Anda di halaman 1dari 5

Apa itu kemurungan?

Date: 11 August 2008 Kemurungan adalah satu bentuk gangguan emosi paling umum. Gangguan kemurungan sebenarnya merupakan satu penyakit biasa dan lebih umum daripada hipertensi atau diabetes. Kadar kelaziman kes kemurungan dalam sesebuah jangka hayat di mana-mana negara adalah antara lapan hingga 10 peratus. Beberapa kajian oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Bank Dunia mendapati kemurungan adalah penyakit keempat paling serius dalam melumpuhkan jiwa seseorang di dunia. Gangguan ini juga menjadi punca kematian paling umum akibat membunuh diri. WHO menganggarkan kematian akibat bunuh diri di rantau Asia Pasifik adalah lebih tinggi daripada penyakit tibi. Wanita adalah lebih cenderung menghidap kemurungan berbanding lelaki dengan kadar nisbah 1:2. Beberapa laporan berasingan mendedahkan kira-kira sembilan peratus daripada rakyat Malaysia adalah pesakit yang mengalami kemurungan tahap serius. Selari dengan perangkaan global, kemurungan juga merupakan penyakit keempat serius di Malaysia. Tetapi jika mengikut pecahan jantina, ia berada di tangga ketiga bagi wanita dan ke-10 bagi lelaki. Menurut Manual Diagnostik dan Statistik Masalah Mental IV (DSM-IV), diagnosis kemurungan hanya boleh dilakukan jika terdapat sekurang-kurangnya lima simptom kemurungan yang hadir untuk tempoh sependek dua minggu. Signifikan kehadiran simptom-simptom ini perlu ketara sehingga menjejaskan aspek sosial dan pekerjaan seseorang. Simptom-simptom itu termasuk: Emosi negatif Anhedonia (perkataan Greek bermakna tiada kenikmatan; tidak dapat merasa nikmat daripada aktiviti harian yang digemari) Perasaan tidak endah Hilang minat dan rasa seronok Hilang minat terhadap hubungan seks Perasaan sedih Rasa letih Hilang berat badan dan selera makan secara mendadak Mengalami gangguan tidur Mudah sensitif Resah Keliru Kadar konsentrasi yang lemah Kesunyian Perasaan negatif: Hilang harapan, rasa tidak berguna, rasa bersalah, ingin membunuh diri Masalah-masalah fizikal termasuk: sakit belakang, sakit kepala, pening, kesakitan kronik dan masalah perut.

Diagnosis Untuk mendiagnosis kemurungan, masalah perubatan lain yang mungkin mengakibatkan simptom-simptom yang sedang dialami pesakit perlu disingkirkan terlebih dahulu. Tiada satu punca tertentu yang mengakibatkan kemurungan. Masalah ini biasanya berpunca daripada gabungan beberapa faktor. Berikut adalah antara kemungkinan yang boleh menyebabkan rasa murung: Faktor-faktor psikologi: Tekanan daripada sesuatu situasi atau persekitaran dan kejadian (trauma) tertentu. Faktor genetik, rasa rendah diri, penyakit fizikal yang kronik atau serius.

Perkongsian masalah bantu tangani kemurungan


Date: 11 August 2008 Hari sedang hujan. Anda berasa hari berjalan dengan perlahan, malas bergerak dan kurang berminat untuk melakukan apa-apa aktiviti, kecuali tidur. Ini mungkin normal memandangkan cuaca sejuk membuat diri yang sentiasa dibakar kepanasan berasa nyaman dan ingin bersantai menikmati cuaca sejuk selama yang boleh. Bagaimanapun, jika anda hilang minat terhadap sebarang aktiviti, terutamanya aktiviti kegemaran anda, sepanjang masa tidak kira tempat atau persekitaran, mungkin anda dilanda kemurungan. Di sebalik senyuman ketika di hadapan ahli masyarakat, rakan sekerja dan orang tersayang, seseorang itu tetap berkemungkinan menghadapi kemurungan. Puncanya sukar untuk ditentukan. Ada pesakit yang menderita untuk jangka pendek dan pulih sendiri, ada juga yang sudah lama menderita akibat kemurungan tetapi tidak menyedarinya. Kerap kali juga kita mendengar kata-kata saya berasa murung tetapi ada di antaranya cuma bercakap tanpa mengetahui maknanya. Kemurungan mempunyai definisinya tersendiri bersama simptom tertentu yang menjadi ciri khusus dan penanda aras dalam mendiagnosis pesakit. Dalam kemurungan Kemurungan adalah sejenis penyakit mental yang banyak berlaku tetapi kurang didiagnosis sehinggalah masalah telah menjadi teruk dan memerlukan rawatan rapi. Hampir kesemua pesakit yang murung mengalami episod mood yang rendah, dan hilang minat sepenuhnya terhadap sesuatu aktiviti yang sebelum ini digemarinya.

Sering kesedihan, rasa cemas atau mudah marah, rasa rendah diri yang ketara, rasa bersalah tidak bertempat, rasa tidak berupaya, gelisah serta kesukaran menumpukan perhatian, mengingati maklumat atau membuat keputusan menjadi antara tanda-tanda kemurungan. Pesakit juga mungkin menyisihkan diri daripada masyarakat, keluarga atau rakan, dan mungkin wujud perasaan mahu atau cubaan membunuh diri. Mereka yang murung juga mengalami simptom fizikal seperti berat badan atau selera makan meningkat (atau menurun), bangun terlalu awal, kurang bertenaga, sakit kepala, masalah penghadaman dan rasa sakit yang kronik. Orang di sekitar individu yang murung mungkin perasan penampilan yang semakin runsing atau pergerakan semakin perlahan. Namun, bukan semua individu kemurungan menunjukkan kesemua atau simptom yang sama. Untuk mengelaskan seseorang itu sebagai murung, simptom tertentu (kecuali perasaan ingin bunuh diri) perlu hadir selama sekurang-kurangnya dua minggu. Di kalangan kanak-kanak pula, simptom murung lebih sukar untuk dikenalpasti dan sering dianggap sebagai membuat perangai semata-mata. Hakikat Bagi pesakit yang mengalami kemurungan, meluahkan apa yang terbuku di hati mungkin jalan terbaik untuk melegakan perasaan. Apa yang diperlukan bukan sahaja berdialog dengan doktor, tetapi juga dengan orang tersayang. Hakikatnya, komunikasi adalah satu bentuk terapi yang penting. Statistik kemurungan global memperlihatkan satu keadaan yang kian membimbangkan. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kemurungan adalah penyakit keempat paling serius dalam melumpuhkan jiwa seseorang di dunia. Malah, kadar kelaziman penyakit ini juga didapati lebih ketara berbanding hipertensi (tekanan darah tinggi), mahupun diabetes. WHO turut menganggarkan kadar kematian kejadian bunuh diri akibat kemurungan di rantau Asia Pasifik adalah lebih tinggi berbanding penyakit Tuberkulosis (tibi). Kadar kelaziman kes kemurungan di sesebuah negara adalah pula dianggarkan antara lapan hingga 10 peratus. Malaysia dalam menuju ke arah pembangunan turut tidak terkecuali daripada menghadapi masalah yang sama di kalangan rakyatnya. Semakin tinggi kadar pemangkin tekanan (stres), semakin tinggi juga kadar kelaziman masalah kemurungan. Beberapa laporan mendedahkan kira-kira sembilan peratus (hampir 2.5 orang) rakyat Malaysia mengalami kemurungan yang serius. Peratusan ini berada dalam lingkungan sama dengan anggaran purata dunia dengan kemurungan juga merupakan penyakit keempat serius di Malaysia.

Bagaimanapun, dari segi pecahan jantina, kemurungan menjadi masalah ketiga paling serius untuk wanita berbanding ke-10 serius bagi lelaki. Perbezaaan ini jelas menunjukkan betapa masalah ini menjejaskan hidup wanita yang lebih cenderung menghidap kemurungan, termasuk dalam tempoh tertentu selepas melahirkan anak. Berkongsi senyuman Sedikit berita baik! Rawatan sewajarnya boleh membantu sekurang-kurangnya 85 peratus pesakit yang mengalami kemurungan. Pesakit lazimnya boleh menjalani sesi-sesi kaunseling, terapi ataupun menerusi pengambilan ubat anti kemurungan. Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), Dr. Yen Teck Hoe menjelaskan kemurungan merupakan satu bentuk gangguan emosi yang paling biasa berlaku. Masalahnya, ramai tidak memahami apa itu kemurungan dan tidak dapat membezakannya dengan kesedihan biasa. Jika mereka dapat membezakannya, mereka tentu tahu bahawa berjumpa dengan doktor dan mengambil ubat antidepresen boleh membantu, katanya. Menurut beliau, orang ramai juga perlu belajar mempercayai doktor dan ubat-ubatan kerana diagnosis sendiri tidak akan membantu memulihkan keadaan. Dengan kesedaran akan kepentingan sokongan dan komunikasi untuk pesakit yang mengalami kemurungan, sebuah kempen Dialog: Program SNRI (Dialogues: Support N Remission Impact (SNRI) Programme)g telah dilancarkan oleh Wyeth (Malaysia) Sdn. Bhd. dan MPA. Program ini bertujuan membantu orang ramai, pesakit, keluarga mereka dan doktor memahami apa itu kemurungan dan juga membuang stigma yang menyelubungi masalah kemurungan. Turut diperkenalkan adalah Buku Panduan Pesakit Venlafaxine. Venlafaxine merupakan sejenis ubat antidepresen yang mula diperkenalkan pada 1993 untuk preskripsi pesakit dengan masalah kemurungan yang teruk dan masalah rasa gelisah (kegelisahan). Program khas ini bertujuan mendidik dan menggalakkan golongan doktor, keluarga pesakit dan rakan-rakan untuk memberi sokongan serta mengadakan sesi dialog berterusan dengan pesakit yang sedang menjalani rawatan. Bekas Presiden MPA, Profesor Dr. Mohamad Hussain Habil memaklumkan, walaupun kebanyakan pesakit pulih selepas menerima gabungan rawatan, kajian mendapati lebih daripada 40 peratus pesakit menghentikan rawatan anti kemurungan selepas tempoh tiga bulan. Ini berlaku kerana kurangnya komunikasi, sokongan serta pemahaman terhadap kesankesan sampingan kemurungan.

For further reading, kindly visit www.utusan.com.my . MPA disclaim any responsibility of the validity and credibility of the content on this page and although the content is uploaded to the website in good faith, it is not endorsed by MPA and it may not represent the opinion of MPA. For further information please read MPA's full disclaimer here disclaimer