Anda di halaman 1dari 4

Sikap Belajar Untuk Mengajar Sebagai Pembelajaran Sepanjang Hayat

Menurut Morgan (1978), belajar adalah setiap perubahan yang relatif menetap dalam tingkah laku yang terjadi sebagai suatu hasil dari latihan atau pengalaman. Oleh yang sedemikian, belajar boleh diertikan sebagai proses menambah ilmu. Manakala mengajar membawa maksud proses menyampaikan ilmu. Dalam menghadapi perubahan

pengetahuan ekonomi secara global, teknologi yang pantas dan maju, perubahan persekitaran tempat kerja dan persaingan yang sengit dalam sektor pekerjaan pada masa kini, guru seharusnya memperkasakan ilmu pengetahuan mereka tanpa mengira masa. Justeru, sikap belajar untuk mengajar sebagai proses Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) pertu disemai serta ditanam dalam diri setiap warga pendidik. Sikap belajar untuk mengajar ini memainkan peranan bagi mempersiapkan guru dengan pelbagai ledakan informasi serta perkembangan terkini yang terdapat dalam bidang pendidikan.

Sikap belajar untuk mengajar dalam diri guru menjadi pemacu utama proses PSH. PSH ialah pembelajaran yang berterusan sejak dari lahir sehingga ke liang lahad, sama ada secara formal atau tidak formal, sedar atau tidak, secara berkumpulan atau individu. Perkara yang baru dan berbeza dihadapi setiap hari dan ianya selalunya memerlukan proses pembelajaran menghadapinya. (Michael D. dan Diane R. , 2008). PSH dari segi konsepnya merangkumi pengertian yang begitu luas. Konsep ini merujuk kepada proses

pendemokrasian pendidikan yang merangkumi program meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kompetensi sama ada secara formal di sekolah, pusat latihan vokasional, atau secara tidak formal. PSH juga boleh membawa maksud motivasi kendiri yang merupakan elemen utama dalam sikap belajar untuk mengajar ke arah pencarian dan peningkatan ilmu secara sukarela berdasarkan keperluan personal ataupun profesional.

Tuntasnya, sikap belajar untuk mengajar merupakan penggerak utama kepada PSH dalam kalangan warga pendidik yang merupakan tonggak utama kejayaan serta kelestarian seseorang guru dalam kerjayanya. Hal ini kerana kesediaan guru berkenaan untuk terus memajukan diri dan profesionalisme melalui pelbagai aktiviti dan program pendidikan sama ada secara formal, informal mahupun nonformal. Guru akan berhadapan dengan pelbagai bentuk perubahan sama ada di dalam atau di luar profesionnya. Antara tuntutan dalaman ialah kesediaan guru untuk mencuba pelbagai teknik, kaedah serta pendekatan pengajaran

dan pembelajaran yang efektif di samping menghadapi perubahan dari segi istilah, kandungan kurikulum serta penggunaan teknologi baru (Muhamad Sani Ibrahim & Zuraidah A. Majid, 2(02).

Guru di dalam bilik darjah merupakan individu terpenting di sekolah yang perlu responsif kepada sebarang perubahan yang berlaku dalam bidang pendidikan. Tanpa kesediaan mereka usaha reformasi pendidikan akan menghadapi kegagalan (Sarason, 1982). Antara syarat utama bagi membolehkan guru bersikap terbuka dan menerima perubahan ialah melalui pembelajaran-berterusan. Oleh itu, setiap guru harus bersedia dari segi mental, emosi serta fizikal untuk menjadi pengamal pendidikan sepanjang sepanjang hayat (lifelong learning). Penghayatan konsep pendidikan sepanjang hayat amat penting bagi semua profesion lebih-lebih lagi profesion keguruan bagi membolehkan ahli profesion itu memberi sumbangan cermerlang kepada profesionya secara khusus serta kepada negara secara amnya. Kejayaan sesebuah organisasi turut bergantung kepada kesediaan anggota organisasi terlibat dalam pembelajaran di samping organisasi bersedia mengamalkan budaya pembelajaran ke arah penghayatan organisasi pembelajaran (Marinah Awang, Omar Abdull Kareern, & Khuan Wai Bing, 2004). Tuntutan ini menjadi lebih ketara dalam era lT, masyarakat berasaskan-ilmu dan ekonomi berasaskan-ilmu (Syed Muhamad Syed Abdul Kadir, 2002).

Pada masa kini, pembudayaan PSH merupakan wadah utama kepada para pendidik untuk meningkatkan diri secara profesional demi menjamin mutu profesion perguruan dan kualiti guru. Pembudayaan PSH ini dalam kalangan guru selaras dengan sikap belajar untuk mengajar yang membolehkan para guru mengadaptasikan maklumat terkini berkenaan dengan kurikulum pendidikan lanjutan penemuan baru dan inovasi yang berjaya diterokai untuk membantu murid mencapai perkembangan bakat pada tahap yang optimum. Perkembangan profesional ialah perkembangan profesionalisme sepanjang karier

seseorang. Ia melibatkan kedua-dua aspek iaitu aspek deskriptif dan preskriptif. Bagi aspek deskriptif, perkembangan profesional merujuk kepada cara bagaimana evolusi seorang guru mengambil tempat atau berperanan sepanjang kariernya. Sebaliknya, aspek preskriptif menghubungkan faktor latihan dalam mencorak sikap profesionalisme sebagaimana yang kita inginkan (Kelchtermans, 1993). Profesionalisme diri sebagai hasil dari suatu proses pemikiran profesional dan tindakan dalam PSH. Proses ini melibatkan penyemakan semula, pembaharuan dan peningkatan dalam komitmen mereka sebagai agen perubahan terhadap tujuan pengajaran.

Perkembangan profesional guru boleh dinyatakan sebagai pembangunan guru dalam profesionnya yang bertujuan meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan sikap mereka sebagai ahli akademik bagi mencapai kecemerlangan untuk memenuhi sepenuhnya keperluan mereka dan masyarakat (Ramaiah, 1992). Mogana (1996) menyatakan keberkesanan pembangunan profesional guru dapat dilihat dalam proses membaiki pengajaran dan pembelajaran.

Sehubungan dengan ini, guru hendaklah mengikuti kursus-kursus pendidikan yang dianjurkan oleh pihak Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah, misalnya Kursus Dalam Perkhidmatan atau Kursus Peningkatan Profesionalisme Keguruan. Kehadiran kursus-kursus pendidikan seperti ini adalah penting bagi guru demi mempertingkatkan keupayaan dan prestasinya dalam bidang kerja yang kian kompleks, canggih serta mencabar. Memandangkan guru merupakan perantara utama ilmu dan murid-murid, maka membekalkan guru dengan pengetahuan mutahir sejajar dengan anjakan paradigma yang berlaku dalam sistem pendidikan diharapkan dapat memberi input yang terkini menerusi kaedah pengajaran mengikut pelaksanaan yang sepatutnya.

Persatuan profesional dalam bidang pendidikan seperti Persatuan Matematik, Persatuan Fizik, Persatuan Bahasa Melayu dan sebagainya merupakan sumber yang dapat meningkatkan kerjaya perguruan. Guru perlulah melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti persatuan profesional ini seperti menghadiri kursus dan seminar yang dianjurkan oleh mereka, di samping merujuk bahan-bahan pendidikan masa kini yang diterbitkan dalam risalah atau jurnal, misalnya Berita Matematik (diterbitkan oleh PPK) masing-masing. Guru sendiri juga boleh menyumbangkan makalah yang berkaitan dengan hasil pengalaman yang diperolehi dalam kerjayanya. Dengan langkah ini, guru dapat mempraktikan maklumat yang diperoleh semasa aktiviti P&P agar murid-murid dapat mengetahui perkembangan semasa dan sikap inkuiri tertanam dalam diri mereka. Secara tidak langsung budaya mencintai ilmu akan dipraktikan oleh murid-murid yang merupakan ciri-ciri modal insan yang kita negara kita idam-idamkan.

Di Malaysia, Pusat Sumber Guru didirikan di bawah kelolaan Pejabat Pendidikan Daerah. Di antara tujuan-tujuan mendirikan Pusat Sumber Guru ialah membekal sesuatu tempat di mana guru-guru di bawah daerah masing-masing berpeluang berinteraksi, berkongsi

pengalaman mengajar, berbincang isu dan masalah pendidikan, menganjur kursus dalam perkhidmatan, memperoleh atau menyediakan bahan-bahan pengajaran dan sebagainya. Dengan fungsi-fungsi yang demikian, Pusat Sumber Guru memainkan peranan yang penting dalam usaha meningkatkan kerjaya perguruan dan profesionalisme keguruan. Impaknya terhadap perkembangan profesionalisme ialah guru tersebut dapat menggunakan segala bahan-bahan yang diperolehi menerusi Pusat Sumber Guru sebagai penambahbaikan terhadap dirinya baik daripada pelbagai kaedah pengajaran yang mampu mewujudkan interaksi yang efisien semasa P&P di dalam bilik darjah. Hal ini dapat menarik minat muridmurid lalu mengalakkan mereka meneroka sendiri subjek mahupun mata pelajaran tersebut.

Tuntasnya, sikap belajar untuk mengajar yang merupakan elemen utama kepada PSH. Ianya merupakan langkah utama kepada para guru untuk memperkembangan

profesionalisme mereka. Perkembangan profesionalisme keguruan harus menjadi prioriti dalam perancangan kerjaya setiap guru. Cabaran-cabaran yang dihadapi guru masa kini dan masa depan semakin meningkat. Isu yang dihadapi bukan sahaja sekadar masalah murid dan peralatan tetapi lebih jauh daripada itu termasuk cabaran terhadap kemampuan ilmiah guru menghadapi masyarakat berasaskan-ilmu serta jati diri dalam mengharungi isuisu nilai yang lebih global. Profesion keguruan sentiasa tercabar dengan pelbagai isu pendidikan. Guru masa kini tidak mungkin dapat bertahan dan mempertahankan kredibiliti mereka tanpa menjadikan sikap belajar untuk mengajar sebagai budaya kehidupan. Budaya ini merupakan saluran bagi guru-guru meningkatkan ilmu dan kemahiran mereka sejajar dengan tuntutan warga pendidik pada zaman globalisasi.