Anda di halaman 1dari 3

KEBAIKAN PENEROKAAN ANGKASA LEPAS BUAT MALAYSIA

Penerokaan angkasa lepas telah membuka banyak ruang kepada manusia memperkembang sains dan teknologi sejagat. Huraikan. Penerokaan angkasa lepas memang banyak memberi manfaat terhadap perkembangan sains dan teknologi. Kejayaan negara-negara Barat terutamanya Amerika Syarikat dan Russia banyak bergantung kepada kemampuan mereka untuk menghasilkan teknologi moden terutama yang berkaitan dengan penerokaan angkasa lepas. Keadaan ini menyebabkan negara-negara lain terutama China dan Jepun serta India turut berusaha memajukan teknologi angkasa lepas mereka. Sememangnya banyak impak positif yang dihasilkan oleh penerokaan angkasa lepas terhadap kehidupan manusia. Impak positif yang ketara ialah penerokaan angkasa lepas telah memajukan bidang teknologi maklumat terutama yang berkaitan dengan teknologi internet. Penghasilan lebih banyak satelit di ruang angkasa bumi telah memudahkan perhubungan atau komunikasi tanpa batasan sempadan diwujudkan. Kemajuan dalam bidang teknologi maklumat ini menjadikan bidang komunikasi, keselamatan dan pertahanan semakin berkembang maju selaras dengan kemajuan penerokaan angkasa lepas itu. Jelaslah, teknologi angkasa lepas menyebabkan bidang teknologi maklumat manusia menjadi lebih baik dan moden. Malah, aktiviti penerokaan yang berani ini berupaya meninggikan kemampuan teknologi pemantauan manusia sejagat pula. Penggunaan satelit dan kapal angkasa menjadikan gambar-gambar lebih mudah untuk diambil dan dirakam dari sudut yang lebih baik dan sesuai. Semua hasil gambar ini memudahkan ahli saintis untuk membuat ramalan tentang keadaan geografi dan juga membantu merancang manusia untuk menjalankan projek pembangunan dengan lebih mesra alam lagi. Pada masa yang sama, teknologi moden ini boleh digunakan juga untuk memantau perubahan cuaca dan kadar pencemaran alam dengan lebih menyeluruh. Sesungguhnya, teknologi pemantauan manusia menjadi lebih maju dan berkembang dengan adanya usaha-usaha menjalankan penerokaan angkasa lepas itu. Malahan, industri teknologi robotik turut berkembang selari dengan usaha meneroka

angkasa lepas ini. Kebanyakan peralatan teknologi yang dihantar ke angkasa lepas atau kawasan ruang udara bumi dikawal oleh robot atau peranti kawalan. Keadaan ruang angkasa yang begitu bahaya dan sukar diramal menyebabkan robot lebih sesuai digunakan berbanding dengan manusia. Semua tindakan menggunakan robotik ini boleh memberikan satu tafsiran awal akan keperluan untuk mewujudkan koloni manusia di angkasa lepas pula. Maka, teknologi robotik manusia juga akan mengalami perubahan drastik kerana usaha penerokaan angkasa lepas memerlukan penggunaan robotik yang begitu banyak. Selain itu, pelbagai ujikaji atau kajian sains boleh dijalankan menerusi usaha penerokaan angkasa lepas itu. Para saintis sudah mula membuat kajian tentang kesan gravity terhadap manusia di luar ruang angkasa bumi terutama aspek ketumpatan tulang dan kadar kehilangan jisim tulang manusia. Penerokaan angkasa lepas memberikan satu platform untuk melakukan pelbagai kajian yang boleh memberikan pengetahuan baru kepada manusia tentang sains pula. Konklusinya, semua usaha meneroka angkasa lepas itu bukanlah sesuatu yang membazir. Pelbagai hasil yang positif terutama kajian sains akan memberikan manusia satu informasi yang berguna pula terutama jika semua usaha ini berkonsepkan kerjasama sejagat. Kita harus sedar bahawa semakin banyak maklumat yang kita ketahui tentang angkasa lepas semakin baiklah prospek kehidupan kita kelak. Jadi, usaha penerokaan angkasa lepas ini perlu diteruskan tanpa sebarang sekatan lagi

Faedah-faedah penglibatan Malaysia dalam misi meneroka angkasa lepas


Misi menghantar angkasawan Malaysia pertama ke angkasa lepas yang bermula pada tahun 2003 akhirnya berjaya setelah Dr. Sheikh Muszaphar Shukor, selesai menamatkan misi 11 hari berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS). Walaupun detik bersejarah itu tercatat 46 tahun selepas kejayaan angkasawan pertama Yuri Gagarin dari Rusia membuat pusingan bersejarah mengelilingi Bumi, namun kejayaan Sheikh Muszaphar amat bermakna kepada negara bersempena dengan 50 tahun usia kemerdekaan tanah air.

Kejayaan ini memberi gambaran yang amat jelas tentang kesungguhan negara untuk menyertai penerokaan angkasa lepas dengan menghantar angkasawan pertama selepas tiga tahun ditawarkan berbuat demikian. Tiada siapa boleh menidakkan betapa kejayaan angkasawan pertama negara menjadi kebanggaan kita sekaligus melonjakkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa. Kejayaan menjadikan Program Angkasawan Negara satu realiti pastinya membuka mata dunia betapa negara kecil ini amat serius membangunkan industri angkasa lepas. Kejayaan ini telah menutup tanggapan orang ramai bahawa program ini membazirkan wang rakyat. Malah sebelum ini ramai yang tidak yakin misi ini akan membuahkan hasil. Selain itu, tanggapan negara maju yang usaha Malaysia menyertai misi tersebut untuk menandingi negara lain dapat dihapuskan. Sesungguhnya kejayaan ini telah mendorong kelangsungan program angkasawan negara terutama dari sudut penyebaran ilmu dalam kalangan pelajar. Minat generasi muda baik di peringkat tadika terhadap penerokaan angkasa lepas akan berkembang. Kejayaan Sheikh Muszaphar amat penting untuk mendidik rakyat Malaysia tentang angkasa lepas. Begitu juga dengan cadangan kerajaan untuk mewujudkan pelan tindakan pembangunan angkasa negara sebagai susulan kepada penghantaran angkasawan pertama Malaysia ke ISS akan menerima respons yang baik daripada orang ramai. Kita berharap Sheikh Muszaphar akan memberi ceramah di seluruh pelosok negara tentang pengalamannya di angkasa untuk menarik minat masyarakat tentang angkasa lepas. Begitu juga dengan hasil penyelidikan Sheikh Muszaphar di ISS bakal membuka lembaran baharu bidang perubatan khususnya dalam menyediakan kaedah rawatan penyakit kronik. Pelaburan untuk meneroka angkasa lepas yang besar jumlahnya dapat dimanfaatkan sepenuhnya supaya kelak bakal angkasawan yang dilahirkan di negara kita mampu bersaing dengan calon-calon dari negara luar. Sesungguhnya kejayaan angkasawan pertama kita mesti ada susulannya sebagai bukti bahawa negara serius menyertai masyarakat antarabangsa meneroka angkasa.