Anda di halaman 1dari 9

KRB 3013 : Prinsip Pengajaran Bacaan

UNIT 4 UJIAN DIAGNOSTIK KEBOLEHAN MEMBACA


HASIL PEMBELAJARAN
Di akhir unit ini anda akan dapat : 1. Mengapa murid-murid gagal membaca 2. Tugas dan tanggung jawab guru dalam pengajaran 3. Penilaian dan Ujian 4. Bentuk-bentuk ujian 5. Penggunaan Ujian diagnostik kebolehan membaca

PENGENALAN
Ujian diagnostik adalah sejenis ujian yang dijalankan untuk mengesan kelemahankelemahan atau masalah yang dihadapi oleh murid-murid dalam proses pembelajaran. Tujuannya yang utama adalah untuk mengesan daerah-daerah kelemahan yang berlaku ketika atau selepas pembelajaran. Mengetahui masalah yang dihadapi oleh murid-murid, guru diperlukan menjalankan aktiviti susulan dengan merancang dengan cermat aktiviti-aktiviti pemulihan dan seterusnya melaksanakannya.

ISI KANDUNGAN
Mengapa Murid Gagal Membaca
Jika guru telah mencuba pelbagai cara tetapi pelajar masih tidak berjaya membaca dengan lancar, mungkin terdapat beberapa punca yang menyebabkan pelajar gagal berbuat demikian. Salah satu sebab mungkin guru sendiri telah terlebih dahulu menganggap pelajar tidak akan termampu melakukannya. Anggapan negatif ini mudah dikesan oleh pelajar melalui tindakan guru dan secara tidak langsung ia akan mempengaruhi prestasi mereka. Kemungkinan juga tugas yang guru rancang tidak sesuai. Oleh itu, guru harus mengkaji semula dan jika perlu membincangkan masalah tersebut dengan guru-guru lain. Kemungkinan juga jangkaan atau harapan guru terlalu tinggi dan terlalu cepat untuk melihat hasilnya. Bagi pelajar yang terbiasa bertindak pasif hal ini merupakan satu tekanan kerana dia mesti bertukar pada peranan yang lebih aktif. Guru perlu memberi bantuan kepada pembacaan pelajar apabila diperlukan dan

KRB 3013 : Prinsip Pengajaran Bacaan

tumpukan perhatian pada latihan khusus yang melibatkan kemahiran-kemahiran yang perlu dilatih. Oleh itu, sangat penting bagi guru mempunyai sikap positif untuk memenuhi harapan mereka supaya pelajar mereka berjaya. Untuk merancang tugasan yang bersesuaian, guru harus bersabar dan tidak mengharapkan kejayaan dalam sekelip mata. Jika guru telah melakukan segala usaha dan pelajar masih tidak berupaya mentafsir sendiri, berkemungkinan teks yang dipilih itu tidak sesuai. Oleh itu, guru perlu meneliti teks bersama rakan-rakan sama ada perlu atau tidak mencari bahanbahan lain yang lebih sesuai dengan kemampuan pelajar.

Tugas Dan Tanggung Jawab Guru


Sebagai guru kita mesti sanggup memikul tanggung jawab yang berat terhadap pencapaian pelajar. Guru perlu memikirkan bimbingan bagaimana yang dapat diberi kepada pelajar tanpa mengetepikan objektif dan matlamat pengajaran guru. Bagaimana guru boleh membantu pelajar untuk melakukan sendiri tugasan membaca? Antara tanggung jawab yang didukung dan dituntut mereka melaksanakannya adalah seperti berikut: a) Mengkaji apa yang pelajar boleh dan tidak boleh lakukan serta merancang program yang mampu memberikan pelajar kemahiran yang diperlukan. b) Memilih teks yang sesuai. c) Memilih atau merancang tugasan dan aktiviti untuk mengembangkan kemahiran yang diperlukan. d) Menyediakan kelas untuk menjalankan tugasan yang disediakan. e) Memastikan semua pelajar dalam kelas bekerja secara produktif dan menggalakkan mereka berusaha ke tahap yang maksimum. f) Memastikan pencapaian semua pelajar dalam kelas meningkat mengikut keupayaan mereka.

Penilaian
Penilaian hendaklah dianggap sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran. Ia dilakukan dalam dua bentuk. Penilaian dalam kelas biasanya mengutamakan penilaian formatif, iaitu mengesan perkembangan pembelajaran dengan serta merta untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid-murid. Penilaian sumatif pula dilakukan di beberapa peringkat kritikal bagi tujuan untuk mengetahui secara menyeluruh akan penguasaan dan taraf pencapaian pembelajaran murid-murid.

KRB 3013 : Prinsip Pengajaran Bacaan

a) Penilaian
Penilaian adalah satu aktiviti atau proses yang bersistematik untuk mendapatkan maklumat yang berguna untuk menentukan pencapaian sesuatu objektif pengajaran. Matlamat penilaian formatif ialah untuk mendapatkan maklum balas berhubung dengan kemajuan proses pengajaran oleh guru dan pembelajaran oleh murid. Maklum balas ini akan memberi petanda-petanda dan petunjuk-petunjuk kejayaan pengajaran dan pembelajaran serta kelemahan-kelemahan murid untuk diperbetulkan. Oleh sebab penilaian formatif ini bertujuan untuk membantu dan memperbaiki proses pengajaran dan pembelajaran, keputusan penilaian biasanya tidak digunakan untuk pemeringkatan atau perbandingan di antara seseorang murid dengan murid lain. Penilaian sumatif pula bertujuan untuk mengesan secara menyeluruh taraf pencapaian murid di akhir sesuatu pembelajaran. Matlamat utama penilaian jenis ini adalah untuk memberi markah atau gred kepada seseorang murid supaya ia dapat dibandingkan dengan markah murid lain dalam kumpulannya. Semua aktiviti penilaian hendaklah direkodkan supaya, penganalisisan prestasi murid-murid dapat dibuat dan kerja-kerja susulan dapat dirancang. Dua jenis rekod perlu disimpan bagi setiap orang murid, iaitu rekod prestasi dan rekod profil. Rekod prestasi akan menunjukkan pencapaian dan rekod profil pula akan menunjukkan perkembangan pembelajaran serta minat keseluruhan murid-murid dari semasa ke semasa.

b) Ujian
Mengikut Tuckman (1975:12), ujian bolehlah dijelaskan sebagai satu jenis atau kumpulan alat pengukuran yang biasanya digunakan untuk mengetahui prestasi seseorang. la adalah alat pengukuran yang dapat memberikan sampel tingkah laku seseorang dengan cara menjawab soalan atau menyelesaikan masalah. Gagne (1970:3) pula memberikan definisi ujian sebagai cara yang sistematik untuk mengukur tingkah laku seseorang individu kerana pembelajaran telah dikaitkan dengan perubahan tingkah laku. Jadi jelaslah bahawa ujian adalah satu cara yang sistematik dan harus dijalankan dengan baik dan mengikut peraturan-peraturan tertentu.

Bentuk-Bentuk Ujian
Dalam sistem pendidikan terdapat berbagai-bagai bentuk alat pengukur tingkah laku manusia atau calon. Di antara pengukuran yang terpenting ialah ujian yang menggunakan kertas dan pensel. Ujian-ujian lain yang tidak melibatkan penulisan ialah ujian lisan, lukisan, tunjuk cara, ukiran, permainan, projek dan tugasan, pemerhatian, senarai semak dan sebagainya. Secara umumnya, ujian bertulis dibahagikan kepada dua jenis iaitu bentuk ujian objektif dan bentuk ujian subjektif.

KRB 3013 : Prinsip Pengajaran Bacaan

a) Ujian Objektif
Ujian objektif ialah ujian yang pendek-pendek yang melibatkan proses menandakan, membulatkan, menggariskan, mengisi tempat-tempat kosong dan lain-lain gerak balas yang ringkas. la dibentuk daripada beberapa item objektif yang boleh diperiksa secara objektif iaitu pemeriksa-pemeriksa berlainan memperoleh skor yang sama ketika memeriksa tindak balas yang serupa. Didapati pelbagai jenis item objektif tetapi terdapat satu ciri yang serupa iaitu ia menghidangkan kepada pelajar tugas yang sangat terkawal dan membataskan jenis tindak balas yang boleh dibuat. Untuk mendapatkan tindak balas yang betul pelajar-pelajar mestilah memiliki pengetahuan, fahaman dan kemahiran tertentu seperti yang dikehendaki oleh item tersebut. Pelajar tidak bebas mengatur dan menyumbangkan tindak balas mengikut kehendaknya sendiri. la mestilah memilih atau memberi satu daripada beberapa pilihan yang mungkin berupa perkataan, rangkai kata, angka-angka atau lambang-lambang yang betul. Tegasnya ujian objektif membuatkan calon bergerak balas, membaca, dan memilih jawapan yang tepat daripada jawapan-jawapan yang telah disediakan. Dalam pengajaran bahasa khususnya pengajaran bacaan, terdapat beberapa item objektif dan masing-masing mempunyai format tertentu: a) Item jawapan pendek: Item jawapan pendek boleh diklasifikasikan juga sebagai item objektif yang menyumbangkan gerak balas bebas, la boleh merupakan soalan dan melengkapkan ayat-ayat sama ada dengan perkataan atau rangkai kata atau lambang-lambang. Pelajar menjawab dengan cara menulis jawapan di bahagian hujung atau di bawah soalan atau ayat tersebut. b) Item objektif jenis pilihan: Dalam item jenis pilihan, tindak balas telah diberikan. Pelaiar hanya dikehendaki memilih jawapan yang betul atau yang paling betul. Jawapan mungkin dipilih daripada dua atau lebih pilihan dan item-item berdasarkan pilihan yang telah diberikan itu. c) Item beraneka pilihan: Item beraneka pilihan adalah daripada golongan item jawapan tetap kerana diberikan tindak balas terbatas. Hopkins (1981) dan Payne (1974) menamakan 'changing alternative selection items' kerana berlaku proses pilihan jawapan daripada beberapa pilihan. Item beraneka pilihan terdiri daripada satu pokok soalan yang merupakan satu situasi masalah dan beberapa pilihan yang boleh memberikan kemungkinan jawapan kepada masalah tersebut.

KRB 3013 : Prinsip Pengajaran Bacaan

d) Item betul-salah: Item ini merupakan item beraneka pilihan jenis dua pilihan. Pelajar dikehendaki menentukan betul atau salah pernyataanpernyataan yang diberikan. Pilihan yang biasa digunakan ialah ya-tidak, betul-salah, benar-tidak benar, sama-bertentangan dan tepat-tidak tepat. e) Item padanan: Item padanan menghidangkan masalah (premises atau stimuli) dan beberapa penyelesaian masalah (tindak balas). Stimuli diletakkan di sebelah kiri dan tindak balas pula ditempatkan di bahagian kanan. Tindak balas boleh digunakan. lebih daripada sekali. Senarai tindak balas-adalah tetap tetapi stimuli atau pokok soalan sahaja berubah-ubah. f) Item key list: Formatnya seperti item padanan tetapi memerlukan aras kognitif proses mental yang lebih tinggi. la bukan sahaja mengingati, mengenali dan menghubungkan fakta-fakta tetapi juga memerlukan interpretasi, analisis dan hingga ke tahap penilaian. g) Item aturan yang terbaik: la menyediakan ayat-ayat daripada satu perenggan yang telah dipisah-pisahkan. Pelajar-pelajar dikehendaki membaca dengan teliti ayat-ayat tersebut dan pastikan aturan terbaik untuk menyusun semula ayat-ayat tersebut menjadi perenggan. Sebelum menjawab soalan berikut atur semula ayat-ayat tersebut mengikut huruf pada pangkal ayat-ayat itu. h) Item objektif kloz: Ujian jenis ini ialah satu teknik pengukuran yang dibina dengan meninggalkan kosong perkataan-perkataan atau rangkai kata tertentu dalam sesuatu ujaran. Pengambil ujian diharap mengisi tempat-tempat kosong tersebut dengan perkataan atau rangkai kata secara bebas ataupun daripada pilihan yang diberi. Ujian Kloz ini amat sesuai untuk menguji keupayaan dalam bidang perbendaharaan kata dan tatabahasa secara mendalam.

b) Ujian Subjektif
Ujian subjektif adalah selalunya dibuat dalam bentuk esei dan pelajar-pelajar diminta membuat huraian yang tepat dan jelas terhadap soalan-soalan yang diberi. Ujian jenis ini memberi peluang kepada calon-calon untuk memberi gerak balas dalam tulisan dan perkataan mereka sendiri. Gerak balas tersebut mungkin dalam satu ayat, beberapa ayat, beberapa perenggan atau sebuah karangan yang lengkap dan menyeluruh. Ketepatan dan kualiti jawapan hanya dapat dinilai oleh pemeriksa yang menguasai kandungan ujian berkenaan. Ujian ini meminta calon-calon menulis untuk membuktikan kepada pemeriksa yang mereka mengetahui jawapan berkenaan. Dalam jawapan calon, mereka bergerak balas dengan memilih, merancang, mengolah dan menjawab melalui lisan

KRB 3013 : Prinsip Pengajaran Bacaan

atau tulisan. Keadaannya tidak ada satu gerak balas yang dianggap betul dan tepat. la adalah subjektif, biasanya berbeza dari segi mutu atau merit yang diakui. Ujian Subjektif mempunyai dua bentuk, pertama jenis gerak balas terhad dan yang kedua gerak balas berlanjutan. a) Jenis gerak balas terhad: Gerak balas terhad ditentukan oleh batasan bentuk dan batas an kandungan gerak balas calon. Gerak balas terhad ini merangkumi jawapan mengingat kembali dan jawapan pendek. Soalan jenis mengingat kembali lazimnya menjawab soalan siapa, bila, berapa, di mana, dan apakah dengan memberi gerak balas mengenai nama, tarikh (angka), tempat, peristiwa pengertian dan sebagainya. Jenis jawapan pendek pula melibatkan gerak balas rangkai kata, kenyataan atau ayat yang mengandungi perkataan seperti senaraikan, nyatakan, takrifkan dan sebagainya. Soalan jenis ini boleh diberi markah secara objektif dan biasanya dianggap sebagai item objektif jenis lengkapan. b) Jenis gerak balas lanjutan: Gerak balas lanjutan melibatkan soalan jenis perbincangan. Soalan jenis ini memerlukan jawapan kepada perkataan seperti terangkan, huraikan, bezakan, galurkan, tafsirkan dan sebagainya. Gerak balasnya kompleks dan dapat mengukur proses pemikiran iaitu jenis pemikiran pelbagai tumpuan / bercapah, taakulan abstrak, inferens, daya kreatif, keaslian idea, imaginasi, pemikiran hipotetikal dan sebagainya.

Penggunaan Ujian Diagnostik Dalam Pengajaran Bacaan


Biasanya, dalam proses pengajaran dan pembelajaran, ujian diagnostik selalunya dihubungkan dengan aktiviti pemulihan. Ia bertujuan untuk mengenal pasti kawasan yang menjadi masalah kepada murid-murid dalam pembelajaran mereka. Biasanya Ujian diagnostik dijalankan dalam langah pertama proses pemulihan. Sebarang rancangan pemulihan mestilah bermula dengan kegiatan-kegiatan mengesan atau mencari kelemahan-kelemahan dalam pengajaran-pembelajaran yang telah berlaku. Perkataan pengajaran-pembelajaran ditekankan kerana guru berhak bukan sahaja ingin tahu siapakah murid yang lemah dalam kelasnya dan apa kelemahan yang dihadapinya tetapi juga guru perlu melihat kelemahan yang ada pada dirinya sendiri yang mungkin menyebabkan menjadi masalah kepada pelajar-pelajarnya itu. Jadi guru bahasa patutlah tahu. cara-cara yang berkesan atau sentiasa memikirkan cara-cara yang praktikal untuk mengesan kelemahankelemahan pembelajaran murid. Penentuan ini boleh dijalankan melalui berbagaibagai cara, umpamanya :

KRB 3013 : Prinsip Pengajaran Bacaan

a) b) c) d) e)

memerhati murid belajar/menjalankan gerak kerja temu ramah interaksi dengan murid analisis kerja bertulis murid ujian diagnostik menjalankan ujian saringan

Guru-guru adalah sentiasa digalakkan supaya menggunakan ujian saringan dan ujian diagnostik dalam proses menjalankan rancangan pemulihan kerana inilah cara yang lebih baik dan lebih bersistematik bagi menentukan masalah pelajar. Ujian Saringan adalah 'alat' yang digunakan untuk menentukan kumpulan murid-murid yang lemah, sederhana dan yang cerdas. Ujian ini dapat membantu guru menentukan murid-murid yang menghadapi masalah pembelajaran dalam satu-satu bidang yang tertentu. Ujian Diagnostik sebaliknya, digunakan untuk menentukan masalah-masalah pembelajaran tertentu seseorang murid yang lemah. Ujian diagnostik boleh dijalankan secara lisan praktik atau bertulis menurut keadaan. Ujian diagnostik bertulis boleh dibuat dalam bentuk padanan, benar-salah, aneka pilihan, dan melengkapkan karangan. Perbezaan kedua-dua ujian ini adalah terletak pada item-item yang diuji. Item bagi Ujian Saringan dibina secara menyeluruh bagi satu-satu mata pelajaran yang diuji dan bilangan item mengenai satu-satu bidang itu adalah sangat terhad. Sebaliknya, dalam ujian diagnostik item-item ujian yang dibina tertumpu kepada satu-satu bidang mata pelajaran kerana kita lebih menitikberatkan pencapaian murid-murid dalam satu-satu bidang atau kawasan pembelajaran yang tertentu dan bukannya pencapaian murid secara menyeluruh. Salah satu contoh ujian yang biasa digunakan sebagai alat diagnostik untuk mengesan kemahiran membaca ialah ujian dalam bentuk aneka pilihan (ujian objektif). Biasanya cara ini digunakan oleh para guru sebagai alat penilaian dan bukan untuk tujuan pengesan kelemahan. Walau bagaimanapun, sama ada ia berfungsi sebagai alat pengesanan atau penilaian, dia perlu mempunyai mutu, kesahan dan boleh dipercayai. Mengikut Koh Boh Boon, ada beberapa perkara yang harus difikirkan dalam pembinaan dan penggunaan ujian objektif sebagai alat diagnostik dalam pengajaran bahasa khususnya pengajaran bacaan. a) Merancang ujian objektif yang akan dibina dari segi tujuan, isi dan corak ujian itu. b) Berdasarkan tujuan, isi dan corak ujian yang telah ditentukan, guru membuat draf ujian berkenaan.

KRB 3013 : Prinsip Pengajaran Bacaan

c) Menyemak dan membaiki ujian berasaskan kritikan dan cadangan daripada guru-guru lain. d) Mencetak dan kemudian menjalankan ujian dalam kelas. e) Menanda atau memberi markah berdasarkan skema pemarkahan. f) Merekod secara teratur keputusan ujian. g) Menganalisis keputusan ujian dari segi kekerapan kesalahan yang dilakukan oleh murid bagi setiap soalan atau kumpulan soalan. h) Menentukan jenis-jenis kesalahan serius yang patut diberi perhatian khas. i) Menganalisis keputusan ujian dari segi pilihan yang salah ang dilakukan oleh murid. j) Memikirkan strategi pemulihan yang sesuai sebagai aktiviti susulan.

RUMUSAN
Dalam bab ini, beberapa pendekatan atau kaedah yang boleh digunakan dalam usaha untuk mengenalpasti kebolehan membaca kanak-kanak telah dibincangkan. Beberapa bentuk ujian diagnostik yang sesuai turut telah diperjelaskan bagi membolehkan seseorang guru ini mengesan kelemahan dan tahap pelajar mereka dengan lebih tepat dan berkesan.

RUJUKAN
Abd. Ghafar Md. Din (1993).Meningkatkan Keberkesanan Dalam Penulisan Pembacaan, dan Pemahaman. Jurnal Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka. Brown, A.L. (1980). Metacognitive Development and Reading dalam Theoritical Issues In Reading Comprehension Perspectives From Cognitive Psychology Linguistics, Artifical, Intelligence And Education. Spiro R.J (ed.) Hillsdale. Lawrence Erlbaum Associates. Dale D. Johnson dan P. David Pearson (1978). Teaching Reading and Reading Vocabulary. New York. Holt, Rinehart dan Winston. Dorothy Grant Henning (1993).Reading With Meaning. New Jersey. Prentice Hall.

KRB 3013 : Prinsip Pengajaran Bacaan

Dorothy Rubin (1993).A Practical Approach to Teaching Reading. Boston. Allyn and Bacon. Frank B. May (1990). Reading as Communication. Ohio. Merrill Publication Company. Frank Smith (1971). Understanding Reading. New York. Holt, Rinehart dan Winston. H. Alan Robinson (1978). Teaching Reading And Study Strategies. The Content Area. Boston. Allyn and Bacon. Irwin L. Joffe. (1980). Opportunity For Skinful Reading. Sixty Edition. California. Wadsworth Publishing Company. Kathleen T. McWhorter (1984). Academic Reading. Harper Collins College Publishers. New York. Marohaini Yusof (1989). Strategi Pengajaran Bacaan dan Kefahaman. Kuala Lumpur. Karya Bistari. McNeil, J.D. (1992). Reading Comprehension. New Directions For Classroom Practice. New York. Harper Collins Publishers. Safiah Osman (1990). Peningkatan Kemahiran Membaca dalam Safiah Karim (ed.) Membaca : Satu Pengenalan. Kuala Lumpur. Berita Publishing Sdn. Bhd. Sharon J. Crawley & Lee H. Mountain (1988). Strategies For Guiding Content Reading. Boston. Allyn & Bacon, Inc.