Anda di halaman 1dari 11

Isu : Tekanan dalam Profesion Perguruan 7:31 PM Muna 'Izzah Md Isa No comments

Isu Tekanan Dalam Profesion Perguruan (Berdasarkan artikel Pendidik Mesti Bijak Kawal Emosi yang ditulis oleh Pengarah Perhubungan Korporat Universiti Sains Islam Malaysia, DR. SAPORA SIPON dalam Utusan Malaysia Online bertarikh 23 Julai 2007)

Di zaman yang serba mencabar dan moden ini di kala pergerakan semakin laju, seiring dengan maklumat bergerak pantas serta semuanya menuntut kesempurnaan dan komitmen yang tinggi daripada pelakunya, pastinya semua orang tidak dapat lari daripada mengalami tekanan. Tekanan merupakan satu penyakit yang sering dikaitkan dengan kesihatan mental dan kerap menyerang masyarakat pada hari ini. Kehidupan manusia pada alaf ini amat mencabar dan kompleks. Kepelbagaian dan kekomplekasian kehidupan ini menyebabkan munculnya Sindrom Baru yang menyerang manusia iaitu tekanan atau secara khususnya lebih dikenali sebagai stres. Menurut Hatta Sidi dan Mohamed Hatta Shaharom (2002), tekanan merupakan sebahagian daripada kehidupan manusia sejak dahulu lagi tanpa disedari.

Profesion keguruan merupakan satu bentuk perkhidmatan sosial yang sungguh mencabar. Tenaga pengajar dan pengurus pendidikan seharusnya peka dengan perkembangan terkini dalam proses kepemimpinan, pengurusan, pengelolaan sumber, dan pencapaian matlamat pendidikan (Ibrahim Ahmad Bajunid, 1995). Seiring dengan itu, pelaksanaan pelbagai reformasi dalam pendidikan sudah pasti menjadikan peranan dan tanggungjawab guru-guru menjadi lebih mencabar. Menurut rencana dalam akhbar Utusan Malaysia bertajuk Guru Lebih Stres yang ditulis oleh Noor Hamzah Abu Bakar pada 24 April 2012, kajian menunjukkan bahawa guru berada di kedudukan keempat dalam kerjaya yang paling mencetuskan tekanan selepas polis, pegawai penjara dan jururawat. Kedudukan ini berada di atas daripada

profesion tentera yang menduduki tempat kelima. Malah Pengarah Urusan Great Life Physio dan Rehabilation, Mohd. Rozaimi Che Kamaruddinata pula menyatakan bahawa, Seseorang guru berdiri lama ketika mengajar di dalam kelas serta melakukan aktiviti sukan dan sebagainya. Jadi, tidak mustahil mereka mengalami tekanan seperti kesakitan Di Malaysia, fenomena tekanan anggota dalam kalangan guru kini sedang badan. hebat

diperbincangkan dan dijadikan sebagai bahan kajian ilmiah. Malahan, kajian-kajian yang lepas juga mendapati bahawa profesion perguruan adalah bidang kerjaya yang menghadapi tekanan kerja yang tinggi (Cooper, 1995 dan Mokhtar,1998). Kita sering mendengar dan terbaca di dada-dada akhbar tentang masalah-masalah dan tekanantekanan yang dialami oleh guru-guru masa kini contohnya seperti tekanan daripada pihak ibubapa mahupun pihak pentadbir. Tekanan-tekanan dan masalah-masalah yang dihadapi oleh guru-guru tersebut pastinya akan menyumbang kepada stres dan kadang-kala ke tahap yang lebih kritikal, iaitu penyakit mental yang serius seperti bipolar, kebimbangan melampau dan kemurungan. Ini pastinya akan menyebabkan mutu dan kualiti perkhidmatan guru-guru terjejas selain turut memudaratkan kesihatan fizikal dan mental guru. Banyak kajian yang telah dilakukan juga menunjukkan bahawa kerjaya sebagai seorang guru adalah antara salah satu kerjaya yang menyumbang kepada masalah stres tertinggi. Persoalannya, apakah punca yang menyebabkan masalah ini?

Berdasarkan analisis yang dilakukan pada artikel penulisan Dr. Sapora Sipon berjudul Pendidik Mesti Bijak Kawal Emosi yang diterbitkan dalam akhbar Utusan Malaysia Online pada 23/7/2007, didapati bahawa terdapat beberapa faktor utama yang menyebabkan berlakunya tekanan kerja dalam profesion perguruan. Antaranya ialah beban tugas, persekitaran tempat kerja,masalah disiplin murid, keperluan penghargaan, kekangan masa dan sumber, masalah peribadi serta faktor geografi.

Bebanan kerja yang semakin meningkat dari semasa ke semasa juga menjadi penyebab utama bagi berlakunya tekanan yang lebih dikenali sebagai stres, dalam kalangan guru. Isu ini telah dibincangkan dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 18 Ogos 2012 yang ditulis oleh Abdul Muin Sapidin, di mana Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendakwa bahawa, Tahap stres di kalangan guru -

guru di negara ini semakin menjadi dan membimbangkan ekoran bebanan tugas yang meningkat. Kerjaya seorang guru pada 20 tahun yang lampau mungkin tidak sama dengan kerjaya seorang guru pada masa kini. Secara amnya, mungkin kerjaya seorang guru itu kelihatan hanyalah sekadar menyampaikan dan melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas namun sebenarnya tanggungjawab dan beban tugas seorang guru itu melebihi dan merangkumi segala-galanya bermula daripada mengajar dan mendidik murid-murid, aktiviti-aktiviti ko-kurikulum, tugas-tugas pengkeranian sehinggalah kepada kerja-kerja sampingan seperti mengecat, membuat garisan padang dan pelbagai jenis pekerjaan lagi. Bolehlah dikatakan bahawa seseorang guru itu sentiasa bertugas dan dilimpahi dengan pelbagai tanggungjawab bermula dari awal pagi sehinggalah kepada waktu petang. Oleh itu, bolehlah dirumuskan bahawa bebanan kerja yang semakin meningkat adalah antara salah satu punca berlakunya tekanan di kalangan guru-guru.

Selain itu, persekitaran tempat kerja iaitu sekolah tempat guru-guru mengajar juga telah dikenalpasti antara punca-punca berlakunya tekanan di kalangan guru-guru. Persekitaran yang dimaksudkan ialah hubungan guru-guru dengan pihak pentadbir, ibubapa, rakan sejawat mahupun murid-murid seperti yang telah diklasifikasikan oleh Dr. Sapora Sipon dalam rencana beliau. Ini menjelaskan bahawa hubungan baik guruguru dengan pihak pentadbir, ibubapa, rakan sejawat mahupun murid-murid pastinya akan mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif dan baik untuk guru. Namun begitu, seringkali kita mendengar guru-guru sering menghadapi masalah dan tekanan khususnya daripada pihak pentadbir dan ibubapa. Pihak pentadbir, khususnya Guru Besar seringkali dilaporkan menekan para guru supaya berusaha keras siang dan malam bertujuan untuk meningkatkan prestasi sekolah dalam bidang akademik mahupun ko-kurikulum tanpa mengira kekangan dan masalah-masalah yang dihadapi oleh guru-guru tersebut. Hal ini ditambah lagi dengan pelbagai karenah ibubapa yang bulat-bulat menyerahkan tanggungjawab sebagai penjaga, pengasuh dan pendidik kepada anak-anak mereka tanpa menghulurkan bantuan kepada guru-guru khususnya dalam menangani gejala sosial yang berlaku di kalangan anak-anak mereka. Tambahan pula, terdapat segelintir guru yang mempunyai masalah dengan rakan-rakan sejawat khususnya di kalangan guru perempuan yang suka berpuak-puak dan ini

pastinya

menyumbang

kepada

masalah

stres

di

kalangan

para

guru.

Selain itu, kadar masalah disiplin yang tinggi di kalangan murid-murid, serta kegagalan guru-guru mengawal kelas semasa proses pengajaran dan pembelajaran sedang berlangsung juga menjadi salah satu punca berlakunya stres di kalangan guru-guru. Di dalam bilik darjah guru berhadapan dengan masalah salah laku pelajar yang mana faktor ini dipercayai antara faktor yang menyebabkan guru-guru di sekolah menghadapi tekanan. Guru terpaksa berhadapan dengan masalah pelajar-pelajar yang suka membuat bising, biadap atau kurang ajar dan kesukaran mengawal pelajar dalam kelas, misalnya pelajar hiperaktif yang suka berlari-lari di dalam kelas serta mengganggu rakan-rakan lain semasa proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Sehubungan itu, kita perhatikan bahawa faktor penghargaan juga merupakan satu lagi faktor yang boleh menyebabkan tekanan kerja kepada guru. Faktor penghargaan ini merujuk kepada penghargaan yang sepatutnya diberikan kepada guru-guru yang rajin, berdedikasi, dan cemerlang dalam akademik dan ko-kurikulum. Terdapat guru-guru yang benar-benar memberi komitmen yang tinggi dalam pengajaran dan pembelajaran, namun penghargaan yang sewajarnya masih belum diperolehi. Selain itu, terdapat guru-guru yang tidak berpeluang untuk kenaikan pangkat dan masih tidak diiktiraf senioritinya untuk memegang sesuatu jawatan. Adakalanya pandangan, pendapat dan suara seseorang guru demi kebaikan sekolah tidak dihargai atau kurang mendapat perhatian yang baik dari pihak pentadbiran sekolah. Ini juga boleh menimbulkan perasaan tersinggung dan kecewa sehingga menyebabkan guru-guru itu menjadi kurang proaktif lagi seiring dengan tekanan perasaan yang dialami. Selain itu, terdapat segelintir guru yang melihat gaji yang diterima tidak seimbang dengan tugasnya sedangkan mereka ini mengharapkan gaji yang seimbang dengan tugas-tugas yang ditanggungnya. Sepatutnya apabila guru-guru tersebut memegang sesuatu jawatan atau tugas yang berat, pihak pentadbir harus peka terhadap mereka yang dibebani kerja yang banyak.

Faktor kekangan masa dan sumber merupakan faktor seterusnya yang menjadi penyebab berlakunya tekanan kerja kepada guru. Kekangan sumber merujuk kepada kekurangan peralatan dan kemudahan pengajaran dan pembelajaran, keadaan bilik guru, kekurangan kelas, tuntutan sukatan pelajaran dan lain-lain. Kekangan masa pula

ialah kekurangan masa guru-guru untuk mengajar, menghabiskan sukatan pelajaran yang diajar, pelajar dan masa rehat yang singkat. Pelbagai kursus juga perlu dihadiri oleh guru, kadang kala memakan masa yang lama sehingga terpaksa meninggalkan kelas yang diajar. Tambahan pula, guru tersebut tidak dapat menghabiskan sukatan pelajaran bagi mata pelajaran yang diajarnya. Setelah tamat kursus, guru perlu menghabiskan dan menyiapkan tugasan yang tertangguh sebelum ini. Ini tentunya akan menambahkan tekanan kerja kepada guru tersebut.

Di samping itu, masalah peribadi turut menjadi punca atau sebab berlakunya tekanan di kalangan guru-guru. Masalah peribadi yang dimaksudkan di sini adalah seperti masalah rumahtangga ataupun masalah kesihatan yang berlaku di kalangan guru. Pastinya masalah-masalah yang berlaku dalam rumahtangga seperti penceraian mahupun masalah kesihatan seperti ditimpa penyakit-penyakit kronik menjadi salah satu sebab guru mengalami stres. Masalah-masalah ini kadangkala boleh membawa kepada sindrom kemurungan di kalangan guru dan mereka juga akan berasa kurang bersemangat semasa berada di sekolah. Tidak dapat dinafikan juga bahawa kenaikan pangkat yang terhad serta kadar gaji yang rendah turut menyumbang kepada tekanan perasaan yang seterusnya menjadi pencetus berlakunya masalah stres kepada seseorang guru. Kekangan kewangan disebabkan oleh gaji yang rendah pastinya menghalang guru-guru untuk mencapai status sosial yang baik dalam sesebuah masyarakat dan ini pastinya mengundang tekanan juga kepada para guru. Hal ini sememangnya berlaku di kalangan para guru khususnya guru-guru yang baru memasuki alam pekerjaan yang dilaporkan sukar untuk memberikan taraf hidup yang lebih baik kepada keluarga mereka khususnya untuk memiliki rumah dan kenderaan mewah yang sendiri.

Walau bagaimanapun, geografi juga menjadi faktor penting dalam menentukan tekanan kerja di kalangan guru. Kedudukan sekolah dan masyarakat di kawasan sempadan adalah berbeza dengan tempat-tempat lain di Malaysia. Antara tempat yang agak unik dan perlu dibuat kajian ialah kawasan sempadan Malaysia dengan Thailand. Ini dapat kita lihat di Rantau Panjang, Kelantan di mana 35 peratus pelajar di sekolah berasal dari Sungai Golok, Thailand. Pelajar-pelajar di sini adalah terdiri daripada pelajar Melayu dan mereka berulang-alik melalui jambatan dan sebahagian lagi datang

dengan menaiki sampan. Budaya hidup di sini agak berlainan dengan tempat lain di Malaysia kerana sedikit sebanyak budaya dari Thailand telah mempengaruhi masyarakat di Rantau Panjang. Selain daripada itu, satu lagi kelainan jika dibandingkan dengan tempat-tempat lain ialah kegiatan penyeludupan yang menjadi sumber pendapatan penduduk di sini. Sebahagian besar penduduk di sini tidak menganggap kegiatan ini sebagai satu kesalahan, malah ia dianggap sebagai satu mata pencarian. Guru baru yang ditempatkan di sini memerlukan masa untuk menyesuaikan dengan keadaan persekitaran sebegini dan guru lama di sini mungkin telah menerima aktiviti ini sebagai satu kenyataan. Maka, tidak mustahil sekiranya guru-guru yang ditempatkan di sini mengalami masalah tekanan kerja yang lebih berat dari tempat-tempat lain. Berdasarkan punca-punca yang telah dihuraikan, didapati bahawa tekanan guru boleh mengakibatkan perasaan tidak selesa, emosi negatif seperti marah, kebimbangan, tekanan serta kekecewaan yang berpunca dari aspek kerja mereka sebagai seorang guru. Dr. Sapora Sapian turut menerangkan dalam rencana beliau bahawa guru yang menghadapi tekanan tidak dapat mengawal emosi mereka terhadap perubahan budaya pendidikan yang bukan sahaja bertujuan untuk memberi ilmu pengetahuan tetapi perlu mendidik manusia agar menjadi masyarakat yang berguna. Justeru itu, tekanan kerja pada tahap yang tinggi biasanya akan membawa kepada ketidakpuasan kepada kerja, sikap suka mengelak serta pengabaian kerja.

Malah, guru yang tertekan akan melakukan apa sahaja untuk memastikan tekanan yang melanda mereka berakhir. Ini termasuklah melakukan perkara-perkara yang menyalahi undang-undang dan etika perguruan. Ponteng kerja adalah antara perkara serius yang dilakukan oleh individu-individu yang tertekan. Tindak balas penyesuaian tekanan oleh guru merangkumi tindakbalas psikologikal (keletihan dan kemurungan), fisiologikal (sakit kepala, tekanan darah tinggi) dan berkaitan sikap (pengambilan alkohol, merokok, gaya hidup dan masalah tidur). Selain itu juga, tekanan yang berpanjangan juga boleh melemahkan mental dan fizikal seseorang guru serta boleh membawa risiko ke atas kesihatan jika tidak menerima rawatan dengan sebaiknya. Tekanan atau stres yang berterusan juga boleh menggugat emosi seseorang guru sehingga kadangkala bertindak di luar jangkaan. Misalnya seperti berita yang diulaskan oleh Dr. Sapora Sapian dalam rencana beliau, di mana seorang warden asrama

mengarahkan ramai pelajar perempuan SMK Bawang Assan berendam di dalam kolam ikan kerana kesalahan seorang daripada mereka yang membuang tuala wanita di dalam mangkuk tandas asrama perempuan.

Ini jelas menyatakan bahawa tekanan kerja sememangnya akan mengganggu gaya hidup dan kesejahteraan hidup seseorang insan bergelar guru. Ini seterusnya akan mengganggu prestasi kerja dan outputnya dalam bidang pendidikan yang diceburinya. Perkara ini telah turut dibuktikan melalui pendedahan yang dibuat oleh akhbar (Berita Harian, 2011) iaitu seramai lima peratus daripada keseluruhan penjawat awam di Malaysia terlibat dalam kes ponteng kerja, di mana ada sesetengahnya tidak hadir ke tempat kerja selama tiga bulan. Tambahan pula, menurut laporan akhbar (Berita Harian, 2012) terdapat seorang guru di Perak yang tidak menghadirkan diri ke sekolah selama lebih dari 30 hari tanpa sebarang alasan yang kukuh. Akibat dari perlakuan tersebut, pihak Kementerian Pelajaran telah mengambil tindakan disiplin yang tegas terhadap guru terbabit termasuk memecatnya. Perkara ini dikhuatiri ada kaitannya dengan tekanan kerja yang dihadapi oleh guru seperti yang dinyatakan oleh Dr. Sapora Sapian dalam rencana beliau.

Guru yang ponteng kerja akan menyebabkan proses pembelajaran dan pentadbiran di sekolah terganggu untuk satu jangka masa yang panjang. Akibatnya, banyak perkara yang tidak boleh diselesaikan dengan segera seperti kegagalan menghabiskan silibus pengajaran dan kelewatan menganjurkan aktiviti-aktiviti kokurikulum. Selain itu, rancangan pengajaran yang telah ditetapkan juga tidak dapat diikuti lagi kerana telah tersasar dari perancangan asal menyebabkan perancangan yang baru perlu disusun semula. Akhirnya, pelajar-pelajar kelas terbabit juga akan menerima padah apabila mereka tidak mampu menjawab soalan-soalan peperiksaan dengan baik terutamanya peperiksaan besar seperti UPSR, kesan daripada proses pengajaran dan pembelajaran yang tidak lancar.

Oleh hal yang demikian, kebijaksanaanlah yang menentukan dan membezakan seseorang individu itu dengan individu yang lain. Seorang guru yang bijak pastinya akan sentiasa berfikiran positif dan mempunyai strategi dan kaedahnya yang tersendiri untuk mengatasi dan menangani masalah tekanan yang dihadapi oleh mereka. Berdasarkan kepada hasil kajian yang telah dijalankan, berikut dapatlah dikemukan

beberapa cadangan yang berkaitan dengan pengurusan tekanan guru di sekolah. Cadangan-cadangan yang dikemukakan ini difikirkan sesuai untuk mengurangkan tekanan kerja warga pendidik secara amnya.

Salah satu langkahnya ialah berasaskan usaha seseorang guru itu sendiri, iaitu dengan melaksanakan dan menguruskan segala kerja dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan lebih sistematik dan tersusun. Guru yang bijak pastinya mampu merangka strategi yang tersusun agar segala tanggungjawab atau kerja yang diamanahkan dapat dilakukan atau disiapkan dengan sempurna mengikut tarikh yang ditetapkan selaras dengan etika pengurusan masa yang patut dimiliki oleh setiap guru. Budaya menangguhkan kerja dan bersikap sambil lewa ketika menjalankan tugas haruslah dielakkan bagi mengelakkan bebanan kerja yang berlambak pada satu-satu masa. Guru-guru juga boleh menolak tugas yang diberikan oleh pihak pentadbir mahupun rakan sejawat dengan cara yang baik dan berhemah sekiranya merasakan beban tugas yang ditanggung adalah amat berat dan membebankan.

Selain itu, para guru juga boleh menggunakan teknologi internet yang berkembang pesat pada masa kini untuk meluahkan perasaan dan menyatakan masalah yang dihadapi di dalam blog-blog atau forum-forum berkaitan guru bagi mendapatkan nasihat daripada guru-guru yang lebih berpengalaman berkaitan masalah yang dihadapi. Pastinya perbincangan yang bermutu di antara guru-guru baru dengan guru-guru berpengalaman akan menghasilkan impak atau keputusan yang positif bagi menangani masalah stres yang berlaku di kalangan guru-guru di sekolah.

Seterusnya, seseorang guru yang mengalami tekanan juga bolehlah mengambil pendekatan mengelakkan diri daripada individu-individu yang mengundang stres kepada mereka contohnya seperti mengelakkan diri daripada bercampur dengan rakanrakan sejawat yang tidak sistematik dalam menjalankan tugas. Namun begitu, haruslah diingatkan bahawa guru-guru perlulah bertindak dengan bijak dalam apa jua tindakan yang dilakukan bagi mengelakkan diri daripada dituduh atau dianggap lari daripada menjalankan tugas.

Di samping itu, guru juga perlu melibatkan diri dalam aktiviti riadah, senaman yang berterusan dan melakukan latihan jasmani supaya dapat membantu melupakan tekanan yang dihadapi. Badan yang segar akan mempunyai otak yang cerdas.. Aktiviti

bersukan selain membantu mengeluarkan peluh serta menjadikan badan kita sihat dan cergas juga secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi hubungan para guru dengan masyarakat. Aktiviti-aktiviti seperti berkelah atau bermain bola pada waktu petang atau hujung minggu bersama rakan sejawat lain sekolah pastinya akan menghasilkan perbincangan-perbincangan serta pertukaran idea yang sihat di antara guru-guru dan masyarakat di mana perkara ini pastinya akan membantu para guru untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik seterusnya mengurangkan tekanan yang dialami. Ini adalah selaras dengan amalan pemakanan guru juga perlu diberi panduan dan perhatian supaya bukan hanya murid-murid sahaja yang dijaga aspek jasmani, emosi, rohani dan inteleknya tetapi guru juga sepatutnya diberi pendedahan terhadap penjagaan aspek tersebut.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa profesion keguruan juga terdiri daripada komuniti berbeza kaum di mana setiap individu menganuti agama serta kepercayaan mengikut kaum masing-masing. Maka, seseorang guru juga bolehlah berusaha mendekatkan diri dengan penciptaNya bagi mengurangkan masalah tekanan yang dihadapi. Sebagai contoh para guru yang beragama Islam bolehlah memperbanyakkan membaca ayat-ayat suci al-Quran serta memperbanyakkan amalan zikir kerana kajian menunjukkan bahawa individu yang sentiasa mendekatkan diri dengan penciptaNya dapat menguruskan kehidupannya dengan lebih baik seterusnya mencapai kejayaan dalam setiap aspek kehidupan. Bagi guru-guru yang beragama lain pula, mereka juga boleh berdoa mengikut kepercayaan kaum masing-masing untuk mendapatkan ketenangan diri yang secara secara langsung dapat mengelakkan tekanan dalam diri seseorang guru.

Langkah seterusnya bagi menangani masalah tekanan di kalangan guru melibatkan peranan pihak pentadbir. Misalnya, pihak pentadbir menganjurkan program berkaitan pengurusan tekanan, sama ada dalam bentuk bengkel, kursus ataupun seminar perlu memasukkan strategi berlandaskan agama dalam kandungan atau agenda program. Seterusnya, mewujudkan suasana yang sihat dan harmoni iaitu perhubungan yang baik antara staf, keputusan yang diambil perlulah berdasarkan perbincangan, polisi sekolah yang lengkap dan teratur, guru-guru menerima tindak balas yang positif dan dihargai, pengurangan tugas-tugas pentadbiran sebarang tugas tambahan adalah berdasarkan

kepada kemahiran guru tersebut, membina persekitaran kerja yang ceria dan kerjasama yang baik untuk menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi. Melalui pendekatan organisasi pula, pentadbir tentu boleh menentukan pemilihan dan penempatan guru-guru. Perpindahan dan pertukaran guru-guru disokong sepenuhnya supaya guru-guru yang ingin bertukar tidak tertekan. Pengetua juga mestilah ubah suai tugas guru dan memberikan taklimat kerja yang mendalam terutama sekali sasaran matlamat. Sebarang keputusan dan perancangan sekolah mestilah dilibatkan kerjasama semua guru di sekolah. Proses menerima dan menapis pendapat dan pandangan guru mungkin terlalu lambat, tetapi ia lebih mudah untuk diterima. Sehubungan itu juga, pentadbir perlu mengubah gaya pentadbiran bersifat autokratik kepada gaya pentadbiran yang lebih mengutamakan pendekatan humanistik atau demokratik. Kesimpulannya, dapatlah dirumuskan bahawa kerjaya dan tugas seorang guru itu adalah amat berat. Tugas dan tanggungjawab guru pada masa yang serba canggih dan mencabar ini bukan hanya sekadar menyampaikan ilmu pengetahuan malah gurulah yang menjadi penjana dan nadi kepada kecemerlangan generasi yang akan datang. Secara mudahnya, tekanan-tekanan yang dialami oleh guru tidak boleh dipandang remeh kerana ianya boleh membawa kesan yang jauh lebih dahsyat kepada kemajuan pendidikan negara amnya dan kepada pembangunan pelajar khasnya kerana mereka bakal menjadi pemimpin pada masa depan. Ternyata, tekanan kerja sememangnya akan mengganggu gaya hidup dan kesejahteraan hidup seseorang insan bergelar guru. Ini seterusnya akan mengganggu prestasi kerja dan outputnya dalam bidang pendidikan yang diceburinya.

Oleh yang demikian, setiap individu yang bergelar guru juga perlulah sentiasa mempersiapkan diri dengan sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan yang ada mengikut perubahan semasa. Selain itu, seorang guru juga perlulah bijak menangani dan menguruskan setiap bebanan dan masalah yang dihadapi di alam pekerjaan dengan bijaksana agar setiap permasalahan dan bebanan tersebut tidak mengundang kepada masalah tekanan atau stres. Akhir kata, ingatlah bahawa setiap permasalahan itu pasti ada jalan penyelesaiannya. Begitu juga dengan masalah tekanan atau stres yang dialami oleh guru-guru pada masa kini, walaupun kadangkala penyelesaian itu

memerlukan pengorbanan. Dalam pada itu, setiap pihak juga harus memberi sokongan dan membantu mengurangkan beban stres yang dihadapi oleh guru ini.

(Sumber artikel : Utusan Malaysia Online, 23/7/2007, Artikel Pendidik Mesti Bijak Kawal Emosi)

http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0723&pub=Utusan_Malaysia&sec=R encana&pg=re_07.htm