Anda di halaman 1dari 8

a)CERITA KAUM MELAYU ( NAKHODA TANGGANG)

Si Talang dan isterinya Si Deruma tinggal di sebuah kampung yang terpencil. Kehidupan mereka sangat miskin. Mereka mempunyai seorang anak lelaki bernama Si Tanggang. Si Tanggang suka berburu dan mendayung sampan. Pada suatu hari, dia mendayung sampan menyusuri sungai sehingga sampai ke muara. Di muara sungai , terdapat sebuah kapal sedang berlabuh. Nakhoda kapal itu tertarik hati apabila melihat kecekapan Si Tanggang mendayung sampan lalu mengarahkan orang suruhannya menangkap Si Tanggang. Akhirnya, Si Tanggang ditangkap dan telah dibawa belayar.

Semasa dalam pelayaran, Si Tanggang melakukan semua kerja di atas kapal itu. Kerajinannya telah menambat hati nakhoda lalu mengambilnya sebagai anak angkat. Akhirnya, nakhoda telah mengahwinkan Si Tanggang dengang anaknya. Kemudian Si Tanggang dilantik menjadi nakhoda yang baru dan digelar Nakhoda Tanggang.

Pada suatu petang, setelah jauh belayar, Nakhoda Tanggang telah mengarahkan anak kapalnya berlabuh di muara sungai. Kebetulan pula tempat kapal berlabuh ialah kampung asal Nakhoda Tanggang. Beberapa orang penduduk kampung ternampak Nakhoda Tanggang lalu memberitahu ibunya. Ibunya segera datang untuk menemui Nakhoda Tanggang kerana dia terlalu merindui anaknya itu. Namun begitu, Nakhoda Tanggang berasa malu untuk mengaku bahawa perempuan tua itu ibunya. ini kerana keadaan ibunya yang miskin dan uzur. Nakhoda Tanggang telah menghalau ibunya.

Ibunya, Si Deruma berasa sangat sedih dan pilu kerana Si Tanggang anak yang dilahirkan dan disusuinya telah melukakan hatinya. Dia memandang ke langit sambil mengangkat kedua-dua belah tangan dan berseru,"Oh,Tuhan! Tunjukkanlah kepada Si Tanggang bahawa akulah ibu kandungannya."

Tiba-tiba petir berdentum dan angin bertiup dengan kencang. Kapal yang sedang berlabuh itu terumbang-ambing dipukul ribut. Keadaan pada masa itu sungguh cemas. Ketika itu barulah Nakhoda Tanggang berasa sangat kesal. Dia insaf bahawa Tuhan telah memperkenankan doa ibunya.

" Oh ,Ibu! Ampunkanlah anakanda ....," teriak Nakhoda Tanggang, tetapi sudah terlambat. Gelombang yang kuat telah memecahkan kapalnya. Setelah ribut reda, kapal yang pecah dan anak-anak kapal termasuk Si Tanggang telah bertukar menjadi batu. Itulah balasan kepada anak yang derhaka.

b)CERITA KAUM CINA (KONG ZHI MEMINTA TUNJUK AJAR BUDAK KECIL)

Kong Zhi merupakan seorang sasterawan dan tokoh pemikir yang terkenal pada zaman dahulu. Pada suatu hari, Kong Zhi dan anak muridnya pergi ke suatu tempat dengan menaiki kereta kuda. Dalam perjalanan, mereka bertembung dengan seorang budak yang berumur enam tahun. Budak itu sedang bermain di tengah jalan. Anak murid Kong Zhi yang melihat keadaan ini mengarahkan budak itu supaya ke tepi. Budak kecil itu menjawab, " Di sini ada sebuah kota, elok tuan cari jalan lain untuk lalu dari sini."

Anak murid Kong Zhi nampak ada sebuah kota batu yang telah dibina di atas tanah. Anak murid Kong Zhi berasa lucu dan berkata, " Budak nakal, cepat beri laluan! "

Budak kecil itu berkeras untuk tidak beralih. Dia berkata, "Boleh, dengan syarat tuan dapat menyatakan kebenaran. Adakah kota saya perlu elakkan kereta tuan, atau tuan yang perlu elakkan kota saya? Sejak dahulu lagi, keretalah yang berjalan mengelilingi kota, mana ada kota yang beri laluan kepada kereta!"

Kong Zhi yang tertarik dengan percakapan budak itu turun dari kereta kuda dan berkata, "Kata-kata kamu memang benar, tetapi kami kesempitan masa. Bolehkah kamu berikan kami laluan?"

Budak kecil itu pula berkata lagi," Saya dengar tuan seorang yang berpengetahuan luas. Kalau tuan dapat menjawab soalan saya, saya akan beri laluan kepada tuan."

Kong Zhi bersetuju dengan cadangan itu. Budak kecil itu menunjukkan ke arah langit dan bertanya,: Kita boleh nampak bintang di langit. Berapa banyakkah bintang di langit?"

Kong Zhi menjawab, " Tetapi bintang di langit terlalu banyak. Bagaimanakah boleh kita mengiranya?"

Budak kecil itu berkata lagi, " Bintang di langit banyak. Matahari pula satu sahaja. Pada waktu pagi, matahari menjadi besar, tetapi kecil semasa tengah hari. bolehkah tuan memberitahu saya, bilakah matahari paling dekat dan paling jauh dari kita?"

Kong Zhi terkejut mendengar soalan budak kecil itu. Beliau berfikir sejenak. Kemudian beliau berkata, " Saya sangat menyesal. Walaupun saya berpengetahuan, tetapi masih tidak cukup. Silalah beri tunjuk ajar kepada saya."

Budak kecil itu melihat Kong Zhi begitu bersopan, dia pun memberi laluan kepada mereka. Sejak itu, Kong Zhi mengajar muridnya supaya mengaku jika tahu dan jangan berpura-pura tahu jika tidak tahu. Kita sepatutnya meminta tunjuk ajar daripada sesiapa sahaja yang berpengetahuan kerana ilmu tiada batasnya. c) CERITA KAUM INDIA (AHLI SIHIR YANG ANGKUH )

Thenaliraman tinggal di sebuah pekan di India. Pada suatu hari, datang seorang ahli sihir termasyhur di pekan itu lalu mencabar penduduk di pekan itu.

" Wahai penduduk kampung, saya seorang ahli sihir terkemuka di India. Adakah sesiapa antara anda yang berani mencabar saya? Saya boleh melakukan atau menunaikan apa-apa sahaja yang anda pohon."

Thenaliraman pun tampil ke hadapan dan berkata, " Wahai Tukang Sihir, saya ingin mencabar anda. Bolehkah Tukang Sihir menunaikan permintaan saya?"

"Boleh, mintalah apa-apa sahaja , akan saya kabulkan permintaan anda," kata Tukang Sihir.

"Baiklah Tukang Sihir, saya akan melakukan sesuatu dengan mata saya tertutup, tetapi Tukang Sihir melakukannya dengan mata yang terbuka," kata Thenaliraman.

" Ha! Ha! Ha! Mudahnya permintaan anda," kata Tukang Sihir.

Thenaliraman pun duduk bersila dan menutup matanya. Dengan menggunakan tangan kanannya, dia mengambil segenggam pasir dan melemparkan ke arah matanya.

" Baiklah Tukang Sihir, sekarang tunjukkanlah kehandalan Tukang Sihir dengan melakukan seperti yang saya lakukan tadi dengan mata yang terbuka," kata Thenaliraman.

Tukang Sihir itu terdiam, Dia tahu bahawa dia tidak boleh melakukan seperti yang diminta. Tukang Sihir itu sedar akan kesalahannya yang terlalu bersikap angkuh. Dia meminta maaf kepada Thenaliraman dan terus meninggalkan pekan itu.

d)CERITA KAUM IBAN (KURA-KURA PINTAR)

Pada zaman dahulu, di Pulau Borneo tinggal seekor kura-kura bujang yang yatim piatu. Dia berkawan dengan seekor kera yang nakal dan tidak bertimbang rasa. Apabila Si Kera tersebut mati, Si Kura-kura mengambil seruas tulang kera itu dan meminta Dewa Bubuk membuat seruling untuknya. Si Kura-kura menjadikan seruling mainannya. Seruling itu dibawanya ke mana-mana sahaja dan ditiup semasa dia kesepian.

Kemerduan tiupan seruling Si Kura-kura itu telah sampai ke pendengaran Raja Ungka. Raja Ungka berkeinginan untuk memiliki seruling itu. Dia melakukan pelbagai cara untuk memperdayakan Si Kura-kura. Setelah berjaya memperdayakan Si Kura-kura, Raja Ungka dapat merampas seruling tersebut dan terus membawa seruling itu naik ke mahligainya , iaitu di kemuncak pokok Tapang Udang.

Bagi Si Kura-kura perbuatan Raja Ungka itu amat melampau. Dia sedaya upaya berusaha untuk merampas kembali seruling kesayangannya itu. Si Kura-kura mendapatkan pertolongan daripada Ketam Gergasi. Dalam usaha merampas seruling tersebut, Raja Ungka mengalami kecederaan yang parah kerana disepit oleh Si Ketam Gergasi. Raja Ungka yang parah telah menggunakan perkhidmatan beberapa orang bomoh untuk merawatnya. Akhirnya , kecederaan itu membawa maut kepada Raja Ungka. Itulah akibatnya yang diterima oleh Raja Ungka disebabkan sifat tamak haloba.

e)CERITA KAUM KADAZAN (BURUNG LAYANG-LAYANG)

Dalam sebuah hutan yang tebal, tinggal seekor burung layang-layang yang suka meniru.

Pada suatu petang, burung layang-layang telah mendengar suara teriakan daripada burung-burung yang lain. "Ke tepi! Ke tepi! beri laluan kepada raja Burung. " Burung layang-layang berasa hairan mendengar teriakan tersebut. Tidak lama kemudian, beberapa ekor burung merak melalui kawasan itu. Burung layang-layang terpegun melihat kecantikan bururng merak. Maka, timbullah perasaan pada burung layanglayang yang ingin menjadi seperti burung merak. burung layang-layang menoleh ke kiri dan ke kanan lalu melihat beberapa helai bulu burung merak tercicir di atas tanah.

Apabila kumpulan burung merak telah berlalu, burung layang-layang mengutip semua bulu merak yang tercicir di atas tanah dan menyisipkan ke badannya. Apabila selesai, burung layang-layang berjalan di atas laluan burung merak tadi.Burung-burung lain yang melihatnya berteriak," Ke tepi! Ke tepi! Berikan laluan kepada Raja Burung."

Burung layang-layang berasa sangat seronok dan berjalan lebih pantas sehingga terlupa tentang bulu-bulu burung merak yang disisipkan di badannya. Lalu, satu demi satu bulu burung merak tertanggal dan tercicir di atas tanah.

Burung-burung lain yang menyaksikan kejadian tersebut ketawa berdekah-dekah sambil berteriak, " Rupa-rupanya burung layang-layang menyamar menjadi Raja Burung."

Burung layang-layang berlalu dari situ sambil menundukkan kepalanya kerana berasa sangat malu. Semasa berjalan dengan kepala bertunduk, burung layanglayang telah terlanggar burung merak. Apabila burung layang-layang mendongak, dia mendapati burung merak sedang berdiri di hadapannya dengan muka yang bengis. Burung merak berkata, " kami tidak suka kepada burung yang cuba menyamar menjadi burung yang lain. Pergi dari sini!"

Burung layang-layang segera terbang meninggalkan kawasan tersebut. Semasa terbang, burung layang-layang ternampak sekumpulan burung seakan-akan serupa dengan dirinya. Burung layang-layang mendekati burung dalam kumpulan tersebut. Seekor burung dalam kumpulan itu bertanya, "Anda ahli baru dalam kumpulan inikah?" Burung layang-layang pun menjawab, "Ya, saya ahli baru dalam kumpulan ini." Burung layang-layang berasa sangat gembira kerana telah mendapat sahabat baru.

Pengajaran dari cerita-cerita rakyat tersebut: a) Nakhoda tanggang- jangan menderhaka kepada ibu kerana balasannya azab sekali. b) Kong Zhi Meminta Tunjuk Ajar Budak Kecil mintalah tunjuk ajar daripada sesiapa yang berpengetahuan kerana ilmu tiada batasnya. c) Ahli Sihir Yang Angkuh- jangan bersikap angkuh kerana ada orang yang lebih pandai daripada kita.

d) Kura-Kura Pintar- jangan bersikap tamak kerana orang yang tamak selalu rugi. e) Burung Layang-Layang - jangan suka berpura-pura kerana lambat laun orang akan tahu juga kebenarannya.

Anda mungkin juga menyukai