Anda di halaman 1dari 8

1.

Carta Alir Peringkat Perkembangan dan Profesionalisme Guru

Terdapat beberapa tokoh pendidikan telah mengemukakan teori berkenaan aliran peringkat perkembangan dan profesionalisme seorang guru. Menurut Trotter (1986), teori yang dibentangkan oleh beliau menunjukkan terdapat lima peringkat

perkembangan dan profesionalisme seorang guru. Kajian telah dilakukan ke atas teori ini dan telah diperakui oleh David Berliner (1988) untuk mendapatkan kefahaman tentang fungsi guru dalam keberkesanan dalam pengajaran dan pembelajaran. Lima peringkat perkembangan tersebut adalah seperti berikut:-

Novis

Novis Lanjutan

Cekap

Mahir

Pakar

Kesimpulan awal yang dapat dirumuskan disini adalah bahawa peringkat perkembangan guru seperti yang disarankan oleh Trotter adalah perkembangan profesionalisme guru adalah mengikut tahun pengajaran dan perkembangan kemahiran profesionalisme guru itu sendiri

2.0

Peringkat Perkembangan dan Profesionalisme Guru

Dalam mengkaji peringkat perkembangan dan profesionalisme guru, setiap satu peringkat mempunyai kriteria dan asas yang tersendiri yang menerangkan dan mendefinisikan ciri peringkat tersebut. Guru yang berada di peringkat tersebut harus mempunyai dan memenuhi kriteria yang dijelaskan kerana ini menunjukkan tahap dan kedudukan guru tersebut dari sudut perkembangan profesionalisme dan kemahiran guru itu sendiri. Asas peringkat perkembangan guru boleh dihuraikan seperti yang dinyatakan di bawah ini.

2.1

Guru Novis (baharu atau permulaan)

Guru novis juga dikenali sebagai guru baharu atau guru permulaan yang dikategorikan daripada tahun pengajaran sekitar sejak bermula mengajar sehingga tahun pertama. Guru ini biasanya baharu sahaja menamatkan pengajian dan kursus ihtisas bidang perguruan seperti yang ditawarkan di universiti pendidikan atau di institut pendidikan guru. Guru haruslah mempunyai kelayakan ihtisas dalam bidang keguruan dan pendidikan supaya layak untuk mengajar pelajar atau individu lain.

Pada peringkat ini, guru baru memperoleh pengetahuan dan ilmu secara akademik dan telah didedahkan dengan pelbagai kaedah dan teori pengajaran dan pembelajaran. Guru mempunyai literasi keguruan yang tinggi dan mempunyai potensi yang penuh serta bakat yang boleh diserlahkan dalam bidang pendidikan dan pengajaran. Guru perlu mempunyai daya usaha yang tinggi untuk mengaplikasikan pengetahuan dan ilmu yang diperoleh untuk membolehkan guru menyesuaikan diri untuk menghadapi situasi sebenar pengajaran dan pembelajaran murid di sekolah. Guru novis harus berusaha membentuk suatu pandangan yang lengkap dalam menghuraikan konsep menjadi seorang guru dalam setiap perbuatan, percakapan dan gaya hidup guru tersebut. Setelah didedahkan dengan situasi di sekolah, guru permulaan berpeluang memperolehi kemahiran-kemahiran hands-on pengajaran,

mempelajari istilah-istilah baharu berkenaan profesion serta berupaya menjana idea-idea dan daya usaha awal yang baharu dalam melaksanakan tugas-tugas pengajaran.

Walaubagaimanapun, guru novis atau guru permulaan sering dikaitkan dengan pelbagai masalah terutamanya dalam bidang teknikal dan sosialisasi kerana kekurangan pengalaman dan pendedahan awal dalam bidang profesion. Guru novis biasanya disifatkan sebagai kurang berkemahiran kerana mempunyai asas pengetahuan dan kebolehan yang terhad berbanding guru cekap dan mahir terutamanya dalam bidang pengurusan dan penglibatan dalam aktiviti-aktiviti sekolah.. Guru novis mempunyai kemahiran pengurusan kurikulum dan kokurikulum yang rendah dan perlu menambahbaik kemahiran tersebut dari semasa ke semasa. Tugas harian guru yang padat dan sibuk memerlukan guru novis pantas menyesuaikan diri dan mendapatkan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk memberikan kesediaan dan kesempurnaan dalam menyelesaikan tugas yang ada. Kekurangan teknikal lain seperti kemahiran menguruskan aktiviti kokurikulum dan kemahiran menjalankan aktiviti sukan penting dalam menunjukkan kebolehan seseorang guru itu. Selain itu, guru novis menunjukkan kelemahan dalam memahami peraturan dan sistem disiplin sekolah serta lemah dalam pengawalan bilik darjah. Hal ini boleh berlaku sekiranya guru tersebut kurang pengetahuan teori dan amalan latihan serta tidan mempunyai kemahiran sosial yang baik

Dengan itu, saranan yang boleh digunakan oleh guru novis adalah dengan cepat menyesuaikan diri dengan persekitaran dan budaya sekolah. Setiap sekolah mempunyai budaya unik tersendiri namun dari sudut asas semua iklim sekolah adalah sama. Guru novis juga harus peka dan proaktif dalam mendapatkan maklumat serta pengetahuan baru dalam pelbagai aspek dan bidang penting di sekolah terutamanya dalam bidang pengajaran dan pengurusan sekolah. Pengurusan yang baik boleh menjamin sistem kerja yang efisien bagi guru novis. Guru novis juga boleh wujudkan keseronokkan dan keceriaan pembelajaran dalam kalangan murid dalam memberikan semangat kepada murid dan warga sekolah untuk turut membantu dalam membantu perkembangan guru.

2.2

Guru Novis Lanjutan Peringkat novis lanjutan merupakan peringkat kedua dalam perkembangan guru yang dikategorikan dalam tempoh satu hingga tiga tahun pengajaran. Pada peringkat ini, guru novis lanjutan sudah berjaya menyesuaikan diri dengan iklim

dan budaya sekolah serta berupaya bekerjasama dengan guru yang lain dalam melaksanakan tugas yang diberikan. Guru novis lanjutan harus mempunyai daya yang berterusan dalam mengumpul dan menambah pengetahuan dalam bidang pengajaran terutamanya pengetahuan berbentuk fakta untuk membantu guru mengenali dan

membetulkan fakta yang tidak difahami pada peristiwa yang terdahulu. Guru harus mempunyai pengetahuan yang tinggi untuk mengelakkan daripada memberikan pengetahuan dan ilmu yang salah kepada murid selain daripada mengelakkan daripada guru kaku dalam aktiviti pengajaran. Guru juga harus berusaha dalam menambah maklumat berkaitan proses pengajaran yang baik serta memperkemaskan pengetahuan dari sudut peristilahan, prinsip-prinsip serta konsep yang mempunyai kaitan dan pengaruh penting dalam

perkembangan profesion. Pada peringkat novis lanjutan ini guru harus mempunyai semangat serta kebolehan yang tinggi dalam mengaplikasikan dan mempraktikkan pengetahuan teori dan perkara yang telah dipelajari dalam situasi sebenar dalam kelas dan pergerakan iklim sekolah. Guru mahir atau cekap yang lain boleh membantu guru novis lanjutan dengan memberikan teguran atau membimbing guru bagi mengelakkan salah aplikasi konsep dari peringkat awal lagi. Guru novis lanjutan boleh mempunyai suatu mentor atau idola yang boleh memberikan inspirasi kepada guru tersebut untuk meneruskan usaha untuk berjaya dalam profesion.

2.3

Guru Cekap (kompeten) Guru Cekap atau guru kompeten dapat diukur pada peringkat tempoh tiga hingga lima tahun pengajaran. Pada peringkat ini, guru telah menguasai atau mengetahui semua istilah-istilah serta konsep penting berkenaan profesion. Guru juga sudah mampu menunjukkan kebolehan menguasai pengajaran dalam bilik darjah dengan memberikan pengajaran yang berkesan. Guru juga mungkin sudah memperoleh lulusan atau pengiktirafan dari sudut pengesahan jawatan guru yang diukur daripada amalan profesionalisme guru tersebut. Menurut Sufean (1995), Profesionalisme keguruan merujuk kepada sifat yang ada dalam diri seseorang guru mencapai keberkesanan, produktiviti,

akauntabiliti, kecekapan dan kemahiran untuk mengajar. Hal ini membuktikan

bahawa guru sudah layak mengajar dan boleh meneruskan usaha dalam memperkembangkan diri dalam profesion keguruan. Pada peringkat cekap ini kita dapat rumuskan bahawa guru telah menghayati konse menjadi guru dengan menunjukkan setiap perkembangan dan perbuatan seharian melambangkan ciri sebagai seorang guru. Pada peringkat cekap, guru seharusnya sudah mampu menilai sendiri kualiti pengajaran melalui amalan refleksi. Guru sebaiknya mampu mengimbas semula setiap aktiviti yang telah dijalankan serta menjalankan penambahbaikan bagi kelemahan yang timbul daripada aktiviti tersebut. Guru boleh menggunakan amalan deduksi seperti saya telah atau saya sudah dalam menilai semula aktiviti dan menyelesaikan dengan saya perlu atau saya harus untuk memberikan langkah penambahbaikan dalam kemahiran pengajaran guru. Guru ini juga mempunyai kemahiran untuk menyelesaikan masalah dalam pengajaran berdasarkan pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh. Sekiranya seseorang guru itu tidak dapat bertahan dengan baik sehingga ke peringkat guru cekap, ini merupakan petanda bahawa seseorang itu tidak mampu atau menghadapi masalah dalam menjalankan tugas dan menghayati profesion sebagai seorang guru. 2.4 Guru Mahir (Berkesan atau Efektif) Guru peringkat mahir dikenali juga sebagai guru berkesan atau efektif yang dapat dikategorikan pada peringkat lima hingga sepuluh tahun pengajaran. Guru pada peringkat ini dikatakan adalah berada dalam peringkat terbaik profesion dari sudut produktiviti dan kebolehan mengaplikasikan pengajaran yang berkesan terhadap murid. Guru ini juga sudah memenuhi segala keperluan dan kehendak sebagaimana yang telah diaspirasikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sebagaimana yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Bilangan guru yang telah mencapai ke tahap ini juga kurang kerana untuk ke tahap ini memerlukan seorang guru yang benar-benar menghayati

profesionalisme perguruan. Seorang guru yang mahir sentiasa berusaha dalam meningkatkan kualiti profesion perguruan. Menurut Mok Soon Sang (2002), Guru Mahir sentiasa mengutamakan tanggungjawabnya terhadap ilmu, kebajikan dan keselamatan murid-muridnya. Guru yang mahir juga mempunyai kemahiran kognitif yang tinggi dalam menganalisis dan mencerakinkan persekitaran pembelajaran secara

kreatif dan tersendiri. Sejajar dengan perkembangan semasa, seorang guru mahir harus mempunyai kemahiran dan pengetahuan pengaplikasian teknologi maklumat yang baik. Guru ini mempunyai gaya pengajarannya yang unik berdasarkan pengalaman yang diperoleh sebelum ini berlandaskan pengetahuan yang ada dan tidak bergantung penuh terhadap kandungan latihan keguruan yang diperoleh dahulu. Kefahaman yang tinggi terhadap tugas juga boleh membantu guru dalam melaksanakan tugas. Guru sudah boleh menguruskan aktiviti kurikulum dan kokurikulum secara efektif dan boleh memberikan impak yang menyeluruh terhadap murid. Guru boleh memperbaiki kelemahan dan kekurangan murid dari sudut mental dan moral serta berupaya membentuk murid yang berupaya cemerlang dari segala aspek yang diperlukan. Guru ini dikatakan mempunyai prinsip moral yang tinggi dan kaya dengan ilmu pengetahuan. Kebiasaannya guru mahir menjadi pakar rujuk oleh murid dan warga sekolah dan kewujudannya diperlukan dan disenangi semua. Guru mahir kebiasaannya sudah menguasai semua aspek penting di sekolah seperti pengajaran dan pengurusan sekolah. Oleh itu, guru mahir boleh menjadi mentor atau pembimbing kepada guru novis untuk membantu guru novis berkembang dengan baik dalam profesion guru. Selain itu, pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh guru mahir boleh dikongsikan melaui forum, kursus latihan dalam perkhidmatan, diskusi ilmiah serta boleh diserapkan untuk menjadi tenaga pengajar di institut pendidikan guru. Kebiasaannya, melalui pengajaran yang berkesan yang ditunjukkan oleh guru mahir disukai dan diingati oleh bekas muridnya dan sering dihubungi ketika sudah tamat pembelajaran dengan guru tersebut.

2.5

Guru Pakar (Senior atau Elit) Guru Pakar atau guru senior atau elit adalah peringkat tertinggi dalam perkembangan dan profesionalisme guru menurut teori Trotter. Peringkat ini dikenalpasti pada sekitar 15 tahun pengajaran dan ke atas. Pada peringkat ini, guru telah mencapai tahap tertinggi dalam perkembangan dari sudut kemahiran pengajaran serta penguasaan penuh dalam setiap tugasan dan tanggungjawab sebagai seorang guru. Guru pakar kebiasaannya telah menerima pengiktirafan perkhidmatan cemerlang samada di peringkat sekolah mahupun peringkat yang lebih tinggi berdasarkan kemahiran keguruan yang diperolehinya secara holistik.

Seorang guru pakar mempunyai tahap sahsiah dan peribadi yang tinggi dengan mempunyai sahsiah yang terpuji, daya berketerampilan yang cemerlang serta berpegang teguh kepada etika perguruan dan perkhidmatan awam. Guru pakar sentiasa peka dan prihatin terhadap keperluan perkembangan murid serta boleh menjadi role model kepada semua warga sekolah. Pengalaman luas yang diperoleh guru pakar sentiasa membantunya menyelesaikan setiap

permasalahan dalam pengajaran secara lengkap dan berkesan. Setiap tugasan atau perkara yang dijalankan oleh guru pakar sentiasa terlaksana dengan cemerlang berbanding guru cekap atau mahir yang kadangkalanya mempunyai kesilapan. Berdasarkan pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh guru pakar, beliau dianggap sebagai individu yang berautoriti atau mempunyai pengaruh besar dalam perkembangan sekolah. Senioriti yang diperoleh guru pakar digunakan melalui pelantikan kepada jawatan-jawatan penting dalam organisasi pentadbiran sekolah seperti penolong kanan mahupun guru besar. Setiap idea mahupun kepakaran yang ada pada guru pakar boleh diaplikasikan dalam membentuk polisi sekolah mahupun mempengaruhi sistem pengurusan bilik darjah yang lebih baik.

Anda mungkin juga menyukai