Anda di halaman 1dari 19

1

______________________________________________________________________________ PENGENALAN Seni Visual merupakan satu ciptaan kreativiti ataupun ekspresi pengkarya terhadap suatu sudut pandang yang dihasilkan dengan cukup indah . Seni visual sentiasa memenuhi keperluankeperluan naluri estetika dan fizikal manusia yang dipengaruhi oleh aspek-aspek keagamaan , sosio budaya , ruang , masa dan keadaan yang tertentu . Dari perspektif pendidikan pula , bidang seni mempunyai matlamat dan hala tuju yang begitu nyata. Merujuk kepada intipati Falsafah Pendidikan Kebangsaan , matlamat pendidikan seni adalah untuk melahirkan golongan masyarakat yang berbudaya dalam kehidupan , imaginatif , kreatif , berintelektual , inovatif dan efektif terhadap ciri-ciri estetika yang diamalkan untuk pembinaan tamadun insan yang bersifat seimbang dan harmonis . Di samping itu juga , matlamat pendidikan seni adalah untuk meningkatkan rasa kesyukuran dan kecintaan terhadap Tuhan , menghargai alam sekeliling , keindahan seni dan warisan bangsa dalam diri setiap warganegara Malaysia . Perkara-perkara ini pastinya akan menyumbang kepada pembangunan diri seseorang individu , keluarga , komuniti masyarakat dan negara itu sendiri . Apabila membicarakan tentang seni, masyarakat umumnya lebih tertarik dengan seni yang lebih popular seperti seni muzik mahupun seni lakonan. Ini bertitik tolak daripada pendedahan yang meluas diterima bagi kedua-dua cabang seni tersebut. Lantaran itu, seni muzik dan seni lakonan ini mempunyai impak yang bukan sedikit ke atas khalayak di negara ini. Namun begitu, apabila memperkatakan tentang seni visual pula , ianya seakan jauh terpinggir dan dipandang sepi oleh segelintir masyarakat . Walaupun sebenarnya ia telah wujud lebih awal di kalangan masyarakat, namun masih ada golongan yang merasakannya sebagai suatu cabang seni yang duduknya pada kelas kedua. Hanya golongan tertentu sahaja yang benar-benar menghayati seni visual dalam erti kata penghayatan estetika selayaknya. Walaupun kewujudan seni visual adalah seusia dengan peradaban manusia, namun masyarakat di Malaysia masih memandang sinis akan kepentingannya di dalam membentuk nilai-nilai kemanusiaan dan budaya bangsa. Bermula dengan lebih dikenali sebagai Seni Lukis dan Pertukangan/ Pekerjaan Tangan di era sebelum merdeka sehinggalah beralih kepada Seni Visual sejak kebelakangan ini, namun martabatnya masih diletakkan pada tempat yang sama.

Lantaran itu, sejajar dengan hasrat untuk membentuk warganegara yang tahu menghargai budaya, mempunyai nilai-nilai norma kemasyarakatan yang luhur berpaksikan kepada Rukun Negara, maka perubahan demi perubahan dilakukan ke atas kurikulum pendidikan negara. Perubahan ini merangkumi pelbagai mata pelajaran di sekolah merangkumi peringkat rendah persekolahan sehinggalah ke peringkat tertinggi. Perubahan ini turut merangkumi mata pelajaran Pendidikan Seni yang dikira akan dapat mengangkat martabat seni visual khasnya ke suatu kedudukan yang lebih baik. Di samping itu, ia juga menjadi serampang dua mata sebagai uasaha membentuk minda baru masyarakat Malaysia, tidak sekadar memandang seni dari sudut estetikanya sahaja malahan mampu mengangkat darjat dan peranan seni visual di dalam pembentukan ketamadunan negara. Pendidikan Seni Di Dalam Sistem Pendidikan Formal Negara bermaksud program pendidikan yang bersistem, terancang dan boleh diukur prestasinya bagi memenuhi keperluan individu dan aspirasi negara. Ia merangkumi idea-idea yang dicetuskan melalui lukisan, ukiran dan pelbagai kemahiran tangan yang lain yang diadunkan daripada pengalaman murid dan apa yang telah dipelajari. Feldman ( 1996 ) memberikan pendefinisian pendidikan seni sebagai usaha yang melibatkan pengajaran dan pembelajaran membuat dan memahami seni, di samping mengetahui tentang dunia dan diri kita sendiri melalui seni. Seni yang dimaksudkan di sini adalah meliputi apa jua cabang seni visual seperti catan, arca, seni bina, reka bentuk industri, garafik komputer, serta apa jua yang berkaitan dengan seni, baik yang berupa seni tampak tradisional mahupun seni moden. Pendidikan seni merangkumi pelbagai kaedah dan teknik yang digunakan di dalam penghasilan produk seni, mempelajari sejarah dan antropologi seni, membezakan makna seni serta melihat nilai produk seni individu. Lantaran itu, pendidikan seni lebih menitikberatkan pemikiran, perbuatan dan penilaian yang original di samping memberi kesempatan untuk individu itu memperkembangkan idea semulajadinya secara teratur menerusi peringkat-peringkat perkembangan yang artistik. Seni adalah suatu ciptaan ataupun ekspresi akan sesuatu yang dianggap indah . Seni memenuhi keperluan-keperluan naluri estetik dan fizikal manusia yang dipengaruhi oleh faktorfaktor keagamaan , kebudayaan , ruang , masa , dan keadaan tertentu . Perkara ini telah

melahirkan kepelbagaian pengertian seni merangkumi aspek tradisi , moden dan pasca moden , mengikut zaman dan masyarakat tertentu . Penghayatan dan penghargaan terhadap seni lazimnya mengambilkira aspek-aspek formal, makna dan konteks penghasilan sesuatu karya. Seni juga mempunyai pelbagai peranan yang bersifat psikologi dan sosiologi. Secara umum, seni berkaitan dengan hal-hal mengenai keindahan atau estetika yang merangkumi aspek-aspek jasmani dan kerohanian individu mahupun masyarakat. Seni ditakrifkan sebagai suatu ciptaan ataupun ekspresi akan sesuatu yang dianggap indah, terutamanya dalam bentuk visual (Hornby, 1974: 43). Seni juga disifatkan sebagai suatu kegiatan atau proses penciptaan yang memerlukan kemahiran serta pengetahuan untuk melahirkan idea dalam bentuk yang nyata (Martin, 1986: 12). Hauser berpendapat, seni adalah komunikasi (1959). Herbert Read pula menjelaskan bahawa seni adalah penciptaan bentuk-bentuk yang menyenangkan. Seni visual merangkumi aspek pengkaryaan yang dihubungkan dengan disiplin seni halus, dan perekaan, yang meliputi bidang-bidang komunikasi visual, reka bentuk teknologi, dan reka bentuk persekitaran. Ringkasnya, ia merangkumi seni lukis dan seni reka. Karya seni visual ialah suatu ekspresi visual akan sesuatu idea ataupun pengalaman yang dibentuk menerusi penggunaan sesuatu bahan ataupun medium dengan menggunakan teknik-teknik yang tertentu. Pengkarya dan pereka lazimnya memilih bahan yang sesuai dengan idea ataupun perasaan yang ingin disampaikannya. Khalayak menikmati karya seni visual apabila bahan yang digunakan pengkarya dengan cara-cara tertentu membolehkan sesuatu objek atau persembahan itu difahami ataupun digunakan mereka. Perkembangan budaya dan masyarakat telah banyak mempengaruhi bentuk seni visual, justeru melahirkan beberapa istilah seni yang penting. Sebagai contoh, istilah-istilah seni halus dan seni gunaan telah muncul pada abad ke-18. Seni halus merujuk kepada penghasilan seni yang berasaskan konsep keindahan ataupun estetika, dan merangkumi bentuk-bentuk seni seperti catan, lukisan, arca, cetakan, seni bina, puisi dan muzik (Osborne, 1979: 407), sementara seni gunaan pula merujuk kepada seni berasaskan fungsi seperti produk-produk seni grafik, tekstil, seramik, seni industri, fesyen, fotografi, seni logam halus, seni reka hiasan dalaman, seni landskap, multimedia dan animasi.

Kepentingan Pendidikan Seni Visual Dari perspektif Pendidikan Pendidikan Seni Visual menggantikan nama Pendidikan Seni yang terdahulu. Perubahan ini dirasakan lebih sesuai kerana dalam hubungan seni di sekolah, Pendidikan Seni Visual lebih menjurus kepada seni tampak atau visual, dan tidak merujuk kepada seni lain seperti seni muzik, seni sastera, seni tari dan seni mempertahankan diri. Pendidikan Seni Visual bertujuan memberi peluang kepada murid memupuk minat, memperkembang keperibadian, memberi kesedaran dan kepekaan terhadap nilai-nilai kesenian dan alam sekitar serta kaitannya dengan mata pelajaran lain. Murid di sekolah rendah pada keseluruhannya adalah kreatif, ekspresif dan aktif. Pendidikan Seni Visual memainkan peranan memperkembang sifat ini melalui persepsi visual, imaginasi dan daya pemikiran. Kegiatan pemikiran, penerokaan dan reka bentuk dalam pelbagai jenis seni visual akan membolehkan mereka menyatakan idea dan ekspresi diri. Pengalaman ini penting kerana ia membantu murid membina keyakinan diri, membuat penilaian dan mengenali cita rasanya sendiri. Pendidikan Seni Visual sekolah rendah menyarankan strategi pembelajaran yang bersepadu dalam mata pelajaran ini dan antara mata pelajaran lain. Pengajaran dan pembelajaran akan lebih berkesan dengan aktiviti kemahiran befikir secara kritis dan kreatif (KBKK). Murid digalakkan menyimpan rekod pengalaman pembelajaran dan hasil kerja sendiri. Amalan ini akan melatih murid membuat analisis, sintesis dan refleksi terhadap pembelajarannya untuk faedah sendiri. Pendidikan seni visual sekolah rendah Setiap murid mempunyai pelbagai kecerdasan seperti ruang visual, kinestetik, interpersonel dan intrapersonel. Sifat ini amat penting untuk membantu murid berkarya, berkomunikasi dan mengukuh koordinasi pancaindera secara seimbang. Proses ini menjadikan pembelajaran lebih berkesan dan bermakna. Matlamat mata pelajaran Pendidikan Seni Visual sekolah rendah adalah untuk melahirkan insan yang harmonis, kritis, kreatif dan produktif menerusi pemupukan asas seni visual. Kandungan kurikulum berupaya membantu murid meningkatkan rasa kesyukuran terhadap Tuhan, menghargai keindahan alam persekitaran, keindahan seni dan warisan bangsa serta dapat menyumbang ke arah pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan negara, selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

______________________________________________________________________________ Pendidikan Sebelum Merdeka Pendidikan Seni Visual (PSV) bermaksud proses penghasilan karya seni dengan melibatkan aspek pemahaman,penghayatan dan kritikan mengenai perasaan estetik dan daya kreativiti melalui imaginasi dan konsepsi murid. Dahulunya PSV dikenali sebagai subjek Lukisan dan Pertukangan Tangan. Setelah beberapa perubahan berlaku mengikut peredaran dan keperluan semasa, maka mata pelajaran Lukisan dan Pertukangan Tangan telah ditukar menjadi mata pelajaran Pendidikan Seni. Setelah beberapa tahun mata pelajaran Pendidikan Seni diperkenalkan ia telah diubah pula menjadi Pendidikan Seni Visual atas kesedaran masyarakat terhadap kepentingan Pendidikan Seni Visual dalam kehidupan. Sebelum kedatangan kuasa penjajah pendidikan di Tanah Melayu berbentuk bukan formal dan tidak memberatkan perkembangan kognitif pelajar-pelajar. Corak pendidikan yang ada pada ketika itu berjalan seperti biasa dengan pengajaran al-quran, tingkah laku,dan akhlak yang baik, pengetahuan kerohanian dan seni mempertahankan diri. Ini termasuklah pelajaran awal dalam bidang kraftangan serta perintis dalam bidang pertanian, perikanan dan perburuan. Pendidikan Melayu yang awal menekankan pengajaran Quran dan pengetahuan asas membaca, menulis dan mengira(3M). Pendidikan Melayu diadakan hanya diperingkat rendah sahaja. Anakanak Melayu yang bercita-cita tinggi dan ingin melanjutkan pelajaran terpaksa memasuki sekolah menengah Inggeris di bandar. Tujuan utama sekolah-sekolah Melayu diasaskan pada abad ke 19 dan awal abad ke 20 ialah untuk membolehkan anak-anak Melayu terus kekal di desa, mewarisi kemiskinan keluarga. Oleh itu pendidikan yang berbentuk sekular dalam bahasa melayu dihadkan kepada empat tahun sahaja dengan skop dan kokurikulum yang terhad. Pendidikan Melayu tidak dapat mengubah cara hidup orang Melayu atau menyumbangkan kepada mobiliti menegak di kalangan masyarakat Melayu. Kitab Pedoman Guru Penggal Kedua (1929) telah digunakan oleh guru-guru Melayu untuk mengajar pelbagai mata pelajaran termasuk Lukisan dan Pertukangan Tangan di sekolahsekolah Melayu di seluruh tanah air pada masa itu. Kitab Pedoman Guru Penggal I (1928) dan Kitab Pedoman Guru Penggal II (1929) yang disusun oleh O.T. Dussek dan Muhammad Hashim bin Haji Taib adalah buku pertama yang ditulis di Malaya mengenai kaedah mengajar mata

pelajaran Lukisan dan Pertukangan Tangan. Buku ini sangat penting digunakan oleh guru-guru yang mengajar mata pelajaran ini di sekolah-sekolah Melayu di Malaya ketika itu. Kepentingan buku ini boleh dilihat dari segi kaedah mengajar Pendidikan Seni yang dirancang dari unsur-unsur yang senang sehinggalah kepada yang lebih susah. Misalnya kaedah asas menggunakan alat dan bahan seperti pensel, pemadam, dan pembaris diperkenalkan. Kemudian diikuti dengan latihan asas membuat garisan. Diikuti pula dengan latihan melakar bentuk-bentuk asas seperti bulat, empat segi dan segi tiga, sehinggalah kepada yang lebih sukar seperti melakar objek bunga dan binatang berasaskan kepada bentuk-bentuk geometrik yang telah dipelajari.Bahantara pensel dan dakwat telah digunakan di sekolah-sekolah Melayu alam pelajaran Lukisan dan Pertukangan Tangan sejak tahun 1900-an. Meluasnya penggunaan pensel dan pena dakwat dalam kalangan pelajar Melayu dan orang Melayu yang berminat dalam bidang artistik menyebabkan bertambahnya keinginan untuk menghasilkan karya-karya yang bersifat lakaran dan sekali gus memperlihatkan kepentingan konsep visual dalam pengilustrasian buku. Pada awal abad ke 20, bagi menampung permintaan yang bertambah terhadap Pendidikan menengah, Maktab Melayu Kuala Kangsar diasaskan mengikut model English Grammar School pada tahun 1905. Akan tetapi, sekolah ini adalah khas untuk golongan bangsawan sahaja. Latihan guru-guru Melayu dimulakan pada tahun 1984 di Teluk Belanga, Singapura. Pada tahun 1922, bagi memenuhi permintaan yang bertambah terhadap guru-guru sekolah Melayu yang berkelayakan, Maktab Perguruan Sultan Idris telah ditubuhkan atau dikenali sebagai Sultan Idris Training College (SITC).Di sini mata pelajaran Pendidikan seni telah diajar di samping subjeksubjek lain. Komponen subjek Pendidikan Seni diajar bersama-sama dengan pertukangan tangan seperti membuat bakul dan lain-lain seni pertukangan rakyat ketika itu. Sukatan pelajaran yang digunakan adalah pelajaran menggunakan mengkuang untuk membuat bakul bagi tahun pertama. Mereka dikehendaki mencipta corak-corak baru dengan menggunakan rotan dan buluh. Kerjakerja tahun pertama disambung pada tahun ke dua dan penggunaan rotan dan buluh adalah lebih meluas lagi pada tahun ketiga. Buku teks yang digunakan ialah Kitab Rajah-rajah Anyaman oleh guru anyaman Mr. W. Olaguera.

______________________________________________________________________________ Perkembangan Pendidikan Awal Merdeka Selepas perang dunia kedua perkembangan politik negeri China, India , dan negara jiran banyak berubah , Masyarakat pendatang menganggap Tanah Melayu sebagai tempat kediaman mereka dan kebangkitan nasionalisme Melayu melihatkan tentang masalah kerumitan kaum tentang pendidikan. Orang Melayu mula mendesak ,supaya Kerajaan membaiki mutu pendidikan di sekolah - sekolah Melayu serta menambahkan peluang bagi melanjutkan pelajaran. Sebuah jawatan kuasa ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Barnes. Laporan Barnes ini diterbitkan pada awal tahun 1951, dan mencadangkan supaya ditubuhkan sekolah-sekolah kebangsaan dari bahasa berbilang kaum sama ada menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa Melayu sebagai pengantar utamanya. Sekolah Cina dan Tamil akan ditukar secara beransur - ansur kepada sekolah Kebangsaan dengan memperkenalkan aliran Kebangsaan. Cadangan tersebut ditentang hebat oleh orang Cina. Laporan Fen wu , memperakukan untuk mengekalkan serta pembaikan Sekolah Cina telah memburukkan lagi pertikaian yang hangat tentang pendidikan di Tanah Melayu ,Laporan Jawatankuasa Fen Wu telah mengemukakan cadangan-cadangan yang pada asasnya menyokong konsep penggunaan tiga bahasa iaitu bahasa melayu, bahasa Inggeris, dan bahasa Cina dijadikan bahasa pengantar. ______________________________________________________________________________ Perkembangan Pendidikan Seni Era Selepas Malaysia Merdeka Beberapa kajian telah dibuat untuk mendapatkan formula terbaik bagi sistem pendidikan di Tanah Melayu pada masa itu. Walau bagaimanapun setelah mendapat kemerdekaan, Akta Pelajaran 1961 telah dijadikan dasar kepada sistem pendidikan di negara ini. Justeru itu Kurikulum Lama Sekolah Rendah (KLSR) telah diperkenalkan. Mata pelajaran yang diajar oleh guru-guru dana dipelajari oleh murid-murid dalam KLSR antaranya ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Tawarikh, Ilmu Alam, Hal Ehwal Tempatan, Tata Rakyat,

Jawi,Pendidikan Agama Islam, Lukisan dan Pertukangan Tangan, Pendidikan Jasmani dan lainlain. Persekolahan peringkat rendah di negara ini berterusan mengikut kehendak KLSR sehinggalah kajian dibuat pada tahun 1974 hingga 1979 oleh jawatankuasa diketuai Dr.Mahathir Mohamad bagi melihat kesesuaian KLSR ini. Laporan kajian yang dikeluarkan pada tahun 1979 mendapati bahawa KLSR sudah tidak relevan lagi dan perlu diganti dengan kurikulum ynag baru. Implikasi daripada laporan ini ialah pengenalan kepada Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) pada tahun 1982.Namun begitu, pada tahun 1988 KBSR telah disemak semula bagi mengenal pasti kelemahan dan kekuatannya. Lanjutan itu, KBSR yang dikenali pada asasnya sebagai Kurikulum Baru Sekolah Rendah ditukar menjadi Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah. Dari segi kurikulum, mata pelajaran-mata pelajaran yang telah sedia ada mengalami perubahan bagi membantu murid menghadapi cabaran masa depan termasuklah Pendidikan Seni Visual. Kementerian Pendidikan Malaysia telah memainkan peranan yang positif dalam membangunkan dan memperkembangkan kurikulum Pendidikan Seni Visual. Hal ini dapat dilihat berdasarkan semakan terhadap Kurikulum Pendidikan Seni Visual itu sendiri yang telah beberapa kali melalui proses perubahan. Perubahan-perubahan tersebut meliputi aspek falsafah, matlamat, objektif, pendekatan, kaedah dan isi kandungan mata pelajaran tersebut.Retrospektif perkembangan kurikulum ini dapat dilihat seawal pertengahan abad ke-19 apabila kurikulum seni mula diperkenalkan di Penang Free School dengan memberikan penekanan kepada penglahiran pelajar yang mahir dalam kraf (Carline, (1968) dalam Ibrahim Hassan melalui karya Md Nasir bin Hj. Ibrahim-Isu dan Permasalahan Kurikulum Pendidikan Seni Visual). Selepas merdeka, bermula dari tahun 1965 Kementerian Pelajaran Malaysia telah menggubal dasar baru pendidikan. Melalui dasar baru ini, murid-murid daripada darjah 1 hingga tingkatan 3 akan belajar dua kumpulan mata pelajaran yang dikenali sebagai mata pelajaran wajib dan mata pelajaran elektif. Kini, sekali lagi kurikulum Pendidikan Seni berubah dengan penekanan kepada melengkapkan perkembangan diri seseorang individu melalui nilai peribadi individu dan

pemupukan kesedaran terhadap seni dalam kehidupan sehari-hari serta sikap dalam menghargai hasilan seni sebagai sumbangan kepada warisan budaya dan identiti bangsa. Perubahanperubahan ini melibatkan falsafah, matlamat, objektif, pendekatan, kaedah dan isi kandungan yang lebih mantap dan akan dapat menarik minat lebih ramai pelajar. Dalam KBSR, Pendidikan Seni Visual merupakan mata pelajaran wajib yang mesti dipelajari oleh semua murid. Mata pelajaran Pendidikan Seni Visual digubal selaras dengan perkembangan terkini ke arah mencapai hasrat FPK. Matlamat mata pelajaran Pendidikan Seni Visual sekolah rendah sebagaimana yang digariskan oleh PPK padaa tahun 2000 adalah untuk melahirkan insan yang harmonis, kritis, kreatif dan produktif menerusi pemupukan asas seni visual. Kandungan kurikulum berupaya membnatu murid meningkatkan rasa kesyukuran terhadap Tuhan, menghargai keindahan alam persekitaran, keindahan seni dan warisan bangsa serta dapat menyumbang ke arah pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan Negara, selaras dengan hasrat FPK.Terdapat empat bidang yang terkandung di dalam mata pelajaran Pendidikan Seni Visual seperti berikut : (a) Melukis dan membuat gambar (b) Membuat corak dan rekaan (c) Membentuk dan membuat binaan (d) Mengenal kraf tradisional Fokus yang diberikan kepada setiap bidang pula ialah pemerhatian aktif, interaksi yang kreatif dengan alat dan bahan, serta aprisiasi aspek seni.Pendidikan Seni Visual memainkan peranan sebagai pengimbang kepada mata pelajaran lain yang ditawarkan di sekolah-sekolah kerajaan. Mata pelajaran ini menyumbangkan ke arah perkembangan murid-murid melalui peningkatan daya persepsi, estetika dan kraetiviti. Manakala aktiviti seni yang dijalankan semasa pengajaran dan pembelajaran dilakukan dalam konteks peranan seni sebagai media komunikasi, seni dalam kehidupan dan persekitaran, dan seni sebagai warisan budaya dan identiti bangsa. (Mazlan Mohamad.1996) . Dan yang terkini nama Pendididikan Seni Visual sekali lagi mengalami perubahan di bawah dasar pendidikan negara yang baru iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah ( KSSR ) apabila ia dikenali sebagai Dunia Seni Visual .

10

______________________________________________________________________________ Perkembangan dan Aliran Seni di Malaysia Seni Lukis Tahun 1920-an Perkembangan seni lukis moden boleh dikesan sehingga tanuh 1920an semasa kumpulan penang Impressionist ditubuhkan. Kumpulan ini terdiri daripada ekspatriat Eropah yang kebanyakannya merupakan surirumah bangsa Inggeris. Disebabkan sikap-sikap kolonialistik pada masa itu, pelukis-pelukis tempatan Pulau Pinang tidak dibenarkan menyertai Penang Impressionist. Dua orang pelukis tempatan yang diterima menganggotainya ialah Puan Lim Cheng Kung dan Abullah Ariff. Abdullah Arif diterima dalam kumpulan itu kerana perkhidmatan beliau sebagai pendidik seni diperlukan, manakala Puan Lim pula isteri seorang jutawan yang dapat memberi sokongan kewangan. Tahun 1920an merupakan peringkat yang penting dalam sejarah seni lukis Pulau Pinang. Yong Mun Seng telah datang ke Pulau Pinang dari Singapura dan mendirikan studio seninya. Pelukis pertama yang mengadakan pameran seni lukis di Malaysia adalah Ooi Hwa yang telah mempamerkan karya-karyanya di Pulau Pinang pada tahun 1927. Ooi Hwa dan Lee Cheng Yong mungkin merupakan pelukis pertama yang pergi ke luar negeri untuk mempelajari seni di Akademi Seni Halus Shanghai. SITC (Sultan Idris Training College) ditubuhkan pada tahun 1922. Mata pelajaran Pendidikan Seni diajar di samping subjek-subjek lain. Komponen subjek Pendidikan Seni diajar bersama-sama dengan pertukangan tangan seperti membuat bakul dan lain-lain seni pertukangan rakyat ketika itu. Sukatan Pelajaran yang digunakan adalah pelajaran menggunakan mengkuang untuk membuat bakul bagi tahun pertama. Mereka dikehendaki mencipta corak-corak baru dengan menggunakan rotan dan buluh. Kerja-kerja tahun pertama disambung pada tahun ke dua dan penggunaan rotan dan buluh adalah lebih meluas lagi pada tahun ke tiga. Buku teks yang digunakan ialah Kitab Rajah-rajah Anyaman oleh guru anyaman Mr. W. Olaguera. Penuntut-penuntut diberi pilihan untuk pertukangan kayu bagi melatih membuat perabotperabot seperti meja kecil, almari buku, tongkat dan sebagainya. Dalam tempoh tiga tahun terdapat enam kelas pertukangan kayu. Pilihan seterusnya adalah menjilid buku di mana hanya

11

sebahagian kecil penuntut tahun tiga sahaja yang mengikutinya. Menganyam jaring bagi permainan bola sepak, hoki dan bola tampar. Pertukangan tanah liat di mana hanya sebilangan penuntut sahaja dipilih untuk belajar membuat tempat bunga, periuk dan lain-lain daripada tanah liat. Seni Lukis Tahun 1930-an Pada tahun 1935, sekumpulan pelukis di Singapura merupakan penuntut Sekolah Seni Halus Shanghai, Sekolah Seni Shanghai dan Universiti. Mereka telah menubuhkan Salon Art Studies Society yang kemudiannya ditukar kepada Persatuan Pelukis-pelukis Cina. Persatuan ini menumpukan perhatian kepada perlaksaan pameran karya-karya pelukis asing, terutamanya karya pelukis-pelukis HongKong dan Cina. Pelukis tempatan turut diberi peluang untuk meluaskan pengalaman. Pameran tahunan mereka telah menjadi tradisi berterusan tanpa sebarang sekatan melainkan pada tahun-tahun peperangan 1942 hingga 1945. Ramai ahlinya merupakan staf Akademi Seni Halus Nanyang. Akademi Seni Halus Nanyang diasaskan pada tahun 1938 oleh pengetuanya, Lim Hak Tai. Lim Hak Tai, seorang pelukis ternama dan berwawasan memperkembangkan kesenian dengan menubuhkan institusi yang pertama dan paling lama di Singapura. Di antara pelukispelukis terkenal yang menjadi tenaga pengajar ialah Cheong Soo pieng, Georgette Chen Li Ying, Chen Wen His dan Chen Chong Swee. Para pelukis ini telah datang ke Singapura selepas Perang Dunia ke Dua. Mereka dilatih di akademi-akademi Seni di Shanghai, kanton dan Amoy. Mereka juga didedahkan kepada pengaruh modenis aliran-aliran di Paris. Pelukis-pelukis Nanyang memainkan peranan yang besar dalam perkembangan tradisi seni moden di Malaysia dan Singapura melalui aktiviti-aktiviti mereka. Mereka terkenal kerana menggabungkan konsep Barat dan Timur dalam hasil karya mereka, yang kemudiannya dikenali sebagai Nanyang. Apabila Cheng Yong kembali pada tahun 1932, beliau mengadakan pameran solo di Philomatic Union, Acheen Street. Pameran ini telah memberi kesedaran kepada pelukispelukis tempatan yang telah melukis bersendirian dan tidak sedar akan kewujudan pelukispelukis lain.

12

Pada tahun 1936, pelukis-pelukis Cina telah berkumpul di bawah pengaruh Yong Mun Sen, dan menubuhkan Kelab Seni Lukis Cina Pulau Pinang. Di antara pengasas kelab ini termasuklah Lee Cheng Yong sebagai Presiden, Yong Mun Seng sebagai Timbalan Presiden, Quan Kuan Sin sebagai setiausaha, Tay Hooi keat sebagai bendahari dan Kuo Ju Ping, Tan Seng Aun, Tan Gek Khean serta Wan Fee sebagai ahli jawatan kuasa. Mereka telah mengadakan Pameran seni dan Fotografi yang pertama. Kebanyakan karya yang dipamerkan adalah mengikut aliran Realisme Barat dan Post Impressionism di samping beberapa lukisan berus Cina tradisional. Pelukis-pelukis di seluruh Malaysia dan singapura telah diundang untuk menjayakan pameran ini. Pada tahun 1937, kumpulan Penang Impressionist yang mengadakan pameran tahunan secara tetap, telah menjemput ahli-ahli Kelab Seni Lukis Cina pulau Pinang. Jemputan ini amat menggalakkan pelukis-pelukis tempatan memberi sumbangan yang positif. Pameran ini merupakan pameran terakhir Penang Impressionist sebelum dibubarkan sebelum bermulanya Perang dunia Kedua. Kebanyakan ahlinya yang aktif telah pulang ke Eropah atau pun telah dipindahkan. Seni Lukis Tahun 1940-an Persatuan Seni Singapura mengadakan pameran-pameran dan aktiviti-aktiviti seni di dalam dan di luar negeri yang dibuka kepada semua pelukis tanpa mengira bangsa dan darjat. Walker, pelukis mahir aliran Impressionisme telah melatih beberapa pelukis terkemuka seperti Lim Cheng Hoe. Lim diiktiraf sebagai pelukis cat air yang terunggul di mana beliau juga memberi ilham serta menjadi mentor kepada golongan pelukis generasi ini. Lee Man Fong, pelukis penting dalam seni lukis Singapura berhijrah ke Singapura dari Indonesia pada tahun 1967. Dilahirkan di Kanton, China pada 1913, beliau berpindah ke Jakarta pada 1932 dan bekerja sebagai pelukis komersil. Pada tahun 1947, beliau mendapat biasiswa kerajaan Belanda untuk menuntut kesenian di negeri Belanda. Beliau seterusnya dilantik sebagai pelukis Istana Presiden oleh Presiden Sukarno. Pada Disember, 1941 pendudukan Jepun telah mengekang semua aktiviti kebudayaan. Kempeitai iaitu polis tentera Jepun telah mengawasi kumpulan-kumpulan kebudayaan China. Rekod-rekod dan bukti-bukti fotografik lawatan Kelab Seni Lukis China Pulau Pinang telah dibakar sebagai langkah berjaga-jaga. Pada tahun 1945 kesenian di Pulau Pinang telah dihidupkan semula dengan penubuhan Kumpulan Pendidik Seni Pulau Pinang di bawah Jabatan Pendidik Seni, Pulau Pinang. Pada tahun 1948, Tay hooi Keat menjadi warganegara Malaysia

13

pertama yang pergi ke Britain untuk mempelajari seni lukis di Camberwell School of Art. Setelah perang tamat, pusat seni telah beralih dari Paris ke New York. Para pelukis Amerika Syarikat memulakan pergerakan seni seperti Action painting, Ekspressionisme abstrak, Seni Pop, Seni Op, Performance Art, Minimalisme, Seni Konseptual dan sebagainya. Pelukis-pelukis tempatan yang pergi ke luar negeri turut terdedah kepada pelbagai pengaruh aliran seni. Selepas perang tamat, Pulau Pinang menjadi pusat daya tarikan para pelukis. Frank Sullivan, penaung seni yang terkenal telah menemui Mohd Hoessein Enas di Pulau Pinang pada tahun 1949 dan telah menggesa beliau berpindah ke Kuala Lumpur . Hoessein seterusnya menubuhkan Angkatan Pelukis semenanjung dan menjadi tokoh seni kebangsaan yang terkenal. Tahun 1950an Seni Lukis Tahun 1950-an Pada tahun 1952, Majlis Pendidik Seni Pulau Pinang telah ditubuhkan dan diterajui oleh Tay Hooi Keat sebagai pengerusi. Di antara ahli-ahlinya adalah Lee Joo For, Tan Tin Kok, Kim Tong Juan, Tan Lye Hoe dan Chee Wee Sun. Kebanyakan ahli-ahlinya terdiri guru-guru sekolah aliran Bahasa Inggeris. Tay Hooi Keat yang kembali ke Pulau Pinang dari United Kingdom memperkenalkan konsep-konsep baru yang memeranjatkan masyarakat seni lukis tempatan. Pada tahun 1952 juga Cheong Soo Pieng, Chen Chong Swee, Chen Wen His dan Liu Kang berkunjung ke Bali. Sekembalinya dari Bali mereka mengelolakan pameran bertajuk Empat Pelukis Kembali yang menyebabkan penciptaan susuk tubuh badan yang dikaitkan dengan seniman Nanyang. Pameran ini telah mendorong ramai pelukis tempatan seperti Khaw Sia membuat lawatan melukis ke Bali. Seterusnya pada tahun 1952 juga, Majlis Kesenian ditubuhkan untuk memberi sokongan, menjaga dan menggiatkan aktiviti-aktiviti dalam pelbagai bidang seni dengan bantuan kerajaan. Pada tahun 1953, Persatuan Seni Pulau Pinang ditubuhkan di bawah pimpinan Loh Cheng Chuan. Majlis Kesenian Pulau Pinang ditubuhkan pada tahun yang sama dengan souter sebagai Presiden, Tay Hooi Keat sebagai setiausaha dan A Sabapathy sebagai bendahari dan juruaudit. Kedua-dua pertubuhan ini telah mengadakan pameran-pameran seni secara tetap untuk ahli-ahli mereka. Mereka menganjurkan pameran solo untuk para pelukis tempatan serta pelukis luar negara yang membuat lawatan. Wednesday Art Group telah ditubuhkan pada tahun 1952 di Kuala Lumpur oleh Peter Harris. Pada awalnya terdapat kekurangan kegiatan seni yang serius di Kuala Lumpur. Peter Harris merupakan Penguasa Seni di Kementerian Pendidikan dan beliau adalah lepasan sekolah seni di United Kingdom. Beliau memperkenalkan estetik dan teknik seni

14

lukis moden kepada guru-guru dan pelukis muda tempatan yang berminat. Di antara pelukispelukis yang mendapat tunjuk ajar dan galakan beliau ialah Patrick Ng, Cheong Lai Tong, Zakariah Noor, Ismail Mustan, Dzulkifli Buyong, Ho Kai Peng, Liu Siat Mooi, Grace Selvanayagam, Phoon Poh Hoon, Jolly Koh dan Syed Ahmad Jamal. Pada tahun 1954, Persatuan Seni Selangor telah diasaskan oleh ekspatriat dan ahli-ahli seperti Fung Yow Chork, Zakariah Noor, Yong Peng Seng, Chong Hooi Fah, Syed Zainal dan Chong Sing Kwai. Kumpulan ini bertemu seminggu sekali pada hari Khamis di Sekolah Lelaki Methodist untuk membuat catan potret, figuratif, lukisan dan lakaran. Angkatan Pelukis Semenanjung iaitu APS yang kemudiannya dikenali sebagai Angkatan Pelukis Se Malaysia ditubuhkan di Kuala Lumpur pada tahun 1956 oleh Mohd Hossein Enas. APS bertujuan untuk mengumpul serta menyatupadukan pelukis-pelukis Melayu. Ahli-ahlinya telah mencontohi penasihat mereka, Mohd Hoessein Enas yang terkenal kerana potret realistik dalam cat minyak dan pastel. Antara yang terkenal dalam persatuan ini ialah Idris Salam, Mohd Sallehuddin, Sabtu Mohd Yusof, Mazli Mat Som, Ahmad Hassan, Yusof Abdullah dan Zakariah Noor. Pada tahun 1957, Thursday Art Group telah ditubuhkan di Pulau Pinang dengan matlamat yang sama dengan Wednesday Art Group. Ahli-ahli terdiri daripada Abdullah Ariff, Tay hooi Keat, Kuo Ju Ping, Lee Joo For, Lim Tong Juan dan William K.K. Lau. Mereka memperkenalkan konsep-konsep baru, mengadakan kelas-kelas melukis, sesi perbincangan dan pameran. Menjelang kemerdekaan seni telah menjadi salah satu simbol kepada perpaduan kaum di Malaysia. Persepsi masyarakat terhadap seni telah mula berubah. Seni daripada taraf rendah (kedaerahan) meningkat ke peringkat antarabangsa. Pada tahun 1957 Frank Sullivan telah dilantik sebagai setiausaha akhbar kepada YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaya yang pertama. Ini membawa kesan yang mendalam dalam perkembangan seni Malaysia kerana usaha-usaha Sullivan yang bersungguh-sungguh untuk memperkenalkan para pelukis tempatan serta karya-karya mereka. Balai Seni Lukis Negara di 109, Jalan Ampang telah dibuka dengan rasminya oleh YTM Tunku Abdul Rahman pada 27 Ogos 1958. Pameran pembukaan telah memaparkan karya-karya Chen Wen His, Cheong Lai Tong, Chuah Thean Teng, Mohd Hoessein Enas, Nik Zainal Abidin, Peter Harris, Patrick Ng, Syed Ahmad Jamal, Tay Hooi Keat dan Yong Mun Sen. Selain Frank Sullivan yang menjadi setiausaha selama sepuluh tahun, antara yang telah membangunkan Balai Seni Lukis Negara adalah Tan Sri Mubin Sheppard, Tan Sri Ghazali Shafie, Tan Sri Dato Azman Hashim, Tan Sri Kamarul Ariffin, Tan Sri Zain Azraii, Professor Ungku Aziz, Puan P.G. Lim dan ramai lagi. Balai Seni Lukis Negara memperolehi koleksi tetapnya secara beransur-

15

ansur. Dua koleksi yang menarik ialah gambar foto burung Dato Loke Wan Tho dan Koleksi hasil-hasil kaligrafi dinasti Sung yang didermakan oleh Lee Kah Yeow bernilai 2 juta ringgit. Seni Lukis Tahun 1960-an Seni lukis aliran utama 1960an telah mengetengahkan karya seni yang mempunyai nilainilai misteri dan alam semesta . Idea seni visual ini begitu menakjubkan sehingga telah berjaya menarik perhatian audien untuk menghayatinya kerana wujud kelainan yang tersendiri . Dengan adanya tradisi seni khat telah membentuk satu pengucapan gambaran yang tersendiri. Lahir pandangan yang kritikal terhadap seni lukis. Pelbagai aktiviti dijalankan melalui saluran media massa. Antaranya ialah perbincangan, ceramah, syarahan, laporan, pameran dan sebagainya. Acara-acara seni lukis menjadi acara gemilang yang dihadiri oleh pelukis-pelukis, pencinta seni, ahli politik dan diplomat. Special Teachers Training Institute (STTI) ditubuhkan pada tahun 1960 yang kemudiannya ditukar kepada Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK). Guru-guru yang berminat di bidang seni diberi peluang melanjutkan pelajaran melalui kursus sepenuh masa selama satu tahun. Mereka yang menunjukkan bakat besar dihantar untuk melanjutkan pengajian ke luar negara. Golongan pelukis-pelukis dan pendidik seni telah menjadi tenaga utama seni lukis pada lewat tahun 1960an. Kakitangan akademik Jabatan Seni di Maktab Perguruan Ilmu Khas seperti Syed Ahmad Jamal, Anthony Lau, Lee Joo For, Cheong Laitong, Jolly Koh dan lain-lain lagi memainkan peranan yang penting dalam seni lukis avant-garde di negara ini. Institusi Senilukis yang pertama ditubuhkan ialah Malayan Institut of Art pada tahun 1966. Institusi persendirian ini menawarkan kursus-kursus diploma selama tiga tahun dalam bidang Fine Art, Commercial Art dan Interior Design di samping kursus-kursus sambilan. Penubuhan Institut Teknologi Mara pada tahun 1967 telah melahirkan sekumpulan tenaga baru pendidik seni dan usahawan-usahawan Melayu dalam bidang seni tertentu. Ia menawarkan kursus diploma selama empat tahun dalam bidang Fine Arts (Painting and Sculpture), Graphics, Photography, Fine Metal, Pottery and Ceramics, Textiles, Fashion dan Industrial Design. Kuala Lumpur College of Art telah ditubuhkan dalam tahun 1968 dengan menawarkan kursus diploma selama tiga tahun dalam bidang Painting, Sculpture, Ceramics, Chinese Brush Painting, Photography dan Commercial Art. Tahun 1970an

16

Seni Lukis Tahun 1970an Dalam tahun 1970-an ,pensyarah-pensyarah Intitut Teknologi Mara telah mengambil alih tempat avant-garde. Mereka terdiri dari kumpulan New Scene seperti Redza Piyadasa, Sulaiman Haji Esa, Chong Kam Kow, Tan Teong Eng, Joseph Tan dan lain-lain lagi. Kumpulan ini telah mendebarkan keadaan seni lukis tempatan dengan ungkapan-ungkapan yang mencabar. Pendekatan gaya catan mereka yang berasaskan optik dan maklumat telah mengejutkan pelukispelukis tempatan dan masyarakat umum. Pelukis-pelukis bukan sahaja berkarya dalam bidang minimal, pop, up dan lain-lain aliran semasa tetapi juga menyarankan seni melibatkan kepintaran, nilai-nilai mistika dan metafisika iaitu maklumat dan ilmu yang luar dari bidang catan. Catan hard-edge yang menegaskan kedataran dan tanpa isyarat yang dipelopori oleh Chong Kam Kow, Tan Teong Eng dan Tong Tuck telah mempunyai ikutan yang teguh di awal 1970an . Seni Lukis Tahun 1980-an Persatuan Pelukis Malaysia ditubuhkan pada tahun 1980 dengan hasrat mewujudkan sebuah badan yang betul-betul mewakili pelukis, memperbaiki kedudukan pelukis dan bekerjasama dengan kerajaan mengenai hal-hal yang berkaitan dengan seni lukis di Malaysia dan Luar negara. Penubuhan Pusat Seni di Universiti Sains Malaysia pada tahun 1984 telah melahirkan guru-guru pemegang ijazah bagi institut, maktab dan sekolah-sekolah serta para profesional yang lebih maju dan mahir dalam bidang seni halus. Kursus Ijazah selama tiga tahun ditawarkan oleh Jabatan Kemanusiaan. Ini termasuk Studio Seni lukis dan Sejarah Senilukis dan Kemanusiaan. USM menawarkan kursus Seni halus bagi Catan, Fotografi, Teori-teori Seni, Seni Arca, Rekabentuk Grafik, Aspek-aspek Seni Asia Tradisional, Aspek-aspek Keseniaan Asia Moden dan latihan Ilmiah. USM juga menawarkan kursus Master of Art dalam Sejarah Senilukis. Institut dan akademi seni swasta yang ditubuhkan di sekitar negara juga telah memberi sumbangan mengeluarkan tenaga seni dalam pelbagai bidang. Badan-badan swasta seperti firmafirma petroleum dan para peminat seni yang berada , telah mula membeli karya-karya untuk dijadikan koleksi simpanan. Awal tahun 1980an mengemukakan bidang kanvas yang lebih luas dan menarik dengan munculnya catan pemandangan yang naif, sambungan akademik aliran

17

realisme dan karya-karya yang menyedut inspirasi dari mitos dan lagenda yang kaya di rantau ini.

Kesimpulan Secara kesimpulannya , bidang Pendidikan Seni Visual sememangnya telah mengalami perubahan yang sangat besar bermula era 20an hinggalah kini . Perkembangan Seni Visual berlaku dalam 3 fasa utama iaitu sebelum merdeka sekitar 1930an , awal merdeka dan selepas zaman kemerdekaan .Bermula dengan nama asalnya iaitu Lukisan dan Pertukangan Tangan hinggalah yang terbaharu iaitu Dunia Seni Visual di bawah dasar pendidikan yang terkini , Kurikulum Standard Sekolah Rendah ( KSSR ) . Dari aspek objektif , matlamat , dan tujuan bidang pendidikan seni juga telah berubah secara menyeluruh mengikut kepentingan semasa zaman ini . Jika dahulu tujuan dan matlamat Lukisan dan Pertukangan Tangan adalah untuk keperluan kemahiran diri sendiri sahaja kerana dikongkong oleh sistem pendidikan kolonial Inggeris , tetapi menerusi agenda kurikulum Dunia Seni Visual yang terkini pula , objektifnya lebih mampan dan seimbang iaitu adalah untuk melahirkan insan yang harmonis, kritis, kreatif dan produktif menerusi pemupukan asas seni visual dan berupaya meningkatkan rasa kesyukuran terhadap Tuhan, menghargai keindahan alam persekitaran, keindahan seni dan warisan bangsa serta dapat menyumbang ke arah pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan negara, selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Dari perspektif perkembangan aliran seni pula , ia turut mengalami perubahan yang begitu ketara sekali . Sekitar 20-an , kebanyakan karya seni visualnya berkisarkan aliran realisme yang mempunyai pengaruh kerajaan Inggeris . Pihak Inggeris telah memperkenalkan genre lukisan/ catan lanskap dalam aliran Realisme, zaman Pre-Raphelites, Turner dan Constable. Ini telah berterusan sehingga abad ke 19 apabile Seni Eropah terutamanya Seni Perancis mula memberi kesannya kepada seluruh rantau dengan pergerakan-pergerakan seni seperti aliran Impresionisme, Kubisme, Surealisme, Futurisme dan Konstruktivisme. Aliran seni di Malaysia turut mendapat sentuhan daripada aliran-aliran seni dari luar iaitu dari Bali yang mengetengahkan lukisan berbentuk figuratif dan potret serta pengaruh Arab yang menonjolkan

18

seni visual bercirikan keTuhanan di mana lukisan berbentuk kaligrafi dan khat mula dipraktikkan oleh pelukis-pelukis sekitar 1950an hingga 1970an . Justeru itu , walau apapun aliran seni yang didokong oleh para pengkarya seni visual tanahair dari zaman lalu hinggalah era masakini , ia sebenarnya bertujuan untuk mendidik masyarakat untuk lebih mengenali dan menghayati nilai estetik sesebuah karya dan sekaligus mengangkat martabat dan maruah bidang seni visual yang sering dipandang sepi dan dilabelkan sebagai subjek kelas kedua oleh masyarakat . Bertepatanlah dengan objektif kurikulum Pendidikan Seni Visual dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu : a) Menunjukkan penghargaan terhadap keindahan alam ciptaan Tuhan b) Memupuk budaya penyelidikan dalam proses penghasilan karya seni visual c) Meningkatkan pengetahuan, daya kreativiti, inovasi, disiplin serta kemahiran dalam bidang seni visual yang dapat diamalkan dalam kehidupan dan kerjaya. d) Menggunakan pelbagai kemahiran, media, teknik dan teknologi untuk merekacipta barangan kraf dan produk seni visual yang berkualiti e) Membuat diskripsi, analisis, interpretasi dan penilaian terhadap karya seni visual f) Menunjukkan nilai tambah dalam disiplin sains, teknologi dan mata pelajaran lain g) Menunjukkan penghargaan terhadap sumbangan dan pengaruh tokoh-tokoh seni visual dalam konteks perkembangan sejarah seni visual di Malaysia dan antarabangsa h) Menjadikan bidang seni visual sebagai prospek kerjaya i) Menunjukkan kesedaran dan penghargaan terhadap suasana seni dalam persekitaran dan kaitan dengan keselesaan hidup j) Menunjukkan semangat bina jati diri ke arah pembentukan negara bangsa.

19

______________________________________________________________________________ Bibliografi

Buku Rujukan 1. Ahmed Ghazie Ibrahim. (2000). Pengajaran Dan Pembelajaran Pendidikan Seni Di Sekolah: Dulu, Kini Dan Masa Hadapan. Proseding Konvensyen Kebangsaan Pendidikan Seni Visual. Balai Seni Lukis Negara.

2. Iberahim Hassan. (2001). Pendidikan Seni Di Malaysia: Antara Harapan Dan Kenyataan dalam Seminar Pedagogi Pendidikan Seni Visual. Tanjong Malim, UPSI.

3. Mazlan Mohamad. (1997). Pendidikan Seni 2: Kurikulum Pendidikan Seni. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. Rujukan Atas Talian 4. http://faizalsidik.blogspot.com/2012/02/himpunan-esei-seni-lukis-malaysia-1970.html 5. http://www.artgallery.gov.my/ ( Laman rasmi Balai Seni Lukis Negara )