Anda di halaman 1dari 8

PERHUBUNGAN AWAM (PR)

SEBAGAI ‘ALAT’ DAKWAH


YANG BERKESAN

Karya asal oleh : Endok Sempo Mohd. Tahir


Suntingan oleh : Mohd Hakim B Mohd Nor

ISTILAH perhubungan awam amat jarang digunakan dalam perbualan dan perbincangan dalam Bahasa Melayu
tetapi apabila disebut sahaja PR (“public relation”) dalam bahasa Inggeris, semua orang faham. Jika kita memahami
serba sedikit mengenai PR, ia boleh menjadi alat yang berguna dalam kerja-kerja Dakwah kita. Ahli GERAKAN
ISLAM yang mempunyai PR yang baik adalah aset yang berharga kepada organisasi ini.

PR bukan iklan percuma

Iklan lebih mengutamakan „jualan‟ sedangkan aktiviti PR lebih berbentuk pemberian dan penyebaran maklumat,
mendidik dan membina kefahaman melalui ilmu dan perbincangan. Ruangan penulisannya (media kertas) dan masa
penyiaran (media elektronik) tidak berat sebelah atau bias. Oleh itu lebih dipercayai dan diyakini daripada iklan.

PR bukan percuma

PR yang baik dan berkesan memerlukan masa yang banyak (masa adalah emas dan bukannya murah) dan dibuat
oleh orang yang ada minat, sanggup berkorban masa dan berpengalaman. Pengalaman di sini maksudnya
berpengalaman bergaul dengan berbagai ragam manusia, termasuk pihak media, suka berkhidmat kepada orang yang
memerlukan dan memahami perasaan manusia.

PR bukan propaganda

Propaganda dibuat semata-mata untuk menanam doktrin untuk mencari pengaruh dan pengikut. Oleh itu
maklumatnya selalu tidak tepat, ada unsur unsur „exaggeration‟ atau lebih sudu dari kuah, bercampur maklumat
palsu dan terselit kepentingan peribadi.

Sedangkan PR, adalah proses memujuk untuk memenangi hati, mencari titik persamaan sikap dan idea supaya
proses penerimaan konsep, idea, dan akhirnya perubahan sikap dan cara berfikir dapat diterima secara sukarela tanpa
paksaan.

Jadi kita perlukan PR?

Kita sebagai Da‟i dan Musleh (penyeru kebenaran dan pengislahan) memang sangat-sangat perlu menyediakan diri
untuk menjadi seorang yang mempunyai PR yang baik. PR adalah proses komunikasi, malah amat diperlukan jika
berlaku beberapa salah faham, hubungan yang tidak baik dengan orang-orang lain.

Malah lebih menarik jika masyarakat sekeliling kita mendapat maklumat atau terdedah dengan mesej Islam dan
dakwah kita. Jika dalam ekonomi moden, syarikat-syarikat memberikan perhatian khusus mengenai PR dan
menyediakan system komunikasi organisasi yang canggih untuk mencari sasaran pasaran yang tepat serta membawa
keuntungan! Apakah kita tidak memerlukan nya untuk menambah sasaran mad‟u kita? Masyarakat kita kini telah
semakin cerdik. Kebanyakan nya berpendidikan dan mampu menyaring maklumat dan membuat keputusan dengan
lebih objektif.

PR adalah kata kunci kepada perkataan komunikasi. Jika kita gagal berkomunikasi dan susah memahami perasaan
dan cara berfikir orang lain, inilah salah satu penyebab gagalnya sesuatu organisasi mencapai matlamatnya. Bukan
lah bermaksud PR memberikan jawapan kepada setiap permasalahan organisasi. Namun ia sekurang-kurang nya
merupakan satu sistem komunikasi yang formal, yang memakai konsep analisis, tindakan, menyemak, menyelia,
dan mengawal situasi yang menjadikan sesuatu organisasi itu responsif, ada pertanggungjawaban terhadap sesuatu
isu yang timbul dan berkocak.
Apa itu PR

Public Relations Society of America (PRSA) menyediakan beberapa istilah dan garispanduan kerja kerja PR yang
profesional, di mana kita boleh mengguna pakai dalam kerja-kerja dakwah kita. Antaranya ialah:

“PR menolong masyarakat kita yang kompleks dan multi-ras untuk sampai kepada satu keputusan atau gagasan,
supaya berfungsi dengan lebih berkesan dengan melibatkan diri bersama-sama, dalam suasana saling faham
memahami antara satu sama lain. Ia bertindak mengharmonikan hubungan antara individu dengan organisasi dan
juga masyarakat sekelilingnya”.

PR memberikan khidmatnya kepada berbagai sektor dalam masyarakat, seperti perniagaan, kesatuan sekerja,
agensi kerajaan, organisas sukarelawan, yayasan-yayasan amal, hospital, sekolah, kolej, dan institusi agama.
Untuk mencapai matlamat masing-masing, setiap sektor atau institusi mestilah membina hubungan yang berkesan
dan bermakna dengan masyarakat sekeliling yang berbagai ragam dan bentuk, contohnya pekerja, ahli-ahli,
pelanggan, masyarakat setempat, jiran keliling, pemegang saham dan masyarakat umum yang lebih besar lagi.

Unsur penting untuk PR yang berkesan

Untuk menjadikan PR lebih berkesan dalam organisasi, beberapa unsur penting yang mesti ada:

• Mengagak (antisipasi), menganalisa dan menterjemahkan pandangan umum (“public opinion”), terhadap sikap dan
isu yang mungkin memberikan impak terhadap pengoperasian dan rancangan sesuatu organisasi

• Pengurusan Kaunseling ahli-ahli dalam setiap tahap organisasi dari segi pembuatan keputusan, polisi, tindakan
yang bakal diambil dan komunikasi yang licin dan berterusan serta responsif.

• Usaha yang berterusan dan istiqamah dalam penyelidikan, pengumpulan maklumat, melihat semula, menilai dan
menyemak berbagai program, aktiviti, tindakan yang diambil dan proses komunikasi untuk memastikan masyarakat
umum faham matlamat, pengoperasian, maklumat yang tepat dan betul mengenai organisasi. Di sinilah terletaknya
kejayaan pencapaian matlamat organisasi.

• Merancang dan melaksanakan usaha-usaha organisasi untuk mempengaruhi dan mengubah pandangan umum dan
polisi yang berkaitan dengannya.

Satu aspek PR yang penting dan tidak boleh dilupakan ialah: Jangan hanya beritahu mereka, tetapi
TUNJUKKAN kepada mereka.

Bagi seorang pejuang Islam dan kebenaran, aspek PR yang penting ini memang telah sebati dalam diri, tetapi adakah
kita manfaatkan nya atau kita lebarkan nya kepada orang luar sana? Atau kita masih hanya mengumpul semangat
dan PR yang baik hanya berlegar dikalangan kumpulan kita sahaja?
PR yang baik: Sifat yang perlu ada

Sifat-sifat asasi untuk mempunyai PR yang baik dalam diri setiap individu termaktub dalam Sirah Rasulullah.
Namun ada segelintir antara kita belum mampu menterjemahkan sifat dan fikrah tersebut apabila berjumpa atau
bergaul dengan masyarakat sekeliling kita terutama yang tidak sefikrah dengan kita. Oleh itu kecantikan Mesej PR
Islam tersembunyi dalam sanubari ahli-ahli sahaja atau dalam lingkungan Sesama kita sahaja. Di samping
mempunyai ciri-ciri akhlak mulia, beberapa penampilan peribadi amat perlu digilap untuk mempunyai PR yang
baik, supaya sedap dipandang, nyaman didengar dan perasaan menjadi lebih harmoni.

Wajah yang Berseri seri :


Memastikan wajah kita sentiasa berseri-seri, tidak masam dan muram durja malah sentiasa tersenyum simpul walau
dalam apa keadaan pun. “Janganlah memandang rendah atau meremehkan sesuatu yang makruf
itu sekalipun hanya dengan menghadapi saudaranya dengan muka yang berseri-seri (tidak bermasam muka)
semasa berjumpa dengan nya”.(Hadis Riwayat Muslim).

Dari Jarir bin Abdullah: “Tidak pernah aku datang menemui Rasulullah semenjak aku masuk Islam melainkan aku
melihat baginda sentiasa tersenyum- Baginda tidak pernah kelihatan bermasam muka” (Hadis Riwayat Bukhari dan
Muslim)

Inilah perbezaan antara masyarakat materialis dengan nafsu nafsi yang kekeringan senyuman dan kegersangan
empati dengan masyarakat Islam yang kaya dengan mahabbah wa rahmah. Masyarakat materialis amat lokek
memberikan senyuman kepada jiran, sentiasa kelihatan susah hati dan wajah berkerut seribu, sibuk dan tenggelam
dalam arus kehidupan yang mencabar yang memadamkan ciri-ciri insaniah dalam diri. Namun wajah yang berseri
akan memberikan kesegaran dan kesuburan rohani orang yang melihat.

Sedarkah kita bahawa satu senyuman kita boleh membahagiakan orang lain? Amati cerita ini dari seorang sahabat di
luar negara:
“Sepuluh tahun yang lalu, semasa saya berada di sebuah IPT, untuk menampung perbelanjaan yuran yang
meningkat, saya bekerja sambilan sebagai cashier di sebuah kedai cenderamata. Semasa saya berada di meja
cashier, sepasang warga tua masuk sambil menyorong kereta sorong yang memuatkan seorang kanak-kanak
perempuan di dalamnya.

Saya memerhatikan kanak-kanak perempuan ini duduk terperosok, sedarlah saya bahawa kanak-kanak ini
sebenarnya kodong tanpa kaki dan tangan. Dia hanya ada kepala, leher, tengkok dan badan sahaja. Dia memakai
baju putih bercorak-corak bulat merah (polka dots). Semasa warga tua itu menyorong anak itu ke arah saya untuk
membayar pembeliannya, saya masih sibuk dengan „cash register’ di depan saya.

Apabila saya hendak mengambil duit pembayaran dari pasangan itu, saya sempat mengenyitkan mata saya kepada
kanak-kanak perempuan itu. Kemudian saya melihatnya kembali. Kanak-kanak itu memberikan saya satu senyuman
yang lebar dan paling manis yang pernah saya terima dalam hidup saya. Secara tiba-tiba semua kecacatannya telah
hilang, apa yang saya lihat ialah seorang kanak-kanak yang comel dan cantik.

Senyuman nya telah mencairkan persepsi saya dan dunia kelihatan sungguh ceria. Senyumannya telah
mengeluarkan saya dari dunia saya sebagai „pelajar‟ yang miskin, sengsara dan tertekan, ke satu dunia yang penuh
dengan senyuman, kebahagian dan kehangatan kasih sayang dan cinta. Kini setelah sepuluh tahun, saya menjadi
seorang usahawan, setiap kali saya merasa tertekan, diketepikan, runsing dan gundah gulana, saya akan terus
teringatkan senyuman manis anak itu dan „pelajaran‟ yang diajarkan kepada saya sepuluh tahun yang lalu.
Ramah Mesra:

Ramah dan mudah mesra bermaksud menegur dengan memulakan dahulu. Tidak menunggu sehingga orang lain
menyapa kita dahulu.Menegur dengan baik, tutur katanya lemah lembut dan intonasi suara yang nyaman didengari.
Apabila bercakap di telefon, suara sentiasa kedengaran ceria dan memberansangkan. Bukan lah apabila mendengar
sahaja suara kita, orang di talian sana rasa macam hendak meletakkan telefon serta merta. Namun suara tidak lah
lunak sangat hingga kedengaran seperti mengada-ngada.

Kita bergaul dan bermesra yang menawan hati. Gurauan yang tidak melampau, tidak menyinggung perasaan di
waktu yang sesuai dan munasabah pula. Demikian juga dalam kesungguhan membuat sesuatu kerja tidak kasar,
tidak memaksa, tidak terlalu mendesak-desak dan bila berhujah tidak keras kepala. Dalam pada itu jika berada
dalam sesuatu majlis tidak pula membisu seribu bahasa, tetapi mencipta suasana gembira dengan senda guraunya
yang benar dan tidak melampaui batas syarak.

Sahabat pernah bertanya kepada Rasulullah: “Engkau bersenda gurau dengan kami?”. Lalu rasulullah (s.a.w.)
menjawab: “Sesungguhnya aku tidak mengucapkan kecuali yang benar sahaja.
(Riwayat Bukhari).

Diriwayatkan dari Al Bukhari fil adabi mufrad dari Bakar bin Abdullah: “Bahawasanya sahabat-sahabat Rasulullah
pun bergurau seperti berbaling-baling buah tembikai, tetapi apabila berada dalam pekerjaannya, mereka
bersungguh-sungguh dan menjadi seorang lelaki (tidak bergurau lagi).”
Gurauan kita hanya lah bertujuan menghidupkan suasana menyegarkan jiwa, melegakan perasaan dan
menggembirakan hati. Namun senda gurau tetap sederhana dan tidak melampau.

Pengasih penyayang (bersifat Rahim)

Pastikan mata air rahmat sentiasa terpancar dari hati kita, kerana kita tahu bahawa untuk menerima rahmat dari
langit kita mestilah terlebih dahulu mengasihi hamba-hamba Allah di bumi.
”Kasihanilah sesiapa sahaja dibumi supaya kamu dikasihi oleh siapa yang di langit (dikasihi Allah). (Riwayat At
Tabrani).

Setiap kali berjumpa dengan orang di luar lingkungan kita, kita seharusnya mampu membetulkan persepsi, katakan
dalam diri: “Inilah mad‟u, kita mesti lah memenangi hatinya untuk Dakwah kita”.

Seluruh dunia kagum kepada Mother Theresa apabila dia mencium dan mendokong seorang kanak-kanak melarat
yang dihinggapi penyakit Aids. Di Malaysia seorang ibu penyayang bernama Norlina Alwi, 32 mendapat anugerah
Sukarelawan Muda Negara kerana membela beberapa orang anak angkat berpenyakit Aids di samping beliau sendiri
mempunyai anak yang ramai. Beliau akhirnya menubuhkan satu persatuan bernama PERNIM untuk memberi
perlindungan kepada anakanak pesakit HIV/AIDS positif terutama daripada ibubapa yang telah meninggal dunia
kerana HIV/AIDS.

Toleransi dan boleh bertolak ansur:


Kita mempermudahkan urusan dengan orang lain, tidak menyukarkan, kita memaafkan perkara-perkara yang
berbeza pendapat, tetapi bekerja sama pada perkara-perkara yang kita sependapat. Berlebih kurang pada perkara-
perkara yang tidak mengganggu prinsip.

“Allah memberi rahmat kurnia kepada seorang lelaki yang bertoleransi, yang menyenangkan pembeli dengan
harga yang berpatutan, memuaskan hati mereka dengan sikapnya yang lemah lembut. Apabila dia menjual, ia
bertoleransi, apabila dia membeli dia bertoleransi dan apabila dia menuntut hutang dia bertoleransi”. (Riwayat
Muslim)
Program PR

Dalam sebuah organisasi, program PR yang paling menonjol ialah menarik minat orang awam atau memberitahu
orang lain untuk mengetahui kewujudan kita, mengenali dan mengenal pasti aktiviti organisasi kita. Kita mahukan
perhatian umum dan liputan atau hebahan media untuk mengetengahkan idealisme perjuangan kita.

Bagaimana kita memulakan nya? Kadang-kadang kita buat secara terang-terangan dan terus mengadakan sidang
media atau kenyataan akhbar. Acap kali pula kita perlu „pandai‟ menggunakan situasi, keadaan atau isu isu panas
yang berlaku. Aktiviti-aktiviti berbentuk “magnet” yang boleh menarik orang ramai dan perhatian media perlu
sentiasa difikirkan dan dibuat secara berkala bersempena dengan hari-hari tertentu seperti hari wanita sedunia, Hari
kanak-kanak, Hari buruh dan sebagainya.

Menteri kabinet, bintang filem (bekas artis pun begitu) dan artis nasyid memang menjadi perhatian orang ramai.
Kita boleh memanfaatkan mereka untuk memeriahkan program kita dan menarik media untuk membuat liputan.
Kadang-kadang kita tidak perlukan duit yang banyak untuk menjayakan sesuatu kempen, kita hanya perlukan
beberapa idea yang kaya dengan kreativiti.

Sidang Media & Kenyataan Akhbar

Aktiviti Sidang media ialah kita memanggil atau menjemput wakil media (cetak atau elektronik) untuk datang
mendengar makluman atau kenyataan kita mengenai sesuatu isu yang timbul. Kita mesti memastikan bahwa apa
yang kita akan cakapkan ini adalah satu isu penting, mempunyai nilai berita dan amat menarik untuk dihebahkan.

Pastikan surat jemputan media jemputan di fakskan 3 hari atau kurang seminggu sebelum sidang media di adakan,
agar pihak editor dan pemberita mempunyai masa yang cukup untuk merancang masa mereka.

Sehari sebelum sidang media, kita mestilah membuat „panggilan susulan‟ untuk mengesahkan kehadiran wakil
mereka. Kenal pasti orang-orangyang tertentu (“person in charge”) yang berminat mengupas sesuatu isu sebelum
membuat jemputan. Jangan tersalah jemput pemberita.

Pastikan ruang sidang media selesa untuk pemberita dan juru gambar duduk, mendengar dan mengambil maklumat
dan penulisan nota. Kenal pasti keperluan pemberita terutama yang datang dari media elektronik, mungkin
memerlukan „extension wires’, kabel yang panjang untuk “microphone” atau pencahayaan yang sesuai untuk tujuan
mengambil gambar.

Sediakan makanan dan minuman, tidak semestinya hidangan berat (pemberita suka diberi makan, kerana kadang-
kadang mereka tidak sempat mengambil sarapan pagi kerana terkejar-kejar dengan beberapa tugasan yang bertali
arus).

Pastikan „pembuat kenyataan‟ betul-betul bersedia untuk menyampaikan maklumat dan kenyataan serta bersedia
menjawab sebarang persoalan dan menghadapi sebarang kemungkinan. Hanya ada 3 sahaja jawapan terhadap soalan
pemberita:
• Ya, saya tahu, jawapannya ialah begini dan begitu
• Tidak, saya kurang pasti jawapannya, tetapi saya akan berikan lain kali apabila telah menemui jawapnnya
• Ya saya tahu jawapannya, tetapi saya tidak boleh beri tahu sekarang.

Selalunya ada 3 kesalahan yang berlaku semasa sesi soal jawab dengan pemberita/media:
• Kita menjadikan sesi soal jawab atau “interview” itu sebagai perbualan kerana soal jawab dengan media bukan
satu sesi perbualan kosong. “Interviews” adalah untuk isi, maklumat adalah matlamat.
• Melebih muatkan sistem (“Overloading the system”) dengan bercakap terlalu banyak dan menggunakan kata-kata
jargon atau gaya bahasa yang „tinggi‟. Sehingga pemberita tidak tahu mana isi yang penting dan mana yang tidak
penting
• Hanya menjawab soalan, sepatah ditanya, sepatah jawapannya
Ucapan mestilah ringkas tetapi padat, untuk memberikan banyak ruang soal jawab dari pemberita. Kita sediakan
maklumat yang menarik, kalau boleh ada poster, sticker, gambar, slide, atau pertunjukan video.

Ingatlah sidang media yang tidak kemas dan tidak menarik memberikan imej negatif terhadap organisasi kita, jika
bagus maka imejnya akan baik di mata pemberita dan penulisan berita mengenai aktiviti /mesej kita akan lebih
menarik.

Memahami media:
Keperluan utama media (sama ada cetak atau elektronik) ialah „bahan‟ yang diperlukan untuk memenuhi ruang dan
masa siaran. Kita mesti membekalkan bahan yang diperlukan sahaja, sesuai dengan ruangan dan masa yang
disediakan.

Apakah kriteria pemilihan bahan siaran yang disukai oleh media?

• Pantas dan terkini: Peristiwa yang berlaku hari ini adalah lebih diutamakan berbanding peristiwa semalam atau
esok.
• Dekat dan hampir: Secara umum orang lebih berminat terhadap peristiwa yang berlaku berhampiran dengan
tempat tinggal mereka dan isu nya dekat dengan hati mereka.
• Konflik. Orang mudah tertarik kepada isu-isu yang berkaitan dengan konflik seperti perang, sukan,
pergaduhan/penderaan rumah tangga, pilihan raya, jenayah, kehidupan manusia luar tabii.
• Lain dari yang lain: Sesuatu yang lain dari yang lain amat diminati oleh media dan ramai orang suka
membacanya. Kadang-kadang perkara ini menjadi satu “trend” dalam masyarakat berinformasi. Contohnya dalam
zaman ekonomi merudum banyak syarikat memberhentikan pekerjanya, namun jika ada syarikat menambahkan
pekerja ia merupakan sesuatu yang lain dari yang lain.
• Emosi: Cerita-cerita yang membuat pembaca rasa marah, simpati, sedih, gembira, kejayaan, boleh memenangi hati
media. Jadi emosi memang boleh menarik pembaca untuk terus membaca. Termasuklah cerita mengenani orang tua-
tua, kanak-kanak, binatang dan malapetaka.

Bahan “Kit” untuk PR

Untuk memudahkan kita membina hubungan rapat dengan media kita perlu kan „media kit‟ sebagai bahan untuk
kerja-kerja PR: Kita perlu menyediakan satu fail yang lengkap dengan maklumat penting organisasi:
• Pamplet (dilengkapkan dengan CD lebih baik) mengenai organisasi kita, siapa yang mengetuai nya dan sebarang
penulisan mengenai sejarah dan aktiviti yang dijalankan.
• Gambar-gambar yang bersangkutan juga baik untuk disertakan sekali
• Sebarang maklumat tambahan yang boleh menambah nilai imej sesebuah organisasi. Jika ada keratan-keratan
akhbar bolehlah di paparkan semasa sidang media
• Cenderamata berbentuk stickers, badge, key chain, letter opener, pen dan sebagainya.
• Jika kita mengadakan sidang Media, kenyataan akhbar perlu dimasukkan sekali dalam fail tersebut.
Kenyataan akhbar yang berkesan

Kenyataan Akhbar adalah „perkara‟ yang paling penting menghubungkan kita dengan editor atau pemberita. The
American Wall Street Journal melapurkan 90-peratus lapuran media mereka adalah berasal atau berasaskan dari
makluman dan berita yang ditulis oleh syarikat-syarikat atau organisasi massa.

Media banyak bergantung kepada berita-berita yang dihantar oleh syarikat dan organisasi tersebut. Jadi adalah amat
penting kita sentiasa menulis kenyataan akhbar atau laporan-laporan aktiviti kita sendiri dan hantarkan kepada
media, tanpa mengira samada mereka akan keluarkan nya atau pun tidak. Kita mestilah menulis sesuatu yang
menggugat minda editor untuk terus ingin membaca tulisan kita.

Kita ada hanya „5 saat‟ untuk „menjual‟ berita kita sebelum mereka membaca cerita orang lain yang berlonggok
didepannya. Ini amat penting!

Isinya:

Pastikan perenggan yang pertama mengandungi 5 soalan penting dalam journalism yang popular itu:
Siapa, Apa, Dimana, Bila, Mengapa dan Bagaimana.

Jika tidak mempunyai maklumat lengkap mengenai kelima-lima soalan tersebut, besar kemungkinan cerita kita tidak
akan disiarkan. Satu perkara yang perlu kita sedari ialah, editor akan memotong cerita kita bermula dari bawah
(perenggan yang terakhir) dahulu jika ruang tidak mencukupi. Ini dipanggil Piramid Sonsang. Isi dan perkara yang
terpenting mestilah diletakkan di atas sekali, diikuti perkara yang kurang penting di perenggan bawahnya.

Beberapa tips tambahan mengenai penulisan kenyataan akhbar:

• Ringkas tetapi jelas dan padat, lagi baik jika dibuat dalam satu muka surat sahaja.
• Elakkan menggunakan bahasa teknikal yang hebat-hebat tetapi susah di fahami oleh orang biasa
• Jika menyebut pendapat orang lain, pastikan sebut nama orang itu sebagai „quotation‟.
• Berita kita adalah berita terbaru dan masih panas. Sesuatu yang boleh memancing minat editor, pembaca atau
pendengar.
• Jika pemberita menulis cerita kita tidak seperti apa yang kita tulis, jangan kesal, terperanjat atau kecewa. Kita
bersyukur sekurangkurangnya cerita kita telah disiarkan dan ada orang akan melihat „nilai‟ berita kita.
• Apabila cerita kita telah tersiar, kita perlu bersedia menjawab maklum balas dan berbagai persoalan. Kadang-
kadang dari situ kita mula mengenal pasti kelemahan kita dan beberapa aspek negatif yang timbul dari kenyataaan
kita itu. Kadang-kadang dari sini boleh menimbulkan isu lain pula, mungkin berguna untuk kenyataan akhbar untuk
masa akan datang pula
• Kalau ada gambar-gambar untuk hiasan yang berkaitan dengan cerita kita, adalah lebih baik dan menolong
pemberita menyempurnakan cerita dengan lebih menarik lagi.
• Salinan kenyataan media perlu disebarkan kepada pemimpin dan juga semua ahli dalam organisasi, supaya
semuanya tahu perkembangan apa yang yang berlaku.
• Semua kenyataan akhbar mestilah bertaip dan menggunakan „letter head’ organisasi kita yang lengkap dengan
nama, alamat, no. telefon dan no. faks.
• Pada akhir perenggan terakhir gunakan “###” atau “xxx” untuk menunjukkan akhir perenggan.
• Alamatkan faks kita kepada orang yang bertanggungjawab pada sesuatu kolum, nama penuh nya dan bukan hanya
jawatan nya sahaja, maksudnya kita sentiasa mengemaskini nama orang-orang media yang bertugas dalam bahagian
masing masing. Berita adalah satu perniagaan yang sangat „transient‟ .
• Kenal pasti „keperluan‟ dan “deadlines” media kita
• Sentiasa bersedia menjawab soalan-soalan susulan dari pihak media, terutamanya jika nama/no telefon kita telah
berada di tangan mereka.
• Kita mestilah memberikan maklum balas yang pantas, jika tidak pun serta-merta apabila di panggil, telefon, namun
perlu pastikan kurang dari satu jam jawapan kita sudah ada.
Apa Selepas Kenyataan Akhbar?

• Jangan marah atau menyumpah pemberita jika cerita/berita kita tidak tersiar dalam akhbar atau menyiarkan hanya
sedikit sahaja, atau cerita kita tersasar dari cerita asal. Merekalah hakim untuk menentukan „berita‟ dalam dunia
mereka. Di masa akan datang kita perlukan mereka untuk liputan lain. Kalau berita hari ini tidak keluar mungkin
berita lain hari akan keluar juga.

• Jika memang ada kesalahan fakta yang besar dalam cerita kita yang tersiar, kita perlu membuat pembetulan dengan
menghubungi pihak media yang menulis liputan itu secepat mungkin dengan cara paling berhikmah dan beradab.
Jika isu itu hanya merupakan satu pendapat yang dilihat dari satu perspektif lain, maka simpan lah dalam hati sahaja,
bak sepatah kata pepatah Inggeris: “Never argue with anyone who buys their ink by the barrel”.

• Bersedia untuk melihat cerita kita ditulis dengan cara mereka yang berlainan. Jangan meletakkan pengharapan
yang terlalu tinggi untuk melihat cerita disiarkan seperti yang kita mahu. Jika kita tidak berhati hati hubungan
dengan media akan renggang. Kita kehilangan satu peluang.

• Ingatlah setiap patah perkataan dan apa yang kita katakan, semuanya dicatatkan oleh media. Mereka boleh
menyiarkan apaapa sahaja, menggunakan nya sebagai data-data menurut kepentingan ruang, sama ada untuk imej
positif atau negatif. Berhatihati lah dan berfikir dahulu apabila bercakap dengan pihak media.
Ingatlah, kenyataan akhbar kita adalah salah satu dari beratus-ratus kenyataan akhbar yang berlonggok di depan
editor. Jika kita gagal „ujian 5 saat‟ maka kenyataan akhbar kita akan dibakul sampahkan.

Penutup

Ramai orang melihat kerja-kerja PR ini sebagai satu kerja yang kurang menyenangkan. Ada yang menganggap PR
ini seorang strategis yang „pandai‟ mempengaruhi pandangan umum bahwa sesuatu perkara itu „salah‟ atau pun
„betul‟.

Ada juga yang melihat PR ini sebagai „pembelit‟ atau tukang karut yang sentiasa merosakkan minda pembaca bukan
sebagai pendidik atau penyampai kebenaran. Memang benar, sesuatu perkara itu boleh digunakan untuk kebaikan
atau untuk kejahatan yang memusnahkan.

Realiti kehidupan kita hari ini melihat, berapa ramai orang yang jahat menggunakan PR untuk tujuan buruk dan niat
yang busuk. Oleh itu, kita sebagai pejuang Islam dan kebenaran yang sentiasa membetulkan niat untuk mencari reda
Allah perlu, malah wajib, menguasai teknik PR yang baik dan berkesan demi Dakwah kita untuk menyebarkan
rahmat Islam ke seluruh alam.

PR adalah ibarat jalan dua hala. Bukan sahaja kita mengenengahkan GERAKAN ISLAM dan idealisme nya kepada
umum sahaja, kita juga seharusnya mampu membawa atau mengenengahkan „umum‟ atau masyarakat kepada
GERAKAN ISLAM dan kawan-kawan GERAKAN ISLAM. Pendek kata kita menjadi juru bicara umat. Kita
menolong ahli kita melihat atau memahami apa persepsi umum terhadap GERAKAN ISLAM. Adakah tindak
tanduk kita selama ini menolong menyelesaikan masalah umat atau lebih menimbulkan banyak masalah?

PR bukan untuk tujuan populariti, malah kadang-kadang memberikan kita imej negatif. Namun PR adalah satu kerja
yang amat penting. Jika dibuat secara profesional, beretika dan bersungguh-sungguh, ia akan menguntungkan
GERAKAN ISLAM dan kerja-kerja pengislahannya, media, masyarakat umum dan Negara.

Ir. Endok Sempo binti Hj. Mohd Tahir adalah seorang jurutera dan memiliki firma perundingan dalam bidang kejuruteraan
elektrikal.

Mohd Hakim Bin Mohd Nor adalah seorang mahasiswa tahun akhir di Universiti Teknologi PETRONAS dalam bidang
kejuruteraan elektrikal dan elektronik dan juga merupakan Presiden Rakan Masjid di Universiti tersebut.

Anda mungkin juga menyukai