Anda di halaman 1dari 8

FARAH ATIKA BINTI ZULKIFLI

EDU 3109 GURU DAN CABARAN SEMASA

ESEI INDIVIDU : Sejauh mana pembantu guru dapat selesaikan masalah para guru di sekolah.

Jika dibandingkan proses pembelajaran zaman dahulu dengan zaman sekarang sudah banyak yang berbeza. Pendekatan yang diaplikasikan pada zaman dahulu kebanyakannya sudah tidak relevan lagi untuk digunakan pada masa sekarang. Ini kerana murid-murid, ibu bapa, dan persekitaran itu sendiri sudah banyak yang berubah seiring dengan kehendak peredaran masa. Sejujurnya, guru-guru pada masa kini ramai yang mengalami masalah dalam menguruskan kelas. Salah satu puncanya adalah bilangan murid yang berlebihan dalam satu kelas. Purata murid dalam kelas untuk sesebuah sekolah biasa adalah seramai tiga puluh hingga empat puluh orang murid. Jadi guru tidak dapat menumpukan perhatian terhadap keseluruhan kelas. Perkara ini dapat mengurangkan kualiti pengajaran dan pembelajaran seseorang guru tersebut. Guru-guru sering dilihat mengalami tekanan apabila melibatkan hal murid di sekolah. Murid zaman siber tidak sama dengan murid sepuluh hingga lima belas tahun yang lalu. Sekiranya murid dahulu mudah menerima sebarang nasihat, murid kini perlu diingatkan berkali-kali tentang buruk baiknya sesuatu perkara itu. Kecenderungan untuk hidup berdikari mempengaruhi murid zaman sekarang untuk membuat keputusan sendiri tanpa berfikir panjang. Inilah puncanya disiplin murid zaman kini tidak lagi terbendung. Pengaruh dunia tanpa sempadan iaitu internet menjadikan murid zaman sekarang semakin berani mencuba pelbagai perkara. Guru-guru perlu menghadapi masalah seperti ini setiap hari mereka ke sekolah. Bukan sahaja perlu mengendalikan masalah murid kurang cemerlang, malahan perlu membentuk sahsiah mereka yang sepatutnya dididik dari rumah. Cadangan Tan Sri Abdul Rahman Arshad; tokoh akademik, untuk mewujudkan pembantu guru bagi setiap kelas merupakan satu idea yang bernas untuk digunapakai oleh setiap sekolah. Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran [SPP], Tan Sri Abdul Rafie Mahat pula berkata jawatan pembantu guru perlu diwujudkan bagi meringakan beban guru sekolah yang juga terpaksa melakukan kerja-kerja pentadbiran dan pengkeranian. Katanya lagi, masa berkualiti antara guru dan murid dapat dipertingkatkan bertepatan dengan usaha memperkasakan perkhidmatan pelajaran serta memartabatkan lagi profesion keguruan pada zaman sekarang. Dengan adanya pembantu guru ini, guru juga dapat menumpukan perhatian kepada aktiviti pembelajaran pelajar dan perkembangan pedagogi murid.

FARAH ATIKA BINTI ZULKIFLI


EDU 3109 GURU DAN CABARAN SEMASA

Tugas guru kini bukan lagi mudah seperti yang diuar-uarkan selama ini. Profesion keguruan semakin hari semakin mencabar dengan wujudnya peraturan-peraturan yang mengawal setiap pergerakan guru dari bertindak sesuka hati. Baru-baru ini dapat kita baca di akhbar yang mana guru tidak lagi dibenarkan merotan murid atas apa kesalahan sekalipun. Perkara ini dianggap tidak relevan oleh sesetengah pihak kerana tujuan guru merotan adalah untuk mendidik. Berikutan perkara ini, tugas guru untuk mendidik menjadi lebih berat. Mengajar tanpa memberi dendaan bukanlah tidak memungkinkan murid itu berjaya, namun dendaan seperti inilah yang dapat membantu mereka untuk lebih berjaya dengan lebih cemerlang. Disiplin dan sahsiah juga dapat dibentuk dengan lebih mudah dari menegur menggunakan lidah sahaja. Idea untuk menggunakan pembantu guru ini merupakan satu langkah bijak oleh kerajaan dalam usaha melahirkan modal insan yang berkualiti. Pembantu guru dapat membantu guru sedia ada dalam menguruskan hal-hal pentadbiran seperti kehadiran murid, pembayaran yuran sekolah, rekod pencapaian murid dan lain-lain lagi. Jadi guru yang mengajar dapat menumpukan sepenuh perhatian dalam pengajarannya dan menyampaikan PnP yang lebih berkesan. Tugas guru menjadi lebih ringan tanpa perlu dibebani dengan halhal pentadbiran lagi. Tidak dapat disangkal rata-rata guru yang memegang jawatan sebagai guru kelas khususnya cenderung untuk menghadapi stress atau tekanan emosi berikutan lebihan kerja. Tekanan emosi sememangnya berlaku kerana guru berhadapan dengan pelbagai tanggungjawab yang diamanahkan oleh pihak pengurusan selain tuntutan kerja yang wajib ditunaikan iaitu PnP dalam kelas. Dalam masa memenuhi tuntutan kerja yang wajib, guru sentiasa berhadapan dengan halangan, perselisihan faham dengan rakan sekerja dan mengejar masa melengkapkan kerja. Sekiranya perkara-perkara ini tidak diatasi dengan baik, maka mereka akan mula merasakan tekanan yang melampau yang boleh mempengaruhi prestasi di tempat kerja. Berdasarkan Kyriacou [2000], stres guru merujuk kepada pengalaman guru terhadap emosi yang tidak diingini seperti tekanan, kekecewaan, kebimbangan, kemarahan, dan kemurungan akibat daripada tugasnya sebagai seorang guru. Maka, stres merupakan tindak balas fizikal yang biasa terhadap sesuatu perkara atau peristiwa yang boleh menyebabkan ketidakseimbangan berlaku. Oleh sebab yang demikian, pembantu guru merupakan satu alternatif yang terbaik dalam mengelakkan guru dari mengalami stres yang terlampau.

FARAH ATIKA BINTI ZULKIFLI


EDU 3109 GURU DAN CABARAN SEMASA

Murid-murid memerlukan perhatian sepenuhnya dari guru tidak semestinya dari aspek akademik tetapi dari keseluruhannya. Guru perlu bijak memerhati setiap perubahan yang berlaku pada anak muridnya. Sekiranya terdapat lima puluh orang murid dalam satu kelas, guru perlu sentiasa peka dengan setiap pergerakan muridnya. Bayangkan jika seorang guru itu menghadapi masalah tekanan emosi yang menyukarkan beliau untuk menumpukan perhatian terhadap kelas, bukankah perkara ini mengundang kepada penghasilan murid yang kurang berjaya? Tidak dapat dinafikan guru juga manusia biasa, tidak terlepas dari masalah dunia. Tidak semestinya masalah yang dihadapi datangnya dari pihak pengurusan. Kadangkala guru juga menghadapi masalah peribadi sehingga mengakibatkan kawalan emosi terganggu. Ada masa-masa tertentu guru tidak dapat menjalankan tugas dengan sempurna. Jadi dengan adanya pembantu guru diharapkan masalah ini dapat dikurangkan. Tetapi ini bukan bermaksud semua beban jatuh ke tangan pembantu guru. Guru asal sepatutnya lebih peka dengan tanggungjawabnya untuk tidak membebankan pembantu guru dengan perkara yang tidak sepatutnya. Mereka mungkin boleh membantu dalam meringankan beban seperti menjadi tutor kepada murid-murid. Pendekatan seperti ini dapat membantu murid-murid dalam proses pembelajaran mereka. Konsep pembantu guru ini sama seperti pembantu makmal sains di mana mereka ditugaskan untuk memudahkan tugas guru dalam membuat persediaan sebelum PnP bermula. Sebagai contoh, guru mata pelajaran Sains ingin menjalankan ekseprimen di dalam makmal dan memerlukan bahan dan alatan yang diperlukan bagi tajuk hari itu. Jadi pembantu makmal akan menyediakan semuanya sebelum kelas bermula. Perkara ini dapat membantu guru memperuntukkan masa dengan baik. Masa PnP tidak akan terbuang dengan menyediakan bahan dan alatan sebaliknya guru boleh terus menjalankan ekseprimen sebaik masa PnP bermula. Begitu juga perkara ini diaplikasikan kepada pembantu guru bagi mata pelajaran yang lain. Walaupun tidak perlu menyediakan bahan untuk eksperimen, mereka bertanggungjawab dalam menjaga hal kebajikan murid. Contohnya apabila berlaku kemalangan di dalam kelas, pembantu guru boleh membantu murid tersebut untuk dibawa ke bilik sakit tanpa guru perlu meninggalkan kelas. Situasi seperti ini perlu diambil serius kerana kemalangan boleh berlaku di mana-mana sahaja dan guru tidak seharusnya meninggalkan kelas untuk menguruskan perkara-perkara seperti itu. Banyak kemungkinan boleh terjadi sekiranya guru keluar meninggalkan kelas ketika itu. Murid-murid sekolah rendah bukanlah seperti pelajar sekolah menengah yang boleh berfikir baik buruk sesuatu perkara. Mereka mungkin boleh bermain dengan objek tajam ketika ketiadaan guru dan boleh mengakibatkan berlakunya satu lagi kemalangan. Guru perlu bertanggungjawab atas setiap perkara yang terjadi semasa waktu pengajarannya tidak kira sama ada perkara itu disengajakan atau tidak. Pentingnya seseorang pembantu guru dapat

FARAH ATIKA BINTI ZULKIFLI


EDU 3109 GURU DAN CABARAN SEMASA

dilihat semasa situasi-situasi seperti ini berlaku. Mereka dapat membantu guru dalam pelbagai aspek. Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia [NUTP], Lok Yim Peng, menegaskan dalam keratan akhbar Berita Harian bertarikh 14 Disember 2010 bahawa guru pembantu boleh membantu guru di bilik darjah, tetapi tugas mereka tidak boleh bertindih, contohnya jika lebih tertumpu kepada tugas perkeranian dan pengurusan program teknologi maklumat dan komunikasi. Perkara ini diusulkan supaya guru-guru disekolah tidak mengambil kesempatan terhadap tugas pembantu guru yang ingin diwujudkan. Sistem pendidikan di negara kita sentiasa digubal supaya setanding dengan arus peredaran masa. Jadi, guru-guru juga perlu lebih peka dengan persekitaran sekeliling yang memerlukan mereka menjadi tenaga pengajar yang lebih efisien. Jawatan pembantu guru ini hanyalah sekadar pemudahcara bagi guru-guru untuk lebih fokus terhadap bidang yang diceburi. Kerja-kerja perkeranian dan sebagainya yang selama ini ditanggung oleh guru boleh menjejaskan kualiti pengajaran seseorang guru itu sendiri. Oleh itu, adalah wajar bagi kerajaan untuk mewujudkan posisi pembantu guru dalam menyelesaikan masalah yang sering dihadapi guru pada zaman sekarang. Secara keseluruhannya, cadangan ini merupakan satu alternatif yang baik dalam membantu para guru menghadapi situasi di tempat kerja. Berdasarkan kajian yang telah dijalankan melalui undian Sistem Pesanan Ringkas [SMS] yang dijalankan oleh unit berita stesen te;evisyen swasta NTV7 bertarikh 20 Jun 2009 mengenai kewajaran mewujudkan jawatan pembantu guru menunjukkan 67% bersetuju dengan cadangan tersebut manakala 37% lagi tidak bersetuju. Hasil tinjauan ini membuktikan bahawa masyarakat luar khususnya dari kalangan guru amat menyokong idea untuk menempatkan dua guru dalam kelas yang mempunyai ramai murid walaupun Kementerian Pelajaran belum mencapai kata sepakat untuk melaksanakan cadangan ini. Ini menunjukkan bahawa cadangan ini diterima baik oleh semua pihak.

FARAH ATIKA BINTI ZULKIFLI


EDU 3109 GURU DAN CABARAN SEMASA

REFLEKSI INDIVIDU : Tuliskan satu refleksi tentang punca gejala sosial yang berlaku dalam kalangan guru.

Profesion keguruan pada masa kini merupakan satu bentuk perkhidmatan sosial yang sungguh mencabar. Guru-guru, dalam masa yang sama, perlu mendidik dan juga perlu membentuk personaliti setiap murid yang mereka hadapi setiap hari. Tugas mendidik kini sepenuhnya terletak di bahu guru apabila ibu bapa zaman kini ramai yang mengambil sikap lepas tangan, membiarkan anak ke sekolah untuk menerima sepenuh didikan akademik dan sosial. Berikutan itu, tenaga pengajar dan pihak pentadbir perlu sentiasa peka dengan perkembangan terkini anak muda. Dewasa kini sering kita lihat banyak gejala sosial yang berlaku melibatkan guru tidak kira sekolah rendah mahupun sekolah menengah. Namun, pernahkah sesiapa terfikir mengapa perkara seperti ini terjadi? Masyarakat luar yang tidak mengkaji hanya suka menuding jari menyalahkan guru-guru ini, menyalahkan mereka seratus peratus. Tidak dinafikan dalam usaha mendidik anak bangsa, para guru terdedah dengan pelbagai ancaman yang mendorong mereka bertindak kurang profesional. Selalunya profesion ini sering dikaitkan dengan masalah tekanan emosi yang kadangkala tidak mampu dikawal. Para guru cenderung untuk berasa dalam keadaan kemurungan, mengalami tekanan perasaan, kekecewaan dan kebimbangan. Tidak dapat disangkal bahawa tugas guru

adalah satu tugas yang berat. Mereka diamanahkan dalam proses penerapan dan penyampai ilmu kepada anak bangsa, sama ada rela atau tidak, ikhlas atau pun sebaliknya. Tidak kira apa pun keadaan, guru dituntut untuk membangunkan diri dengan sebarang bentuk perubahan serta pembaharuan yang berlaku dari masa ke masa. Ini kerana guru adalah domain utama dalam pembangunan modal insan yang berguna. Sistem pendidikan sekarang telah berkembang dengan pesat selaras dengan kehendak Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah. Secara tidak langsung, kurikulum ini telah menyebabkan beban tugas yang sedia ada bertambah terutamanya dalam penyediaan alat bantu mengajar dan bahan-bahan pengajaran. Perubahan kepada kurikulum baru itu menuntut setiap guru bukan sahaja berkemahiran untuk menyampaikan ilmu kepada pelajar sebaliknya dapat melatih perkembangan diri pelajar secara seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sahsiah. Reformasi di dalam pendidikan seperti Sekolah Bestari, Pembelajaran Secara Kontekstual, Sekolah Cemerlang, Sekolah Contoh serta

Pembelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris telah memberi satu tekanan kerja kepada guru-guru untuk melaksanakannya.

FARAH ATIKA BINTI ZULKIFLI


EDU 3109 GURU DAN CABARAN SEMASA

Kebanyakan guru mungkin tidak menyedari bahawa mereka sedang mengalami stres yang negatif sehingga mereka mengalami kesannya yang mengakibatkan

kemerosotan kesihatan dan prestasi kerja mereka. Stres merupakan satu penyakit yang sering dikaitkan dengan kesihatan mental dan kerap menyerang masyarakat pada hari ini. Guru juga seperti manusia biasa yang lain, tidak berkecuali untuk mengalami stres atau tekanan perasaan. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia [WHO], kesihatan mental didefinisikan sebagai kebolehan mengekalkan hubungan harmoni dengan orang lain. Sekiranya kesihatan mental terjejas, maka kebolehan dalam mengambil bahagian dalam aktiviti kemasyarakatan dan kebolehan untuk menyumbang khidmat kepada masyarakat juga turut terjejas. Menurut Lazarus [1984], stress merupakan satu proses yang berlaku

terhadap seseorang hasil daripada cara individu itu menilai sesuatu ransangan yang mengancam. Ini mengakibatkan individu tersebut terpaksa melakukan penyesuaian dalam bentuk tingkah laku atau skema kognitifnya.
Permasalahan stres yang selalu menggangu dan menimbulkan implikasi negatif kepada guru dikenalpasti sebagai faktor penyebab yang utama. Faktor stres dalam kalangan guru berpecah kepada beberapa domain utama iaitu faktor interpersonal, faktor diri sendiri, faktor organisasi, faktor kekurangan sumber dan faktor luaran. Kelima-lima faktor yang dinyatakan ini merupakan domain utama kepada permasalahan yang berlaku kepada guru sekarang. Stres yang berlaku berpunca dari faktor interpersonal selalunya dikaitkan dengan masalah di tempat kerja iaitu masalah dengan rakan sekerja, pihak pentadbir dan kurang menyerlah dari segi prestasi. Kebanyak guru menghadapi kesulitan dalam menyesuaikan diri dengan persekitaran yang kadangkala seperti tidak menyokong setiap perlakuan mereka. Masalah kecil kadangkala diperbesar-besarkan sehingga menimbulkan rasa tidak senang dalam diri sendiri. Terdapat juga guru-guru yang saling berbalah sesama sendiri kerana tidak boleh bertolak ansur. Dalam sesebuah organisasi, kerjasama merupakan aspek paling penting dalam memastikan kejayaan organisasi itu sendiri. Sebagai contoh di sekolah, guru-guru perlu akur dengan arahan guru besar tidak kira sama ada mereka setuju atau tidak dengan arahan tersebut. Seorang ketua tugasnya sememangnya untuk mengarah dan sebagai guru biasa, mereka perlu peka dengan arahan tersebut. Jadi, masalah yang sering timbul selalunya berpunca dari guru-guru yang bersikap rebelius. Mereka menidakkan semua arahan dan merasakan diri mereka sentiasa betul. Perkara ini tidak seharusnya terjadi sekiranya masing-masing peka dengan tanggungjawab sendiri tanpa memikirkan hal di luar bidang kuasa mereka. Komunikasi yang berkesan di tempat kerja perlu diamalkan

FARAH ATIKA BINTI ZULKIFLI


EDU 3109 GURU DAN CABARAN SEMASA

untuk mendapatkan suasana dan persekitaran tempat kerja yang positif. Ada sesetengah guru yang sering ditindas mengakibatkan beliau berasa tertekan dan rendah diri. Beliau mungkin merasakan dirinya tidak setanding dengan rakan sekerja yang lain. Perkara seperti ini tidak sepatutnya terjadi memandangkan setiap guru perlu saling membantu meningkatkan kualiti pengajaran. Sebagai guru, sifat tegas perlu sentiasa ada dalam diri masing-masing. Tegas tetapi bukan garang dalam meluahkan pendapat supaya orang lain faham kehendak anda. Bagi golongan dewasa, stres seringkali melanda kehidupan berikutan masalah seperti kewangan yang meruncing, perbalahan dengan keluarga, penyakit yang dihidapi, hubungan suami isteri dan sebagainya. Permasalahan yang datang dari dalam diri sendiri tidak dinafikan memang banyak. Maka tidak hairanlah masalah sosial seperti guru mencabul murid sering kita lihat di dada akhbar pada masa kini. Semuanya berpunca dari stres dalam diri. Guru sepatutnya menjadi role model kepada setiap murid dengan menunjukkan contoh yang baik. Sahsiah seseorang guru itu penting dalam usaha mendidik anak muda zaman sekarang. Sekiranya sahsiah guru tidak boleh dibanggakan bagaimana pula cara untuk mendidik mereka? Guru yang menghadapi masalah seperti ini seharusnya bersikap profesional untuk tidak membangkitkan masalah peribadi dalam waktu bekerja. Pelbagai alternatif dapat digunakan apabila menyedari bahawa anda sedang menghadapi stres. Salah satunya adalah dengan mendapatkan khidmat kaunselor. Kaunselor yang terlatih dapat membantu anda meringankan beban dengan mendengar dan menyediakan pilihan untuk menentukan cara penyelesaian kepada masalah yang sedang dihadapi. Motivasi dan kata semangat sangat penting di saat anda mengalami stres. Menurut Ahli Parlimen Tititwangsa, Dr Lo Lo Mohd Ghazali, dalam menuju kemajuan dan kecemerlangan dalam pelajaran, menurut , pembinaan sahsiah yang baik di kalangan rakyat merupakan satu perkara amat penting terutama di kalangan guru. Pemilikan sahsiah yang baik di kalangan guru, katanya, akan memudahkan para guru sendiri membentuk sahsiah di kalangan para pelajar, tetapi jika perkara itu tidak diberikan penekanan akan lebih memburukkan lagi masalah gejala sosial di negara kita. Katanya lagi, lebih jauh dari itu, ia pasti akan menjadikan sistem pendidikan di negara kita akan berkecamuk.

FARAH ATIKA BINTI ZULKIFLI


EDU 3109 GURU DAN CABARAN SEMASA

Tekanan yang dihadapi mendorong guru bertindak di luar jangkauan mereka. Oleh sebab demikian, maka timbullah isu guru tidak bersikap profesional dengan melakukan pecah amanah, gangguan seksual, dan sebagainya. Faktor luaran seperti masalah peribadi memungkinkan para guru melakukan perkara-perkara sumbang seperti itu. Kesimpulannya, setiap manusia tidak terlepas dari ujian hidup. Stres adalah perkara yang normal untuk dihadapi oleh semua manusia. Profesion keguruan menuntut banyak kesabaran dan kegigihan dalam usaha mendidik anak bangsa. Sebagai seorang guru, sifat putus asa tidak seharusnya diterapkan dalam diri sebaliknya mereka perlu tetapkan iltizam untuk terus berusaha sehingga berjaya.