Anda di halaman 1dari 3

KONTRAK SOSIAL DALAM PERLEMBAGAAN MALAYSIA:SATU PENILAIAN

SEMULA DARI SUDUT SEJARAH


Malaysia merupakan sebuah negara majmuk yang memperlihatkan perkembangan politik
yang diwarnai oleh politik komunal. Ia merupakan sebahagian daripada warisan penjajah
yang telah meninggalkan impak yang begitu besar dalam kehidupan masyarakat kita.
Dasar kolonialisasi oleh kuasa-kuasa Barat bukan sekadar membawa kepada kewujudan
masyarakat pluralisme malah mencorak dan mempengaruhi perkembangan sejarah kita.
Ia dilihat sebagai satu bentuk hubungan yang bersifat dominasi dan eksploitatif kerana
kolonialisme bukan sekadar melibatkan penguasaan ekonomi dan politik malah ia turut
cenderung menguasai minda penduduk. Malaysia mencapai kemerdekaannya pada 31
Ogos 1957 melalui amalan kompromi dan permuafakatan pelbagai kaum. Proses
permuafakatan itu bermula sebelum kemerdekaan lagi. Ia begitu jelas selepas Perang
Dunia Kedua, di mana semangat nasionalisma dan dasar dekolonialisasi oleh kuasa Barat
mendorong kepada kerjasama parti-parti politik berbilang kaum. Perkembangan itu
dilihat sebagai satu titik tolak kepada politik permuafakatan di negara kita dan berjaya
merencanakan satu perkembangan politik yang begitu menarik. Penggubalan
Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 telah mengambil kira pebagai aspek.
Perkara yang paling mustahak di sini ialah toleransi dan tolak ansur di antara penduduk
berbilang kaum telah berjaya membentuk satu pakatan murni dan menerima satu kontrak
sosial dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Di mana pada dasarnya, kontrak
sosial terdiri daripada dua elemen iaitu pertama, penerimaan orang Melayu terhadap
sebilangan besar penduduk bukan Melayu sebagai rakyat ‘jus soli’ bagi negara yang baru
merdeka. Kedua, penerimaan penduduk bukan Melayu terhadap pengiktirafan hak
istimewa serta kepentingan kaum Melayu dalam negara.bagai aspek yang melibatkan
kepentingan kaum yang berbeza. Suruhanjaya Reid telah dipertanggungjawabkan dalam
merangka sebuah perlembagaan baru untuk Tanah Melayu menerima pelbagai
pandangan, cadangan serta bantahan dari pelbagai pihak. Ia telah memberi penekanan
kepada beberapa aspek yang penting termasuklah soal kewarganegaraan, kedaulatan
sultan Melayu, kedudukan agama Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan
hak keistimewaan orang Melayu. Isu kontrak sosial merupakan satu persoalan yang
sering dibahaskan oleh ahli-ahli politik mahupun golongan akademik. Persoalan yang
sering timbul ialah sejauh manakah ia masih relevan dan kepentingan perjanjian itu
dalam usaha pembentukan sebuah negara bangsa di Malaysia. Idea kontrak sosial
bermula di Eropah pada abad ke-17 dan ke-18 dan di pelopori oleh tokoh-tokoh seperti
Jaque Rousseau, John Locke and Thomas Hobbes. Pada dasarnya, ia merujuk kepada
persetujuan bersama di kalangan rakyat sesebuah negara berkaitan dengan hak dan
tanggungjawab mereka. Di mana manusia dikatakan mempunyai nafsu yang tinggi
terhadap kekuasaan, kekayaan, kehormatan dan pengetahuan dan ia disifatkan sebagai
tidak terbatas. Lantaran itu, perlu wujudnya satu mekanisme bagi mengawal keinginan
manusia tersebut dalam usha mewujudkan keselamatan serta kestabilan dalam negara ( B.
Harian, 5 Nov. 2008). Menurut John Locke (1632-1704) dalam tulisannya An Eassy
Concerning the True Original, Extent and End of Civil Government dalam Sosial
Contract ( Oxford University Press, 1960) , beliau menjelaskan bahawa wujudnya tiga
pihak dalam proses kontrak sosial iaitu orang yang mencipta kepercayaan (the trustor),
orang yang diberi kepercayaan ( the trustee) dan mereka yang memperoleh manfaat
daripada pemberian kepercayaan itu ( the beneficiary). Hubungan tersebut bakal
mewujudkan satu situasi saling mempercayai antara satu sama lain dan ia amat penting
dalam mengekalkan keselamatan sesebuah negara. Ini kerana sekiranya hubungan
kepercayaan tersebut terhakis maka pemerintah akan kehilangan kuasa untuk
melaksanakan dasar yang ingin dilakukannya. Istilah kontrak sosial mula mewarnai
politik negara pada tahun 1986 dan ia digunakan buat kali pertama oleh ahli parlimen
UMNO, Abdullah Ahmad yang menegaskan bahawa kemerdekaan negara serta
kesinambungan politik Malaysia berdasarkan kepada system politik yang didominasi
orang Melayu. Oleh itu kedudukan orang Melayu dalam politik Malaysia perlu dipelihara
dan sebarang usaha untuk menghapuskannya mahupun mempertikaikannya bakal
mengugat kestabilan negara ( The Star, 31.August.1986 ). Sejak diperkenalkan, kontrak
sosial dikaitkan dengan konsep dominasi Melayu atau ketuanan Melayu. Di mana ia
dilihat sebagai penerus kepada kesinambungan kuasa politik orang Melayu dan turut
memberi jaminan terhadap kedudukan serta keistimewaan orang Melayu di Malaysia.
Malahan kontrak sosial dilihat semakin ‘rigid’ dibawah dominasi UMNO yang sering
menjadikan isu tersebut sebagai modal untuk kepentingan politik masing-masing. Ia jelas
apabila isu kontrak sosial mahupun ketuanan Melayu sering menjadi tumpuan dalam
setiap Perhimpunan Agung UMNO di mana para perwakilan mengambil kesempatan
untuk menonjolkan diri dengan memanipulasikan isu kontrak sosial mahupun hak-hak
orang Melayu. Dalam Perhimpunan UMNO tahun 2006, perwakilan Melaka Hasnoor
Sidang Hussein dengan lantang menegaskan bahawa UMNO sanggup berkorban dan
bermandi darah untuk pertahankan bangsa dan agama mereka. Manakala perwakilan dari
Terengganu pula member amaran bahawa hak orang Malayu tidak harus dipertikaikan
dan jika ia berlaku orang Melayu bakal mengamuk dan peristiwa 13 Mei 1969 bakal
berulang ( Malaysiakini, 22.November 2006). Perkembangan dalam kontrak sosial itu
selaras dengan tanggapan Rousseau (1712-1778) yang berpendapat bahawa manusia pada
dasarnya adalah sama tetapi faktor moral mencipta ketidaksamaan maka timbullah hak-
hak istimewa yang dimiliki oleh golongan tertentu dan ia bakal dipergunakan untuk
menindas yang lain ( B. Harian, 5 Nov. 2008 ). Oleh yang demikian, konsep ketuanan
Melayu yang dianggap sebagai pelindung orang Melayu dan dikaitkan dengan hak raja-
raja Melayu sebagai pemerintah negara sering menimbulkan perasaan kurang senang
kaum lain ( B. Harian, 9 Mei. 2008). Di mana ia seolah-olah meletakkan kaum lain di
satu kelas yang lebih rendah daripada orang Melayu. Ia jelas bercanggah dengan
perlembagaan negara yang menekankan persamaan hak bagi semua warganegara tanpa
diskriminasi terhadap mana-mana bangsa mahupun agama. Malahan konsep ketuanan
Melayu dilihat sebagai satu elemen yang berunsur negatif yang melemahkan orang
Melayu dan ia bersifat perkauman. Di mana menurut Datuk Zaid Ibrahim, bekas Menteri
di Jabatan Perdana Menteri ia mencerminkan orang Melayu hanya mahu menjadi ‘tuan’
tanpa mahu berusaha dan bertanggungjawab kepada diri sendiri ( Utusan Malaysia, 4
November. 2008 ). Ini jelas memberi satu gambaran negatif kepada orang Melayu yang
dianggap hanya mahu hak-hak tertentu dan penghormatan serta pengiktirafan tetapi tidak
mahu berusaha. Pada masa yang sama mereka tidak mampu membuktikan kemampuan
diri serta mengelak daripada persaingan secara global dan terus bergantung kepada
kerajaan. Isu kontrak sosial menjadi semakin panas selepas Pilihan Raya Umum ke-12
pada 8 Mac 2008 berikutan perubahan landskap politik negara. Ia menyaksikan kehadiran
lebih ramai ahli parlimen bukan Melayu yang dipelopori oleh PKR dan DAP. Pada masa
yang sama wujud kecenderungan komponen parti dalam Barisan Nasional yang mula
menyuarakan ketidakpuasan mereka dalam formula Barisan Nasional yang dilihat terlalu
dikongkong oleh UMNO yang bersikap terlalu angkuh dan menafikan peranan komponen
yang lain. Lantaran itu timbulnya keresahan di kalangan ahli-ahli UMNO tentang hak
serta kedudukan orang Melayu terutamanya di negeri-negeri yang dikuasai parti
pembangkang khususnya di Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Pelbagai polemik serta
kontroversi yang tercetus dalam membicarakan kontrak sosial jelas menggambarkan
ketidakmatangan politik negara yang masih diselubungi oleh politik perkauman yang
begitu sempit. Keadaan diperburukkan lagi apabila berlaku perbalahan secara terbuka di
kalangan pemimpin-pemimpin dalam Barisan Nasional yang terkena tempias pilihan raya
2008. Di samping itu, ia turut menyaksikan tindakan segelintir pemimpin yang senjaga
mengeluarkan kenyataan yang berbau perkauman yang tindakan tersebut dilihat
mencurah minyak ke atas api yang marak. Dalam usaha untuk mengawal situasi yang
semakin genting, kerajaan telah bertindak dengan menggunakan Akta Keselamatan
Dalam Negeri ( ISA) bagi menahan aktivis-aktivis mahupun wartawan yang terlibat
dalam forum mahupun penghasilan artikel yang dikatakan menyentuh sentimen
perkauman. Di samping itu, penyeliaan yang lebih ketat ke atas bloggers turut diambil.
Tindakan tersebut jelas mengundang bantahan ramai dan dilihat sebagai satu langkah
menutup kelemahan kerajaan dan merencatkan kesuburan demokrasi negara. Ia jelas
tidak menggambarkan hasrat kerajaan ke arah pembentukan sebuah negara bangsa
Malaysia yang bersatu dan adil.Tindakan sesetengah pihak yang secara berterusan
mempertikaikan kontrak sossial mendapat perhatian serius Majlis-Majlis Raja-Raja
Melayu yang meminta semua pihak menghormati perlembagaan negara serta tidak
menguji mahupun mencabar kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh pemimpin
terdahulu ( Utusan Malaysia 17 Oktober 2008 ) . Ini kerana ia menimbulkan kegusaran
dan keresahan di kalangan rakyat. Walaupun peringatan tersebut disambit baik oleh
semua pihak namun begitu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
menegaskan rakyat berhak persoalkan sosial kontrak jika hak mereka dinafikan kerana
Majlis Raja-Raja telah pun memberi jaminan bahawa hak semua kaum akan dilindungi
kerana ia mendapat jaminan Perlembagaan Persekutuan. Lantaran itu, beliau
menyarankan supaya semua kaum menghormati kebudayaan serta tatasusila antara satu
sama lain. Kontrak sosial merupakan satu persetujuan bersama di kalangan pemimpin-
pemimpin berbilang kaum dalam menentukan hala tuju negara ketika era kemerdekaan.
Ia dilihat sebagai satu pakatan murni yang libatkan toleransi antara kaum. Namun begitu
kontrak sosial sering dimanipulasi oleh ahli-ahli politik demi kelansungan politik masing-
masing. Tindakan sedemikian telah menimbulkan pelbagai permasalahan yang begitu
kompleks dan sering mengakibatkan ketegangan hubungan antara kaum. Lantaran itu
kontrak sosial terus diselubungi pelbagai kontroversi akibat daripada corak politik
perkauman yang terlalu sempit. Ia sering menjadi percaturan politik oleh sesetengah ahli
politik yang ingin menonjolkan diri sebagai jaguh kaum tertentu. Walaupun perbincangan
tentang soal kontrak sosial kerap dielakkan demi perpaduan kaum tetapi Raja Muda
Perak, Raja Dr. Nazrin beranggapan tindakan menghalang sebarang perbincangan tentang
isu-isu yang dianggap sensitif tidak mampu menyelesaikan masalah sebaliknya ia akan
menjadikannya lebih serius. Sebaliknya perbincangan secara terbuka yang dilakukannya
secara terkawal dan professional mampu menyelesaikan pelbagai permasalahan yang
telah merenggangkan hubungan antara kaum ( New Sunday Times, 23 . Disember 2007 )

Anda mungkin juga menyukai