Anda di halaman 1dari 2

Krisis Ekonomi Di Malaysia

Keadaan ekonomi di Malaysia nampaknya semakin gawat dari hari ke hari. Memang diakui, tidak semua yang merasai kegawatan tersebut. Tapi kepada sesiapa yang terkesan dengan kegawatan ekonomi ini, ia memang sesuatu yang merunsingkan dan memberikan masalah yang cukup besar. Walaupun kerajaan sudah mengumumkan bajet mini berjumlah RM60 billion, namun ia langsung tidak memberi kesan secara langsung. Ia seperti bajet bernilai 60sen sahaja. Hanya indah khabar dari rupa. Mengapa aku berkata begitu? Selepas pengumuman itu dibuat pada bulan mac yang lepas, namun masih tiada apa-apa perubahan yang berlaku. Malah semakin gawat. Bajet besar tersebut umpama dijadikan gula-gula untuk menyedapkan hati masyarakat. Seluruh media perdana utama digunakan untuk memberitahu tentang bajet ini kepada seluruh masyarakat. Media memberitakan bahawa kerajaan begitu bersungguh-sungguh untuk membantu masyarakat menghadapi krisis ekonomi ini. Tapi adakah itu semua benar? Jawapannya, tidak! Kerajaan masih seperti dulu. Cakap tak serupa bikin. Kalau kerajaan benar-benar ingin membantu, maka sekarang ini sudah pasti rakyat merasai akan bajet besar tersebut. Ini tidak, kerajaan sibuk dengan berebut-rebut jawatan didalam parti. Perebutan jawatan tersebut sudah pasti langsung tidak menguntungkan masyarakat malah hanya menguntungkan orang-orang tertentu didalam kerajaan. Sehingga kini, kerajaan masih sibuk dengan jawatan-jawatan didalam kerajaan dan juga didalam parti. Memang jelas itu menunjukkan bahawa kerajaan tidak serius ingin membantu rakyat yang kini sedang bergelut dalam menghadapi kegawatan ekonomi yang makin meruncing. Rakyat sudah tentu muak dengan keadaan ini. Malah itu secara tak langsung membangkitkan rasa benci masyarakat terhadap kerajaan. Tapi apakan daya, kerajaan hanya memekakkan telinga dalam keadaan sekarang. Yang penting bagi mereka, hanyalah untuk kepentingan peribadi, bukan masyarakat.

Pekerja di bidang elektronik adalah yang paling besar merasai kesannya. Namun aku percaya, sekarang ini ramai pekerja-pekerja yang sudah mulai risau dengan status kerja mereka. Sudah ada rasa tidak senang dalam diri kalau-kalau mereka sendiri yang akan turut sama diberhentikan. Andainya diberhentikan, bukan mudah untuk mendapatkan pekerjaan baru disaat semakin banyak perusahaan yang sudah gulung tikar ketika ini. Para peniaga terutamanya usahawan kecil dan sederhana juga turut sama merasai kesan kegawatan ini. Apabila kuasa beli masyarakat sudah berkurangan, maka ia turut sama memberi kesan besar kepada perniagaan. Kurang permintaan bermakna kuranglah pendapatan. Entah sampai bila kegawatan ekonomi ini akan kembali pulih. Sukar untuk diramal. Namun seandainya kerajaan masih sibuk dengan politik mereka sahaja, maka akan bertambah sengsaralah rakyat yang terkesan akibat krisis ekonomi ini.