Anda di halaman 1dari 2

Permainan tradisional merupakan permainan yang diamalkan oleh masyarakat sesebuah negara itu sejak turun-temurun.

Biasanya permainan ini terhasil daripada corak kehidupan dan kebudayaan sesebuah masyarakat itu yang dijelmakan dalam bentuk permainan pula. Dalam masa yang sama permainan tradisional ini turut memaparkan pelbagai impak positif yang cuba diterapkan dalam jiwa ahlinya secara tidak langsung. Jadi, ada banyak fungsi yang berupaya dimainkan oleh permainan tradisional itu tanpa kita sedari. Permainan tradisional dimainkan secara berkelompok atau beramai-ramai yang menyaksikan semua pihak berinteraksi antara satu sama lain. Hubungan kejiranan mampu dijalin menerusi pembabitan semua ahli dalam sebarang acara yang melibatkan permainan tradisional ini. Konsep permainan tradisional yang menekankan aspek kerjasama menyebabkan semua ahli masyarakat mudah memahaminya lalu dijelmakan pula dan bentuk kehidupan berjiran yang lebih mapan sifatnya. Oleh itu, permainan tradisional ini berupaya mengeratkan hubungan sesama anggota masyarakat di sesebuah kawasan kejiranan itu. Biasanya permainan tradisional turut melibatkan suasana yang ceria dan menghiburkan kerana permainan ini boleh dimainkan di kawasan terbuka dan tertutup. Penekanan yang ketara terhadap aspek keceriaan menyebabkan semua yang terlibat dalam sesuatu permainan tradisional akan berasa gembira setiap kali selesai melakukannya. Perasaan gembira amat penting dalam kehidupan manusia supaya mereka mampu untuk melakukan pelbagai peranan lain pula dengan lebih berkesan. Sesungguhnya, permainan tradisional mampu menjadikan kehidupan seseorang itu lebih menarik dan gembira jika dilakukan dengan kerap. Satu kelebihan ketara permainan tradisional ialah permainan ini mampu meningkatkan minda seseorang. Ada banyak permainan tradisional yang memerlukan kemahiran minda yang tinggi seperti dam, congkak dan sebagainya. Kemahiran minda yang tinggi penting untuk memastikan seseorang itu berupaya untuk menandingi lawannya dalam sesuatu permainan tradisional pula. Kekerapan bermain permainan tradisional mengasah bakat seseorang bukan sahaja dalam berkemahiran berfikir tetapi juga dalam bidang lain juga. Oleh itu, permainan tradisional mampu mengasah minda individu menjadi lebih tajam dan pantas dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Akhir sekali permainan tradisional berupaya meningkatkan kebudayaan sesebuah masyarakat itu kerana permainan tradisional sebahagian daripada kebudayaan sesuatu bangsa itu. Usaha untuk terus memainkan permainan tradisional menjadi bukti betapa kebudayaan sesebuah masyarakat itu masih dipandang tinggi dan dihargai sejak turun-temurun lagi. Permainan tradisional memastikan kebudayaan yang unik itu tidak akan pupus ditelan zaman terutama dengan kemunculan permainan-permainan era moden yang banyak menggunakan komputer. Hakikatnya, permainan tradisional menjadi satu cara untuk mengekalkan kebudayaan sesebuah masyarakat itu. Kesimpulannya, permainan tradisional merupakan satu aspek kebudayaan yang harus diperjuangkan dan dikekalkan dalam dunia ini. Permainan ini walaupun mula dipinggirkan oleh generasi muda amat penting dikekalkan demi keseinambungan masyarakat itu. Kita harus sedar permainan tradisional yang dicetuskan oleh generasi lalu merupakan lambang kehidupan masyarakat yang sudah diamalkan sejak dahulu. Maka, kehilangan permainan tradisional boleh mengundang kepupusan kebudayaan masyarakat pula.

PELAJAR PERLU FIKIR USAHA BAGI MENGHIDUP DAN MENGEKALKAN Menjadikan permainan ini satu pertandingan peringkat nasional, negeri, daerah, sekolah Berusaha menanam minat dalam kalangan golongan muda Mewujudkan lebih banyak kawasan untuk kemudahan permainan ini Menonjolkan permainan ini kepada negara luar atau pelancong asing