Anda di halaman 1dari 3

Konsep Asas Falsafah Pendidikan Konsep Falsafah Istilah falsafah berasal daripada dua perkataan Yunani, iaitu philos

(bermakna mencintai) dan sophia (bermakna kebijaksanaan). Maka, isitilah falsafah boleh diertikan sebagai perihal mencintai kebijaksanaan. Pada zaman Yunani yang tamadunnya bermula sekitar 2500 tahun dahulu, ahli-ahli falsafah yang terkemuka seperti Socrates, Plato dan Aristotle sentiasa berusaha cuba memikir, menilai, mentafsir kehidupan dan pengalaman manusia dengan tujuan mencari kebenaran dan nilai hidup yang sempurna. Sebagai contoh, Socrates (469-399 SM) pernah berkata: Kehidupan manusia yang tidak dinilai merupakan kehidupan yang tidak berguna. Falsafah boleh difahamkan sebagai pemikiran atau pandangan yang benar, rasional dan bernas. Pemikiran atau pandangan ini dihasilkan daripada usaha kajian ahli falsafah dengan cara yang saintifik, sistematik dan logikal. Tujuan falsafah adalah mencari serta membukti kebenaran dan memberi arah tuju atau pedoman untuk perkara-perkara yang penting dalam kehidupan.

Konsep Pendidikan Secara umumnya , pendidikan ialah aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan pembentukan dan perkembangan ilmu, kemahiran, kerohanian dan jasmani manusia. Secara khususnya, pendidikan boleh diertikan sebagai aktiviti persekolahan. Ini bermakna pendidikan merupakan aktiviti-aktiviti yang mempunyai objektif, rancangan dan organisasi untuk mendidik murid-murid supaya menjadi insan yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia dan menguasai kemahiran tertentu, demi berupaya menyesuaikan diri dalam masyarakatnya pada masa depan. Usaha utama pendidikan adalah untuk menyediakan seseorang individu memainkan peranan yang positif dan berkesan dalam masyarakat. Dalam masyarakat moden ini, pendidikan adalah juga penting untuk menyediakan ahli-ahli masyarakat untuk menghadapi cabaran kehidupan dan pembaharuan serta membuat pengubahsuaian demi memberikan sumbangan untuk pembangunan masyarakat itu.

Konsep Falsafah Pendidikan Pada asasnya, konsep falsafah pendidikan adalah berbeza dengan konsep falsafah dan pendidikan. Secara ringkasnya, falsafah pendidikan merupakan konsep filososfikal dalam pendidikan, yang berkaitan rapat dengan pendekatan falsafah digunakan untuk membina teori pendidikan berdasarkan masalah atau isu pendidikan di bawah kajian. Di dalam jurnal Harvard Education Review (1955), konsep falsafah pendidikan dirumuskan seperti berikut :

1) Definasi falsafah pendidikan haruslah ditentukan berdasarkan ciri-ciri falsafah iaitu ditentukan melalui kaedah spekulatif,normatifdan analitik. Mengikut Frankena, falsafah pendidikan yang dikaitkan dengan ilmu harus berlandaskan kriteria utamanya iaitu epistemologi, diikuti dengan aplikasi metafizik, kaedah deduksi dan logiknya untuk membentuk teori pedagogikal. 2) Falsafah pendidikan ialah teori pendidikan. Frankel C. Menghuraikan penentuan tujuan dan pendidikan adalah aplikasi pendekatan yang sistematik daripada falsafah pendidikan. 3) Falsafah pendidikan mengandungi ciri-ciri tersendiri. Soalan asas falsafah pendidikan ialah Apakah pendidikan?. Maka, hasilan daripada falsafah pendidikan adalah akibat usaha kajian intelektual atas tujuan pendidikan, realiti objektif, prinsip asas dan nilainya.

Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara." Falsafah pendidikan yang menjadi panduan bagi semua aktiviti pendidikan di Malaysia dekenali sebagai FPK. Dengan adanya FPK, maka sistem pendidikan negara sebenarnya menganjakkan diri ke kedudukan terkehadapan dengan mengungkapkan secara jelas prinsip dan nilai asas yang mendasari dan membentuk sistem pendidikan Malaysia daripada peringkat yang paling rendah hingga kepada peringkat tertinggi iaitu universiti. FPK menjelaskan tujuan dan matlamat pendidikan untuk individu dan negara. Kedua-dua tujuan selaras, iaitu untuk melahirkan insan yang berilmu, berakhlak mulia dan bertanggungjawab yang juga akan menjadi seorang warganegara yang baik. Pendidikan merupakan proses asas dan utama untuk pembinaan insan yang baik, seimbang dan bersepadu yang secara langsung merupakan saluran utama dan yang paling penting untuk menjayakan hasrat dan cita-citanegara. Salah satu yang terkandung dalam FPK adalah falsafah tentang manusia yang berasaskan kepercayaan kepada Tuhan dan agama. Matlamat pendidikan adalah untuk membangunkan semua aspek diri manusia secara harmonis dan seimbang supaya kesepaduan fitrah diri manusia terpelihara. Berilmu dan berpendidikan harus menghasilkan budi pekerti yang baik dan akhlak yang mulia yang sekali gus menjadi cirri-ciri asasi seorang ahli keluarga, masyarakat dan warganegara yang baik dan terdidik.

Satu konsep asas yang terkandung dalam FPK ialah tentang ilmu, nilai ilmu dan peranan ilmu dalam pembangunan insan dan masyarakat. Nilai ilmu terletak pada kebenaran kandungan yang berfungsi bukan sahaja untuk memaklumkan dan menerangkan kepada manusia akan sesuatu, tetapi lebih penting lagi ilmu mempengaruhi, mengubah dan membentuk diri serta masyarakat manusia. Fungsi ilmu yang boleh mengubah manusia dan masyarakat inilah yang menjadikan sesuatu yang amat tinggi nilainya. Pendidkan ialah satu proses dan aktiviti sepanjang hayat dan manusia sentiasa berada dalam keadaan memerlukan perluasan, pendalaman dan pengesahan kepada ilmu yang ada. Pengalaman bukan sahaja boleh memperkaya dan mengukuhkan ilmu tetapi juga mencabar dan mengubah ilmu yang sedia ada pada manusia.