Anda di halaman 1dari 5

APLIKASI TEORI INTERAKSI SIMBOL DALAM KEHIDUPAN SEORANG GURU

1.0 PENGENALAN
Di satu sudut kelas , kelihatan 2 orang anak , Nur Farhana dan Puteri Nurdiana,
sedang bergaduh. Nur Farhana mula menunjukkan amarahnya dengan mengetapkan
bibirnya dan mengangkat tangannya seolah-olah hendak memukul Diana dan Diana pula
membalas dengan menjelirkan lidah dan cuba menepis tangan Farhana.Masing-masing
saling tidak mahu mengaku kalah dan akhirnya kedua mereka menangis walaupun
masing-masing tidak menyentuh satu sama lain.

Dua orang guru, yang melihat kejadian itu dengan segera mendapatkan kedua anak
tersebut untuk meleraikan pergaduhan antara mereka.Guru mengangkat jarinya dengan
mengoyangkan ke kiri dan ke kanan sebagai isyarat “jangan” kepada kedua anak
tersebut.

Apa yang berlaku sebenarnya adalah bahasa isyarat untuk mengatakan ketidakpuasan
hati kedua anak-anak tersebut dengan mempamerkan ketegasan masing-masing dan
tidak mahu mengaku kalah. Manakala tindakan guru mengoyangkan jari sebagai satu
amaran untuk menghentikan perbuatan anak-anak tadi .Mengetapkan bibir sambil
mengangkat tangan tinggi , menjelirkan lidah sambil cuba menepis, mengoyangkan
jari dan seterusnya merupakan bahasa isyarat, menunjukkan masing-masing dalam
kemarahan, rasa sakit hati, dan kesedihan. Ini adalah huraian dari teori
interaksi simbol yang diperkenalkan oleh pakar sosiologi Amerika, George Herbert
Mead (1863-1931).
George Herbert Mead berkeyakinan bahawa semua teori sosial yang ada dapat diuji
secara praktikal, termasuk semua hal tentang kebenaran, pengetahuan, moral, dan
politik. Interaksi simbol merupakan teori yang diwar-warkannya sebagai kajian
perilaku individu atau kelompok kecil masyarakat melalui pemerhatian dan
penyelidikan. Teori ini berlandaskan pada pemerhatian atas apa yang dipamerkan
orang melalui penampilannya, gerak-gerinya, dan bahasa simbolik yang muncul dalam
situasi sosial.

2.0 TEORI INTERAKSI SIMBOL


Teori Interaksi Simbol adalah salah satu dari 10 teori yang terdapat dalam
Komunikasi Interpersonal atau komunikasi antara perseorangan. Pendekatan teori
ini adalah banyak berkaitan dengan individu dan emosi individu. Para pengkaji yang
menjalankan penyelidikan mengenai perspektif ini mengatakan bahawa manusia dan
emosi manusia paling penting dalam konsep sosiologi. Para pengkaji mendapati
bahawa individu , emosi , perlakuan dan tindakbalas dapat dianalisa melalui
interaksi dengan individu lain melalui proses sosial mereka.
Teori Interaksi Simbol ini diperkenalkan oleh seorang pakar sosiologi, George
Herbert Mead (1934). Pada pendapatnya, kehidupan manusia banyak bergantung kepada
interaksi sosial yang dilalui sehari-hari. Menurut beliau lagi manusia memahami
sesuatu melalui pengalaman serta peranan yang membentuk masyarakat.
Beliau juga mendapati individu-individu tersebut berinteraksi dengan menggunakan
simbol-simbol, yang di dalamnya berisi tanda-tanda, isyarat dan kata-kata. Menurut
George Herbert Mead (1934), terdapat tiga prinsip utama dalam teori ini iaitu:-
Makna
Bahasa
Pemikiran
Melalui teori interaksi simbol ini , individu akan memperlihatkan emosi sama ada
suka atau duka, gelisah atau tenang dan sebagainya perlakuan fizikal ,mimik muka,
kata-kata dan lain-lain. Francis Abraham dalam bukunya Modern Sociological Theory
(1982) mengatakan bahawa interaksi simbol pada hakikatnya merupakan satu
perspektif yang bersifat sosial-psikologi untuk penyelidikan sosiologi.
Setiap manusia yang berinteraksi menginterpretasi , bertindak, dan mencipta .
Individu bukanlah sekelompok sifat, namun merupakan seorang pelaku yang dinamis
dan sentiasa berubah, pelaku yang selalu berada dalam proses yang berulangan dan
tidak pernah selesai terbentuk sepenuhnya. Manusia yang dicipta oleh Allah tidak
hanya mempunyai akal fikiran (mind), namun juga diri (self) yang bukan sebuah
entiti psikologi, namun satu aspek dari proses sosial yang muncul hasil dari
pengalaman dan aktiviti sosial yang dilalui sedari kecil.
Proses interaksi adalah bersifat simbolik, di mana makna-makna dibentuk oleh akal
fikiran dan peribadi atau sifat manusia. Makna- makna membawa maksud mengenai
presepsi manusia tentang pandangan mengenai hubungan sosial yang terjalin
,tindakan yang muncul hasil dari proses interaksi sesama individu.
Makna yang disampaikan oleh seseorang individu itu terbentuk biasanya berdasarkan
kepada perlakuan daripada persepsi masyarakat di mana perlakuan terebut berupaya
membentuk makna atau tanda kepada diri seseorang dan apa yang berada dalam
pemikirannya.
Contohnya masyarakat Melayu diajar bersopan dengan membongkokkan badan ketika
melintasi orang yang lebih tua atau mengucapkan salam apabila bertembung dengan
sesama Islam sebagai tanda menghormati orang yang lebih tua dan menghormati sesama
Islam. Begitu juga dengan masyarakat Jepun, Korea dan lain-lain yang dilatih untuk
menyapa dan menundukkan kepala apabila berhadapan dengan orang yang lebih tua atau
sesama mereka untuk menunjukkan tanda hormat . Dari situ dapat kita perhatikan
Interaksi Simbol ini jelas memberikan makna kepada komunikasi interpersonal
seseorang itu.
Selain daripada pendapat Mead terdapat seorang lagi pakar sosiologi interaksi
bernama William I. Thomas (1863-1947) dari Amerika, memperjelaskan teorinya atas
sifat saling kebergantungan organisasi antara individu dan lingkungan sosialnya
dengan metod yang hampir dapat dikatakan sama dengan metod Mead dan Cooley.
Misalnya, Thomas berusaha mengidentifikasi faktor-faktor psikologi dan biologi
yang dibawa sejak lahir dan menjelaskan perilaku manusia itu.
Beliau menyimpulkan ada empat dasar keinginan manusia, iaitu :-
(1) keinginan untuk pengalaman baru
(2) keinginan untuk dihargai
(3) keinginan untuk menguasai
(4) keinginan untuk keselamatan
Thomas yakin bahwa perilaku manusia tidak dapat dijelaskan dengan baik semata
sebagai satu respon reflektif dari stimulus lingkungan. Ia percaya bahwa ada
definisi subjektif yang penting yang ada di antara stimulus dan respon.
Interaksionisme simbol Mead-Cooley-Thomas ini mendapat sambutan dari banyak pakar
sosiologi Amerika bahkan sehingga kini.

3.0. SITUASI YANG BERLAKU


Peristiwa yang berlaku seperti yang diceritakan di atas, semuanya bermula atas
kesalahfahaman antara kedua anak tadi . Semuanya bermula apabila, kanak-kanak
berehat setelah selesai makan pagi. Guru-guru akan memberi peluang kapada kanak-
kanak untuk bermain sama ada permainan dalam kelas atau luar kelas ( buaian, papan
jongkit ).
Nur Farhana dan Puteri NurDiana adalah rakan baik sejak mula lagi. Mereka sentiasa
berdua tidak kira semasa bermain ataupun belajar. Sikap mereka yang saling
bertolak ansur antara satu sama lain dan bantu membantu sangat menyenangkan hati
guru-guru. Selalunya mereka tidak akan menimbulkan sebarang masalah kepada guru-
guru.
Namun pada hari tersebut , telah berlaku satu insiden di mana ,kedua-duanya telah
begaduh kerana berebutkan anak patung yang sama. Memandangkan keduanya adalah
kawan baik maka guru telah mengambil mainan tersebut dari mereka berdua. Tetapi
tanpa disedari mereka rupanya telah merajuk dan saling menyalahkan satu sama lain
kerana gagal mendapatkan anak patung tersebut.
Peristiwa tersebut terus terbawa-bawa hingga tengahari di mana, mereka bergaduh
kerana berebutkan kerusi yang sama. Kali ini keadaan menjadi lebih serius kerana
Farhana mula mengambil keputusan untuk tidak mengaku kalah. Begitu juga dengan
Diana. Mereka sanggup untuk beradu tenaga demi untuk menegakkan pendapat masing-
masing.
Masing- masing menunjukkan kemarahan melalui simbol dan isyarat dengan menggunakan
body language ( kinesics ) serta mimik muka ( ekspresi wajah ) . Tujuan mereka
adalah untuk menundukkan satu sama lain . Tetapi yang sebaliknya berlaku .
Walaupun Farhana lebih besar tubuh badannya , namun Diana bersifat agak agresif
dan tidak mungkin akan mengaku kalah . Perkara ini benar-benar mengejutkan mereka
satu sama lain kerana sikap yang mereka tunjukkan adalah berbeza dari sikap mereka
seharian hingga akhirnya timbul perasaan sedih dan kecewa dalam diri masing-
masing. Akhirnya masing-masing menangis bukan kerana gagal menegakkan kehendak
sendiri tetapi sedih dan kecil hati kerana merasakan rakan baik mereka sanggup
hendak memukul kerana perkara kecil.
Setelah guru campur tangan dan menyelesaikan pertikaian antara mereka , masing-
masing kembali semula seperti biasa seolah-olah tiada apa yang berlaku. Mereka
berubah menjadi rakan baik malahan selepas itu sanggup membenarkan rakan yang
seorang lagi bermain dengan anak patung yang mereka rebut-rebutkan pagi tadi.
Sebenarnya disebabkan perasaan marah, keduanya tidak dapat berkomunikasi seperti
biasa , saling tidak memahami dan menimbulkan salahfaham yang berlarutan.

4.0 INTERAKSI SIMBOL DAN KANAK-KANAK


Sebagai seorang pendidik kanak-kanak tadika, tanggungjawab yang diamanahkan di
atas pundak sememangnya sangat berat berbanding dengan guru sekolah rendah.
Bayangkan kanak-kanak yang dikendalikan bermula dari umur 4 hingga 6 tahun.
Malahan ada yang datang boleh dikatakan dengan tahap sifar sehinggakan hendak ke
bilik air pun perlu diberi tunjuk ajar.
Bayangkan bagaimana guru tadika dapt mengajar anak-anak yang pada mulanya langsung
tidak tahu cara memegang pensil sehingga dapat menulis dan membaca. Malahan anak-
anak diajar tatasusila, adab sopan, disiplin , doa-doa harian dan lain-lain lagi.
Di sinilah , saya sebagai seorang guru menggunakan pendekatan teoi interaksi
simbol dalam menangani apa jua permasalahan yang timbul dalam masa mengajar anak-
anak tadika.Seawal jam 8.30 pagi anak-anak dilatih mengikut jadual dengan mematuhi
masa untuk setiap sessi antara guru dan murid.
Untuk melatih anak-anak ini , bahasa yang digunakan adalah amat penting diikuti
dengan bahasa isyarat menggunakan gesture , kinesic dan mimik wajah. Semuanya
bertujuan agar setiap pengajaran atau mesej yang cuba disampaikan dapat diterima
dan diintepretasikan anak-anak tadika. Bukannnya satu perkara yang mudah untuk
menyampaikan mesej dan memastikan mesej itu dapat diterima .
Untuk itu , setiap hari saya akan megadakan satu sessi pagi yang disebut sebagai
Circle Time di mana , dalam sessi ini soaljawab antara guru dan murid amat
digalakkan agar dapat membantu kanak-kanak dalam memahami apa saja topic yang
diutarakan oleh saya pada hari itu.
Contohnya seperti berikut :-
Mengikut tema pada minggu ini adalah berkenaan haiwan. Dari sini saya akan
memulakan sessi soaljawab dengan intonasi yang betul dan ceria.( Selalunya saya
akan gunakan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam sessi soaljawab ini ).
“ Assalamualikum, anak-anak , Good morning and how are you?”
Kanak-kanak akan menjawab salam serta ucapan good morning serta “We are fine.
Thank you”. Seterusnya , saya akan mengenalkan tema pada minggu tersebut.
“Baiklah anak-anak, minggu ini kita akan belajar tentang haiwan”. Bermula dari
situ , saya akan memperkenalkan haiwan yang terdapat disekeliling kita iaitu
haiwan peliharaan, haiwan di air, haiwan di darat, haiwan di udara, haiwan liar
dan haiwan jinak. Pada masa ini , anak-anak akan mula bertanyakan soalan-soalan
kepada saya dan saya akan memberikan jawapan kepada mereka dan selalunya saya akan
meminta mereka menjawab semula pertanyaan tadi.
“ Teacher, apa maksudnya haiwan jinak?”.
“ Baiklah, haiwan jinak ialah binatang yang kita jadikan binatang kesayangan dan
binatang tersebut sangat manja dengan kita”. “Sekarang , tolong cakap dengan
Teacher, binatang apa yang kamu pelihara dalam rumah?”
“Teacher, di rumah ,saya bela kucing.”
“Boleh tak kamu bunyi macam kucing?” Kanak-kanak semuanya mula mengiaw, masing-
masing dengan cara tersendiri. “Tolong buat macam mana kucing ….marah!” Kanak-
kanak terus menguatkan suara dan membuat mimik muka kucing yang sedang marah.
“Kita tukar pula, macam mana kucing yang manja?”Kanak-kanak terus memperlahankan
suara dan berbunyi seperti kucing yang manja dan juga membuat mimik muka yang
comel. Sambil itu tangan dan badan masing-masing bergerak-gerak mengikut intonasi
suara yang mereka mimikkan. Sambil membuat pergerakakan dan membunyikan suara
kanak-kanak turut ketawa apabila melihat ekspresi wajah rakan mereka yang sangat
lucu. Suasana menjadi gamat dan mereka semakin terangsang untuk terus bertanya
soalan .
“Teacher, boleh tak saya bela harimau?”. Soalan yang keluar dari anak yang pling
pendiam mengejutkan semua rakan termasuklah diri saya sendiri. Apabila melihat
saya ketawa maka anak-anak lain turut ketawa menyebabkan rakan yang bertanya tadi
merajuk. Saya akan memanggil anak tersebut datang ke sisi saya . Sambil menggosok
belakang anak tadi,saya jelaskan bagaimana sifatnya harimau.
“ Nak bela harimau boleh tapi sangat berbahaya, kerana harimau tu binatang
liar.Lagipun harimau makan daging mentah,nanti kamu pun dia makan!” Penjelasan
tersebut menarik minat rakan-rakan yang lain. Masing-masing mula bertanyakan
soalan lain.Lalu dengan tenang saya akan jelaskan.
“ Allah jadikan harimau sebagai haiwan liar kerana di hutan ada banyak haiwan lain
yang boleh dijadikan makanan. Kita tidak boleh merubah sifat harimau yang telah
dilahirkan sebagai haiwan yang bersifat ganas. Ada tujuannya Allah jadikan begitu.
Siapa yang tahu berbunyi seperti harimau?”.
Anak pendiam tadi terus mengangkat tangan ke udara , mencekau udara sambil
mengeram seperti harimau. Tidak cukup itu, wajahnya dibengiskan sambil
memperlihatkan gigi sepertimana yang sering kita lihat harimau lakukan. Badannya
terus diangkat kehadapan dan cakarannya dihalakan kepada rakan sebelah.Manakala
rakan sebelahnya secara tidak langsung terus mengelakkan diri sambil menjerit-
jerit seolah-olah benar-benar diserang oleh seekor harimau.
Dari situ jelas sekali anak-anak tersebut dapat memahami apa yang cuba saya
sampaikan mengenai haiwan apabila saya gunakan bahasa yang mudah, dengan intonasi
yang betul, ditambah dengan isyarat badan dan tangan disertai mimik muka mengikut
situasi yang dibicarakan. Selain memahami apa yang diajar, kanak-kanak turut
diberi rangsangan dengan menceriakan mood mereka sebelum masuk ke kelas untuk
belajar membaca dan menulis.

5.0. KRITIKAN TERHADAP TEORI INTERAKSI SIMBOL

Menurut pendapat dari Blumer (1900-1987), konsep empiris itu bertentangan dengan
konsep emergence dari kenyataan sosial. Menurut Blumer lagi , konsep emergence
itu lahir dari aksi dan interaksi, dan segala keupayaan dan keinginan mengukur
konsep diri tanpa memperhitungkan aksi dan interaksi mengakibatkan kegagalan
dalam mengukur konsep diri dalam sistem sosial. Bagi Blumer, kenyataan sosial dan
strukturnya pada dasarnya tak pernah tetap melainkan terus dinamik kerana
interaksi antara individu atau manusia tak pernah berhenti selagi manusia itu
masih hidup dan bernyawa . Segi-segi struktural seperti budaya, sistem sosial,
stratifikasi sosial, atau peranan sosial membentu tindakan individu, tapi tidak
dapat menentukan tindakan mereka.
Contohnya :- Orang yang bermain sebagai penjaga gol dalam permainan bolasepak
terbentuk perilakunya dalam pertandingan sepak bola, tapi tidak menentukan
bagaimana dia harus bertindak di saat pintu golnya diancam serangan dari pihak
lawan.

Terdapat juga kritikan terhadap interaksi simbol yang mencakup dalam empat
perkara utama . Pertama, teori ini dikatakan agak lebih memberatkan dengan
spekulasi yang abstrak . Teori ini juga dianggap dengan lebih tepat dianggap
sebagai filosofi sosial daripada teori sosial. Kedua, dengan alasan yang sama,
interaksi simbol dianggap telah mengabaikan atau kurang penjelasan yang tepat.
Ketiga, banyak konsep dalam interaksi symbol digunakan dengan batasan yang agak
kurang jelas, misalnya diri, Aku, aku, dan peranan. Dan yang keempat , teori ini
dikatakan gagal menghubungkan konsep makna dengan diri.
6.0 KESIMPULAN
Melalui kajian yang dijalankan oleh George Herbert Mead , beliau amat mementingkan
interaksi, di mana hubungan di antara gerakan tubuh dan pergerakan tangan
(gesture) yang tertentu dan juga makna-makna disebaliknya, sebenarnya akan
mempengaruhi fikiran pihak-pihak yang sedang berinteraksi antara satu sama lain.
Dalam terminologi Mead, pergerakan dan bahasa isyarat maknanya adalah sama oleh
semua pihak yang terlibat dalam interaksi adalah merupakan “satu bentuk simbol
yang mempunyai arti penting” ( a significant symbol”). Kata-kata dan bahasa ,
pergerakan - pergerakan fizikal , bahasa tubuh (body langguage), baju, status,
kesemuanya merupakan simbol yang mempunyai makna.