Anda di halaman 1dari 8

PELAKSANAAN SAINS KSSR TAHUN SATU: SATU TINJAUAN AWAL

Fazliza Che Amat (fazliza02@yahoo.com) Zurida Ismail Nooraida Yakob Universiti Sains Malaysia Abdul Majeed Ahmad Universiti Teknologi Mara
Abstrak: Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti permasalahan yang timbul sepanjang pelaksanaan KSSR pada tahun 2011 dalam aspek penaakulan. Seramai 8 orang guru daripada 4 buah sekolah yang mengajar mata pelajaran Sains Tahun Satu terlibat sebagai sampel kajian. Data dikumpul melalui temubual berstruktur. Hasil temubual telah dianalisis dan dapatan kajian menunjukkan: i) Kesemua guru yang ditemu bual masih kurang jelas tentang konsep menaakul kerana mereka tidak dapat memberi definisi dan maksud menaakul dengan betul; ii) Kesemua guru tidak pasti apakah kaedah dan pendekatan yang perlu digunakan oleh mereka semasa proses pengajaran dan pembelajaran dalam usaha untuk menerapkan dan meningkatkan kemahiran menaakul kepada murid-murid; iii) Kebanyakan guru menyatakan KSSR ini baik namun begitu penerangan yang lebih jelas dan terperinci perlu diberikan kepada semua guru apa yang sepatutnya dilaksanakan dari segi strategi pengajaran dan pentaksiran dalam usaha mencapai kemahiran 4M, iaitu menulis, membaca, mengira dan menaakul. Bagi kemahiran 3M, iaitu membaca, menulis dan mengira tiada masalah yang timbul tapi bagi kemahiran menaakul, didapati guru-guru tidak pasti cara untuk menerap dan menentukan sejauh mana murid-murid telah menguasai kemahiran tersebut; iv) Kebanyakan guru mengharapkan pendedahan dan kursus yang memfokuskan kemahiran menaakul diberi kepada guru-guru; dan v) Hampir separuh guru menyatakan masa yang diperuntukkan untuk mengajar mata pelajaran Sains tidak mencukupi memandangkan waktu Sains telah dipendekkan dari 3 waktu kepada 2 waktu seminggu kerana dalam subjek Dunia Sains dan Teknologi masa perlu diperuntukkan untuk mengajar penggunaan komputer kepada murid-murid. Dapatan ini menunjukkan dalam usaha mencapai matlamat KSSR guru-guru perlu didedahkan dengan kaedah dan pendekatan yang bersesuaian khususnya dalam usaha menerap dan mempertingkatkan kemahiran menaakul dalam kalangan murid-murid. Katakunci: pendidikan sains, kemahiran menaakul dan KSSR.

Pengenalan Seiring dengan perubahan dunia dalam era globalisasi, pelbagai cabaran memerlukan manusia bertindak berasaskan kekuatan daya fikir. Perspektif ilmu yang bersandar kepada kekuatan daya fikir perlu ditanam dalam sistem kehidupan manusia terutamanya dalam sistem pendidikan kita untuk mendidik generasi pelajar yang mencintai ilmu. Objektif pendidikan manusia hanya tercapai apabila pengendalian ilmu, semasa proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah menggalakkan dan menyemarakkan kegiatan akal yang menarik dan membina kekuatan daya fikir. Guru atau pengajar yang baik tidak wajar menutup pintu ijtihad atau dialog ilmu, dan seharusnya meraikan perbezaan pendapat dalam kerangka pemikiran yang lebih menggalakkan manusia untuk bebas menggunakan akal untuk berfikir. Orang yang berfikir tidak mengikat dirinya dengan tradisi, dogma, tauhid dan fatwa tetapi mengamalkan ijtihad atau dialog ilmu, akal dan pemikiran dalam usaha untuk mengisrakkan ilmu (Hassan, 2000). Sehubungan itu, dalam konteks ini guru berperanan 1

bukan hanya sekadar menyampaikan ilmu di dalam latar akademik formal sahaja tetapi perlu berkeupayaan untuk membentuk dan membimbing pelajar yang berkebolehan untuk membahaskan isu-isu epistemologi, mengaplikasikan kaedah berfikir yang merangsang mereka untuk lebih banyak berfikir, melakukan introspeksi diri dan berkemahiran untuk menaakul tentang sesuatu fenomena yang berlaku. Justeru, negara memerlukan modal insan yang dapat menguasai pelbagai kemahiran terutamanya kemahiran menaakul untuk mengekalkan dan meneruskan kelangsungan peradaban sesuatu bangsa dan negara. Hal ini sejajar dengan ungkapan Scriven (1976) reasoning is the only ability that makes it possible for humans to rule the earth and to ruin it. Sehubungan itu, satu transformasi kurikulum pendidikan dari Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) kepada Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) telah dilaksanakan pada tahun 2011 dalam usaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan rendah agar lebih relevan dengan cabaran masa kini. Di dalam KSSR, penerapan kemahiran kepada murid-murid tidak hanya sekadar melibatkan penguasaan kemahiran asas, iaitu membaca, menulis dan mengira (3M) tetapi telah ditambah dengan satu lagi kemahiran, iaitu menaakul. Kemahiran menaakul merupakan satu kemahiran yang telah diberi perhatian secara serius oleh sistem pendidikan di Malaysia dengan memasukkan kemahiran ini secara eksplisit di dalam kurikulum pendidikan. Perubahan dalam sistem pendidikan negara yang mementingkan kemahiran menaakul merupakan satu anjakan paradigma yang perlu diambil perhatian oleh semua pihak termasuk penggubal dasar, pengurus kurikulum, ibu bapa dan pihak berkepentingan. Kejayaan sesuatu kurikulum memerlukan kerjasama dari setiap pihak terutamanya guru yang memainkan peranan penting bagi mengupayakan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dalam usaha mencapai objektif KSSR. Dengan itu, satu tinjauan awal telah dilaksanakan untuk mengenal pasti permasalahan yang timbul sepanjang pelaksanaan KSSR pada tahun 2011 dalam aspek penaakulan. Pernyataan Masalah Menurut analisis Trend in International Mathematic and Science Study (TIMSS), 2007 menunjukkan pencapaian sederhana pelajar Malaysia yang berada di tempat ke-20 daripada 49 buah negara yang telah mengambil bahagian, dengan Singapura menduduki tempat pertama. Paling ketara adalah skor pencapaian pelajar Malaysia berada di bawah nilai skor purata TIMSS bagi aspek penguasaan Sains dan juga domain kognitif. Data turut menunjukkan bahawa antara tahun 1999 hingga 2007, Malaysia memperolehi pencapaian di bawah nilai skor purata TIMSS. Daripada hasil analisis didapati pelajar kurang mahir dalam menjawab soalan-soalan yang memerlukan kemahiran berfikir aras tinggi seperti penaakulan secara logik. Selain itu, kajian terhadap perkembangan penaakulan saintifik dalam kalangan pelajar lepasan SPM mendapati sebahagian besar pelajar sains (75%) masih berfungsi di bawah tahap penaakulan yang diperlukan di IPT (Syed Anwar Aly & Merza, 2000; Hamidah & Merza, 2001). Situasi ini menunjukkan pentingnya keperluan sesuatu sistem pendidikan untuk memfokuskan penerapan kemahiran menaakul dari peringkat sekolah rendah. Pengajaran dan pendekatan yang sesuai perlu digunakan oleh guru dalam menerapkan kemahiran menaakul murid. Menurut Hamidah (2004), pengajaran seharusnya memfokuskan ke arah pembinaan pengetahuan dan kemahiran berfikir pada aras tinggi. Namun begitu, kebanyakan guru masih lagi menekan kepentingan peperiksaan semata-mata tanpa menjadikan keupayaan berfikir 2

sebagai fokus pengajaran. Peranan murid hanya tertumpu kepada mendengar penjelasan, tafsiran dan huraian oleh guru, melakukan hafalan, mengingat, melakukan latih tubi serta menerima huraian konsep yang dipelajari tanpa sebarang curiga apatah lagi untuk menolak atau mempertikaikan maklumat yang disampaikan oleh guru kerana autoriti ilmu yang dimiliki oleh guru (Fadzil, 2008). Hal ini menyebabkan amalan pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains yang berlaku di sepanjang persekolahan nampak kurang berkesan untuk memperkembangkan tahap penaakulan kepada pemikiran aras tinggi (Hamidah & Merza, 2001: Syed Anwar & Merza, 2000). Berdasarkan keadaan ini dan trend dalam pendidikan sains di peringkat global maka terdapat keperluan menyediakan murid kita supaya dapat bersaing di peringkat global dan memberi pendedahan kepada murid untuk menjawab soalan berfikir aras tinggi seperti penaakulan secara logik. Justeru satu transformasi kurikulum yang lebih komprehensif, iaitu daripada KBSR kepada KSSR telah dilaksanakan pada tahun 2011 dalam usaha menerap dan meningkatkan kemahiran menaakul murid. Dengan demikian, satu tinjauan awal dilaksanakan dalam usaha mengenal pasti masalah-masalah yang timbul terutamanya dari aspek pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang dihadapi oleh guru dalam usaha menerapkan kemahiran menaakul kepada murid. Tinjauan awal ini penting untuk menentukan sejauh mana guru mempunyai kefahaman yang jelas tentang perubahan yang perlu dilakukan dari aspek P&P di dalam kurikulum baru, KSSR ini. Soalan Kajian 1. Mengetahui sejauh mana pengetahuan guru tentang kemahiran menaakul? 2. Mengenalpasti strategi yang telah digunakan oleh guru dalam menerapkan kemahiran menaakul kepada murid? 3. Mengenalpasti masalah yang timbul sepanjang setahun perjalanan KSSR bagi subjek Sains? Metodologi Kajian ini merupakan kajian kualitatif melalui temubual berstruktur secara individu dengan guru-guru sains yang terlibat sebagai responden. Mereka terdiri daripada lapan orang guru sekolah rendah dari empat buah sekolah di Sungai Petani, Kedah. Pemilihan sampel dilakukan secara sampel bertujuan (purposive sampling) kerana kajian ini hanya melibatkan guru sains yang mengajar sains darjah satu bagi kohort pertama yang mengikuti KSSR dan guru yang berpengalaman mengajar antara tiga hingga enam belas tahun. Sampel terdiri daripada tujuh orang guru perempuan dan seorang guru lelaki. Soalan temubual berstruktur dibina adalah berasaskan kepada fokus kajian. Data dianalisis berdasarkan kepada soalan kajian. Dapatan dan Perbincangan Kajian Hasil kajian merangkumi pandangan guru tentang masalah-masalah yang timbul terutamanya dari aspek pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang dihadapi oleh para guru sepanjang setahun pelaksanaan KSSR di sekolah.

Hasil temu bual berkaitan penguasaan 4M berdasarkan KSSR mendapati daripada lapan orang guru yang ditemu bual hanya 2 orang guru sahaja dapat menyatakan kemahiran keempat yang perlu diterapkan kepada murid sebagai kemahiran menaakul. Enam orang guru lagi tidak dapat menjawab dengan salah seorang daripada mereka telah menyatakan kemahiran keempat itu adalah kemahiran mengaplikasi. Keadaan ini menunjukkan guru-guru masih lagi kabur dan kurang jelas tentang perubahan yang berlaku dalam sistem pendidikan dan fokus utama di dalam KSSR ini. Selain itu, kesemua guru tidak dapat memberi definisi dan maksud menaakul dengan betul. Mereka juga tidak pasti bagaimana penilaian dalam konteks pentaksiran perlu dilaksanakan dalam menentukan sama ada murid telah mencapai dan menguasai kemahiran menaakul. Keadaan ini menunjukkan kesemua guru masih kurang jelas tentang konsep menaakul walaupun pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mengadakan kursus selama dua hari pada hujung tahun 2010 kepada guru-guru sekolah yang akan mengajar tahun satu yang merupakan kohort pertama yang mengikuti KSSR. Dapatan ini menunjukkan kursus yang diberi kurang berkesan dalam memfokuskan guru-guru tentang perubahan penting yang perlu diberi perhatian oleh guru-guru. Kemungkinan juga disebabkan oleh kecairan maklumat kerana bukan semua guru yang terlibat telah menghadiri kursus tersebut. Setiap sekolah hanya diwakili oleh seorang guru dan guru tersebut perlu menyampaikan maklumat yang diperolehi kepada guru-guru lain di sekolah mereka yang mengajar tahun satu. Seorang guru yang ditemu bual berharap/mencadangkan pihak KPM memanggil semua guru yang terlibat untuk menghadiri kursus. Kemungkinan masalah dari aspek kewangan menyebabkan pihak penganjur kursus tidak mampu memberi kursus kepada semua guru. Oleh itu pihak sekolah perlu memastikan guru yang menghadiri kursus tersebut perlu memberi kursus dalaman kepada semua guru yang akan mengajar tahun satu. Hal ini penting dalam usaha untuk mengelakkan berlakunya ketidaksampaian maklumat dan semua guru menerima maklumat yang sama. Dapatan temu bual juga menunjukkan semua guru tidak pasti apakah kaedah dan pendekatan yang perlu digunakan oleh mereka semasa proses P&P dalam usaha untuk menerapkan dan meningkat kemahiran murid-murid. Lima daripada lapan orang guru telah menghadiri kursus tersebut menyatakan kursus tersebut hanya memberi taklimat tentang KSSR secara umum dan perubahan yang berlaku di dalam sukatan pelajaran bagi mata pelajaran sains. Tiada pendedahan dan taklimat yang spesifik diberi kepada guru tentang kemahiran menaakul. Semasa kursus, guru-guru dikehendaki merancang Rancangan Pengajaran Harian (RPH) tanpa memfokuskan secara eksplisit kepada proses menaakul. RPH yang dibina oleh guru-guru adalah seperti biasa dilaksanakan di sekolah. Ini menyebabkan guru tidak pasti bagaimana strategi pengajaran yang perlu dilaksanakan dalam menggalakkan proses menaakul. Seorang guru yang ditemu bual menyatakan kursus yang telah dihadiri selama dua hari itu masih tidak mencukupi untuk beliau mendapat maklumat yang jelas tentang KSSR. Tiada kursus lanjutan selepas itu dan tiada pemantauan dilakukan dalam melihat pelaksanaan KSSR di sekolah. Keadaan ini menyebabkan guru-guru melaksanakan pengajaran mereka berdasarkan apa difahami semasa kursus dan tiada perubahan dari segi amalan pengajaran dilakukan kerana guru sendiri tidak pasti apa yang sepatutnya mereka laksanakan. Dalam pelaksanaan P&P sepanjang sesi 2011 bagi mata pelajaran sains, dapatan kajian menunjukkan semua guru masih lagi menggunakan pendekatan yang sama seperti yang dilaksanakan pada tahun-tahun sebelum ini. Tiada perubahan yang dilakukan dari aspek 4

teknik pengajaran. Guru-guru masih menggunakan buku teks, Modul Pengajaran Sains Tahun 1 dan ABM seperti carta yang ada di sekolah. Modul Pengajaran Sains Tahun 1 yang disediakan oleh KPM untuk panduan guru, boleh dimuat turun dari laman sesawang KPM, namun tidak diwajibkan penggunaannya kepada semua guru. Semua guru mengetahui tentang Modul Pengajaran Sains Tahun 1 ini dan menggunakan modul ini sebagai panduan tetapi dalam dapatan ini, ada juga guru yang hanya menggunakan modul ini pada topik yang awal sahaja, sementara bagi topik-topik yang lain menggunakan lembaran kerja yang dibina sendiri. Keadaan ini menunjukkan tiada keseragaman dari segi pelaksanaan dalam penggunaan modul kerana Modul Pengajaran Sains Tahun 1 tidak diwajibkan penggunaannya kepada semua guru. Penyelidik merasakan penggunaan modul ini perlu diwajibkan kepada semua guru, agar berlaku keseragaman dari segi pelaksanaan dan penilaian yang dilakukan oleh guru. Selain itu, pada pandangan pengkaji anjakan paradigma dalam sistem pendidikan adalah berkaitan dengan amalan dan pendekatan pengajaran guru yang memerlukan beberapa perubahan. Menurut Sadiah (2008) amalan pengajaran mata pelajaran Sains di sekolahsekolah di Malaysia telah lama bersifat deduktif. Paul (1990) berpendapat bahawa pendekatan deduktif menjadi satu halangan bagi membentuk pelajar berfikiran kritis. Menurut Paul, pengajaran deduktif bercirikan (1) syarahan dan latih tubi, (2) hafalan dan luahan balik maklumat oleh murid, (3) tiada usaha ke arah mengintegrasikan pengalaman informal dengan apa yang dipelajari, (4) tiada rangsangan melalui proses penyoalan, (5) tiada ruang untuk murid menolak atau meragui maklumat dan (6) pengajaran terlalu cepat kerana guru perlu menghabiskan kurikulum yang padat untuk membolehkan penilaian dilaksanakan. Ciri-ciri pengajaran begini tidak menggalakkan dan menyemarakkan kegiatan akal yang menarik dan membina kekuatan daya fikir murid. Oleh itu guru-guru perlu diberi pendedahan dari segi perubahan strategi-strategi pengajaran yang terkini yang dapat meningkatkan kemahiran menaakul agar perubahan dapat dilaksanakan oleh guru-guru di sekolah. Pada masa yang sama kebanyakan guru turut menyatakan KSSR ini adalah baik namun begitu penerangan yang lebih jelas dan terperinci perlu diberikan kepada semua guru berkenaan apa yang sepatutnya dilaksanakan dari segi strategi pengajaran dan pentaksiran dalam usaha mencapai kemahiran 4M,iaitu menulis, membaca, mengira dan menaakul. Ketidakupayaan dan ketidakpastian guru untuk menjelas dan mengaplikasikan kemahiran menaakul apatah lagi membimbing pelajar bagi menguasai kemahiran menaakul merupakan masalah utama. Hal ini dapat diatasi jika guru sendiri mempunyai kefahaman jelas tentang konsep menaakul secara keseluruhan, iaitu bermula dengan memberi maksud menaakul, disokong dengan strategi pengajaran yang akan digunakan dalam menerapkan kemahiran menaakul dan guru sendiri jelas dalam menentukan tahap dan penguasaan kemahiran menaakul murid berdasarkan kriteria yang telah ditentukan. Jika guru sendiri tidak jelas maka ia akan menyukarkan guru untuk membimbing murid untuk menaakul dan membuat penilaian yang sepatutnya. Maka guru-guru memerlukan dan mengharap pendedahan seperti kursus menaakul yang lebih komprehensif diadakan dalam menentukan strategi pengajaran yang perlu dilaksanakan semasa P&P bagi meningkatkan penguasaan murid-murid dalam kemahiran menaakul. Sehubungan itu, satu kursus yang memfokuskan guru kepada konsep menaakul secara keseluruhan bermula dari maksud menaakul, strategi pengajaran yang dapat dilaksanakan dan penilaian yang perlu dilaksanakan dalam menaakul perlu diberi secara terperinci agar perjalanan P&P berjalan lancar. Dalam KSSR terdapat perubahan dari segi peruntukan masa P&P untuk mata pelajaran sains di mana peruntukan 3 waktu seminggu telah dikurangkan kepada 2 waktu 5

seminggu. Mata pelajaran Sains di dalam KSSR ini dikenali sebagai Dunia Sains dan Teknologi di mana terdapat elemen penggunaan teknologi yang perlu diajar kepada murid ketika waktu Sains setiap 2 minggu sekali. Kebanyakan guru menyatakan peruntukan 2 waktu seminggu tidak mencukupi dan sukar untuk guru melaksanakan kesemua aktiviti Sains yang dirancang. Guru juga menghadapi kekangan untuk menghabiskan sukatan pelajaran yang telah ditetapkan. Tiga orang guru yang ditemu bual mencadangkan peruntukan masa bagi mata pelajaran Sains perlu ditambah dalam usaha menghasilkan P&P yang lebih baik dan berkesan. Banyak kajian telah membuktikan pengajaran sains mestilah melibatkan hands-on dan mind-on dalam usaha memudahkan murid memahami sesuatu konsep sains. Kajian American Physiological Society (2001) menyokong bahawa seorang guru haruslah membekalkan aktiviti hands-on untuk menimbulkan minat murid-murid untuk belajar. Selepas menjalankan aktiviti guru perlu memperuntukkan masa untuk berbincang dengan murid-muridnya hasil pemerhatian atau dapatan yang diperolehi. Cutler (2004) dan Rillero (1994) mengatakan bahawa menjalankan satu aktiviti dengan perbincangan adalah lebih baik daripada menjalankan empat aktiviti tanpa perbincangan. Dengan peruntukan masa hanya 2 waktu atau 60 minit seminggu adalah sukar bagi guru melaksanakan aktiviti-aktiviti yang dirancang dengan berkesan dan menghabiskan sukatan pelajaran yang telah ditetapkan terutama dalam usaha untuk menerapkan kemahiran menaakul dalam kalangan pelajar. Untuk mencapai objektif yang disasarkan dalam KSSR, penekanan terhadap penguasaan kemahiran menaakul murid seharusnya perlu diambil perhatian serius oleh guru semasa proses pengajaran mereka. Umpamanya, dalam mata pelajaran Dunia dan Teknologi sendiri terdapat satu modul, iaitu Modul Teras Tema Sains dan Teknologi yang disediakan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sebagai panduan kepada para guru telah dimasukkan keperluan untuk menerapkan kemahiran menaakul guru, iaitu; i) menggalakkan murid bertanya soalan dan teruskan bertanya soalan selanjutnya, ii) memberi respons kepada soalan yang murid tanya, jangan mematikan minat mereka dan juga harus dimulakan dengan soalan yang kita pasti murid boleh jawab yang hasilnya akan memberi keyakinan kepada murid itu sendiri, iii) mengurangkan bertanya soalan jenis latih-tubi (drilling), iv) membimbing murid ke arah menjawab sendiri soalan yang dikemukakan mereka, cuba jangan memberikan jawapan terus kerana ini akan menghentikan proses berfikir, dan v) menerima jawapan salah yang diberi oleh murid sebagai satu peluang pembelajaran, dan jangan mengkritik jawapan murid (Bahagian Pembangunan Kurikulum, KPM 2010). Aktiviti-aktiviti yang dinyatakan ini menunjukkan guru berperanan sebagai pembimbing dalam mengamalkan dialog ilmu atau persaingan ilmiah (academic contestation) untuk menerapkan kemahiran menaakul kepada murid-murid. Dalam hal ini masa yang mencukupi diperlukan oleh guru dalam usaha membimbing murid membina pengetahuan melalui persoalan-persoalan yang ditimbulkan. Kesimpulan Dapatan dari kajian ini menunjukkan perubahan dalam sistem pendidikan merupakan satu perubahan yang holistik melibatkan pelbagai aspek iaitu melibatkan perubahan bentuk, organisasi, kandungan, pedagogi, peruntukan masa, kaedah pentaksiran, bahan dan pengurusan kurikulum. Hal ini secara langsung menunjukkan terdapat beberapa masalah yang timbul sepanjang pelaksanaan KSSR pada tahun 2011 dari aspek pedagogi, peruntukan masa dan kaedah pentaksiran. Seharusnya perubahan dalam sistem pendidikan mestilah selari dengan perubahan pedagogi guru di sekolah. Dalam usaha mencapai objektif KSSR yang memfokuskan penguasaan kemahiran menaakul pendekatan berpusatkan guru tidak lagi 6

sesuai digunakan oleh guru-guru di sekolah. Menurut Nik Aziz Nik Pa (1998), secara metafora, pelajar boleh dianggap sebagai pelancong dalam persekitaran yang belum diketahui dan guru adalah pemandu pelancongnya. Pemikiran pelajar adalah sebuah penjana untuk diaktifkan, dan bukan sebuah gelas untuk diisikan. Sekolah pula adalah kehidupan itu sendiri, dan bukan sekadar persediaan untuk kehidupan. Fenomena seperti ini penting diaplikasikan di sekolah-sekolah. Ketidakupayaan guru-guru untuk melengkapkan dan mempertingkatkan kemahiran menaakul yang menjadi teras tambahan dalam kurikulum pendidikan sekolah berasaskan KSSR akan membantutkan usaha KPM untuk membangunkan generasi pendidik dan pelajar yang mampu menyumbang kepada peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran sains khususnya. Situasi ini penting untuk memperbaiki dan meningkatkan tahap pencapaian skor Sains dan domain kognitif dalam Indeks TIMSS yang menunjukkan pencapaian rendah Malaysia. Selain itu, dengan mengupayakan tahap pencapaian kemahiran menaakul, pelajarpelajar pada peringkat pendidikan rendah melalui KSSR ini, mampu mengatasi masalah kelemahan pengupayaan penaakulan saintifik dalam kalangan pelajar-pelajar sains peringkat pendidikan menengah seperti yang dijelaskan dalam kajian Syed Anwar (2000) dan Hamidah & Merza (2001). Walau bagaimanapun, masalah ini hanya dapat diatasi sekiranya guru-guru yang terpilih atau terlibat secara langsung dalam usaha mempertingkatkan kemahiran menaakul ini mempunyai keterlibatan (engagement), iltizam dan pendedahan langsung dalam setiap aktiviti atau pengisian mencukupi yang disediakan oleh KPM dalam pelaksanaan Sains KSSR ini. Tinjauan awal ini merupakan satu usaha ke arah menerokai kajian yang lebih komprehensif untuk meletakkan satu asas atau garis panduan bagi melaksana dan mempertingkatkan kemahiran menaakul dalam kalangan pendidik dan pelajar seperti yang disasarkan oleh pembentukan KSSR oleh KPM. Rujukan American Physiological Society.(2001). Can students learn and like Biology? Yes, If; Available: http://www.newswise.com/articles/2001/9/TEACHBIO.PH2.html. Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia (2010). Modul Teras Tema Dunia Sains dan Teknologi. Kuala Lumpur. Kementerian Pelajaran Malaysia. Cutler, M. (2004). Exploring science locally and sharing insights globally. In M. Nott (Ed.), Scool Science Review (Vol. 86(314), Sept., pp.33-42). Cambridge, England: Black Bear Press Ltd. Hamidah Maidinsah & Merza Abbas. (2001). Pemikiran saintifik dan kaitannya dengan matematik dikalangan pelajar IPT. Simposium Kebangsaan Sains dan Matematik ke-9, UKM, 2001 7

Hamidah Maidinsah. (2004). Kesan kaedah pengajaran metakognisi-inkuiri terhadap prestasi dalam matematik dan penaakulan saintifik di kalangan pelajar diploma. Tesis Ph.D (Tidak diterbitkan). Universiti Sains Malaysia. Hassan Ahmad.(2000). Imbasan: Hassan Ahmad. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Mohamad Fadzil Che Amat. (2008). Kesan kaedah inkuiri koperatif berbantukan multimedia ke atas prestasi kemahiran proses sains bersepadu, pemikiran saintifik dan sikap dalam sains dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah kebangsaan. Tesis Peringkat Sarjana. (Tidak diterbitkan). Universiti Sains Malaysia. Nik Aziz Nik Pa. (1998). Isu-isu kritikal dalam pendidikan Matematik. Kuala Lumpur: Universiti Malaya. Paul, R.W. (1990). Critical and reflective thinking: A philosophical perspective. Dalam B. F. Jones & I. Idol (Eds), Dimensions of thinking and cognitive instruction. Hillsdale: Lawrence Erlbaum Associate Rillero, P. (1994). Doing science with your children. Available: http:npin.org/library/pre1998/n00240/n00240.html. Sadiah Baharom. (2008). Kesan paduan kitar pembelajaran dan pemetaan konsep terhadap konsepsi pelajar tentang pembahagian sel. Tesis Ph.D (Tidak diterbitkan). Universiti Sains Malaysia. Scriven, M. (1976). Reasoning. United State: Mc Graw Hill. Syed Anwar Aly & Merza Abbas. (2000). Penyerapan kemahiran saintifik dalam proses pengajaran dan pembelajaran kimia di sekolah menengah. Simposium Pendidikan Sains dan Matematik UiTM, Shah Alam, pada 3 November 2000. TIMSS. (2007). Analysis of Trends in International Mathematics and Science Study at the Fourth and Eight Grades. TIMSS&PIRLS, Boston, USA.

Anda mungkin juga menyukai