Anda di halaman 1dari 9

PERKEMBANGAN ISU BAHAN TAMBAH DALAM MAKANAN DI MALAYSIA Disediakan oleh : Nadrah bt Abdul Majid

Industri makanan berkembang dengan meluas dan pesat seiring dengan bertambahnya daya pengeluaran pelbagai jenis barang dan kaedah pengawetan. Syarikat pengeluar makanan kini menggunakan pelbagai jenis bahan kimia, enzim, perisa, aroma, bahan pewarna dan hormon dalam menghasilkan makanan. Menurut kajian oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), hampir 3000 bahan penambah makanan dan pengawet digunakan dalam makanan untuk meniru perisa asli, mewarnakannya agar kelihatan lebih asli dan segar atau mengawetnya supaya tahan lama. Bahan Tambah dalam makanan atau Aditif makanan adalah apa-apa bahan yang dimasukkan dengan sengaja ke dalam atau pada makanan dalam kuantiti kecil untuk mempengaruhi kualiti penyimpanan, tekstur, konsistensi, rupa, bau rasa, kealkalian atau keasidan makanan tersebut . Secara amnya, sumber aditif makanan adalah bahan yang selamat dimakan kerana berasal daripada bahan semulajadi seperti tumbuhan dan haiwan. Penggunaan bahan tambah dalam makanan atau aditif makanan telah menjadi amalan biasa sejak ratusan tahun dahulu. Aditif makanan ditambah ke dalam makanan melalui pelbagai cara untuk membantu mengawet, menyedapkan, mencampur, memekatkan atau mewarna makanan. Nenek moyang kita telah menggunakan garam untuk mengawet daging dan ikan serta rempah ratus untuk menyedapkan makanan. Sementara kuning telur selalu digunakan bagi tujuan mengadunkan air dan minyak. Cuka serta gula juga digunakan sebagai aditif makanan bagi mengawet buah-buahan dan membuat jeruk.

Namun begitu, mereka tidak mencampurkan sejumlah besar bahan kimia ke dalam pelbagai jenis makanan seperti yang dilakukan oleh pengeluar dalam industri makanan pada hari ini. Antara contoh bahan tambah dalam makanan termasuklah pengawet, pewarna dan perisa makanan, antipengoksida, dan kondisioner makanan.

Tujuan aditif makanan ditambah dalam makanan adalah untuk memanjangkan jangka hayat penyimpanan makanaan, meningkatkan kualiti makanan dan persembahan (tekstur, warna, rupa, rasa dan konsistensi), menambah keenakan makanan serta memberi pilihan kepada pengguna.

Satu kajian di New Zealand mendapati bahawa kanak-kanak dengan mudah menerima lebih daripada 150 dos bahan penambah yang berbeza-beza dalam sehari melalui makanan mereka bersama-sama dengan bahan penambah perisa lain yang tidak dikenal pasti pada label. Kesan jangka panjang yang kurang disedari dapat menyebabkan kanser dan mengangu proses badan yang normal. Sebagai manusia yang secara tabiinya memerlukan makanan untuk hidup perlu berasa bimbang tentang apa-apa yang di makan. Sebagai contoh, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-37 telah membincangkan Hukum Bahan Pewarna (Cochineal) Dalam Islam. Muzakarah telah bersetuju dan meluluskan penggunaan pewarna (cochineal) dalam makanan berasaskan kepada ukuran piawaian yang telah ditetapkan, tidak melebihi dari 0.003% - 0.006%. Berikut adalah keterangan bagi hokum Bahan Pewarna (Cochineal) dalam Islam. Cochineal ialah bahan pewarna yang diambil dari sejenis serangga kecil. Serangga ini direbus (menghasilkan warna merah perang) atau dipanggang dalam ketuhar panas (menghasilkan warna kelabu) atau atas kuali panas (menghasilkan warna hitam) dan kemudian dikeringkan. Lima (5) kilogram

serangga cochineal dapat menghasilkan satu (1) kilogram pewarna carmine. Cochineal berasal dari Amerika Tengah dan Mexico. Penggunaannya dalam makanan setelah diposterurkan amat sedikit iaitu dengan kadar 0.003% 0.006%. Penggunaan cochineal didapati boleh membunuh mikrob-mikrob yang beracun dan ia tidak merbahaya kepada manusia dan juga tidak memberi kesan sampingan. Mengikut pandangan Imam Malik dan Abu Hanifah dalam Hasyiah Ianah alTalibin, Juzu 1, halaman 89-90, penggunaan serangga ini adalah dibolehkan memandangkan ia merupakan jenis binatang yang darahnya tidak mengalir. Penggunaan serangga ini sebagai sumber bahan pewarna tidak mendatangkan bahaya kepada manusia dan ia tidak mempunyai bahan yang boleh memudaratkan. Berdasarkan kaedah asal di dalam hukum Islam di mana Asal setiap sesuatu itu adalah harus, maka ia boleh digunakan selagimana tidak mendatangkan mudarat dan dikawal.

Terdapat segelintir pengguna yang alah terhadap sesetengah aditif makanan. Namun demikian dengan penyataan aditif yang ditambah pada label, pengguna yang alah terhadapnya dapat mengelakkan dari memakan makanan yang mengandungi aditif tersebut. Antara aditif yang biasa dikaitkan dengan kesan sampingan dan alahan kepada pengguna adalah sulfur dioksida atau sulfit. Sulfit atau sulfur dioksida merupakan bahan pengawet yang biasa ditambah pada jeruk dan buah-buahan kering. Sulfur dioksida atau sulfit boleh menyebabkan serangan lelah yang teruk bagi sesetengah pengguna yang alah dengannya. Oleh itu penyataan "mengandungi

sulfur dioksida" diwajibkan sekiranya sulfit atau sulfur dioksida ditambah melebihi 10mg/kg dalam makanan. Aditif lain yang sering dikaitkan dengan kesan alahan adalah penambah perisa Monosodium glutamate (MSG). Kesan sampingan yang dikaitkan dengan penggunaan MSG digolongkan ke dalam Sindrom Restoran Cina. Ini kerana MSG sering digunakan dalam masakan dan hidangan di kalangan masyarakat Cina. Tanda-tanda sindrom ini termasuk panas badan dan rasa menggelenyar di tengkuk dan belakang badan serta perasaan tertekan di bahagian dada dan muka. Walau bagaimanapun, kajian saintifik gagal membuktikan kesemua kesan sindrom tersebut disebabkan secara langsung oleh MSG. Sebaliknya kesan sampingan buruk hanya dialami oleh pengguna yang alah terhadap MSG. Pernyataan "mengandungi Monosodium glutamate (MSG) sebagai perisa yang dibenarkan" wajib dinyatakan pada label makanan. penambah

Terdapat segelintir masyarakat yang masih tidak memahami dan keliru apa itu aditif makanan. Sesetengah orang percaya aditif makanan itu adalah sejenis bahan kimia dan merbahaya kepada kesihatan. seharusnya diharamkan penggunaannya. Dalam konteks sains makanan, perkataan bahan kimia tidak mempunyai maksud kerana udara, air, gula dan garam juga adalah bahan kimia seperti aditif makanan.

Perkara penting yang perlu diambil perhatian adalah kebanyakan aditif makanan yang digunakan boleh didapati secara semula jadi. Contohnya:

Pektin yang digunakan untuk memekatkan jem diperolehi daripada tumbuhan.

Lesitin yang digunakan untuk menghalang pengasingan makanan diperolehi daripada kuning telur.

Aditif semula jadi yang lain termasuk karamel sebagai pewarna, vitamin C sebagai antipengoksida, agar daripada rumpair laut sebagai penstabil.

Salah faham mengenai aditif makanan telah membuat pengguna lebih tertumpu kepada mengelakkan aditif makanan lebih daripada mengamalkan diet yang seimbang. Aditif makanan seharusnya tidak dikelirukan juga dengan bahan pencemaran (kontaminan). Bahan pencemaran adalah bahan yang tidak ditambah secara sengaja dalam makanan seperti logam berat, residu racun perosak dan drug veterinar. Kementerian Kesihatan bertanggungjawab mengawal dan meluluskan penggunaan aditif dalam makanan. Oleh kerana penggunaan aditif digunakan secara meluas dalam makanan kawalan ketat terhadap penggunaan aditif amatlah penting. Hanya aditif yang sesuai dan selamat saja yang boleh ditambah pada makanan. Penggunaan aditif makanan hanya dibenarkan dalam makanan tertentu sahaja dan kadar maksimum adalah ditetapkan seperti yang disenaraikan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985. Kementerian Kesihatan hanya meluluskan aditif makanan untuk kegunaan dalam makanan apabila terdapat bukti kukuh bahawa aditif makanan tersebut tidak mendatangkan kesan bahaya kepada kesihatan manusia hasil dari penggunaannya. Pada masa yang sama Kementerian Kesihatan menjalankan program pemantauan yang berterusan bagi memastikan penggunaan aditif makanan mematuhi kadar yang dibenarkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Pengguna dinasihatkan untuk selalu membaca label makanan sebelum membeli makanan. Bagi pengguna yang alah terhadap makanan atau aditif tertentu amatlah penting untuk membaca senarai ramuan pada label makanan dan mengenal pasti makanan atau aditif yang perlu dihindari yang boleh memberikan alahan.

Antara peranan yang perlu dimainkan oleh pengguna termasuklah : Membaca label sebelum membeli barang makanan. Membaca catatan ramuan pada label makanan dan memahakmi maklumat setiap bahan ramuannya. Membaca tarikh luput makanan. Mengenali perbezaan antara nutrient makanan dengan pengawet makanan. Mengetahui peraturan nutrient dalam hubungannya dengan peraturan atau Akta Makanan Malaysia. Mengetahui sumber setiap ramuan dan sumber bahan pengawet makanan. Mengenali bahan perisa dan pewarna asli (tulen) yang lebih baik bagi kesihatan daripada bahan tiruan (sintetik). Meminta maklumat lanjut daripada industri makanan dan bakeri jika ada ramuan dan bahan pengawet yang meragukan. Mendapatkan perundingan daripada mereka yang ahli dan membuat rujukan sebelum menbuat suatu kesimpulan yang mungkin tidak tepat. Bagi penganut Islam, mereka perlu merujuk Al-Quran dan Hadis agar makanan yang haram, halal dan makruh serta syubhah dapat dipastikan.

Secara analoginya, bahan penambah makanan diibaratkan sebagai bom jangka bahan kimia. Bahan ini sedikit sebanyak member impak kepada kesihatan tubuh. Namun begitu, perkara ini masih tidak dihiraukan oleh pengguna. Kesimpulannya, memahami dimensi kepenggunaan yang jelas pada masa ini amat penting bagi setiap pengguna. Hal ini mampu menjadi asas pegangan dalam mendepani cabaran semasa. Kesedaran dalam kalangan masyarakat perlu diberi penekanan pada peringkat awal lagi, terutama kepada golongan muda dan kanak-kanak kerana merekalah yang akan menentukan corak kesihatan masyarakat pada masa hadapan.

Rujukan 1. (2011). Norrani bt Eksan. Aditif Makanan:Apa yang perlu anda tahu http://www.myhealth.gov.my/v2/index.php/pemakanan/keselamatan-akualiti-makanan/aditif-makanan

2. (2013). Khalilah Haris. Bahaya Bahan Pemanbah Makanan. Dewan Kosmik. Dewan Pustaka. Kuala Lumpur.

3. (2011). Aditif Halal


http://www.halal.gov.my/v3/index.php/ms/aditif-halal

4. (1995) Hukum Bahan Pewarna (Cochineal) Dalam Islam


http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-bahan-pewarnacochineal-dalam-islam

5. Saranan dan cadanganhttp://studentsrepo.um.edu.my/2250/8/BAB_5.pdf

Anda mungkin juga menyukai