Anda di halaman 1dari 16

A sa s Men ga ran g |1

UNIT 1 ASAS MENGARANG

HASIL PEMBELAJARAN Pada akhir unit ini, anda diharapkan dapat: 1. Memahami objektif mengarang 2. Mengenal jenis-jenis penulisan 3. Menghuraikan konsep ayat tesis, ayat topik dan ayat penyangga 4. Menjelaskan empat jenis perenggan yang menjadi asas karangan Pengenalan karang berasal daripada pekerjaan menggubah bunga, mereka ukiran atau membuat Perkataan sesuatu yang cantik. Dari situ dikembangkan maknanya kepada menyusun perkataan dengan aturan yang elok dalam bentuk hal atau cerita supaya dapat dibaca oleh orang lain (Zaba: 1965) . Manakala Kamus Dewan (1986) menjelaskan, istilah karangan merujuk kepada gubahan, ciptaan, susunan. Dalam Hikayat Hang Tuah dan Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) selain perkataan mengarang, istilah yang digunakan untuk merujuk aktiviti menulis tahap tinggi ialah menyurat, disurat atau persuratan. Ketiga-tiga kosa kata ini banyak digunakan dalam kitab-kitab Melayu klasik berbanding perkataan mengarang. Pada zaman sebelum penjajahan, tulisan Jawi yang berasal daripada abjad Arab digunakan secara meluas dalam semua jenis penulisan karangan. Manakala tulisan Rumi (Romawi) yang berasaskan huruf-huruf Yunani diperkenalkan oleh penjajah dan terus digunapakai sehingga hari ini. Mengarang merupakan proses menghasilkan bahan yang berbentuk idea, pendapat pengalaman, perasaan dan maklumat dalam bentuk tulisan yang berhubung dengan diri sendiri, orang lain atau peristiwa. Menurut Raminah Sabran (1985), penulisan ialah penglahiran perasaan, fikiran dan idea ke dalam bentuk grafik. Bentuk-bentuk grafik ini disusun hingga melambangkan bunyi bahasa yang dapat dibaca dan difahami maksudnya. Don Bryne (1979) pula menyatakan manusia menggunakan simbol-simbol grafik semasa menulis, iaitu penggunaan huruf-huruf atau gabungan huruf-huruf yang berkaitan dengan lambanglambang bunyi yang kita buat semasa bercakap. Penulisan merupakan satu keterampilan berbahasa yang digunakan dalam komunikasi secara tidak langsung atau komunikasi tanpa bersemuka. Penulisan juga adalah satu pengolahan pemikiran atau sebagai satu proses mekanis yang melibatkan

A sa s Men ga ran g |2

penggunaan alat dan teknik untuk mengungkapkan gagasan, falsafah dan idealisme. Dengan kata lain, karangan merupakan sebuah wacana, iaitu kesatuan buah fikiran atau pernyataan yang disusun secara logik dan sistematik serta berkaitan maknanya antara satu dengan yang lain. Siapakah Pengarang? Pengarang merupakan individu yang menyusun gagasan-gagasan dan mahu ideanya disebarluaskan kepada pembaca melalui wahana-wahana tertentu seperti buku, majalah, media dan sebagainya. Selain itu, pengarang terbahagi kepada dua golongan, iaitu pengarang profesional dan pengarang yang amatur. Pengarang profesional ialah mereka yang kerjaya utamanya menulis. Mereka menumpukan sepenuh perhatian terhadap aktiviti penulisan manakala pengarang yang bertaraf amatur ialah mereka yang menulis sebagai aktiviti sampingan, hobi ataupun kerana minat sematamata. Contoh pengarang profesional ialah mereka yang bertugas sebagai wartawan atau novelis. Objektif Mengarang Menurut Anwar ialah: i. ii. iii. iv. v. vi. vii. al-Jundi, seorang pengarang terkenal kelahiran Mesir, tujuan utama mengarang menulis sesuatu yang baharu memperbaiki sesuatu yang kurang mengemaskini sesuatu yang terpisah memudahkan sesuatu yang rumit membetulkan sesuatu yang salah mempertahankan diri dan keluarga menjawab tuduhan musuh

Pengarang sebagai orang yang bertanggungjawab dalam merangka, menyusun dan menyiapkan sesebuah teks sekurang-kurangnya harus memiliki sifat-sifat berikut: i. ii. iii. iv. v. vi. vii. viii. Bersikap ikhlas kerana Allah S.W.T. Sentiasa berhemah, jujur dan bertanggungjawab Seorang yang insaf dan tabah Bersikap proaktif, kritis dan kreatif Peka dengan sekitaran Pencinta bahasa klasik mahupun moden Seorang yang realis dan idealis Sentiasa bersikap pragmatik

Jujun (1990) menyatakan seseorang penulis mestilah berupaya menggerakkan dirinya agar memiliki ilmu, iman dan amal untuk menghasilkan karya yang benar dan bermanfaat kepada khalayak pembaca. Sifat-sifat yang di atas memungkinkan seseorang penulis memusatkan seluruh minat, ketekunan dan keintelektualannya terhadap fenomena alam demi kemaslahatan masyarakat. Hal ini

A sa s Men ga ran g |3

banyak sekali disentuh oleh beberapa penulis seperti Syed Husein (1992) dan Zaini Ujang (1993). Paling menarik Jujun (1990) menerusi karyanya Ilmu dalam Persepektif Moral, Sosial dan Politik menyatakan tanggungjawab moral seorang ilmuan yang sekali gus merujuk kepada tugas pengarang amat berkaitan dengan landasan epistimologi. Antara tanggungjawab yang dimaksudkannya adalah: i. ii. iii. iv. v. vi. vii. viii. ix. x. Kebenaran Kejujuran Tanpa kepentingan langsung Bersandarkan kepada kekuatan penghujahan Rasional Objektif Kritis Terbuka Pragmatik Neutral daripada nilai-nilai yang bersifat pragmatik dalam mentafsir hakikat realiti.

Peranan dan tanggungjawab seorang penulis cukup besar dan berat. Jujun (1990) seterusnya menyatakan suatu peradaban yang ditandai dengan masyarakat keilmuan yang maju secara bersungguh-sungguh dapat melaksanakan asas moral yang melibatkan kebenaran, kejujuran, bebas kepentingan dan dukungan berdasarkan kekuatan penghujahan. Malah menurut al-Quran dan al-Hadis telah mengingatkan kepada golongan penulis akan kepentingan jihad pena yang menjadi tanggungjawab besar untuk jalan berdakwah. Jihad pena bersifat berterusan dan ia wajib dilakukan oleh setiap orang selagi mereka mempunyai ilmu, kebolehan serta kuasa untuk berbuat demikian. Memandangkan penulis mempunyai kebolehan yang banyak, maka jihad pena dalam kalangan mereka adalah lebih dituntut. Tiada seorang penulis akan menolak tugas ini jika mereka mengetahui kemuliaan seorang penjihad di sisi Allah S.W.T. Selain sebab-sebab yang telah dinyatakan, tujuan penulisan pada peringkat pengajian tinggi adalah untuk menyampaikan maklumat, menjelaskan sesuatu idea dan menyatakan hujah. Ketiga-tiga tujuan ini merupakan teras dalam semua bentuk genre dalam penulisan. Paling utama sesuatu teks ditulis adalah untuk menyampaikan maklumat kepada khalayak pembaca. Jika penulis teks ialah pelajar maka teks yang ditulis adalah untuk penyelia, rakan-rakan atau sesiapa yang berminat tentang topik yang ditulis itu. Bagi pembaca pula, mereka tidak sekadar membaca, memaham dan mengguna mana-mana fakta dan data secara langsung yang terdapat dalam sesuatu teks, tetapi perlu bersikap kritis dan analitis terhadap teks yang dibacanya. Dalam sebahagian kes, pembaca mudah terpengaruh dengan sesuatu penulisan dengan menerima bulat-bulat akan maklumat dalam sesuatu teks tanpa merujuk dan membandingkan daripada sumber-sumber yang lain.

A sa s Men ga ran g |4

Hal inilah yang wajar diperhatikan oleh pengarang kerana sebarang kesilapan maklumat yang mereka catatkan akan memberi kesan kepada pembaca. Paling penting bagi pembaca adalah apa yang dibacanya dapat dicerna sebagai ilmu dan hikmah yang amat berguna untuk pembangunan insaniah. Dalam menjelaskan konsep dan pengertian ilmu, Syed Muhamad Naquib al-Attas dalam Syed Muhamad Dawilah (1993) menyatakan: merujuk kepada Allah sebagai asal segala ilmu, ia (ilmu) adalah ketibaan makna sesuatu ke dalam diri seseorang. Apabila merujuk kepada diri sebagai pentafsir, ilmu adalah ketibaan diri seseorang kepada makna tentang sesuatu. Ketibaan makna yang dimaksudkan di atas ialah perubahan diri, minda dan jiwa seseorang daripada negatif kepada positif, daripada minda kerdil kepada minda berwawasan sehingga akhirnya ilmu dapat membentuk sifat, watak dan perwatakannya menjadi manusia yang berakhlak serta faham matlamat kejadian manusia dan landasan hidup yang harus ditujui. Ilmu yang tidak disertai dengan ketibaan makna akan mendorong pemujaan kepada nilai meterialistik dan memenuhi kehendak hawa nafsu. Feadah-faedah Mengarang i. Dengan menulis kita dapat mengembangkan berbagai-bagai idea atau gagasan. Oleh itu kita terpaksa bertaakul dan bernalar; fakta-fakta serta isi hujahan dihubungkan dan dibandingkan. Hal ini mungkin tidak akan kita lakukan jika kita tidak menulis. Kegiatan menulis memaksa kita banyak mencari, mengkaji, menyerap dan menguasai maklumat yang berkaitan tajuk atau mauduk yang hendak ditulis. Dengan demikian, menulis memperluas dan memperdalam wawasan kita secara teoretis dan empiris tentang tajuk atau fakta yang kita paparkan. Kegiatan menulis yang terancang akan membiasakan kita berfikir serta berbahasa secara tertib. Ketertiban berfikir dan berbahasa sebenarnya menjadi cerminan keintelektualan seseorang. Dengan menulis kita akan dapat mengetahui kemampuan dan potensi diri. Untuk menulis dan mengembangkan sesuatu tajuk, kita terpaksa berfikir, menggali pengetahuan dan pengalaman yang kadangkala tersimpan dalam minda bawah sedar kita. Keupayaan menulis dengan baik dan berkesan ialah suatu pencapaian yang harus diperolehi oleh golongan berpendidikan lebih-lebih lagi oleh golongan yang bergelar mahasiswa. Melalui kegiatan menulis dapat kita tunjukkan bahawa kita telah mencapai dan menguasai suatu tahap kemahiran menulis yang sewajarnya.

ii.

iii.

iv.

v.

A sa s Men ga ran g |5

vi.

Pendidikan formal yang kita lalui menekankan soal penerimaan ilmu dan maklumat yang bermakna. Soal ini memerlukan kemahiran dan kecekapan menulis. Kecekapan menulis bertalian erat dengan kecekapan berfikir, menyusun dan menyampaikan buah fikiran dengan baik. Dengan kata lain, penulis yang baik sebenarnya ialah pemikir. Pemikir dapat menjadi ahli profesional yang baik. Hal inilah merupakan ciri penting orang yang berpendidikan.

Penggolongan Karangan Terdapat dua kategori utama karangan. Pertama, karangan yang bertujuan memberi informasi sesuai dengan fakta disebut sebagai karangan faktawi atau factual writing (John Riebel, 1978). Manakala karangan yang bertujuan memberi hiburan kepada pembaca; bersifat khayali, imaginasi, lamunan atau fantasi dikategorikan sebagai karangan imaginasi atau imaginative writing. Secara ringkas, penggolongan karangan boleh diklasfikasikan sebagai berikut:

Karangan

Imaginasi

Faktawi

Prosa dan Puisi

Ilmiah dan informatif

novel, cerpen, puisi drama, seloka, syair pantun, metafora, rubai

berita, rencana, laporan tesis, kertas kerja, jurnal kertas projek, iklan

Tahap-Tahap Penulisan Terdapat beberapa tahap yang perlu dilalui oleh seseorang penulis dalam menghasilkan karyanya. Secara umum, proses penulisan bermula dengan pemilihan tajuk atau bidang tajuk, dan diikuti dengan pengumpulan maklumat yang berkaitan dengan tajuk karangan yang mudah ditulis. Seterusnya, seseorang penulis perlu pula membentuk kerangka kasar, mengembangkan fakta,

A sa s Men ga ran g |6

menyunting, menyediakan ilustrasi dan menulis draf akhir. Menurut Awang Sariyan (1992: 5), terdapat dua tahap dalam proses penulisan iaitu:
Tahap Penulisan

Prapenulisan

Penyusunan

Pascapenulisan

Penerbitan

Rajah 1: Tahap-tahap yang harus dilalui dalam menghasilkan karangan

1.

Tahap Persiapan Pada tahap ini, penulis akan memperlengkap diri dan memberi perhatian kepada aspek-aspek yang berikut, iaitu: i. ii. iii. iv. v. mempersiap minda (mental/psikologi) mengenal pasti bidang menentukan skop/tumpuan menentukan sasaran/khalayak memperoleh maklumat

2.

Tahap Penyusunan Pada tahap ini, penulis akan membuat perancangan yang melibatkan: i. ii. iii. iv. v. vi. menyusun/mengatur rangka isi mengembangkan isi/fakta dan pemerengganan menjalinkan isi menatakan format mengedit bahasa penerbitan

Asas Pemerengganan Pemerengganan merupakan suatu entiti yang paling penting dalam tubuh sesebuah karangan. Proses membina perenggan sama konsepnya dengan menulis sebuah karangan. Perenggan dapat dianggap sebagai inti karangan yang menyajikan satu unit idea atau satu unit isi perbincangan yang

A sa s Men ga ran g |7

dikembangkan secara tersusun dalam satu rangkaian ayat yang saling berhubungan. Dengan kata lain, perenggan sebenarnya merupakan satu karangan pendek (huraian lanjut tentang pemerengganan pada bab ke-2). Perenggan dapat memandu penulis dan pembaca melihat hubungan unit-unit idea dalam karangan dengan lebih lancar dan jelas. Sebelum dapat menghasilkan sebuah karangan yang bermutu, maka perlulah difahami dulu ciri-ciri penting perenggan dan konsep binaan perenggan. Komponen utama yang diperlukan dalam pembinaan sesuatu perenggan ialah pertama; penyataan tesis atau tema induk (lihat rajah 2). Kedua; ayat topik atau dikenali juga sebagai ayat fokus.

Pernyataan Tesis Setiap karangan perlu mempunyai ayat tesis atau pernyataan tesis. Ayat tesis bermaksud idea inti dalam karangan dan menjadi asas pengembangan seluruh karangan. Biasanya daripada pernyataan tesis menjadi penanda untuk membina tajuk yang sesuai bagi sesebuah karangan. Terdapat hanya satu pernyataan tesis dalam sesebuah karangan. Lazimnya pernyataan tesis berada pada perenggan terawal tetapi kadang kala pernyataan tesis berada pada perenggan yang lain. Pernyataan tesis merupakan salah satu komponen ayat yang paling kuat idea intinya daripada keseluruhan ayat topik yang terdapat dalam sesebuah karangan. Hal ini bermakna hanya ayat topik terkuat dari segi idea intinya akan menjadi ayat tesis dalam sesebuah karangan. Formula berikut dapat memahamkan anda, bahawa:

TERDAPAT BANYAK AYAT TOPIK TETAPI AT (AYAT TOPIK TERKUAT ) PT (PERNYATAAN TESIS)

Secara teori, terdapat dua jenis pernyataan tesis, iaitu jenis tersirat dan jenis tersurat. Pernyataan tesis jenis tersurat lebih mudah dikesan dengan mengenal pasti idea inti pada klausa tertentu. Biasanya pernyataan tesis jenis ini dikemukakan pada perenggan pengenalan. Akan tetapi pernyataan tesis tersirat pula hanya dapat dikesan setelah kita membaca seluruh isi setiap perenggan dari awal hingga akhir. Dengan mengandaikan tema-tema penting yang cuba dikemukakan oleh pengarang, kita dapat merumuskan satu kesimpulan pernyataan tesis dalam karangan tersebut. Penyataan tesis yang dinyatakan secara langsung terbina oleh dua unsur, iaitu subjek dan fokus. Subjek ialah perkara utama yang menjadi perbincangan, manakala fokus ialah hal-hal yang menceritakan subjek itu. Ayat tesis yang baik dan berkesan perlu terbatas, tidak terlalu luas dan umum serta dinyatakan dengan bahasa yang jelas. Contohnya seperti rajah 2 di sebelah:

A sa s Men ga ran g |8

Rajah 2
Bandingan grafik pernyataan tesis yang tepat (kanan) dan yang menyimpang (kiri)

(i) Ayat tesis dengan tema umum (ii) Ayat tesis dengan tema berfokus

Bidang pertanian telah berkembang pesat.

: Penanaman padi di negara kita [SUBJEK] telah mengalami perkembangan pesat akibat kemajuan teknologi [FOKUS].

Dalam rajah 2 menunjukkan bahawa kegagalan menjana ayat tesis yang menepati tema sesebuah karangan akan menyebabkan kekeliruan dalam penyusunan isi dan idea. Karangan yang sedemikian akan kelihatan tidak lancar dari segi susunan idea. Justeru, membina ayat tesis yang jelas dan tepat amat penting dalam menghasilkan sesebuah karangan yang bermutu. Penyataan tesis bentuk tersirat yang menjadi asas pengembangan karangan dapat juga diungkapkan melalui pernyataan maksud pengarang. Contoh pernyataan maksud di bawah ini dengan jelas menunjukkan tujuan penulisan dan membantu mengembangkan karangan. (i) Dalam rencana ini akan dibincangkan perbezaan sistem ekonomi pada dunia orde lama dengan sistem ekonomi pada dunian orde baru.

A sa s Men ga ran g |9

(ii)

(iii)

(iv)

Penulis ingin mengemukakan bukti-bukti sejarah dan arkeologi yang membuktikan bahawa telah wujud tamadun manusia yang tinggi di Wilayah Nusantara sejak abad ke-3 sebelum Masehi. Apakah yang menyebabkan terlibatnya para belia dengan dadah? Penulis akan mengemukakan beberapa hal yang erat hubungannya dengan pendidikan keluarga serta perhatian ibu bapa. Dalam tulisan ini akan dihuraikan beberapa proses membuat keputusan dalam organisasi

Proses membina sebuah perenggan adalah sama dengan proses membina sebuah karangan. Perenggan, dalam skopnya yang lebih kecil, seperti juga sebuah karangan mesti mempunyai tujuan. Tujuan sesebuah karangan dinyatakan oleh pernyataan tesis, manakala tujuan perenggan pula dinyatakan oleh ayat topik. Sesebuah perenggan yang lengkap dan berkesan terbina oleh unsur-unsur asas berikut:

Ayat topik, iaitu isi atau gagasan utama yang menjadi tema seluruh perenggan serta memandu pengembangan satu unit buah fikiran dalam satu perenggan bagi menyokong pernyataan tesis karangan.

Ayat penyangga utama, iaitu ayat yang mengembangkan gagasan dalam ayat topik dan merujuk ayat topik secara langsung. Ayat penyangga juga dikenali sebagai ayat sokongan utama. Ayat penyangga terbina dalam bentuk fakta-fakta, contohan, data-data atau huraian.

Ayat penyangga kecil, iaitu ayat yang menyediakan keterangan lanjut tentang ayat topik dan merujuk penyangga utama secara langsung. Ayat penyangga kecil dapat dibina menerusi huraian lanjut data-data, fakta-fakta atau contohan yang bertujuan mengukuhkan penjelasan dalam ayat penyangga utama.

Ayat kesimpulan, iaitu ayat akhir yang menutup perenggan sebelum beralih kepada perenggan yang seterusnya. Walau bagaimanapun, ayat kesimpulan tidak bersifat tetap pada setiap perenggan. Kewujudannya tergantung pada keperluan dan keutuhan wacana pada ayat topik dan ayat penyangga utama. Yang pasti, ayat kesimpulan wajar ditulis dalam perenggan terakhir sesebuah karangan.

A s a s M e n g a r a n g | 10

Strategi Membina Ayat Topik Telah dinyatakan dalam bahagian awal bahawa perenggan yang ideal harus terdiri oleh unsur-unsur dasar yang meliputi ayat topik dan ayat-ayat penyangga. Idea utama diluahkan ke dalam ayat topik, manakala idea sokongan ke dalam ayat-ayat penyangga. Ayat-ayat penyangga inilah yang mendukung penjelasan dan pembuktian tentang idea utama dalam ayat topik. Ayat topik boleh diletakkan pada bahagian-bahagian tertentu dalam perenggan. Kedudukan ayat topik dalam perenggan boleh didasarkan pada corak perenggan deduktif, perenggan induktif dan perenggan deduktif induktif. Mengetahui corak binaan perenggan ini amat berguna sebagai panduan awal membina perenggan yang baik dan berkesan. i. Perenggan Deduktif Perenggan deduktif bermula dengan ayat topik. Ayat topik yang mendukung idea utama dikemukakan pada bahagian awal perenggan. Sementara ayat-ayat penyangga yang mendukung isi atau idea sokongan sama ada berbentuk penjelasan ataupun pembuktian dikemudiankan. Ringkasnya, perenggan ini bermula dengan penyataan umum dan menuju kepada penyataan khusus. Kerapkali perenggan jenis ini dikenali sebagai perenggan piramid terbalik. Perhatikan contoh perenggan deduktif: Kosa kata memainkan peranan dan merupakan unsur dasar yang paling penting dalam kemampuan berbahasa, khususnya dalam karang mengarang. Jumlah kosa kata yang dimiliki oleh seseorang akan menjadi petunjuk tentang pengetahuan seseorang itu. Di samping itu jumlah kosa kata yang dikuasai seseorang juga akan menjadi indikator bahawa orang itu mengetahui sekian banyak konsep. Semakin banyak kosa kata yang dikuasai, semakin banyak pula pengetahuan seseorang. Dengan demikian, seorang penulis akan mudah memilih kata-kata yang tepat atau cocok untuk mengungkapkan idea yang ada dalam fikirannya.

Ayat Topik Ayat Penyangga Utama Ayat Penyangga Kecil

A s a s M e n g a r a n g | 11

ii.

Perenggan Induktif Perenggan induktif bermula dengan idea-idea sokongan, iaitu hal-hal khusus, kemudian diakhiri dengan penyataan umum. Dalam perenggan induktif, ayat topik atau pernyataan topik terletak pada bahagian akhir perenggan. Perhatikan contoh berikut: Industri sampingan tumbuh dengan banyaknya sebagai hasil pembabitan Malaysia dalam projek-projek industri berat. Contohnya, projek industri kereta Proton Saga memerlukan beratus-ratus ribu liter cat sebagai cat asas lapisan atas kereta. Keperluan terhadap cat ini memberikan peluang berkembangnya industri cat. Di samping itu berkembang juga industri permbuatan alat-alat ganti kereta. Wujudnya industri berat di Malaysia ini memberikan faedah yang besar kepada penduduk negara ini dari segi peluang pekerjaan.

Ayat Penyangga Kecil

Ayat Penyangga Utama Ayat Topik

iii.

Perenggan Deduktif Induktif Perenggan jenis ini merupakan gabungan deduktif induktif mengemukakan ayat topik pada awal perenggan dan pada akhir perenggan, manakala di tengahnya dikemukakan idea-idea penyangga. Perhatikan contoh di bawah ini. Peningkatan taraf pendidikan para petani dianggap sama pentingnya dengan usaha peningkatan taraf hidup mereka. Petani yang berpendidikan dapat mengubahkan sistem pertanian tradisional menjadi pertanian moden yang produktif. Petani yang berpendidikan mampu menerima perubahan dan pembangunan secara positif. Mereka dapat memberikan maklum balas yang setimpal terhadap segala rancangan yang digubal oleh para perancang pembangunan, sama ada peringkat pusat, negeri ataupun daerah. Itulah sebabnya, peningkatan taraf pendidikan para petani dianggap sangat mustahak.taraf pendidikan para petani dianggap sama pentingnya dengan usaha peningkatan taraf hidup mereka.

A s a s M e n g a r a n g | 12

Petanda penting untuk mengenal perenggan jenis ini ialah isi inti pada ayat topik terawal boleh dipertautkan dengan isi inti pada ayat di akhir perenggan. Jika isi inti tersebut tidak bertaut, maka jelaslah bahawa perenggan tersebut bukan daripada jenis deduktif induktif. Berkemungkinan ayat terakhir tersebut merupakan ayat penyangga utama, ayat penyangga kecil atau ayat kesimpulan. Rajah di bawah menunjukkan bentuk perenggan deduktif induktif.

Ayat Topik 1 Ayat Penyangga Utama Ayat Penyangga Kecil Ayat Penyangga Utama Ayat Topik 2

iv.

Perenggan Segi Empat tepat Perenggan jenis ini tidak banyak dipraktikkan dalam penulisan popular. Hal ini demikian kerana hampir kesemua susunan ayat dan isi dalam perenggan ini sama penting dari awal hingga akhir perenggan. Ini bermakna ayat topik dan ayat penyangganya saling lengkap melengkapi sehingga tidak mudah untuk disunting kecuali mereka yang pakar. Biasanya perenggan jenis ini terdapat dalam peruntukan undang-undang, perlembangaan, anekmen yang hanya difahami oleh peguam atau pakar undang-undang. Perhatikan contoh perenggan jenis segi empat tepat: Perkara 152, Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah bahasa Melayu. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagaimanapun tidak menafikan kedudukan dan hak bahasa lain untuk digunakan, dipelajari dan dikembangkan sekalipun dengan menggunakan dana awam. Kewujudan Perkara 152 tidak boleh dipadam kerana Perkara 159(5) menetapkan bahawa perkenan Majlis Raja-Raja diperlukan sekiranya ia hendak dipinda. Perkara 152. Bahasa kebangsaan. (1) Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen: Dengan syarat bahawa (a) tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain; dan

A s a s M e n g a r a n g | 13

(b) tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menjejaskan hak Kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana Kerajaan Negeri untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain di dalam Persekutuan. (2) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, bahasa Inggeris boleh digunakan di dalam kedua-dua Majlis Parlimen, di dalam Dewan Undangan tiap-tiap Negeri, dan bagi segala maksud rasmi yang lain. (3) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, teks sahih (a) segala Rang Undang-Undang yang hendak dibawa atau pindaan kepadanya yang hendak dicadangkan di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen; dan (b) segala Akta Parlimen dan segala perundangan subsidiari yang dikeluarkanoleh Kerajaan Persekutuan, hendaklah dalam bahasa Inggeris. (4) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, segala prosiding di dalam Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi hendaklah dalam bahasa Inggeris: Dengan syarat bahawa, jika Mahkamah dan peguam bagi kedua-dua pihak bersetuju, keterangan yang diambil dalam bahasa yang digunakan oleh saksi tidak perlu diterjemahkan ke dalam atau direkodkan dalam bahasa Inggeris. (5) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, segala prosiding di dalam mahkamah rendah, selain pengambilan keterangan, hendaklah dalam bahasa Inggeris. (6) Dalam Perkara ini, "maksud rasmi" ertinya apa-apa maksud Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam. Rajah di bawah menunjukkan perenggan jenis segi empat tepat.

Ayat Topik + Ayat Penyangga Utama + Kecil + kesimpulan.

A s a s M e n g a r a n g | 14

Perhatikan binaan perenggan pada contoh berikut. Berikan perhatian teradap susunan ayat topik, ayat penyangga utama, ayat penyangga kecil dan ayat kesimpulan. Menurut Jomo K.S. dan Toh Kin Woon dalam tulisan mereka yang bertajuk Sifat Pemerintah Malaysia dan Implikasinya untuk Perancangan Pembangunan, perancangan pembangunan Malaysia menggunakan pendekatan dualis yang wujud dalam dua strategi perancangan yang berbeza, tetapi berkait [AYAT TOPIK]. Dalam strategi pertama, sektor tradisional diintegrasikan dengan sektor moden [PENYANGGA UTAMA]. Strategi ini terlaksana apabila kerajaan dapat memindahkan teknologi moden, modal dan nilai utama ke dalam sektor tradisional [PENYANGGA KECIL]. Strategi kedua, Malaysia bergantung pada negara-negara kapitalis maju [PENYANGGA UTAMA]. Pergantungan ini perlu ada supaya pemindahan sumber-sumber penting dari negara-negara kapitalis maju ke Malaysia dapat dilakukan [PENYANGGA KECIL]. Sumber-sumber itu seperti modal, teknologi, kepakaran, nilai-nilai dan institusi moden dipindahkan dengan menggunakan mekanisme perdagangan asing, pelaburan swasta, bantuan dan nasihat perancanngan [PENYANGGA KECIL]. Memandangkan perancangan yang demikian, maka tidaklah menghairankan bahawa rancangan pembangunan Malaysia menitikberatkan faktor asing, seperti aliran masuk modal asing dan tekniologi, untuk memastikan pertumbuhan dan pembangunan berjalan dengan lancar [AYAT KESIMPULAN].

Fahami Istilah Penting Seni Mengarang Retorika Seni berbahasa yang sangat mementingkan kesampaian maksud dengan cara memanipulasi segala unsur bahasa sama ada aspek tatabahasa, semantik, estetik dan logik. Cara pemakaian bahasa yang melibatkan aspek-aspek kesesuaian penggunaan perkataan, frasa, ayat dan ungkapan tertentu yang dapat mengungkap sifat-sifat individu. Perbezaan stilistika dengan retorika ialah stilistika lebih mementingkan aspek keindahan bahasa berbanding aspek motif berbahasa. Konsep keindahan yang boleh dikaji sama ada dari segi keindahan luaran, keindahan dalaman atau keindahan dalam bentuk falsafah. Asas berfikir yang melihat hubungan sesuatu perkara atau konsep dan menyimpulkan hubungan tersebut secara teratur supaya idea yang dinyatakan tidak bercanggah atau tidak logik.

Stilistika

Estetika Logika

A s a s M e n g a r a n g | 15

Diksi

Pemilihan perkataan atau cara pengungkapan gagasan, pengetahuan atau perasaan dalam bentuk kata-kata dengan tujuan supaya maksud yang hendak disampaikan dapat difahami oleh pembaca dengan tepat sebagaimana yang dikehendaki oleh penulis. Konsep berkaitan simbol-simbol atau tanda yang menjadi pegangan atau pandangan hidup dalam sesuatu budaya dan masyarakat. Pertautan idea yang menjadikan wacana itu suatu teks yang bermakna dan dapat difahami. Keserasian hubungan antara suatu unsur linguistik dengan unsur linguistik yang lain. Penggunaan bahasa secara bertulis yang terdiri dariapada ayat atau ayat-ayat, bab, buku, dialog yang mempunyai awal dan akhir. Kata hubung antara ayat seperti: dan, tetapi, untuk, supaya, selain itu, malah, bagaimanapun dan seumpamanya. Unsur-unsur yang digunakan untuk memperjelas persembahan wacana seperti penggunaan tanda baca; koma, noktah, tanda petik dan sebagainya.

Semiotika Koheren Kohesi Wacana Penanda Wacana Paralinguistik

PENILAIAN KENDIRI
1. 2. 3. 4. Bincangkan tiga objektif pengarang? Bincangkan perbezaan antara pernyataan tesis, ayat topik dan ayat penyangga. Tulis tiga bentuk perenggan jenis deduktif, induktif dan deduktif Induktif. Berdasarkan empat jenis perenggan asas yang telah dipelajari, pilih sebuah karangan dan huraikan jenis-jenis peranggan yang diaplikasi oleh pengarang.

KATA KUNCI
1. 2. 3. Mengarang Menyurat Pernyataan Tesis 4. Ayat Topik 5. Ayat Fokus 6. Ayat Penyangga 7. Deduktif 8. Induktif 9. Deduktif Induktif

A s a s M e n g a r a n g | 16

Bahan Rujukan Awang Sariyan. (2006). Tertib Mengarang. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka. Henry Guntur Tarigan (1986) Menulis sebagai Satu Ketrampilan Berbahasa . Bandung: Penerbit Angka. Ismail Ahmad (1996) Penulisan Saintifik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Md. Sidin Ahmad Ishak. (1999). Ketrampilan Menulis. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Sulaiman Masri et al. (2007) Bahasa Melayu; Rujukan Menengah. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.