) dan keupayaan melihat atau menyelesaikan

masalah dengan unik atau berbeza (keaslian). Dalam perhubungan ini, pelajar berupaya memahami isi pelajaran dengan berkesan. Penerapan KBKK ini adalah amat penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran pelajar bagi mengelakkan pelajar-pelajar melakukan kesilapan fikiran yang terburu-buru, berfikiran sempit, berfikiran kabur dan berfikiran celaru semasa dalam proses penaakulan maklumat. Proses pemikiran ini amat penting kerana mempengaruhi penerimaan, penyusunan dan penyimpanan maklumat ke dalam ingatan jangka masa panjang. Penerapan KBKK kepada pelajar-pelajar dilakukan melalui pendekatan penyebatian merangkumi pengurusan lisan secara penyoalan dan pengurusan grafik dengan mengintegrasikan penggunaan teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran bagi memudahkan kemahiran analisis sesuatu maklumat dan membuat keputusan mengikut keutamaan, keperluan dan kesesuaian isi pelajaran. Hal ini, akan membantu proses penaakulan maklumat berbantukan penggunaan teknologi untuk merangsang dan mengurus cara berfikir dengan lebih sistematik. Justeru itu, penerapan kemahiran KBKK ini akan menjadi kaedah untuk membuat sesuatu keputusan secara kritis dan kreatif yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Pemikiran kritis boleh diterapkan dengan kaedah penyoalan secara lisan untuk menganalisis maklumat mengikut keutamaan untuk menyelesaikan masalah ataupun membuat keputusan berdasarkan pilihan yang ada manakala pemikiran kreatif pula dapat diterapkan semasa pelajar-pelajar memberikan cadangan untuk mengatasi sesuatu masalah dengan kaedah sumbang saran bagi menggalakkan pelajar-pelajar menjana idea-idea bernas berdasarkan gambaran mental dan pengalaman untuk menghasilkan sesuatu keputusan atau menyelesaikan masalah secara kreatif. Lazimnya, proses pemikiran akan semakin berkembang mengikut kematangan setiap individu pelajar dan dipengaruhi oleh kecenderungan kecerdasan serta latar belakang keluarga, status sosio-ekonomi, tahap pendidikan serta perkembangan mental semasa peringkat perkembangan diri. Oleh yang demikian, pembentangan berdasarkan penghasilan peta minda dilakukan bagi melatih minda pelajar membuat perancangan dan penyusunan maklumat di dalam sehelai kertas, melatih minda berfikir secara sistematik, memudahkan pelajar mengingat maklumat yang dipetakan, menambah keupayaan dan kapasiti ingatan, memudahkan proses ulangkaji pelajaran, menyeronokkan serta menambah keyakinan pelajar belajar apa sahaja mata pelajaran. Selain itu, penghasilan peta minda mampu memaksimumkan penggunaan kedua-dua

bahagian otak kanan dan otak kiri pelajar kerana mengembangkan fungsi otak kanan berdasarkan fungsi logik dan turutan manakala fungsi otak kiri dalam imaginasi, warna dan kreativiti persembahan peta minda. Penerapan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif ini amat penting bagi menentukan seseorang itu berjaya memikirkan jalan penyelesaian masalah sekaligus membuat keputusan yang tepat di dalam kehidupan . Hal ini amat penting bagi mengelakkan pelajar terpengaruh dengan gejala negatif atau perkara yang tidak berfaedah dalam kehidupan.

Penerapan Kemahiran Sosial RPH C memberikan perhatian kepada pelbagai keperluan, kecenderungan, minat dan corak pengajaran di dalam bilik darjah, saya memilih proses permodelan PBL dan permodelan mengikut Teori Kecerdasan visual-ruang secara kumpulan koperatif untuk menyampaikan isi pelajaran kepada pelajar. Penyampaian isi pelajaran dibuat berdasarkan pengubahsuaian set informasi berdasarkan kesediaan iaitu tahap kemahiran dan kefahaman pelajar, minat atau sifat ingin tahu pelajar dan profil pembelajaran pelajar . Hal ini, bertujuan supaya perkembangan kognitif dan afektif semasa proses pembelajaran berkembang mengikut situasi bagi meningkatkan pencapaian akademik dan motivasi belajar dalam kalangan pelajar. Sehubungan dengan itu, dalam proses pemindahan pembelajaran atau pengalaman pembelajaran pelajar kumpulan Interpersonal yang mempunyai kepintaran dalam menjalinkan hubungan sosial mampu berkomunikasi dengan baik untuk menyelesaikan masalah yang diberikan. Kumpulan Perbincangan antara pelajar kumpulan Interpersonal akan memperkayakan lagi sikap dan nilai yang positif pelajar untuk membentuk respon atau tindakbalas tingkah laku yang baik bertepatan dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan bagi melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani seperti yang telah disampaikan oleh Dr. Norila Bt Md Salleh dalam kuliah empat Falsafah dan Perkembangan Pendidikan Malaysia yang bertajuk Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan huraiaannya. Kemahiran interaksi dan hubungan saling bantu-membantu dalam kalangan ahli kumpulan koperatif bertujuan mencapai kemajuan bersama-sama melatih pelajar-pelajar akauntabiliti diri dan tanggungjawab berkongsi bagi mencapai satu matlamat yang sama. Pendekatan ini digunakan bagi memupuk peneguhan sosial berasaskan kepada kepercayaan

bahawa sekumpulan murid yang mempunyai semangat bekerjasama akan dapat mencapai objektif pelajaran lebih cepat dan lebih berkesan daripada usaha secara sendiri. Aktiviti perbincangan ini mampu melatih cara memimpin, membuat keputusan bersama-sama, mengurus konflik antara kemahiran yang diperlukan untuk kejayaan dalam kehidupan masa hadapan. Hal ini bermakna, kaedah pembelajaran secara koperatif mempunyai semangat kesalingbergantungan yang positif serta kesedaran akauntabiliti individu kerana setiap anggota kumpulan bertanggungjawab terhadap prestasi semua anggota kumpulannya. Jika ditinjau dari aspek kemahiran sosial pula, murid atau pelajar dapat meningkatkan lagi kemahiran berkomunikasi dengan interaksi bersemuka, komunikasi mata, ekspresi muka, penggunaan suara dan bahasa dalam kumpulan. Secara tidak langsung, hal ini telah merapatkan hubungan antara pelajar berlainan etnik, gender, tahap sosio-ekonomi keluarga tetapi berkongsi kecerdasan yang sama. Hubungan interaksi sosial dalam mengintegrasikan pelbagai etnik dalam masyarakat dapat menyemai semangat kekitaan dan mengeratkan perpaduan yang erat bagi menggalakkan perubahan sosial dan pembentukan gagasan satu Malaysia seperti yang telah disampaikan oleh Dr. Amir Hasan Dawi dalam kuliah Sekolah dan dan masyarakat minggu kelapan bab lapan yang bertajuk Interaksi Sekolah dan Latar Masyarakat.

Penerapan Nilai Pembentukan nilai dan sikap yang ada pada diri pelajar turut dititikberatkan oleh guru bagi membentuk murid atau pelajar yang seimbang. Lantaran itu, sikap seseorang individu yang menjadi penggerak penting pada tingkah laku yang mempengaruhi semua nilai kemanusiaan mendorong kepada kejayaan dan kegagalan seseorang. Di dalam bilik darjah juga, pelajar bukan sahaja diajar untuk menguasai isi pelajaran, malahan saya turut menitikberatkan sikap bersopan santun, menghormati orang lain dan berbudi bahasa dalam melaksanakan sesuatu tugasan. Sehubungan dengan itu, Rancangan Pengajaran Harian ini, turut menekankan matlamat penerapan nilai yang baik seperti bekerjasama dalam satu pasukan, bagi meningkatkan kecekapan seseorang murid atau pelajar dalam menyiapkan sesuatu tugasan yang diberikan oleh guru. Disamping itu, pelajar diberi dorongan dan motivasi oleh guru dalam penerapan nilai di dalam bilik darjah supaya mereka mampu memahami dan menghargai nilai ilmu untuk membuat

keputusan serta mempamerkan tingkah laku yang baik selaras dengan nilai diri dam masyarakat kita. Justeru itu, menurut Dr. Suppiah Nachiappan dalam kuliah Perkembangan Pendidikan Psikologi minggu kesepuluh yang bertajuk Teori Pembelajaran Behaviorisme menjelaskan tentang Teori Pelaziman Operan Skinner mengenai gerak balas boleh dikuatkan atau dihapuskan jika diberikan peneguhan sebaik sahaja gerak balas itu ditunjukkan. Oleh itu, saya memilih untuk mengaplikasikan teori ini bagi mengawal tingkahlaku pelajar sekaligus menerapkan nilai-nilai yang perlu ada pada seorang pelajar yang seimbang dari aspek intelek, emosi, rohani dan jasmani. Di dalam bilik darjah, saya akan memberikan peneguhan positif secara berterusan kepada pelajar dalam bentuk pujian atau ganjaran bagi mendorong pelajar lakukan perkara yang betul atau menghasilkan kerja yang bermutu tinggi. Bagi mengawal atau menghapuskan tingkahlaku negative di dalam bilik darjah, saya akan melaksanakan peneguhan negatif dalam bentuk hukuman bagi melemahkan atau mengurangkan berulangnya tingkahlaku yang tidak diingini.