Anda di halaman 1dari 14

4.

0 ANALISIS TEORI PERKEMBANGAN MORAL

4.1 JEAN PIAGET

Perkembangan moral melibatkan perubahan pemikiran, perasaan dan tingkahlaku terhadap nilai kebenaran atau kesilapan. Ia mempunyai dimensi

interpersonal yang melibatkan regulasi dalaman seseorang individu dan dimensi interpersonal yang melibatkan interaksi sosial dengan orang di persekitaran. Pemikiran, tingkahlaku, perasaa dan personaliti seseorang saling berkait dalam penilaian moral seseorang individu.

Teori perkembangan Moral yang diperkenalkan oleh Jean Piaget adalah berdasarkan pemerhatian semulajadi terhadap kanak-kanak dan beliau telah membahagikan perkembangan moral kepada dua tahap iaitu: i) Tahap Pertama : Moaraliti Heteronomus ( 6-10 tahun ) ii) Tahap Kedua : Moraliti Autonomus @ Kerjasama ( 10-11 ke atas ).

Tahap Pertama yang mana kanak-kanak mempercayai peraturan datang dari ibubapa atau orang-orang yang mempunyai autoriti lain. Peraturan juga dianggap sebagai sesuatu yang tidak boleh diubah dan pada tahap ini kanak-kanak hanya dapat melihat sesuatu peraturan dengan satu pandangan sahaja.

Manakala pada Tahap Kedua, tahap ini dicirikan dengan fleksibiliti moral. Kanak-kanak sudah mula kurang egosentik dan peraturan tidak dilihat sebagai sesuatu yang tidak boleh diubah.

Beliau merumuskan kanak-kanak melalui dua peringkat utama pemikiran moral:

(a) Umur 4 hingga 7 tahun. Peringkat moral Heteronomus, Peringkat pertama perkembangan moral, Kanak-kanak melihat peraturan sebagai sesuatu yang telah ditetapkan dan tidak boleh diubah. Mereka menilai sesuatu tindakan melalui akibat. Contoh: Mereka mengemaskan barang mainan sebab takut dimarahi, Mereka sukar mengubah sesuatu peraturan dan mementingkan akibat yang akan diterima daripada sesuatu perbuatan.

(b) Umur 7 hingga 10 tahun. Peringkat transisi. Mempunyai ciri-ciri peringkat pertama tetapi sudah mula beralih kepada ciri-ciri peringkat seterusnya.

(c) Umur 10 tahun ke atas. Peringkat Moral Autonomus Mula sedar bahawa peraturan dan undang-undang dicipta oieh manusia dan bukan sesuatu yang mutlak. Mula menilai sesuatu tindakan berdasarkan niat dan akibat. Boleh mempertimbangkan sesuatu perlakuan moral berdasarkan aspek-aspek lain seperti niat, perasaan, keadilan dan tingkahlaku.

Menurut Piaget lagi, pergerakan dari satu tahap ke tahap lain bergantung kepada kematangan kognitif dab pengalaman sosial terutama sekali pengalaman menyelesaikan konflik yang berlaku sesama kawan-kawan.

Sistem Moral ( Akhlak ) merupakan satu bentuk prinsip yang sesuai di mana ia bertujuan untuk membantu individu membezakan antara benar dan salah. Terdapat tiga komponen moral iaitu afektif atau emosi yang merangkumi komponen yang mengandungi unsur-unsur perasaan yang memberikan kefahaman terhadap tindakan moral. betul atau salah yang akhirnya mendorong untuk sesuatu tindakan

4.2 ALBERT BANDURA

Albert Bandura berpendapat sesuatu tingkah laku dipelajari menerusi interaksi dengan orang lain dan persekitaran. Semasa berinteraksi seseorang itu akan memerhatikan tingkah laku dan seterusnya meniru perbuatan tersebut. Proses ini dipanggil modelling iaitu pembelajaran melalui permodelan. Antara ciri-ciri teori pemodelan Bandura ialah unsur pembelajaran utama ialah pemerhatian dan peniruan. Tingkah laku model dipelajari melalui bahasa, misalan dan teladan. Individu meniru sesuatu kemahiran daripada kecekapan demontrasi individu lain sebagai model.

Selain itu, individu akan memperoleh kemahiran jika memperoleh kepuasan dan peneguhan yang berpatutan. Empat unsur utama teori pemodelan Bandura ialah perhatian, mengingat, reproduksi, peneguhan atau motivasi.

Dalam teori Bandura, individu dirujuk sebagai keadaan motivasi intristik. Persekitaran pula sebagai rangsangan luar. Tingkah laku dirujuk sebagai tindak balas. Pembelajaran merupakan interaksi antara motivasi intristik dan tingkah laku individu dengan persekitaran.

Umur 2-4 tahun

Perkembangan moral Mereka belum menyedari adanya peraturan dalam kehidupan mereka. Mereka berbuat baik untuk dipuji dan menunjukkan protes apabila marah.

Kanak-kanak pada peringkat umur ini cuba melakukan sesuatu tingkah laku tanpa tahu sama ada tingkah laku tersebut sesuai atau tidak sesuai dan betul atau tidak. Ketika ini, keinginan mereka kuat untuk melakukan sesuatu dengan sendiri. Mereka juga suka meniru perbuatan ibu bapa mereka. Pada peringkat umur ini, kanak-kanak mula memperhatikan atau meniru cara kanak-kanak yang lebih besar daripada mereka. Kanak-kanak hanya meniru semata-mata untuk dirinya sendiri. Mula menyedari adanya peraturan dan ketaatan yang telah dibuat dari luar dirinya dan harus ditaati. Mereka memandang sangat salah apabila sesuatu peraturan itu diubah mahupun dilanggar.

4-6 tahun

Empat unsur utama Teori Permodelan Albert Bandura :

(i) PEMERHATIAN Untuk belajar melalui pemerhatian, pelajar haruslah menumpukan perhatian. Kanak-kanak lebih tertarik dan cenderung ke arah orang yang menarik, popular, cekap atau disanjungi. Untuk kanak- kanak kecil ini mungkin merujuk kepada ibu bapa, abang atau kakak atau guru-guru. Bagi pelajar yang lebih tua ia mungkin merujuk kepada rakan sebaya yang popular dan artis pujaan. Faktor- faktor yang mempengaruhi perhatian ialah ciri-ciri model termasuk nilai, umur, jantina, status dan perhubungan dengan pemerhatian.

(ii) MENGINGAT Pada pendapat saya, langkah ini merupakan langkah yang paling penting kerana jika pelajar tidak dapat mengingati tingkah laku gurunya maka sia-sialah usaha guru itu dalam memodelkan tingkah laku yang ingin di terapkan dalam diri pelajar. Bagi membantu proses ini guru seharusnya senantiasa memodelkan tingkah laku yang dingini dengan kerap.

(iii) REPRODUKSI Pemerhatian harus berupaya melakukan semula tingkah laku yang ditirunya. Apabila seseorang tahu bagaimana sesuatu tingkah laku ditunjukkan dan mengingati ciri-ciri atau langkah-langkah dia mungkin belum boleh melakukannya dengan lancar. Sesorang itu memerlukan latihan yang banyak, mendapat maklum balas dan bimbingan tentang perkara-perkara penting sebelum boleh menghasilkan tingkah laku model. Di peringkat penghasilan latihan menjadikan tingkah laku lebih lancar dan mahir.

(iv) PENEGUHAN/MOTIVASI Setelah satu kemahiran atau tingkah laku baru Berjaya diterapkan, guru perlu memainkan peranan dalam memastikan pelajar mendapat peneguhan dan motivasi yang secukupnya untuk menghasilkan semula tingkah laku itu. Peneguhan boleh memainkan beberapa peranan dalam pembelajaran pemerhatian. Seandainya kita mengharapkan untuk mendapat peneguhan dengan meniru tindakan seseorang model, kita mungkin menjadi lebih bermotivasi untuk menumpukan perhatian, mengingat dan menghasilkan semula tingkah laku. Selain itu, peneguhan penting untuk mengekalkan pembelajaran. Seseorang yang mencuba menunjukkan tingkah laku baru tidak akan mengekalkanya tanpa peneguhan.

Teori pemerhatian dapat membantu dalam pembentukan insane bermoral. Ini kerana guru boleh mempraktikkan tingkah laku yang diingini di dalam kelas. Kanakkanak melihat guru dan ibu bapa sebagai role model. Dalam erti kata lain tingkah laku kanak-kanak mencerminkan tingkah laku ibu bapa dan guru-guru mereka.

4.3 LAWRENCE KOHLBERG

Teori perkembangan Lawrence Kohlberg berfokus kepada peringkatperingkat perkembangan moral dalam setiap individu. Lawrence Kohlberg menekankan bahawa individu berbeza membuat penaakulan tentang pendedahan dan dan perkembangan moral masing-masing.

Peringkat perkembangan moral bersifat hierarki, berstruktur, bersistematik, dan tidak berbalik. Apabila individu berada pada peringkat yang lebih tinggi bermakna dia telah melalui peringkat moral yang lebih rendah. Cara seseorang menganalisa menginterpretasikan serta membuat keputusan merupakan perkara yang sangat penting dalam perkembangan moral secara keseluruhannya.

Selain itu, beliau memperoleh maklumat yang menjadi asas kepada teori perkembangan moral melalui kajian yang bertanyakan sesuatu nilai betul-salah tentang sesuatu situasi. Subjek-subjek dalam kajian beliau yang terdiri daripada golongan kanak-kanak dan remaja daripada pelbagai jenis lapisan masyarakat dan umur dikehendaki menilai sesuatu cerita yang mempunyai ciri-ciri dilema moral. Tiap-tiap satu cerita itu mempunyai satu bentuk penilaian yang relatif, oleh itu ia tidak ada bentuk yang betul dalam semua aspek. Beliau ingin melihat tahap operasi pemikiran serta tahap perkembangan moral yang ada pada tiap-tiap tahap perkembangan manusia.

Berikut adalah satu daripada pernyataan yang beliau gunakan: "Di Eropah, seorang wanita sedang menghadapi maut kerana sakit tenat. Para doktor mengesahkan bahawa hanya terdapat satu ubat sahaja yang dapat menyembuhkan penyakitnya itu. Ubat itu ditemui oleh seorang lelaki yang tinggal dalam bandar yang sama. Kos untuk membuat ubat tersebut ialah $200 tetapi lelaki tersebut menjual hanya sedikit sahaja ubat itu dengan harga $2 000 Heinz, suami wanita yang sakit itu cuba meminjam wang yang secukupnya untuk membeli ubat berkenaan. Beliau berjumpa dengan semua orang yang dikenalinya untuk meminjam wang. Tetapi, beliau hanya dapat setengah daripada jumlah yang diperlukan. Beliau kemudian berjumpa dengan lelaki yang membuat ubat itu dan mengatakan bahawa isterinya sedang sakit tenat lalu meminta supaya ubat itu dijual dengan harga murah sedikit ataupun membenarkannya membayar harga ubat itu kemudian. Tetapi lelaki tersebut mengatakan tidak, saya telah membuat ubat ini dan saya akan mendapatkan wang daripadanya. Oleh itu, Heinz memecah masuk ke dalam kedai lelaki tersebut dan mencuri ubat itu". (Sumber: Atkinson et. al., 1983, hlm 81)

Setelah membaca cerita, pelajar menjadi responden menjawab serangkaian pertanyaan tentang dilema moral. Haruskah Heinz mencuri ubat? Apakah tindakan mencuri ubat tersebut benar atau salah? Mengapa? Adakah menjadi tugas suami untuk melindungi isterinya dengan apa cara sekali pun? Adakah penjual ubat itu memiliki hak untuk mengenakan harga mahal terhadap ubat tersebut walaupun

tiada apa-apa peraturan tentang membataskan harga ubat tersebut? Mengapa atau mengapa tidak?

Berdasarkan soal jawab tersebut Kohlberg kemudian merumuskan tiga tingkat perkembangan moral, yang mana ketiga-tiganya melalui dua tahap. Keyconcept dari teori Kohlberg, ialah internalisasi, iaitu perubahan perkembangan dari perilaku yang dikendalikan secara eksternal menjadi perilaku yang dikendalikan secara internal.

Tahap 1: Pra-Konvensional Tahap yang paling bawah dalam penakulan moral. Pada tahap ini perlakuan dinilai berdasarkan ganjaran dan hukuman yang akan diterima akibat perlakuan tersebut. Dalam tahap ini terdapat dua peringkat iaitu peringkat orientasi kepatuhan dan hukuman dan peringkat orientasi jangkaan individu.

Peringkat 1: Orientasi kepatuhan dan hukuman. Peringkat ini boleh dilihat pada kanak-kanak yang berumur 4 tahun di mana penilaian oleh kanak-kanak ini bergantung kepada kesan fizikal yang akan dikenakan ke atas mereka. Kepatuhan kanak-kanak kepada orang dewasa adalah untuk mengelakkan dendaan. Mereka belum mempunyai kebolehan untuk menilai sesuatu dari segi tujuan tetapi lebih tertumpu kepada akibat yang akan diterima. Mereka tidak dapat membezakan apa yang betul atau salah merujuk kepada harapan masyarakat.

Peringkat 2: Orientasi ganjaran peribadi. Peringkat ini lebih menumpukan kepada kehendak dan perasaan sendiri. Sesuatu perkara itu dinilai baik atau jahat adalah berdasarkan penilaian terhadap kesan ke atas mereka. Ini bermakna apa yang dapat memuaskan hati atau menggembirakan mereka itulah yang dianggap baik dan sebaliknya. Prinsip keadilan bagi mereka ialah sekiranya perkara atau insiden itu berlaku kepada kedua-dua belah pihak. Sebagai contoh jika Ahmad dicubit oleh Arif, jadi untuk berlaku adil Ahmad dibolehkan mencubit Arif.

Tahap 2: Konvensional Tahap pertengahan di dalam teori perkembangan moral Kohlberg. Dalam tahap ini, inividu sudah mula mengaplikasi peraturan berdasarkan sesuatu yang telah ditetapkan oleh ibubapa, guru dan komuniti. Tahap ini mengandungi dua peringkat iaitu orientasi perlakuan baik dan akur kepada sistem sosial.

Peringkat 3: Orientasi perlakuan baik Pada peringkat ini, ciri utama yang ditunjukkan ialah kecenderungan untuk menolong atau lebih dikenali dengan sifat alturistik. Menolong orang lain yang berada dalam kesusahan atau menyiapkan kerja dianggap sesuatu yang baik. Individu pada tahap ini menolong orang supaya beliau dianggap sebagai orang yang baik. Gelaran budak baik ini penting kerana sikap ini diutamakan dalam kumpulan rakan sebaya.

Peringkat 4: Akur kepada sistem sosial dan etika peraturan Pada peringkat ini kita dapat lihat dari segi penghormatan seseorang individu itu kepada undang-undang sedia ada. Individu pada peringkat ini menghormati undang-undang di atas rasa keyakinan beliau terhadap undang-undang yang ada dan sanggup pula memperjuangkannya. Kohlberg berpendapat seseorang yang berada pada peringkat ini menilai nyawa itu sebagai sesuatu yang kudus atau suci. Ramai remaja dan orang dewasa bertindak berdasarkan pemikiran moral peringkat ini.

Tahap 3: Pos - Konvensional Tahap penaakulan moral yang paling tinggi dalam perkembangan moral Kohlberg. Pada tahap ini individu rnula meneroka pilihan, memilih alternatif-alternatif lain dalam penaakulan moral, Mereka mula mempunyai kod moral dan etika yang tersendiri, Dua peringkat yang terdapat pada tahap ini ialah etika kontrak sosial dan hak individu dari etika prinsip sejagat,

Peringkat 5: Etika kontrak sosial dan hak indivdiu Pada peringkat ini, persoalan seperti hak individu, maruah, keadilan, persetujuan serta tanggungjawab bersama menjadi isu yang dititikberatkan. Tingkah laku moral adalah berteraskan kepada kepentingan sosial dan perjuangan ke arah kedaulatan masyarakat. Individu pada peringkat ini menghormati undang-undang tetapi percaya bahawa undang-undang perlu diubah suai untuk kesejahteraan umat atau manusia.

Peringkat 6: Etika prinsip sejagat Pada peringkat ini individu menunjukkan ciri-ciri tingkah laku moral berasaskan kesedaran kendiri yang meletakkan nyawa manusia, keadilan dan maruah pada peringkat tertinggi. Kohlberg menyatakan bahawa individu pada peringkat ini melanggar undang-undang bukan kerana tidak menghormatinya tetapi disebabkan oleh rasa tanggungjawab dari segi prinsip etika hak-hak kemanusiaan. Mereka juga sanggup menerima hukuman di atas kesalahan yang dilakukan dengan rela kerana menghormati undang-undang yang telah ditetapkan.

6.0 PERKAITAN TEORI PERKEMBANGAN MORAL KANAK-KANAK DENGAN PEMBENTUKAN INSAN BERMORAL

Pada pendapat saya, teori-teori perkembangan kanak-kanak banyak membantu dalam pembentukan insan bermoral. Dengan adanya teori ini, kita akan lebih memahami jiwa dan pemikiran kanak-kanak dan dalam masa yang sama merencanakan rancangan untuk membentuk insan yang bermoral.

Saya juga berpendapat rakan sebaya adalah medium yang terbaik dalam membentuk insan yang bermoral. Rakan sebaya merupakan satu lagi faktor yang mempengaruhi proses sosialisasi. Pengaruh keluarga semakin merosot apabila kanak-kanak meningkat remaja. Apabila mereka menjadi semakin dewasa, kumpulan sebaya menjadi pengaruh yang lebih berkesan dalam proses

pembentukan budi pekerti mereka. Oleh kerana keperluan untuk diterima oleh kumpulan sebaya amat penting kepadanya, seseorang remaja akan menepati norma dan nilai yang ditonjolkan oleh kumpulan tertentu. Ini boleh membawa sama ada kesan positif ataupun negatif. Cara berpakaian, fesyen rambut dan sifat seseorang boleh dipengaruhi oleh kegemaran dan khayalan kumpulan tersebut.

Bandura juga berpendapat bahawa ibu bapa bukanlah role model untuk kanak-kanak. Perlakuan orang dewasa yang lain, rakan sebaya dan punca-punca simbolik yang lain juga ditiru oleh kanak-kanak. Pengaruh kumpulan sebaya menjadi lebih utama di peringkat remaja.

Kumpulan remaja merupakan satu punca nilai-nilai dan akan memainkan peranan yang utama dalam menentukan kedudukan nilai yang diterima dan diamalkan oleh seseorang individu terutamanya mengenai corak dan tingkahlaku yang mereka anggap perlu dipatuhi. Walaupun pengaruh kumpulan sebaya amat mempengaruhi di peringkat remaja, ia juga berperanan penting dalam pelbagai peringkat umur.

Ia juga penting di peringkat geng iaitu semasa kanak-kanak berumur antara tujuh tahun. Piaget mengatakan bahawa bukan sahaja pembelajaran yang berlaku di antara rakan sebaya juga merupakan prasyarat bagi perkembangan autonomi. Sebaliknya Kohlberg menyatakan bahawa perkembangan moral di kalangan kanakkanak yang dipencil atau diasingkan adalah tidak berbeza daripada kanak-kanak yang banyak menerima pendedahan.

Dalam pada itu, sekolah juga memainkan peranan yang besar dalam pembentukan moral seseorang. Berdasarkan Teori Perkembangan Moral Kohlberg (1988) yang menyatakan bahawa pengajaran nilai merupakan tanggungjawab bagi membantu murid-murid melalui peringkat perkembangan pemikiran moral. Ini bermakna pengajaran nilai di sekolah bertujuan untuk membimbing pelajar mencapai satu peringkat pemikiran dan kesedaran yang tinggi. Kohlberg juga menekankan pendidikan nilai berkait rapat dengan perkembangan personaliti pelajar. Manakala latihan kemahiran dilakukan secara bersepadu dapat

memperkembangkan diri pelajar dalam aspek emosi, rohani dan jasmani bagi melahirkan pelajar beretika dan berfikiran matang.

Pendek kata, teori-teori perkembangan moral amat membantu dalam usaha kita untuk memahami kanak-kanak.

7.0 RUMUSAN

Moral ialah tingkah laku yang telah ditentukan oleh etika. Tingkah laku yang telah ditentukan oleh etika sama ada baik atau buruk dinamakan moral.Moral terbahagi kepada dua iaitu Baik yang disifatkan sebagai segala tingkah laku yang dikenal pasti oleh etika sebagai baik dan Buruk iaitu tingkah laku yang dikenal pasti oleh etika sebagai buruk. Kemoralan merupakan sesuatu yang berkait dengan peraturan-peraturan masyarakat yang diwujudkan di luar kawalan individu. Dorothy Emmet (1979) mengatakan bahawa manusia bergantung kepada tatasusila, adat, kebiasaan masyarakat dan agama bagi membantu menilai tingkahlaku seseorang Akhlak dalam Islam menjadi penghubung yang erat dengan fenomena keimanan seseorang Islam.

Falsafah moral memberikan kita sebab dan pengertian tentang andaian dan idea mengenai tindakan yang dianggap baik dan patut dilakukan oleh seseorang individu dalam hidupnya serta dalam hubungan dengan orang lain. Manakala psikologi moral meluaskan kefahaman kita tentang tingkah laku dan perkembangan kapasiti manusia (sama ada dari segi kognitif atau afektif) dalam membuat pertimbangan moral dan bertindak sebagai agen moral yang bertanggungjawab. (Chang Lee Hoon, 2000, hlm. 2)

Salah satu agenda penting kerajaan adalah untuk membangunkan sistem pendidikan bertaraf dunia. Sistem tersebut menumpukan kepada pembangunan modal insan yang bersifat menyeluruh, progresif, bermoral dan beretika tinggi (Abdullah Ahmad Badawi, 2006). Pembangunan modal insan memerlukan keseimbangan dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek serta mampu menjadi tenaga kerja terlatih dan berdaya saing di dalam negara dan di peringkat antarabangsa selaras dengan Wawasan 2020.

Anda mungkin juga menyukai