Anda di halaman 1dari 10

PENDAHULUAN

Pertembungan budaya dan agama antara kelompok yang berbeza kadang kala menjadikan manusia amat sukar untuk mencari kesepakatan. Keputusan untuk

berkompromi mungkin tidak dapat dilaksanakan kerana budaya dan agama telah menetapkan aturan tertentu yang wajib diikuti dan dihindari oleh penganutnya. Seperti yang kita ketahui manusia adalah makhluk yang dikurnai akal pemikiran dan mempunyai daya intelektual dan keagamaan tersendiri. Manusia mempunyai pemikiran dan pendapat yang berbeza-beza yang kadang kala boleh mengundang masalah dan konflik. Berdasarkan sejarah tamadun dahulu kita dapat lihat pelbagai perkembangan tamadun pada masa itu dari segi peradaban, kebudayaan dan lain-lain lagi. Para sarjana berpendapat bahawa kejatuhan atau kemerosotan sesuatu tamadun adalah disebabkan beberapa faktor. Diantara sebab-sebabnya ialah ketidakadilan yang mewujudkan jurang perbezaan antara golongan kaya dan miskin, penindasan dan kezaliman yang berleluasa, keruntuhan moral dan nilai dalam masyarakat serta sikap tidak mahu belajar dari orang lain dan tidak mahu menerima perubahan terutamanya perubahan dari segi teknologi, struktur politik, ekonomi dan sosial. Sekiranya sikap seperti ini diteruskan akan menyebabkan berlaku lebih banyak perpecahan dan perbalahan dalam tamadun kita hari ini. Nilai-nilai peradaban dalam sesuatu tamadun terhadap sesuatu bangsa dan agama perlu diperbaiki dengan mewujudkan komunikasi dua hala untuk mencapai kesepakatan.

DEFINISI DIALOG PERADABAN

Kewujudan masyarakat yang majmuk adalah merupakan suatu sunnah Ilahiah yang membuktikan kekuasaan dan kehendak Tuhan yang tidak boleh dijadikan alasan untuk kita membentuk suatu hubungan yang harmoni. Sebagai manusia yang beragama juga adalah diwajibkan antara kedua-dua golongan masyarakat seperti Islam dan Kristian yang berbeza saling kenal-mengenal sebagai memenuhi tuntutan kehidupan. Perkataan dialog merupakan istilah bahasa Inggeris yang berasal dari perkataan dialogue. Dialog disini bererti perbicaraan, perbualan, percakapan, pertukaran pendapat dan bersoal jawab. Berdasarkan maksud tersebut juga dialog boleh didefinisikan sebagai suatu percubaan antara dua belah pihak yang berlainan pendapat, kepercayaan atau pandangan untuk melakukan satu aktiviti pertukaran pendapat dengan tujuan menambah pengetahuan, meningkatkan kefahaman dan dapat mewujudkan sikap saling memahami antara kedua-dua belah pihak. Menurut Ghazali Basri (1990:40), dialog merupakan suatu bicara, komunikasi antara dua pihak atau lebih samada secara formal. Dialog juga bukannya semata-mata satu siri perbicaraan malahan ia adalah satu cara berfikir yang baru iaitu satu cara untuk melihat alam dan kehidupan serta maknanya. Peradaban pula didefinisikan sebagai tamadun serta tingkat kemajuan pada kehidupan jasmani serta rohani suatu bangsa, masyarakat dan sebagainya.(Kamus Dewan:2005). Perkataan tamadun juga membawa maksud seerti dengan peradaban iaitu keadaan masyarakat manusia yang dicirikan oleh atau didasarkan pada taraf kemajuan kebendaan serta perkembangan pemikiran dalam sosial, budaya, politik dan lain-lain yang tinggi (Kamus Dewan:2005) Dialog peradaban didefinisikan menurut Chandra Muzaffar (2003) sebagai interkomunikasi dan persefahaman antara tamadun kepada elemen-elemen yang penting iaitu memahami budaya masing-masing tanpa ada rasa prejudis terhadap masyarakat daripada kaum lain. Secara terperinci dialog peradaban merupakan suatu perbincangan yang dilakukan oleh dua pihak atau lebih iaitu kesemua pihak mempunyai pandangan yang berbeza. Tujuan utama dilakukan dialog peradaban ini adalah untuk saling kenal mengenali serta belajar antara satu sama lain sehingga setiap pihak dapat mengubah pandangannya dan sekaligus

meningkatkan kefahaman agamanya. Hakikatnya dialog bukan satu perdebatan yang boleh menyebabkan salah faham antara pihak yang terlibat.

KEPENTINGAN DIALOG PERADABAN


Dialog peradaban memainkan peranan yang sangat penting dalam membentuk keharmonian dan persefahaman antara sesuatu bangsa terutamanya di dalam sesebuah Negara. Sebagai contoh, di Negara Malaysia terdiri daripada rakyat yang berbilang bangsa dan agama seperti Melayu,Cina, India, pelbagai etnik peribumi di Sabah dan Sarawak serta etnik-etnik minoriti lain seperti masyarakat Siam di Kelantan, Kedah dan Perlis serta msyarakat Portugis di Melaka. Setiap kaum mempunyai amalan dan kepercayaan mereka tersendiri dan setiap kepercayaan adalah berbeza-beza. Walaupun hubungan antara setiap kaum adalah baik tetapi masih wujud lagi salah faham mengenai kepercayaan antara kaum disebabkan kepercayaan yang berbeza-beza tersebut. Selain itu, setiap agama mempunyai cara mereka tersendiri untuk menyebarkan kepercayaan dan fahaman masing-masing. Tambahan lagi, Negara kita Malaysia telah meletakkan perlembagaan dengan menyatakan setiap individu bebas untuk untuk memilih dan menganuti agama masing-masing. Melalui perlembagaan kebebasan memilih agama telah membuka ruang kepada setiap agama menjalankan aktiviti keagamaan masing-masing mahupun aktiviti

mempromosi dan menyebarkan ajarannya kepada penganut agama lain. Hal ini menjadi satu masalah yang agak besar kerana boleh mewujudkan ketidakpersefahaman antara satu sama lain. Pentingnya dialog peradaban di antara agama di sini adalah bertujuan untuk mencapai persefahaman dan kefahaman sikap seseorang terhadap agama-agama lain disamping mewujudkan satu sikap toleransi supaya tidak wujudnya lagi perbalahan yang boleh menyebabkan salah faham dalam agama dan budaya,. Apabila masyarakat Islam memahami bentuk dan sifat penganut agama lain, mereka dipercayai boleh menerima lainlain agama sebagai pilihan penganutnya. Ini seterusnya dapat menbantu bukan Islam memahami gaya hidup dan falsafah kehidupan orang Islam dan hubungan yang komunikatif

akan membolehkan imej Islam dapat diperbetulkan. Islam difahami secara lebih baik dan usaha untuk melabelkan para penganutnya sebagai negatif dapat diperbetulkan. Masyarakat seharusnya memahami bahawa konflik peradaban pada masa kini adalah disebabkan kejahilan serta disertai rasa syak wasangka dan permusuhan antara satu sama lain. Dengan membentuk pertemuan dan perbincangan iaitu titik temu antara satu sama lain boleh memperbetulkan segala bentuk salah faham dan menghapuskan segala kenyataan yang salah mengenai agama Islam. Konflik yang berlaku ini perlu ditangani dengan bijaksana supaya tidak tercetus lagi kejadian-kejadian seperti peristiwa 13 Mei 1969 dan Peristiwa Kampung Medan yang berlaku disebabkan kegagalan kedua-dua pihak tersebut untuk saling memahami dan saling bertolak ansur. Selain daripada itu, dialog peradaban juga penting diamalkan dalam sesebuah Negara supaya masyarakat dapat mengenal pasti segala anasir-anasir atau budaya negatif yang menular yang boleh merosakkan akhlak dan pemikiran terutamanya kepada remaja. Oleh itu, langkah awal akan dapat diambil dan jalan penyelesaian dapat dilaksanakan bersama-sama. Dengan perbincangan yang aman dan sama rata dapat mewujudkan msyarakat dan golongan yang saling bekerja sama dan bantu-membantu serta saling lengkap melengkapi antara satu sama lain dalam membentuk Negara yang aman, makmur dan sejahtera. Hal ini kerana setiap pihak dapat mengenal pasti kelemahan mereka masing-masing dan memperbaiki segala kekurangan dengan jalan yang terbaik dan tidak mencetuskan konflik antara satu sama lain. Di antara perkara dan isu yang dilihat sesuai dalam konteks ini adalah seperti isu-isu kemanusiaan sejagat di samping isu-isu pembangunan. Maka dengan meneliti seluruh aspek yang terangkum dalam dialog antara agama, apa yang harus dibangunkan melalui dua platform yang saling lengkap melengkapi itu ialah Dialog Keagamaan dan Dialog Kerjasama Antara Agama. Islam sering menganjurkan prinsip toleransi, saling berhubung dan mementingkan moral serta kehidupan bermasyarakat. Islam bukanlah agama yang menganjurkan peri laku negatif dan melancarkan tindakan ganas. Islam turut menghormati agama lain dan tidak menakutkan penganut agama lain. Islam mementingkan perdamaian dan inti dasar Islam sebenarnya ialah membentuk peri laku manusia yang baik, luhur, berbudi tinggi dan menghormati setiap makhluk sebagaimana tujuan sebenar manusia memerlukan agama.

Oleh demikian dialog peradaban harus dijadikan medan untuk merancang sesuatu agenda serta merangka pelan bertindak yang tersusun dan efektif terutama dalam perkara yang dapat memberi kebaikan dan manfaat kepada seluruh rakyat, tidak kira masyarakat Islam ataupun bukan Islam.

ISU-ISU SEMASA

Didalam sejarah peradaban dunia sehingga kini masih terdapat lagi Negara-negara yang mengalami pergolakan dalam kalangan rakyatnya. Kewujudan rakyat yang berbilang bangsa dan agama adakalanya menyebabkan tercetusnya salah faham terhadap hak masing-masing. Sebagai contoh Negara yang mengalami krisis seperti ini adalah seperti di India, Thailand, Indonesia, Turkestan Timur dan sebagainya.

India Sekirannya kita melihat kembali kepada sejarah tamadun India, banyak pasang surut yang berlaku di India. India merupakan Negara kedua yang mempunyai jumlah penduduk yang besar selepas Cina. Agama Islam berkembang di India bermula dari saudagar muslim dan semakin berkembang biak sehinggakan India berada dalam pengaruh pemerintahan raja-raja muslim. Sebahagian besar pemerintahan raja-rajanya menguasai seluruh wilayah India dan sebahagian lain mengembangkan ilmu pengetahuan dan ekonomi di wilayah tersebut. Kedatangan Inggeris untuk menjajah India telah mencetus pelbagai masalah. Inggeris bukan sahaja merebut segala kekayaan yang terdapat di India malahan mewujudkan permusuhan antara agama Islam dan Hindu. Hal ini menyebabkan India telah terpecah pula kepada Pakistan yang diwujudkan oleh umat Islam. Beberapa daerah mula bergabung dengan Pakistan termasuk Kashmir. Pemerintahan Kashmir pada masa itu yang beragama Hindu ingin bergabung dengan India tetapi penduduknya yang majoriti adalah Islam ingin bergabung dengan Pakistan. Pejuang Kashmir ramai yang terbunuh kerana terpaksa berdepan dengan tentera India yang mahu terus menjajah Negara mereka. Pada masa kini, wilayah Kashmir terpecah

kepada dua, satu di bawah cengkaman India tetapi tidak mahu bernaung dibawah kuasa New Delhi kerana majoriti penduduknya adalah muslim. Dan konflik semakin bersemarak juga berlaku di Punjab. Ada peristiwa menyayat hati berlaku. Orang Islam Punjab (di bahagian India) mahu berpindah ke Islamabad, sebaliknya orang Hindu Punjab bahagian Pakistan mahu berpindah ke New Delhi. Ia berakhir dengan tragedi berdarah yang amat dahsyat. Kereta api dari Punjab, Pakistan tiba di New Delhi penuh dengan mayat orang India beragama Hindu. Di sebaliknya keretapi yang tiba di Islamabad (orang Islam) tiba dengan manusia yang telah tidak bernyawa lagi. Peperangan yang berlaku sangat dahsyat. Ada yang mengatakan hampir sejuta yang terkorban, tetapi ada juga mengatakan lebih 500,000 nyawa melayang. Fakta itu telah banyak tertulis, banyak dibukukan bahkan difilemkan. Antara faktor utama Kashmir menjadi rebutan ialah disebabkan kedudukannya yang strategik dan pelancongan adalah sumber utama kerana keindahan dan cuaca yang nyaman sehingga bergelar Switzerland of the East. Jadi, bagaimana dengan masa depan Kashmir? Bagaimana pula dengan nasib umat Islam pada masa akan datang? Generasi hari ini mungkin telah banyak melupai pelbagai hikmah dan peninggalan tamadun kita sehingga kadangkala kita merasakan kehidupan kita telah kehilangan arah tuju. Oleh itu, cara yang baik untuk kita lakukan ialah dengan mempergiatkan dialog peradaban antara satu kaum dengan kaum yang lain. Persefahaman antara satu sama lain perlu dicapai untuk mengelakkan lebih banyak nyawa yang terkorban. Seringkali kali kita dengar banyak rakyat yang menjadi mangsa dan terkorban terutamanya umat Islam. Hal ini kerana umat Islam dianggap sebagai pengganas. Jadi, salah faham itu perlu diperbetulkan supaya tiada lagi rakyat yang ditindas dan keamanan Negara dapat dicapai sekaligus dapat membentuk Negara yang maju dari aspek teknologi dan nilai peradaban.

Thailand Thailand merupakan salah sebuah Negara yang mengalami pergolakan antara kaum. Sekiranya kita imbas kembali, Thailand terdiri daripada beberapa wilayah. Patani, Narathiwat, Yala dan Satun merupakan sebahagian daripada 17 wilayah atau Changwat yang terdapat di Selatan Thailand. Jumlah penduduknya seramai 1.3 juta berbangsa Melayu

dan beragama Islam dan 360000 orang adalah berbangsa Siam dan Cina yang beragama Buddha. Konflik di Selatan Thailand bermula pada tahun 1902 dengan penentangan terhadap kerajaan Thai apabila kerajaan Siam memansuhkan jawatan Sultan Patani. Pergolakan telah timbul untuk menentang dasar tersebut sehingga menimbulkan hasrat untuk memerdekakan negeri Patani. Berdasarkan sejarah tamadun Thailand juga, terdapat beberapa peristiwa yang melibatkan ketidaksefahaman antara kaum dan agama di Thailand. Sebagai contoh pada tahun 1993 hingga 2004 sebanyak 2593 insiden keganasan telah berlaku. Pada 29 November 1975, tentera Thailand telah memaksa enam orang pemuda Melayu Islam menyembah berhala Buddha dan kemudian dibunuh. Peristiwa ini berlaku di wilayah Pattani apabila mereka disekat oleh tentera Laut Thai ketika dalam perjalanan pulang. Tindakan tentera yang zalim ini akhirnya terbongkar apabila salah seorang daripada pemuda tersebut terselamat. Berpunca daripada peristiwa itu satu demonstrasi diwujudkan pada 11 Disember 1975 untuk menentang kezaliman tentera kerajaan disamping membawa mereka ke muka pengadilan. Selain itu salah satu peristiwa yang berlaku adalah di mana pada 21 April 1990 satu perarakan besar telah diadakan oleh orang melayu untuk menuntut kerajaan Thailand supaya membenarkan mereka memperbaiki Masjid Kerisik yang merupakan masjid tertua di Asia Tenggara dan sebagai tanda kedatangan Islam di Pattani. Tujuan perarakan ini diadakan adalah untuk menangkis segala tanggapan dan kepercayaan orang bukan Islam bahawa masjid tersebut tidak akan siap pembinaannya sampai bila-bila. Perarakan ini juga juga dilakukan untuk menyangkal tindakan kerajaan Thailand yang membenarkan sebuah kuil bertaraf tugu peringatan dibina bersebelahan dengan masjid tersebut. Akhir-akhir ini, situasi pertentangan Muslim dan pemerintah Budha Thailand mulai mereda. Pemerintah telah melakukan beberapa perubahan sikap terhadap umat Islam dari selalu curiga dan menekan, menjadi lebih terbuka, bersamaan dengan perubahan iklim demokrasi Thailand. Tindakan-tindakan kekerasan telah berkurang dan bahkan umat Islam juga menempatkan wakilnya secara professional di dalam parlimen. Namun, penentangan masih tetap ada, kerana masih terdapat perbezaan pandangan antara kedua belah pihak. Organisasi-organisasi Islam masih tetap ada. Sayangnya, di antara mereka terdapat sekelompok yang menyebabkan terganggunya

perjuangan Islam di Thailand. Kelompok modernis memiliki cara perjuangan yang berbeza dengan kalangan tradisional. Demikian pula kelompok yang berada di antara keduanya. Sebenarnya banyak lagi peristiwa yang membabitkan isu perkauman antara orang Islam dan mereka yang beragama Buddha. Pelbagai usaha perlulah dilaksanakan dengan bijak dan dialog peradaban adalah salah satu cara untuk membentuk kembali persefahaman antara pihak yang terlibat. Apa yang lebih penting, tidak kira penduduk Islam mahupun Buddha mereka mempunyai dua pilihan mewujudkan perdamaian yang akan memungkinkan wilayah mereka mencapai kemakmuran atau terus membalas dendam antara satu sama lain sehingga boleh menyebabkan selatan Thailand terus bersimbah darah setiap hari.

ISU-ISU SEMASA DIALOG PERADABAN

Untuk melaksanakan dialog peradaban terdapat beberapa isu yang perlu diberi penekanan dan perhatian yang lebih. Perkara-perkara yang perlu diberi perhatian adalah seperti persepsi atau tanggapan yang salah terhadap sesuatu peradaban,interaksi antara peradaban yang terhad serta langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengurangkan prasangka antara tamadun.

Persepsi yang salah Sekiranya kita perhatikan, kebanyakan masalah yang timbul dalam masyarakat kita yang berlainan agama dan budaya adalah disebabkan salah faham atau persepsi yang salah terhadap satu sama lain. Tanggapan yang salah terhadap sesuatu peradaban adalah berpunca juga daripada kejahilan kita dalam memahami budaya sesuatu tamadun itu dan menyebabkan kita melakukan sesuatu tindakan yang tidak wajar yang boleh mencetuskan pelbagai masalah. Salah satu contoh yang boleh diambil ialah mengenai tindakan yang diambil oleh individu Muslim radikal dengan meletupkan hotel dan tempat perlancongan yang dikunjungi pelancong Barat telah menyebabkan orang Islam disifatkan sebagai antiBarat dan dicap sebagai agama yang menganjurkan keganasan.

Tetapi, sebenarnya Islam dan umat Islam tidak memusuhi Barat atas sifatnya sebagai Barat tetapi memusuhi mereka kerana sifat ketidakadilan dan penindasan mereka terhadap orang Islam. Islam juga tidak pernah melakukan tindakan kejam terhadap manamana individu bukan Muslim sebagai membalas dendam terhadap kekejaman yang dilakukan pemimpin Barat yang menyebabkan ramai umat Islam menderita. Segelintir umat Islam yang bertindak ganas terhadap masyarakat Barat adalah merupakan tindakan atau reaksi spontan atas kekejaman dan tindakan ganas Barat melakukan penyeksaan terhadap umat Islam seluruh dunia terutamanya masyarakat Islam di Palestin dan Iraq.

Interaksi yang terhad Interaksi ataupun komunikasi antara dua hala merupakan satu langkah yang penting untuk menghilangkan segala faham yang timbul antara tamadun. Masalah salah tanggapan ini wujud disebabkan kurangnya interaksi antara satu sama lain untuk menerangkan segala perkara yang kurang pasti atau menjadi tanda tanya. Sekurang-kurangnya dialog ataupun interaksi yang dilakukan dapat mengurangkan segala ketegangan yang berlaku terhadap pemahaman antara dua pihak yang berlainan agama dan budaya. Oleh itu, untuk mencapai kesefahaman dan kemakmuran dalam Negara setiap pihak perlulah bersedia untuk saling memahami segala perbincangan ataupun perbezaan pendapat antara satu sama lain untuk mewujudkan perdamaian.

Langkah mengurangkan berlaku prasangka Mengurangkan berlaku prasangka merupakan satu tindakan yang wajar untuk mengelakkan sesuatu masalah menjadi bertambah rumit. Oleh kerana itu, salah satu langkah yang boleh dilaksanakan untuk mengurangkan prasangka antara pihak ialah dengan melaksanakan dialog peradaban. Dialog peradaban ini boleh dilaksanakan samada di peringkat kebangsaan ataupun antarabangsa. Sebagai contoh, kita boleh melakukan dialog peradaban di peringkat kebangsaan iaitu dengan melahirkan kefahaman dalam kalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina, India dan peribumi yang lain supaya mereka dapat menerima segala perbezaan dalam pemahaman masing dengan sikap yang terbuka serta tidak menimbulkan konflik.

Segala nilai-nilai murni perlulah diterapkan dalam diri setiap individu supaya dapat melakukan segala sesuatu dengan berfikir terlebih dahulu terhadap kesan tindakan mereka. Remaja pula perlulah dididik dengan awal dengan suasana dan persekitaran yang sama serta diberi pendidikan yang baik untuk bersikap lebih terbuka untuk menerima segala perbezaan antara bangsa dan budaya. Selain itu, dialog peradaban boleh dilaksanakan di peringkat antarabangsa iaitu antara tamadun Islam dan Asia dengan tamadun Barat. Dengan perlaksanaan dialog sebegini dapat menerapkan atau menunjukkan nilai-nilai yang dapat dikongsi bersama dengan masyarakat dunia. Di samping itu, masyarakat dunia akan dapat menyedari bahawa mereka sangat saling memerlukan dan bergantung antara satu sama lain. Oleh itu, rasa kebencian akan dapat dihapuskan dan mewujudkan pula sikap saling hormat-menghormati antara setiap pihak.