Anda di halaman 1dari 3

MENINGKATKAN TAHAP PENGLIBATAN MURIDMURID PRASEKOLAH TERHADAP PEMBELAJARAN SLOT TEMATIK MELALUI AKTIVITI MOTOR HALUS

Nabilah Jumal, Mangaleswaran Annamalai

ABSTRACT
Kajian ini dijalankan untuk meningkatkan tahap penglibatan murid-murid prasekolah terhadap pembelajaran slot tematik melalui aktiviti kemahiran motor halus. Murid-murid yang terlibat dalam kajian ini terdiri daripada 2 orang murid dari Prasekolah Hidayah iaitu seorang murid lelaki dan seorang murid perempuan. Kajian ini berbentuk kualitatif. Pengumpulan data dikutip melalui pemerhatian, rakaman video, gambar, temubual dan senarai semak. Berdasarkan analisis data dan dapatan kajian, tahap penglibatan murid-murid prasekolah lebih meningkat apabila melakukan aktiviti kemahiran motor halus dalam slot tematik. Kajian ini diharap dapat membantu guru prasekolah dalam meningkatkan penglibatan murid-murid prasekolah terhadap pembelajaran tematik melalui aktiviti kemahiran motor halus.

MENINGKATKAN KEMAHIRAN MOTOR HALUS MURID SINDROM DOWN MELALUI TEKNIK KOLAJ
Nor Saadah Abdullah, Ahmad Marzuki Abdul Rahman

ABSTRACT
Kajian ini dilaksanakan untuk meningkatkan kemahiran motor halus murid Sindrom Down melalui teknik kolaj. Responden kajian terdiri daripada dua orang murid lelaki PPKIBP sebuah sekolah di Terengganu. Kedua-dua responden menghadapi kesukaran untuk melaksanakan aktiviti yang melibatkan pergerakan tangan. Hasil ujian diagnostik mendapati kedua-dua responden menghadapi masalah dalam kemahiran menggunting, mengoyak, menggentel dan menampal kertas. Instrumen yang digunakan dalam kajian ini ialah pemerhatian, senarai semak dan temu bual. Analisis kajian menggunakan kaedah kualitatif. Berdasarkan analisis data dan dapatan kajian, kemahiran motor halus murid meningkat apabila melakukan aktiviti kemahiran motor halus melalui teknik kolaj iaitu menggunting, mengoyak, menggentel dan menampal kertas. Diharapkan melalui kajian ini ia dapat membantu guru meningkatkan kemahiran motor halus murid Sindrom Down melalui teknik kolaj.

MENINGKATKAN KEMAHIRAN MENULIS MURID SINDROM DOWN MENGGUNAKAN KAEDAH TERAPI MOTOR HALUS
Mohamad Hasbi Berhannordin, Abdullah Kamal A.Bakar

ABSTRACT
Kajian ini bertujuan meningkatkan kemahiran menulis seorang murid masalah pembelajaran (Sindrom Down). Beliau merupakan seorang murid kelas Program Pendidikan Khas Integrasi Bermasalah Pembelajaran di Sekolah Kebangsaan Banggol Peradong. Kajian ini dijalankan berdasarkan kajian terdahulu yang dilaksanakan oleh Levine (1987) serta Pressey (1926). Hasil tinjauan awal yang dijalankan, pengkaji mendapati bahawa murid Sindrom Down ini mempunyai masalah dalam kemahiran motor halus iaitu menulis. Faktor utama yang mengawal kemahiran motor iaitu sikap atau persikataran dan fakto genetik, termasuk perkembangan sistem saraf pusat dan fungsi neurologikal (Arasoo, 1989). Oleh itu, Pengkaji telah melaksanakan beberapa tindakan iaitu menjalankan beberapa latihan motor halus bagi meningkatkan penguasaan kefungsian jari beliau dalam menulis, serta menyediakan latihan menulis. Instrumen yang digunakan oleh pengkaji ialah senarai semak, pemerhatian dan temu bual. Setelah menjalankan bimbingan selama sebelas minggu, pengkaji mendapati responden menunjukkan peningkatan dalam kemahiran menulis beliau. Kesimpulannya, kaedah Terapi Motor Halus dapat meningkatkan kemahiran menulis murid Sindrom Down.

APLIKASI TEKNIK PLAY-TEACH-PLAY DALAM MEMBANTU MURID-MURID PRASEKOLAH SK MENGABANG TELIPOT DALAM MENINGKATKAN KEMAHIRAN MENGENAL HURUF
Nurul Ain Mazlan, Norasmah Mohd Noor

ABSTRACT
Kajian ini merupakan kajian kualitatif yang dijalankan di Sekolah Kebangsaan Mengabang Telipot. Responden kajian terdiri daripada empat orang murid-murid lelaki Prasekolah Annur 1 yang berumur lima tahun. Kajian ini berfokus kepada teknik belajar melalui bermain. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan, aktiviti-aktiviti perlu dirancang supaya murid-murid dapat meransang naluri ingin tahu, mengukuhkan koordinasi motor kasar dan halus dan seterusnya meningkatkan perkembangan mereka. Dalam kajian ini pengkaji telah mengaplikasikan satu teknik yang diberi nama Play-Teach-Play.Pengkaji turut menggunakan

kaedah triangulasi dalam pengumpulan data dengan menggunakan tiga instrumen iaitu senarai semak, ujian pra dan ujian pasca, pemerhatian dan juga temubual. Hasil dapatan kajian menunjukkan peratus markah ujian meningkat daripada 57% kepada 100%. Kajian ini menunjukkan bahawa teknik Play-Teach-Play amat sesuai dalam membantu meningkatkan kemahiran mengenal huruf dikalangan murid-murid prasekolah. (Kata Kunci: Play-Teach-Play, kemahiran mengenal huruf, kaedah triangulasi)

KAEDAH LATIHAN KOORDINASI MATA-TANGAN DENGAN TEKNIK FINBLO UNTUK MENINGKATKAN KEMAHIRAN MEWARNA MURID PRASEKOLAH
Nur Hazwani Hamzah, Norasmah Mohd Noor

ABSTRACT

Kajian ini merupakan kajian terhadap kemahiran mewarna dalam kalangan kanak-kanak prasekolah menggunakan kaedah latihan koordinasi mata-tangan dengan Teknik Finblo. Kemahiran mewarna merupakan salah satu kemahiran yang penting untuk dikuasai oleh muridmurid dalam proses pembelajaran harian. Kemahiran mewarna juga boleh dijadikan sebagai kayu ukur kepada murid-murid ini sejauh mana tahap penguasaan kemahiran motor halus mereka. Tujuan kajian ini dibuat adalah untuk mengenalpasti tahap kemahiran mewarna dalam kalangan kanak-kanak prasekolah. Selain itu, kajian ini bertujuan untuk memperkenalkan teknik mewarna secara bersistem supaya responden dapat mewarna dengan lebih cantik dan kemas. Kajian ini merupakan kajian kualitatif deskriptif terhadap seorang responden yang telah dipilih adalah berdasarkan hasil daripada kajian dokumen (lembaran kerja) yang lepas. Data dikumpulkan dan dianalisis berdasarkan instrumen ujian pra dan pasca. Dapatan kajian ini menunjukkan terdapat peningkatan terhadap kemahiran mewarna selepas ujian pasca dan intervensi dijalankan. Kesimpulannya, kaedah latihan koordinasi mata-tangan dengan Teknik Finblo adalah berkesan untuk meningkatkan kemahiran mewarna murid prasekolah.

Anda mungkin juga menyukai