Anda di halaman 1dari 10

1.

PENGENALAN

Tinggal tujuh tahun lagi negara Malaysia akan menyahut cabaran menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Integriti adalah selaras dengan cabaran keempat Wawasan 2020, iaitu budaya dan integriti untuk membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya, dengan para warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh dan ditunjangi oleh budi pekerti yang luhur. Menurut Kamus Dewan Edisi Baru (2005), integriti bermaksud kejujuran, keadaan sempurna dan utuh, keutuhan. Integriti secara umumnya ialah kualiti unggul yang wujud secara keseluruhan dan padu pada individu dan organisasi. Integriti berkaitan erat dengan etika. Ia adalah berlandaskan etika dalam tindakan sehari-hari. (Institut Integriti Malaysia dan Pelan Integriti Nasional, 2004).

Pelbagai pihak memberikan konsep mengenai integriti. Menurut Perdana Menteri kita, Dato' Sri Haji Mohammad Najib bin Tun Haji Abdul Razak, yang dipetik daripada akhbar Utusan yang bertarikh 21 Mac 2011, integriti perlu dilihat pada satu konsep yang holistik dan komprehensif secara semulajadi. Integriti jika dilihat dari maksud yang mendalam bermaksud seseorang yang boleh dipercayai, amanah, menolak rasuah dan penyalahgunaan kuasa, komited menjalankan tugas dan berpegang pada janji serta. Seperti contoh seorang pegawai kerajaan mereka perlu menjalankan amanah seperti yang ditetap dan dijanjikan dan mesti boleh dipercayai. Selain itu mereka akan melaksanakan kerja yang mempunyai kualiti yang sangat tinggi. Berdasarkan kata-kata Perdana Menteri kita, integriti merangkumi semua tingkah laku positif yang perlu ada oleh setiap individu dalam melaksanakan tugas-tugas seharian.

2.0

KEPENTINGAN INTEGRITI KEPADA GURU

Dewasa ini, semakin banyak isu-isu semasa yang melibatkan guru dilaporkan oleh media massa. Guru dahulu tidak sama seperti guru sekarang. Guru kini sudah semakin hilang sengatnya dimata masyarakat, dan ini berkait rapat dengan integriti dan menggambarkan kepentingan integriti pada warga guru. Integriti sangat penting kepada kita sebagai seorang guru. Hal ini kerana guru berintegriti dapat untuk mengelakkan guru daripada terlibat dengan penyelewengan dan rasuah. Guru yang berintegriti akan bertindak amanah dan tidak mengambil kesempatan supaya urusan yang dilakukan adalah secara tulus dan telus supaya tiada penyelewengan dan rasuah akan berlaku.

Selain itu, integriti penting kepada guru untuk melahirkan guru yang ikhlas dalam menjalankan tanggungjawab terhadap murid. Guru perlu mendidik semua murid-muridnya tanpa mengira latar belakang, sosioekonomi mahupun bangsa dan agama. Menurut Zahir Zainudin (2010), objektif Dasar Kanak-Kanak Negara iaitu setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk perkembangan holistik dari segi fizikal, kognitif, bahasa, sosio-emosi, sahsiah dan kerohanian. Guru yang ikhlas dan berintegriti tidak bersikap pilih kasih tetapi menerima murid-murid tanpa sebarang prejudis mahupun diskriminasi.

Integriti juga penting untuk melahirkan guru yang berkualiti supaya dapat menjamin kualiti perkhidmatan yang tinggi. Tugas guru bukan sahaja mengajar tetapi juga mendidik murid-murid. Guru perlu memastikan pencapaian akademik murid-muridnya meningkat sekaligus mengharumkan nama sekolah dimata umum. Di samping itu, sahsiah murid juga tidak ditinggalkan begitu sahaja. Guru yang berintegriti turut membantu membentuk sahsiah murid untuk menjadi murid yang jujur, amanah, ikhlas, patuh kepada peraturan, yakin diri sekaligus membentuk dan melahirkan nilai-nilai integriti dalam diri murid tersebut.

Integriti juga penting kepada kita sebagai guru untuk memberikan keyakinan dan kepuasan kepada ibu bapa dan murid. Guru yang berintegriti tidak seharusnya mengabaikan perkara-perkara remeh seperti tidak memeriksa buku latihan, tidak memberi kerja rumah yang mencukupi, menyemak buku latihan secara sambil lewa dan sebagainya. Oleh itu, guru perlu melakukan kerja dengan penuh teliti, tekun serta bersungguh-sungguh. Kepuasan kepada pelanggan iaitu ibu bapa dan murid merupakan kepuasan kepada guru juga.

3.0

CARA-CARA MENINGKATKAN AMALAN GURU YANG BERINTEGRITI DALAM KEHIDUPAN HARIAN

Umum mengetahui bahawa guru perlu memiliki sifat sopan santun dan bertolak ansur terhadap murid. Kesantunan guru terbahagi kepada tiga ciri iaitu kesantunan berpakaian, kesantunan tingkah laku dan kesantunan berbahasa. Kesantunan tingkah laku adalah tatacara bertindak atau gerak-geri guru ketika menghadapi sesuatu atau dalam situasi tertentu. Guru tidak sepatutnya menggunakan kedudukan mereka dengan mengambil kesempatan terhadap pelajar yang menjadi anak didik masing-masing. Contohnya seperti di sekolah, ada guru yang sewenang-wenangnya menjatuhkan hukuman terhadap murid mengikut budi bicaranya sendiri. Guru bertindak dengan melakukan penderan fizikal ke atas muridnya seperti memukul, mencederakan dan menyakiti murid sebagai hukuman akibat melanggar peraturan.

Dalam menangani masalah murid, guru sepatutnya mempunyai sifat sabar yang tinggi dan tidak mudah naik angin terhadap kesalahan yang dilakukan oleh murid. Guru juga perlu membuat keputusan dalam keadaan yang rasional dan tidak terlalu mengikut amarah atau terlalu mengikut nafsu. Apabila guru tidak menimbang baik buruk sesuatu keputusan atau tindakan yang diambil, maka terjadilah kes-kes penderaan murid seperti yang dilaporkan saban tahun. Malah lebih mengecewakan lagi apabila kes penderaan yang berlaku melibatkan kematian dan kecederaan yang parah terhadap murid. Guru perlu sedar bahawa
3

pelajar adalah manusia biasa yang memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar. Oleh itu murid patutlah mendapat layanan yang beradab.

Menurut Noriati A.Rashid (2010) sebagai penjawat awam, integriti guru membawa makna guru perlu melaksanakan amanah dan kuasa yang dipertanggungjawabkan menurut kepentingan umum. Guru tidak dibenarkan menggunakan kuasanya untuk kepentingan diri, keluarga atau kaum kerabatnya sendiri. Selain itu, setiap guru hendaklah mengelakkan diri daripada terlibat dengan kes seperti rasuah, pecah amanah ataupun penyelewengan. Sejak akhirakhir ini, semakin banyak isu mengenai penyalahgunaan wang dalam kalangan guru disiarkan dalam media massa. Antara contoh penyalahgunaan wang yang berlaku di sekolah adalah seperti memaksa murid membeli buku aktiviti tambahan untuk mendapatkan komisyen daripada pengedar, melakukan pembelian tanpa mengikut tatacara pembelian, guru mengutip yuran khas daripada pelajar tetapi tidak menyerahkannya kepada pihak sekolah dengan tujuan membelanjakan wang tersebut untuk kepentingan diri, guru tidak mengeluarkan resit bagi setiap pembayaran yang dilakukan murid dan banyak lagi.

Guru yang terlibat dalam penyalahgunaan wang biasanya mempunyai sikap tamak dan ingin hidup mewah. Sikap guru sebegini akan mencemarkan profesin keguruan. Guru haruslah menjalankan tugas dengan telus supaya kes seperti tidak akan berlaku. Setiap urusan kewangan perlu dicatatkan dan pengeluaran wang pelajar mestilah di dalam pengetahuan guru besar. Guru tidak boleh sewenang-wenangnya meminta duit daripada pelajar tanpa pengetahuan dan persetujuan daripada pihak pentadbir. Setiap bayaran juga perlu disertakan dengan resit yang sah. Selain itu, guru perlulah jujur dan tidak menggunakan walau satu sen pun duit pelajar untuk kepentingan dan keuntungan diri sendiri.

Selain itu, guru merupakan seorang pendidik bukan sahaja di dalam kelas tetapi juga di luar kelas dan luar sekolah. Sebagai ibu bapa kedua kepada murid, segala nilai dan tingkah laku guru menjadi contoh teladan kepada murid. Namun
4

begitu, ada juga guru yang mahu pelajarnya mempunyai sahsiah yang baik tetapi guru sendiri yang mempunyai sikap yang sebaliknya. Contohnya seperti guru yang melarang pelajar merokok di sekolah tetapi guru tersebut sendiri yang merokok di kawasan sekolah seperti di bilik-bilik yang tersembunyi dan juga di belakang kantin sekolah.

Sebagai seorang pendidik, guru perlu menjadi contoh dan teladan kepada para pelajar dalam pelakuan sehariannya supaya pendidik menjadi masyarakat yang dihormati dan disegani. Guru perlu menjadi role model bukan sahaja kepada anak didiknya tetapi juga kepada semua termasuk seluruh anggota masyarakat (Abu Bakar Nordin, 2003). Seseorang guru haruslah mempunyai jati diri dan pembentukan sahsiah yang bermoral sebelum mendidik murid menjadi seorang yang bermoral dan bersahsiah. Penerapan nilai murni dalam kalangan pelajar akan lebih berkesan dan bermakna apabila ia turut dihayati dan diamalkan oleh guru itu sendiri. Guru juga perlu menjaga kelakuan kerana gerak-geri kerana seorang guru sentiasa menjadi tumpuan walau ke mana sahaja dia pergi. Etika dan tatasusila profesion perguruan yang menjadi pegangan harus sentiasa difahami, dihayati dan diamalkan.

Sebagai seorang pendidik yang berintegriti, guru haruslah bersikap adil dalam mengajar dan tidak membezakan pelajarnya dengan memberi layanan yang baik kepada pelajar yang mereka suka sahaja. Selain itu juga, guru tidak boleh membezakan pelajar berdasarkan taraf hidup, kaum dan agama mereka. Contohnya seperti guru yang hanya memberi tumpuan dan perhatian kepada murid yang mempunyai taraf hidup yang tinggi dan berkedudukan dalam masyarakat. Murid-murid yang miskin dan mempunyai taraf hidup yang rendah diabaikan begitu sahaja. Sikap guru yang sebegini akan menyebabkan sebahagian murid berasa tidak dihargai dan murid akan hilang semangat dan keyakinan untuk belajar. Kesannya, murid ini akan terus ketinggalan dalam pelajaran. Sebagai seorang guru, seharusnya guru mendidik diri sendiri dan pelajar agar tidak memandang
5

rendah terhadap sesuatu kaum atau golongan yang miskin. Setiap manusia berhak untuk mendapat peluang pendidikan yang sama rata. Selain itu, guru perlu bersikap adil dalam pengajarannya di sekolah seperti masuk ke kelas tepat pada waktunya, keluar kelas mengikut masa yang ditetapkan, tidak sepatutnya guru mengamalkan sikap curi tulang dan memberi ilmu pengetahuan kepada murid tidak berdasarkan kepada rupa paras , tahap kepandaian, latar belakang keluarga murid dan sebagainya. Guru juga perlu adil dalam memberi hukuman atau tugasan kepada setiap murid. Keadilan guru menjadikan para pelajar berasa selesa dalam menimba ilmu dan di situlah lahirnya pelapis bangsa yang adil dan berkualiti.

Cara terakhir yang dapat meningkatkan amalan guru berintegriti ialah guru harus sentiasa komited dan berdedikasi semasa menjalankan tugas masingmasing. Segala yang dilakukan oleh guru adalah demi kepentingan pendidikan pelajar, demi melahirkan generasi yang berilmu, berkemahiran dan berketrampilan. Guru perlu mengetepikan kepentingan diri serta berkhidmat dengan penuh jujur dan ikhlas. Contohnya seperti guru sanggup mengorbankan masanya untuk mengajar murid sehingga ada guru yang sanggup datang ke sekolah pada malam hari dan hujung minggu untuk mengadakan kelas tambahan.

Guru perlu lebih mengutamakan kebajikan pelajar daripada hal-hal lain dan membimbing pelajar di bilik darjah tanpa mengambil bayaran. Ia akan memberi gambaran kepada pelajar bahawa guru sanggup mengajar mereka terutamanya dalam kelas tambahan tanpa mengharapkan apa-apa balasan dan ini akan meningkatkan lagi martabat profesion perguruan di mata mereka. Selain itu, guru perlu menjalankan tugas mendidik ini dengan iklhlas tanpa perlu merungut. Guru mestilah memiliki pemikiran yang positif dalam menjalankan tugasnya iaitu menganggap pergi ke sekolah sebagai pergi ke medan jihad dan kerja mengajar sebagai suatu ibadat tanpa sebarang rungutan.

4.0

KESIMPULAN
6

Guru merupakan insan yang menjadi nadi dan ejen perubahan kepada masyarakat. Tugas guru sejak dari dahulu lagi bukan sekadar hanya menyampaikan ilmu pengetahuan di dalam bilik darjah semata-mata malah guru turut bertindak sebagai nadi penggerak kepada pembinaan ciri individu yang berketrampilan tinggi, unggul dan jitu. Guru yang hebat dari segi kualiti mampu membantu negara melahirkan generasi masa hadapan yang berkualiti tinggi dan berintegriti.

Pendidikan pada hari ini bukan lagi sekadar untuk mencelikkan mereka yang buta huruf dan buta angka, tetapi turut berperanan untuk mencelikkan murid yang buta IT, buta jati diri, buta budaya, buta nilai, budi bahasa dan adab sopan. Pendidikan tidak mencukupi dengan hanya menyiapkan murid dengan ilmu pengetahuan berbentuk teori semata-mata, tetapi pendidikan kini berkehendakkan murid mempunyai kemampuan berfikir di luar kotak serta kemahiran interpersonal yang tinggi bagi menjamin kebolehpasaran serta kebolehan hidup bermasyarakat.

Ekoran itu, guru yang berintegriti perlu memastikan diri mereka lengkap dengan segala kemahiran dan pengetahuan untuk mendidik para pelajar mereka. Guru perlu berfikiran global dan bertindak secara terarah dengan menjadikan bidang keguruan sebagai wadah untuk membentuk warganegara dengan ciri-ciri individu dan masyarakat bangsa Malaysia. Adalah menjadi harapan masyarakat para guru memainkan peranan membentuk jati diri murid yang kukuh, berdaya saing, berkeyakinan tinggi dan berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai sejagat seterusnya menjadikan anak didik sebagai warganegara glokal yang mampu bersaing seiring dengan kepesatan dunia. 5.0 BIBLIOGRAFI

Abu Bakar Nordin & Ikhsan Othman (2003). Falsafah Pendidikan dan Kurikulum. Tanjong Malim: Quantum Books, 2003. Kamus Dewan Edisi Keempat (2005). Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. 7

Nillsen (2004). Asas Kepimpinan dan Perkembangan Profesional. Selangor, Oxford Fajar. Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying & Wong Kiet Wah (2010). Asas Kepimpinan dan Perkembangan Profesional Guru. Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Syed Ismail Syed Mustapa & Ahmad Subki Miskon (2013). Asas Kepimpinan & Perkembangan Profesional (Edisi Kedua). Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd

Mazilah Musa, Izal Arif Zahrudin & Suzanna Che Moin. (2005). Etika Dan Integriti Di Malaysia : Isu Dan Cabaran. Kuala Lumpur : Institut Integriti Malaysia.

Eyes News. (2011). Negara perlu guru berkualiti tinggi Muhyiddin Utusan Malaysia. Himpunan Berita. Dilayari pada 22 Ogos 2011 di laman sesawang http://eyesnews.wordpress.com/2011/03/17/negara-perlu-guru-berkualititinggi-muhyiddin-utusan-malaysia/ Saifulizam Mohamad (2010). Integriti dan Generasi Muda. Diakses pada 30 ogos 2013 daripada http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0321&sec =Forum&pg=fo01.htm#ixzz2e8Ul6Pny

Institut Integriti Malaysia dan Pelan Integriti Nasional (2004). Budaya Etika Dan Integriti Membentuk Budaya Kerja Cemerlang. Diakses pada 29 Ogos 2013, daripada http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/budaya/6633-budaya-etika-dan-integritimembentuk-budaya-kerja-cemerlang.html Zahir Zainudin (2010) Dasar Kanak-Kanak Negara diakses pada 30 Ogos 2013 daripada http://zahirzainudin.blogspot.com/2010/03/dasar-kanak-kanaknegara.html

6.0

REFLEKSI
oleh : Ummu Fasihah Husna bt Zamri Syukur kehadrat Tuhan kerana dengan izin-Nya saya telah diberikan ruang dan

peluang untuk menyiapkan kerja kursus ini. Tugasan kerja kursus ini ialah berkaitan 8

dengan integriti dalam profesion keguruan. Sepanjang melaksanakan tugasan ini, pelbagai inisiatif telah saya dan rakan saya lakukan bagi mengatasi masalah-masalah yang saya hadapi. Antaranya termasuklah mencari bahan rujukan buku yang terdapat di perpustakaan sebanyak yang mungkin untuk mengumpul maklumat berkaitan tajuk tugasan yang telah diberikan. Bagi mempelbagaikan sumber dan bahan rujukan yang digunakan, saya juga telah meminjam dan menggunakan bahan rujukan buku daripada rakan-rakan saya. Dalam memastikan bahan rujukan yang saya gunakan adalah bersesuaian dan menepati kehendak serta dapat menjawab soalan, saya telah melakukan kolaborasi atau perbincangan dengan para pensyarah dan rakan sekumpulan dalam penulisan tugasan ini. Selepas berjaya menyiapkan tugasan ini sepenuhnya, saya telah berjaya mempelajari dan mengetahui beberapa pengetahuan yang baru berkaitan tajuk tugasan. Walaupun tajuk tugasan sudah pun dipelajari dalam sesi kuliah oleh pensyarah yang mengajar kami, namun pelaksanaan tugasan ini telah membantu meningkatkan dan menambahkan lagi pengetahuan sedia ada saya. Dalam erti kata lain, pelaksanaan tugasan ini dapatlah dikatakan sebagai sesi ulangkaji secara tidak langsung kerana dalam penulisan tugasan sebenarnya saya melakukan bacaan terhadap rujukan yang saya gunakan. Seseorang guru itu mestilah mempunyai nilai integriti yang teguh. Seorang guru yang berintegriti dikatakan mempunyai suatu kualiti yang dimiliki secara konsisten bagi mendokong prinsip moral tinggi atau tahap profesionalnya. Guru yang hebat dari segi kualiti mampu membantu negara melahirkan generasi masa hadapan yang berkualiti tinggi dan berintegriti. Justeru, untuk memastikan bakal guru mampu menjadi guru yang berkualiti, tugasan seperti ini mampu memberi pendedahan awal kepada bakal guru seperti kami dalam memastikan diri kami memiliki nilai-nilai dan ciri- ciri yang berintegriti. Akhir sekali, saya bersyukur kerana dapat menyiapkan tugasan ini dengan sempurna dan berharap hasil yang saya berikan menepati kehendak yang dikehendaki. Dengan siapnya tugasan ini ia memberikan saya satu dimensi baru mengenai mata pelajaran EDU3108 ini. Sekian, terima kasih.

REFLEKSI oleh: Teh Faezah bt Ishak

Alhamdulillah, dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya dapat saya siapkan tugasan ini dengan jayanya. Perkara ini amat membanggakan kami kerana
9

berjaya menyiapkan tugasan disamping perlu memberikan tumpuan kepada tugasan dan penulisan kajian tindakan. Hal ini kerana hasil kerjasama antara saya dan rakan Ummu Fasihah Husna yang berusaha untuk menyiapkan tugasan ini dengan sebaiknya Saya dan rakan telah membahagikan tugasan ini untuk memudahkan proses dan mempercepatkan tugasan yang dibuat. Masih terdapat satu lagi tugasan dan penulisan penyelidikan tindakan untuk dilaksanakan dan menuntut masa kami untuk menyiapkannnya. Setelah menyiapkan tugasan Asas Kepimpinan dan Perkembangan Profesional Guru, kami boleh menarik nafas lega kerana boleh menumpukan perhatian pada tugasan yang lain pula. Tugasan integriti ini amat berkaitan dengan kerjaya guru kerana sebagai penjawat awam, guru perlu berintegriti tinggi. Integriti yang tinggi melahirkan guru yang profesional terhadap tugas-tugasnya tanpa sedikit pun melakukan perkaraperkara negatif yang boleh mencalar imej keguruan. Guru yang berintegriti mampu beraksi dengan baik dalam bidang pendidikan sekaligus memberi kepentingan dan kebaikan kepada murid-murid, ibu bapa, sekolah, masyarakat mahupun negara Malaysia. Menjadi tanggungjawab seorang guru sebagai penjawat awam dapat memelihara integriti dengan penuh komitmen.sepanjang masa.

10