Anda di halaman 1dari 27

Pembelajaran Nilai Kewarganegaraan dan Patriotisme dalam Pendidikan Sejarah

GE 6863 TEORI DAN FALSAFAH ILMU SEJARAH

Pensyarah: Dr. Anuar Ahmad

Nama Pelajar: Awg Kasmurie bin Awg Kitot P47441

Tajuk Tugasan

Pembelajaran Nilai Kewarganegaraan dan Patriotisme dalam Pendidikan Sejarah

UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA The National University OF Malaysia Faculty of Education

Pembelajaran Nilai Kewarganegaraan dan Patriotisme dalam Pendidikan Sejarah

Pengenalan Pendidikan Sejarah merupakan aspek penting dalam dunia pendidikan. Pendidikan sejarah menjadi nadi kepada perkembangan semangat jati diri dan perjuangan dalam diri sesebuah masyarakat. Penekanan kepada aspek ini sudah pasti menjadi agenda bagi sesebuah negara yang berdaulat. Malah tidak keterlaluan dikatakan pendidikan sejarah menjadi pemangkin kepada kemajuan sesebuah bangsa dan tamadun. Sesungguhnya sejarah tamadun-tamadun yang lampau menjadi gambaran dan pengajaran kepada negara-negara di dunia pada hari ini. Dalam kita membina kekuatan bangsa adalah menjadi satu kepentingan sejarah dilihat kembali agar dapat menguatkan lagi malah memantapkan lagi perjuangan kebangsaan. Kesinambungan daripada perjuangan tokoh-tokoh dahulu turut menjadi penguat kepada pembangunan negara pada hari ini. Pendidikan sejarah turut menekankan nilai kewarganegaraan dan patriotisme yang perlu ditanam kukuh dalam diri setiap warganegara. Sekaligus sesebuah bangsa akan cuba untuk menilai kembali sejarah pembentukan bangsa dan negara mereka. Ini menjelaskan bahawa pendidikan sejarah perlu diselami kerana pendidikan sejarah merupakan asas kepada pembentukan sesebuah negara bangsa. Ini ternyata turut disokong oleh Abdul Rahim Abdul Rasyid (1999), beliau mengatakan pendidikan sejarah berperanan sebagai rangka pembinaan bangsa dan negara. Maksudnya dalam kita membentuk sesebuah negara yang merdeka maka sudah tentu sejarah menjadi faktor penilai pembentukannya. Malah pendidikan sejarah menjadi satu aspek penting sebagai rangka dalam pembentukan sesebuah negara. Sesungguhnya ini merupkan satu perkara asas dalam cabaran untuk membina bangsa Malaysia yang kuat dan harmoni. Pendidikan yang kukuh juga ternyata akan memberi impak yang positif kepada reformasi kurikulum pendidikan sejarah di sekolah dan juga peringkat yang lebih tinggi. Bukan itu sahaja pendidikan sejarah juga penting dalam memperkatakan pelbagai isu sejarah seperti nasionalisme, patriotisme dan sebagainya. Dengan berlandaskan pendidikan sejarah sesebuah negara pasti ini akan menjadi landasan kepada pembentukan sesebuah negara. Keadaaan ini menjadikan pendidikan sejarah sebagai satu asas dalam pembentukan bangsa yang merdeka dan mengamalkan tatacara serta acuan sesebuah negara yang tersendiri. Proses dalam pembentukan negara bangsa pasti tidak akan berlaku tanpa adanya asas

Pembelajaran Nilai Kewarganegaraan dan Patriotisme dalam Pendidikan Sejarah

daripada pendidikan sejarah. Perkembangan sesebuah bangsa, jatuh bangun sesebuah tamadun, menjadi bukti kepada kepentingannya. Dalam memaparkan kepentingan pendidikan sejarah ternyata aspek nilai kewarganegaraan dan patriotisme menjadi perkara penting yang mesti ditekankan dan diperjelaskan. Kedua-dua aspek nilai ini sesungguhnya menjadi pemangkin kepada kekuatan kemerdekaan yang berkekalan dalam sesebuah negara bangsa. Pernyataan Masalah Dewasa ini kita sering dikhabarkan dengan pelbagai masalah remaja yang seolah-olah hilang identiti diri sebagai rakyat yang merdeka. Apatah lagi jati diri yang diwar-warkan dalam kalangan masyarakat tidak langsung memberi kesan dan impak kepada diri mereka. Namun apa yang berlaku banyak pihak menunding jari antara satu sama lain. Tetapi kurang pula dalam usaha untuk bersatu dan duduk bersama bagi membincangkan hal sedemikian. Ada pun yang berbincang untuk menyelesaikan masalah yang berlaku tetapi keputusan terakhir sukar dilakukan atau dicapai. Akhirnya masalah ini terus menjadi satu ancaman kepada perubahan sikap positif remaja negara kita. Masalah yang terus meredah masyarakat mula mempengaruhi dan menular sehingga sukar untuk dibendung lagi. Masalah rempit misalnya bukan lagi masalah baru dalam negara kita. Saban hari dada-dada akhbar tempatan memaparkan budaya merempit hingga akhirnya menjadi peragut dan pembunuh. Hal ini sudah seharusnya tidak dapat dibiarkan. Perlulah bertindak dari akar umbi agar tidak menjadi satu budaya masyarakat yang bakal diwariskan turun temurun. Di samping itu, masalah penzinaan yang semakin menjadi-jadi turut menunjukkan tiadanya pendidikan nilai kewarganegaraan dan patriotisme dalam kalangan remaja dan masyarakat negara kita. Apa tidaknya masalah ini merupakan penyumbang utama kepada jenayah pembuangan bayi yang terus dilaporkan oleh media cetak dan elektronik. Keadaan ini sudah cukup membuktikan masyarakat negara kita tidak takut untuk melakukan kesalahan. Apakah ini menunjukkan lemahnya sistem pendidikan kita? Atau adakah ini membuktikan pembelajaran nilai kewarganegaraan dan patriotisme tidak langsung menjadi agenda utama dalam setiap pembelajaran?. Atau kemungkinan guru, pelajar dan masyarakat hanya beranggapan bahawa hanya pendidikan sejarah sahaja merupakan medium untuk menyampaikan nilai kewarganegaraan dan patriotisme.

Pembelajaran Nilai Kewarganegaraan dan Patriotisme dalam Pendidikan Sejarah

Keadaan yang berlaku menampakkan bahawa tiadanya nilai kewarganegaraan dan patriotisme menjadi satu penyebab kepada masalah dan kekejaman yang dilakukan oleh remaja khasnya. Kegagalan penerapan nilai kewarganegaraan dan patriotisme dalam sistem pendidikan terutamanya dalam subjek sejarah sering dikaitkan dengan kelemahan corak pengajaran dan penerapan guru. Namun tidakkah pula mereka berfikir kelemahan sistem pendidikan negara kita juga menunjukkan kelemahan apabila penekanan diberikan kepada orientasi peperiksaan. Kesan daripada itu, guru-guru terpaksa dibebankan dengan silibus yang terlalu luas dan arahan agar silibus mesti dihabiskan dalam tempoh masa yang tidak adil. Perkembangan dunia sains dan teknologi telah membawa satu gelombang perubahan pula kepada sistem pendidikan di Malaysia. Bila mana kita telah mewajibkan para pelajar mempelajari mata pelajaran sains dan matematik dalam bahasa inggeris. Malah keutamaan diberikan kepada beberapa subjek penting kononnya penting dalam pembangunan negara. Kelemahan dalam memberi pentafsiran dan memandang jauh ke depan telah memberikan kesan yang negatif ibu bapa dan pelajar serta masyarakat terhadap subjek lain yang dikatakan tidak penting seperti sejarah. Keadaan ini membawa kepada peminggiran mata pelajaran sejarah sedangkan mereka tidak tahu kepentingan pendidikan sejarah dalam memupuk nilai kewarganegaraan dan patriotisme yang sewajibnya ada dalam melahirkan pelajar yang memenuhi ciri-ciri JERI sebagaimana dalam FPN. Inilah kepentingan mata pelajaran sejarah sebagaimana yang dikatakan oleh Abd Rahim Abd Rasyid (1999) pendidikan sejarah merupakan pertimbangan moral dan nilai. Bermaksud pendidikan sejarah mampu untuk memberi kesan dan impak positif ke atas nilai dan moral kalangan pelajar. Namun dengan pendekatan yang telus dan tidak berlakunya ketirisan. Oleh itu, perubahan mentaliti masyarakat tentang pandangan yang mengatakan pendidikan sejarah tidak penting harus diubah. Ini memandangkan pendidikan sejarah penting dalam menitiskan pendidikan nilai kewarganegaraan dan patriotisme dalam kalangan pelajar. Dengan memiliki nilai kewarganegaraan dan patriotisme hasil pendidikan sejarah sudah pastinya kekuatan jati diri pelajar akan menjadi kental dan teguh. Malah sudah semestinya akan memberi impak kepada kurangnya permasalahan sosial serius yang boleh melumpuhkan negara.

Pembelajaran Nilai Kewarganegaraan dan Patriotisme dalam Pendidikan Sejarah

Matlamat Pendidikan Sejarah Nilai kewarganegaraan dan patriotisme merupakan isi penting dalam pendidikan sejarah di mana sahaja negara di dunia. Senario sebegini membuktikan kepentingan nilai kewarganegaraan dan patriotisme dalam merencana perkembangan sesebuah negara. Untuk itu, pelbagai bentuk cara dilakukan bagi menuju matlamat tersebut dan mempastikan kedudukan semangat jati diri bangsa akan terus kukuh bersama dengan pembangunan dan perancangan negara. Kepentingan pendidikan sejarah dalam memupuk nilai kewarganegaraan dan patriotisme membawa kepada penetapan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia di bawah Pusat Perkembangan Kurikulum agar subjek sejarah menjadi teras dalam sistem pendidikan Negara Malaysia. Maka sudah tentu menjadi satu agenda penting penekanan yang mantap diberikan kepada pendidikan sejarah di sekolah-sekolah. Matlamat Pendidikan Sejarah adalah untuk memupuk semangat setia negara dan perasaan bangga sebagai rakyat Malaysia. Melalui pengetahuan dan penghayatan sejarah tanahair, para pelajar akan dapat memahami keadaan masyarakat dan negara dalam mewujudkan semangat perpaduan dan kekitaan terhadap masyarakat dan negara sebagai satu unit tunggal. Hal ini pasti akan mewujudkan ingatan bersama terhadap sejarah sebagai rangka rujukan kesedaran kebangsaan dan memperkukuhkan perasaan cintakan tanahair. Mata pelajaran Sejarah adalah pendukung utama pemupukan semangat kewarganegaraan dan patriotisme. Oleh yang demikian kandungan kurikulum Sejarah akan memberi penekanan terhadap pengetahuan tentang sejarah negara dan nilai-nilai yang dapat memupuk semangat kewarganegaraan dan patriotisme. Banyak peristiwa-peristiwa penting yang berlaku dalam negara kita yang boleh dinilai kembali seterusnya menjadi nilai sejarah yang amat berharga kepada anak bangsa kita. Dalam pendidikan sejarah adalah menjadi satu kewajiban untuk kita merenung kembali peristiwa lampau agar menjadi pengajaran dan iktibar berguna kepada anak bangsa. Semuanya demi menyahut seruan ibu pertiwi yang tercinta. Kita buka lembaran sejarah bermulanya tapak kerajaan agung ketika era pembukaan Kerajaan Melaka oleh Parameswara hinggalah ke era abad ke-21 kini. Segala-galanya menunjukkan perubahan serta pegangan nilai kewarganegaraan dan patriotisme yang jauh berbeza. Pada dasarnya kita lihat tiada perubahan namun apabila kita teliti dan mengkaji sudah tentu nilai kewarganegaraan dan patriotisme

Pembelajaran Nilai Kewarganegaraan dan Patriotisme dalam Pendidikan Sejarah

bangsa Malaysia kian luntur dimamah usia dan musnah sebagaimana kemusnahan keagungan Tamadun Melayu ketika era Kesultanan Melayu Melaka. Walaupun kita masih lagi mengekalkan tapak keagungan kerajaan-kerajaan silam namun hakikatnya warisan tersebut ternyata jauh berbeza dengan masyarakat kini. Berlandaskan perubahan kerajaan dan tampuk pemerintahan negara silih berganti akan menjadi kerangka yang dikaji segala bentuk perubahannya dan kesinambungan warisan tradisi kehidupan masyarakat dan negara daripada segi politik, ekonomi dan sosial. Daripada kerangka inilah kita akan melihat kembali perubahan nilai kewarganegaraan dan patriotisme bangsa kita. Kurikulum sejarah juga sudah tentunya memberi tumpuan kepada aspek-aspek tempatan dan sejarah negara luar. Aspek sejarah tempatan memberi perhatian kepada pengkajian sesuatu tempat atau kawasan sebagai satu unit masyarakat yang lebih kecil daripada negeri ataupun negara. Tegasnya, pengkajian sejarah tempatan akan bersifat mikro iaitu tentang hal-hal bersangkutan dengan keadaan setempat. Unsur-unsur yang boleh dijadikan bahan kajian merangkumi sejarah tokoh, benda, institusi, peristiwa, adat istiadat dan kebudayaan setempat. Dalam pemilihan aspek-aspek tentang sejarah negara luar pula, kriteria utama ialah yang ada kaitan dengan sejarah Malaysia. Aspek-aspek ini dimasukkan dengan tujuan supaya pelajar-pelajar dapat memahami secara lebih jelas lagi tentang sejarah negara di samping mengetahui sedikit sebanyak tentang sejarah negara luar yang berkenaan. Definisi Nilai dalam Pendidikan Sejarah Menurut Jacques Barzun (1991) nilai dalam pelajaran sejarah memainkan peranan yang penting dalam diri seseorang pelajar. Malah baginya nilai dalam pelajaran sejarah merupakan sesuatu yang kekal dalam diri seseorang. Ini bermakna seseorang yang berjaya menyelami sejarah hendaklah mempunyai nilai yang kekal dalam dirinya dan menjadikannya lebih baik untuk sepanjang masa dan bukannya dalam tempoh masa yang tertentu semata-mata. The student who reads history will unconsciously develop what is the highest value of history: judgment in worldly affairs. This is a permanent good, not because "history repeats" - we can never exactly match past and present situations - but because the "tendency of things" shows an amazing uniformity within any given civilization. As the great historian Burckhardt

Pembelajaran Nilai Kewarganegaraan dan Patriotisme dalam Pendidikan Sejarah

said of historical knowledge, it is not 'to make us more clever the next time, but wiser for all time.'" -Jacques Barzun, Begin Here Nilai ialah idea-idea yang dikongsi bersama oleh masyarakat tentang apa yang baik, betul dan dikehendaki dalam diri seseorang atau masyarakat (Syarifah Alawiah Alsagoff, 1985). Mohd Salleh Lebar (1988) pula mentakrifkan nilai sebagai idea-idea yang dikongsi oleh masyarakat tentang apa yang baik meliputi apa yang baik atau buruk dalam sesebuah kebudayaan. Ini menjelaskan kepada kita bahawa nilai merupakan satu ukuran abstrak yang dipersetujui secara bersama dalam satu masyarakat dan satu budaya untuk menentukan bagaimana sepatutnya setiap anggota berfikir dan bertindak untuk mencapai matlamat dan menggunakan segala hasil tindakan serta wujud dalam jangkamasa di atas keperluan dan kepentingan tertentu. Sebenarnya, nilai memainkan peranan penting dalam sesebuah masyarakat. Antaranya: Mempengaruhi norma masyarakat. Menyatupadukan masyarakat. Memotivasikan masyarakat. Mengawal tingkahlaku negatif masyarakat. Membolehkan masyarakat membuat pilihan. Penting untuk pengkajian masyarakat.

Nilai sangat penting dalam masyarakat terutama dalam konteks masyarakat Malaysia. Kita tanpa sedar dalam segala corak pemikiran dan tindakan, sebenarnya adalah dikawal oleh nilai yang ditetapkan oleh masyarakat. Memetik keratan akhbar dalam Berita Harian bertarikh 30 Jun 2002, Mohd Feroz Abu Bakar menjelaskan kemerosotan disiplin pelajar akan mempengaruhi pencapaian pendidikan pelajar. Ini menurut petikan kata-kata beliau: .....Kemerosotan disiplin pelajar juga berpunca dariupada perubahan nilai masyarakat, keadaan sistem pendidikan yang diterima secara meluas oleh rakyat terutamanya selepas negara mengalami pembangunan pesat sejak 1970-an....... Dengan adanya nilai yang positif, timbal baliknya, pelajar akan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai impian masing-masing. Dengan ini, lahirlah satu masyarakat yang tinggi pencapaian akademiknya. Seterusnya wujud bangsa yang berakhlak yang akan mencerakin dan memajukan lagi pencapaian fizikal negara.

Pembelajaran Nilai Kewarganegaraan dan Patriotisme dalam Pendidikan Sejarah

Maksud Nilai Kewarganegaraan Dalam konsep sejarah kewarganegaraan juga disebut sebagai nationaliti. Ini bermaksud kewarganegaraan ialah sesuatu bangsa selaras dengan konsep negara bangsa. Bagaimanapun dalam masyarakat majmuk, soal kewarganegaraan tidak terbatas kepada sesuatu kaum sahaja. Kewarganegaraan dalam konteks Malaysia ialah mencakupi bangsa dan etnik yang pelbagai dan fahaman serta kepercayaan mereka. Namun dianggap sebagai warganegara lantaran berada dalam negara yang sama. Manakala dimaksudkan dengan nilai Kewarganegaraan adalah nilai yang ada dalam anggota dalam sebuah komuniti sesebuah negara. Nilai ini sekaligus membawa kepada rasa cinta dan semangat kebangsaan serta jadi diri kepada sesebuah negara. Seseorang yang mempunyai semangat beginilah yang dianggap sebagai warganegara. Istilah warganegara hampir sama maksudnya kepada perkataan kebangsaan. Namun tanpa adanya nilai dalam diri seseorang maka tidaklah dapat diistilahkan sebagai warganegara yang berjiwa kebangsaan. Lantaran itu aspek nilai merupakan aspek yang penting dan perlu ada dalam diri seseorang terutamanya mereka yang memahami konsep sejarah. Sesungguhnya aspek nilai sangat penting sebagaimana yang disebutkan oleh Jacques Barzun (1991) nilai merupakan aspek yang sangat penting dalam pembelajaran sejarah. Aspek nilai yang dipelajari bukannya untuk memahami sesuatu untuk jangka masa akan datang semata-mata tetapi untuk membentuk seseorang itu menjadi warganegara yang baik setiap masa. Setiap masa bermaksud nilai yang diperoleh oleh seseorang pelajar berkekalan dan menjadi satu prinsip yang dimiliki mereka.

Secara umumnya, berdasarkan konsep Jus Soli seseorang yang dilahirkan dalam sesebuah wilayah maka dianggap sebagai warganegara. Namun kewujudan warganegara bukan bermakna seseorang itu mempunyai kesetiaan kepada negara tanpa adanya nilai dalam diri mereka. Ini ternyata berbeza dengan konsep patriotisme. Seseorang yang memiliki patriotisme secara tidak langsung menunjukkan kesetiaan dan semangat kebangsaan yang ada dalam dirinya sebagai warganegara. Oleh itu warganegara hendaklah disimpulkan sekali bersama nilai dan patriotisme maka barulah dapat membentuk sebuah warga yang taat dan setia kepada identiti negara bangsa.

Pembelajaran Nilai Kewarganegaraan dan Patriotisme dalam Pendidikan Sejarah

Nilai Patriotisme Menurut Viroli (1995) patriotisme ialah perasaan cinta kepada tanahair dan perasaan kebangsaan yang sayangkan negara. Dia menolak pandangan nasionalisme dan patriotisme adalah sebahagian daripada perkauman. Malah pada pandangannya patriotisme nilai kebangsaan yang ada melambangkan kecintaan dan sanggup berkorban untuk negara yang tercinta. Dalam maksud ini perasaan cinta kepada negara boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk dan cara seperti menulis puisi patriotik, muzik, melahirkan perasaan cinta, drama dan sebagainya. Sebagai contoh puisi patriotisme yang ditulis oleh Jose Rizal iaitu Bapa Kebangsaan Filipina yang bertajuk Ultimo Adios yang menekankan semangat cintakan tanahair dan rasa bangga terhadap negaranya. Nilai ini perlu dipupuk dalam diri masyarakat agar mereka menyedari tentang keperluan dan kepentingan nilai kewarganegaraan dan patriotisme. Sudah semestinya pendidikan sejarah menjadi agen penting dalam mencambahkan nilai kewarganegaraan dan patriotisme dalam kalangan masyarakat pelajar. Dalam melahirkan rasa nasionalisme yang bangkit daripada nilai kewarganegaraan dan patriotisme yang ada dalam dirinya, sajak ini sudah tentu menunjukkan rasa bangga Jose Rizal ke atas negara tanah tumpahnya Filipina. Patriotisme selalunya dikaitkan dengan kesetiaan dan kecintaan yang mendalam terhadap negara sendiri. Seseorang yang mempunyai semangat ini merupakan mereka yang berjiwa patriot. Namun jiwa tersebut hendaklah juga berserta kepercayaan, amalan dan tidnakannya yang menepati nilai-nilai serta ciri-ciri patriotisme. Perkataan patriota berasal daripada perkataan Latin iaitu pro yang bermaksud di depan dan patria yang bermakna tanah air atau pembela tanah air yang tercinta. Oleh itu patriot ialah merupakan individu yang sentiasa berada di hadapan dalam mempertahankan kedaulatan negara daripada segala ancaman seperti pengkhianatan, pencerobohan, penaklukan dan sebagainya. Mereka yang mempunyai jiwa dan semangat patriot juga sangat cintakan negara dan sanggup membuat apa sahaja demi tanah tumpah yang tercinta. Dalam konteks negara bangsa Malaysia patriotisme yang perlu ada dalam setiap anggota rakyatnya hendaklah berbangga sebagai rakyat Malaysia, setia kepada negara yang tercinta, mempunyai semangat kekitaan, berdisiplin, mempunyai nilai yang tinggi dan sentiasa berusaha untuk mencapai kejayaan demi kemajuan bangsa, agama dan negara.

Pembelajaran Nilai Kewarganegaraan dan Patriotisme dalam Pendidikan Sejarah

10

Menurut Clogg

dalam Haminah Suhaibo (2007) patriotisme digunakan sebagai

mekanisme untuk menggalakkan rakyat bertindak sejajar dengan peristiwa sejarah sebab sejarah bukan sahaja sains tetapi juga keagungan tanah air dulu dan akan datang. Sejarah memaparkan kebenaran masa lepas melalui penganalisaan dokumen yang mampu membentuk kesedaran patriotik dan perpaduan kerana sejarah adalah aktiviti intelektual yang membolehkan kegiatan menganalisa dan mengkritik. Manakala Lay dan Torney-Purta dalam Haminah (2007), melihat patriotisme dari dua dimensi bila mengkaji patriotisme dan penglibatan politik dalam kalangan pelajar Rusia dan Amerika. Patriotisme merujuk kepada keinginan mempertahankan maruah negara dan dari sudut lain ia dibandingkan dengan sikap mereka terhadap negara lain. Kajian mereka mendapati patriotisme lebih berfokuskan kepada maruah negara sendiri. Patriotisme diperlihatkan dengan jelas pada zaman Rom dan Greek bilamana ia mendasari segala perlakuan warganegaranya Kesetiaan merupakan satu kekuatan kepada warganegara khususnya kaum lelaki bagi mempertahankan kumpulan dan negara mereka. Perkataan patria (tanah air) mempunyai makna tersendiri kepada rakyat kerana ia adalah lambang kesetiaan dan kepatuhan sebagai cermin kepada patriotisme. Patriotisme Roman bermaksud : ...cinta kasih kepada negara sebagai pernyataan kasih sayang dan perkhidmatan kebajikan untuk semua warganegara dalam sesebuah negara (Aquinas dalam Viroli, 1995)

Kemunculan negara bangsa baru serta idea-idea politik kesan Zaman Pembaharuan di Eropah telah membawa perubahan kepada patriotisme. Konsep bangsa dan tanah air dikembangkan oleh golongan intelek melibatkan semua yang tinggal dalam negara atau wilayah dan membangkitkan ideologi nasionalisme. Perkembangan nasionalisme yang menjadi ideologi negara bangsa moden menjadi justifikasi untuk membentuk negara bangsa sehingga mampu menjadi unit politik dan ekonomi yang bebas. Nasionalisme berjaya menyatukan penduduk yang berbilang kaum di bawah satu pentadbiran dan patriotisme membolehkan ia menjadi kenyataan patriotisme pada tahap ini ditujukan kepada negara bangsa sebagai pusat kuasa.

Pembelajaran Nilai Kewarganegaraan dan Patriotisme dalam Pendidikan Sejarah

11

Patriotismenya adalah semangat yang murni, universal dan bebas daripada elemen perkauman. Semangat perjuangan dan pengorbanan ini lahir daripada nilai-nilai cinta, kasih, sayang dan kesetiaan kepada nusa dan bangsa. Lazimnya, patriotisme didasari oleh sifat dan sikap kesukarelaan, keikhlasan, kesanggupan, kesungguhan, dedikasi dan komitmen seseorang insan untuk mempertahankan kemerdekaan negara dan memelihara kemerdekaan serta kedaulatan bangsanya. Matlamatnya supaya perlembagaan, undang-undang, integriti, kredibiliti, kepentingan, kemajuan, kejayaan, kemakmuran, kesejahteraan, keharmonian, perpaduan, ketenteraman, keamanan dan kelangsungan bangsa dan negara ini tidak diganggu gugat oleh sesiapa. Oleh itu, patriotisme adalah sesuatu yang abstrak. Ia lahir daripada tindakan atau perjuangan seseorang yang berasaskan kepentingan negara, agama dan bangsa. Patriotisme membabitkan minda, sanubari dan naluri. Ia juga membabitkan roh dan jiwa, semangat dan keinsafan, serta cinta, kasih dan sayang. Patriotisme merupakan satu bahagian penting dalam pendidikan sejarah. Patriotisme bertujuan dalam membina kesedaran dan mengukuhkan semangat perjuangan dan menanamkan perasaan cinta kepada agama, bangsa dan negara. Nilai patriotisme ini penting dalam mengembangkan semangat kebangsaan dan seterusnya amat berbangga dengan diri dan negara. Malah semangat ini turut akan memperkukuhkan diri seseorang dengan membina semangat cinta kepada agama, bangsa dan negara. Sesungguhnya nilai patriotisme boleh ditanam kukuh dan disuburkan dalam sistem pendidikan dan persekolahan di negara kita Malaysia. Patriotisme yang kukuh dan teguh dalam naluri serta meresap dalam jiwa masyarakat pasti akan dapat menghadapi cabaran globalisasi yang boleh menghancurkan dan memusnahkan jati diri andai gagal menerapkan semangat ini dalam diri serta jiwa rakyat (Abd Rahim Abd Rasyid 1999). Di zaman silam, patriotisme di Malaysia sering dimanifestasikan menerusi kesukarelaan dan keberanian seseorang berperang demi kepentingan ibu pertiwinya, untuk berjuang menentang penjajah, atau memperjuangkan kemerdekaan tanah airnya. Di zaman mutakhir, patriotisme Malaysia dimanifestasikan menerusi kepimpinan yang berjiwa rakyat, bertungkus-lumus memajukan negara untuk mencapai taraf dunia dan sentiasa memperjuangkan keselamatan tanah air dan kesejahteraan ummah. Patriotisme Malaysia mutakhir juga dibuktikan oleh segolongan bangsa Malaysia menerusi penciptaan

Pembelajaran Nilai Kewarganegaraan dan Patriotisme dalam Pendidikan Sejarah

12

rekod-rekod dunia melalui aktiviti yang amat mencabar, lasak dan berbahaya. Contohnya, pelayaran mengelilingi dunia secara solo, berenang menyeberangi Selat Inggeris dalam tempoh yang tersingkat, memacak dan mengibarkan Jalur Gemilang di puncak Gunung Everest, menawan Kutub Selatan, dan menerokai angkasa lepas. Malaysia pada tahun 2008 telah berjaya menghantar angkasawan pertama iaitu Dr Syed Muzaffar. Inilah dikatakan kebanggaan dengan wujudnya nilai kewarganegaraan dan patriotisme yang tinggi terhadap negara dan berusaha untuk mengharumkan nama Negara Malaysia di serantero dunia. Pada tahun 2020, nilai kewarganegaraan dan patriotisme Malaysia wajar pula dimanifestasikan menerusi kejayaan-kejayaan lain, seperti membina kapal angkasa pertama untuk menerokai lebih jauh lagi alam semesta ciptaan Allah swt. Begitu juga memperjuangkan keamanan dan keadilan sejagat, kebijaksanaan dalam pelbagai bidang utama di dunia.

Faktor-faktor

Penghalang

Usaha

Penyuburan

Pendidikan

Nilai

Kewarganegaraan dan Patriotisme Kepentingan nilai kewarganegaraan dan patriotisme menuntut kepada pengamalan beberapa amalan yang boleh memperkukuhnya budaya ini agar menjadi ikatan berkekalan kepada kemerdekaan sesebuah negara. Malaysia ternyata tidak terlepas daripada menekankan kepentingan nilai-nilai ini dalam kalangan para pelajarnya. Terutamanya sebagai sebuah negara yang masih membangun nilai ini ternyata memberi kesan yang tersendiri kepada Malaysia. Apatah lagi pahit jerih golongan pejuang negara berkorban yang sanggup berkorban segala-galanya demi mempastikan kemerdekaan berjaya diperoleh. Maka adalah satu perkara yang amat penting bagi pemimpin negara mempertahankan kemerdekaannya. Hasil daripada itu didapati nilai kewarganegaran dan patriotisme yang kukuh menjadi satu taruhan yang penting utnuk mempastikan matlamat tersebut tercapai. Namun begitu segala perancangan negara dalam menanam kukuh semangat ini akan lebur sekiranya beberapa faktor penghalang kepada penyuburan ini terjadi. Beberapa faktor telah dikenal pasti yang boleh membawa kepada kemusnahan impian tersebut. Lebih-lebih lagi Malaysia merupakan sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum ataupun masyarakat majmuk. Nilai individualisme merupakan antara faktor penghalang kepada penyuburan nilainilai ini. Sikap ini sebenarnya merujuk kepada sikap terlalu mementingkan diri sendiri tanpa memperdulikan kepentingan negara dan masyarakat. Golongan-golongan yang melakukan

Pembelajaran Nilai Kewarganegaraan dan Patriotisme dalam Pendidikan Sejarah

13

ataupun mengamalkan sikap ini pasti akan berusaha untuk mencapai kepentingan sendiri melebihi negara yang menjadi tanah tumpah darahnya. Ini sebagaimana yang dikatakan oleh Nazri & Jamsari (2007) mereka yang mengamalkan sikap ini akan berusaha agar diri mereka di dahulukan daripada kepentingan negara jika berlaku sesuatu hal dalam sesebuah negara. Keadaan ini berlaku apabila wujudnya kepentingan untuk menyelamatkan diri seperti apabila berlakunya kemelesetan ekonomi dan peperangan. Antara tindakan golongan sebegini ialah dengan melakukan penipuan dan membantu untuk melakukan penyeludupan yang sudah pastinya akan membawa kepada keburukan yang berterusan terhadap ekonomi negara. Begitu juga dalam kancah peperangan seperti melarikan diri ketika peperangan ataupun membantu pihak musuh semata-mata untuk menyelematkan nyawa sendiri. Faktor kedua ialah berlakunya era globalisasi ataupun dunia tanpa sempadan. Era globalisasi merujuk kepada dunia tanpa sempadan yang akhirnya membawa kepada kemasukan secara meluas budaya-budaya asing yang tidak dikehendaki dengan mudah. Sesungguhnya keadaan begini amat berbahaya kepada golongan muda masyarakat Malaysia. Kebebasan dan terpengaruh dengan budaya liar misalnya pasti akan menghancurkan masa depan dan golongan pelapis serta harapan negara pada masa depan. Kesan daripada ini membawa kepada tergugatnya sistem politik, sosial, ekonomi dan agama. Lebih memeritkan lagi boleh membawa kepada kehancuran negara dan kemerdekaan yang dicapai selama ini menjadi sia-sia. Keadaan ini telah menjadi satu penekanan oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahadir Mohamad yang mengatakan era globalisasi menjadikan Malaysia hanya menjadi sebuah daerah di dunia. Ini bermaksud Negara Malaysia boleh hilang daripada peta dunia akibat hilangnya nilai kewarganegaraan dan patriotisme. Ini menjelaskan kepada kita betapa pentingnya nilai ini dikekalkan dan dipertahankan agar tidak menjadi satu musuh yang sukar untuk dihapuskan. Ketiga, wujudnya sikap prejudis dalam golongan masyarakat. Sikap sebegini sebenarnya membawa kepada terhakis semangat perpaduan dan kekitaan dalam masyarakat kita. Sikap buruk sangka dan berprasangka ini hendaklah dielakkan. Membuat andaian tanpa bukti ternyata akan memburukkan lagi keadaan dan suasana politik, sosial, dan ekonomi negara. Sebagai contoh sikap berprasangka terhadap masyarakat kaum lain, maka ia akan menyebabkan nilai kewarganegaraan dan patriotisme sukar untuk disemai dalam diri masyarakat terutamanya masyarakat bukan Melayu. Sesungguhnya sikap ini masih lagi wujud dalam sanubari masyarakat hingga kini. Keadaan ini merupakan satu petanda tidak

Pembelajaran Nilai Kewarganegaraan dan Patriotisme dalam Pendidikan Sejarah

14

baik kepada kemajuan dan kedaulatan negara sebagai sebuah negara yang merdeka yang berteraskan perlembagaan dan rukunegara. Keempat masalah perpaduan akibat sentimen perkauman. Keadaan perpaduan di Malaysia sangat rumit kerana terlalu banyak perbezaan yang berlaku dalam kalangan penduduknya. Perbezaan ini ternyata begitu sukar untuk dileraikan malah menjadi semakin melarat selepas pembentukan Malaysia. Keadaan ini ditambah lagi dengan mainan politik golongan-golongan tertentu yang berkepentingan. Keadaan juga bertambah rumit apabila tidak ada usaha untuk mengatasi masalah ini. Situasi begini semakin tidak terkawal dan akhirnya telah mencetuskan peristiwa hitam 13 Mei 1969. Masalah perpaduan ini wujud akibat daripada perbezaan penempatan kaum yang terdapat di Malaysia ketika itu. Kaum Melayu telah diasingkan di kawasan luar bandar, orang cina di bandar dan di kawasan lombong serta estet pula dikhaskan kepada orang india. Hal ini sudah pastinya telah menghalang kepada proses perhubungan yang erat di antara kaum. Dalam ucapan YB Datuk Dr Maximus Johnity Ongkili, Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Penegrusi Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat mengenai perpaduan dan khidmat negara berpendapat kerajaan mempunyai political will bagi melaksanakan agenda perpaduan negara ini. Di samping itu, agenda pembangunan negara juga adalah mempunyai matlamat yang sama untuk mencapai perpaduan antara wilayah dan perpaduan negara. Untuk itu jawatankuasa khas kabinet pada masa itu bersetuju untuk mengagihkan peluang ekonomi yang tidak seimbang di wilayah-wilayah tersebut. Ini bagi mengelakkan rasa tidak puas hati dan menyebabkan perasaan kecewa dalam kalangan rakyat. Kerajaan juga berharap agar suasana tegang dalam masyarakat dapat dielakkan. Justeru, pengagihan hendaklah dilakukan secara adil dan turut melaksanakan dasar program supaya tidak hanya berasaskan kepada satu-satu kaum semata-mata. Oleh itu juga, kerajaan mengambil langkah seterusnya dengan berusaha untuk mengurangkan jurang ketidakseimbangan antara wilayah Sarawak, Sabah dan Semenanjung melalui infrastruktur asas. Ini sebagaimana yang terdapat dalam agenda kerajaan dalam Dasar Wawasan Negara (2001-2010). Dasar ini perlulah direalisasikan agar matlamat negara untuk membina sebuah masyarakat yang bersatu padu dapat dizahirkan. Jawatankuasa yang membincangkan hal berkaitan ketidakseimbangan wilayah di Malaysia ini juga berpendapat agar dapat dilaksanakan satu mekanisme bagi mengatasi masalah ini. Peluang hendaklah diberikan

Pembelajaran Nilai Kewarganegaraan dan Patriotisme dalam Pendidikan Sejarah

15

kepada wilayah-wilayah yang mundur. Pembinaan infrastruktur yang baik perlu diadakan di wilayah-wilayah yang masih belum mendapatkannya (Dewan Rakyat DR1 2007). Politik seringkali menjadi satu elemen yang mduah untuk dipergunakan utnuk memulakan ketegangan. Namun begitu politik juga berupaya menyatukan masyarakat melalui politik pelbagai kaum. Oleh kerana itu, beberapa langkah haruslah diambil untuk memperkasakan politik pelbagai kaum dengan mengutamakan perpaduan sebagai medium utama perjuangan. Bagi mengelakkan perkara yang lebih buruk lagi kod etika politik bagi menyekat dan menghalang parti-parti politik mengamalkan politik yang berbau perkauman juga perlu diadakan. Begitu juga membentuk sikap akomodasi dan toleransi dalam kalangan ahli-ahli parti politik supaya membudayakan perpaduan dan meraikan kepelbagaian masyarakat Malaysia. Masalah seterusnya yang boleh menimbulkan ketegangan ialah kehadiran dan kemasukan pendatang tanpa izin. Kemasukan pendatang tanpa izin bukan sahaja mengancam keselamatan negara tetapi juga boleh menimbulkan unsur ketegangan dalam membentuk perpaduan dalam kalangan masyarakat kita. Apa yang pasti kehadiran mereka memberi ancaman dan menimbulkan keresahan dalam masyarakat negara kita. Langkah-langkah yang berkesan perlu diambil perhatian supaya masalah ini dapat diuruskan dengan teratur dan berkesan. Antara langkah yang difikirkan perlu ialah dengan menyekat kemasukan baru pendatang tanpa izin dengan memantapkan lagi kawalan keselamatan di kawasan-kawasan sempadan negara. Begitu juga penyelesaian masalah dengan menanganinya dalam negara. Di samping itu, usaha pemantapan penguasaaan dengan mengadakan operasi tangkapan yang lebih agresif dan berterusan dengan melibatkan kerjasama pelbagai lapisan kementerian dan masyarakat serta agensi-agensi yang berkaitan. Pemilik dokumen haram dan palsu mestilah dikenalpasti dan diambil tindakan tegas ke atas mereka seperti penghantaran pulang ke negara asal dan menarik balik kerakyatan yang tidak sah atau diberi melalui prosedur yang tidak betul. Keadaan ini sebenarnya boleh dielakkan seandainya terdapat penerapan kukuh nilai kewarganegaraan dan patriotisme dalam kalangan masyarakat kita. Demi cintakan negara dan tanah air peranan setiap warganya amat penting agar masalah ini dapat diselesaikan.

Pembelajaran Nilai Kewarganegaraan dan Patriotisme dalam Pendidikan Sejarah

16

Media juga memainkan peranan penting untuk mengukuhkan lagi perpaduan masyarakat kita. Oleh itu jawatankuasa bertindak turut menyarankan supaya media di negara ini memainkan peranan dengan ketara untuk memupuk semangat dan kecintaan kepada negara dalam suasana sosial pelbagai etnik dan agama. Dengan itu sudah tentunya sokongan daripada pelbagai industri tempatan amat diperlu dan dialu-alukan untuk membantu mencapai matlamat ini. Untuk meningkatkan dan memperkukuhkan jati diri masyarakat pelbagai kaum di Malaysia media hendaklah memainkan peranan penting dengan mengadakan pelbagai program siaran radio dan televisyen serta memperbanyakkan siaran masyarakat yang menggunakan dialek dan disiarkan pada masa yang sesuai. Dengan cara ini dapat melahirkan perasaan sayang kepada negara disamping mengeratkan perpaduan masyarakat. Sesungguhnya peristiwa 13 Mei 1969 telah memberikan pengajaran yang penting kepada era pemerintahan pemimpin di Malaysia. Kehilangan jiwa merupakan pengalaman yang paling pahit dan ngeri berlaku ketika itu. Angka rasmi berhubung dnegan kejadian tersebut dari tempoh 13 Mei hingga 31 Julai 1969 menunjukkan 196 orang terkorban dan 180 orang telah tercedera oleh senjata api dan 259 orang pula oleh senjata lain. Jumlah ini dicatat oleh pemberita yang berada di tempat kejadian. Namun ramai pihak yang berpendapat bilangan sebenarnya adalah jauh lebih tinggi. Pada masa itu sebanyak 9143 orang telah ditangkap dan 5561 telah didakwa di mahkamah. 6000 orang kehilangan rumah tangga dan sekurang-kurangnya 211 buah kenderaan rosak dan musnah teruk dan 753 bangunan telah rosak dan terbakar ( Mohamad Idris Saleh 1994). Sesungguhnya kemalangan dan kemusnahan jiwa dan harta benda akibat daripada peristiwa tersebut haruslah menjadi panduan khususnya kepada pemimpin-pemimpin politik. Penekanan yang serius terhadap pendidikan nilai kewarganegaraan dan patriotisme perlu dititik beratkan agar menjadi satu sandaran kepada kekuatan sesebuah bangsa. Harus dijelaskan sebenarnya kewujudan isu-isu ini berikutan daripada rapuhnya nilai kewarganegaraan dan patriotisme dalam diri masyarakat Malaysia. Pemupukan Pendidikan Nilai Kewarganegaraan dan Patriotisme Dalam Pendidikan Sejarah Kepentingan nilai kewarganegaraan dan patriotisme sememangnya tidak dapat disangkal lagi dalam membentuk jiwa merdeka dan semangat jati diri yang tebal serta kukuh dalam diri

Pembelajaran Nilai Kewarganegaraan dan Patriotisme dalam Pendidikan Sejarah

17

seseorang warga. Sesungguhnya Pendidikan sejarah amat menitikberatkan nilai-nilai yang dapat memupuk semangat kewarganegaraan dan patriotisme. Nilai-nilai ini saling berkait rapat dan sentiasa memerlukan antara satu sama lain. Melalui pengertian dan penghayatan sejarah negara, semua usaha membina keperibadian bangsa Malaysia ditekan dan diberi keutamaan. Oleh itu beberapa nilai kewarganegaraan dan patriotisme perlu dipupuk agar Malaysia terus kekal menjadi sebuah negara yang aman dan makmur dan menjadi model terbaik sebagai negara yang berasaskan pelbagai kaum. Nilai-nilai kewarganegaraan dan patriotisme yang dapat dipupuk melalui pendidikan sejarah adalah seperti berikut: 1. Berbangga sebagai rakyat Malaysia Sebagai rakyat Malaysia hendaklah mempunyai berakhlak dan berbudi pekerti mulia dan berbangga menjadi rakyat Malaysia. Oleh itu peranan sebagai rakyat yang baik hendaklah mempunyai perasaan hormat kepada raja dan pemimpin Negara sebagai lambang perpaduan dan pentadbir kepada negara. Di samping itu, lambang-lambang negara sentiasa dihormati dan menjadi kekuatan semangat dalam diri sebagai rakyat yang mencintai tanah air. Lambang-lambang negara sentiasa disanjung dan dihormati seperti bendera, lagu kebangsaan, jata negara dan sebagainya. Rakyat Malaysia yang berbangga terhadap negaranya juga sanggup berkorban untuk menjaga dan mempertahankan maruah bangsa dan negara. Pastinya perlulah menghargai dan mengamalkan tradisi dan budaya bangsa agar tidak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas. Sesungguhnya pengertian tradisi budaya bangsa amat besar kepada pengekalan amanah kemerdekaan yang kita pikul sebagai rakyat Malaysia. Menurut Abd. Rahim Abd. Rasyid (1999) nilai kewarganegaraan dan patriotisme dalam pendidikan sejarah menanamkan perasaan banggsa terhadap diri, bangsa dan negara. Malah membangkitkan semangat dan kekuatan psikologi dan moral dengan mengukuhkan lagi patriotisme dan nasionalime bangsa kita untuk dicontohi oleh generasi akan datang. 2. Bersemangat setia negara Semangat setia negara perlu dipupuk dalam diri setiap warganegara. Warganegara yang mempunyai semangat setia negara perlulah taat dan setia kepada raja dan pemimpin negara. Malah sentiasa bersedia untuk berkorban demi bangsa dan negara tercinta.

Pembelajaran Nilai Kewarganegaraan dan Patriotisme dalam Pendidikan Sejarah

18

dengan adanya semangat kecintaan dan setia yang menebal ini pastinya akan membangkitkan rasa tanggungjawab yang jitu kepada bangsa dan negara Malaysia. Perasaan berani perlu dididik sejak kecil lagi demi mempertahankan kedaulatan negara. Seorang warga yang mempunyai nilai kewarganegaraan dan patriotisme juga perlu peka kepada masalah dan isu tentang bangsa dan negara. 3. Bersemangat kekitaan Pemupukan nilai kewarganegaraan dan patriotisme juga dapat dipupuk dalam setiap warganegara dengan menanamkan semangat kekitaan dalam diri mereka. Agar dapat hidup bersatu padu dan berharmoni walau hidup dalam pelbagai kaum dan agama. Semangat kekitaan juga hendaklah turut disulami perasaan tolak ansur dan bertoleransi agar sama-sama membentuk satu benteng yang teguh bagi mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara. Sudah tentunya kerjasama dan tolong menolong pasti akan memperkukuhkan lagi semangat kekitaan dalam setiap komuniti masyarakat yang digelar sebagai rakyat Malaysia. Begitu juga dalam mempertahankan kemerdekaan yang telah tokoh-tokoh silam perjuangkan anggota dalam masyarakat hendaklah hidup secara bersefahaman dan bermuafakat serta saling hormat-menghormati antara lain. Sesungguhnya semangat kekitaan inilah yang akan menentukan hala tuju jatuh bangun sesebuah negara. Hubungan kekitaan dalam masyarakat menggerakkan hasrat yang sama dan negara bangsa menjadi fokus dan matlamat akhirnya. Terdapat penulis-penulis sejarah mencadangkan apa jua tindakan patriotik, ia dimotivasikan oleh keprihatinan kebaikan untuk negara. Dapatlah dirumuskan disini kewarganegaraan dan patriotisme adalah perasaan sayang dan bangga yang menebal kepada negara, keinginan untuk menyokong negara dan mempertahankan keagungan menjadi pegangan seorang patriot. 4. Berdisplin Di samping itu, warganegara sesebuah negara hendaklah mempunyai disiplin yang ampuh dalam usaha untuk mengekalkan kedaulatan negara. Sebagai warga yang berdisiplin hendaklah mempunyai semangat untuk mempertahankan dan menjunjung perlembagaan negara yang telah dibentuk sebagai satu perlembagaan untuk menjaga

Pembelajaran Nilai Kewarganegaraan dan Patriotisme dalam Pendidikan Sejarah

19

kepentingan semua warganegara Malaysia. Peraturan dan undang-undang negara juga hendaklah sentiasa dipatuhi agar hidup lebih berdisiplin dalam sama-sama untuk memajukan negara. Lebih-lebih lagi untuk mencapai sasaran wawasan 2020 sebagai sebuah negara maju dalam pelbagai aspek samada dari aspek ekonomi, politik, sosial dan turut untuk melahirkan proses modal insan. Sebagai sebuah negara timur yang ingin mengekalkan ciri ketimurannya maka

mantan Perdana Menteri Tun Mahadir Mohammad telah melancarkan Dasar Pandang ke Timur. Dasar ini selain bertujuan untuk mencapai kemajuan tapi juga ingin melihat agar setia warganegara mengekalkan ciri-ciri ketimuran seperti mempunyai nilai kesopanan dan ketatasusilaan. Sesungguhnya setiap rakyat Malaysia perlu berkelakuan sopan dan bertatasusila mulia dan pasti akan melahirkan warganegara yang bertanggungjawab. Untuk mencapai matlamat ini jugalah maka sikap adil dan bertimbang rasa amat perlu supaya segala impian dan matlamat negara akan berjaya dicapai. 5. Berusaha dan produktif Pemupukan nilai kewarganegaraan dan patriotisme juga boleh dilakukan dengan adanya semangat berusaha dan produktif. Setiap rakyat Malaysia hendaklah berusaha dengan rajin dan gigih untuk mencapai matlamat dan impian. Malah semangat berdikari juga mampu untuk memupukkan nilai-nilai murni dalam jiwa seseorang. Malah untuk mencapai harapan tersebut setiap warga perlu untuk mempertingkatkan usaha dan tabah untuk menghadapi cabaran pada masa akan datang. Seperkara lagi yang perlu ada ialah sentiasa menyokong dan melibatkan diri dalam usaha pembangunan negara.

Pembinaan Nilai Kewarganegaraan dan Patriotisme Melalui Pendidikan Sejarah Sejarah merupakan peristiwa yang telah berlalu. Namun sebenarnya sejarah adalah catatan manusia atau perubahan yang berlaku kepada sejarah peradaban dunia. Perkara-perkara silam sebenarnya boleh menyedarkan kita betapa pentingnya pengalaman-pengalaman lalu atau sejarah sesebuah negara dalam membentuk suatu bangsa Malaysia. Oleh itu, pemikiran rakyat hendaklah disepadukan agar mempunyai semangat untuk mempertahankan negara walau apa jua sekalipun. Pengukuhan nilai kewarganegaraan dan patriotisme dilihat boleh menyemarakkan lagi tanggungjawab sebagai warga yang merdeka dan berbangga sebagai

Pembelajaran Nilai Kewarganegaraan dan Patriotisme dalam Pendidikan Sejarah

20

rakyatnya. Sekira berlaku pencerobohan ataupun peperangan misalnya akan membawa kepada pembentukan satu barisan hadapan yang berani berjuang untuk mempertahankan kedaulatan negara yang tercinta. Negara tempat tumpah darah kita ini. Dengan semangat nilai kewarganegaraan yang ditanam kukuh dan menebal dalam jiwa dan tersemat kukuh di sanubari pasti akan menjadi kekuatan untuk menghapuskan musuh negara. Warganegara dan patriotisme juga mempunyai semangat kekitaan atau dalam konteks yang lebih luas ialah semangat kenegaraan. Konsep ini secara tidak langsung menjelaskan pembentukan sebuah masyarakat yang adil dan kekayaan negara dapat dinikmati bersama oleh rakyat dengan cara seimbang dan jurang perbezaan antara kaum dapat dielakkan. Situasi begini akan dapat mengelakkan berlakunya ketidaktenteraman dalam negara lantaran terdapatnya perbezaan jurang yang besar antara masyarakat di negara kita. Peristiwa lampau seperti 13 Mei 1969 menjadi satu iktibar betapa jurang yang memisahkan antara kaum menjadi faktor kepada tercetusnya suasana anarki sebegini. Pendidikan sejarah di Malaysia berupaya untuk membentuk keperibadian unggul warganya berdasarkan kepada pengamalan nilai kewarganegaraan dan patriotisme yang kukuh dalam diri setiap anggota warganya. Keperibadian kebangsaan yang unggul adalah sangat penting dan menjadi asas kepada kewarganegaraan yang mantap. Sudah pasti akan memberi sumbangan yang bermakna kepada negara dalam bentuk apa jua sekalipun. Kebanggaan kita sebagai warganegara Malaysia hendaklah kita tunjukkan. Malah dunia mengakui kehebatan negara kita dalam pelbagai bidang. Zaman Kesultanan Melayu Melaka misalnya kehebatan Melaka diceritakan oleh Tome Pires setelah beberapa ketika pendudukan Portugis di Melaka menyebut penguasaan Melaka menjadi satu petanda kepada kemusnahan Venice. Ini bermaksud Melaka amat dikenali ketika itu sehingga ke benua Eropah. Malah seorang penulis Belanda iaitu Francis Valentyn pada tahun 1726 dalam Mohamad Idris (1994) mengatakan peranan Bahasa Melayu amat tinggi ketika itu dan menjadi bahasa antarabangsa. Malah sesiapa sahaja yang menetap di antara Perisa di sebelah barat dan Filipina di timurnya tetapi tidak boleh bercakap dan mengetahui bahasa Melayu maka akan dianggap sebagai seorang yang tidak berpelajaran ataupun uneducated. Bukti ini menunjukkan bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan dan perhubungan serta bahasa pertuturan bertaraf antarabangsa sebagai bahasa lingua franca. Ini turut membuktikan bahasa Melayu yang kita gunakan sekarang merupakan bahasa yang

Pembelajaran Nilai Kewarganegaraan dan Patriotisme dalam Pendidikan Sejarah

21

sangat terbilang suatu ketika dulu. Oleh itu, kita sebagai warganya hendaklah berbangga dan bertekad untuk menanam semangat untuk mengembalikan kegemilangan tersebut. Namun dengan syarat penekanan nilai kewarganegaraan dan patriotisme harus menjadi sebahagian daripada peribadi kita. Peranan Pendidikan Sejarah dalam Penerapan Nilai Kewarganegaraan dan Patriotisme Pendidikan sejarah merupakan asas penting dalam pembentukan bangsa yang merdeka. Sejarah bukanlah matapelajaran yang hanya membincanglan perkara-perkara yang lepas semata-mata ataupun tentang orang yang telah mati tetapi banyak iktibar dan pengajaran yang boleh dijadikan sebagai panduan serta pedoman dalam meneruskan kehidupan. Malah menjadi faktor penting kepada pembentukan sesebuah negara yang merdeka. Pendidikan sejarah juga sebagai satu asas untuk terus melangkah ke depan dalam meniti kesukaran pembentukan negara bangsa. Bukan juga semata-mata untuk diingat tetapi perlulah kita mengempatikan diri dala situasi tertentu. Sesungguhnya sejarah dijadikan sebagai satu panduan dalam pembinaan semula sebuah bangsa dan negara. Menurut Burchardt (1986) Reflection on History menjelaskan sejarah merupakan satu aspek yang sangat penting untuk memaparkan perkara-perkara yang berkaitan perkembangan manusia dalam pelbagai aspek kehidupan samada ekonomi, sosial, agama mahupun politik. Sejarah turut menekankan peripentingnya pembinaan negara bangsa dan tokoh-tokoh terdahulu yang rela berkorban demi keagungan sebuah kemerdekaan. Melalui sejarah juga manusia dapat menggunakan sepenuhnya pemikiran mereka untuk membuat analisa, analisis dan mengembangkan potensi manusia untuk berfikir secara kreatif dan kritis. Jika dikaji dengan lebih mendalam ternyata sejarah turut merangkumi pelbagai aspek ilmu dan nilai. Aspek pertimbangan nilai dan moral turut diberi perhatian dalam pendidikan sejarah. Ini sebagai mana dimaksudkan oleh Butterfierld (1973) dalam Abd Rahim Abd Rasyid (1999) iaitu sejarah amat mementingkan aspek pertimbangan nilai dan moral. Pengaruh ilmu sejarah amat besar dalam menegaskan aspek ilmu kemanusiaan. Semuanya berkait rapat dengan kehidupan manusia seperti aspek budaya, ekonomi, politik, sosial dan sebagainya. Pada zaman era teknologi maklumat ini sejarah telah memainkan peranan yang penting untuk manusia. Ini jelas menunjukkan sejarah amat penting dan

Pembelajaran Nilai Kewarganegaraan dan Patriotisme dalam Pendidikan Sejarah

22

menuntut kepada kita untuk terus mendalami dan menekankan kepentingan pendidikan sejarah. Menyisihkan pendidikan sejarah dalam pendidikan negara sudah pasti memberi peluang kepada musuh negara untuk menumbangkan kembali keagungan yang telah tercipta. Bukan itu sahaja pendidikan sejarah turut memaparkan pelbagai perkara seperti kekejaman, kejatuhan, perkembangan dan keagungan sesebuah negara ataupun tamadun terdahulu. Di samping itu juga pendidikan sejarah menjelaskan dengan terperinci perkara-perkara yang berkaitan dengan imperialisme, kejahilan, kehancuran dan sebagainya. Keadaan ini sesungguhnya menjelaskan betapa pentingnya pendidikan sejarah dalam memberi gambaran dan menerangkan pelbagai perkara masa lampau yang boleh dijadikan tauladan dan pedoman. Betapa maklumat inilah yang dapat membentuk nilai kewarganegaraan seseorang yang berada dalam lingkungan kemerdekaan dan keamanan untuk terus mengekalkan keselesaan yang ada. Begitu juga seseorang atau serumpun masyarakat yang masih berada dalam penghinaan, penjajahan dan peperangan menuntut untuk mencapai tahap kewarganegaraan yang sebenar. Misalnya Situasi ini dapat dilihat penduduk Palestin yang berusaha untuk mendapatkan hak mereka di negara sendiri. Penerapan nilai kewarganegaraan dan patriotisme dalam pendidikan sejarah menjadi satu aspek wajib yang pasti ada dan tidak akan dapat untuk dihilangkan atau ditiadakan. Nilai ini sememangnya telah terpahat kukuh dalam jiwa sesebuah masyarakat yang memahami konsep kewarganegaraan dan patriotisme serta memandang kepentingan kedua-dua nilai ini.

Kepentingan Penerapan Pendidikan Nilai Kewarganegaraan dan Patriotisme

Nilai kewarganegaraan dan patriotisme berpotensi menjadi motivasi penting ke arah penglibatan identiti politik, sokongan dan penilaian kritikal terhadap kepimpinan dan dasar, mobilisasi sosial, pengurusan konflik dan penyelesaiannya dalam sesebuah negara. Negara bangsa yang terdiri dari sempadan wilayah kesan perjanjian, perang, konflik dan kolonialisme meninggalkan warisan untuk generasi akan datang untuk dijaga dan dipertahankan. Inilah cabaran kepada pemimpin untuk membangunkan patriotisme warganya kerana pengasingan, diskriminasi, persaingan antara dan dalam etnik mampu menggugatnya. Oleh itu menjadi hasrat kebanyakan negara bangsa untuk melahirkan satu masyarakat yang bersatu padu, satu identiti sosial dan semangat patriotisme yang mendalam. Johnson (1997)

Pembelajaran Nilai Kewarganegaraan dan Patriotisme dalam Pendidikan Sejarah

23

dalam Haminah Suhaibo (2007) merumuskan kepentingan patriotisme dalam sesebuah negara sebagai, Building a world that sustain human life for another years or more will require, among, other things, the generation of a more comprehensive patriotism (Johnson, 1997 ) Patriotisme digunakan sebagai mekanisme untuk menggalakkan rakyat bertindak sejajar dengan peristiwa sejarah sebab sejarah bukan sahaja sains tetapi juga keagungan tanah air dulu dan akan datang. Sejarah memaparkan kebenaran masa lepas (Carr 1962) melalui penganalisaan dokumen yang mampu membentuk kesedaran patriotik dan perpaduan kerana sejarah adalah aktiviti intelektual yang membolehkan analisa dan kritikan. i. Politik

Nilai kewarganegaraan dan patriotisme dapat membentuk identiti jiwa bangsa dalam diri masyarakat. Situasi inilah yang membawa kepada penekanan subjek sejarah diajar di sekolahsekolah. Pembelajaran sejarah di sekolah dapat membentuk dan melahirkan warganegara dan insan yang baik serta berwawasan tinggi. Malah semangat patriotisme dalam kalangan masyarakatnya semakin menebal demi untuk mengekalkan kemerdekaan sesebuah negara. Nilai ini jugalah yang akan dapat memberikan kekuatan dan menguatkan lagi ikatan perpaduan dalam sistem pemerintahan dan pentabiran negara. Nilai kewarganegaraan dan patriotisme juga akan menanamkan rasa bangga terhadap diri, bangsa dan negara. Sebagai warganya hendaklah berbangga mempunyai pejuang-pejuang kemerdekaan tanahair seperti Mat Kilau dan Tok Janggut yang menjadi wira kepada kemajuan yang kita capai pada hari ini. Tanpa mereka adalah amat mustahil kita mencapai kemajuan pada hari ini. Di samping itu, wujud juga kesedaran kebangsaan dalam diri masyarakat Malaysia. Pendidikan sejarah yang ditekankan pastinya melahirkan nilai kewarganegaraan dan patriotisme yang pastinya membangkitkan kesedaran kebangsaan dan menjadikan peristiwa-peristiwa silam sebagai iktibar dan panduan untuk masa depan.

Pembelajaran Nilai Kewarganegaraan dan Patriotisme dalam Pendidikan Sejarah

24

ii.

Sosial

Warganegara yang bersatu padu pasti akan dapat hidup dalam satu rumpun pelbagai yang kita namakan sebagai negara bangsa. Hasilnya Negara Malaysia berjaya dibentuk dengan rasminya pada 16 September 1963 yang merangkumi Semenanjung Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Namun akibat daripada nilai kewarganegaraan dan semangat patriotisme yang rapuh malah ketiadaan semangat patriotisme yang kuat Singapura telah dikeluarkan daripada Malaysia pada tahun 1965. Nilai ini juga dapat menunjukkan hasrat murni pendidikan negara ke arah integrasi kaum yang terdiri daripada pelbagai etnik namun dalam satu jiwa bangsa iaitu bangsa Malaysia. Kekuatan nilai kewarganegaraan dan patriotisme merupakan satu kewajiban yang perlu ada agar di sebalik keharmonian politik dalam sesebuah negara akan mewujudkan perpaduan sesebuah negara. Ini pasti memberi satu kelebihan kepada negara yang hanya mempunyai satu bangsa semata-mata. Namun Malaysia sebagai sebuah negara pelbagai kaum tidak menjadikan itu sebagai satu alasan untuk tidak mencapai perpaduan. Keutuhan nilai kewarganegaraan dan patriotisme dalam kalangan warganya menjadi satu senjata yang ampuh untuk membentuk sebagai sebuah negara yang merdeka. Sesungguhnya hasil nilai yang kukuh membawa kepada perpaduan nasional yang mengatasi bibit perpecahan, konflik yang mungkin disebabkan etnik, agama dan ideologi. Patriotisme perlu ditakrifkan semula sebagai faktor penyatuan masyarakat khususnya dalam era globalisasi. Walaupun pada dasarnya pemodenan dan kemajuan menjadi asas kepada negara Malaysia bagi menghadapi globalisasi tetapi ia masih memerlukan warisan sosial dan budaya untuk mempertautkan rakyat berbilang kaum. Halim Salleh dalam Haminah Suhaibo (2007) menyatakan bahawa tahun-tahun 1990an memperlihatkan nasionalisme dan patriotisme bercirikan Malaysia mula dikembangkan dengan ciptaan lambang dan simbol bercirikan Malaysia. Usaha ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mengembangkan patriotisme rakyat agar perpaduan dicapai selari dengan perkembangan kemajuan negara. iii. Ekonomi

Pembelajaran Nilai Kewarganegaraan dan Patriotisme dalam Pendidikan Sejarah

25

Nilai kewarganegaraan yang menebal dan semangat patriotisme yang utuh pasti akan membawa kepada kekuatan ekonomi sesebuah negara. Bilamana rakyatnya bersatu hati dalam menempuh perkembangan dunia tanpa sempadan kini. Penyatuan rakyat hasil nilainilai ini dapat memperlihatkan kesepakatan rakyat dalam membantu memperkembangkan ekonomi negara. Malah dalam kita menempuh saat sukar ketika kemelesetan ekonomi 1998 telah menampakkan penyatuan rakyat Malaysia tidak kira kaum dan ideologi bersama-sama bagi mempastikan ekonomi negara pulih sepenuhnya. Dengan adanya nilai-nilai ini kita juga telah berjaya melepasi saat sukar tersebut dengan jayanya. Tanpa adanya ikatan teguh nilai kewarganegaraan dan patriotisme sudah pasti kita gagal utnuk menangani masalah tersebut. Malah dengan adanya nilai kewarganegaraan dan patriotisme dalam diri masyarakat pasti akan dapat mengekalkan perpaduan nasional. Perpaduan nasional bolehlah ditakrifkan sebagai perpaduan dalam kalangan rakyat sesebuah negara. Ini pasti akan mewujudkan kestabilan, keutuhan dan ketahanan dalam sesebuah negara bangsa. iv. Negara bangsa Nilai kewarganegaraan dan patriotisme turut memberi sumbangan dalam

mempastikan negara bangsa Malaysia terus unggul dan tiada tandingannya. Pelbagai ujian telah berjaya ditempuhi oleh rakyat Malaysia khususnya seperti peristiwa hitam 13 mei 1969. Suasana ini telah mencetuskan satu titik tolak yang lebih ampuh tentang keperluan memahami kewarganegaraan dan patriotisme. Malah menjadi kepentingan kepada penerapan nilai-nilai ini sejak di bangku sekolah lagi. Pembentukan negara bangsa Malaysia juga menampakkan Malaysia dibentuk melalui perundangan dan bukannya peperangan maupun pertumpahan darah sebagaimana negara-negara lain di dunia. Situasi sebegini berlaku berikutan daripada semangat jati diri dan nilai kewarnagenegaran serta patriotisme yang diterapkan secara langsung melalui pendidikan sejarah. Perkembangan semasa menjadikan kajian tentang patriotisme perlu diberi perhatian. Cubaan kumpulan-kumpulan etnik untuk membebaskan diri mereka dari negara bangsa dan mewujudkan kerajaan sendiri menggambarkan betapa patriotisme bersifat negara perlu diwujudkan. Persaingan etnik, bahasa dan agama dalam negara bangsa mampu menimbulkan konflik yang memungkinkan usaha ke arah kuasa autonomi . Pemisahan Timur-Timor dari

Pembelajaran Nilai Kewarganegaraan dan Patriotisme dalam Pendidikan Sejarah

26

Indonesia dan perjuangan gerakan Moro di Filipina memperlihatkan negara bangsa mampu berhadapan dengan kemungkinan perpecahan. Oleh itu kebanyakan pemimpin beralih kepada usaha pembinaan bangsa dan patriotisme sebagai usaha penyatuan rakyatnya. Hubungan manusia dengan tanah air inilah yang menjadi fokus patriotisme (Kelman, 1997) dalam Haminah Suhaibo (2007) Kesimpulan Kekuatan bagi sesebuah negara bergantung kepada nilai-nilai murni yang ada dalam kalangan rakyatnya. Nilai kewarganegaraan dan patriotisme merupakan nilai yang begitu erat dan saling bergantungan antara satu sama lain. Tanpa nilai kewarganegaraan tiada maknanya nilai patriotisme begitulah sebaliknya. Kedua-dua nilai ini mesti disepadukan barulah dapat membentuk kekuatan kukuh dalam mempertahankan kedaulatan dan kemakmuran negara. Kepentingan nilai kewarganegaraan dan patriotisme tidak dapat disangkal dalam membawa kemajuan, keharmonian serta kemakmuran kepada negara. Nilai-nilai inilah yang wajib ada dalam diri setiap warganegara yang mengakui berada di tanah tumpah darahnya. Kekuatan dan kualiti sesebuah negara bergantung kepada semarak rakyatnya untuk bersama-sama mencapai kemajuan dalam bidang ekonomi, politik dan sosial tanpa mengira warna kulit. Adalah diingatkan kekuatan bangsa juga hendaklah berani mengakui sebagai satu bangsa untuk membentuk negara bangsa yang unggul. Kewajiban setiap warganya mengakui kepercayaan kepada tuhan, kedaulatan undang-undang, kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran perlembagaan dan kesopanan dan kesusilaan. Maka dengan adanya pegangan kukuh terhadap ideologi negara ini dan disulam indah nilai kewarganegaraan dan patriotisme yang ampuh adalah tidak mustahil Malaysia akan menjadi negara maju dalam tempoh yang direncanakan. Pendidikan sejarah ternyata menjadi satu agen penting yang memantapkan lagi nilai-nilai ini agar tidak akan terlerai lagi dan menjadi pegangan kukuh sebagai waris negara merdeka.

Pembelajaran Nilai Kewarganegaraan dan Patriotisme dalam Pendidikan Sejarah

27

Bibliografi Anon. 2007. Pendekatan Islam Hadhari:Membangun Modal Insan dan Tamadun Ummah (Ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) . Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Putrajaya. Abd Rahim Abd Rasyid. 1999. Pendidikan Sejarah : Falsafah, Teori dan Amalan. Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd. Kuala Lumpur. Barzun, Jacques.1991. Begin Here: The Forgotten Conditions of Teaching and Learning, The University of Chicago Press. USA Carr, H.E. 1962. What is History. MacMillan. London. Maximus Johnity Ongkili. 2007. Ucapan Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat Mengenai Perpaduan dan Khidmat Negara. Dewan Rakyat. Kuala Lumpur. Haminah Suhaibo. 2007. Penerapan Nilai Patriotisme Dalam Kalangan Pelajar Tingkatan 1 di Sekolah di Kuching. Tesis Phd. Tidak Diterbitkan. Universiti Malaya. Kerajaan Malaysia. 2006. Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Mengandungi Pindaan Terkini Akta 1260/2006. Mohd Salleh Lebar. 1988. Pembangunan & Kemajuan Pendidikan di Malaysia. Nurin Enterprise. Kuala Lumpur Primoratz, Igor. 2002. Patriotism. Humanity Books Primoratz, Igor & Pavkovic Aleksandar. 2008. Patriotism : Philosophical and Political Perspectives. Ashgate Publishing Ltd. Shahril Marzuki & Habib Mat Som. 1999. Isu Pendidikan di Malaysia : Sorotan dan Cabaran. Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd. Kuala Lumpur. Sharifah Alwiah Alsagoff. 1988. Sosiologi Pendidikan. Longman. Selangor. Viroli, Maurizio. 1995. For Love of Country : an Essay on patriotism and nationalism. Oxford University Press. London Rujukan Surat Khabar Berita Harian, 30 Jun 2002

Anda mungkin juga menyukai