Anda di halaman 1dari 3

REFLEKSI PJM 3111:PERMAINAN BOLA BALING DAN BOLA TAMPAR Nor Mazitah Binti Mahussin 840110-05-5128 PPG PJM

(B)

Permainan Bola Baling telah banyak memberikan manfaat kepada saya. Pelbagai pengalaman telah saya kutip sepanjang mengambil mata pelajaran bola baling ini. Pengalaman yang didapati di institut ini dapat digunakan pada masa-masa akan datang terutamanya semasa di sekolah. Selain daripada itu, ia sedikit sebanyak

membantu meningkatkan lagi kemahiran saya dalam sukan dan permainan bola baling yang tidak pernah saya ketahui sebelum ini. Sepanjang saya mengikuti mata pelajaran permainan bola baling ini, saya dapati banyak aspek positif dan negatif yang dapat dikategorikan. Di sini saya telah membuat refleksi daripada pengalaman sepanjang penglibatan dalam permainan bola baling terhadap beberapa aspek berikut :-

KELEBIHAN
Sebagai guru pelatih di institusi ini, adalah wajar untuk saya mempersiapkan diri dengan ilmu sebelum melangkah ke alam persekolahan. Sukan dan permainan merupakan aspek yang penting untuk diceburi sama ada secara serius mahu pun tidak oleh seseorang individu secara disedari atau pun tidak. Akademik dan permainan harus seiring bagi memastikan seseorang individu itu sihat secara fizikal dan rohani.

Lantaran itu, setiap guru pelatih perlu dibekalkan dengan ilmu sukan dan permainan ini agar dapat disalurkan kepada pelajar-pelajar di sekolah. Seterusnya dapat membantu melahirkan generasi yang sihat dan cerdas dari segi jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial. Selain itu, En Syed Zulkarnain selaku pensyarah pembimbing bola baling telah banyak mengajar dan membimbing kumpulan kami untuk menganjurkan pertandingan bola baling peringkat institusi. Bermula daripada penyediaan kertas kerja, penyusunan buku program, surat-menyurat sehinggalah kepada kelancaran semasa pertandingan diadakan, En Syed Zulkarnain sentiasa memantau pasukan gerakerja kami. Situasi ini bertujuan agar kami tidak tergelincir daripada etika pertandingan dan menepati undang-undang pertandingan bola baling yang standard. Selain itu juga, kami dapat memupuk semangat kerjasama secara berpasukan.

KELEMAHAN
Berpegang kepada konsep, tiada sesuatu pun perkara yang sempurna di dunia ini, maka begitulah juga dengan permainan bola baling ini. Terdapat beberapa kelemahan semasa proses pelaksanaan pertandingan bola baling. Pada peringkat awal, kumpulan kami sukar mendapat kerjasama daripada kumpulan satu lagi. Keadaan ini merumitkan proses perbincangan awal. Ini mungkin kerana jadual pembelajaran yang tidak sama membuatkan kami kurang mendapat kata sepakat untuk mengadakan perjumpaan mahupun mesyuarat.

Namun, masalah ini dapat diatasi apabila hanya ahli-ahli yang tertentu sahaja dipanggil untuk menyertai perjumpaan bagi perbincangan persiapan pertandingan bola baling. Permasalahan ini memberikan pengajaran kepada saya agar berhati-hati memilih orang yang hendak disandarkan tanggungjawab. Pilihlah yang benar-benar komited dan bersedia menjalankan tugas dengan berlapang dada. Keselarasan komunikasi juga penting agar maklumat yang ingin disampaikan kepada ahli yang lain tidak berlainan daripada maklumat asal. Ketidaksefahaman dalam komunikasi boleh mengakibatkan kepincangan dalam sesbuah kumpulan terutamanya kumpulan yang melibatkan ahli yang besar dan ramai. Secara keseluruhan, sukan dan permainan bola baling ini telah banyak mendidik saya sebagai guru pelatih dalam penganjuran sesuatu pertandingan. Seterusnya saya dapat menggunakan ilmu yang ada ini secara praktikalnya di sekolah yang saya akan ditempatkan disamping membantu memartabatkan sukan dan permainan dikalangan pelajar sekolah.