Anda di halaman 1dari 10

Kerja kursus EDU 3109 Guru dan cabaran semasa

Pengenalan Murid pecah gegendang telinga ditampar guru, begitulah tajuk berita akhbar Berita Harian bertarikh 26 Mei 2010 iaitu sepuluh hari selepas menyambut Hari Guru pada tahun tersebut. Apabila berita ini menjadi tatapan masyarakat, pelbagai andaian, tomahan dan tuduhan dilemparkan kepada guru tersebut khasnya dan komuniti guru amnya. Persoalan yang biasanya akan dibincangkan di kedai-kedai kopi atau tempat-tempat rehat adalah kenapa guru tersebut melakukan sedemikian rupa? dan guru tersebut gila atau sewel?. Jarang sekali kita mendengar pandangan yang membela atau mempertahankan guru tersebut.Guru tersebut umpama digantung tidak bertali oleh lapisan masyarakat yang cetek pemikiran dan nipis ilmunya tanpa usul periksa dan tanpa mendengar luahan daripada guru tersebut. Adakah guru tersebut benar-benar gagal mengawal emosinya dan bertindak sedemikian tanpa ada sebarang nilai rasional dalam dirinya? Ataupun guru tersebut bertindak sedemikian kerana provokasi yang dilakukan oleh murid tersebut dan rakan-rakannya? Persoalan ini telahpun dijawab oleh masyarakat yang saya percaya rata-rata akan menyalahkan guru tersebut kerana tindakannya dan melupakan semua jasa guru tersebut mendidik anak-anak muridnya sebelum ini.

Pendidikan merupakan salah satu tunjang utama pembangunan dan kestabilan di negara kita. Pendidikan merupakan pemangkin dan komponen penting untuk memacu pembangunan negara kita bagi mencapai status negara maju menjelang tahun 2020. Oleh itu, mutu pendidikan yang bermutu tinggi dan mampu menghasilkan golongan cendiakawan yang berkualiti hendaklah diberikan penekanan kerana mutu pendidikan secara langsung dan tidak langsung menyumbang kepada pembangunan negara yang dinamik, mampan dan menyeluruh. Mutu pendidikan yang cemerlang banyak bergantung kepada produktiviti para pendidik mencorak arus mutu pendidikan semasa selari dengan cabaran dunia global yang memerlukan pendidikan melonjak ke satu tahap yang baru dan tidak hanya selesa berada di takuk yang lama. Dalam usaha untuk melonjakkan kecemerlangan pendidikan, para pendidik terutamanya para guru adalah orang yang bekerja untuk merealisasikan impian wawasan 2020 negara iaitu untuk menjadi negara yang maju dan setaraf dengan negara-negara maju yang lain. Para guru perlu bekerja dengan lebih produktif, lebih cekap, lebih kreatif dan mempunyai akauntabiliti yang tinggi terhadap tugas mereka. Untuk mendapatkan prestasi kerja yang terbaik daripada guru, guru hendaklah boleh melakukan tugas-tugas mereka tanpa tekanan dan tanpa dibebankan tugas-tugas yang lain. Lambakan tugas-tugas lain seperti kerja perkeranian terhadap guru akan menganggu prestasi kerja mereka dan menyebabkan mereka mengalami tekanan emosi. Antara lain, tugas guru juga termasuk membantu pelajar mendapat pencapaian akademik yang baik dan

membantu mereka mempunyai nilai-nilai mumi. (Koch, et al. 1982 ). Guru juga diminta menanamkan kebolehan berdikari kepada pelajar dalam usaha mereka memperolehi pengetahuan (Lee, 1999).

Peningkatan ketidakhadiran kerja, pusing ganti yang tinggi dan persaraan awal merupakan antara sebab mengapa banyak kajian dijalankan di kalangan guru berkaitan dengan tekanan emosi, stres dan burnout. Stres memberi kesan kepada masalah kesihatan mental dan zikal dan mempengaruhi keberkesanan hubungan guru dengan pelajar dan juga mutu pendidikan (Weisberg & Sagie, 1999). Stres juga menyumbang kepada penurunan tahap tenaga guru dan penglibatan tugas yang semakin berkurangan. (Lewis, 1999). Stres yang keterlaluan dan tidak dapat dikawal akan menyebabkan burnout di kalangan guru. Kesan Burnout adalah lebih memudaratkan daripada kesan stres seperti kepuasan kerja yang berkurangan, hubungan guru-murid dan guru yang renggang, motivasi guru yang berkurangan dan pengurangan keberkesanan guru dalam memenuhi matlamat pendidikan. Stres memberi kesan kepada interaksi guru dengan murid dimana ia boleh menyumbang kepada ketidakselesaan hubungan dengan murid-murid sehingga menyebabkan guru bertindak secara tidak wajar terutama apabila pelajar-pelajar menghasilkan kerja yang tidak baik dan tidak bertingkahlaku dengan baik (Nelson et al 2001). Stress Dan Burnout Sistem pendidikan yang pesat berubah dalam usaha untuk merealisasikan Wawasan 2020 dan keinginan untuk bersaing dengan negara-negara lain amat memberi kesan yang besar kepada para guru. Guru berdepan dengan pelbagai cabaran semasa yang memerlukan mereka untuk bekerja lebih produktif dan melakukan tugas dengan lebih berkualiti. Cabaran yang tidak dapat ditangani oleh guru akan menyebabkan stres dan menganggu kualiti kerja guru. Stres di kalangan guru merupakan satu halangan kepada produktivi kerja yang baik dan memberi kesan kepada zikal dan psikologikal guru ( Payne & Firth,1987). Stres akan menyebabkan pelbagai kesan yang negatif seperti hilang fokus, cepat marah, hilang rasa ingin bekerja dan boleh menyebabkan gangguan emosi. Stres juga dilihat sebagai punca kepada penurunan kualiti kerja dan keinginan meninggalkan pekerjaan (Barling, 1990). Stres juga boleh memberi kesan kepada kepuasan kerja dan keberkesanan ke atas produktiviti guru (Grifth & Steptoe, 1999). Perkataan Stres mengundang pelbagai definisi dan pemahaman secara global. Ramai cendiakawan dan pengkaji telah mengutarakan definisi dan pemahanan mereka terhadap stres. Menurut Wangsa ( 2010), istilah stres berasal dari kata stringere yang mempunyai erti ketegangan dan tekanan. Hardjana (1994) pula mendefinisikan stres sebagai suatu keadaan yang tercipta dalam proses transaksi orang yang mengalami stres dan hal yang dianggap yang mendatangkan stres sehingga membuat orang yang

bersangkutan melihat ketidaksepadanan yang bersifat nyata ataupun tidak nyata, antara keadaan dan sistem sumber daya biologi, psikologi, dan sosial yang ada padanya.

Definisi Konseptual terhadap stress yang dikemukakan oleh Sarafino (1994). Istilah burnout menurut Freudenberger (dalam Farber, 1991) dedifinisikan sebagai suatu bentuk kepenatan yang disebabkan karena seseorang bekerja terlalu intensif, berdedikasi dan berkomitmen, bekerja terlalu banyak dan terlalu lama serta melihat keperluan dan keinginan mereka sebagai hal kedua. Srinika Jayaratne dan Himle (1991), Perlman dan Hartman (1982) telah mengkaji semula semua literatur tentang burnout antara tahun 1974 hingga 1980 dan mencadangkan satu pungutan suara yang dipersetujui tentang definisi burnout.Mereka mendefinisikan burnout sebagai respon kepada stress emosi yang kronik kepda tiga komponen utama iaitu; a) b) c) Ketandusan fizikal dan emosi Produktiviti kerja yang rendah Personalisasi yang berlebihan

"... a state of fatigue or frustration brought about by devotion to a cause, way of life, or relationship that failed to produce the expected reward." (Freudenberger, 1980).

Maslach dan Pines pula telah mengkaji burnout daripada perspektif psikologikal.Kajian mereka berjaya menghasikan satu inventori yang dikenali sebagaiMaslach Burnout Inventory . Inventori ini telah digunakan secara meluas untuk mentaksirkan tiga factor dalam mengukur burnout terhadap individu. Faktor-faktor tersebut adalah daripada segi keletihan emosi (emotional exhaustion), gangguan keperibadian kendiri (depersonalization), dan pencapaian peribadi (personal accomplishment). Di samping itu, Maslach dan pines percaya bahawa ciri-ciri kerja dalam sesebuah organisasi adalah factor penentu utama kebarangkalian seseorang itu akan mengalami burnout. (Gold & Ruth, 1993).

Faktor-faktor yang menyumbang kepada tekanan emosi di kalangan guru.

Faktor pertama yang menyumbang kepada tekanan emosi di kalangan guru ialah persekitaran kerja dan kerenah pelajar. Persekitaran kerja yang kurang kondusif dan ditambah lagi dengan kerenah pelajar yang bermacam ragam, guru terdedah dengan tekanan akibat tugas yang perlu dilaksanakan. Kekurangan kemudahan di sekolah juga akan memberi tekanan kepada guru apabila keperluan untuk mengajar tidak mencukupi dan guru akan merasakan sesuatu yang tidak lengkap untuk memberikan pengajaran yang maksimum kepada para murid. Greenberg dan Baron (2000) menyifatkan tekanan di tempat kerja sebagai stressor.Tekanan di tempat kerja yang tinggi boleh menyumbang kepada perletakan jawatan (Erkutlu & Chafra, 2006). Dalam satu kajian yang dijalankan oleh Jesus di Portugal pada tahun 2000, antara sebab guru-guru di Portugal mahu meletak jawatan adalah kerana persekitaran kerja yang tidak kondusif dan tidak memberi semangat untuk bekerja. Apabila melihat konteksnya di Malaysia, adalah menjadi kerugian andainya guru-guru berhenti berkhidmat kerana guru merupakan tunjang utama kepada matlamat kerajaan untuk mencapai Wawasan 2020. Selain daripada itu, guru juga tidak terlepas daripada berhadapan dengan perlakuan dan sikap segelintir pelajar yang kadangkala menyakitkan hati. Masalah-masalah seperti ini menyebabkan guru mengambil tindakan berasaskan emosi untuk menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan disiplin pelajar walaupun tindakan ini bertentangan dengan etika dan tatatertib seorang pendidik, namun kadangkala emosi yang tidak stabil boleh menguasai pemikiran yang waras.

Faktor kedua yang menyumbang kepada tekanan emosi di kalangan guru ialah beban tugas di sekolah. Bebanan tugas ini merujuk kepada tugas-tugas yang perlu dibuat oleh guru seperti membuat persediakan mengajar, menyemak latihan pelajar, tanggungjawab terhadap pelajar,urusan pentadbiran seperti mengisi borang dan lain-lain tanggungjawab yang mesti dipikul oleh seseorang guru sepanjang berkerja.

semua jenis dan bentuk kerja merupakan sumber utama yang menyumbang kepada bebanan tugas (Cooper,1988). Kerja yang terlalu banyak dan tidak sesuai dengan seseorang guru akan menimbulkan tekanan kepada guru terbabit. Kerja yang tidak sesuai dengan guru memerlukan masa untuk mempelajarinya dan pada masa yang sama, banyak lagi tugas lain yang menanti untuk disiapkan. Menurut Nelson dan Burke (2000), faktor-faktor peranan seperti kekurangan kuasa, kabur dengan peranan dan tanggungjawab kerja yang sebenar dan peranan di dalam konflik akan memberi tekanan di tempat kerja. Ini akan menyebabkan kerja menjadi semakin banyak dan semakin membebankan. Walaupun seseorang individu mempunyai kecekapan dan kecekalan yang tinggi dalam menjalankan tugasnya, beban kerja yang melampaui batas kemampuannya akan menyebabkan prestasi kerjanya

menurun akibat kepenatan fizikal dan ini boleh membawa kepada masalah kesihatan seperti sakit jantung dan tinggi darah. Bebanan tugas yang melampau dalam sesuatu bidang pekerjaan yang dihadapi oleh pekerja-pekerja sesebuah organisasi mampu memberi kesan yang negatif bukan sahaja terhadap pekerja yang terlibat tetapi juga kepada organisasi itu sendiri (Sanders, 1992). Dalam konteks sekolah, guru terbeban dengan keperluan untuk mengutamakan tugas utama iaitu mengajar. Namun, guru juga terbeban dengan kehendak untuk menyiapkan tugas-tugas lain mengikut masa yang ditetapkan dan bukan itu sahaja, guru juga perlu memastikan komitmen terhadap keluarga dan komitmen terhadap aktiviti sosial di luar tidak terjejas dengan keperluan memenuhi tuntutan tugasan di sekolah. Jaafar Muhammad (2003), menyatakan kebanyakan individu bekerja selama 45 jam dalam masa seminggu dan masa selebihnya adalah untuk memenuhi tuntutan terhadap keluarga dan masyarakat. Sekiranya seseorang guru tidak dapat menangani tuntutan terhadap keluarga dan masyarakat, masalah itu akan dibawa pula ke sekolah dan akan menganggu pula tugas-tugas wajib di sekolah.

Faktor ketiga yang menyumbang kepada tekanan emosi di kalangan guru ialah punca peribadi seperti kesihatan, masalah kewangan, aktiviti riadah, perhubungan dan taraf hidup. Masalah kesihatan adalah antara masalah utama yang sering menghantui golongan guru. Antara penyakit yang popular ialah darah tinggi, sakit jantung, gout dan banyak lagi penyakit-penyakit lain. Guru yang mengalami masalah kewangan dan dibebani hutang juga akan mengalami tekanan emosi yang boleh menganggu prestasi kerja guru terbabit di sekolah. Menurut Gold Yvonne dan A. Roth Robert (1993), gaji yang rendah membataskan pilihan guru melakukan aktiviti riadah bersama keluarga. Sebagai contoh, niat mahu membawa keluarga pergi bermain boling tetapi kerana kekangan kos, niat tersebut terpaksa dibatalkan. Ini akan menyebabkan guru tersebut akan mengalami tekanan emosi kerana ketidakstabilan emosi selepas tidak mampu untuk membawa keluarga melakukan aktiviti riadah yang dikehendaki. Masalah-masalah yang berpunca daripada peribadi guru ini akan menganggu prestasi kerja guru di sekolah apabila mereka terlalu memikirkan tentang masalah peribadi dan tidak fokus kepada tugasan hakiki di sekolah.

Faktor keempat yang menyumbang kepada tekanan emosi di kalangan guru ialah masalah disiplin murid di sekolah. Masalah disiplin pelajar di sekolah pada hari ini semakin meruncing walaupun banyak usaha telah dilakukan oleh pihak sekolah untuk menangani masalah ini. Kurang kerjasama daripada ibu bapa merupakan antara faktor kenapa masalah disiplin di sekolah semakin meruncing daripada hari ke hari. Menurut Olivia (dipetik daripada Abdullah Sani, 2005),

disiplin bermaksud kawalan diri, kawalan dari luar, patuh kepada pihak yang berkuasa serta cara untuk menetapkan hukuman ataupun peraturan. Oleh itu, apabila murid melakukan masalah disiplin, murid tersebut bukan sahaja tidak dapat mengawal dirinya, malah tidak patuh kepada pihak yang berkuasa seperti guru dan pihak sekolah. Apabila guru memasuki kelas yang bermasalah, guru akan cenderung untuk sentiasa menganggap sikap dan perlakuan pelajar-pelajar sebegini teruk dan secara tidak langsung telah menanggap pelajar-pelajar tersebut adalah golongan yang tidak berdisiplin dan sering menimbulkan masalah di sekolah walaupun pada dasarnya ianya adalah sesuatu yang benar. Menurut Nogueira (dipetik dari Jesus & Conboy, 2001), kebiasaannya guru akan berfikir secara negatif apabila berhadapan dengan pelajar yang mempunyai masalah disiplin. Apabila guru berhadapan dengan perkara yang sama setiap kali sesi pengajaran bermula, maka mereka akan berasa tertekan dengan keadaan tersebut. Ini menyebabkan guru mengambil langkah yang mudah untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan memarahi pelajar dan tidak masuk ke kelas yang bermasalah untuk mengajar. Golongan pelajar yang sentiasa menimbulkan masalah disiplin ini akan mendatangkan tekanan emosi kepada guru untuk berhadapan dengan mereka dan ini adalah punca kenapa guru mengalami tekanan emosi yang berpanjangan di sekolah.

Punca kelima yang menyumbang kepada tekanan emosi di kalangan guru ialah tekanan daripada pihak atasan. Menurut Ramaiah (1999), kepimpinan adalah satu fenomena yang melibatkan suatu proses bagi manusia menggunakan kemahiran akal fikiran dan potensinya yang melibatkan keupayaan, kebolehan dan kebijaksanaan bagi seseorang untuk memerintah, mengarah, mendorong ataupun untuk mempengaruhi. Ini bermakna, seseorang pemimpin hendaklah menggunakan segala kebolehan yang ada padanya untuk memimpin dengan cekap dan baik. Jika melihat kepada konteks di sekolah, pemimpin di sekolah adalah guru besar ataupun pengetua dan sebagai pemimpin di sekolah, etika kepimpinan yang betul adalah penting bagi mewujudkan kepimpinan melalui teladan. etika kepimpinan ini kepada penjagaan hubungan sesama manusia iaitu sentiasa berbaik sangka dan mengelak dari berkonfrontasi sesama sendiri kerana ianya akan membawa kepada perpecahan dalam sesuatu hubungan (Noddings,1984). kepimpinan seseorang pemimpin tidak akan mempunyai apa-apa nilai sekiranya beliau tidak menjaga hubungannya dengan pekerja-pekerja bawahan. Dalam erti kata lain, pekerja-pekerja beliau tidak akan menghormatinya sebagai seorang pemimpin. Guru besar atau pengetua hendaklah memiliki daya kepimpinan yang tinggi untuk mencorak suasana sekolah yang kondusif dan hubungan antara guru juga dalam keadaan yang baik serta mempunyai rasa kepunyaan yang tinggi terhadap sekolah. Apabila pemimpin di sekolah tidak memimpin dengan baik dan tidak mentadbirurus dengan sistematik, guru-guru adalah orang yang akan menjadi mangsa. Lambakan tugas akan dipikul oleh guru dan ini akan

menyebabkan guru mengalami tekanan emosi serta stres. Menurut Carlopio et al.(1997), perlakuan sesetengah pemimpin organisasi juga boleh mendorong kepada tekanan di tempat kerja. Guru akan merasa lebih tertekan sekiranya terpaksa berhadapan dengan pemimpin yang sombong dan mengamalkan birokrasi yang berlebihan di sekolah. Ini akan menyebabkan guru-guru merasa tidak mendapat sokongan daripada pemimpin sekolah apabila mahu melakukan sesuatu perkara. Perkara ini juga akan menyebabkan guru-guru merasa tidak dihargai dan lama-kelamaan, ini akan menimbulkan pemberontakan dan rasa tidak hormat terhadap pemimpin. Komunikasi antara guru dengan pemimpin sekolah akan turut terjejas kerana sudah wujud jurang yang besar dan perasaan yang tidak enak di kalangan mereka.

Tindakan yang perlu diambil oleh bakal guru untuk mengelak tekanan emosi

Pengurusan tekanan emosi di kalangan bakal guru adalah amat penting untuk menyiapkan diri untuk berdepan cabaran sebenar alam pekerjaan sebagai seorang guru. Sebagai salah seorang bakal guru, saya sendiri sedar bahawa tugas guru semakin mencabar dari sehari ke sehari sehinggakan terdapat seorang guru meluahkan hasrat untuk menamatkan perkhidmatan kerana beban tugas sebagai seorang guru yang semakin berat dan ditambah pula dengan pelbagai program transformasi pendidikan yang nyata amat menambah beban tugas guru di sekolah. Namun, mahu atau tidak mahu, langkah perlu diteruskan dan untuk berada di sekolah sebagai seorang guru permulaan, langkah-langkah yang betul perlu diambil untuk mengelakkan mengalami kejutan budaya dan tekanan emosi di sekolah nanti. Apakah tindakan yang akan saya lakukan?

Pertama , mempersiapkan diri dengan pengetahuan berkaitan stres dan cara menanganinya. Antara perkara yang perlu diketahui ialah berkaitan dengan kajian yang dijalankan oleh Christina Maslach pada tahun 1982. Antara perkara yang disentuh dalam kajian tersebut ialah cara mengatasi tekanan dengan mengetahui tanda-tanda awal dan cara menanganinya. Dengan mengetahui tanda-tanda awal, saya akan mampu untuk bertindak dan mencegah tekanan emosi dengan menggunakan teknik relaksasi progresif yang dipelopori oleh Edmund Jacobson (1926) dan diperbaharui oleh Murphy (1996). Teknik ini adalah berasaskan pernafasan dan mampu membantu untuk merehatkan badan dengan efektif. Bagi saya, dengan menguasai teknik ini, saya akan mampu untuk melakukannya di mana-mana sahaja apabila perlu bagi mengingatkan diri saya bahawa sentiasa ada jalan untuk menyelesaikan sesuatu.

Kedua , saya akan cuba untuk sentiasa berfikiran positif. Masalah yang kebiasaannya akan timbul di golongan guru baharu ialah merasa terbeban dengan tugas yang diberikan apabila tiba di sekolah. Dengan sentiasa berfikiran negatif, ianya tidak akan membantu apa-apa sebaliknya hanya akan sentiasa memberikan tekanan emosi apabila terpaksa menyiapkan sesuatu kerja. Berfikiran positif mengikut pandangan Jesus dan Conboy (2001), akan membuatkan saya lebih redha menerima apa sahaja tugas yang diberi dan pada masa yang sama, saya akan belajar sesuatu daripada tugas yang diamanahkan kepada saya.

Ketiga dan terakhir , saya akan mendapatkan sokongan sosial dengan melibatkan diri dalam aktiviti sosial dan bagi saya, saya lebih selesa melibatkan diri dengan aktiviti keagamaan di gereja. Kajian Kyriacou (1978) menunjukkan kepentingan sokongan sosial dalam menangani tekanan di kalangan guruguru.Melibatkan diri dengan aktiviti sosial di gereja akan membuatkan saya melupakan seketika masalah dan bebanan tugas di sekolah. Dengan melibatkan diri dalam aktiviti sosial yang berbentuk keagamaan akan mendekatkan saya dengan Tuhan dan akan membantu saya mengawal tekanan emosi apabila berhadapan dengan tugas.

Kesimpulan

Sudah terbukti bahawa tekanan adalah sesuatu yang pasti akan dihadapi oleh setiap individu normal di muka bumi ini. Sebagai seorang guru, tekanan pastinya dirasakan di dalam dunia pendidikan yang sedang dan akan terus mengalami perubahan daripada semasa ke semasa. Tekanan emosi kerana tugas yang membebankan jika tidak diurus dengan baik akan menyumbang kepada stress dan burnout yang mempunyai kesan yang buruk.

Faktor-faktor yang menyumbang kepada tekanan emosi ini perlu dikenalpasti bagi memudahkan cara menguruskan tekanan tersebut. Faktor-faktor seperti kepimpinan di sekolah dan masalah peribadi boleh diselesaikan dengan cara dan medium yang betul tanpa perlu tindakan yang lebih drastik dilakukan. Cara pengurusan tekanan emosi yang betul turut perlu diberikan perhatian kerana apabila mempunyai ilmu pengetahuan dalam cara mengatasi tekanan emosi, tekanan emosi yang dirasai dapat diurus dengan cara yang betul. Persediaan awal dan kesedaran kendiri berkaitan dengan pengurusan tekanan emosi akan membuatkan guru lebih bersedia dan tahu cara awal untuk mencegah tekanan emosi dalam jangka masa panjang. Keseluruhannya, tekanan emosi bukanlah sesuatu yang tidak boleh diuruskan, sebaliknya ianya memerlukan cara yang betul untuk menguruskannya. Tekanan emosi yang diurus dengan baik tidak akan menganggu produktiviti kerja dan prestasi semasa sebaliknya hanya akan mengganggu prestasi kerja dalam masa yang singkat sahaja kerana apabila sudah dicegah dan diatasi, prestasi kerja bukan hanya akan meningkat tetapi kepuasan kendiri akan turut meningkat.

Rujukan / Bibliografi

De Jesus, Saul Neves & Conboy, Joseph (2001). A Stress Management Course to Prevent Teacher Distress. International Journal of Educational Management, 15 (3).

Erkutlu, HV & Chafra, J. (2006), Relationship Between Leadership Power Bases And Job Stress Of Subordinates : Example From Boutique Hotels. Journal Management Research News, 29 (5), ms 4-5.

Gold, Y, Roth, R (1993), Teachers Managing Stress and Preventing Burnout: The Professional Health Solution. Falmer Press, London.

Greenberg, J. & Baron, A. (2000), Behaviour in Organizations. Prentice Hall International Edition: New Jersey

Jaafar Muhammad, (2003), Kelakuan Organisasi. Kuala Lumpur : Leeds Publications

Noddings, N. (1984), Caring: A Feminine Approach to Ethics and Moral Education, University of California Press, Berkeley.

Kyriacou, C. (1987). Teacher Stress and Burnout : an International Educational Research. Educational Research. 29 (2) : 146-152. Maslach C. ( 1982 ). Burnout : The Cost of Caring. Engelwood Cliffs.NJ : Prentice-hall.

Pines, A & Aronson E. ( 1988 ). Career Burnout : Causes and Cures, New York : McMillan Inc.