Anda di halaman 1dari 1

Konsep Pembelajaran Sepanjang Hayat juga dibincangkan oleh Basil Yeaxlee dan Edward Lindman (1926) yang menegaskan

bahawa pendidikan merupakan aspek yang berterusan dalam kehidupan seharian manusia.Pembelajaran Sepanjang Hayat bermaksud motivasi kendiri ke arah pencarian dan peningkatan ilmu secara sukarela berdasarkan keperluan personal ataupun profesional. Setiap guru perlu mempunyai semangat dan cita-cita yang kuat untuk meneruskan kehidupan dengan menambahkan ilmu di dada. Pembelajaran boleh berlaku secara formal ataupun tidak formal. Setiap guru perlu mengemaskinikan ilmu dan kemahiran dalam memastikan perkembangan dan peningkatan profesionalisme guru yang sejajar dengan perubahan dan cabaran yang dihadapi dari satu masa ke satu masa. Memetik kata-kata Pat Basset, Presiden National Association of Independent Schools (2009) bahawa terdapat suatu korelasi yang kuat secara langsung antara perkembangan professional guru terhadap pencapaian murid. Perubahan yang berlaku dalam era globalisasi pada hari ini menuntut setiap guru menguasai ilmu dan kemahiran dalam bidang teknologi maklumat. Pada waktu yang sama, unsur-unsur insaniah tidak boleh diabaikan sama sekali memandangkan unsur-unsur insaniah yang menjurus ke arah nilai-nilai kemanusiaan dan kekuatan spiritual menjadi tuntutan yang akan menyeimbangkan kehidupan manusia. Maka setiap guru perlu mempunyai pelan pembelajaran kendiri yang berupa rancangan dan peluang-peluang yang ada perlu direbut oleh setiap guru dalam usaha meningkatkan ilmu dan kemahiran. Latihan yang berterusan kepada para guru ialah pendekatan dalam Pembelajaran Sepanjang hayat. Antara program Pembelajaran Sepanjang Hayat adalah menghadiri seminar dan bengkel, menyertai kursus-kursus pendek dan kursus panjang, terlibat dalam konsultansi, budaya membaca ,menjalankan penyelidikan, mengadakan lawatan ke sekolah dan lawatan penandaarasan, turut serta dalam projek-projek yang dikendalikan oleh komuniti dan kementerian serta aktif dalam pertubuhan dan persatuan akademik seperti Persatuan Linguistik dan sebagainya.

Anda mungkin juga menyukai