Anda di halaman 1dari 14

BAGAIMANA FALSAFAH PENDIDIKAN GURU MAMPU MENJADI LANDASAN KEPADA PEMBENTUKAN GURU YANG UNGGUL?

FALSAFAH PENDIDIKAN GURU (FPG) BY : HAZIQ AZREE BIN YAZID 2012 PENGENALAN Dalam menjelaskan bagaimana Falsafah Pendidikan Guru (FPG) menjadi landasan kepada pembentukan guru yang unggul, perlu diketahui terlebih dahulu apakah kata kunci bagi menghuraikan persoalan ini. Beberapa kata kunci yang dilihat penting dalam merungkai persoalan ini ialah landasan dan unggul. Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, landasan bermaksud alas, pengalas atau asas sementara unggul bermaksud mengatasi yang lain, terutama dan teristimewa. Dengan ini dapatlah difahami bahawa persoalan yang perlu dirungkaikan ialah kaedah atau cara-cara untuk menjadi guru yang terbaik berasaskan FPG. Oleh itu, dalam penulisan ini telah dihuraikan terlebih dahulu persoalan berkaitan ilmu falsafah khususnya dalam falsafah pendidikan bagi mendalami apa yang dikonotasikan dengan falsafah pendidikan. Seterusnya, disusuli dengan penerangan sejarah falsafah pendidikan yang dilihat turut menjadi elemen penting untuk dihuraikan. Hal ini demikian kerana ilmu falsafah adalah ilmu yang mempunyai kronologi dan bersinambung dari satu tamadun hinggalah tamadun kini. Di samping itu, sebelum menghuraikan FPG dengan lebih lanjut, Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) turut dikaji terlebih dahulu kerana ia adalah ibu kepada kelahiran FPG dan saling bertaut antara satu sama lain. Seterusnya, bagi mendalami FPG, ia turut dianalisis dari sudut ilmu falsafah itu sendiri bagi mengetahui pengkategorian elemen FPG berdasarkan cabang falsafah. Selanjutnya, matlamat FPG ini turut dirungkaikan bagi melihat apakah hasrat yang ingin dicapai melalui pembentukan falsafah ini. Rentetan itu, model konseptual FPG turut disertakan bagi menerangkan lagi elemen-elemen penting yang disulam bersama yang mewarnai membentuk FPG. Akhir sekali, barulah dihuraikan secara terperinci kaedah untuk menjadi guru

yang unggul berlandaskan elemen-elemen yang dibentuk dalam Falsafah Pendidikan Guru. Begitulah serba sedikit mengenai gambaran awal dalam menghuraikan penulisan ilmiah ini.

KONOTASI FALSAFAH PENDIDIKAN Falsafah Pendidikan Guru (FBG) merupakan sebahagian daripada Falsafah Pendidikan. Oleh itu, sebelum menghuraikan FBG dengan lebih lanjut adalah elok kiranya ditinjau terlebih dahulu kornotasi Falsafah Pendidikan. Menurut Sufean Hussin (2004), falsafah atau dalam bahasa inggerisnya philosophy bermakna cinta akan kebijaksanaan dan kebenaran. Walau bagaimanapun, kebanyakkan pengarang cinta akan kebijaksanaan ini tidak memberi gambaran yang tepat kerana kebijaksanaan tidak semestinya memberikan gambaran yang tepat kerana kebijaksanaan tidak semestinya memberi implikasi tentang kebenaran sedangkan falsafah sendiri berusaha mencari kebenaran melalui tinjauan tentang pertalian segala pengalaman hidup dan fenomena. Menurut beliau lagi, falsafah bukannya sains kerana tidak menambah ilmu fakta baharu tetapi falsafah berusaha mengabungkan fakta-fakta khusus kepada satu keseluruhan. Dengan ini dapatlah difahami bahawa falsafah merupakan disiplin ilmu yang cuba menghuraikan kebenaran melalui rangkuman pendapat dan tanggapan para ilmuan yang dilihat mencapai kebenaran yang hakiki. Dalam memahami disiplin ilmu melalui pendekatan falsafah terdapat tiga pendekatan yang boleh digunakan iaitu deskriptif, normatif dan analitik. Pendekatan deskriktif memberikan tumpuan kepada perkembangan pemikiran tokoh-tokoh filsuf dari sejak zaman dahulu kala hingga masa kini untuk memahami apa telah diperkatakan dan apa yang telah dilakukan oleh ahli filsuf yang muncul dalam masyarakat timur dan barat. Sementara, pendekatan normatif memberi perhatian terhadap nilai atau aksiologi, sama ada dalam nilai estetika atau nilai etika dengan berpandukan pencapaian sesuatu matlamat yang difikirkan perlu sambil menjelaskan sebabmusabab keperluan itu. Pendekatan ini turut memberi tumpuan kepada apa yang sepatutnya? dan bukan untuk apa?. Pendekatan analitik pula digunakan untuk berhujah bagi mencari
2

pertalian untuk mendapatkan gambaran menyeluruh melalui analisis bahasa (etimologi), konsep, prinsip dan teori. Perlu diketahui bahawa pendekatan ini berbentuk spekulatif atau andaian. Berdasarkan tiga pendekatan asas yang dikemukakan ini, pendekatan analitik telah digunakan dalam memahami pendidikan dengan lebih dekat kerana pendidikan merupakan konsep yang amat rumit untuk dijelaskan kerana pendidikan ini tidak boleh ditakrifkan dari satu dimensi, aspek atau segi. Oleh itu, pendidikan harus dilihat dari pelbagai sudut seperti sosial, politik, ekonomi, agama, peringkat, jenis, pembelajaran, pengajaran, kurikulum, institusi bahan, organisasi, matlamat, objektif, nilai dan disiplin pengajian. Penemuan bidang falsafah juga dilihat tidak terpisah dengan bidang pendidikan kerana penemuan tentang manusia, kemanusiaan dan kemasyarakatan sudah pasti boleh mengubah orientasi dan matlamat sistem pendidikan. Secara spesifiknya lagi, penemuan dalam bidang falsafah boleh dijadikan panduan utama dalam menggubal kurikulum, kaedah penilaian, usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan sistem organisasi. Contohnya, jika falsafah pendidikan bercorak liberal, maka secara total kurikulum dari peringkat akar umbi hinggalah ke tahap tertinggi akan turut menjadi liberal. Walau bagaimanapun, falsafah tidak mengusulkan cara spesifik untuk melakukan sesuatu tetapi mempersoalkan rasional setiap komponen utama iaitu tidak mempersoalkan cara mana? tetapi mempersoalkan untuk apa?. Analoginya, falsafah tidak menunjukkan cara nak buat sekolah tetapi untuk apa sekolah dibina. Begitulah yang dinamakan falsafah pendidikan iaitu ilmu yang membincangkan mengenai keperluan pendidikan. SEJARAH FALSAFAH PENDIDIKAN Sejak awal abad hingga merdeka masih tiada dokumen formal yang menyatakan secara eksplisit tentang Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah tersirat dalam kenyataan tentang Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar Ekonomi Baru dan Rukun Negara. Rentetan itu, wujud pelbagai interpretasi mengenai falsafah pendidikan walaupun matlamat dan objektif pendidikan dinyatakan dengan jelas dan eksplisit. Sehubungan dengan itu, interpretasi yang berlainan ini menyebabkan setiap peringkat pendidikan ada falsafah yang tersendiri. Ada antaranya bersifat humanistik, perkembangan, liberalisme, pragmatisme dan utlitarian. Kewujudan pelbagai falsafah ini telah menyebabkan model dan amalan yang tidak seragam. Ini membuktikan bahawa

tiada falsafah pendidikan kebangsaan yang jelas yang seharusnya menjadi pegangan atas segala tindakan dalam sistem pendidikan. Atas kesedaran ini, satu inisiatif telah diambil bagi menggubal dan menyatakan secara eksplisit bermula pada akhir tahun 1988. Ekoran itu, pelbagai seminar dan perdebatan telah diadakan bagi mencari satu falsafah atau aliran fahaman pemikiran yang ideal bagi bidang pendidikan bersesuaian dengan konteks pembangunan individu, masyarakat dan negara yang bersifat holistik dan bersepadu. Namun, timbul persoalan mengapa falsafah yang jelas begitu penting? Analoginya, falsafah yang jelas umpama tongkat bagi si buta. Jika dia hilang tongkat maka deria imbangan dan keyakinannya hilang serta menyebabkan pemikiran dan sanubari serta anggotanya teraba-raba. Begitu jua halnya, jika lima orang buta memegang seekor gajah pada bahagian yang berlainan, setiap antara mereka sudah pasti memberikan interpretasi dan persepektif yang berbeza mengenai gajah tersebut. Demikian jua dengan sistem pendidikan yang tidak mempunyai falsafah untuk dijadikan pegangan asas dalam segala program tindakan bagi tempoh jangka panjang. Oleh itu, banyak kritikan yang menyatakan bahawa sistem pendidikan sering kali dijalankan secara ad hoc kerana sering berubah mengikut trend tertentu dalam suatu masa. Contohnya, sekitar tahun 1980-an pendidikan ditinjau daripada perspektif perkembangan dan humanistik, maka kurikulum sekolah menekankan perkembangan individu manusia yang menyeluruh. Sekitar tahun 2003 Dasar Pendidikan Malaysia mula menetapkan Bahasa Inggeris menggantikan Bahasa Kebangsaan melalui dasar Pengajaran Dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Namun, kini PPSMI diubah semula dalam Bahasa Kebangsaan. Perlu diketahui bahawa falsafah pendidikan memberikan perspektif makro untuk sistem dan bidang pendidikan kerana setiap komponen tidak dilihat secara berasingan tetapi ditinjau dari segi pertalian antara komponen yang ada secara holistik. Jika bidang dan sistrem

pendidikan tidak mencapai apa yang dihasratkan maka falsafah pendidikan boleh disorotkan kepada perspektif mikro untuk mengesan halangan dan masalah bagi memperbetulkan sesuatu atau beberapa komponen. Pembetulan ini bertujuan bagi mencapai ketekalan dan keseragaman dalam sistem dan bidang pendidikan. Sebenarnya terdapat pertautan antara FPK dengan FPG namun terdapat juga perbezaan antara keduanya. Boleh dikatakan FPK berlandaskan fahaman integratif atau kesepadanan yang menelaah perspektif hubungan individu dengan unsur-unsur
4

persekitaran sosial, semula jadi dan tuhan. Sementara, FPG menekankan aspek modenisasi individu dan budaya hidup masyarakat. Oleh itu FPG dilihat bersifat realisme-pragtisme. Kesimpulannya, FPG tidak mengahayati fahaman dan pemikiran dalam falsafah pendidikan negara kerana gagasan tanggapan falsafah pendidikan guru tidak memegang teras yang sama. FPG lebih bersifat realistik dan praktis dalam konteks masyarakat.

PERTAUTAN FPK DAN FPG Falsafah Pendidikan Guru (FPG) merupakan sebuah falsafah yang bersifat mikro yang cuba menyempurnakan lagi Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). FPK yang dibina mempunyai hasrat dan matlamat ke arah pembangunan manusia dengan matlamat: Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan. Usaha ini adalah bertujuan melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan,berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan tehadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Bagi menyempurnakan matlamat ini, adalah mustahil jika tidak ada guru yang berkaliber dan berwawasan. Analoginya, sesuatu tanaman tidak akan dapat hidup subur tanpa penjagaan dan baja yang baik. Begitu jua halnya dengan FPK tidak akan dapat disempurnakan tanpa guru yang unggul. Ini kerana pelajar dengan guru ibarat isi dengan kuku yang mustahil untuk dipisahkan. Oleh itu, Falsafah Pendidikan Guru (FPG) dibina sebagai salah satu cabang bagi menyempurnakan lagi FPK dan melahirkan jenis guru yang dihasratkan. FPG ini bermatlamat melahirkan: Guru yang berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara serta menyanjung warisan kebudayaan negara, menjamin perkembangan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu-padu, demokratik, progresif dan berdisiplin.
5

Senario ini jelas menunjukkan terdapatnya pertautan yang erat yang saling memerlukan antara satu sama lain antara Falsafah Pendidikan Kebangsaan dengan Falsafah Pendidikan Guru. FPG akan menghasilkan guru yang unggul berdasarkan ciri-ciri yang diharapkan sementara FPK pula akan memperlihatkan hasil tuaian iaitu dengan lahirnya pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

ANALISIS FALSAFAH PENDIDIKAN GURU DARI PERSPEKTIF FALSAFAH Cabang Falsafah Metafizik (Spekulasi perkaitan sebab dan akibat) Ciri FBG Menjamin perkembangan individu Memelihara masyarakat yang bersatu, demokratif, progresif dan berdisiplin Epistemologi (Ilmu dan kepercayaan) Berpandangan progresif dan saintifik Ilmu sentiasa berkembang lanjutan penemuan baru dalam inovasi Aksiologi (Etika dan Estetika) Berpekerti mulia Menjunjung aspirasi negara Logik (Penaakulan membezakan idea yang sah dan yang mengelirukan) Menyanjung warisan kebudayaan negara Berpandangan progresif dan saintifik Amalan penaakulan logik dalam menjalankan tugas profesioanal demi menjamin mutu profesion perguruan dan kualiti guru Guru sebagai role model dan teladan yang baik, bermoral, beretika, bersifat profesional dan sebagai Analisis Peranan guru sebagai agen perubahan dalam dunia pendidikan yang dinamikrealiti bidang pendidikan

Jadual 1 : Analisis FPG dari Perseptif Falsafah

MATLAMAT FPG Matlamat Falsafah Pendidikan Guru ialah membina insan guru yang berakhlak mulia, berilmu, kreatif dan berdaya tahan sekaligus mampu mendidik pelajar dengan cekap dan berkesan. Selain itu, matlamatnya ialah untuk mengembangkan Maktab Perguruan atau kini dikenali sebagai Institut Pendidikan Guru (IPG) sebagai pusat rujukan dalam bidang keguruan. Maka di sini membuktikan bahawa profesion perguruan bukanlah satu bidang yang boleh dipandang sebelah mata sahaja. Seorang insan yang bergelar guru tidak dapat lari dari tiga aspek utama yang tersebut ialah aspek ketuhanan, kendiri dan kemasyarakatan. Dalam aspek ketuhanan, guru mestilah mendidik pelajar dan mengembangkan ilmu mereka serta mendidik mereka supaya taat dan patuh kepada agama masing-masing. Daripada aspek kendiri pula, guru perlu memupuk budaya ilmu, pembentukan sahsiah serta daya ketahanan dalam diri pelajar. Aspek kemasyarakatan pula memetingkan guru supaya menyedari bahawa sebagai seorang agen perubahan, guru boleh mendidik dan memimpin anak muridnya. Oleh yang demikian, guru memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha memenuhi hasrat Falsafah Pendidikan Guru.

MODEL KONSEPTUAL PENDIDIKAN GURU

Ketuhanan

Jasmani Kemahiran

Intelek Pengetahuan

Nilai Emosi Rohani

Kendiri
Rajah 1: Model Konseptual Pendidikan Guru

Kemasyarakatan

Berdasarkan Model Konseptual Pendidikan Guru di atas, terdapat tiga dimensi utama iaitu ketuhanan, kemasyarakatan dan kendiri. Pertama, ketuhanan bermaksud peningkatan ilmu, penghayatan dan amalan individu berteraskan kepercayaan dan kepatuhan kepada ajaran agama. Kedua, kemasyarakatan pula menekankan peranan guru sebagai pendidik, pemimpin dan agen perubahan. Ketiga, kendiri iaitu penekanan peranan guru sebagai pembinaan daya kefahaman dan patriotisme, pemupukan budaya ilmu serta pembentukan sahsiah murni dan berpekerti mulia.

Dalam dimensi utama tersebut pula mengandungi tiga aspek asas iaitu pengetahuan, kemahiran dan nilai. Pengetahuan bermaksud segala yang berkait dengan perkembangan dan kepentingan pendidikan dalam kehidupan. Kemahiran pula ialah keperluan kemahiran ikhtisas yang merangkumi kemahiran menggunakan bahan-bahan pelajaran bertujuan meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran. Nilai pula merujuk kepada amalan nilai-nilai murni, pelakuan guru yang penyanyang, berpekerti mulia, berdaya tahan, patriotik, inovatif, kreatif dan patuh kepada etika profesion perguruan. Ketiga-tiga aspek ini pula akan disepadukan dan merentasi semua disiplin dan pogram perguruan yang dirancangkan. Di samping itu, model tersebut turut menekankan matlamat mengembangkan potensi guru secara seimbang dan bersepadu dari segi Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek (JERI). FALSAFAH PENDIDIKAN GURU Berdasarkan matlamat FPG, terdapat enam ciri yang boleh dicerakinkan dan perlu dipenuhi dalam melahirkan guru yang unggul. Pertama, berpekerti mulia. Kedua, berpandangan pogresif dan intersik. Ketiga, bersedia menjunjung aspirasi negara. Keempat, menyanjung warisan kebudayaan negara. Kelima, menjamin perkebangan individu dan yang terakhir memelihara suatu masyarakat yang bersatupadu, demokratik, progresif dan berdisiplin. Dalam melahirkan guru yang unggul, berlandaskan Falsafah Pendidikan Guru (FPG) elemen pertama dilihat sebagai asas utama iaitu berpekerti mulia. Pekerti yang mulia merujuk kepada sahsiah seseorang guru. Sebagai role model atau agen perubahan, guru terlebih dahulu perlu menunjukkan contoh yang baik supaya pelajar dapat mencontohi keperibadian guru. Antara sahsiah yang boleh ditonjolkan ialah seperti berbudi bahasa, bersopan, berdisiplin dan bermoral. Sekiranya sesorang guru tidak menunjukkan disiplin yang mantap contohnya merokok dalam
9

kawasan sekolah, sudah pasti ia akan mendatangkan imej yang negatif pada guru tersebut. Imej kendiri inilah yang akan menentukan rasa hormat pada guru tersebut dalam kalangan pelajar. Selain itu, para pelajar yang remaja ini juga sebenarnya sedang mencari identiti diri. Menurut teori tingkah-laku Skinner, tindakan seseorang turut dipengaruhi oleh persekitaran. Justeru, jika guru terbabit merokok dalam kawasan sekolah, adalah tidak mustahil jika pelajar turut merokok dalam kawasan sekolah. Situasi ini, dilihat sesuai dengan peribahasa bagaimana biduk, begitulah pengayuh. Hal ini membuktikan setiap individu yang bergelar guru sewajibnya menonjolkan pekerti yang mulia agar nilai ini dapat diresapi oleh anak didiknya. Elemen kedua, berpandangan progresif dan saintifik. Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, progresif bermaksud sentiasa bergerak maju dan bertujuan untuk mencapai kemajuan sementara saintifik pula bermaksud kaedah yang teratur dan bersistem. Elemen ini dilihat merupakan elemen yang sejajar denagn matlamat Wawasan 2020 yang kemukakan oleh Tun Mahathir Mohammad iaitu bagi mewujudkan masyarakat saintifik yang progresif, masyarakat yang mempunyai daya perubahan yang tinggi dan berpandangan ke depan yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga menyumbang kepada tamaduan sains dan teknologi masa hadapaan. Oleh itu, seseorang guru hendaklah bergerak maju dan bersistem iaitu mengikut peradaran zaman yang memfokuskan kepada sains dan teknologi. Contohnya, dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) guru perlu lebih kreatif dengan menggunakan alat bantu mengajar (ABM) yang lebih menarik seperti menggunakan power point sewaktu pengajaran dalam kelas. Dengan pengunaan teknologi ini, guru tidak lagi perlu menyalin berjela-jela dihadapan dan murid juga perlu menyalin dalam tempoh yang lama. Kaedah ini hanya akan membazirkan masa pengajaran untuk menyalin nota tanpa memahami apakah kandungan yang hendak disampaikan. Kaedah pengajaran ini juga akan menyebabkan ramai pelajar cepat bosan dan mengantuk ketika sesi penerangan disampaikan. Berbeza dengan penggunaan teknologi misalnya power point. Guru tidak lagi perlu menyalin nota pada waktu P&P kerana nota boleh disediakan terlebih dahulu di rumah dan ia turut boleh dicetak untuk para pelajar. Dengan itu, masa P&P lebih jimat kerana pelajar hanya perlu memahami apa yang disampaikan di samping mencatat butiran penting sahaja. Penggunaan kaedah sains ini sudah pasti akan memberikan lebih banyak masa untuk sesi soal jawab serta silibus dapat dihabiskan dalam masa yang singkat dan berkesan. Hal ini menunjukkan seorang guru yang pogresif dan saintifik perlu bergerak seiring dengan kemajuan agar tidak ketinggalan teurtamanya dari segi profession keguruan. Ini
10

bermakna guru perlu berinisiatif untuk berfikiran maju dan berani dalam inovasi bagi menjadi guru yang unggul. Elemen yang ketiga iaitu bersedia menjunjung aspirasi negara. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, aspirasi bermaksud keinginan atau kehendak yang kuat dalam mencapai sesuatu. Dalam konteks menjunjung aspirasi negara, guru sebagai agen bertindak untuk menjayakan aspirasi negara ini. Guru berperanan untuk mendidik generasi muda supaya dapat menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara. Dalam hal ini, guru perlulah benar-benar menghayati aspirasi negara yang dihasratkan supaya pembentukan modal insan kelas pertama dapat dilahirkan. Misalnya, salah satu aspirasi negara dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan ialah melahirkan pelajar yang seimbang dan harmonis. Bagi melahirkan pelajar yang seimbang antara jasmani, emosi, rohani dan intelek ini bukanlah mudah kerana guru bukan sahaja perlu bersungguh-sungguh dalam kukurikulum di sekolah malahan kokurikulum juga perlu diutamakan. Oleh itu, guru perlu sanggup berkorban contohnya berkorban waktu hari sabtu untuk ke sekolah bagi melaksanakan kokurikulum dengan bersungguh-sungguh agar pelajar mendapat kemahiran nilai tambah. Bayangkan sekiranya guru sendiri tidak menghayati aspirasi negara dengan melakukan tabiat negatif seperti guru ponteng kelas, tidak berada dalam kelas atas tanpa sebab relevan dan menyalahgunakan kuasa yang diberikan. Sekiranya, isu begini berterusan, di mana kredibiliti seorang guru yang menjunjung aspirasi negara?. Maka, FPG inilah yang perlu dijadikan sebagai garis panduan dan pegangan untuk setiap guru bagi menjunjung aspirasi negara. Elemen keempat ialah bersedia menjunjung warisan kebudayaan kita. Negara kita kaya dengan pelbagai budaya yang unik. Oleh itu, sebagai guru-guru haruslah peka dengan kepelbagaian dan keunikan yang ada. Keunikan ini termasuklah dari sudut asat resam, kesenian, pakaian, peralatan tradisional, permainan tradisional perubatan, sastera, seni bina dan juga seni halus. Keunikan ini seharusnya dipelihara untuk generasi akan datang supaya mereka tidak lupa akan asal usul mereka. Justeru, sudah menjadi kewajipan seorang guru memupuk sifat bangga terhadap kepelbagaian yang ada dalam sanubari pelajar-pelajar. Bagi menyemai perasaan bangga terhadap budaya yang pelbagai ini, para guru boleh mengambil inisiatif seperti membuat aktiviti atau pogram berkaitan dengan kebudayaan. Antaranya, mewujudkan malam kebudayaan dan warisan pelbagai kaum yang terdapat di negara ini. Contohnya, persembahan seni silat, berzanji
11

dan marhaban bagi yang islam, tarian naga dan pesta tanglong bagi yang cina serta tarian hindustan bagi yang beragama hindu. Aktiviti seperti ini sudah pasti akan merapatkan semangat perpaduan antara kaum serta sikap saling menerima perbezaan yang ada sebagai keunikan antara satu sama lain. Bayangkan sekiranya kita bertelagah dan memperbesarkan jurang yang ada. Sudah pasti detik hitam 13 Mei 1969 akan berulang kembali iaitu pertumpahan darah antara kaum melayu dan cina yang hampir meragut kemerdekaan yang dibina. Para guru juga harus sedar bahawa pendidikan merupakan tunjang utama yang menyatukan perpaduan kaum sejak mencapai kemerdekaan. Oleh yang demikian, para guru harus mengekalkan tunjang yang dibina sejak berkurun lamanya agar perpaduan semakin utuh serta pelajarnya tetap menyanjung warisan kebudayaan negara. Elemen kelima ialah menjamin perkembangan individu. Guru juga bertanggungjawab dalam melahirkan pelajar yang seimbang dan harmonis seperti mana yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Hal ini kerana menurut Galemen (1995) dalam Suffean Hussin (2004), kecerdasan intelek semata-mata tidak menjamin kebahagiaan hidup seseorang individu. Malah, menurut Muhamad Mahyudin Nafis (2007) dalam Suffean Hussin (2004), kecerdasan intelektual yang diberi penumpuan tidak mampu untuk melahirkan insan yang matang, tabah, berani, kuat, teguh dan rendah diri. Justeru, individu yang seimbang perlu memenuhi keseimbangan dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek. Dalam hal ini, guru seharusnya memainkan peranan dalam membentuk perkembangan pelajar secara menyeluruh dalam semua aspek yang dinyatakan. Sungguhpun begitu, bukan sahaja perkembangan murid perlu dititik beratkan malahan guru sendiri hendaklah seimbang dari segi jamani, emosi, rohani dan intelek. Sesuai dengan perkembangan kini, para guru jua haruslah berusaha mengembangkan kemampuan dan potensi mereka dalam pelbagai bidang khususnya pengetahuan terhadap kemahiran teknologi, penguasaan Bahasa Inggeris dan mempunyai kreativiti serta inovasi yang tinggi. Hal ini kerana teknologi kian menjadi asas utama untuk menjadi lebih maju serta memudahkan urusan harian. Contohnya, penggunaan pembentangan menggunakan power point dan penyebaran maklumat seperti nota menggunakan blog akan memudahkan lagi perkembangan ilmu pengetahuan. Sementara, pemantapan Bahasa Inggeris juga dilihat semakin penting kerana banyak sumber ilmu dalam pelbagai bidang adalah dalam Bahasa Inggeris. Hal ini menunjukkan Bahasa Inggeris bukan sahaja bahasa komunikasi tetapi kian menjadi bahasa ilmuan. Sekiranya guru-guru mempunyai pengetahuan dalam Bahasa Inggeris yang baik sudah pasti ilmu tersebut
12

dapat diterjemahkan kepada para pelajar dengan lebih mudah dan berkesan. Di samping itu, kreativiti dan inovasi juga hendaklah dipertingkatkan dalam penyampaian agar para pelajar tidak mudah bosan dan jemu untuk memahami apa yang cuba disampaikan. Contohnya, aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P) perlu divariasikan dan tidak hanya tertumpu di dalam kelas. Para guru, mungkin boleh menjadikan taman-taman, surau dan perpustakaan sebagai tempat belajar supaya para pelajar dapat merasai keseronokan dalam menimba ilmu pengetahuan. Wahananya, perkembangan individu bukan sahaja tertumpu pada perkembangan pelajar malahan guru-guru sendiri hendaklah meningkatkan potensi diri mereka agar mampu menjadi guru yang unggul. Elemen yang terakhir ialah memelihara masyarakat yang bersatu pada, demokratif, progresif dan berdisiplin. Guru sebenarnya memainkan peranan yang amat besar dalam pembentukan sesebuah masyarakat kerana setiap individu tanpa mengira pangkat dan martabat sudah pasti mempunyai guru. Ini kerana sejak Laporan Razak diperkenalkan kerajaan telah mewajibkan semua kanak-kanak berhak mendapat pendidikan awal. Oleh itu, guru telah

memainkan peranan utama dalam pembentukan masyarakat kerana merekalah yang membentuk perkembangan individu. Apabila individu yang dibentuk ini membesar dan berhubung dengan individu lain akhirnya akan terbentuk masyarakat. Justeru, segala didikan guru ini akan mempengaruhi pembentukan masyarakat. Dalam hal ini, guru perlu memupuk anak didiknya dengan nilai-nilai perpaduan dan cintakan tanah air. Elemen perpaduan masih dititik beratkan kerana perpaduan kaum akan menentukan kemanan negara. Sekiranya negara aman dan damai sistem politik negara juga akan bergerak lancar mengikut perlembagaan. Sekiranya politik terurus dengan baik, para pelabur luar juga akan berminat untuk melabur di negara ini. Hasilnya ekonomi negara akan bertambah kukuh dan mantap. Apabila politik dan ekonomi negara berada pada tahap yang baik, maka rakyat akan hidup aman dan demokratik tanpa ada protes yang menunjukkan rasa tidak puas hati. Justeru, negara akan menjadi lebih progresif dan maju kerana masyrakatnya telah dibentuk penuh berdisiplin hasil didikan guru-guru yang unggul. Hal ini jelas menunjukkan kepentingan guru memelihara masyarakat yang demokratik, progresif dan berdisiplin. Kesimpulannya, Falsafah Pendidikan Guru mampu menjadi landasan dalam melahirkan guru yang unggul dengan syarat ia haruslah dihayati, difahami dan diterjemahkan oleh setiap
13

individu yang bergelar guru sepajang hayatnya. Hal ini demikian kerana, elemen yang terkandung dalam falsafah ini lebih bersifat realistik dan praktis jika dibandingkan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang agak subjektif. Justeru, Falsafah Pendidikan Guru perlu disemai dalam diri setiap individu yang ingin atau telah bergelar cikgu!.

BIBLIOGRAFI Afiza (2011). Diperoleh pada Oktober 8, 2012 daripada http://cikguafiza.blogspot.com/2011/03/kepentingan-elemen-elemen-yang.html Cikgu Donut (2011). Diperoleh pada Oktober 7, 2012 daripada http://pasarnota.blogspot.com/2011/12/falsafah-pendidikan-guru.html Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat (2007). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka Suffean Hussin (2004). Pendidikan di Malaysia Sejarah, sistem dan Falsafah Edisi Kedua. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka USM (2007). Diperoleh pada Oktober 8, 2012 daripada http://upu.mohe.gov.my/portal/arkib/fpk.php UTHM (2012). Diperoleh pada Oktober 10, 2012 daripada http://www.slideshare.net/mdnorihk/falsafah-pendidikan-guru

14

Anda mungkin juga menyukai