Anda di halaman 1dari 3

Labu Tanjung Bidara

Jika Labu Sayong terkenal di Kuala Kangsar, Kampung Gajah pula terkenal dengan Labu Tanjung Bidara dan Labu Pulau Tiga. Salah seorang pengusaha labu terkenal di Kampung Gajah ialah Shamsudin Abdul Majid, 31 tahun, yang menghasilkan Labu Tanjung Bidara di bengkel miliknya. Shamsudin mewarisi kemahiran membuat labu daripada neneknya yang juga merupakan pengusaha Labu Tanjung Bidara. Bak kata pepatah, 'alah bisa tegal biasa', pemilik perusahaan labu sejak 18 tahun ini, sangat mahir mengukir corak bunga pada labunya. Labu diperbuat daripada tanah liat dan proses pembuatan labu agak rumit kerana perlu melalui beberapa proses dan memakan masa hingga dua hari. Tanah liat yang diperoleh perlu dibancuh dengan air dan kemudiannya ditapis untuk membuang pasir dan kayu yang terdapat dalam campuran tanah liat berkenaan. Tanah liat yang telah ditapis tadi kemudiannya dituang ke dalam acuan mengikut saiz tertentu yang memakan masa lima minit hingga 20 minit. Setelah itu, acuan ini akan dijemur selama dua hari dan kemudiannya doh tadi dikeluarkan dari acuan tersebut untuk proses seterusnya. Labu mula terbentuk setelah dikeluarkan dari acuan itu tadi. Kemudiannya, Shamsudin akan menghasilkan corak pada labu tersebut mengikut kreativiti. Setelah corak siap dihasilkan, labu itu tadi akan dibakar di dalam dapur khas selama lapan jam. Selepas siap dibakar, labu akan dicat mengikut tempahan daripada pelanggan atau dibiarkan dengan warna asli labu itu sahaja. Antara warna labu yang biasa mendapat tempahan ialah hitam dan hijau. Labu yang telah siap akan dipamerkan di ruang niaga bersebelahan bengkel milik Shamsudin. Para pelanggan yang ingin membeli labu keluaran bengkelnya boleh membeli terus di sini. Beliau juga menghantar produknya ini ke kedaikedai cenderamata di sekitar Negeri Perak. Selain itu, Shamsudin menyertai Pesta Konvokesyen yang dianjurkan oleh Institusi Pengajian Tinggi yang terdapat di Perak misalnya di Universiti Teknologi MARA Cawangan Sri Iskandar dan Universiti Teknologi Petronas (UTP). Kaedah perniagaan seperti ini dapat membantu Shamsudin melariskan produk keluarannya. Beliau mampu memperoleh pendapatan purata kira-kira RM4,000 hingga RM6,500 sebulan. Shamsudin mendapat bantuan daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk membina bengkel membuat labu miliknya. Selain itu, beliau juga mendapat latihan dan kursus kemahiran daripada Perbadanan Kraf Tangan Negeri Perak bagi meningkatkan lagi kemahiran dan mempelajari strategi pemasaran. Menurut beliau, pelanggan yang membeli labu keluarannya tidak pernah putus dan bengkel miliknya sering menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara misalnya Amerika Syarikat. Pelancong yang mengunjungi Kompleks Sejarah Pasir Salak pasti tidak melepaskan peluang singgah ke bengkel beliau yang terletak kira-kira lima kilometer dari kompleks sejarah berkenaan.
ARKIB : 21/04/2011

Kesinambungan warisan Melayu


Oleh AZMI ABDUL MALEK

Labu tanah kini bertukar fungsi daripada tempat menyimpan air kepada produk hiasan.

INDUSTRI labu tanah merupakan sebahagian daripada produk warisan yang mampu dipertahankan hingga ke hari ini. Ia terbukti menyumbang pendapatan lumayan kepada pengusahanya terutama penduduk Melayu luar bandar yang tinggal di tepi Sungai Perak. Antara yang kekal mewarisi industri seramik tersebut dari zaman berzaman ialah ahli keluarga Allahyarham Kayah Idris. Allahyarham Kayah yang meninggal dunia ketika berusia 130 tahun mengusahakan industri ini lebih 100 tahun di Kampung Tanjung Bidara, Kampong Gajah, Perak. Tiga daripada lapan anaknya iaitu Jamiah Ngah Salam, Hawa dan Sum mewarisi seni ini dengan menjalankan usaha niaga secara kecil-kecilan Seorang pengusaha industri seramik tempatan yang juga cucu Kayah dan Setiausaha Koperasi Industri Kampung Tanjung Bidara Kampung Gajah Berhad (KIKTBKGB), Shamsudin Abdul Majid, 46, berkata, koperasi itu ditubuhkan pada 1986 untuk mengusaha dan mengembangkan industri seramik tempatan. Hasil kerjasama bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib ketika itu, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLBW) telah membina sebuah bangunan untuk industri seramik di situ. Melalui kerjasama penduduk dan pemimpin tempatan industri ini dapat berjalan sehingga kini walaupun tidak semua ahli menghasilkan produk secara bersama di bengkel koperasi berkenaan. Shamsuddin mengusahakan industri seramik bersama lima lagi ahli keluarganya yang menjadi ahli koperasi berkenaan di samping mengambil beberapa pekerja tempatan. "Saya mengambil keputusan menyewa bangunan ini daripada koperasi dan mengusahakan industri seramik ini bersama ahli keluarga kerana bimbang seni kraf tangan warisan nenek saya akan pupus," katanya. Beliau berkata, generasi muda kurang berminat menyertai industri seramik kerana mereka tidak dapat melihat potensi perniagaan ini dengan jelas. Shamsuddin berkata, hasil pendedahan teknologi moden yang diterima membolehkan beliau mengubah corak dan seni kraf tangan yang berasas tanah liat itu. Menurutnya, corak dan reka bentuk dikekalkan tetapi diwarnakan permukaan luarnya untuk menjadikan ia lebih cantik dan menarik. Beliau berkata, bengkelnya memproses dan menyediakan produk seperti labu, gelok, belanga, lampu tidur, barang hiasan pasu, bekas tisu, cawan pensel. Beliau berkata, baru-baru ini Kementerian Perdagangan Industri Antarabangsa (MITI) dan KKLBW memberinya peluang mengadakan pameran produk seramik di Lisbon, Portugal, Madrid, Sepanyol dan Mesir. Katanya, maklum balas yang diterima melalui ekspo itu amat baik dan sesetengah usahawan di sana bersedia memasarkan produk keluarannya. Bagaimanapun permintaan mereka terpaksa ditolak kerana koperasi beliau kurang mampu menyediakan jumlah produk yang perlu dihantar pada masa tertentu.

"Mereka mahu kami menyediakan sekurang-kurangnya satu kontena produk ke negara mereka setiap bulan," katanya. Sehubungan itu beliau berkata, produk seramik mempunyai potensi pasaran dunia tetapi perlukan sokongan kerajaan menyediakan infrastruktur. Seorang lagi pengusaha, Madzriah Ismail, 45, berkata produk seramik sememangnya mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan tetapi ia perlukan promosi dan sokongan meluas daripada kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri. Beliau berkata, pengusaha memerlukan peralatan teknologi lebih canggih yang mampu mengeluarkan jumlah yang tinggi setiap hari. Menurutnya, kekurangan tenaga mahir juga menyebabkan kos operasi meningkat berbanding dengan produktiviti. "Kerajaan negeri juga patut menganugerahkan kawasan tanah seramik yang luas supaya bahan mentah sentiasa mudah diperolehi di waktu kritikal," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0421&pub=Utusan_Malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_02.htm#ixz z2Q8mM3rob Utusan Melayu (M) Bhd

Anda mungkin juga menyukai