Pendidikan merupakan nadi pembangunan sesebuah negara, bangun atau runtuhnya sesebuah negara sangat bergantung kepada maju dan mundurnya pendidikan di negara berkenaan. Pendidikan juga merupakan senjata utama sesebuah negara dalam menangani cabaran globalisasi yang berkembang dengan pesat. Oleh itu, dalam mendepani semua hakikat ini kita harus memastikan pendidikan di negara kita dapat berubah mengikut tuntutan semasa, beroperasi secara berkesan dan selari dengan perkembangan pendidikan dunia terkini. Justeru, dalam usaha mempertingkatkan kecemerlangan pendidikan agar sentiasa mengikut tuntutan zaman, peranan kepimpinan di peringkat sekolah menjadi semakin penting. Kebijaksanaan dan keberkesanan pemimpin mengadaptasikan cabaran dan perubahan dalam wawasan baru merupakan kunci kejayaan sesebuah organisasi. Dalam konteks kepimpinan di sekolah, kebijaksanaan dan keberkesanan ini boleh diukur melalui pendekatan dan kaedah pengurusan yang diterjemahkan melalui gaya kepimpinan yang diamalkan oleh seseorang Guru Besar dalam menggerakkan seluruh organisasi ke arah mencapai matlamat dan objektif yang ditetapkan. Oleh itu, untuk memastikan matlamat dan objektif tercapai pemimpin sekolah dan pengikutnya perlu berusaha dengan gigih agar segala perancangan dapat membuahkan hasil seperti yang diharapkan. Fiedler (1967) menyatakan bahawa hubungan antara pemimpin dan pengikut amat penting dalam usaha mengawal situasi ke arah matlamat dan objektif organisasi. Hubungan ini akan menentukan sejauh mana pemimpin selaku ketua organisasi akan memperoleh taat setia dan sokongan daripada orang yang bekerja di bawahnya. Menurut Fiedler lagi jika seseorang ketua sudah memiliki sokongan, dia tidak lagi memerlukan kuasa jawatan atau struktur tugas untuk memperoleh kepatuhan kerana ahli kelompok sudah menerima arahan dengan rela hati. Pandangan di atas ada hubungkaitnya dengan dapatan kajian oleh Owens (1995), Hoy dan Miskel (1996), Lunenberg dan Ornstein (2000), yang mendapati pemimpin sekolah yang mempunyai hubungan baik dengan guru mampu mendapatkan kerjasama yang baik dengan daripada guru untuk membantu mencapai matlamat organisasi.
Selain daripada faktor hubungan baik sesama pekerja, Guru Besar sebagai tonggak kepimpinan di sekolah juga mempunyai tanggungjawab yang besar untuk menentukan keselesaan dan iklim pendidikan yang memberangsangkan untuk sekolahnya. Guru Besar yang mempunyai kewibawaan yang tinggi amat diharapkan oleh guru, terutamanya untuk melalui situasi dan iklim pekerjaan yang menimbulkan rasa seronok, puas hati, dan meningkatkan semangat dalam kerjaya pengurusan. Oleh itu, Guru Besar seharusnya melihat guru sebagai aset yang berharga dengan pengiktirafan yang sewajarnya. Memandangkan betapa pentingnya Guru Besar dalam mencorak dan menentukan hala tuju serta kejayaan sesebuah sekolah, maka tidak hairanlah ramai dalam kalangan penulis melabelkan Guru Besar sebagai individu yang menentukan jatuh bangun sesebuah sekolah dan individu yang menentukan suasana dan hala tuju sekolah. Pernyataan ini menunjukkan bahawa satu pengiktirafan yang tinggi telah diberikan oleh masyarakat kepada golongan Guru Besar. Namun, dalam usaha para pemimpin sekolah untuk mengangkat nama sekolah, timbul pula persoalan tentang tahap kepuasan bekerja guru yang menjadi tulang belakang untuk merealisasikan segala matlamat dan objektif sesebuah sekolah. Justeru itu, satu penyelidikan akan dijalankan untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang hubungan antara gaya kepimpinan Guru Besar dengan tahap kepuasan bekerja guru. Tumpuan kajian adalah untuk melihat konsep kepuasan kerja yang berhubungkait terus dengan tingkah laku atau gaya kepimpinan Guru Besar yang wujud di sekolah. Bebarapa kajian menunjukkan terdapat hubungkait antara dimensi gaya kepimpinan dan kepuasan kerja.