Anda di halaman 1dari 13

SKBP 2034 METODOLOGI PENYELIDIKAN

TAJUK KESANTUNAN BERBAHASA DALAM SISTEM PANGGILAN MASYARAKAT MELAYU PENSYARAH: PN. HARISHON RADZI DR. MOHAMMED AZLAN MIS

NAMA PELAJAR: NAIMAH BINTI MAMAT (A137893)

1.0

Pengenalan

Apabila berbicara tentang kesantunan berbahasa, rasanya wajar untuk kita selusuri takrifan kesantunan itu sedalam-dalamnya. Menurut Kamus Dewan (1984), hal. 1115 santun bermaksud halus budi bahasa atau budi pekerti, beradab atau sopan. Awang Sariyan (2007) memberi definisi kesantunan sebagai penggunaan bahasa yang baik, sopan, beradab, memancarkan peribadi mulia dan menunjukkan penghormatan kepada pihak yang menjadi teman bicara. Menurut Asmah Haji Omar (2000), kesantunan mengikut perspektif Melayu ialah penggunaan bahasa sehari-hari yang tidak menimbulkan kegusaran, kemarahan dan rasa tersinggung daripada pendengar. Santun dalam berbahasa bukan sahaja mendapat perhatian para pakar bahasa tempatan malah turut dikaji oleh pengkaji bahasa dari barat. Leech (1983), menginterpretasikan kesantunan sebagai perlakuan yang dapat mengurangkan pergeseran dalam sesuatu interaksi. Fishman J. Ferguson dan Das Gupta (1968), pula menyatakan kesantunan itu berlaku apabila kontrak perbualan digunakan oleh penutur dan pendengar sebagai usaha mengekalkan komunikasi yang harmoni tanpa menimbulkan sebarang konflik. Asmah Hj. Omar (2000), pula menyatakan kesantunan ialah kaedah atau strategi yang digunakan oleh penutur untuk mencapai sesuatu tujuan. Strategi ini dikaitkan dengan kesantunan dan perlu dikuti dengan tingkah laku dan tutur kata yang santun. Strategi kesantunan melibatkan beberapa faktor seperti sedar tentang peranan masing-masing, perbezaan taraf sosial, kuasa dan keperluan mengawal perbincangan berdasarkan tajuk atau air muka yang meliputi maruah dan martabat. Bagi Asmah Hj. Omar (2000), kesantunan bukan strategi semata-mata sebaliknya kesantunan merupakan ciri budaya yang menghendaki ahli masyarakatnya bersopan santun dan menghormati antara satu sama lain. Pembinaan tingkah laku yang santun dalam kalangan orang Melayu adalah menerusi proses didikan yang panjang dan berterusan. Bahasa dan masyarakat sememangnya tidak dapat dipisahkan. Setiap individu memerlukan bahasa untuk berkomunikasi dan pelbagai lagi fungsi kehidupan. Bahasa merupakan salah satu perkara yang unik. Menurut S. Nathesan (1995) melalaui bahasa manusia dapat melahirkan perasaan mereka, seperti suka dan duka. Pada zaman dahulu kala, masyarakat menyampaikan maksud melalui isyarat tetapi dengan terciptanya bahasa, mereka dapat berinteraksi antara satu sama lain dengan lebih akrab dan rapat lagi.

Sistem sapaan bermaksud kaedah yang digunakan oleh sesuatu masyarakat atau bangsa untuk menegur atau menyapa seseorang, baik dalam konteks rasmi mahupun tidak rasmi. Sistem sapaan berperanan sebagai penghubung langsung antara pihak yang menyapa dengan pihak yang disapa. Bentuk sapaan menjadi unsur wacana yang penting dalam pelbagai komunikasi manusia dan perlu digunakan dengan tepat menurut sistem yang diterima oleh masyarakat. Amat Juhari Moain dalam bukunya Sistem Panggilan dalam Bahasa Melayu membahagikan sistem sapaan dalam bahasa Melayu seperti yang berikut: 1. Susunan kata yang digunakan pada masa membuat sapaan dan panggilan, iaitu (a) sapaan yang lengkap dengan kata rujukan kehormat, gelaran atau pangkat yang disandang dan nama peribadi yang lengkap; dan (b) sapaan ringkas yang menyebut nama gelaran dan/atau pangkat dengan atau tanpa nama peribadi. 2. Sebutan senarai orang yang disapa daripada peringkat yang paling kanan hingga peringkat yang di bawahnya. 3. Penggunaan kata ganti nama diri.Kata ganti nama diri merupakan bentuk yang lebih umum dan lebih kerap digunakan, serta kurang kompleks berbanding dengan bentuk sapaan yang lain. Kata ganti nama diri dalam bahasa Melayu terbahagi kepada tiga, iaitu kata ganti nama diri pertama, kata ganti nama diri kedua dan kata ganti nama diri ketiga.Bentuk kata ganti nama diri bergantung pada kata ganti nama diri itu digunakan, sama ada dalam suasana dan urusan rasmi atau dalam suasana dan urusan tidak rasmi. Jumlah kata ganti nama diri yang digunakan untuk suasana dan urusan rasmi agak kecil, misalnya saya, kami, kita, tuan, puan, beliau, dia, ia dan mereka. Sebaliknya, kata ganti nama diri yang digunakan dalam suasana dan urusan tidak rasmi amat banyak. Hal ini disebabkan oleh banyaknya dialek yang ada dalam bahasa Melayu dan dapat dikatakan bahawa dalam setiap dialek terdapat kata ganti nama diri yang tersendiri. Berdasarkan takrifan-takrifan tersebut dapatlah dibuat kesimpulan santun berbahasa bermaksud kesopanan dan kehalusan bahasa yang digunakan oleh seseorang ketika berkomunikasi. Bahasa yang digunakan mestilah digunakan penuh dengan adab, tertib dan bertatasusila supaya wujud suasana komunikasi yang harmoni tanpa sebarang pergeseran atau konflik.

Kesimpulannya berdasarkan perbincangan di atas kesantunan dalam pangilan berbahasa mementingkan budaya dan masyarakat akan menunjukkan strategi kesantunan sesebuah masyarakat dengan jelas yang berkaitan dengan strategi budaya dan nilai masing-masing. Pemahaman dalam strategi kesantunan dalam kalangan masyarakat yang berbeza akan mendorong dan mengharmonikan masyarakat sejagat yang bertanggung jawab. 2.0 Permasalahan Kajian

Permasalahan kajian merupakan salah satu aspek yang terpenting dalam sesebuah penyelidikan. Dari semua kajian lepas yang telah dikumpul, didapati terdapat perbezaan diantara kajian-kajian lepas dan kajian yang ingin dilakukan oleh pengkaji. Dalam dunia yang pesat membangun ketika ini, banyak perubahan yang telah berlaku termasuklah perubahan budaya dalam sesebuah masyarakat. Aspek kesantunan berbahasa merupakan sebahagian daripada budaya masyarakat terutamanya masyarakat Asia. Hal ini kerana, pandangan masyarakat dunia tidak lari terhadap budaya ketimuran yang ditunjukkan oleh masyarakat Asia berkaitan dengan aspek kesantunan berbahasa. Berdasarkan pemerhatian dan analisis kajian terdahulu, didapati bahawa kajian tentang kesopanan berbahasa atau eufemisme masih kurang mendapat tempat dalam kalangan pengkaji bahasa sedangkan masyarakat Melayu sangat berpegang kuat pada adab dan kesantunan. Antara pengkaji bahasa yang membincangkan tentang kesantunan berbahasa adalah Asmah Haji Omar (2000) dalam bukunya yang bertajuk Wacana, Perbincangan, Perbahasan, Perundingan yang menyentuh tentang kesantunan di dalam majlis. Dalam kajian ini, beliau telah membahagikan kesantunan kepada dua bentuk iaitu kesopanan asas dan kesopanan berkendala. Pengkaji yang sama iaitu Asmah Haji Omar (2007) terus membincangkan aspek kesantunan berbahasa dalam karyanya yang bertajuk Kesantunan Berbahasa dalam Pengurusan Pentadbiran dan Media menyentuh tentang kesantunan berbahasa melibatkan bahan tulisan. Dalam kajian ini beliau telah menerangkan dengan lebih lanjut peraturan sopan santun dalam konteks yang berbeza-beza seperti iklan, surat-menyurat, pelbagai jenis laporan dalam pengurusan dan pentadbiran media massa. Walaupun konteks yang dibincangkan berbeza antara satu dengan yang lain tetapi masih terdapat peraturan sopan santun telah ditetapkan. Selain itu, Zuraidah Jantan (2009) mengkaji eufemisme dan membandingkan kekerapan penggunaan eufemisme dalam dua buah novel iaitu novel Mereka yang Tertewas yang ditulis

oleh pengarang lama (Hasanuddin Md Isa 1889) dan Novel Black Widow yang ditulis oleh pengarang baru (Noor Hatini Binti Zolkifli et al, 2001). Kajian terdahulu yang mengkaji aspek kesantunan berbahasa bentuk kata panggilan ialah seperti kajian yang telah dilakukan oleh Zaitul Azma Zainon Hamzah, et al. (2001) dalam jurnal yang bertajuk Kesopanan Berbahasa dalam Kalangan Remaja Sekolah Menengah. Kajian yang pernah dijalankan oleh pengkaji lepas seperti Noriati A.Rashid dalam kajian terhadap kesantunan Orang Melayu dalam Majlis Pertunangan hanya menumpukan kajian terhadap masyarakat Melayu sahaja. Perkara ini kerana, masyarakat Asia sering dikaitkan dengan kesopanan atau kesantunan dalam berbahasa. Contohnya ialah, kajian yang telah dilakukan oleh Khadijah Ibrahim (1993), menerusi tesis sarjana sasteranya telah mengkaji kesantunan keluarga Melayu dalam membuat permintaan. Kajian tersebut telah menggunakan kerangka teori Brown dan Levinson dan hasil kajian tersebut telah mendapati bahawa masyarakat Melayu mengutamakan konsep air muka dalam menjaga keharmonian keluarga. Kebanyakan pengkaji telah banyak membuat kajian terhadap kesantunan berbahasa. Kajian yang telah dilakukan sedikit sebanyak telah menghuraikan aspek kesantunan berbahasa dalam kehidupan budaya masyarakat Melayu. Walau bagaimanapun, masih terdapat kelompongan hasil daripada kajian-kajian yang telah dilakukan. Pengkaji terdahulu sememangnya mengkaji aspek ini tetapi kajian tentang kesantunan berbahasa dalam kajian tentang cerita rakyat masih lagi kurang pengkajiannya. Hal ini dapat dilihat daripada pengkaji lepas seperti Asmah Haji Omar (2000), Teo Kok Seong (2003), dan Noriati A.Rashid (2007) yang banyak menyentuh mengenai kesantunan dalam adat Melayu, kesantunan dalam urusan rasmi dan sebagainya. Oleh yang demikian, menjadi kewajaran pengkaji untuk mengkaji kesantunan berbahasa dalam sistem panggilan Melayu. Menurut Kamus Dewan (1984) hal. 1126 sistem, bermaksud kaedah atau cara untuk melakukan / menyebut sesuatu, manakala penggilan hal. 901 bermaksud menyuruh datang dengan menyebut nama. Kesimpulannya sistem panggilan bermaksud cara atau kaedah untuk memanggil seseorang untuk datang atau bertegur. Konsep kesantunan orang Melayu melibatkan hubungan tiga penjuru iaitu melibatkan penjagaan hubungan antara manusia dengan Tuhan (hablun minallah) serta memberatkan hubungan antara manusia (penutur) dengan manusia (hablun min al-nas) iaitu pendengar. Kesantunan berbahasa telah berdarah daging dan menjadi lambang jati diri bangsa Melayu sejak zaman berzaman. Pendek kata, orang Melayu sudah sekian lama disinonimkan dengan kesantunan dalam berbahasa dan perlakuan. Jadi demi kelangsungan jati diri bangsa Melayu

yang unggul dan gemilang, semestinya setiap lapisan masyarakat terus menyemarakkan penggunaan bahasa yang santun dalam kehidupan seharian. Seperti yang kita semua maklum, nilai murni dalam budi bahasa memberikan kekuatan sosial dan moral serta membentuk budaya tinggi sesebuah masyarakat. Bangsa yang maju mengamalkan bahasa budaya tinggi yang dituturkan dengan cara yang halus, menarik, berkesan, bersopan santun, mempunyai nilai estetik, intelektual dan nilai budaya yang mencerminkan tamadun dan kesusilaan bangsa yang berperibadi tinggi. Oleh itu, wajarlah pengkaji untuk mengkaji kesantunan berbahasa dalam sistem panggilan Melayu. 3.0 Objektif Kajian

Kajian yang dijalankan ini adalah bertujuan untuk: i. Mengkategorikan bentuk-bentuk kesantunan berbahasa dalam sistem panggilan masyarakat Melayu. ii. Menghuraikan peranan bentuk-bentuk kesantunan berbahasa ini terhadap masyarakat Melayu. 4.0 Persoalan Kajian i. Apakah bentuk-bentuk kesantunan berbahasa yang terdapat dalam system panggilan masyarakat Melayu? ii. Adakah bentuk-bentuk kesantunan ini dapat memainkan peranan terhadap masyarakat Melayu pada zaman sekarang? 5.0 Kosa Ilmu 1. Asmah Haji Omar (2000) Asmah Hj Omar, dalam bukunya yang bertajuk Wacana, Perbincangan, Perbahasan, Perundingan yang menyentuh tentang kesantunan di dalam majlis. Dalam kajian ini, beliau telah membahagikan kesantunan kepada dua bentuk iaitu kesopanan asas dan kesopanan berkendala. Kesantunan asas ialah kesantunan sedia ada yang merupakan pedoman bagi masyarakat berhubung antara satu sama lain. Dengan cara menunjukkan adanya sikap berbaik-baik antara satu sama lain yang menghendaki ahli masyarakat bersopan santun antara satu sama lain. Ini kerana dalam mana-mana masyarakat yang

bertamadun ada kesopanan asas yang dikaitkan dengan didikan sejak awal lagi seperti yang terdapat dalam ajaran Islam atau agama-agama lain. Kesantunan berkendala pula merujuk kepada kesantunan yang

menggambarkan ucapan yang dilakukan oleh masyarakat dalam hubungan antara satu sama lain. Antara kendala tersebut ialah taraf dan peranan orang yang bercakap, di mana dan dalam keadaan yang bagaimana, apa yang dipercakapkan, mengapa percakapan itu berlaku dan cara percakapan disampaikan . 2. Asmah Haji Omar (2007) Asmah Haji Omar (2007) terus membincangkan aspek kesantunan berbahasa dalam karyanya yang bertajuk Kesantunan Berbahasa dalam Pengurusan Pentadbiran dan Media yang menyentuh tentang kesantunan berbahasa melibatkan bahan tulisan. Dalam kajian ini beliau telah menerangkan dengan lebih lanjut peraturan sopan santun dalam konteks yang berbeza-beza seperti iklan, surat-menyurat, pelbagai jenis laporan dalam pengurusan dan pentadbiran media massa. Walaupun konteks yang dibincangkan berbeza antara satu dengan yang lain tetapi masih terdapat peraturan sopan santun telah ditetapkan. 3. Zuraidah Jantan (2009) Kertas kerjanya meneliti aspek eufemisme yang digunakan dalam novel bagi menggantikan perkataan yang dianggap tabu atau kasar. Eufemisme merupakan satu manifestasi kesopanan bahasa dalam masyarakat Melayu. Kajian ini dijalankan dengan cara mengumpulkan data novel yang diperolehi dari sumber perpustakaan. Zuraidah Jantan mengkaji eufemisme dan membandingkan kekerapan penggunaan eufemisme dalam dua buah novel iaitu novel Mereka yang Tertewas yang ditulis oleh pengarang lama (Hasanuddin Md Isa 1889) dan novel Black Widow yang ditulis oleh pengarang baru (Noor Hatini Binti Zolkifli et al, 2001). Ia bertujuan melihat perbandingan penggunaan eufemisme di antara novel yang mengandungi unsur agama dan novel biasa serta perbandingan di antara novel lama dan novel baru.

Pendekatan Gumperz (1984) digunakan dalam kajian ini di mana, penelitianpenelitian ini bersifat mikro yang menghuraikan sesuatu amalan bahasa itu secara tuntas dengan memerikan setiap aspek yang dibincangkan itu berdasarkan sifat serta ciri yang diperlihatkan oleh individu-individu yang terlibat. Selain itu, kajian ini juga didasari oleh empat pendekatan yang mampu menghuraikan fenomena kesopanan bahasa khususnya dalam masyarakat Melayu (Fraser 1990; Teo Kok Seong 1992). Pendekatan-pendekatan itu adalah pendekatan norma sosial (social norm), maksim perbualan (conversational maxim), jaga air muka (face saving) dan kontrak perbualan (conversational contract). Eufemisme sering kali digantikan dengan yang baru kerana yang lama itu atau yang sebelumnya itu menjadi kesat dan tidak sesuai digunakan lagi. Penggantian eufemisme ini dianggap akan terus berlaku tanpa kesudahan kerana wujudnya topik-topik tabu dalam masyarakat dan budaya Melayu. 4. Zaitul Azma Zainon Hamzah, et al. (2001) Zaitul Azma Zainon Hamzah, et al. (2001) yang telah mengkaji aspek kesantunan berbahasa bentuk kata panggilan dalam jurnal yang bertajuk Kesopanan Berbahasa dalam Kalangan Remaja Sekolah Menengah. Pengkaji telah mengenal pasti dan menganalisis penggunaan kata dan santun oleh remaja sekolah menggunakan pendekatan pragmatik. Data diperolehi menggunakan teknik temu bual dan dianalisis menggunakan Prinsip Kesopanan Leech (1983). 5. Noriati A. Rashid Noriati A.Rashid telah membuat kajian tentang kesantunan Orang Melayu dalam Majlis Pertunangan. Kajian ini hanya menumpukan kajian terhadap masyarakat Melayu sahaja. Perkara ini kerana, masyarakat Asia sering dikaitkan dengan kesopanan atau kesantunan dalam berbahasa.

6.0

Metodologi Kajian 1. Kaedah Kepustakaan Kajian kepustakaan merupakan satu kaedah kajian yang melibatkan pencarian maklumat-maklumat umum bagi kata kunci utama kajian iaitu aspek sintaksis dialek Pulau Pinang dan juga kata kerja. Menerusi kaedah ini, pengkaji dapat mengumpul maklumat mengenai kajian-kajian lepas serta pendapat tokohtokoh bahasa berkaitan dengan bidang kajian pengkaji. Perpustakaan Tun Sri Lanang, juga perpustakaan pusat Pengajian Bahasa Dan Linguistik, Univesiti Kebangsaan Malaysia merupakan tempat pengkaji menjalankan kaedah ini. 2. Kaedah Menganalisi Data Bentuk kata ganti nama diri bergantung pada kata ganti nama diri itu digunakan, sama ada dalam suasana dan urusan rasmi atau dalam suasana dan urusan tidak rasmi. Jumlah kata ganti nama diri yang digunakan untuk suasana dan urusan rasmi agak kecil, misalnya saya, kami, kita, tuan, puan, beliau, dia, ia dan mereka. Sebaliknya, kata ganti nama diri yang digunakan dalam suasana dan urusan tidak rasmi amat banyak. Hal ini disebabkan oleh banyaknya dialek yang ada dalam bahasa Melayu dan dapat dikatakan bahawa dalam setiap dialek terdapat kata ganti nama diri yang tersendiri. Dalam kesantunan berbahasa, bahasa Melayu mempunyai sistem sapaan panggilan yang tersendiri. Dalam bahasa Melayu, kata ganti nama diri dibahagikan kepada tiga, iaitu kata ganti nama diri pertama, ganti nama kedua, dang anti nama ketiga. a. Kata Ganti Nama Diri dengan Bahasa Santun dan Bahasa Kasar
Kata Ganti Nama Diri Pertama Kedua Ketiga Bahasa Santun Saya, kami Anda, awak Dia, beliau, mereka Bahasa Kasar Aku Engkau, kamu Keparat itu

Analisis 1: Penggunaan kata ganti diri pertama saya, dan kami digunakan dalam situasi yang fomal untuk menunjukkan kesantunan dalam berbahasa. Penggunaan kata ganti nama yang sopan dapat menjaga air muka orang yang diajak berkomunikasi. Contoh situasi yang menggunakan kata ganti nama diri pertama dalam situasi yang formal ialah: Pengacara majlis: Seterusnya, saya dengan segala hormatnya menjemput yang berhormat tuan pengetua Sek Men Keb Putera, Tuan Haji Wahab Mamat. 7.0 Kepentingan Kajian Pengkaji melihat bahawa kajian ini amat penting bagi memperluaskan lagi bidang kesantunan berbahasa. Kesantunan bahasa merujuk penggunaan bahasa yang halus, beradab sopan, lemah lembut serta tidak menyinggung perasaan pendengar. Namun, kebelakangan ini, didapati masyarakat lebih menggunakan strategi ketidaksantunan dalam perbualan mereka. Sistem sapaan bermaksud kaedah yang digunakan oleh sesuatu masyarakat atau bangsa untuk menegur atau menyapa seseorang, baik dalam konteks rasmi mahupun tidak rasmi. Sistem sapaan berperanan sebagai penghubung langsung antara pihak yang menyapa dengan pihak yang disapa. Bentuk sapaan menjadi unsur wacana yang penting dalam pelbagai komunikasi manusia dan perlu digunakan dengan tepat menurut sistem yang diterima oleh masyarakat atau oleh pihak yang diberi wibawa menentukannya. Oleh itu, wajarlah pengkaji membuat kajian mengenai kesantunan berbahasa dalam sistem panggilan masyarakat Melayu. Pendedahan lebih lanjut mengenai hal ini dapat memberi maklumat yang berguna kepada masyarakat menegnai penggunaan kata panggilan yang sesuai dan dapat menunjukkan kesantunan dalam perbualan mereka. 8.0 Kerangka Kajian

Pengkaji akan menggunakan pendekatan penelitian tentang kesopanan berbahasa kerana kesesuainya dalam menganalisis data kajian. Menurut (Fraser 1990; Teo Kok Seong 1992), terdapat sekurang-kurangnya empat pendekatan dalam bidang sosiolinguistik untuk menghuraikan fenomena kesopanan berbahasa. Pendekatanpendekatan itu adalah: i. ii. iii. iv. norma sosial maksim perbualan jaga air muka kontrak perbualan

Pengkaji telah memilih pendekatan jaga air muka dalam membuat analisis. Hal ini demikian kerana, pengjagaan air muka berperanan bukan setakat semasa berlakunya komunikasi malah menjangkau ruang lingkup yang lebih jauh daripada itu. Kesantunan berbahasa amat perlu sebagai agen untuk membentuk keperibadian masyarakat. Penggunaan kata ganti nama diri yang sesuai pada konteks amat penting dalam menjaga air muka sesorang yang diajak berkomunikasi. 9.0 Skop dan Batasan Kajian Kajian ini adalah penting dan meluas. Maka pengkaji telah meletakkan skop dan had batasan terhadap data yang ingin dikaji. Rasional penentuan skop dan batasan yang lebih kecil ini adalah bertujuan untuk mengkhususkan kajian agar pengkaji dapat memberi fokus yang sepenuhnya ketika melakukan kajian. Tambahan pula, pengkaji amat mementingkan kualiti berbanding kuantiti. Pengkaji akan membuat kajian tentang penggunaan sistem panggilan dalam masyarakat Melayu. Kajian yang dilakukan oleh pengkaji adalah berkenaan dengan kata ganti nama masyarakat Melayu yang boleh menunjukkan kesantunan berbahasa. Pengkaji melihat penggunaan kata ganti nama yang sesuai digunakan berdasarkan peraturan pragmatik. Melihat penggunaan kata ganti nama yang sesuai digunakan mengikut situasi. 10.0 Kesimpulan Kita semua berupaya untuk mempertingkat budi pekerti diri dalam keluarga bermula dengan kata panggilan dalam keluarga yang bermula dengan suara hati dan pertuturan.

Allah s.w.t. dalam surah an-Nisa (ayat 148) berfirman, yang bermaksud Allah tidak suka akan perkataan-perkataan jahat yang keluar dari mulut seseorang melainkan perkataan (pengalaman) yang keluar dari mulut orang yang dizalimi. ( yang menyebut keburukan yang dilakukan ke atasnya dalam pengaduannya dan Allah maha mendengar lagi maha mengetahui Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya sesungguhnya Allah menyukai sikap berlemah lembut dalam semua perkara. Begitu dengan ajaran agama-agama lain yang turut menekankan kepentingan amalan berbudi bahasa dalam kehidupan seharian. Penggunaan aspek kesantunan ketika berkomunikasi akan memberikan beberapa implikasi. Antaranya menyerlahkan budaya kehidupan masyarakat Malaysia yang kaya dengan adab sopan serta halus. Selain itu melambangkan ketingian budi pekerti dan dipandang mulia dalam pergaulan hidup manusia. Bagi masyarakat Melayu bahasa menunjukkan bangsa dan bahasa itu tidak boleh dijual beli. Selain itu penggunaan bahasa santun dalam panggilan dalam keluarga bertujuan untuk menunjukkan rasa hormat dan santun serta mengekakkan sebarang perlakuan yang boleh dianggap kasar. Sebagai kesimpulannya dengan mengamalkan kesantunan berbahasa ketika

berkomunikasi, kita akan digolongkan sebagai ahli masyarakat yang peramah, bertimbang rasa, berfikiran positif, mengamalkan sikap toleransi, bersopan santun, jujur dengan tetamu, bermoral dan baik hati. Ini secara tidak langsung kita akan mengekalkan peribadi yang mulia sekaligus menonjolkan peribadi bangsa yang lemah lembut dan tinggi peradaban. Penggunaan bahasa Melayu yang santun dikaitkan dengan tanggapan dan konsep reti bahasa. Kata pepatah Melayu, ``Yang tua dihormati, yang muda disayangi

Rujukan Asmah Haji Omar. 1993. Nahu Melayu Mutakhir. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka Asmah Haji Omar. 2008. Ensiklopedia Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka Awang Sariyan. 2007. Santun Berbahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka Abdul Ghani Abdullah dan Abd. Rahman Abd. Aziz. 2009. Mengurus Tingkah Laku Pelajar: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd Noriah Mohamed. 1998. Sosiolinguistik Bahasa Melayu di Malaysia. Penerbit Universiti Sains Malaysia: Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Norazlina Hj. Mohd Karim, Raja Masittah Raja Arifin. 2012. Kesantunan Berbahasa Orang Melayu Menerusi Gaya Pengurusan Air Muka Dalam Saga: Aplikasi Teori TingToomey. Jurnal Bahasa: Jilid 12 Bil. 2 Disember 2012. Dewan Bahasa dan Pustaka Sharifah Nor Syed Abd. Rahman, Nornajmah Najmuddin, dan Rosdah Omar. 2007. Teks dan Rujukan Lengkap STPM Bahasa Melayu Kertas 1 dan 2. Arah Pendidikan Sdn. Bhd Zaitul Azma Zainon Hamzah, Ahmad Fuad Mat Hassan dan Mohd Nur Hafizudin Md Adama. 2011. Kesantunan Bahasa dalam Kalangan Remaja Sekolah Menengah . Jurnal Bahasa: Jilid 11 Bil. 2 Disember 2011. Dewan Bahasa dan Pustaka Zuraidah Jantan. 2009. Unsur Eufemisme dalam Novel Melayu: Satu Manifestasi Kesopanan Bahasa. Dewan Bahasa dan Pustaka.