Anda di halaman 1dari 12

MENGIMBAU SENARIO KEJAYAAN MALAYSIA

PADA ERA PASCAKEMERDEKAAN


Oleh : Anak Bumi Kelantan

S ELURUH warga Malaysia yang celik hati dan mensyukuri nikmat

kemerdekaan tidak akan “membutakan mata” dan “memekakkan telinga” untuk

menerima hakikat bahawa Malaysia pada hari ini bukanlah seperti mana Malaysia

lima dekad yang lalu ataupun pada era prakemerdekaan. Kita boleh melihat kejayaan

demi kejayaan dicipta untuk dinikmati oleh pelbagai lapisan masyarakat yang

mewujudkan kelompok etnik yang majmuk tetapi hidup harmoni di bawah panji-

panji kemerdekaan sejati.

Persoalannya kini, kenapakah segala kejayaan yang dirintis melalui pelbagai

dasar dan perancangan jitu itu hanya dilihat sebelah mata atau didengar sebelah

telinga oleh pihak-pihak tertentu yang berkepentingan ? Adakah kita sedar bahawa

pencapaian gemilang negara kita dalam tempoh yang singkat begitu dicemburui oleh

kuasa-kuasa asing dan konco-konconya ? Mungkin juga pihak berkenaan sengaja

tidak menerima hakikat sedemikian kerana tergolong dalam kelompok manusia yang

sudah tersemai bibit-bibit kebencian, kekecewaan dan ketaksuban, atau melihat

kejayaan demi kejayaan itu tiada ertinya kerana mereka itu bukan sebahagian

daripada barisan pemimpin yang mewarnakan senario kejayaan itu. Biar apa pun

tanggapan orang lain, segala-gala yang kita raih itu telah menggambarkan kejayaan

negara hasil daripada perencanaan sepadu dan kesepakatan barisan kepemimpinan

negara yang tidak pernah berputus asa mewara-warakan dan melaksanakan pelbagai

dasar dan usaha bagi meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia, khususnya golongan

bumiputera.

Sambil itu, cubalah berpijak di alam realiti dan merenung sejenak beberapa

senario kejayaan Malaysia sama ada di persada antarabangsa mahupun di pentas


1
tempatan dalam tempoh lima dasawarsa ini. Semua ini saya lakarkan secara

kronologis mengikut era kepemimpinan negara yang mapan bermula dengan era

kepemimpinan Perdana Menteri yang pertama, yang juga dikenali sebagai Bapa

Kemerdekaan. Setelah Almarhum Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan

kemerdekaan pada 31 OGOS 1957 di Stadium Merdeka, Malaysia (dahulunya

Persekutuan Tanah Melayu ) terus mengorak langkah demi langkah bagi memastikan

rakyat dapat menikmati kehidupan yang dinamik, aman , bertoleransi dan bersikap

pragmatik. Semua ini direncanakan dengan penuh teliti oleh para pemimpin negara

ketika itu. Mungkin kata – kata Almarhum Tunku Abdul Rahman memberi suatu

perangsang kepada mereka. Antaranya,

“Untuk mencapai kemerdekaan, tidaklah sukar tetapi untuk


mengisi kemerdekaan, bukanlah suatu kerja yang mudah…”.

Lantaran itu, pelbagai program dan perancangan digubal untuk meletakkan

negara dalam persaingan global. Salah satunya, memastikan negara menjadi ahli

negara Komanwel dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu(PBB) pada tahun 1957.

Seterusnya, Tentera Laut Diraja Persekutuan ditubuhkan pada tahun 1958 untuk

memartabatkan kedaulatan negara. Pelepasan cukai selama lima tahun kepada

syarikat perindustrian bertaraf perintis turut dilaksanakan untuk membolehkan kita

berdikari. Bagi memartabatkan kedudukan Bahasa Melayu (BM), kerajaan mula

menggunakan BM sebagai bahasa penghantar dalam semua urusan rasmi kerajaan.

Selain itu, kita juga berjaya menjalinkan persahabatan dengan negara-negara

jiran seperti Indonesia, Thailand dan Filipina. Hasilnya, aspek keselamatan serantau

dan hubungan diplomatik berjaya diperkukuh. Pada tahun 1960, darurat yang

diisytiharkan sejak tahun 1948 lagi terhadap petualang negara, iaitu Parti Komunis

Malaya (PKM) berjaya ditamatkan. Usaha ini merupakan suatu tindakan awal bagi

menandakan kemenangan terhadap perjuangan komunis . Dari segi pendidikan pula,

2
mulai 1962 kemudahan pendidikan rendah percuma dinikmati oleh rakyat. Kempen

basmi buta huruf “End-IT” yang melibatkan hampir 180 000 orang mulai digerakkan

dengan harapan setiap lapisan rakyat dapat mengikuti arus pembangunan pesat

selepas ini.

Kedudukan dan imej negara semakin terserlah apabila Malaysia ditubuhkan

secara serentak dengan kemasukan Sabah dan Sarawak pada tahun 1963. Televisyen

Malaysia dilancarkan sebagai penanda bermulanya era telekomunikasi negara. Pada

tahun yang sama, Masjid Negara dibina sebagai simbol perpaduan pelbagai kaum.

Paling gemilang, pada era Almarhum Tunku Abdul Rahman, Bahasa Melayu

dijadikan bahasa kebangsaan dan alat untuk menyatupadukan rakyat Malaysia yang

bukan sahaja berbeza dari segi kaumnya, malah mempunyai pelbagai dialek.

Era Allahyarham Tun Abdul Razak pula menyaksikan pelancaran Dasar

Ekonomi Baru(DEB) yang berupa suatu acuan istimewa dalam usaha menaikkan

taraf hidup kaum Bumiputera yang ketika itu jauh terpinggir daripada arus

pembangunan akibat penjajahan yang terlalu lama. Tahun 1971 memperlihatkan

kejayaan serantau apabila Deklarasi Kuala Lumpur diumumkan oleh ASEAN untuk

mengadakan Zon Aman, Bebas, dan Berkecuali (ZOPFAN) di Asia Tenggara. Agensi

kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) digerakkan untuk mengeluarkan

biasiswa dan pinjaman pelajaran kepada kaum bumiputera. Selain itu, Lembaga

Pembangunan Bandar (UDA) ditubuhkan untuk membantu kaum Melayu dan

bumiputera menguasai sekurang-kurangnya 30 % dalam sektor pembangunan dan

aktiviti industri negara.

Sementara itu, pada tahun 1972, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang

pertama dibina di Seremban, Negeri Sembilan untuk melahirkan generasi bumiputera

3
yang mempunyai latar belakang jurusan sains. Pada era ini juga kita menyaksikan

kewujudan agensi RISDA pada tahun 1973 dengan sasaran utama untuk membantu

sektor pertanian negara. Program Buku Hijau yang dilancarkan sendiri oleh

Allahyarham Tun Abdul Razak menandakan suatu revolusi pertanian negara.

Demikian juga dengan PETRONAS yang diasaskan pada tahun 1974 berjaya

menyelaras dan mengatur pembangunan industri petroleum negara. Pendek kata,

memang tepat benarlah kalau era ini meletakkan Allahyarham Tun Abdul Razak

sebagai Bapa Pembangunan Negara.

Era kepemimpinan Allahyarham Tun Hussein Onn juga tidak kurang

hebatnya . Beliau meneruskan DEB dan mengutamakan integrasi sosial menerusi

DEB. Pelancaran Rukun Tetangga dilakukan pada tahun 1977 dan Permodalan

Nasional Berhad (PNB) pula diasaskan penubuhannya pada tahun 1978. Amanah

Saham Nasional Berhad (ASNB) yang kini memainkan peranan utama dalam

menggerakkan ekonomi rakyat Malaysia, khususnya bumiputera dilancarkan pada

tahun 1979. Sesuatu yang menggembirakan kita, pada tahun 1979 setiap lapisan

rakyat Malaysia menikmati taraf hidup yang semakin baik berbanding generasi

terdahulu. Apa tidaknya, pada tahun itu negara mengalami pertumbuhan luar biasa

hasil eksport, iaitu peningkatan hampir 40 % dan semua ini merupakan suatu tanda

aras awal kejayaan negara dalam melaksanakan dasar perindustrian negara. Lebih

memberangsangkan, pada tahun 1980 negara kerdil ini muncul sebagai negara

pengeksport semikonduktor yang terbesar, dan menjadi pengeksport penyaman udara

ketiga terbesar di dunia.

Seterusnya, beralih pula kepada era kepemimpinan Datuk Seri Dr. Mahathir

Mohamad (Perdana Menteri Malaysia keempat) yang dikira sebagai era yang paling

agresif dengan pelbagai kemajuan dalam pelbagai bidang. Pelbagai anjakan

4
paradigma, reformasi pengurusan , pengukuhan dasar dan visi agung hasil cetusan

minda beliau tidak dinafikan telah mempercepat matlamat kepemimpinan

terdahulu memartabatkan negara Malaysia di persada dunia. Setelah menjadi

Perdana Menteri yang keempat pada tahun 1981, beliau melancarkan Dasar Pandang

Ke Timur dan seterusnya menyelaraskan masa antara Semenanjung Tanah Melayu,

Sabah dan Sarawak. Usaha yang dilakukannya ini mempunyai mesej tersirat, iaitu

janganlah terlalu mengharapkan kuasa barat yang belum tentu ikhlas dari segi

persahabatan. Mungkin juga beliau terpanggil untuk mengagumi sejarah negara

Jepun yang bangkit semula sebagai negara maju dalam masa 40 tahun sahaja setelah

“runtuh” dari segi ekonominya selepas tewas dalam Perang Dunia Kedua. Biar apa

pun yang tersirat dalam minda beliau, sejarah telah membuktikan bahawa dasar itu

amat berkesan dan kini kita boleh melihat sendiri `siapa kawan dan siapa lawan

kita.`

Usaha meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia, khususnya bumiputera

bertambah pesat setelah terilhamnya Amanah Saham Nasional (ASN) yang juga

merupakan detik permulaan dana amanah saham terbesar di dunia. YAB Datuk Seri

Dr. Mahathir Mohamad bukan sahaja dikagumi dari segi ketokohan, malah beliau

telah meletakkan Malaysia kepada tahap yang terlalu tinggi , iaitu hampir setaraf

negara maju yang lain. Banyak pemikiran dan idea bernasnya cuba diselami oleh

pemimpin dunia yang lain. Tidak keterlaluan jika dikatakan beliau menjadi idola bagi

para pemimpin dunia ketiga atau negara-negara lain yang sudah lama “tertindas” oleh

percaturan kuasa barat. Hasil kelantangan beliau mengkritik sikap barat yang

“bertalam dua muka” dalam pelbagai forum antarabangsa meletakkan dirinya sebagai

pemimpin yang disegani kawan dan lawan. Biarpun sumbangan beliau menjadi bahan

kritikan dan dicemburui, sejarah telah membuktikan bahawa Malaysia amat beruntung

kerana memiliki seorang pemimpin seperti beliau. Tidak hairanlah ada cendekiawan

5
barat yang mengatakan bahawa Malaysia terpaksa menanti 100 tahun lagi untuk

memiliki pemimpin yang ideal dan berkarisma seperti beliau. Tidak syak lagi jika

dikatakan beliaulah mujahid sebenar dalam abad ini.

Berbalik kepada senario kejayaan Malaysia, kita berasa tidak adil jika tidak

disenaraikan segala dasar dan perancangan yang dilaksanakan Datuk Seri Dr.

Mahathir Mohamad. Pada tahun 1983, Dasar Penswastaan Malaysia dilancarkan dan

projek kereta nasional diumumkan. Pembinaan Jambatan Pulau Pinang yang kini

dianggap jambatan terpanjang di Asia Tenggara menjadi kenyataan pada tahun 1985.

Kereta Proton Saga pertama kali meluncur di jalan raya pada tahun yang sama. Nama

Malaysia terus “gah” apabila Malaysia menjadi tuan rumah Persidangan Selatan-

Selatan. Komitmen Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dalam persidangan

antarabangsa pula semakin terserlah apabila beliau dipilih sebagai Presiden

Persidangan Antarabangsa Mengenai Penyalahgunaan dan Pengedaran Najis Dadah

di Vienna, Austria.

Sebagai rakyat Malaysia, kita sering kali “menitiskan air mata” sebagai tanda

rasa bangga dengan pelbagai kejayaan Malaysia. Antaranya pada tahun 1988, kita

mulai memiliki Stesen Satelit Bumi dan kereta nasional, Proton Saga pula mendapat

pengiktirafan dan pelbagai anugerah antarabangsa. Selain itu, Malaysia terus popular

menjadi destinasi utama para pemimpin negara menghadiri persidangan demi

persidangan. Buktinya, Malaysia terpilih menjadi tuan rumah Mesyuarat Ketua-

Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) 1990. Kemudiannya, Malaysia diamanahkan

menjadi penganjur Persidangan Ketua Kerajaan G15, dan ini merupakan suatu

pengiktirafan antarabangsa terhadap Malaysia, sebuah negara yang dahulunya tersisih

dalam segala aspek.

6
Pada tahun 1991, Wawasan 2020 dilancarkan. Gagasan ini lebih dikenali

sebagai pelan jangka panjang yang bakal merealisasikan matlamat Malaysia untuk

menjadi negara maju. Yang menariknya, negara maju yang kita impikan ini

meletakkan sembilan cabaran utama yang perlu direalisasikan, dan jika matlamat ini

tercapai nanti, kita akan pastinya menjadi negara maju ala Malaysia bukan seperti

negara-negara maju sekarang yang hanya “gah” dari segi ekonomi tetapi “runtuh”

dari segi moral dan tatalakunya.

Tidak adil jika Malaysia dalam era kepemimpinan Datuk Seri Dr. Mahathir

ini tidak mengambil kira kemajuan dalam bidang Teknologi Maklumat (IT) . Projek

Jaring mulai dilancarkan pada tahun 1991. Kini projek Koridor Raya Multimedia

(MSC) pula menjadi kenyataan, dan ini membuktikan kemampuan sebenar negara

kita dalam apa-apa sahaja bidang. Kita yakin kita mampu bersaing dengan negara

seperti Amerika Syarikat yang sudah memiliki Lembah Silikon itu. Pokoknya, kita

perlu yakin akan kebolehan kita sendiri. Era pembangunan mapan juga

diketengahkan dari semasa ke semasa. Pada tahun 1993, Langkawi International

Maritime dan Aerospace (LIMA) dilancarkan. Selain itu, penswastaan Tenaga

Nasional Berhad (TNB) dilaksanakan dalam usaha untuk melancarkan kecekapan

agihan kuasa elektrik ke seluruh negara dan sebagai persediaan asas menarik

pelaburan asing dalam sektor perindustrian. Program Kontraktor Binaan Berwibawa

juga digerakkan untuk menaikkan taraf , mutu kerja dan kemampuan kontraktor

bumiputera. Sesuatu yang dikira memeranjatkan kita adalah apabila kereta nasional

kita terus mendapat sambutan sedangkan industri kereta asing mengalami kesuraman

ekonomi. Buktinya, pada tahun 1993, PROTON berjaya mengeluarkan sebanyak 120

000 buah kereta biarpun baru sahaja beroperasi. Lebih menceriakan keadaan, kereta

nasional kedua , Perodua Kancil pula dilancarkan.

7
Dari segi kemudahan infrastruktur, Lebuh Raya Utara – Selatan (PLUS) siap

dibina pada tahun 1994. Stadium Shah Alam yang dikira terbesar di rantau ini juga

siap dibina. Tempias kejayaan ekonomi setelah mengalami pertumbuhan ekonomi

yang pesat selama lapan tahun berturut-turut turut dinikmati oleh pelbagai lapisan

rakyat. Buktinya, rakyat Malaysia mula memanfaatkan Internet pada tahun 1995.

Kebanggaan lain ialah satelit pertama Malaysia – MEASAT 1 dilancarkan ke angkasa

pada tahun 1996, Menara Berkembar Petronas, iaitu bangunan tertinggi di dunia (pada

masa itu) siap dibina pada tahun 1997 dan Sistem Transit Aliran Ringan (STAR)

beroperasi pada tahun yang sama.

Projek – projek gergasi atau mega ini pernah dianggap sebagai suatu

pembaziran bagi mereka yang cemburu akan pelbagai nikmat kemerdekaan dan

kejayaan serta komitmen tinggi para pemimpin negara. Apa-apa pun pandangan

orang lain, saya merumuskan segala kritikan itu dalam suatu epilog ringkas, iaitu

“Semua ini tidak mungkin dicapai dan dinikmati sekiranya pemimpin kita berfikiran

jumud.” Atas dasar pemikiran yang berencanalah, maka pada tahun 1998, Malaysia

terpilih menjadi tuan rumah Sukan Komanwel (SUKOM) terakhir pada abad itu.

Kompleks Sukan Bukit Jalil yang dibina khas untuk kejohanan itu menjadi mercu

tanda kecemerlangan sukan negara. Lebih membanggakan, prasarana sukan yang

disediakan itu mendapat pujian negarawan –negarawan asing sehingga Presiden

IOC mencadangkan agar kita menganjurkan pula Sukan Olimpik.

Seperkara yang mengagumkan kita, dalam keadaan negara dilanda kegawatan

ekonomi kerajaan kita masih meneruskan dasar liberal dan “mesra rakyat”. Lantaran

itu, kesan kegawatan tidaklah terlalu parah jika dibandingkan dengan negara-negara

jiran yang sebilangan masa masih mengikut telunjuk formula atau ramuan Dana

Kewangan Antarabangsa (IMF) yang “mencekik darah” itu. Pendek kata, kita masih

8
dianggap negara makmur sehinggakan dalam keadaan itu pun masih ramai buruh

asing yang menongkah lautan untuk mencari rezeki di negara kita. Dalam soal ini,

kita amat berterima kasih kepada kepemimpinan negara yang sedia ada kerana dapat

menghidu musibahnya jika menerima formula asing (IMF) yang belum tentu

berkesannya itu. Sesungguhnya kita amat bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana

rakyat kita juga tidak mudah melatah dan sanggup bersama-sama pemimpin negara

memberi sokongan moral dan material. Kesannya, kita terus menikmati suasana

kehidupan yang aman, damai dan harmoni. Di samping itu, dalam “kelemasan”

ekonomi pun kita masih berjaya mendirikan Putrajaya yang kini dianggap antara

mercu kejayaan negara dalam alaf ini.

Kejayaan demi kejayaan tidak akan datang menggolek begitu sahaja tanpa

komitmen yang jitu daripada barisan kepemimpinan negara. Kita harus ingat segala

yang dianggap mitos telah pun direalitikan. Sebagai contohnya, Datuk Azhar Mansor,

anak Malaysia telah menjadi manusia pertama berlayar secara solo mengelilingi

“DUNIA” (bukannya Lautan Pasifik) melalui laluan Timur-Barat. Selain itu,

ekspedisi menawan puncak Gunung Everest oleh dua orang pendaki muda kita

merupakan kejayaan awal rakyat Malaysia yang bepegang kuat pada slogan Malaysia

Boleh. Penganjuran Perlumbaan Kereta Formula 1 di Litar F1 Sepang bukan sahaja

suatu penganjuran hebat dalam menjulang nama negara ke seantero dunia , malah

mempamerkan kemakmuran negara kepada hampir 300 juta orang penduduk dunia.

Usaha Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dibarisi oleh anak-

anak Malaysia sendiri pada tahun 1998 juga tidak boleh dipandang remeh.

Kewibawaan mereka menangani masalah ekonomi negara tanpa tunduk kepada

telunjuk mana-mana pihak yang berkepentingan amat dikagumi. Eulogi demi eulogi,

sepatutnya dihadiahkan kepada mereka dan bukannya cemuhan liar. Dengan kata

9
lain, rakyat Malaysia perlu berterima kasih dan menghargai sumbangan mereka

kerana hasil kegigihan merekalah kita kini telah terkeluar daripada lingkaran

kegawatan ekonomi. Kawalan Modal Terpilih yang pada mulanya dikecam oleh

pemimpin dan kapitalis barat ,termasuk Presiden dan Naib Presiden Amerika Syarikat

( yang kononnya berpengetahuan tinggi ), dan Presiden IMF, Michael Camdesus

ternyata suatu formula atau ramuan ekonomi yang hebat. Allah s.w.t telah

menunjukkan kebesaran-Nya, dan mereka yang benar ditunjukkan kebenarannya.

Kini dunia baru sedar bahawa formula negara yang sering dipandang sinis, iaitu

Kawalan Modal Terpilih ciptaan Malaysia amat hebat dan berkesan dalam

merangsang semula ekonomi ke landasan asal, iaitu kadar pertumbuhan ekonomi

yang positif.

Legasi kecemerlangan Malaysia diteruskan pula oleh YAB Perdana Menteri

Malaysia kelima, yakni Datuk Seri Abdullah bin Ahmad Badawi. Dengan gaya

sederhana beliau, Malaysia kian dikagumi oleh negara-negara Islam dan negara-

negara dunia ketiga yang lain. Sumbangan Pak Lah ini memperlihatkan Malaysia

terus gah sebagai negara contoh. Syarikat Penerbangan Air Asia berkembang pesat

menjadi syarikat kebanggaan negara. Bank Negara Malaysia dipuji di persidangan

bank antarabangsa sebagai badan pengawal sistem kewangan negara yang efisien dan

lebih membanggakan, syarikat petroleum negara, PETRONAS semakin mantap

memperkembang pengaruh di serata dunia. Pendek kata, sumbangan Pak Lah

walaupun seketika berjaya menaikkan imej negara sebagai negara yang suka

memakmurkan negara sahabat. Harapan kita untuk melihat kegemilangan negara

terus berkekalan pastinya adalah kepada Datuk Seri Najib bin Tun Abdul Razak yang

mulai menerapkan gagasan Satu Malaysia sebagai teras transformasi kepemimpinan

beliau untuk membawa Malaysia ke tahap yang lebih gemilang.

10
Kesimpulannya, jika bukan kita rakyat Malaysia siapa lagi yang boleh kita

harapkan untuk memartabatkan maruah Malaysia yang tercalar atau sengaja mahu

dicalarkan. Orang tua-tua pernah berpesan , Tuhan memberi kita sepasang mata .

Oleh itu, nilailah sesuatu dengan kedua-dua belah mata, bukannya sebelah mata.

Dengan erti kata mudah, gunakanlah sebelah mata lagi kalau tidak mahu dianggap

cacat penglihatan. Tegasnya, resipi kejayaan Malaysia selama lima dekad ini

sepatutnya tidak dipandang enteng kerana semua ini tidak bisa diraih dalam sekelip

mata. Lagipun, ini merupakan hasil kesinambungan perancangan mantap dan

pakatan agung pemimpin dan rakyat Malaysia yang sememangnya menolak unsur

keganasan, perkauman, ketaksuban dan ekstremisme. Hakikatnya, itulah FORMULA

MALAYSIA ….. Oleh Kita Untuk Kita ! Insya-Allah.

2K
NorEsei.formulamsia.doc

MENGIMBAU

SENARIO KEJAYAAN MALAYSIA

11
DALAM

ERA PASCAKEMERDEKAAN

12

Anda mungkin juga menyukai