Jelaskan cara-cara untuk melahirkan penulis muda yang berkaliber di negara ini.
Sememangnya dunia sastera di negara ini tidak mendapat perhatian meluas terutama dalam jiwa remaja kita. Lihat sahaja suasana atau majlis pelancaran buku sastera sudah pasti muka-muka lama atau tokoh veteran sahaja yang menghadirinya tanpa ada wajah-wajah baru yang lebih berpotensi untuk menggantikan tempat penulis lama. Negara kita memang ketandusan penulis muda yang berkaliber terutama dalam penulisan sastera. Lantaran itu, pelbagai tindakan positif boleh dilaksanakan untuk melahirkan penulis-penulis muda ini. Langkah awal ialah kerajaan mewujudkan satu institusi pendidikan formal dalam penulisan. Penubuhan institusi ini boleh dikategorikan sebagai sebuah kolej atau universiti yang ditubuhkan khas untuk melahirkan penulis muda sahaja dalam pelbagai kategori penulisan. Remaja yang berbakat atau berpotensi dari seluruh negara akan dipilih dan menjalani pelbagai latihan formal dalam bidang penulisan sebagai persiapan awal mengasah bakar terpendam mereka itu. Maka, semakin cepat kerajaan menubuhkan institusi sebegini semakin pantaslah negara berupaya melahirkan penulis muda. Selain itu, satu skim ganjaran yang lebih praktikal harus diwujudkan untuk menarik lebih ramai generasi muda menyertai dunia penulisan. Setakat ini anugerah sasterawan negara tidak banyak membawa faedah kewangan kepada pemenangnya berbanding populariti dan status yang menyebabkan remaja tidak menganggap penulisan satu kerjaya berprospek tinggi. Bayaran hadiah yang lumayan bersama-sama ganjaran kewangan yang berpanjangan sudah pasti memudahkan penulis untuk terus berkarya selain mampu membuka minda remaja untuk melihat penulisan sebagai kerjaya era moden pula. Jelaslah, ganjaran kewangan yang tinggi berupaya untuk membentuk satu kelompok penulis muda yang besar di negara ini. Begitu juga dengan aktiviti kempen kesedaran tentang dunia penulisan harus dilaksanakan dengan meluas dan berpanjangan. Kempen ini cuba menyedarkan masyarakat betapa dunia penulisan penting kepada negara dan
masyarakat negara lalu menghakis persepsi bahawa penulisan hanya untuk golongan dewasa atau tua sahaja. Usaha melakukan kempen ini juga boleh memberi status atau imej yang lebih baik kepada dunia penulisan kerana kempen yang berterusan mencetuskan betapa kerjaya ini sesuatu yang diidamkan oleh masyarakat negara ini. Sesungguhnya, kempen yang begitu mudah tetapi efektif ini mampu membuka mata remaja tentang dunia sebenar penulisan yang penuh dengan glamor dan ketinggian intelektualannya. Malah, kerajaan perlu mewujudkan satu suasana yang sesuai untuk penulis muda ini berkarya terutama aspek penerbitan buku mereka. Pelbagai insentif seperti pengecualian cukai kepada bayaran royalti buku mereka atau mengurangkan cukai terhadap bahan-bahan pencetakan buku sudah pasti akan menimbulkan minat yang mendalam dalam diri penulis dan penerbit buku untuk menerbitkan karya mereka secara meluas. Penulis memerlukan suasana yang mampu melahirkan pelbagai idea buat mereka untuk berkarya dan ini merupakan salah satu daripadanya. Oleh itu, suasana yang baik amat penting buat penulis muda di negara ini untuk terus bernafas dan melahirkan karya agung mereka itu. Kesimpulannya, usaha melahirkan penulis muda di negara ini sesuatu yang harus dilaksanakan segera oleh semua pihak. Semakin lama kita melengahkan masa semakin sukarlah usaha untuk menambahkan jumlah penulis dinegara ini. Sikap lepas tangan dan bertindak dengan perlahan sering menjadi masalah besar kepada sebarang usaha perubahan yang hendak dicapai di negara ini. Peribahasa hendak seribu daya tak hendak seribu dalih menjadi peringatan betapa pentingnya usaha ini disegerakan.
SIAPA di kalangan generasi muda kita hari ini yang kenal akan nama seperti Usman Awang, A. Samad Said, Shahnon Ahmad atau Arena Wati? Nama-nama besar dalam dunia sastera ini cukup asing pada mereka. Malah generasi Internet, ipod dan komputer riba ini merasakan sastera tidak lagi penting dan tidak menyumbang apa-apa dalam kehidupan. Jadi, tidak hairanlah ruang yang diberikan untuk aktiviti sastera di negara ini semakin hari semakin sempit. Berbeza dengan masyarakat barat, karya-karya milik penulis besar seperti William Shakespeare terus disanjung hingga hari ini. Hasil karya tersebut terus dicari termasuk di kalangan generasi muda dan masih dijual secara meluas kerana ia terus diminati. Tetapi karya penulis lama kita yang bergelar Sasterawan Negara hendak dijadikan buku teks pun tidak layak. Seolah-olah Apabila seorang sasterawan itu meninggal dunia, hasil karyanya yang dianggap tidak ternilai turut dikuburkan bersama. Kamaruddin Siaraf (kanan) melancar Tabung Pembangunan Kegiatan Bahasa dan Sastera sempena sambutan Hari Pejuang Bahasa "152" di Dewan Bahasa dan Pustaka, baru-baru ini.
Jika ada yang mengingati sekalipun hanya oleh kelompok-kelompok kecil melalui majlis tidak rasmi. Adakah ini bermakna hasil karya tempatan semakin terpinggir? Jika hendak dikaitkan dengan budaya membaca, masyarakat kita suka membaca. Sebab itu kedai-kedai buku daripada jenama antarabangsa memenuhi setiap pusat membeli belah. Begitu juga dengan kedai-kedai kecil. Tetapi boleh dikatakan 99 peratus buku yang dijual diimport. Karya sastera penulis luar negara memenuhi rak pameran. Tetapi jangan tanya buku yang ditulis Arena Wati, Usman Awang, A. Samad Said atau Shahnon Ahmad. Sebabnya pasti anda akan mendapat tenungan yang tajam dari penjaga kaunter. Jawapannya juga pasti tidak ada. Jika ada sekalipun hanya beberapa naskhah sahaja. Senario ini memberi gambaran masyarakat kita hari ini tidak tahu menilai jerih payah golongan bergelar sasterawan ini. Sudah payah mereka berfikir, mencipta dan menghasilkan bahan untuk dikongsi dengan masyarakat tidak diberi layanan yang setimpal. Sebab itu golongan penulis di negara ini tidak mampu hidup senang apatah lagi bergelar jutawan seperti di Barat. Paling tinggi diberi anugerah bergelar datuk ketika usia memasuki senja. Hal-hal berkaitan diri dan kerja mereka sekadar dibincang melalui persidangan, seminar atau wacana yang terhad kepada kelompok tertentu. Kebelakangan ini media cetak juga semakin kurang memberi tempat kepada bahan-bahan bercorak sastera atau aktivitinya. Seminggu sekali dianggap memadai. Di media elektronik aktiviti berkaitan sastera ini langsung tidak dipeduli kecuali jika tetamu yang hadir adalah orang besar.
Mulai tahun ini juga pelajar sekolah akan mengkaji karya-karya seperti "Budak Rap", "Legenda Budak Setan" dan "Untuk Tiga Hari" yang hanya berkisar kepada kisahkisah cinta remaja. Hairan juga kenapa karya-karya mereka yang bergelar Sasterawan Negara tidak diberi keutamaan sebagai buku teks di sekolah. Sedangkan novel-novel mereka sarat dengan semangat perjuangan, patriotisme dan nilai-nilai hidup serta kaya dengan nilai kesusasteraan yang tinggi. Novel-novel Shahnon misalnya, banyak berkisar tentang kehidupan yang mampu mengajar generasi muda akan pentingnya menghargai apa yang mereka nikmati hari ini. Kerana ia hasil usaha dan kerja keras generasi dahulu. A. Samad Said pula banyak mengisahkan tentang hidup di zaman perang. Sementara karya-karya Usman Awang mampu meniup semangat perjuangan dan bersangkut paut dengan peristiwa besar negara. Adakah ini memberi gambaran bahawa sastera tempatan yang sarat dengan nilai kesusasteraannya semakin dipinggirkan? Sebaliknya, karya-karya moden yang lebih komersial diangkat semata-mata atas pertimbangan untung dan rugi. Atau masalah ini berpunca daripada para penggiat sastera itu yang menyifatkan diri mereka sebagai kumpulan elit yang hanya bergaul sesama sendiri ? Sebab itu aktiviti sastera hari ini dikatakan hanya membabitkan kelompok yang sama hingga menyebabkan ia tidak berkembang. Hanya mereka yang pakar dalam bidang ini dan mereka yang menggelar diri mereka sebagai penggiat sastera sahaja yang mampu menjawabnya.
TANGGUNGJAWAB sosial dan sejarah yang perlu dipikul oleh media dalam konteks penerbitan bahan sastera sebagai salah satu cara untuk membangunkan masyarakat dan negara disorot pada Diskusi Sastera dan Media. Diskusi anjuran Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, UPSI dengan kerjasama Persatuan Penulis Budiman Malaysia (BUDIMAN), turut melihat fungsi media secara praktikal dalam mengembangkan sastera sama ada melalui akhbar, majalah atau buku. Setiausaha Agung, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Syed Mohd Zakir Syed Othman, menganggap persoalan hubungan antara khalayak sastera dengan media dan masalah halaman sastera yang semakin mengecil sebagai isu serantau dunia sastera. Pertemuan dengan pengarang kreatif dari negara serantau seperti Thailand, Indonesia, Singapura dan Brunei Darussalam mendedahkan, masalah yang sedang sastera Malaysia hadapi turut berlaku di negara terbabit. Bagaimanapun, Malaysia masih bernasib baik kerana Berita Harian menyediakan ruangan Sastera setiap hari, manakala Dewan Sastera yang diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sejak 1970-an masih di pasaran, katanya pada dialog di Bangunan E-Learning, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, baru-baru ini.
Syed Mohd Zakir yang lebih dikenali sebagai SM Zakir melihat pengecilan ruangan sastera menunjukkan sastera tidak lagi menjadi komponen penting dalam dunia dagang dan pasaran bebas seperti yang pernah berlaku pada zaman sekitar kemerdekaan.
Sastera tidak lagi dilihat sebagai komponen yang dapat menarik keuntungan dan penerbitan karya kreatif dilihat tidak lebih daripada tanggungjawab sosial untuk memartabatkan bahasa ibunda atau rasmi sesebuah negara, katanya pada diskusi yang dipengerusikan Ketua Jabatan Bahasa dan Kesusasteraannya, Prof Madya Datuk Dr Mohd Rosli Saludin, Prof Madya Datuk Dr Mohd Rosli Saludin.
Bagaimanapun, beliau berharap sastera dan penerbitan karya kreatif dilihat sebagai tanggungjawab sejarah kerana hubungan antara media dengan dunia sastera sudah melalui sejarah yang panjang dan penting. Baru-baru ini, saya bertemu dengan editor majalah Kompas di Jakarta yang mengakui sastera tidak lagi menjadi komponen penting dalam aspek pasaran bagi majalah gergasi itu dan tidak dianggap sebagai tanggungjawab sosial. Hanya tinggal satu saja untuk menerbitkan karya sastera, iaitu tanggungjawab sejarah tetapi ia tidak boleh diremehkan kerana sastera menyumbang dalam sejarah perjuangan dan pengisian kemerdekaannya, katanya pada diskusi yang turut dihadiri Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, Prof Madya Dr Nor Azmi Mostafa dan Pengerusi Jawatankuasa Diskusi Sastera dan Media, Dr Abdul Halim Ali.
Pandangan Syed Mohd Zakir itu wajar diberikan perhatian dalam memastikan hubungan sastera dan media serta tanggungjawab sosial dan sejarah kembali diberi nafas segar tetapi khalayak sastera juga perlu mengambil kira realiti gerak kerja media yang lebih bersifat praktikal.
Justeru tidak hairanlah Diskusi Sastera dan Media itu turut membuka ruang kepada editor yang terbabit secara praktikal dalam meneruskan kesinambungan sastera sebagai tanggungjawab sosial dan sejarah, tetapi terikat kepada tuntutan keuntungan bagi membolehkan syarikat terus beroperasi.
Editor Sastera, Berita Harian, Salbiah Ani, ketika diminta mengulas pemilihan karya bagi terbitan dalam Berita Harian dan Berita Minggu menjelaskan baik pengarang berjenama mahupun pendatang baru diberi peluang kerana penekanan adalah
kepada mesej bukan pada status. Terus terang saya katakan bukan status penulis yang mempengaruhi pemilihan karya untuk terbitan dalam Berita Harian dan Berita Minggu. Karya penulis berjenama seperti Dr Fatimah Busu juga pernah saya tolak. Saya juga tidak mengamalkan kronisme. Silap jika penulis baru mengatakan mereka tidak diberi peluang, katanya.
Selain itu, pemilihan karya untuk terbitan dalam kedua-dua akhbar terbabit lebih bertumpu kepada karya yang mengetengahkan mesej yang baik dan tidak menggunakan teknik terlalu kabur sehingga menyukarkan pemahaman pembaca massa.
Justeru, Berita Harian dan Berita Minggu tidak membataskan ruangan Sastera untuk penggiat sastera tulen semata-mata kerana sokongan pembaca massa diperlukan bagi membolehkan halaman terbabit terus berdaya saing. Kami bergerak dari dana yang kosong dan dalam situasi semasa yang pembaca lebih cenderung kepada berita politik, ekonomi dan hiburan, saya sangat bersyukur ruangan Sastera mendapat dua halaman setiap hari. Beli dan bacalah akhbar untuk mengetahui bentuk karya pilihan editor. Pemberian halaman berdasarkan jumlah pembaca dan pendapatan yang dijana daripada halaman menyesakkan Editor Sastera. Faktor kos kertas dan keterbatasan ruang menjadikan iklan terlalu mahal. Berapa ramai penerbit buku sedia membeli iklan?, katanya.
Editor Dewan Sastera, Rozninah Abd Azib, membuat saranan serupa kepada pembaca bagi memastikan karya mereka mendapat tempat dalam majalah terbitan DBP kerana tanpa membeli dan membaca sukar penyumbang menilai bentuk karya yang menjadi pilihan. Betul apa yang dikatakan rakan seperjuangan saya, Salbiah Ani kerana tanpa membeli dan membaca akhbar atau majalah yang menjadi sasaran penulis, mereka
Pengurus PTS Litera, Asma Fadila Habib, berkata PTS Sdn Bhd (PTS) mengambil inisiatif dan mengembangkan sastera serta karya sastera kerana menyedari wujudnya ruang kosong dalam bidang penerbitannya. Oleh itu, kami mula mengkaji keperluan pasaran dengan memberi tumpuan kepada genre yang berasaskan kehendak pembaca generasi muda, tetapi pada masa sama tetap memperjuangkan bahasa. Kami mulakan dengan penerbitan novel dewasa dengan menekankan kepada pemilihan judul karya kreatif yang cenderung kepada Islam tetapi tidak terlalu ekstrim dalam penekanan kepada latar agamanya, katanya.
Kenapa peminggiran karya dan bahan sastera Melayu berlaku? Pada pandangan saya dalam hal ini, ada faktor yang menyebabkan terjadinya keadaan begitu. Faktor pendidikan negara amat mempengaruhi minda rakyat/ khalayak meminati karya sastera. Sistem pendidikan negara sendiri meminggirkan subjek sastera Melayu terutamanya apabila wujud pengasingan antara aliran sains, sastera, dan teknikal. Pelajar yang cemerlang diletakkan dalam aliran sains/ teknikal, manakala yang lemah dikelompokkan dalam aliran sastera. Kelompok/ kumpulan yang ini juga, mereka tidak mengambil subjek sastera Melayu sebab ada pilihan subjek lain. Dari segi persepsi khalayak/ pelajar dan di pihak penggubal dasar pendidikan negara, subjek kesusasteraan Melayu hanyalah untuk pelajar yang lemah atau dalam bahasa mudah untuk pelajar yang tak boleh ke mana. Tiada pilihan, maka di situlah ditempatkan mereka.