Anda di halaman 1dari 34

Cerpen: Ku Temui CahayaNya

"Papa tak setuju dengan hasrat kamu tu Jane!" Marah papa padaku.
"Tapi kenapa papa?" Soalku inginkan kepastian.
"Tindakan kamu tu membelakangi kepercayaan datuk nenek moyang kita."
Jawab papa. Aku sangat tidak setuju dan tidak puas hati dengan jawapan
yang diberikan papa itu.
"Kenapa masa Calvin nak memeluk Kristian papa tak pernah pun melarang
dia?" Aku masih ingat lagi ketika abangku, Calvin menyatakan hasratnya
untuk menganut agama Kristian kepada papa. Papa tidak marah pun, malah
dia merestui tindakan Calvin itu.

"Kamu jangan nak bandingkan antara Kristian dengan Islam!" Aku nampak
ada sedikit kemarahan dalam kata-kata papa itu.
"Kenapa,tindakan Calvin itu tidak membelakangi kepercayaan datuk nenek
moyang kita ke papa?" Aku memulangkan kembali kata-kata papa itu tadi.
"Aah,susah nak bercakap dengan kamu ni Jane!" Marah papa sambil bangun
meninggalkan aku terkebil-kebil di ruang tamu sendirian.
Bermula pada hari itulah, hubungan antara aku dan keluargaku sedikit
dingin. Terutamanya papa yang menentang keras hasratku untuk memeluk
Islam. Walaupun begitu, aku tetap cuba untuk memulihkan keadaan kepada
sediakala sebelum krisis berlaku kerana mereka tetap ahli keluargaku dan
darah dagingku.
Walaupun aku dilahirkan sebagai berbangsa cina dan menganut agama
confucius, namun begitu pegangan agamaku tidaklah begitu kuat. Aku
berasal dari sebuah keluarga cina yang menetap di Kg. Pulau Melaka terletak
di pinggir Bandar Kota Bharu. Di kampungku itu, terdapat hanya sepuluh
keluarga cina yang dikelilingi oleh masyarakat melayu Islam. Tambahan pula
aku membesar bersama kawan-kawan kaum Melayu dan aku sudah biasa
dengan adat melayu. Banyak ajaran agama Islam yang aku tahu daripada
kawan-kawan Melayuku.
Keinginanku untuk memeluk Islam mula timbul setelah terjadi satu peristiwa
yang hampir meragut nyawaku dua tahun lalu. Ketika itu aku dalam
perjalanan pulang dari menghadiri parti untuk meraikan kegembiraan
berjaya mendapat ijazah dari sebuah universiti tempatan di Kuala Lumpur.
Aku dan sekumpulan kawan-kawan yang lain telah bersetuju untuk meraikan
kejayaan kami ini dirumah teman lelakiku Michael di Tumpat. Aku begitu
gembira kerana dapat mengumpulkan kawan-kawan bagi meraikan kejayaan
bersama ini. Aku minum dengan banyak sekali dan membuatkan aku benar-
benar mabuk. Dalam keadaan pening yang teramat sangat, dengan
pandangan yang samar-samar dan berbinar-binar aku lihat sudah ramai
kawanku yang terkulai di ruang tamu. Ada juga pasangan yang berpapahan
masuk ke dalam bilik. Kepalaku makin berat dan pandanganku makin kabur,
selepas itu aku tidak sedarkan diri.
Aku tersedar apabila terdengar dentuman jam antik di ruang tamu rumah
Micheal sebanyak tiga kali. Terasa sejuk menyucuk tulangku. Dalam keadaan
masih pening dan suram malam,aku melihat Micheal sedang nyenyak tidur
atas katil di sisiku. Aku dapati tiada seurat benang pun pada diriku. Air
mataku mula mengalir. Aku terasa sedikit ngilu pada kemaluanku. Aku
mencapai pakaianku yang berselerak atas lantai. Dengan tergesa-gesa aku
mengenakan tube dan mini skirtku. Dalam keadaan terhuyung-hayang, aku
bangun mencapai kunci keretaku. Air mata terus mengalir dalam kedinginan
pagi itu.
Aku memandu Satria Neo membelah kabus pagi. Jalan sunyi dan lengang
sekali. Kepalaku masih lagi pening dan penglihatanku masih lagi kabur oleh
kerana kesan minuman keras yang masih lagi bersisa. Sewaktu aku sampai
di Simpang Tiga Morak, sawah padi yang luas di kiri dan kanan jalan, secara
tiba-tiba ada sesuatu telah melintas dari kiri ke kanan jalan. Aku terus
memberek sambil mengelak ke kanan menyebabkan kereta yang kupandu
itu terbabas dan terus melanggar sebatang pokok sena yang berada di
sebelah kanan jalan sebelum berpusing dan terhumban ke dalam sawah. Aku
terus tidak sedarkan diri.
Bunyi deringan telefon menghentikan imbauan fikiranku. Tertera nama
pemanggil Ustazah Zuraihah pada skrin telefonku. Aku tersenyum sendiri.
"Hello ustazah." Jawabku.
"Hello Jane, apa khabar?" Soal satu suara dari corong telefon.
"Baik. Ustazah apa khabar?"
"Saya sihat walafiat."
"Boleh tak akak nak jumpa Jane?" Soal Ustazah Zuraihah.
"Bila?" Tanyaku kembali.
"Pukul 5.30 petang esok di Taman Perbandaran Tengku Anis, boleh?"
"Saya akan cuba." Jawabku riang.
Ustazah Zuraihah adalah antara orang yang bertanggungjawab dalam
menyemaikan bibit keinginanku untuk memeluk Islam. Aku percaya bahawa
Tuhan telah mentakdirkan dia dan suaminya Ustaz Syamsul untuk
menyelamatkan nyawaku dan seterusnya menyelamatkan akidahku. Apabila
aku sedar setelah tiga hari pengsan di HUSM, antara orang yang pertama
aku lihat ialah Ustazah Zuraihah, suaminya Ustaz Syamsul dan mamaku.
Pada mulanya aku agak hairan kerana seorang perempuan bertudung labuh
dan seorang lelaki berkopiah datang melawatku. Padahal aku tidak pernah
mengenali mereka sebelum ini apatah lagi mempunyai apa-apa hubungan
kekeluargaan.
"Jane!" Seru mama tatkala melihat aku membuka mata buat pertama kali.
Ada aliran air mata pada bibir mata kedua-dua perempuan tersebut.
Perempuan bertudung itu melihat kearahku dengan pandangan yang
berkaca-kaca.
Akibat kemalangan itu, aku mendapat cedera parah. Diagnosis awal doktor
mendapati aku mengalami cerebral concussion, cerebral hematoma,closed
fracture right radius ulna, closed fracture left tibia fibula, crack fracture left
humerus dan luka-luka di seluruh badan. Aku dimasukkan ke wad selama
dua minggu sebelum dibenarkan keluar. Melalui cerita yang diberitahu
mama, perempuan bertudung tersebut bernama Ustazah Zuraihah. Dia dan
suaminyalah orang yang pertama memberikan bantuan kepadaku selepas
kemalangan berlaku. Mengikut cerita mama, ketika itu mereka juga dalam
perjalanan dari arah Bandar Tumpat menuju ke Kota Bharu. Mereka sempat
melihat keretaku melanggar pokok sena dan kemudiannya berpusing
sebelum terhumban ke dalam sawah di sebelah kanan jalan. Merekalah
orang yang telah menyelamatkan aku. Tanpa bantuan pertama mereka,
mungkin itulah malam terakhir buatku menghirup udara di dunia ini.
Sejak dari peristiwa itu, aku seolah-olah terhutang budi dengan pasangan
tersebut. Mereka juga selalu menghubungiku untuk bertanya khabar
keadaanku. Selalu juga datang melawat aku selama berada dalam wad di
HUSM dan pernah juga datang melawatku di rumah. Aku terpaksa berehat di
rumah lebih kurang 6 bulan untuk sembuh. Nasib baiklah masa itu aku masih
belum bekerja lagi. Sampai sekarang pun kadang-kadang bekas kecederaan
yang kualami ini masih terasa lagi sakitnya.
Aku bernasib baik, dengan bantuan Ustaz Syamsul aku telah mendapat kerja
sebagai pegawai perhubungan awam disebuah syarikat perkapalan yang
beribu pejabat di Bandar Kota Bharu. Aku suka bekerja disitu walaupun ia
bukanlah bidang pengajian yang ku ambil semasa di universiti dulu. Semua
staff termasuk bos memahami keadaanku serta memberikan bantuan dan
kerjasama yang sewajarnya.
"Jane!" Aku dengar seseorang memanggilku sewaktu aku melangkah keluar
dari lif untuk lunch.
"Michael!" Detik hatiku apabila terpandang wajah bekas teman lelakiku itu.
Selepas peristiwa hitam itu terjadi, hubungan kami putus serta-merta.
Apatah lagi setelah aku membuat laporan polis terhadap Michael yang telah
memperkosaku itu yang menyebabkan dia telah didakwa di bawah seksyen
375 & 376 Kanun Keseksaan kerana merogol. Namun dia bernasib baik
kerana mendapat khidmat peguam yang hebat menyebabkan mahkamah
telah memutuskan bahawa pihak pendakwa telah gagal untuk membuktikan
kes itu melampaui keraguan yang munasabah. Oleh itu mahkamah telah
membebas dan melepaskan Michael.
Sejak peristiwa itu juga, aku telah memutuskan semua hubunganku dengan
Michael. Aku selalu mengelak daripada bertemu dengan lelaki yang telah
menodai masa depanku itu. Aku benci untuk melihat wajahnya yang telah
mengambil kesempatan terhadap kelemahanku waktu itu.
Aku tidak menghiraukan panggilan Michael itu dan berpura-pura seolah-olah
aku tidak mendengarnya. Aku mempercepatkan langkahku untuk menyertai
sekumpulan orang ramai bagi mengelak dari Michael. Tapi tindakan Michael
lebih pantas. Dia sempat mengejar dan menarik tangan kananku.
"Apa lagi yang kau nak?" Jeritku sambil merentap tangan kananku yang
dipegangnya. Jeritan aku itu menarik perhatian orang ramai yang berada
disitu.
"Hei, takkan dah tak sudi kot." Balas Michael sambil melihat sekeliling
apabila orang ramai sedang memerhatikan tindakannya itu.
"We have no any relationship any more. Understand!" Jeritku lagi.
"Mahkamah dah bebaskan aku. Aku tak bersalah." Kata Michael dengan
bangga.
"Aku benci orang yang suka ambil kesempatan la!" Balasku.
"Ingat Jane, aku takkan lepaskan kau begitu sahaja." Michael memberikan
amaran sambil berlalu pergi apabila orang ramai mula mengerumuni kami.
Gerun juga aku bila memikirkan ugutan Michael itu. Orang sanggup buat apa
sahaja asalkan kehendak dan cita-cita mereka tercapai. Tidak terkecuali
dengan Michael, banyak perkara yang mampu dia buat untuk membalas
dendam.
Sebaik sahaja tamat waktu kerja, aku terus pulang ke rumah kerana aku ada
janji dengan Ustazah Zuraihah pukul 5.30 petang ini di Taman Perbandaran
Tengku Anis. Aku bersiap-siap berpakaian sukan dengan track suit, singlet
dan cap. Sudah lama aku tidak bersukan sejak mengalami kecederaan akibat
kemalangan itu. Aku pun tidak berani untuk bersukan yang extreme kerana
kecederaanku belum benar-benar sembuh lagi. Jadi, sambil memenuhi
janjiku dengan Ustazah Zuraihah aku ambil kesempatan untuk berjoging
sedikit. Sengaja aku memakai track suit untuk nampak sedikit sopan depan
ustazah. Biasanya aku lebih suka pakai seluar pendek ketat dan singlet saja
jika hendak joging. Walaupun aku agak sosial atau bebas dari segi pakaian,
pergaulan serta makan minum, namun aku telah dididik oleh keluargaku
supaya tetap menjaga kehormatan gadisku. Tapi tindakan Michael yang telah
menodai kegadisanku membuatkan ia menjadi titik hitam dalam hidupku.
Sewaktu aku sampai di Taman Perbandaran Tengku Anis, para pengunjung
masih lagi belum ramai. Taman ini adalah satu-satunya taman rekreasi yang
sering dikunjungi orang ramai sama ada secara berkeluarga atau
bersendirian. Cukup selesa untuk bersukan serta acara keluarga. Lengkap
dengan trek joging, taman senaman, gelangang badminton, gelangang
takraw, kawasan permainan kanak-kanak, kolam mandi kanak-kanak, taman
haiwan dan banyak lagi. Kerap juga aku datang ke sini sama ada untuk
bersukan atau sekadar berehat sambil melihat gelagat pengunjungnya.
Aku buat warming up terlebih dahulu sebelum memulakan joging sambil
mataku melilau mencari Ustazah Zuraihah. Aku melihat jam tanganku, baru
sahaja pukul 5.15 petang.
"Masih awal lagi." Bisik hatiku.
Aku memulakan langkahku berlari perlahan-lahan. Bagiku, joging ini adalah
satu senaman yang cukup ringan kerana semasa di universiti dulu aku selalu
mengikuti aktiviti-akviti sukan lasak dan program outdoor. Setiap kali hujung
minggu atau cuti, aku bersama rakan-rakan akan mengikuti program
sebegini. Setakat absailing, flying fox, mountain climbing, kayaking dan
sebagainya terlalu sering kulalui. Kakiku masih lagi rasa sengal sikit-sikit
walaupun aku hanya sekadar berlari perlahan-lahan. Ketika aku masuk
pusingan kedua trek joging,seseorang datang berlari di sisiku.
"Dah boleh berlari ke?" Tegurnya.
"Oh..ustazah. Bolehla perlahan-lahan." Jawabku sambil meneruskan larianku.
"Patutlah tubuh Jane cantik dan slim, sport woman rupanya."
"Dah biasa macam ni ustazah. Sejak zaman universiti lagi." Balasku.
Aku berlari bergandingan dengan Ustazah Zuraihah menggenapkan dua
pusingan larianku.
"Dah tak larat saya." Ujarku setelah tamat dua pusingan. Aku
memberhentikan larianku dengan sedikit mengah. Aku mengatur teknik
pernafasan, menarik dan menghembusnya beberapa kali bagi
menghilangkan penat. Begitu juga dengan ustazah.
"Ustazah sorang je ke?" Tanyaku sambil berjalan kearah bangku yang
disediakan. Angin petang bertiup perlahan-lahan menyamankan suasana.
"Dah berapa kali nak kena bagi tahu, jangan panggil ustazah. Panggil Kak Zu
je. Kan lebih mesra." Rungut Ustazah Zuraihah.
"Yeala." Balasku sambil tersenyum. Peluh kecil masih lagi membasahi kulitku.
"Abang Syamsul dok layan Faiz dan Amirah kat taman permainan kanak-
kanak. Jap lagi datang la tu." Beritahunya. Ustazah Zuraihah telah
dikurniakan dua orang cahaya mata yang cukup comel. Faiz berumur 6 tahun
dan Amirah berumur 4 tahun.
"Apahal akak nak jumpa saya? Macam penting je." Soalku. Agak kekok juga
aku untuk memanggilnya akak walaupun jarak umur antara kami beza 10
tahun. Dia baru sahaja berumur 35 tahun. Namun oleh kerana sudah biasa
memanggilnya ustazah, terasa janggal pula dengan panggilan kakak.
"Takde apa yang penting, saja akak nak jumpa Jane. Lagipun dah lama kita
tak jumpakan." Memang, sejak aku dapat kerja kami sangat jarang bertemu.
Kali terakhir bertemu lebih kurang 2 bulan lepas. Sedang kami asyik berbual,
Ustaz Syamsul dan dua orang anaknya datang kearah kami. Kelihatannya dia
kalut melayani karenah dua orang anaknya yang berlari-larian itu.
"Umi!" Jerit Faiz dan Amirah sambil berlari-lari kearah kami.
"Elok-elok, nanti jatuh!" Laung Ustaz Syamsul.
Ustazah Zuraihah mendepakan tangan untuk mendapatkan mereka. Kedua-
dua anak yang comel itu berlari keriangan mendapatkan umi kesayangan
mereka.
"Jane apa khabar?" Tanya Ustaz Syamsul sewaktu mendekati kami.
"Saya baik je. Ustaz macam mana?"
"Alhamdulillah, baik-baik je." Jawab Ustaz Syamsul.
"Alaa.. Jane ni, panggil abang Syamsul cukup la.Tak payah nak panggil ustaz.
Kita ni dah macam satu keluarga." Ujar Ustazah Zuraihah. Permintaan
tersebut membuatkan aku makin serba salah dibuatnya.
"Faiz, Amirah, salam dengan untie Jane!" Arah abang Syamsul. Kedua-kedua
beradik itu berebut-rebut untuk bersalam. Mereka bersalam dan menciumi
tanganku. Tersentuh hatiku dengan telatah mereka yang telah dididik
sebegitu rupa.
Kak Zu mencapai beg sandang yang dibawa oleh Abang Syamsul lalu
mengeluarkan satu bungkusan kecil dan kemudiannya dihulurkannya
kepadaku.
"Apa ni Kak Zu?" Tanyaku teragak-agak untuk mengambilnya.
"Ini sekadar hadiah dari kami untuk Jane." Jawab Abang Syamsul.
"Terima kasih." Ucapku. Aku menerima bungkusan itu dengan penuh tanda
tanya mengenai isi kandungannya.
Sewaktu menghadapi makan malam, tiada lagi perbualan dan gurau senda
antara aku dengan papa dan mama. Selalunya ada saja isu yang
diperbualkan semasa makan bersama. Sekarang ini papa terutamanya lebih
banyak membisu. Kadang-kadang pertanyaanku dijawabnya acuh tidak acuh
sahaja. Malah, ada ketikanya pertanyaanku dibiarkan tidak berjawab.
Rumahku menjadi sunyi tanpa gelak tawa. Hanya aku yang masih tinggal
bersama mama dan papa. Abangku, Calvin telah tinggal bersendirian setelah
berkahwin 4 tahun lalu. Papa dan mama hanya dikurniakan dua orang anak
sahaja. Aku dan abangku, Calvin Tan.
Selepas menolong mama mengemas dapur, aku terus masuk ke bilikku.
Suasana malam yang sunyi menyelubungi Kampung Pulau Melaka ini.
Rumahku yang diperbuat daripada kayu dan batu sederhana besar ini
dikelilingi oleh pokok-pokok kelapa. Bila waktu malam begini, aku selalu saja
terkenang zaman kehidupan kampus ku di Kuala Lumpur. Selalunya kalau
aku boring, aku dan rakan-rakan rumah sewaku akan keluar merewang-
rewang ke kota yang tidak pernah tidur itu. Manakala Bangsar adalah port
yang selalu kami kunjungi. Banyak kelab-kelab yang sesuai dengan citarasa
kami sebagai gadis muda terdapat disana. Pelbagai jenis dan ragam manusia
yang aku dapat lihat di sana termasuklah gadis-gadis dan lelaki melayu yang
turut serta mengunjungi kelab tersebut. Kelihatannya mereka tiada beza
dengan kami kerana aku lihat mereka tanpa segan silu meneguk minuman
keras, berpelukan, bercumbuan dan macam-macam lagi di khalayak ramai.
Pernah aku tanyakan hal itu kepada Kak Zu sewaktu mula-mula kenal dulu.
Dia pernah memberitahuku bahawa agama Islam melarang umatnya minum
minuman yang memabukkan, berkelakuan tidak senonoh, pergaulan bebas
antara lelaki dan perempuan dengan tidak mempunyai batasan.
"Kita tak boleh menilai kebenaran Islam itu melalui perlakuan umatnya
kerana ramai umat Islam sendiri yang tidak memahami ajaran agama Islam.
Seperti juga Buddha, tak semua penganut Buddha benar-benar faham dan
mengamalkan ajaran Buddha. Malah, ada antara mereka yang melakukan
perkara yang dilarang dalam ajaran Buddha. Betul tak?" Jelasnya. Aku
mengangguk tanpa menyetujui penjelasan Kak Zu itu.
"Oleh itu, kebenaran Islam itu perlu dilihat atau dinilai melalui al-Quran dan
ajaran nabi secara keseluruhannya. Orang yang terbaik untuk diikuti dari
segala segi mengenai Islam ialah Nabi Muhammad s.a.w." Tambah Kak Zu
lagi.
Memang benar apa yang dikatakan Kak Zu itu. Jika hendak dibandingkan
ajaran Islam sebagaimana yang diberitahu Kak Zu dengan kelakuan umatnya
yang pernah aku lihat jelas bertentangan ajaran Islam tersebut. Aku pernah
membaca kisah bagaimana Cat Steven atau Yusuf Islam yang terkenal itu.
Beliau memberitahu bahawa terbukanya hati beliau untuk memeluk Islam
apabila mengkaji al-Quran yang telah dihadiahkan seseorang kepadanya.
Beliau menegaskan, jika melihat kepada kelakuan dan akhlak umat Islam
sendiri sudah pasti beliau tidak akan memeluk Islam kerana perlakuan
mereka jelas bertentangan dengan ajaran Islam.
Jam baru menunjukkan pukul 9.00 malam. Terasa juga boring macam ni.
Sejak peristiwa hitam tersebut, aku tidak lagi selalu keluar malam. Waktu
malamku kebanyakkannya kuhabiskan dalam bilikku sahaja. Sama ada aku
membuat kerja pejabat yang kubawa balik ke rumah atau melayari internet
ataupun membaca apa sahaja bahan bacaan. Kulihat bungkusan yang
diberikan Kak Zu dan Abang Syamsul masih lagi belum dibuka berada atas
meja studyku. Aku mencapai bungkusan tersebut dan membukanya berhati-
hati. Aku dapati bungkusan tersebut rupa-rupanya sebuah buku bertajuk
‘Islam Pilihanku‘. Kubaca sepintas lalu sinopsis yang terdapat dikulit
belakang buku tersebut.
"Oo..mengenai pengalaman orang-orang yang memeluk Islam rupanya."
Bisik hatiku.
Aku mulakan pembacaanku bagi mengisi kebosanan malamku. Agak menarik
juga kandungan buku tersebut yang menceritakan pengalaman orang-orang
memeluk agama Islam. Bagaimana tercetusnya keinginan mereka untuk
memeluk Islam, tentangan yang terpaksa mereka hadapi serta perasaan
mereka.
Aku terjaga dari lena apabila jam mejaku berdering pukul 7.00 pagi. Aku
tidak pasti bila aku terlena semalam. Namun, buku yang aku baca semalam
berada atas meja disudut tepi katilku. Aku diselimut kemas bagi mengelak
kesejukan.
"Pasti mama." Selalunya mama yang akan menjengok bilikku sebelum dia
masuk tidur. Dialah yang akan menutup lampu bilikku serta menyelimutkan
aku apabila aku terlena.
Aku bangun bersiap-siap untuk pergi kerja. Hari ini aku ada appointment
dengan wakil Syarikat Syabab Corporation, sebuah syarikat pengimport
kenderaan yang semakin meningkat maju di negeri ini. Aku mengenakan
singlet putih dibaluti dengan kot kelabu dan dipadankan dengan seluar
panjang kelabu sebagai satu suit. Dengan sedikit makeup yang nipis, aku
menggayakan penampilanku di hadapan cermin solek dalam bilikku. Rasa
lebih yakin dan berketerampilan untuk bertemu dengan client hari ini.
Selepas lunch, aku masuk ofis dengan perasaan yang penuh kegembiraan.
Pertemuan dengan wakil Syabab Corperation tadi nampaknya mempunyai
peluang yang agak cerah. Pada dasarnya, mereka telah bersetuju untuk
mendapatkan khidmat syarikatku bagi mengendalikan pengimportan kereta
syarikat mereka. Aku harap, urusan tersebut akan ada kesinambungan
sehingga termeterainya perjanjian antara kedua-dua syarikat. Aku masuk
pejabatku untuk menyiapkan laporan mengenai pertemuanku tadi. Aku perlu
menyerahkan laporan tersebut kepada pengarah syarikat untuk diteliti dan
tindakan lanjutnya.
Sedang aku asyik menyiapkan repot, telefon dalam bilikku berdering minta
dijawab.
"Miss Jane, ada orang nak cakap ditalian satu." Beritahu operator.
"Siapa?" Soalku.
"Dia hanya memperkenalkan diri sebagai kawan baik Miss Jane je." Jawab
operator yang ramah itu.
"Ok. Sambungkan saya." Arahku.
"Hello!" Sapaku.
"Hello!" Ulangiku apabila desus nafas sahaja yang kedengaran dihujung
talian.
"Hello!" Aku mula naik geram kerana seolah-olah pemanggil tersebut cuba
hendak mempermain-mainkan aku.
"Hello! Takkan dah nak marah sayang." Akhirnya suara kedengaran. Aku
cuba mengamati suara tersebut sepertinya aku pernah mengenali pemilik
suara tersebut.
"Siapa ni?" Tanyaku inginkan kepastian walaupun telah terlintas satu nama
dalam benak fikiranku.
"Hai, takkan you dah tak kenal kekasih lama you!" Jawab suara tersebut.
"Micheal!" Bisik hatiku. Memang tepat sangkaanku bahawa itu adalah suara
Micheal.
"Apa lagi yang engkau nak daripada aku hah?!" Aku mula hilang sabar.
Nampaknya si Micheal ni tidak faham bahasa. Dia tidak putus asa, malah
terus cuba untuk meraih kembali cintaku setelah apa yang dia lakukan
padaku.
"Janganlah cepat marah sayang. You tak rindu kat I ke? I rindula kemesraan
you dulu." Micheal terus bermain dengan kata-kata.
"Persetankan dengan rindu engkau tu!" Jeritku lalu menghempas telefon tu.
Hatiku jadi panas tiba-tiba. Penghawa dingin bilikku gagal menyejukkan
kehangatan hatiku pada Micheal. Dia selalu sahaja mengganggu ketenangan
hidupku. Memang aku tahu perangai Micheal. Putus asa tidak pernah wujud
dalam kamus hidupnya. Dia akan terus berusaha walau dengan apa cara
sekalipun demi untuk mendapatkan apa yang diinginkannya.
Handsetku berbunyi menandakan aku menerima sistem pesanan ringkas
atau sms.
"Jgn ingat kau blh lari dari aku Jane!" Mesej ringkas yang berbau ugutan itu
telah dihantar oleh Micheal. Terbit rasa gerun dan takut dalam hatiku kerana
aku tahu sejauh mana kemampuan Micheal itu.Kerisauanku ini ada asasnya
kerana aku pernah melalui masa kemesraan bersama Micheal suatu ketika
dulu.
Selepas tamat waktu kerja, aku tidak terus pulang ke rumah. Sebaliknya aku
memandu kereta Satria Neo hitamku kearah pasaraya Tesco, sebuah
pasaraya yang terbesar di Kelantan. Letaknya di atas perlembahan Sungai
Kelantan di sebelah Kampung Sireh. Ia merupakan antara mercu tanda
kemajuan Kelantan yang terbaru. Aku bercadang untuk membeli beberapa
pakaian baru. Kak Zu menasihatiku supaya memakai pakaian yang lebih
sopan dan tidak seksi. Mengikut kata Kak Zu, memakai pakaian seksi bukan
sahaja nampak kurang sopan tetapi ia juga boleh menarik perhatian orang-
orang yang suka mengambil kesempatan dan berniat jahat seperti perogol
dan pencabul kehormatan. Dengan berpakaian sopan, sekurang-kurangnya
kita telah menutup satu pintu bahaya ke atas kita. Walaupun agak sukar
untuk aku mengubah penampilanku kerana sudah terbiasa begitu sejak
sekian lama, namun aku tetap akan cuba sedaya mampuku.
Aku membelek-membelek blaus dan skirt labuh di bahagian ladies. Aku
memilih dua helai blaus yang bertali serta boleh diikat di belakang. Satu
bewarna hitam berbunga putih dan satu lagi warna pink kosong. Aku juga
mengambil dua helai skirt labuh sampai buku lali. Satu berwarna kuning air
dan satu lagi warna hitam. Aku juga mengambil sehelai knit top atau singlet
untuk dipakai semasa berada di rumah.Aku menuju ke kaunter bayaran.
Ketika itu pengunjung tidak berapa ramai kerana sudah hampir waktu
maghrib. Hanya dua tiga orang sahaja yang sedang beratur di setiap lorong
kaunter bayaran yang berjumlah 15 kaunter itu. Aku tidak perlu untuk
beratur lama untuk membayar pakaian yang kuambil itu.
Sewaktu aku melangkah keluar dari pasaraya Tesco itu, senja telah pun
berlabuh. Warna kemerahan di ufuk langit menghiasi keindahan alam. Hari
mula gelap dan pengunjung juga telah berkurangan. Aku menghampiri
keretaku di tempat letak kereta di bahagian bawah pusat membeli belah itu.
Sedang aku cuba memasukkan kunci pada pintu kereta, tiba-tiba aku dipeluk
dari belakang. Barang-barang yang kubeli serta kunci kereta tercampak atas
lantai.
"Apa ni? Lepaskan aku!" Jeritku sambil meronta.
"Mana kau nak lari ah!" Jerkah Micheal sambil ketawa. Dua konconya
memegangku.
"Apa yang kau nak lagi?!"
"Aku nak semua yang ada pada kau!" Jerkah Micheal sambil mencengkam
leherku. Aku meronta-ronta kelemasan. Namun semakin kuat aku meronta,
semakin kuat genggaman kedua-dua konco Micheal itu. Micheal bersama
dua orang konconya itu ketawa melihat aku tidak mampu melawan.
Namun dengan tiba-tiba satu tendangan singgah ke dada Micheal
menyebabkan dia melayah ke belakang. Kemudian kedua-dua konconya
yang memegangku tercampak ke tepi. Aku terpinga-pinga sebab kelibat
siapa tidak dapat ku lihat kerana kepantasan dan ketangkasannya.
"Abang Syamsul!" Bisik hatiku apabila dia berdiri di sebelah ku.
"Jangan cuba mengambil kesempatan keatas kaum yang lemah." Abang
Syamsul memberikan amaran. Aku mendekatinya dan berlindung
dibelakangnya.
"Jangan campur urusan kami, kalau kau tak nak menyesal." Balas Micheal
tanpa memperdulikan amaran Abang Syamsul.
Aku memegang lengan Abang Syamsul dan merapatkan badanku pada
belakangnya kerana aku ketakutan sewaktu melihat kedua-dua orang
suruhan Micheal mengeluarkan pisau dari saku seluar mereka.
"Jane jangan takut, InsyaAllah kita selamat." Ujar Abang Syamsul seolah-olah
mengetahui isi hatiku.
Salah seorang daripada mereka menerkam ke arah abang Syamsul dengan
pisau terhunus. Secara pantas abang Syamsul melarikan tubuhnya ke kanan
sambil menepis tangan konco Micheal itu dengan tangan kirinya.
Kemudiannya abang Syamsul susuli sepakan padu ke dada lelaki itu
menyebabkan dia terundur ke belakang dan jatuh tersungkur. Abang
Syamsul hanya berdiri tegap dalam keadaan siap siaga menanti sebarang
kemungkinan serangan. Melihat salah seorang daripada mereka tertiarap,
seorang lagi masuk sambil melibas pisau ditangannya ke kiri dan ke kanan.
Aku yang berlindung dibelakang abang Syamsul rasa seram sejuk dan gerun.
Tidak dapat kubayangkan sekiranya pisau itu merobek perut kami, pastinya
akan terburai segala isi perut kami dibuatnya. Abang Syamsul mengelak ke
kiri sambil menangkap tangan kanan penyerang itu lalu memulasnya
kebelakang. Kemudian dia menyepak kaki kanan penyerang itu
menyebabkan lelaki itu jatuh terlentang dan disusuli dengan sepakan
kemuka lelaki tersebut. Aku lihat ada darah yang tersembur keluar dari
mulut dan hidung lelaki itu.
Micheal kelihatan tergamam apabila kedua-dua konconya itu tidak dapat
mengatasi ketangkasan abang Syamsul.Walaupun begitu, dia cuba untuk
mengawal emosinya agar tidak menunjukkan perasaannya kepada kami.
Dalam ketika itu, kedua-dua konconya bangun dengan kepayahan sambil
mengesat darah yang mengalir dari mulut dan hidung mereka dengan
lengan.
"Cis!" Sumpah salah seorang daripada mereka sambil meludah air liur yang
bercampur dengan warna kemerahan.
"Yeah!!" Secara tiba-tiba, Micheal dan dua orang konconya itu melancarkan
serangan secara serentak ke arah kami. Aku yang terkejut terus berlindung
dibelakang Abang Syamsul. Aku terdengar Abang Syamsul seperti
membacakan sesuatu.
Aku terkejut dan tergemam apabila melihat Micheal dan dua orang konconya
tiba-tiba terpelanting ke belakang tanpa sempat menghampiri kami. Abang
Syamsul pula kelihatan tenang dengan kedudukan bersedianya dari tadi.
Ketiga-tiga lelaki itu terlentang atas lantai tempat parking kereta.
"Jom, cepat masuk kereta! Pandu ke balai polis!" Arah Abang Syamsul sambil
mengheret tanganku ke arah kereta. Dengan pantas aku membuka pintu dan
masuk ke dalam Satria Neo ku. Aku memandang ke arah Abang Syamsul
dengan perasaan cemas.
"Jane jangan risau, abang ikut dari belakang." Dia seperti tahu gelojak
perasaanku. Aku lihat dia berlari pantas ke aras pacuan empat rodanya.
Aku terus memecut Satriaku keluar dari kompleks membeli belah di ikuti oleh
Abang Syamsul melalui Jalan Hamzah kearah Jalan Ibrahim untuk ke IPD Kota
Bharu. Ketika itu jalan agak lengang sedikit. Dalam tergesa-gesa parkir
kereta di hadapan Affin Islamic Bank kerana IPD Kota Bharu berada di
seberang jalan. Abang Syamsul memarkir jepnya disebelah keretaku. Kami
kemudiannya bersama-sama berlari melintas jalan masuk ke IPD Kota Bharu.
"Assalamualaikum encik! Kami nak buat laporan polis." Beritahu Abang
Syamsul kepada anggota polis yang bertugas sewaktu kami melangkah
masuk ke pejabat pertanyaaan IPD Kota Bharu.
"Sila duduk encik!"
"Laporan polis mengenai apa?" Soal salah seorang anggota polis yang
bertugas.
"Mengenai serangan bersenjata." Jawab Abang Syamsul.
"Boleh berikan kad pengenalan." Pinta seorang lagi anggota polis. Aku dan
Abang Syamsul menghulurkan kad pengenalan kami.
"Apa butir-butir laporannya?"
Aku menceritakan kepada anggota polis tersebut apa yang telah
terjadi,begitu juga Abang Syamsul. Abang Syamsul telah menghubungi Kak
Zu untuk memberitahu perkara tersebut. Aku pula telah menelefon papa
supaya kedua orang tuaku tidak risau dengan kelewatanku. Selang lebih
kurang 15 minit kemudian, Kak Zu melangkah masuk ke pejabat pertanyaan
IPD Kota Bharu itu.
"Kak Zu!" Aku bangun menerpa Kak Zu dan memeluknya erat.
"Jane jangan risau." Pujuk Kak Zu untuk menenangkan aku sambil
memelukku erat. Gejolak jiwaku sedikit tenang dengan belaian kasih itu.
"Zu tolong temankan Jane kejap. Abang nak solat maghrib dulu." Kak Zu
mengangguk tanda akur dengan permintaaan Abang Syamsul itu. Kami
mungkin perlu menunggu sedikit masa lagi kerana pegawai penyiasat akan
merekodkan keterangan kami berdua di bawah Seksyen 112 Kanun Acara
Jenayah. Pegawai Penyiasat akan merekodkan keterangan kami dengan lebih
terperinci lagi berbanding dengan laporan polis. Laporan polis yang dibuat
hanyalah sekadar laporan awal bagi pihak polis membuka kertas siasatan
berkaitan dengan kejadian itu.
Aku sampai dirumah lebih kurang pukul 10.30 malam. Setelah selesai urusan
membuat laporan polis tadi, kami singgah makan di Dataran Usahawan yang
terletak di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV. Mungkin disebabkan
terlalu lama berada di IPD Kota Bharu menyebabkan perut kami minta
segera di isi.
Papa dan mama menyambutku ditangga. Setelah parkir kereta, aku berlari
keluar dan terus memeluk mama yang berada di tangga rumah. Papa
memandang Abang Syamsul dan Kak Zu yang mengekoriku dengan kereta
masing-masing penuh curiga. Aku memeluk mama sambil menangis terisak-
isak. Mama merangkulku erat walaupun dia masih tertanya-tanya apa
sebenarnya yang telah berlaku.
"Kenapa ni?"Tanya mama sambil merangkul tubuhku ke ruang tamu.
"Jane takut ma." Jelasku sambil menangis.
Mama terus memeluk tubuhku erat. Mujur juga Abang Syamsul berkebetulan
berada disitu. Kalau tidak entah apa yang akan terjadi padaku. Mungkin aku
akan jadi mangsa kerakusan nafsu Michele buat kali kedua. Atau mungkin
juga hanya jasadku sahaja yang tinggal kerana dirobek pisau konco-konco
Micheal itu. Aku memejamkan mata rapat-rapat tatkala membayangkan apa
yang akan berlaku padaku sekiranya tanpa pertolongan Abang Syamsul.
"Siapa yang punya angkara ni?!" Soal papa bernada dendam sambil
memandang kearah Abang Syamsul dan Kak Zu. Aku tahu papa tidak berapa
suka pada Abang Syamsul dan Kak Zu kerana sangka papa, mereka
berdualah punca aku berhasrat untuk memeluk Islam. Prasangka tersebut
telah menutup pandangan dan hati papa mengenai jasa kedua-dua insan
mulia itu yang telah menyelamatkan aku semasa aku terlibat dalam
kemalangan hampir meragut nyawaku suatu ketika dulu. Dan hari ini, sekali
lagi insan mulia itu telah menyelamatkan aku dari kerakusan dan kejahatan
Micheal.
"Micheal yang buat onar uncle." Jawab Abang Syamsul.
"Apa pula yang Micheal buat?!" Tanya papa sedikit terkejut. Mungkin dia
tidak pernah menyangka bahawa Micheal akan terus berusaha untuk
mendapatkan aku kembali.
Setelah naik keatas rumah, Abang Syamsul lalu menceritakan dan
menjelaskan apa yang sebenarnya telah berlaku pada papa dan mama.
Sesekali papa dan mama mengeleng-ngeleng kepala mendengar kelakuan
jahat Micheal.
"Uncle langsung tak sangka Micheal akan bertindak sejauh itu." Ujar papa.
"Dia mungkin akan terus berusaha selagi Jane berada masih belum dalam
genggamannya." Sampuk Abang Syamsul.
"Kami ucapkan terima kasih pada Syamsul kerana telah menyelamatkan Jane
dari Micheal. Jasa baik Syamsul itu tidak dapat balas." Aku dengar suara
papa ada sedikit getar hujungnya. Pada pendapatku, itulah antara kata-kata
papa yang paling ikhlas.
"Saya ucapan jutaan terima kasih diatas budi abang menyelamatkan saya
tadi. Kalau abang tak ada, mungkin saya dah jadi korban Micheal buat kali
kedua." Ucapku pada Abang Syamsul sewaktu dia mula melangkah turun
dari rumahku. Kalau ikutkan hati, ingin aku memeluknya sebagai tanda
penghargaan yang tidak terhingga. Namun bila memikirkan ianya tidak
sopan mengikut kaca mata Islam, aku batalkan sahaja niatku itu.
"Bersyukurlah Jane. Dah tugas abang antara kita sesama manusia menolong
antara satu sama lain yang dalam kesusahan. Mungkin ini hari Jane, esok
lusa mungkin giliran abang pulak untuk Jane tolong." Jawabnya.
"Sudahlah Jane, kitakan dah macam keluarga. Masa Jane susah, sudah
kewajipan kami menolong." Sampuk Kak Zu sambil memelukku ketika
pasangan tersebut hendak pulang. Hanya Tuhan yang tahu betapa
bersyukurnya aku dapat mengenali pasangan ini. Mereka tidak pernah terasa
berat untuk memberikan pertolongan.
Papa berjabat tangan lantas memeluk Abang Syamsul sebelum lelaki
budiman itu masuk kedalam jepnya. Amat jarang papa memeluk seseorang
kecuali orang tersebut amat disanjung dan dikasihi dalam hidupnya. Mungkin
papa sudah mula nampak kebaikan, ketulusan dan keikhlasan Abang
Syamsul itu.
Jam telah menunjukkan pukul 11.00 malam sewaktu Abang Syamsul dan Kak
Zu pulang. Aku masuk ke bilik air untuk mandi. Badan rasa macam melekit
dan kurang selesa. Terasa sejuk dan nyaman sewaktu air mencurah
menyelusuri segenap tubuhku. Aku membiarkan air paip membelai tubuhku
buat seketika sehingga tubuhku kembali segar. Setelah selesai mandi dan
mengelap tubuh, aku mengenakan gaun tidur satin. Aku rasa kurang enak
badan sedikit. Mungkin disebabkan perasaanku masih lagi dikuasai gerun
dan takut bila memikirkan kejadian petang tadi.
Pada mulanya aku bercadang hendak meneruskan pembacaan buku yang
dihadiahkan Kak Zu. Tapi badanku rasa lain macam, seram sejuk sahaja. Aku
berbaring atas katil dan menyelimut tubuhku.Aku tidak tahu pukul berapa
aku terlena. Aku hanya tersedar apabila jam loceng berbunyi tepat pukul
7.00 pagi. Walau bagaimanapun terasa berat hendak bangun. Tubuhku
terasa panas. Aku membatalkan hasratku untuk bangun.
"Nampaknya kena minta cuti hari ni." Bisik hatiku. Aku sambung kembali
tidurku buat seketika.
"Jane!" Tidurku terganggu seketika apabila aku terdengar ketukan pintu dan
suara orang memanggil namaku. Aku lihat jam mejaku menunjukkan pukul
10.00 pagi.
"Jane!" Sekali lagi namaku diseru.
"Masukla ma, pintu tak berkunci." Jawabku. Mama membuka pintu bilikku
dan melihat kearahku dengan penuh hairan.
"Jane tak pergi kerja ke" Tanya mama.
"Tak ma. Jane rasa tak sedap badan la."
"Panasnya badan Jane!" Mama bersuara dengan sedikit terkejut tatkala dia
meletakkan tangan kanannya ke dahiku.
"Jane rehat dulu. Tengahari nanti kita pergi klinik." Sambung mama lagi.
Aku rasa terlalu letih dan penat. Usahkan hendak jawab pertanyaan mama,
hendak membuka kelopak mata pun hampir tidak mampu. Tubuhku terasa
terlalu lemah dan tidak berdaya. Walaupun mama memberitahu bahawa
badanku panas, namun aku rasa terlalu sejuk sehingga ke tulang sum-sum.
Sebab itulah aku menyelimuti tubuhku dengan selimut yang tebal. Aku tidak
sedar bilakah mama meninggalkan aku sendirian dalam bilikku itu kerana
aku terlelap semula.
Sedang aku asyik, tiba-tiba aku terdengar suara orang mengilai dengan kuat
sekali. Aku melihat sekeliling, mencari dari manakah datangnya suara
tersebut. Namun begitu, suasana kelam dan berkabus telah menghalang
pandanganku. Suara tersebut terus kedengaran menguasai suasana.
"Siapa tu?!" Jeritku sedikit ketakutan.
"Haa..Haa..Haa!!" Suara tersebut terus ketawa. Pandanganku gagal
mengesan di manakah pemilik suara tersebut.
Dalam ketika itu, aku seperti merasakan seperti hembusan nafas pada
telinga kananku. Secara refleks, aku terus berpusing ke belakang.
"Ma!!" Aku menjerit. Namun jeritanku itu seolah tersangkut pada kerongkong
sahaja. Betapa terkejutnya apabila aku melihat satu lembaga berwajah
hodoh, berkepala botak dan besar berdiri hanya lebih kurang dua kaki
dariku. Aku melangkah kebelakang menjauhi lembaga itu. Aku dapat
merasakan hembusan nafasnya yang busuk itu.
"Haa..Haa..!! Mana lagi mau lari?" Seorang lelaki muncul dari belakang
makhluk hodoh itu. Lelaki berkepala botak berpakaian sami itu ketawa
tersengih-sengih kearahku.
"Siapa engkau hah!" Jeritku ketakutan. Aku terus cuba melangkah
menjauhkan diri dari mereka. Tetapi kedua-dua kakiku seolah-olah terpaku
atau terbenam dalam bumi. Puas aku mencuba, namun kakiku tetap tidak
dapat berganjak.
"Siapa kami tak penting. Tapi kau akan tahu sejauh mana ego kau dapat
bertahan." Jawab lelaki berpakaian sami itu sambil ketawa berdekah-dekah.
Ketika itu juga, makhluk hodoh menjelirkan lidah kearahku. Aku cuba
mengelak tetapi seluruh tubuhku seperti kaku dan lumpuh.
"Jangan!!"Jeritku apabila lidah itu menjilat seluruh mukaku dan diikuti seluruh
tubuhku. Oleh kerana terlalu takut, aku pengsan serta-merta.
"Jane! Jane!" Satu suara memanggil namaku. Aku terjaga dari pengsanku.
Aku tercari-cari suara tersebut tetapi suasana sekeliling yang gelap
menghalang pandanganku untuk melihat. Aku terkejut dan ketakutan apabila
mendapati diriku dibungkus seperti orang mati. Cuma mukaku sahaja lagi
yang belum ditutup.
"Lepaskan aku!" Jeritku.
"Kami akan tanam engkau hidup-hidup!" Laung lelaki berpakaian sami itu
sambil ketawa mengejek kearahku. Makhluk berwajah hodoh yang berada
disamping lelaki itu menjelirkan lidahnya ke arahku bersama lelehan air liur
busuk yang memualkan.
"Engkau sombong dengan aku ek!" Tiba-tiba keluar seorang lagi lelaki antara
kedua-dua itu. Suara itu macam pernah aku dengar. Dalam kesamaran itu
aku lihat Micheal tersenyum mengejek kearahku.
"Micheal!" Bisikku.
"Engkau tak akan dapat lari sayang." Ejek Micheal.
"Lepaskan aku Micheal." Aku merayu.
"Sekarang takde siapa yang boleh tolong kau!" Gelak ketiga-ketiga mahkluk
itu.
Pada ketika itu, mahkluk yang berwajah hodoh itu menghampiriku. Dia
mendepangkan tangannya yang berkuku panjang dan tajam itu untuk
mencekik leherku.
"Lepaskan aku! Lepaskan aku!" Aku terus menjerit memohon simpati
mereka. Aku tidak tahu hendak minta tolong pada siapa kerana suara aku
seolah-olah tersekat ditenggorok sahaja.
Lelaki sami dan Micheal hanya mentertawakan aku melihat aku ketakutan
begitu. Mahkluk hodoh itu terus mencekik leherku. Kukunya yang tajam dan
panjang itu seperti tertusuk masuk kedalam leherku.
"Tolong!!!" Jeritku kelemasan. Mereka terus mentertawakan aku.
"Lepaskan dia!" Satu suara bergema memenuhi ruang angkasa. Lelaki sami,
Micheal dan mahkluk berwajah hodoh itu kelihatan terkejut.
"Siapa engkau!" Tanya lelaki sami itu sambil melilau mencari dari manakah
datangnya suara tersebut.
"Siapa aku tak penting. Yang penting, lepaskan gadis itu sekarang!" Arah
suara tersebut.
"Siapa kau nak memberi arahan?! Kalau aku tak nak lepaskan dia, apa yang
kau nak buat?" Tanya lelaki sami itu sambil mengejek.
"Sekiranya kau engkar, akan ku bakar kalian dengan ayat-ayat Allah!" Ketika
itu muncul satu cahaya dari balik kabus dan kegelapan alam. Seorang lelaki
berjubah dan berserban mempunyai wajah yang bercahaya.
"Abang Syamsul!" Aku hampir menjerit kegembiraan sewaktu melihat
kemunculan Abang Syamsul itu. Aku tahu dia adalah utusan yang datang
untuk menyelamatkan aku.
"Kenapa kau selalu masuk campur urusan aku hah!" Sergah Micheal yang
berada disisi lelaki sami itu.
"Tugasku adalah untuk menghalang kejahatan kau!"
"Jangan fikir kau mampu untuk melawan kami!" Serentak dengan itu lelaki
sami itu mengarahkan mahkluk yang berwajah hodoh itu menerkam dan
menyerang Abang Syamsul. Aku terdengar Abang Syamsul membacakan
sesuatu yang tidak kufahami. Tiba-tiba makhluk yang berwajah hodoh itu
seperti terpempan pada dinding lalu terpelanting ke belakang.
"Kamu tak mampu melawan ayat-ayat Allah!" Tegas Abang Syamsul. Dia
hanya bersedia dalam keadaan berdiri tegak dengan kedua-dua tangannya
memeluk tubuh.
Makhluk berwajah hodoh itu bangun dengan penuh kepayahan dan
menerkam kearah Abang Syamsul namun sekali lagi dia seolah-olah
terpampan pada dinding lalu terpelanting. Kali ini Abang Syamsul mengambil
langkah untuk menyerang pula. Aku dengar dia membacakan sesuatu.
"Aahhggg...!!" Mahkluk berwajah hodoh itu melolong apabila tiba-tiba sahaja
api yang entah dari mana datangnya mula membakar dirinya. Lelaki sami
dan Micheal terkejut melihat apa yang dialami oleh makhluk tersebut.
Mereka ingin cuba membantu tetapi api yang membakar makhluk tersebut
begitu marak. Manakala mahkhluk tersebut menggelupur kepanasan
terbakar sambil melolong kesakitan dan akhirnya tiada apa yang tinggal dari
makhluk kecuali hanya debu.
"Celaka!" Sumpah sami itu lalu melepaskan jurus bola berapi ke arah Abang
Syamsul. Abang Syamsul mengelak ke kiri menyebabkan bola api itu
tersasar.
Aku lihat Abang Syamsul mengisar-ngisar tumit kaki kanannya ke tanah.
Manakala ibu jari kanannya ditekankan ke telapak tangan kiri sambil
membacakan sesuatu yang tidak kupasti butirnya. Sami itu cuba mengambil
peluang di atas kekhusyukkan Abang Syamsul untuk mengatur serangan
kedua. Kali ini sami itu melepaskan dua bola api kearah Abang Syamsul
seperti tembakan meriam. Namun dengan sedikit gerakan seperti meliut,
sekali lagi kedua-dua bola api itu tersasar daripada mengenai Abang
Syamsul.
"Cis!!" Sumpah kedua-dua lelaki itu sambil meludah. Aku lihat Abang
Syamsul masih lagi dalam keadaan seperti tadi. Ibu jari kanan menekan
tapak tangan kiri manakala tumit kaki kanannya dikisar-kisar pada tanah.
"Aaahhrrgg!!!" Tidak semena-mena sami itu bertempik kuat. Dia terduduk ke
tanah sambil tangan kanannya memegang kepala dan tangan kirinya
menekan dada seolah-olah sedang menahan kesakitan yang teramat sangat.
"Aku dah cakap, tapi kamu degil. Sekarang rasakan kehebatan ayat-ayat
Allah ini." Abang Syamsul terus membacakan sesuatu dalam posisinya
seperti tadi menyebabkan sami itu menggelupur sambil menjerit.
"Aku mengaku kalah! Lepaskan aku!" Sami itu merayu dalam kesakitan.
"Aku tak berurusan dengan syaitan." Tegas Abang Syamsul lalu aku lihat
mulutnya terkumat-kumit membaca sesuatu. Micheal ketakutan dan cuba
mencari perlindungan.
"Kamu seharusnya diberikan pengajaran kerana berurusan dengan syaitan
untuk merosakkan manusia!" Dengan tiba-tiba pancaran kilat menyambar
sami dan Micheal menyebabkan mereka hangus terbakar sekelip mata.
"Jane tak apa-apa?" Tanya Abang Syamsul sewaktu dia menghampiriku yang
terbujur berbungkus atas tanah. Dia membuka ikatan yang mengikat dan
membalut tubuhku.
"Saya tak apa-apa." Jelasku yang masih lagi ketakutan sambil menolong
Abang Syamsul merungkaikan ikatan pada tubuhku.
Apabila terungkai sahaja kesemua ikatan pada tubuhku, aku terus memeluk
Abang Syamsul kerana terlalu gembira dilepaskan dari ketakutan.
"Terima kasih abang." Ucapku ikhlas sewaktu aku memeluk tubuh Abang
Syamsul. Dia kelihatan tergamam dan kaku dengan tindakanku itu.
"Jom balik! Semua orang sedang menunggu Jane." Jelas Abang Syamsul
ketika dia merungkaikan pelukanku. Aku mengangguk tanda patuh. Dia
mengarahkan aku duduk sambil melunjurkan kedua-dua kakiku.
"Pejam mata dan tenangkan fikiran." Arah Abang Syamsul padaku. Dia
membacakan sesuatu dan menghembuskan ke ubun-ubunku.
"Sesungguhnya tiada tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh
Allah." Bisiknya ditelinga kananku.
"Tiada daya mahupun upaya kecuali dengan izin Allah, tuhan Yang Maha
Tinggi dan Maha Besar KekuasaanNya." Dibisikkan pula ketelinga kiriku.
Itulah kalimah terakhir yang aku dengar sebelum aku tidak sedarkan diri.
"Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Tiada daya
mahupun upaya kecuali dengan izin Allah yang Maha Tinggi dan Maha Besar
kekuasaanNya. Bangunlah Jane! Bukalah matamu." Itulah kata-kata pertama
yang aku dengar setelah sedar dari pengsan. Perlahan-lahan aku membuka
kedua-dua kelopak mataku.
Aku dapati diriku terbaring diatas katil hospital dan dikerumuni oleh keluarga
dan sanak-saudaraku termasuk Abang Syamsul dan Kak Zu.
"Segala puja dan puji buat Allah, tuhan yang mentadbir sekalian alam." Ucap
Abang Syamsul setelah melihat aku membuka mata sambil tersenyum
kearahku.
"Jane!" Mama terus memelukku sambil menangis terharu. Aku tidak tahu
kenapa mama begitu bersedih sekali. Aku hanya sekadar mengalami mimpi
buruk sahaja dan kenapa perlunya sampai sanak saudaraku juga turut hadir
sama. Kalau pun aku sakit, mungkin hanya sekadar demam biasa sahaja dan
bukannya sakit tenat.
"Mama, saya lapar dan dahaga la." Tiba-tiba sahaja tekakku rasa kering dan
perutku bergelombang minta diisi.
Apabila waktu melawat telah tamat, sanak-saudaraku mula beransur pulang.
Apatah lagi apabila keadaanku semakin sembuh walaupun masih tidak
bermaya. Hanya tinggal keluargaku dan Abang Syamsul serta Kak Zu saja.
Daripada cerita mama, rupa-rupanya aku telah tidak sedarkan diri hampir
seminggu lamanya. Pelbagai cara telah diusahakan termasuklah perubatan
moden di hospital. Namun doktor gagal mengesan sebarang penyakit. Malah
mengikut pemeriksaan doktor, aku tidak menghadapi sebarang penyakit dan
sistem tubuhku adalah normal. Aku telah diletakkan dibawah pengawasan
dan pemerhatian pasukan pakar khas di HUSM Kubang Kerian bagi melihat
perkembanganku. Dalam ketika itulah, Abang Syamsul menawarkan
khidmatnya apabila mengikut pemerhatiannya aku sebenar telah diculik oleh
sesuatu di alam bawah sedar. Pada mulanya papa dan mama agak keberatan
untuk membenarkan Abang Syamsul meneruskan usahanya. Namun setelah
diyakinkan oleh Abang Syamsul bahawa usahanya itu tidak akan merugikan
atau memudaratkan sesiapa. Rupa-rupanya sangkaan Abang Syamsul itu
betul dan usahanya itu berhasil. Patutlah aku dahaga dan lapar sangat,
hampir seminggu aku tidak sedarkan diri.
"Terima kasih abang." Ucapku setelah mama habis menceritakan apa
sebenarnya telah berlaku.
"Dah jadi tanggungjawab abang sesama manusia untuk membantu yang
dalam kesusahan." Jelas Abang Syamsul.
"Jane rehatlah dulu. Jane pun masih penat dan tak sihat sangat lagi tu."
Nasihat Kak Zu.
Ketika itu Abang Syamsul mengelilingi katilku dalam bilik kelas 1 itu
beberapa kali sambil membacakan sesuatu. Papa,mama dan abangku Calvin
sekadar melihat sahaja.
"Jane rehatlah. InsyaAllah, tak ada apa-apa yang akan ganggu Jane lagi."
Ujar Abang Syamsul. Mereka bersalaman sebelum meninggalkan aku
ditemani mama. Sebelum berpisah, papa memeluk Abang Syamsul erat.
Aku menghantar mereka berdua dengan pandangan. Dua insan yang telah
banyak berbudi padaku. Kini semakin kuat bertugu hasrat hatiku. Apabila
kesihatanku mengizinkan nanti, akan kucuba realisasikannya.
Walaupun aku telah sedar, namun pihak HUSM masih lagi tidak
membenarkan aku pulang. Mereka kata, masih perlu buat pemerhatian ke
atasku untuk tempoh 24 jam lagi. Sekiranya tidak ada apa-apa yang berlaku
dalam tempoh tersebut, aku akan dibenarkan keluar. Mengikut Dr. Abd.
Rashid, ketua pasukan doktor pakar yang merawatku, apa yang berlaku
keatasku merupakan antara kes yang pelik dalam sejarah perubatan HUSM.
Jadi mereka perlukan maklumat lanjut bagi rekod hospital serta bagi tujuan
kajian mereka nanti.
Buat kesekian kalinya mama menemani aku dalam wad. Dia telah menemani
aku di HUSM sejak aku mula-mula dimasuk wad. Tiada apa yang menarik dan
menyeronokkan berada dalam wad. Malah kebosanan merupakan peneman
utama aku disana. Siaran tv tidak sedikit pun menarik perhatianku. Mungkin
oleh kerana terlalu letih dan penat, aku terlena.
Pagi ini aku terjaga awal dari lenaku. Aku bangkit sewaktu azan subuh
dilaungkan dari Masjid Sultan Ismail Petra yang jaraknya tidak berapa jauh
dari HUSM. Kubiarkan mama terus melayani mimpinya yang tidur atas kerusi
malas dalam bilikku itu. Aku berdiri di beranda sambil menghirup udara pagi
yang masih segar itu. Dari tingkat 10 ini aku dapat lihat masjid dan kawasan
sekitar HUSM. Jalan raya masih belum sibuk dengan kenderaan. Aku
mengenakan zip pada baju sejukku bagi mengurangkan rasa sejuk angin
pagi yang agak kuat berhembus itu. Aku melontar pandanganku ke arah
menara masjid. Suara imam membacakan ayat-ayat terasa seperti menusuk
kalbuku. Ia mengingatkan aku pada mimpiku semalam.
Aku didatangi seorang lelaki yang memakai jubah putih dan berkopiah.
Wajahnya tidak berapa jelas dalam pandanganku namun ia bercahaya.
"Adakah kamu benar-benar nak masuk Islam?" Soal lelaki tersebut padaku.
" Benar.." Jawabku sedikit gugup.
"Adakah kamu yakin Islam itu benar?" Soalnya lagi.
"Ya."
"Adakah kamu tetap akan memeluk Islam walaupun kamu akan mendapat
tentangan?"
"Aku tetap akan peluk Islam." Jawabku tegas.
"Kiranya benar begitu, ku doakan kamu agar menjadi seorang muslimah
yang solehah. Semoga Allah merahmati hidupmu selama-lamanya." Selepas
dia menghabiskan kata-katanya, lelaki itu terus hilang dari pandangan.
Lamunan mimpiku tamat apabila seorang petugas membawa masuk sarapan
pagi buatku. Dia berpesan supaya bersiap kerana doktor akan masuk
melawatku lebih kurang pukul 8.30 pagi. Aku kemudiannya mencapai tuala
lalu masuk ke bilik air untuk mandi. Aku membiarkan air paip terus mengaliri
segenap pelusuk tubuhku biar kesejukan air menghilangkan kepanasan
beban yang kutanggung ini.
Selepas pasukan doktor masuk dan membuat pemeriksaan ke atasku,
mereka memberikan kebenaran padaku untuk pulang ke rumah setelah
berpuas hati mengenai perkembangan kesihatanku. Walaupun begitu, aku
perlu datang untuk pemeriksaan secara berkala selepas ini.
Sedang aku membantu mama mengemaskan barang-barang, Kak Zu datang
melawatku.
"Macam na keadaan Jane hari ni?" Tanya Kak Zu sambil memelukku.
"Baik kak." Dia merenung kearahku dengan satu renungan yang cukup
dalam maknanya.
"Akak tak kerja ke hari ini?" Soalku kerana jam menunjukkan pukul 11.00
pagi.
"Akak ambil cuti separuh hari sebab nak jemput Jane." Jawapan Kak Zu itu
membuatkan aku terharu dengan tindakannya itu. Dia sanggup untuk
mengambil cuti semata-mata untuk menjemput aku dari hospital.
"Susahkan akak je. Saya boleh balik dengan teksi la."
"Takpela, akak nak raikan Jane."
Kak Zu membantu mama mengangkut barang-barang ke dalam kereta
Wiranya. Jarak rumahku dengan HUSM tidaklah jauh sangat. Lebih kurang 20
minit perjalanan sahaja. Dia kelihatannya memandu dengan tenang.
"Akak, selepas hantar mama boleh tak kita keluar kejap?" Aku pinta jasa baik
Kak Zu untuk menemani aku.
"Jane nak ke mana dengan Kak Zu?" Soal mama dari tempat duduk dari
belakang.
"Jane nak ambil angin kejap ma." Jelasku.
" Takpe untie, saya pun cuti tengahari ni."
Selepas menghantar mama ke rumah dan mengeluarkan semua barang-
barang, Kak Zu memandu keretanya ke arah Pantai Cahaya Bulan. Hari ini
adalah hari kerja, jadi waktu tengahari begini pantai masih belum ramai
pengunjung. Cuaca cerah sekali dan angin bertiup sepoi-sepoi bahasa.
Ombak pula hanya sederhana kuat menghempas pantai. Kak Zu memarkir
kereta di bawah bayangan pokok kelapa yang berderetan. Dia mematikan
enjin dan menurunkan tingkap bagi membolehkan kami merasai kesegaran
hembusan bayu laut.
" Saya perlukan nasihat dan pandangan akak." Aku memulakan bicara
setelah suasana sunyi seketika.
"Cakaplah, akak akan cuba sedaya mungkin."
"Saya inginkan penjelasan mengenai Islam." Kak Zu menarik nafas dalam
sekali mendengar pertanyaanku itu.
"Islam itu maknanya selamat. Sesiapa yang memeluk Islam dan beramal
dengan apa yang disuruh serta meninggalkan apa yang dilarang nescaya dia
akan selamat dunia dan akhirat. Islam itu mempunyai lima rukun iaitu
mengucap dua kalimah syahadah, menunaikan solat lima waktu, puasa di
bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan menunaikan haji ke Mekah bagi
yang mampu." Jelas Kak Zu.
"Habis tu kenapa ada orang Islam yang membuat kesalahan dan perbuatan
dosa?" Aku pernah melihat ada orang Islam yang meminum arak serta
berzina sewaktu aku berkunjung ke kelab-kelab malam suatu ketika dulu.
"Kita jangan menilai Islam dengan berpandukan kepada penganutnya.
Bahkan asas utama Islam ialah bahawa sesungguhnya kita beriman dan
bersaksi tiada tuhan yang patut disembah selain Allah dan kita juga yakin
dan percaya bahawa Nabi Muhammad itu rasulnya. Beriman pula
mempunyai tiga syarat iaitu bersaksi atau mengakui dengan lidah, yakin
dengan sebenar-benarnya dengan hati dan mengamalkan apa yang diyakini
itu dengan anggota. Sekiranya mana-mana orang Islam yang tidak
memenuhi ketiga-tiga syarat iman ini, maka dia bukanlah seseorang yang
benar-benar beriman."
"Iman pula mempunyai enam rukun iaitu beriman kepada Allah, Beriman
kepada malaikat, beriman kepada rasul, beriman kepada kitab-kitab,
beriman kepada ketentuan baik dan buruk, beriman kepada hari kiamat."
Sambung Kak Zu dengan panjang lebar. Dia memandang kearahku dengan
seolah-olah menanti soalanku yang seterusnya.
"Kalau saya masuk Islam, macam mana hubungan saya dengan papa dan
mama?" Hal inilah yang paling memberatkan kepala aku. Perkara inilah juga
yang sering diungkit oleh papa dan mama.
"Islam tidak pernah memutuskan hubungan antara anak dan ibu bapa
seseorang walaupun mereka berlainan agama. Bahkan Islam mengajar
seorang Muslim supaya terus menjaga perhubungan kekeluargaan serta
menghormati kedua ibu bapanya yang berlainan agama. Mereka perlu patuh
kepada arahan, suruhan dan permintaan kedua-duanya selagi mana ianya
tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Dalam Islam, haram dan berdosa
hukumnya seorang anak memutuskan perhubungan dengan kedua orang
tuanya."
"Sekiranya saya memeluk Islam, pada pendapat akak apa yang perlu buat
atau ada atau apa-apa sahaja untuk saya lebih memahami Islam?" Tanyaku.
"Akak cadangkan supaya Jane berkahwin dengan seseorang yang boleh
membantu Jane untuk lebih memahami Islam."
"Perlukah begitu?" Aku rasa seperti masih belum bersedia untuk menjalani
kehidupan berumah tangga.
"Dalam keadaan seperti Jane sekarang ni, akak rasa adalah terlebih baik Jane
kahwin selepas peluk Islam nanti."
"Ada ke lelaki Islam yang baik sudi menerima saya sebagai isteri sedangkan
saya tidak lagi suci?" Air mataku tergenang ditubir mata bila mengenangkan
peristiwa itu.
"Jane jangan risau, pasti ada lelaki yang baik sudi menerima Jane kerana
Allah." Yakin Kak Zu.
"Tapi macam mana saya nak kahwin, saya sendiri tidak tahu tentang
perkahwinan dalam Islam?" Mana mungkin aku mencari lelaki untuk
mengahwiniku seperti perigi mencari timba.
"Serahkan pada akak, biar akak je yang uruskan untuk Jane." Beban fikiranku
sedikit hilang dengan janji Kak Zu itu.
Setelah semua persoalan yang menghantui benak fikiranku dirungkai satu
persatu dan aku memperolehi jawapannya, tekadku untuk memeluk Islam
semakin membara. Kak Zu menghidupkan enjin keretanya dan bertolak
untuk menghantarku pulang. Dalam perjalanan Kak Zu singgah sebentar di
gerai menjual akhbar dan majalah yang terletak di tepi jalan. Dia membeli
dua buah akhbar tempatan. Dia memberikannya kepadaku sementara dia
terus memandu.
Aku membelek helaian-helaian akhbar tersebut mencari berita yang
menarik. Tiba-tiba mataku terpandang satu tajuk berita di ruangan tempatan
"Dua Lelaki Maut Dipanah Petir." Aku meneruskan pembacaan dan sekali lagi
ianya membuatkan aku terkejut. Lelaki yang dipanah petir itu adalah
seorang sami dan seorang lelaki yang dikenali sebagai Micheal. Aku
termenung memikirkan tentang kejadian tersebut. Adakah ianya satu mimpi
atau merupakan sebuah realiti? Semasa aku tidak sedarkan diri, memang
aku lihat mereka berdua telah dipanah petir sewaktu berlawan dengan
Abang Syamsul. Aku fikir ianya hanya sekadar peristiwa yang berlaku dalam
kotak fikiran sahaja. Tidak kusangka sama sekali ia merupakan gambaran
kejadian yang sebenar.
Terlalu sukar untuk kuluahkan pada mama dan papa mengenai keputusanku
yang tekad untuk memeluk Islam. Sebelum ini pun mereka telah
menunjukkan sikap konfrantasi mereka terhadapku apabila kunyatakan
hasratku itu. Aku pun tidak tahu kenapa mereka terlalu prejudis terhadap
Islam. Sedangkan ketika abangku, Calvin memilih Kristian sebagai cara
hidup, tiada pun bantahan yang mereka kemukakan. Petang ini aku
berkumpul sambil minum petang bersama keluargaku. Calvin pun ada
bersama.
"Papa, saya dah tekad untuk peluk Islam." Beritahuku. Papa yang sedang
menghirup teh panasnya serta-merta terhenti dan merenung tajam ke
arahku. Semua pasang mata merenung tajam ke arahku.
"Apakah kamu dah habis fikir?"Soal papa sambil meletakkan cawan tehnya.
"Ya pa."
"Habis tu macam mana hubungan kita?"Tanya mama pula.
"Mama tak perlu risau. Saya tetap anak mama sampai mati. Islam tak pernah
putuskan hubungan antara anak dan kedua ibu bapanya." Aku meminjam
kata-kata Kak Zu tempoh hari.
"Tapi kamu tak boleh makan apa yang kami makan." Mama mengemukakan
hujah.
"Betul. Ada makanan yang Islam haramkan makan seperti arak, babi dan
semua binatang yang tak disembelih. Tapi tak boleh makan makanan
tersebut tidak semestinya kita perlu putuskan hubungan kekeluargaan
mama." Jawabku.
"Habis tu macam mana kehidupan kamu selepas ini?" Tanya papa pula.
"Selepas peluk Islam, saya akan berkahwin papa." Sekali lagi jawapanku itu
membuatkan mereka semua seolah-olah terkejut.
"Kamu nak kahwin dengan siapa?" Soal papa lagi.
"Hanya tuhan yang tahu siapa jodoh saya papa. Setakat ni belum ada lagi."
Telah aku serahkan urusan tersebut pada Kak Zu.
"Kalau itulah keputusan kamu, kami tak dapat halang. Tapi kami harap kamu
tidak akan buang kami." Jawapan papa itu membuatkan aku tidak dapat
membendung perasaanku, lalu tubir mataku digenangi air. Aku bangun
memeluk papa dan mama sebagai tanda syukur atas kehendak hatiku itu.
Semua persiapan untuk upacara masuk Islam diuruskan oleh Abang Syamsul
dan Kak Zu sendiri. Aku diberitahu bahawa aku akan di Islamkan sendiri oleh
Menteri Besar Kelantan, YAB Tuan Guru Dato Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
di Masjid Pulau Melaka selepas Solat Jumaat. Yang mendebarkan aku juga,
menurut Kak Zu selepas di Islamkan oleh Tuan Guru Menteri Besar aku akan
dinikahkan dengan seorang lelaki yang tidak kutahu siapakah identitinya. Ia
menjadi tanda tanya yang mendebarkan hatiku.
Kak Zu menyewa set baju warna krim buatku. Dialah yang bertungkus lumus
menyediakan termasuklah menjadi jurusolek yang tidak bertauliah. Hari ini
dua kejadian penting yang akan berlaku dalam hidupku. Aku akan di
Islamkan secara rasmi dan seterusnya diijab kabulkan dengan seorang lelaki
yang tidak kuketahui siapa. Kedua-dua peristiwa penting tersebut akan
disempurnakan oleh YAB Tuan Guru Menteri Besar Kelantan.
Selepas solat Jumaat, rombonganku bertolak dari rumah ke Masjid Pulau
Melaka yang letaknya tidak berapa jauh dari rumahku. Kak Zu, mama, papa,
Calvin dan isterinya serta beberapa orang kawan Kak Zu. Ramai juga ahli
jemaah yang ingin turut serta menyaksikan majlis tersebut. Aku jadi lebih
gementar bila semua pasang mata tertumpu ke arahku yang berjalan masuk
ke ruang solat masjid tersebut.
Aku dikelilingi para jemaah yang hadir. Ahli keluargaku berada dibelakang,
manakala Kak Zu pula berada dikananku. YAB Dato Tuan Guru betul-betul
berhadapan denganku.
"Sebelum kita mulakan majlis ini, saya ingin bertanyakan kepada saudari
beberapa soalan. Saya ingin mendengar jawapannya dengan penuh jujur dan
ikhlas" Tuan Guru merenung kearahku. Para hadirin memerhati dengan
penuh tumpuan. Aku hanya sekadar mengangguk.
"Adakah saudari pasti ingin memeluk Islam?" Soal Tuan Guru.
"Saya yakin dan pasti Tok Guru." Jawabku.
"Tiada yang memaksa?" Soalnya lagi.
"Tiada."
"Adakah saudari yakin tiada tuhan yang patut disembah selain Allah."
"Ya, saya yakin."
"Adakah saudari yakin bahawa Nabi Muhammad itu rasul akhir zaman utusan
Allah?"
"Ya, saya percaya."
"Jika begitu, ikut apa yang saya ucapkan." Arah Tuan Guru.
Aku menutur perlahan-lahan dan penuh yakin Dua Kalimah Syahadah yang
diajar oleh Tuan Guru. Selesai sahaja aku mengucap Dua Kalimah Syahadah,
Kak Zu memelukku dengan perasaan terharu. Serentak dengan itu, para
jemaah melaungkan takbir bersama linangan air mataku. Aku juga memeluk
mama yang kelihatannya terkejut dan terharu. Kemudian Tuan Guru
menadahkan tangan membacakan doa. Para jemaah turut mengaminkan doa
tersebut. Air mataku semakin laju menuruni tubir mata kerana doa yang
Tuan Guru baca itu adalah dalam Bahasa Melayu.
"Sudikah saudari untuk dikahwinkan dengan lelaki ini?" Pertanyaan Tuan
Guru itu menyedarkan aku bahawa aku masih punya satu lagi upacara
penting.
Aku mengangkat wajahku dan memandang kearah lelaki yang dimaksudkan
oleh Tuan Guru itu. Betapa aku amat terkejut melihat lelaki tersebut. Aku
terus berpaling kearah Kak Zu yang berada disampingku.
"Sudikah Jane jadi adik buat akak dunia dan akhirat?" Tanya Kak Zu dengan
mata yang berkaca-kaca. Aku terkedu dengan pertanyaan itu. Tidak aku
sangka sama sekali.
"Akak ikhlas?" Tanyaku kembali secara berbisik.
"Ya kerana Allah." Jawabnya.
"Kalau begitu, saya sudi menjadi adik akak dunia dan akhirat kerana Allah."
Balasku. Kami berpelukan antara satu sama lain disaksikan puluhan pasang
mata yang turut terharu diatas pengorbanan yang telah dibuat itu.
"Saya sedia menerimanya sebagai suami, peneman dan pelindung saya
dunia dan akhirat kerana Allah." Itulah jawapan muktamad kuberikan kepada
Tuan Guru.
"Aku nikah dan kahwinkan dikau Syamsul Anuar bin Azman dengan Nurul
Hidayah binti Abdullah berwakil walikan daku dengan mas kahwin seribu
ringgit tunai." Ijab Tuan Guru.
"Aku terima nikahnya Nurul Hidayah binti Abdullah dengan mas kahwin
sebanyak yang tersebut." Lafaz qabul yang diucapkan oleh Abang Syamsul.
Semua hadirin menjawab ‘sah‘.
Sekali lagi Kak Zu memelukku erat. Aku membalas pelukan tersebut dengan
penuh hiba. Sudah banyak pengorbanan yang dilakukan dua insan ini
padaku. Kini mereka berkorban lagi buatku demi kebahagiaanku serta demi
kesejahteraan agamaku. Terlalu sedikit wanita yang dengan ikhlas
membenarkan suami mereka berpoligami. Terlalu sedikit isteri yang sudi
berkongsi kasih suaminya dengan wanita lain kerana Allah.
Abang Syamsul mendekati kami berdua. Dia menghulurkan tangan, aku
menyalaminya dan kemudiannya dia mencium dahiku.
"Terima kasih atas segala pengorbanan abang dan akak. Abang dan akaklah
saudara saya dunia dan akhirat." Ujarku sebagai tanda terima kasih. Abang
Syamsul memeluk kami berdua.
“Abang telah dianugerahkan dua permata yang tiada tandingan dengan seisi
dunia. Semoga Allah merahmati dan memberkati keluarga kita.” Ucap Abang
Syamsul.
Ya Allah, telah kutemui cahayaMu, maka kekalkanlah sinarnya dalam
hidupku. Telah kutemui jalanMu, maka luruskanlah ia buatku. Ya
Allah,rahmatilah keluarga kami. Jadikanlah kami keluarga yang bahagia
berkekalan selama-lamanya. Kurniakanlah kami zuriat keturunan yang soleh
dan solehah. Masukkanlah kami ke dalam golongan yang mendapat
bayangan Mu diakhirat nanti dan janganlah Engkau hinakan kami dihari
pertemuan nanti.

Seruling Senja
30 Mac 2008
9.55 pagi
Cameron Highlands